Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 9 May 2013

Temu Duga Cinta Bab 10


Tepat jam satu tengah hari, aku menapak keluar dari bangunan Gemilang Holdings. Mengambil kesempatan waktu rehat selama sejam itu untuk mengeluarkan duit di bank. Duit yang aku pinjam daripada mak. Baru sekejap tadi mak menghantar khidmat pesanan ringkas beritahu aku yang dia dah masukkan duit ke dalam akaun simpanan aku. Sejak dua menjak ni mak semakin mengagumkan aku. Bukan hanya bahasa Inggeris mak yang makin bagus tapi kemahiran teknologi mak juga meningkat sama.

Dalam sisa tenaga yang berbaki, langkah kaki ku atur lemah. Kalau boleh diukur bateri tubuh ku ini rasanya dah berkelip-kelip merah. Tangan ku mula menggigil dan pandangan ku berbalam-balam. Mana taknya, dari semalam lagi usus perut aku kosong tanpa menyimpan sikit pun makanan. Sisa bahan kumuh pun dah tak ada agaknya. Jadi apa lagi yang berbaki dalam tubuh aku ini sebagai bahan api untuk membakar tenaga.

Ajakan Suraya untuk makan tengah hari bersama-sama terpaksa aku tolak dengan baik. Nak makan tengah hari macam mana kalau duit tunai yang ada dalam tangan aku ini nilainya negatif. 

Tangga bangunan CIMB yang terletak cuma lima blok dari Gemilang Holdings ku daki perlahan. Sampai saja di mesin ATM, aku beratur di belakang seorang pakcik yang berusia dalam lingkungan 50-an. Mujurlah tak ramai orang yang nak keluarkan duit waktu itu.

Bila tiba giliran aku, kad bank dari dompet aku keluarkan. Lalu kad itu ku masukkan ke dalam mesin ATM. Aku tekan butang untuk memasukkan nombor pin yang dah tersemat dalam kepala otak ini. Kemudian jari telunjuk ku sentuh pada skrin untuk melihat baki dalam akaun simpanan ku sebelum mengeluarkan duit.

RM 1119.90.

Mata ku bulat sebaik melihat empat digit angka yang tertera di dada skrin. Aku gosok berkali-kali mata ku. Manalah tahu sebab lapar penglihatan aku dah jadi tak betul. Tapi memang tak salah angka yang aku nampak ni. Mulut ku sedikit terlopong. Rasanya kalau ada lalat saat itu, mahunya ia berbahagia terbang masuk ke dalam mulut aku.

Aku menggaru kepala dalam kehairanan. Kenapa jumlah wang dalam akaun simpanan aku ini tiba-tiba jadi banyak? Macam mana duit sebanyak seribu ringgit ini boleh tersesat mendarat ke dalam akaun aku ini? 

Adakah aku tersilap masuk ke akaun orang lain? Tapi mana mungkin sebab kad bank yang aku jolok ke mesin adalah sah milik aku. Takkan mak yang masukkan duit sebanyak ni? Aku cuma minta mak masukkan seratus ringgit ke dalam akaun. Takkan mak tersalah kira duit. Lagipun mak tak mungkin mempunyai wang sebanyak ini. Entah-entah pekerja bank yang tersilap masukkan angka? Atau mungkin ada orang yang tersilap masukkan duit ke dalam akaun aku? Pelbagai persoalan yang bermain di benak aku. Musykil..musykil…

“Tak boleh jadi ni.” Aku menggumam pada diri sendiri. Angka yang tertera itu ku tenung lagi.

“Cik, ada masalah ke?” Tiba-tiba aku ditegur pegawai bank yang bertugas di situ. Agaknya dia perasan dan pelik bila aku terkaku lama di depan mesin.

Aku kalih wajah sebentar ke arah pegawai lelaki yang kemas bertali leher itu.

“Err..memang ada.” Akui ku sambil mengangguk.

“Saya pelik kenapa duit dalam akaun saya ni banyak sangat?” Sambung ku melontarkan pertanyaan.

“Maksud cik?” Soal pegawai yang memakai tag nama Zulkifli. Senyuman mesra terukir di bibirnya biarpun dahinya sedikit berkerut.

“Saya tak tahu macam mana akaun saya boleh ada duit sebanyak ni. Sepatutnya baki dalam akaun saya cuma seratus sembilan belas ringgit sembilan puluh sen sahaja selepas mak saya masukkan duit seratus ringgit tadi. Seribu ringgit ni datang dari mana pula?” Terang ku panjang lebar. Jari telunjuk ku halakan pada skrin ATM.

“Mungkin agaknya emak Cik terlebih masukkan duit.” Pegawai itu menelah.

“Tak mungkin. Mak saya..”

“Dik tak sudah lagi ke? Queue dah panjang ni.” Kata-kata aku mati bila ditegur seorang perempuan yang sedang beratur di belakang ku.

 “Err..maaf…maaf” Ucap ku. Sekelip mata barisan yang sedang beratur untuk menggunakan mesin ATM menjadi panjang. Tanpa sedar aku telah menyebabkan urusan orang lain tergendala. Atau sebenarnya rakyat Malaysia memang tidak punya kesabaran yang tinggi?

“Macam ni, Cik. Apa kata Cik ikut saya ke kaunter. Kita jumpa dengan pengurus bank.” Cadang pegawai bank itu.

“Okay.. Tapi sebelum tu saya nak keluar duit dulu.” Beritahu ku seraya menekan skrin sesentuh untuk mengeluarkan duit sebanyak seratus ringgit yang telah dimasukkan oleh mak. Lebih baiklah aku keluarkan duit dulu. Nanti silap-silap kena beratur panjang pula. Sudahlah waktu rehat aku ini pendek.

Usai mengeluarkan duit, aku mengikut pegawai bank itu ke kaunter khidmat pelanggan. Dia membawa aku berjumpa dengan Puan Normala yang merupakan pengurus bank di situ.

“Sebenarnya kami tak boleh buat apa-apa dengan jumlah wang yang ada dalam akaun simpanan cik ini. Selagi kami tidak menerima sebarang laporan tentang kesilapan memasukkan duit ke akaun simpanan Cik, kami tak boleh ambil apa-apa tindakan.” Itulah yang dikomen Puan Normala sebaik aku habis menyuarakan keraguan kepadanya.

“Cik pasti ke tak ada sesiapa yang cik kenal yang telah masukkan duit ni?” Sambung Puan Normala menyoal ku.

“Tak ada. Saya cuma ada minta mak saya masukkan duit seratus ringgit. Kalau nak kata duit gaji, saya baru je mula kerja hari ni. Takkan lah tempat kerja saya tu baik hati sangat nak bagi advance dulu.” Balas ku dengan gelengan. Aku membetulkan duduk.

“Pernah ke berlaku macam ni sebelum ni?” Pertanyaan Puan Normala aku balas dengan gelengan.

“Tak pernah pula. Takkan puan tak boleh trace siapa yang masukkan duit seribu ringgit ini ke akaun saya?” Aku menyoal.

“Mengikut rekod transaksi, sebanyak seribu ringgit telah didebitkan ke akaun cik dengan menggunakan cash deposit pada pukul 10.18 pagi tadi. Jadi, kami tak dapat trace siapa yang telah memasukkan duit tersebut.” Terang Puan Normala. Sekeping kertas yang tertera rekod transaksi akaun simpanan diunjukkan kepada aku.

“Takkan tak ada cara, puan? Saya nak buat apa dengan duit yang bukan milik saya ni. Haram kalau saya guna duit yang saya tak tahu datang dari mana ni.” Keluh ku.

Wang sebanyak seribu ringgit itu cukup besar nilainya untuk aku yang memang tengah sengkek ni. Alangkah indahnya kalau duit itu memang milik aku. Banyak masalah aku dapat selesaikan terutamanya hutang PTPTN aku yang dah banyak tertunggak tu. Tapi malangnya duit itu bukan aku yang punya.

“Saya pun tak ada jawapan untuk soalan cik. Sebenarnya kami jarang terima inquiry daripada pelanggan tentang keraguan pertambahan duit dalam akaun. Kalau inquiry berkenaan kehilangan duit dalam akaun tu banyaklah.” Beritahu Puan Normala dengan senyuman nipis. Dia terdiam beberapa saat sebelum kembali menyambung kata.

“Macam ni lah, kami akan buat further investigation. Katalah berlaku kesilapan transaksi, nilai wang yang dimasukkan itu akan ditolak secara automatik dari akaun cik.”

Aku mengangguk perlahan. “Baiklah. Kalau macam tu saya tunggu feedback dari pihak bank.”

“Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?” Soal Puan Normala dengan berhemah.

“Tak ada apa. Terima kasih, puan.” Ucap ku sebelum bangkit untuk beredar dari situ.

Aku mengerling jam di pergelangan tangan. Masih berbaki dua puluh minit sebelum waktu rehat tamat. Perut yang berkeriuk ku gosok perlahan. Aku mengayun langkah sambil melilau pandangan mengintai kalau-kalau ada sesuatu yang boleh aku beli untuk melapik perut yang kosong ini. 

Kaki ku berhenti di depan Restoran Cahaya Warisan. Agak-agak sempat tak kalau aku singgah mengisi perut yang tengah kelaparan tahap kebulur ni? Soal ku bermonolog di dalam hati.

Semerbak bau pelbagai lauk pauk makanan tengah hari yang menusuk hidung membuatkan air liur ku kecur. Tanpa berfikir panjang aku mengatur langkah masuk ke dalam restoran dan menuju ke ruang bufet.

“Sedapnya..” Aku menggumam perlahan.

Rembesan enzim liur semakin membanjiri ruang mulut. Rambang mata dengan pelbagai aneka pilihan lauk masakan kampung yang dihidangkan secara bufet itu. Cukup menggoda nafsu makan ku. Rasa macam dah bertahun-tahun tak makan nasi. Haruslah aku rasa macam tu kalau hari-hari yang aku telan cuma Maggie dan kadang-kadang kerak biskut kering yang berbaki.

Usai memilih nasi dan lauk-pauk idaman, aku mengambil tempat di suatu sudut di tepi dinding yang agak terperosok. Dengan harapan dapatlah aku menghayati nikmat kesedapan nasi campur dengan semaksimum yang mungkin. Sepinggan penuh nasi dan segelas air batu kosong ku letakkan di atas meja sebelum aku melabuhkan duduk.

Doa makan ku baca dan dengan lafaz bismillah, tangan kanan ku mula menggaul nasi bersama lauk lemak nangka. Namun belum sempat satu suap nasi dibawa masuk ke dalam mulut, pergerakan ku terhenti bila ada sepinggan nasi lain diletakkan di depan aku. Aku mendongakkan wajah bila Uzair dengan selamba duduk di depan aku.

“Eh, awak buat apa kat sini?” Soal ku spontan. Okay. Aku tahu aku dah lontarkan soalan yang kurang cerdik. Soalan yang hanya memberi ruang kepada lelaki sarkastik ini untuk mengebom aku. Bersiap sedia sajalah telinga.

“Basuh kain.” Jawab Uzair pendek. Haa..kan aku dah kata. Jawapan sinis yang dia beri.

Aku mengetap bibir. Pandangan aku masih pada Uzair yang selamba menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Memang dasar kurang perasaan.

“Awak ekori saya ke?” Tuduh ku. Asal mana-mana saja aku pergi mesti ada dia. Dari pagi sampai ke tengah hari asyik bertembung saja dengan mamat ni. Mahunya aku tak berprasangka. Agaknya dia tak habis siasat aku lagi kot. Tapi orang tua-tua kata kalau acap kali bertembung jodoh kuat. Erk!

Uzair memanggungkan kepala. Kunyahannya terhenti.

“Sebelum saya jawab soalan awak, saya nak tanya awak dulu.” Ujarnya  membalas pandangan ku.

“Awak miss Universe ke?”

“Apa jenis soalan merepek yang awak tanya ni? Awak sengaja nak kenakan saya ke?” Soal ku membalas.

“Jawab dulu. Nanti awak akan tahu kenapa saya tanya. Pernah jadi ratu cantik ke sebelum ni?” Desak Uzair.

Aku menggeleng menafikan.

“Awak anak Dato’ ke?”

Aku menggeleng lagi untuk menidakkan. Kalau aku ini anak Dato’ tak adalah aku susah macam ni. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Awak  popular ke? Pernah masuk rancangan realiti TV ke?”

Aku gelengkan kepala lagi. Dalam hati sungguh aku tak faham dengan setiap soalan yang diajukan Uzair.

“Kebiasaannya ada tiga tarikan kenapa seorang lelaki mengekori perempuan. Pertama mungkin kerana terpikat dengan kecantikan perempuan tu. Kedua, mungkin juga sebab kekayaan perempuan tu. Lelaki mana yang tak nak berdamping dengan perempuan kaya dan berpengaruh. Kalau terkena umpan, hidup goyang kaki sampai mati. Dan yang ketiga sebab populariti. Semua ciri-ciri ni ada ke pada awak? Tak ada kan? So, kalau saya ekori awak apa yang saya dapat?” Tutur Uzair pedas untuk menjawab tuduhan ku. Dia merenung ku sinis sebelum meneruskan suapan.

Okay. Sekarang aku rasa Uzair ini berlagak tahap gaban. Sikit punya panjang hipotesis yang dia keluarkan hanya untuk beritahu yang aku ini sebenarnya tak cantik, miskin dan tak popular. Berasap sungguh telinga aku dengan jawapan materialistik lelaki sarkastik ni. Lantas senyum plastik aku hadiahkan.

“Encik Uzair, pernah dengar tak pepatah ni? Beauty is in the eye of the beholder. Maknanya kalaupun saya ni tak cantik di mata awak pun saya peduli apa. Cukuplah saya cantik pada pandangan bakal suami saya.” Tingkah ku bersama hujah.

Tak fasal-fasal aku keluarkan falsafah Inggeris. Satu-satunya peribahasa indah yang sering diungkapkan arwah ayah aku untuk meredakan tangisan ku bila setiap kali aku mengadu padanya tentang kawan-kawan di sekolah yang sering kali mengejek aku bunga tompok. Sebabnya dulu betis dan tangan aku ini penuh dengan tompokan kudis dan parut kerana kulit aku yang agak sensitif dengan gigitan nyamuk.

Aku mengetap gigi kuat bila aku lihat Uzair bagaikan endah tak endah dengan kata-kata aku. Dia terus dengan aktivitinya menyuap, mengunyah dan menelan nasi. Geram sungguh!

“Yang kedua, hidup miskin tapi bermaruah lebih baik daripada kaya dalam kehinaan. Tak ada maknanya kalau titik peluh tu diraih dengan menumpang tuah orang lain..” Bicara ku menyambung kata dalam nada suara yang sedikit meninggi. Habis semua ayat kaunselor aku keluarkan. Tetapi lelaki itu hanya tunduk bisu. Begitu khusyuk mengadap makanan macam setahun tak makan.

Aku menarik nafas dalam sebelum meneruskan hujah perbahasan aku yang seterusnya. Gaya pun dah macam peserta perbahasan sekolah menengah dah ni. Tak sia-sia aku masuk pertandingan bahas dulu.

“Dan yang ketiga, saya nak tanya awak satu soalan. Penting ke populariti di mata manusia? Boleh kaut pahala ke? Boleh bawa sampai ke syurga?” Aku menyoal Uzair bertalu-talu.

Uzair mengangkat wajah memandang ku. Beberapa saat aku menunggu jawapan dari mulutnya. Nak juga aku tahu apa jawapan Uzair. Tapi hampa. Dia bagaikan terkedu. Tiada langsung walau sepatah kata sinis yang meluncur keluar dari bibir merahnya. Hanya matanya yang memandang ku tidak berkelip.

“Cantik, kaya atau popular semua itu tak kekal lama kat atas dunia ni. Seorang perempuan yang tinggi nilainya bila dia cantik tingkah lakunya, kaya budi bahasanya dan popular di hati ibu bapanya.” Tambah ku sedikit puitis.

Pandangan Uzair tetap pada wajah ku. Gaya dia macam sedang terpegun habis dengan bicara aku. Rasakan. Jangan dicabar kredibiliti pembahas terbaik Sekolah Menengah Sains Machang ni.

“Cantiklah sangat tingkah laku tu bila tengah menghadap makanan tersembur-sembur berceramah. Cuba awak tengok meja ni, dah beberapa titik DNA awak yang melekat. Patah selera saya..” Perli Uzair. Sudu dan garpu di tangannya diletakkan di atas meja.

Aku terkedu nak membalas. Mata ku tala memerhati permukaan meja.

“Mana ada! Awak ni memang sengaja nak naikkan darah saya!” Bantah ku dengan nada suara yang keras. Jari telunjuk ku naik ke mukanya.

“Kaya sangatlah tu budi bahasa awak. Bercakap tinggi suara dengan jari telunjuk macam tu.” Pangkah Uzair menyindir ku. Pang! Terasa macam ada satu tangan yang menampar pipi aku kuat. Aku terkesima.

Uzair bangkit. Pinggannya yang sudah licin tanpa sebiji nasi pun ditolak ke tepi. Patah selera konon!

“Okay. Saya nak balik ofis. Makanan saya ni awak bayarkan. Tolak hutang.” Sempat dia menghadiahkan aku senyuman sinisnya sebelum beredar keluar dari restoran. Meninggalkan aku yang tercengang-cengang seorang diri.

“Eiii…geramnya aku!!!” Jerit ku di dalam hati. Kalau tak ingat aku ni di tempat awam, mahu saja aku jerit kuat-kuat untuk melepaskan rasa terbuku di dalam hati. Kalau berterusan macam ni boleh terkena tekanan perasaan.

P/S: Maaf untuk yang menunggu lama entry baru TDC. Harap terhibur dengan Bab 10 dan tinggalkan komen. Komen anda vitamin buat saya!

Friday, 3 May 2013

Temuduga Cinta Bab 9


Ikram memandang ku dengan wajah yang serius. Tajam anak matanya memanah diriku yang sedang tercegat di depannya. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Uzair yang turut berdiri di sebelah aku. Sudahlah tadi mamat ni main aci redah je masuk ke dalam bilik Ikram. Bukan ke kalau nak jumpa bos kena buat temu janji dengan setiausaha Ikram terlebih dulu?

Yalah. Menurut Uzair, Ikram ni bos besar di Jabatan Logistik. Sebab itulah dia bawa aku berjumpa terus dengan Ikram. Kononnya untuk mendapatkan budi bicara Ikram atas kegagalan aku untuk melaporkan diri mengikut masa yang ditetapkan bahagian Sumber Manusia.

“Kenapa ni, Uzair?” Ikram menyoal dengan dahi yang sedikit berkerut. Pen yang sedang dikepit dua jarinya diletakkan di atas meja. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi.

Uzair melabuhkan duduk. Selamba mak inang sungguh lelaki ini duduk tanpa disuruh. Siap menyilang kaki lagi tu. Berlagak macam bos besar. Bos besar pun tak berlagak macam dia ni. Tengok Ikram tu, relaks dan tenang saja.

“Have a seat.” Ikram menjemput ku duduk dengan sopan.

Aku mengangguk lalu menarik kerusi bersebelahan Uzair sebelum berhati-hati melabuhkan punggung di situ. Bimbang juga kalau tragedi jatuh tersungkur dalam bilik temu duga tempoh hari  bakal berulang.

“You ingat this girl?” Tanya Uzair. Gaya dia macam dah kenal lama dengan Ikram.

“Mestilah I ingat. The one yang I interview tempoh hari kan?” Ikram merenung wajah ku.

 “Hmmm..dialah..” Uzair mengangguk mengiakan pertanyaan Ikram.

“How could I forget Cik Qurratul ‘Ain. The one yang ada mak bekerja sebagai…ermmm..nurse village, right?” Giat Ikram menyembunyikan senyum.

Wajah ku membahang bila mengingatkan susunan ayat-ayat Inggeris yang aku main belasah semasa temu duga beberapa hari yang lepas. Muka ni macam kena rendam dalam sebesen cili boh. Pijar dan panas! Terasa peluh mula merenek di dahi. Bilik yang dingin membeku itu ternyata tidak mampu menyejukkan rasa malu yang sedang bertapak di taman hati.

“Err…saya nak buat sikit pembetulan fasal temu duga tempoh hari.” Ujar ku menelan liur pahit. Aku cuba menarik bibir untuk mengukirkan senyum biarpun aku rasa senyuman aku kala itu plastik habis. Urat-urat di pipi habis menegang. Macam selepas kena suntik Collagen.

“My mother job is traditional midwife..not nurse village.” Aku menyambung bicara untuk membetulkan kesilapan. Pulang saja ke rumah dari temu duga tempoh hari, aku terus menerkam kamus dwibahasa untuk mencari terjemahan bidan kampung dalam bahasa Inggeris.

Uzair tergelak kuat. Bila menyedari aku menjelingnya tajam, tawanya mengendur diganti senyuman sinis. Memerli aku lah tu. Seronok sungguh dia ketawakan aku. Tak apa. Naik lori, naik bas. Lain hari, aku balas. Huh!

“Oh..Macam mana you tahu yang you tersilap?” Ikram menyoal ku lembut. Sejuk sikit hati aku yang tengah panas membara dengan sikap Uzair. Beria-ia gelakkan aku sedangkan Ikram sendiri relaks saja.

“Saya belek kamus Dwibahasa Oxford Fajar.” Jawab ku penuh.

“Really? That’s good. At least you did learn something. Semangat macam inilah yang bagus. Sentiasa belajar untuk memperbaiki kesilapan. I like it!” Puji Ikram bersungguh-sungguh.

Aku senyum nipis. Sedikit sebanyak terasa juga kembang kempis lubang hidung ku ini bila dihargai begitu. Mahunya tak bangga bila yang memuji itu bakal bos aku. Bakal boslah sebab aku masih tak tahu status kerja sebagai penyimpan stor yang ditawarkan pada aku. Takut juga kalau dah dibatalkan secara automatik sebab kelewatan aku hampir tiga jam untuk melaporkan diri.

 “Err..encik Ikram..” Aku berdeham beberapa kali cuba menyusun kata. Sebenarnya aku ingin bertanya pada Ikram berkenaan tawaran kerja itu.

“Err..err…” Suara ku bagaikan tersekat. Berat pula mulut aku ini.

Aku menjeling Uzair untuk mendapatkan sokongan lelaki itu. Tadi dia juga yang beria tawarkan diri kononnya nak membela aku di depan Ikram. Sekarang boleh pula dia senyap sambil buat muka tidak berperasaan tu.

“’Ain nak cakap sesuatu ke dengan I?” Suara Ikram prihatin. Hampir tersedak aku  bila Ikram mula memanggil nama panggilan ku. Macam dah kenal lama pula.

“Boleh kan I panggil you ‘Ain? Terasa dekat je kalau panggil macam tu.” Soal Ikram bagaikan dapat membaca kata hatiku. Lenggok suara dia manja semacam je. Ke aku yang terlebih perasan?

“Boleh..boleh..” Aku mengangguk laju. Takkan nak jawab tak boleh pula. Permintaan bakal bos mana boleh ingkar.

“So, ‘Ain nak cakap fasal apa?”

“Errr…” Aku menggaru kepala. Sekali lagi aku menjeling Uzair yang senyap membisu di tempat duduknya. Manalah tahu kalau dia nak memulakan cerita. Tapi menunggu Uzair membuka mulut ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

“Err..pasal tawaran kerja untuk saya tu..” Akhirnya aku terpaksa bersuara sendiri. 

“Kenapa?”

“Err…saya minta maaf sebab lambat lapor diri, Encik Ikram. Sebenarnya saya bukan sengaja lambat. Tadi saya kemalangan masa dalam perjalanan nak ke sini.” Beritahu ku sedikit teragak-agak.

“Kemalangan?” Soal Ikram terperanjat. Dia bingkas bangun dan menerpa ke arah aku.

“’Ain tak apa-apa?” Nada suara Ikram berbaur risau. Dia duduk bertinggung di depan ku membuatkan aku menggerakkan sedikit kerusi ke belakang. Meremang bulu roma aku. Buang tabiat ke apa Ikram ni.

“Err..kemalangan kecil je tadi. Saya tak apa-apa.” Balas ku serba salah. Pelik aku dengan Ikram yang tiba-tiba prihatin semacam pada aku. Tak ke dia ni macam terlalu berlebih-lebihan menunjukkan ekspresi? Kalau orang putih cakap over-reacting.

“Ada luka tak kat mana-mana? Mari sini I tengok.” Matanya tunak mengimbas tubuh ku atas bawah. Canggung aku bila ditenung begitu oleh seorang lelaki ajnabi. Serba tak kena aku rasa.

“Tak apa, Encik Ikram. Saya okay. Saya tak ada apa-apa..” Elak ku dengan berhemah bila Ikram ingin memegang tangan ku. Dia ni mengambil berat ke mengambil kesempatan? Nak berkeras kan bos besar. Nanti terus aku tak dapat kerja langsung.

“Nak abang bawa ke hospital ke?”

Erk! Aku tersentak bila Ikram mula membahasakan diri dia abang. Lain macam sungguh lelaki ini. Seram sejuk pula aku berada dalam bilik ni.

‘Ehem…” Uzair berdeham kuat tiba-tiba. Mungkin dia nak beritahu Ikram yang dia masih wujud dalam bilik itu. Agaknya telinga dia pun berbulu mendengar ayat-ayat romeo si Ikram ni.

“She’s okay, Encik Ikram. Tak ada calar sikit pun kat tubuh Cik ‘Ain ni.” Uzair bersuara senada.

“Are you sure, ‘Ain?” Ikram memandang ku inginkan kepastian.

“Betul tu. Saya okay.” Aku mengangguk mengiakan kata-kata Uzair.

“Syukurlah..” Ikram mengeluh lega. Dia berdiri dan kembali mengambil tempatnya semula.

“Cuma…saya nak minta maaf sebab kemalangan itu saya terlewat sampai. Saya harap Encik Ikram boleh berikan saya peluang kedua.” Tutur ku. 

Jauh di dasar hati aku mengharapkan jawatan penyimpan stor itu masih menjadi milik aku. Sungguh aku sangat memerlukan kerja ini untuk membayar segala hutang piutang aku yang dah keliling pinggang ni.

“Terlewat? Siapa yang lewat?” Ikram menyoal ku dengan dahi yang berkerut.

“Errr..bukan ke saya sepatutnya lapor diri pukul lapan pagi tadi di bahagian Sumber Manusia?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Lapan pagi? Betul ke ‘Ain kena lapor diri pukul lapan pagi? Siapalah yang ada kat pejabat seawal tu. ‘Ain tahu tak waktu kerja di Gemilang Holdings ni bermula jam sembilan pagi.”

Rahang ku jatuh mendengar penjelasan Ikram. Sempat aku mengerling sekilas ke arah Uzair yang sedang berpeluk tubuh. Muka dia langsung tak tersimpan riak bersalah.

“Tapi Uzair yang..”

“Agaknya Cik ‘Ain ni salah dengar kot. Mesti Cik ‘Ain ni excited sangat sampai tak sabar nak mulakan kerja.” Cepat Uzair mencantas ayat ku. Dia pamerkan riak wajah bangga. Bangga dapat kenakan aku. Aku pasti telinga aku ini tak salah dengar kata-kata Uzair tempoh hari. Aku menahan rasa geram yang membuak-buak dalam hati aku ni.

Apalah dosa aku pada lelaki bernama Uzair ni. Dia tak tahu pagi tadi kalut aku bersiap macam lipas kudung gara-gara terbabas tidur sebab jam loceng aku kehabisan bateri. Tak sempat tekak ini nak bersarapan hatta menelan seteguk air kosong sekalipun sebab bimbang terlewat sampai sebelum pukul lapan pagi.

“Emmm..kalau ikut jadual I ni, our appointment should be on 11 am, right after ‘Ain lapor diri di bahagian HR. So, ‘Ain dah ke HR belum?” Pertanyaan Ikram hanya mampu ku balas dengan gelengan. Dalam hati ini menahan rasa geram yang meluap-luap pada Uzair.

“Kalau macam tu I bawak ‘Ain ke HR dulu.” Sambung Ikram.

“Err..tak apa Encik Ikram. Saya boleh pergi sendiri.” Aku menolak. Takkan bos besar nak mengiring aku semata-mata untuk melaporkan diri.

“It’s okay. Kebetulan I pun tengah free sekarang ni.” Ikram mendesak.

Tiba-tiba perbualan kami diganggu dengan deringan interkom. Ikram menekan butang.

“Yes Suraya dear...” Sahut Ikram mesra.

“Encik Ikram, maaf mengganggu. Dato’ Rashid nak jumpa Encik Ikram di biliknya sekarang.” Suara Suraya, setiausaha Ikram jelas kedengaran di hujung talian.

“Kenapa?”

“Dato’ nak bincang fasal tender Alpha Beta.”

“Bukan ke sepatutnya tender tu diuruskan Encik..err..never mind. Okay, I’ll be there in a minute. You dapatkan file berkaitan projek Alpha Beta tu. Thanks.” Balas Ikram memberi arahan sebelum memutuskan talian interkom.

“Uzair, you tolong bawak ‘Ain ke bahagian HR dan tolong ‘Ain selesaikan urusan dia apa yang patut.” Suruh Ikram. Dia berpusing ke belakang untuk mencapai beberapa dokumen yang tersusun.

Uzair hanya diam tidak membalas. Mengangguk tidak mengiakan pun tidak. Wajah itu kelat semacam. Macam tak reda je dengan suruhan Ikram.

“Sorry, ‘Ain. I ada urgent meeting pula.” Ikram berpaling padaku sebelum dia bingkas berdiri. Aku dan Uzair turut bangkit.

“Tak apa, Encik Ikram.” Senyuman ku ukirkan.

“Anyway, selamat datang ke Syarikat Gemilang Holdings. I’m sure you’ll enjoy working here.” Ikram mengangkat tangan menghulurkan salam.

Aku serba salah nak menyambut huluran tangan Ikram. Dia ni tak tahu ke yang bersalaman dengan perempuan bukan muhrim hukumnya haram.

“Ehem…” Sekali lagi Uzair berdeham. Kali ini dengan nada yang lebih kuat.

“Opps..sorry. Errr.. hope we’ll have a better chance to know each other after this.” Sempat Ikram mengenyitkan matanya pada ku. Tangannya dijatuhkan.

“Jadi saya betul-betul diterima bekerja kat sini ke, Encik Ikram?” Soal ku inginkan kepastian.

“Yes. Uzair akan bawa ‘Ain ke bahagian HR untuk report duty. Then, you’ll be officially Gemilang Holding staff.”

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak, Encik Ikram.” Ucap ku teruja. Senyuman di bibir ku mekar.

“Sama-sama kasih.” Balas Ikram. Dia mengiringi langkah aku dan Uzair sehingga ke muka pintu. Baik sungguh layanan bos aku ini.

 “By the way..cantik baju ‘Ain. One of my favorite color. Dan makin manis bila ‘Ain yang memakainya.” Tegur Ikram bermulut manis sambil mengukirkan senyuman manis. Kesimpulannya semua yang manis-manis sajalah tentang lelaki ini.

 “Ohh…errr..terima kasih.” Balas ku malu-malu seraya melangkah keluar dari bilik Ikram. Mahunya tak malu bila kali pertama dipuji begitu. Biarpun dia hanya sekadar puji baju yang ku pakai. Kalau dia puji aku yang cantik, harus tiga hari tiga malam aku tidur dalam senyuman.

Ikram membalas senyum ku sebelum menggamit Suraya masuk ke dalam bilik pejabatnya. Sempat aku berbalas senyum dengan Suraya bila kami berselisih bahu.

Di luar pintu bilik Ikram, aku menilik baju kurung yang tersarung di tubuh ku. Baju kurung yang terpaksa aku beli setelah didesak dan dipaksa Uzair. Sudahnya terpaksa aku berhutang dengan Uzair beberapa belas ringgit untuk menampung harga baju kurung RM 99.00 ini. Timbus hutang lama, hutang baru muncul pula. Itu pun sebab aku tak tahan dengan desakan Uzair yang berkali-kali merungut fasal kot mahal dia yang berada di pinggang aku. Ditambah pula dengan pandangan kakak jurujual yang tengok aku semacam saja tadi. Salah aku juga pergi ringan mulut buat tawar menawar dalam butik eksklusif. Harus tak pernah dibuat orang.  

“Sudahlah tenung baju baru awak tu. Ingat sikit awak berhutang dengan saya sebelas ringgit lima puluh sen.” Suara sinis Uzair memangkas lamunan pendek aku.

Aku mengetap bibir. Ada perhitungan yang masih belum aku selesaikan dengan lelaki sarkastik ini.

“Kenapa awak tipu saya?” Aku menyoal geram.

“Bila saya tipu awak?” Uzair menyoal ku balik.

“Yang awak suruh saya datang lapor diri pukul lapan pagi tu padahal pejabat pukul sembilan pagi baru buka. Awak memang sengaja nak saya tercongok macam orang bodoh depan bangunan ni kan?” Tuduh ku dalam nafas yang turun naik.

“Ooo..biasalah. Junior kenalah datang awal jumpa senior dulu. Sesi suai kenal.” Balas Uzair selamba.

Amboi! Sesuka hati saja dia ni cipta undang-undang sendiri. Kan aku dah cakap. Aku tak silap dengar. Memang dia ni sengaja salah bagi waktu kepada aku.

“Awak ingat ini sekolah ke? Perlu minggu suai kenal bagai.” Aku mencebikkan bibir.

“Perlulah. Ini prosedur biasa untuk pekerja baru di Gemilang Holding. Tugas saya sebagai pegawai khas adalah untuk mengenali awak atas kapasiti pekerja baru, untuk menilai sejauh mana kesetiaan dan integriti awak pada syarikat.” Beritahu Uzair membuatkan aku terkedu. Dia tampak yakin dalam penerangannya tetapi entah kenapa hati ini rasa cukup ragu. Sungguh ada ke prosedur begitu di sesebuah syarikat? Lelaki ini boleh percaya ke?

“Awak jangan ingat saya buat semua ini sebab nak mengurat awak pula. Saya profesional dengan kerja saya.” Bidas Uzair menambah.

“Kalau ada prosedur begitu, kenapa Encik Ikram tak tahu?” Pertanyaan ku membuatkan wajah Uzair sedikit berubah. Namun tak lama bila dia kembali bersuara dengan yakin.

“Cik ‘Ain, bidang kerja pegawai khas tidak ada kaitan dengan pengurus besar macam Encik Ikram. Saya menerima arahan terus daripada Dato’ Rashid, CEO Gemilang Holdings. Sebab itulah kadang-kadang ada perkara yang berlaku dalam syarikat ini di luar pengetahuan pekerja lain.” Terang Uzair. Aku mengangguk kecil. Masuk akal juga dengan kata-kata lelaki ini.

“Maksud awak Dato’ Rashid yang arahkan awak untuk menyiasat saya?”  Aku telan liur. Terdetik rasa gerun di dalam hati. Terasa macam bertugas di PULAPOL pula. Padahal jawatan aku cuma penyimpan stor saja.

“Bukan menyiasat tapi melakukan penilaian awal. Jangan salah faham tu.” Uzair membetulkan kata-kata ku.

“Pendekatan Dato’ dalam mentadbir syarikat adalah berkonsepkan mesra kakitangan. So, Dato’ nak kenal setiap pekerjanya luar dan dalam melalui saya sebagai pegawai khasnya.” Sambung Uzair.

“Kenapa Dato’ tak buat sendiri? Yalah, awak ni boleh dipercayai ke? Maksud saya, manalah tahu kalau-kalau awak sampaikan maklumat salah pada Dato’, kesianlah kakitangan tu.”

Aku mengetap bibir. Pertanyaan aku yang tidak berlapik mengundang jelingan tajam Uzair. Kenapalah mulut ini tak pandai nak tapis ayat dulu sebelum bercakap.

“Untuk pengetahuan Cik ‘Ain, Dato’ Rashid is the busiest person in Gemilang Holdings. Dan untuk mentadbir sebuah syarikat yang besar dengan beribu-ribu kakitangan bukan kerja yang mudah. Jadi tugas saya adalah untuk membantu Dato’ dalam urusan ini. Jangan bimbang, saya profesional dengan kerja saya.” Balas Uzair serius. Dia menundukkan sedikit wajahnya dan mendekatkan mulutnya ke telinga ku sebelum menyambung kata.

“Boleh dikatakan saya adalah mata-mata Dato’ di Gemilang Holdings. So, be nice to me and I’ll be nice to you.” Bisik Uzair dengan senyuman sinis.

Bulat mata ku memandangnya. Adakah dia sedang memberikan amaran pada ku secara halus? Chit! Profesional tahi kucing kalau macam tu!

“One more thing..bahagian HR di tingkat lima. Arahan Encik Ikram di luar skop kerja saya. So, sila cari sendiri tempat tu ya. Bye!”

Uzair mengangkat tangan tanda pamitan. Dia berjalan meninggalkan ku dengan mulut yang sedikit terlopong.     


P/S: Saya perlukan positif kritik.. Kalau sudi tinggalkan komen ya. Thanks.