Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Wednesday, 6 November 2013

Titian Cinta: Special Edition

Bagi yang merindui Harris & 'Aisy. TiC Special Edition
‘Aisy berdiri di balkoni bilik tidur. Membiarkan tubuhnya disapa semilir malam yang mendinginkan. Dia mendongakkan wajahnya ke dada langit, merenung bintang yang tampak malap kerlipannya. Bayangan bulan entah hilang ke mana, bagaikan segan menjengah alam. Sesekali suasana malam yang sepi disapa kesik-kesik daun yang bergeseran ditiup angin. Menghasilkan irama alamiah yang cukup damai bagi yang reti menilai.
Namun, kedamaian malam langsung tidak berjaya meresap masuk ke dalam jiwa ‘Aisy. Manakan mungkin jiwanya mampu merasa damai, andai hati sedang hebat berperang dengan api cemburu. Mana bisa sanubarinya merasa tenang, andai kesetiaan dicurigai sang suami. Sebuah keluhan terbit dari bibirnya. Fikirannya menerawang, membawa ingatannya terbang pada kenangan semalam.
 “Abang, boleh tak kalau ‘Aisy nak tanya abang sesuatu?” Lembut ‘Aisy memulakan bicara. Memecah kesunyian sewaktu mereka sedang menikmati makan malam berdua.
Malam itu, Harraz tidur di rumah mertuanya. Bukan sengaja dia mahu tinggalkan anak lelakinya itu di bawah jagaan mertuanya, tetapi dia terpaksa akur bila arahan mandatori itu datang daripada Puan Sri Nora sendiri. Tan Sri Hakim pun beria-ia menyokong. Konon kedua-dua orang mertuanya itu ingin memberikan ruang dan masa berkualiti kepadanya dan Harris untuk dihabiskan bersama tanpa gangguan. Harris pula sengih lebar sampai ke telinga. Kedua-dua belah keningnya siap dijongket penuh makna.
Dia bukannya tidak faham dengan maksud tersirat mertuanya. Malah sejak tiga tahun lepas, Puan Sri Nora sering menyuarakan keinginannya untuk menambah cucu. Harraz pun sudah mencecah usia enam tahun. Dah besar panjang dan memang sesuai sangat untuk mempunyai adik. Apatah lagi dia dan Harris sendiri tidak pernah merancang. Tetapi dengan kekurangan yang ada pada dirinya, mungkin kah dia masih mempunyai peluang untuk melahirkan zuriat lagi?
Astagfirullahalazim. Bersangka baik dengan Allah. Apa pun kunfayakun. Ingat janji Allah itu pasti. Rezeki, jodoh dan ajal semuanya sudah tertulis di Loh Mahfuz. ‘Aisy mengingatkan dirinya sendiri.
“Sayang..hey..mengelamun ya! Dah sampai mana dah tu?” Harris mencuit hidung ‘Aisy, menyedarkan isterinya daripada larut dalam khayalan.
“Err… Sorry..” ‘Aisy melarikan pandangannya ke arah hidangan lamb chop di dalam pinggannya yang masih banyak berbaki. Dia malu sendiri dengan kealpaannya.
“Kalau ya pun tak sabar nak ajak abang masuk bilik, tunggulah abang habiskan lamb chop ni dulu,” giat Harris bersulam dengan ketawa nakal. Kepingan daging kambing itu dimasukkan ke dalam mulut. Sedap. Masakan ‘Aisy memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Isterinya itu sentiasa tahu seleranya.
“Mulalah tu nak mengarut bukan-bukan..” ‘Aisy menampar lengan Harris sedikit kuat. Rasa hangat menyerbu ke wajah. Semakin usia menginjak ke angka empat puluh ni, semakin menjadi-jadi usikan Harris padanya. Nakal bukan main.
“Aduh..sejak bila isteri abang jadi ganas ni? Sakitlah yang…” rengek Harris manja dengan suara yang meleret. Lengan yang terasa pedih digosok perlahan.
“Cakap lagi macam tu, kalau Harraz dengar macam-macam disoalnya nanti,” gumam ‘Aisy mengingatkan. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada Harris.
“Sebab Harraz tak adalah abang boleh cakap. Sayang…jangan jeling abang macam tu. Abang dah rasa lain macam ni..” tingkah Harris dalam tawa yang masih bersisa.
“Abang ni… malaslah ‘Aisy nak layan abang..” balas ‘Aisy sambil memotong kepingan daging di dalam pinggan.
“Mana boleh malas-malas macam tu, yang. Kejap lagi…”
“Abang! Kalau sesaat tak cakap macam tu tak boleh ke?” pangkah ‘Aisy. Bibirnya dimuncungkan ke depan. Tahu sangat ke mana arah Harris nak bawa perbualan mereka. Lelaki. Dalam kepala otak tu tidak ada perkara lain yang difikirkan. Makin tua makin pelik gatalnya. Perubahan hormon agaknya.
“Cakap apa? Abang cuma nak cakap, kalau sayang malas-malas, kejap nanti siapa yang nak basuh pinggan mangkuk ni semua?”
Harris gelak kuat bila dapat mengenakan ‘Aisy. Hidup dengan ‘Aisy telah banyak merubah dirinya. Sisi gelap nya yang dulu mempunyai baran dan ego yang tinggi sudah lama ditinggalkan. Dengan ‘Aisy, dia sentiasa merasa ceria. ‘Aisy adalah semangatnya. ‘Aisy adalah nadi kebahagiaannya.
“Abang lah basuh.” ‘Aisy mencebik. Sebenarnya dia sedang cuba menyembunyikan senyum. Jauh di dasar hati, dia bahagia diusik begitu. Cuma sebagai seorang wanita dan seorang isteri, dia masih punya rasa segan yang menebal untuk berbicara secara terbuka begitu. Tidak seperti Harris yang suka bergurau tidak kira tempat. Depan mama dan papa pun kadangkala suaminya itu boleh selamba menunjukkan sikap romantiknya. Tak malu langsung!
“Sayang ni..sekali sekala abang nak usik isteri sendiri, apa salahnya. Janganlah serius sangat. Abang nak usik siapa kalau bukan isteri abang ni. Nanti kalau abang pergi usik Arianna lain pulak jadinya... Tak fasal-fasal Affan serang abang nanti,” sambung Harris. Dia gelak sendiri dengan lelucon yang diciptanya.
Wajah ‘Aisy berubah keruh. Entah kenapa hatinya tiba-tiba sakit dengan gurauan Harris itu. Sejak akhir-akhir ini kerap nama Arianna meniti di bibir suaminya itu. Arianna merupakan kenalan lama Harris ketika sama-sama menuntut di universiti di United Kingdom. Malah hubungan mereka sebenarnya lebih daripada sekadar kawan. Pertemuan semula setelah hampir sepuluh tahun terputus hubungan membuatkan mereka kembali rapat. Apatah lagi Harris telah melantik Arianna yang turut memiliki firma guaman sendiri sebagai penasihat undang-undang syarikatnya.
“Ada hati nampak? Over my dead body first..” gumam ‘Aisy perlahan. Giginya diketap kuat menahan api cemburu yang sedang membakar hatinya.
“Memanglah abang ada hati kat dalam ni. Kalau tak, abang nak hidup macam mana, sayang ooi,” tutur Harris sengaja melencongkan jawapan. Dadanya ditepuk perlahan. Bukannya dia tidak perasan dengan wajah ‘Aisy yang sudah cemberut semacam.
“Sejak berkawan baik dengan peguam ni, abang dah pandai menjawab ya. Ada je jawapan dia,” sinis ‘Aisy tajam. Berombak dadanya menahan rasa. Jelas terpeta riak kurang senang di wajahnya.
Harris menggaru kepalanya yang tidak gatal. Entah kenapa dia dapat merasakan angin ‘Aisy tidak berapa baik malam ini. Selalu kalau dia bergurau begitu, ‘Aisy tidak pernah kisah. Bad timing agaknya. Bibirnya dikesat dengan kain napkin usai menghabiskan kepingan daging yang terakhir. Dia berdeham beberapa kali sebelum meneruskan bicara.
“Tadi sayang kata nak tanya sesuatu dengan abang. Apa dia?” soal Harris menukar arah perbualan. Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi. Perutnya yang kekenyangan digosok perlahan.
‘Aisy menarik nafas dalam.  Dia membuang jauh api cemburu yang mengganggu perasaannya apabila mengingatkan masih ada perkara penting yang dia mahu bincangkan dengan Harris.
“Tentang Projek Teratak Sakinah tu.” ‘Aisy berhenti sejenak untuk melihat reaksi Harris.
“Hmmm…Kenapa?” Soal Harris pendek. Keningnya naik sebelah.
Projek Teratak Sakinah merupakan projek amal yang dikendalikan Indah Puncak Corporation untuk membina sebuah pusat jagaan harian orang-orang tua. Projek yang idea asalnya dicetuskan oleh ‘Aisy sendiri semata-mata untuk meringankan beban sepupu ‘Aisy, Qurratul ‘Ain dan suaminya. Malah ‘Aisy jugalah yang telah banyak membantunya menyiapkan kertas kerja sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat.
“Errr…siang tadi papa ada beritahu ‘Aisy… yang Rayyan berminat untuk melabur dalam projek tu.” Teragak-agak ‘Aisy meneruskan kata. Dia tahu Harris tidak suka bila dia menyebut nama Rayyan, tetapi dia tidak ada pilihan apabila Tan Sri Hakim sendiri yang memintanya untuk memujuk Harris.
“So?” Roma wajah Harris berubah serius. Intonasi suaranya juga kedengaran dingin.
Since ‘Aisy juga terlibat dalam projek ni, jadi papa..papa minta ‘Aisy tanyakan abang kenapa abang tolak untuk bekerjasama dengan United Holding?” Berhati-hati ‘Aisy menyusun kata. Makanan di dalam pinggannya hanya dikuis-kuis dengan garpu.
Harris bungkam. Hanya pandangan matanya yang memandang tajam ke arah ‘Aisy. Tanpa sedar terukir senyuman sinis di pinggir bibir. Papa atau Rayyan sebenarnya yang minta tanyakan?  Hatinya mula disapa cemburu. Itulah salah satu kelemahannya yang dia masih tidak mampu hakis.
Personally, ‘Aisy rasa itu idea yang sangat baik since Projek Teratak Sakinah is a non-profit project. Lagipun United Holding tu ada peruntukan dana yang besar untuk kerja-kerja amal ni. Apa salahnya kalau sama-sama berkongsi untuk kejar pahala dan kebaikan.” ‘Aisy menyambung kata bila melihat Harris hanya diam. Dia sendiri sebenarnya tidak mengerti kenapa Harris enggan menerima dana pelaburan daripada syarikat milik Rayyan itu. Hendak kata Harris masih berdendam dengan kisah lalu, semuanya sudah terlerai melalui ungkapan kemaafan. Malah sejak Rayyan dibebaskan dari penjara beberapa bulan yang lalu, hubungan mereka baik-baik saja.  
“United Holding memang ada dana yang banyak. Tapi kalau abang bersetuju dengan pelaburan tu, maknanya Indah Puncak terpaksa menjadi orang tengah pulak untuk menguruskan dana tersebut. Secara tak langsung workload akan bertambah. Staf Indah Puncak pun dah banyak kerja, takkan nak tambah lagi beban kerja tu..” Terang Harris. Dia menarik nafas dalam. Berusaha untuk meredakan rasa cemburu di hati.
But I don’t get it. Bukan ke salah satu anak syarikat Indah Puncak Corporation juga akan menguruskan Teratak Sakinah?” Soal ‘Aisy keliru.
“Betul. But Indah Puncak Corporation is not for-profit charity. We are not for-profit corporation that legally serve a charitable mission. In fact, sebelum abang tolak cadangan ni abang dah bincang dengan Arianna and she agreed.” Beritahu Harris mempertahankan keputusannya. Sengaja dia menyebut nama Arianna agar ‘Aisy lebih yakin dengan keputusan yang dibuat setelah mendapat nasihat daripada pakar undang-undang syarikat.
Suppose all the fund-raisings will be handled by the subsidiary. So, workload is not really the issue, right?” soal ‘Aisy mempertikaikan jawapan Harris. Entah kenapa gerak hatinya dapat merasakan itu hanyalah alasan yang sengaja direka Harris.
Harris terkedu. Inilah payahnya kalau ada isteri yang bijak terlajak.  Dia menarik nafas dalam dan menghembus perlahan.
“Lagipun, segala keputusan sepatutnya hanya perlu mendapat persetujuan board of directors. Bukannya persetujuan Arianna,” She just the law advisor for God sake. Sambung ‘Aisy di dalam hati. Bibirnya diketap kuat. Cemburunya datang lagi. Lagi-lagi nama Arianna yang muncul. Lagi-lagi nama Arianna yang disebut-sebut.
 “Arianna adalah peguam syarikat. Dia lebih arif dengan polisi dan prosedur syarikat. Jadi, persetujuan Arianna sangat penting dalam setiap urusan syarikat. Segala keputusan yang abang buat, abang akan rujuk dia terlebih dulu.” Kata-kata Harris yang seolah-olah menyebelahi Arianna menggoreskan hati ‘Aisy. Sejak dia tahu yang Harris dan Arianna pernah mempunyai hubungan istimewa sewaktu mereka belajar dulu, hatinya menjadi sensitif sangat dengan nama Arianna. Itu pun dia tahu secara tak sengaja apabila terbaca email lama Harris.
“Habis tu ‘Aisy ni tak penting? ’Aisy pun terlibat juga dengan projek tu walaupun bukan secara langsung. Tapi kenapa abang tak berbincang dengan ‘Aisy dulu sebelum buat keputusan?” suara ‘Aisy naik satu oktaf. Bicaranya semakin dikuasai cemburu. Sekurang-kurangnya dia juga turut terlibat dalam projek itu walaupun hanya sekadar penyumbang idea.
“Abang tak perlu tanya sayang sebab abang dah tahu apa jawapan sayang. Sayang memang sukakan kalau dapat peluang untuk bekerjasama dengan Rayyan. Supaya sayang dapat jumpa dia selalu kan?” Giliran Harris pula melampiaskan rasa cemburunya. Dia tidak mengerti kenapa ‘Aisy beria-ia sangat mempersoalkan keputusannya. Indah Puncak bukannya tidak mempunyai peruntukan untuk menjayakan projek Teratak Sakinah itu. Malah dana yang ada sudah lebih dari cukup.
“Ya Allah. Apa yang abang merepek ni? Kenapa nak kaitkan ‘Aisy dengan Rayyan pulak?” Nada suara ‘Aisy berubah lirih.
“Yalah. Kalau tak, sayang takkan beria-ia persoalkan keputusan abang ni kan? Selama ni sayang tak pernah masuk campur pun dengan urusan syarikat. Kenapa tiba-tiba bila melibatkan Rayyan, sayang sibuk nak ambil peduli?”
“Abang masih meragui kesetiaan ‘Aisy? Tak sangka abang masih tak kenal siapa ‘Aisy ni walaupun dah lebih sepuluh tahun kita bersama.” Mata ‘Aisy berkaca. Sedih hatinya bila dituduh begitu oleh suaminya sendiri.
“Manusia bila-bila masa pun boleh berubah, sayang. Either they change for good or bad,” sinis Harris dengan kata-kata yang cukup berbisa.
“Abang sebenarnya yang dah berubah..” ujar ‘Aisy perlahan. Sebelum air matanya tumpah, lebih baik dia bangkit dari situ. Pinggannya yang masih banyak berbaki makanan dan pinggan kosong Harris dicapai. Dia melangkah ke dapur membawa hati yang lara. Seleranya sudah mati!

***

“Sayang… Sayang…Saaaya.…”
Panggilan Harris terhenti sebaik kakinya melangkah ke dalam bilik tidur. Dia tersenyum nipis melihatkan ‘Aisy yang sedang tidur pulas di atas katil. Jam di atas meja kecil di sebelah katil dipandang sekilas. Pukul sepuluh malam.
“Awalnya sayang tidur… Merajuk lagi agaknya,” keluh Harris perlahan, lebih kepada dirinya sendiri. Entah kenapa ada rasa kecewa yang menyusup ke dasar hati bila kepulangannya dari pejabat tidak disambut senyuman manis sang isteri seperti selalu. Tubuh yang terasa penat dek seharian berhempas pulas di pejabat terasa semakin penat. Sudahlah sejak dari petang semalam lagi ‘Aisy melancarkan mogok dengannya. Meletakkan dirinya dalam keadaan resah gelisah. Jiwanya bagaikan dilanda badai yang tidak keruan.
Harris membawa tubuhnya yang lampai ke kabinet pakaian. Berjengket-jengket dia melangkah, bimbang andai lena ‘Aisy terganggu. Tidak sampai hati untuk menjagakan isterinya. Dia tahu ‘Aisy penat. Seharian menghabiskan cuti di rumah dengan melayan kerenah Harraz yang semakin hari semakin terserlah kenakalannya bukan kerja yang mudah.
Satu persatu butang baju kemeja ditanggalkan. Baju yang telah seharian membalut tubuhnya dimasukkan ke dalam bakul. Perlahan-lahan dia menolak pintu kabinet pakaian. Sehelai tuala bersih dikeluarkan dari lipatan lalu disangkutkan di bahu kanan. Dia ingin mandi untuk membersihkan tubuh yang kelesuan.  
“Jangan!!!” Langkah kaki Harris yang sedang menapak ke bilik air pegun separuh jalan. Suara ‘Aisy yang menjerit kuat mengejutkannya. Pantas dia berpaling ke arah ‘Aisy.
“Jangan rampas dia!!!” Keras nada suara yang meniti di bibir ‘Aisy. Dengan mata yang masih terpejam rapat, tangannya terawang-awang ke kiri ke kanan seperti sedang menepis sesuatu. Dahinya berkerut lebat sehingga hampir mencantumkan kedua belah alisnya yang cantik terbentuk.
Buru-buru Harris menghampiri ‘Aisy. Dadanya dilanda risau tiba-tiba. Tidak pernah isterinya itu meracau begitu di dalam tidur sebelum ini. Sedang bermimpi buruk kah? Orang kata igauan datang bila fikiran terlalu serabut memikirkan perkara yang bukan-bukan. Sebab apa yang berlaku semalam ke? Hatinya tertanya-tanya sendiri.
“Sayang..kenapa ni?” Harris melabuhkan duduk di birai katil. Tubuh ‘Aisy didekati.
“Jangan kacau!!!” Sekali lagi ‘Aisy mendengus lantang. Wajah putih itu berbahang kemerahan. Menggambarkan kemarahan yang cukup sarat di hati. Semakin laju pula tangannya bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Bangun, sayang” Tangan kasar Harris menepuk-nepuk lembut pipi ‘Aisy. Berusaha menyedarkan isterinya kembali ke alam nyata.  
“Jangan! ” ‘Aisy menepis kuat tangan Harris.  
Harris tersentak. Dia menarik nafas dalam. Entah igauan apa yang sedang merasuk ‘Aisy sehingga sampai begitu sekali refleksi yang ditunjukkan isterinya.
“Sayang, wake up…” Harris tidak berputus asa. Sekali lagi tangannya mendarat di pipi ‘Aisy.
PANG! Tidak semena-mena telapak tangan ‘Aisy singgah tepat di pipi kiri Harris. Terasa berdengung telinga kirinya seketika dek tamparan yang boleh tahan kuatnya itu. Perit.
“Auchh!” dengus Harris mengaduh. Terasa darah merah menyerbu naik ke muka. Hatinya hangat tiba-tiba bila pipinya berbekas dengan tapak tangan isteri.
“Astagfirullahalazim…” Harris beristighfar panjang untuk meredakan rasa hangat yang tiba-tiba bertapak di dasar hati. Dia Harris yang baru. Harris yang lebih rasional. Harris yang lebih realistik. Tidak ada guna dia marah pada tindakan ‘Aisy yang berada di luar sedar.
“Jangan kacau… rumahtangga.. aku. Kau tak faham…bahasa ke?” Biarpun butir bicara yang terlafaz keluar dari bibir ‘Aisy tenggelam timbul, namun telinga Harris masih dapat menangkap maksud kata-kata isterinya itu.
Harris membetulkan duduk. Sebelum tamparan kedua singgah sekali lagi di pipinya, lebih baik dia bertindak  pantas. Kedua-dua belah tangan ‘Aisy segera ditangkap kemas ke dalam genggamannya.
“Sayang..hei..bangun…” Tangan kirinya menggoncang kuat bahu ‘Aisy.
Akhirnya ‘Aisy membuka kedua belah matanya. Kornea matanya menangkap wajah serius Harris. Melihat Harris duduk begitu rapat dengannya membuatkan dia sedikit terpinga-pinga. Bukankah tadi dia sedang memberi amaran keras kepada Arianna? Siap satu tamparan kuat lagi dihadiahkan untuk perempuan itu sebagai peringatan.
“Abang buat apa kat sini?” Soal ‘Aisy dalam keliru. Dia masih mamai.
“Ini kan bilik tidur kita. Kalau abang dah ada kat atas katil kita dengan keadaan macam ni… nak buat apa lagi kalau…” Sengaja Harris meleretkan suaranya dan membiarkan ayatnya tergantung. Dia mendekatkan muka ke wajah ‘Aisy. Timbul niat untuk mengusik ‘Aisy bila melihatkan isterinya itu tercengang-cengang kehairanan.
‘Aisy masih tetap dengan wajahnya yang blur. Berkerut-kerut dahinya cuba mencerna kata-kata suaminya. “Arianna mana?”
“Arianna?” Giliran Harris pula terpinga-pinga. Sudahlah ‘Aisy tidak endah langsung dengan usikannya, tiba-tiba muncul pula nama Arianna. Masih mamai lagi agaknya isterinya ini.
“Tadi.. bukan ke Arianna ada dekat sini,” beritahu ‘Aisy. Matanya melilau ke sekeliling bilik mencari kelibat wanita cantik berkulit sawo matang itu.  
“Hah? Arianna dalam bilik tidur kita? Dia nak buat apa kat sini? Mengarutlah sayang ni. Ini mesti sayang mimpikan Arianna tadi. Patutlah meracau-racau tak tentu fasal dalam tidur,” tebak Harris dengan senyum nipis. Hatinya digeletek lucu dengan pernyataan ‘Aisy. Sah, ini mesti terbawa-bawa rajuk semalam sampai ke dalam mimpi.  
“Sayang mengigau berperang dengan Arianna ya?” sambung Harris menyoal nakal. Dia tergelak kecil dengan pertanyaannya sendiri.
‘Aisy tergamam. Wajahnya terasa berbahang. Dia bermimpi ke tadi? Sungguh dia ingatkan apa yang dia lalui sebentar tadi benar-benar terjadi. Jika tidak masakan telapak tangan kanannya terasa sakit. Macam dia betul-betul telah menampar seseorang. Tiba-tiba matanya menangkap kesan berbirat merah di pipi kiri Harris.
“Kenapa dengan pipi abang tu?” Spontan tangannya menyentuh pipi Harris. Ditekan sedikit kawasan yang merah.
“Terkena tamparan wanita yang tengah mengigau,” balas Harris dengan mengerutkan wajah. Sengaja berlebihan mempamerkan kesakitan untuk memancing perhatian isteri.  
“Ya Allah, did I slap your face just now?” Bulat mata ‘Aisy memandang Harris. Hatinya mula dihambat rasa bersalah tiba-tiba.
Harris mengangguk perlahan. “Sakittt…” Adu Harris sedikit merengek. Apabila berdua dengan ‘Aisy, dia bagaikan menjadi seorang budak kecil yang sentiasa ingin dimanja dan dibelai.
“‘Aisy minta maaf. Kejap, ‘Aisy sapu ubat ya.”  ‘Aisy bangkit. Namun belum sempat dia menuruni katil, tangannya ditarik Harris.
“Tak payahlah. Just give me your warmest and longest kiss here, then I’ll be okay,” halang Harris. Dia menyuakan pipinya ke bibir ‘Aisy.
“Hish..mana boleh..nanti lebam pulak pipi abang tu.” ‘Aisy menolak pipi Harris. 
“Abang cakap tak payah.” Harris menarik ‘Aisy untuk kembali berbaring di sebelahnya. Membawa rapat isterinya itu ke dalam dakapan.
I’m sorry..” lirih suara ‘Aisy mengungkapkan ucapan maaf.
It’s okay. Abang tahu sayang tak sengaja.”  Harris menggariskan senyum nipis. Tangannya melingkar kemas di pinggang isteri. Hatinya sedikit lega bila rajuk ‘Aisy bagaikan sudah terbujuk. Sudah mahu bercakap banyak dengannya. Tidak seperti semalam. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab. Berpatah-patah dia soal, sepatah juga yang dibalas.
“Abang pun nak minta maaf fasal semalam,” ucap Harris perlahan. Pandangannya berubah redup. Disebabkan terlalu cemburu dia terlanjur mengungkapkan kata. Dia tahu hati 'Aisy terluka dengan kata-katanya semalam. Dia dan cemburu memang tidak dapat dipisahkan. Bukannya dia tidak pernah cuba mengikis rasa cemburunya itu. Tetapi bila melibatkan Rayyan, dia sering kali tewas dengan perasaannya sendiri.
‘Aisy bungkam dalam pelukan Harris. Sejujurnya dia masih berkecil hati dengan kata-kata Harris.
“Sebenarnya, projek Teratak Sakinah tu sangat bermakna bagi abang sebab itu adalah impian sayang. Dalam projek tu, kita sama-sama berkongsi idea. We have worked really hard for that project. Sayang pun tahu kan abang takkan benarkan orang lain campur tangan dalam projek tu. Not even Rayyan,” beritahu Harris perlahan.
“Dan semalam bila sayang berterusan mempersoalkan keputusan abang, abang jadi cemburu. Abang tahu abang tak sepatutnya rasa macam tu tapi entahlah. Walaupun abang tahu Rayyan menghormati sayang sebagai adik iparnya tapi dari cara dia pandang sayang, abang tahu dia masih menyimpan perasaan pada sayang. Sebab tulah kalau boleh abang tak nak sayang ada apa-apa kaitan langsung dengan Rayyan,” luah Harris menyambung bicara.
‘Aisy menarik nafas dalam. Memang cemburu Harris tidak pernah surut. Malah semakin bertambah terutama sekali bila melibatkan Rayyan. Entah bagaimana harus dilakukannya untuk mengurangkan rasa cemburu Harris itu.
“Abang, tak salah untuk rasa cemburu. Sebab cemburu itu tandanya sayang. Tapi kenalah bertempat. Cemburu ni kalau tak dikawal, ia boleh jadi racun dalam diri kita. Abang tahu tak apa yang ‘Aisy rasa semalam? Cemburu abang buat ‘Aisy rasa dicurigai. Apa yang abang cakap semalam macam abang dah hilang kepercayaan pada ‘Aisy. Macam cinta ‘Aisy pada abang tak ada nilai langsung,” ujar ‘Aisy masih berjauh hati.  
It’s not that I don’t trust you. It’s Rayyan I don’t trust. The new Rayyan buat abang rasa tercabar. Bukannya abang tak suka dengan perubahan positif Rayyan. Tapi kebaikan dia, ketampanan dia dan kekayaan dia buat abang rasa serba kekurangan. Every woman could fall in love with him. He’s a perfect hero. Abang takut kalau sayang jatuh cinta pada Rayyan sekali lagi,” keluh Harris.
‘Aisy melonggarkan pelukan. Dia mendongakkan sedikit wajahnya agar betul-betul bertentangan dengan wajah Harris.
  “Perempuan lain mungkin akan jatuh cinta dengan lelaki seperti Rayyan. Tapi cinta ‘Aisy hanya milik abang. Walaupun suami ‘Aisy ni kuat cemburu, kurang kacak dan tak berapa nak kaya kalau dibandingkan dengan Rayyan katanya.  Sebab ‘Aisy tak jatuh cinta dengan abang kerana rupa paras ataupun harta yang abang ada. ‘Aisy cintakan abang sebab ‘Aisy yakin abang adalah jodoh dari Allah untuk ‘Aisy. Jodoh yang melengkapi hidup ‘Aisy.  Di dunia sampai akhirat.” ‘Aisy berhenti seketika. Tangan kirinya naik menyentuh pipi Harris.
“You’re a perfect hero to me and Harraz. Cause you’re perfecting us in your own way,” sambung ‘Aisy sepenuh hati. Mata helang milik suaminya direnung dalam.
  Harris mendakap erat tubuh ‘Aisy. Ada air mata yang melatari ruang kornea. Sungguh dia terharu dengan luahan si isteri.
“Maafkan abang,” ucap Harris sambil mengucup lama ubun-ubun ‘Aisy. Memaknakan penyesalan di atas keterlanjurannya.
“Cinta dan setia ‘Aisy hanya milik suami ‘Aisy ni seorang.”
“Abang tahu, sayang. Maafkan abang,” sekali lagi kata maaf meniti di bibirnya.
“Bila kita merasa cukup dengan apa yang Allah berikan, hati kita akan merasa tenang dan bahagia. Jadi, kita kena sentiasa bersyukur dengan nikmat yang kita ada ni. Tak perlulah abang nak rasa tercabar dengan apa yang Rayyan ada sebab cinta dalam hati ‘Aisy ni langsung tak mampu digoyahkan,” yakin ‘Aisy.
“Abang janji mulai saat ini, abang akan cuba kawal cemburu abang ni,” janji Harris. Ciumannya beralih ke dahi licin ‘Aisy.
‘Aisy mengangguk perlahan. “Sebenarnya, ’Aisy pun ada salah dengan abang semalam. ‘Aisy minta maaf dengan abang.”
“Salah? Apa yang sayang dah buat?” soal Rayyan dengan dahi yang berlipat.
“’Aisy tinggikan suara dengan abang bila bercakap tentang Arianna,” beritahu ‘Aisy mengakui kesilapannya.
“Okay… Abang sebenarnya pelik juga kenapa tiba-tiba sayang naik angin?”
“’Aisy tak puas hati bila abang tiba-tiba libatkan Arianna. Asyik-asyik Arianna.. Arianna.. Arianna. Itu Arianna.. ini Arianna.. Arianna kata macam tulah, Arianna kata macam ni lah,” bebel ‘Aisy meluahkan rasa yang terbuku di hatinya. Bibirnya dimuncungkan ke depan.
“Sayang cemburu?” Harris menyembunyikan senyum. Sesekali bila ‘Aisy cemburu, seronok juga. Yalah, bukan selalu dia dapat melihat cemburu isterinya. Dulu pernah sekali ‘Aisy merajuk kerana cemburukannya dan Sofia. Sampai sanggup keluar rumah pagi-pagi buta membawa diri ke Putrajaya.
“Yalah..takkan ‘Aisy nak ketawa pulak bila abang cakap macam tu? Abang ingat abang sorang je yang reti cemburu? Abang ingat bila bibir abang asyik duk sebut nama perempuan lain hati ‘Aisy ni tak terasa apa-apa?” hambur ‘Aisy satu persatu.
Harris hanya ketawa. Rangkulannya semakin dieratkan. Kalau ‘Aisy tidak beritahu dia sendiri tidak perasan yang isterinya itu tidak selesa bila dia selalu menyebut nama Arianna. Dia bukannya sengaja suka-suka menyebut nama Arianna. Dah Arianna itu peguam syarikatnya dan merangkap kawan lama, pastilah dia banyak merujuk temannya itu apabila memperkatakan sesuatu yang melibatkan akta dan undang-undang. 
“Habis tu sayang nak abang pecat Arianna?” Pertanyaan Harris membuatkan Arianna memukul dada Harris.
“Sanggup ke abang nak pecat kekasih lama abang tu?” soal ‘Aisy sinis.
“Kalau itu yang dapat membahagiakan sayang, abang sanggup.” Harris sengih.
“Yalah tu..” ‘Aiys mencebikkan bibirnya. Lelaki kalau bercakap memang manis. Kalau letak semut di pinggir bibir itu agaknya berduyun-duyun semut datang menghurung buat sarang.
Wait a minute…apa sayang kata tadi? Arianna kekasih lama abang?” tanya Harris. Terpeta riak terkejut di wajahnya.
“Betullah kan? Arianna tu kekasih lama abang. Abang tak payah buat muka terkejut macam tulah. ‘Aisy dah tahu semuanya.” tingkah ‘Aisy. Dia meleraikan pelukan. Tubuhnya disandarkan ke birai katil dengan wajah yang masam mencuka.
Harris turut bangkit. Membetulkan duduk agar betul-betul mendepani ‘Aisy. Sekali lagi kepalanya yang tidak gatal digaru.
“Masalahnya, abang sendiri tak tahu sejak bila Arianna jadi kekasih abang ini,” ujar Harris pelik.. Memang dia pernah rapat dengan Arianna semasa sama-sama di luar negara. Tetapi hubungan mereka tidak pernah melangkaui batas sebagai teman baik. Apatah lagi cinta Arianna tika itu hanya milik Lutfan walaupun kesudahannya jodoh Arianna bersama Affan.
“Buat-buat tak ingat pulak abang ni. Kalau bukan kekasih, puisi cinta abang untuk Arianna tu apa?” hati ‘Aisy terasa sebu melihatkan wajah keliru Harris.
“Puisi?”
“Iya. Sepi sebuah rindu. Biar beribu langkah kaki ku ayun, walau sampai ke hujung dunia sekalipun,  rindu ini tetap datang menghurung sanubari, buat mu Arianna si pujaan hati,” dalam nada separuh menyindir, ‘Aisy mengungkapkan beberapa bait ayat yang diingatinya. Puisi yang pernah ditulis Harris untuk Arianna pastinya. Dia sendiri tidak menyangka Harris punya jiwa yang cukup halus. Pasti cintanya buat Arianna cukup kuat sehingga mampu menghasilkan bait-bait puisi yang indah itu.
“Ooohh..puisi jiwang tu?” Tiba-tiba Harris gelak. Ketawanya makin lama makin kuat memecah keheningan malam.
“Apa yang kelakarnya? Soal ‘Aisy pelik.
“Mana sayang tahu fasal puisi tu?” Tawa Harris masih bersisa. Dia terbatuk-batuk kecil.
“Email abang,” beritahu ‘Aisy.
“Ooo..sejak bila isteri abang ni dah pandai skodeng email abang ni? Nak tukar profesion jadi Crime Scene Investigator pulak ke?” perli Harris dalam senyuman.
“Siapa suruh tak log off email,” cebik ‘Aisy memuncungkan bibirnya ke depan.
Harris telan liur. Entah kenapa aksi ‘Aisy ketika itu cukup menggoda jiwanya. Marah-marah macam tu pun ‘Aisy kelihatan cukup seksi di matanya. Dia merapatkan wajahnya. Lalu sebuah kucupan singgah di bibir ‘Aisy. Lama.
“Ish..apa abang ni?” ‘Aisy menolak dada Harris.
“Itu sebagai hukuman sebab menceroboh privacy abang,” tutur Harris sengaja beralasan. Dia sebenarnya tidak kisah pun dengan tindakan ‘Aisy membaca emailnya. Baginya tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan isterinya.
“Habis tu abang senyap-senyap check email ‘Aisy setiap hari tu tak apa pula?” dengus ‘Aisy. Masakan tidak bila Harris sendiri pernah meminta semua email dan password yang dia ada.
Harris tersengih kerang dengan kata-kata ‘Aisy itu.
“Okay..kalau sayang tak puas hati abang ceroboh email sayang, abang rela dihukum,” ujar Harris seraya mendekatkan bibirnya ke bibir ‘Aisy.
“Abang ni dah kenapa?” elak ‘Aisy. Sempat dia memalingkan wajahnya ke kiri.
“Tadi, sebab sayang dah menceroboh email abang, sayang dapat ciuman sebagai hukuman. So, now it’s my turn pulak. Cium abang sebagai hukuman sebab abang dah ceroboh email sayang,” usik Harris nakal.
“Banyaklah abang punya hukuman kalau macam tu.” Muncung ‘Aisy semakin panjang ke depan. Dia memeluk tubuh. Sebal hatinya dengan lagak Harris yang tidak serius. Sudahlah hatinya masih sebal dengan api cemburu.
“Sayang…” panggil Harris lembut.
“Puisi tu bukan abang yang karang. Memang benar puisi itu untuk Arianna. Tapi dari Lutfan, kekasih pertama Arianna.” Harris membuka cerita.
“Kalau bukan abang yang tulis, macam mana boleh ada tersimpan dalam email abang pulak?”
“Puisi tu Lutfan karang selepas mereka berdua berpisah. Luahan hati Lutfan yang dia tak mampu nak sampaikan pada Arianna sebab Arianna menghilang tanpa jejak. Jadi, dia kongsikan apa yang dia rasa pada abang. Puisi itu pun abang simpan sebab abang ingat mungkin abang boleh gunakan ia untuk satukan mereka kembali suatu hari nanti. Tapi, semuanya dah terlambat bila Arianna dah berkahwin dengan Affan,” beritahu Harris. Nada suaranya berubah lirih.
‘Aisy bungkam. Khusyuk mendengar cerita Harris. Melihatkan kesungguhan Harris, dia yakin suaminya itu bercakap benar. Jauh di dasar hati, simpatinya tumpah buat Arianna dan Lutfan. Memang sudah tersurat jodoh Arianna bersama Affan. Kita sebagai hamba-Nya memang tidak terdaya untuk menidakkan kekuasaan-Nya.
“Kalau kata sayang tak percaya, abang boleh call Lutfan sekarang. Dia boleh sahkan cerita abang.” Sambung Harris bila melihat ‘Aisy hanya diam seribu bahasa.
“’Aisy percayakan abang.” Pantas ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Kedua-dua belah tangan Harris digenggam erat.
“Kenapa mereka boleh berpisah?” terbit rasa ingin tahu di hati ‘Aisy tentang kisah Arianna dan Lutfan.
“Halangan keluarga. Mak dan ayah Lutfan tak berkenan dengan Arianna sebab Arianna hanyalah dari keluarga sederhana.”
“Kesiannya..” ‘Aisy menekup mulutnya. Terasa ada air mata yang bergenang di tubir mata. Dia juga dulu pernah melalui apa yang Arianna rasa. Menjadi menantu yang bukan pilihan. Namun, syukurlah dia mendapat sokongan yang kuat dari arwah Hajah Mariah. Benarlah. Andai kita merasa nasib kita sudah cukup malang, pasti ada insan lain lagi yang lebih malang dan menderita.
“Memang kesian, sebab mereka pun waktu tu dah hampir nak kahwin. Tapi, kalau difikirkan balik, halangan daripada mak dan ayah Lutfan tu hanyalah penyebab. Sebenarnya dah memang ditetapkan oleh Allah memang mereka tidak berjodoh,” ungkap Harris penuh makna.
‘Aisy hanya mampu mengangguk membenarkan kata-kata Harris. Setitis air matanya jatuh di pipi.
“Isteri abang ni memang cengeng kan? Kisah cinta tak kesampaian pun boleh buat sayang menangis ya.” Harris menyeka air mata ‘Aisy dengan ibu jari tangannya.
“’Aisy minta maaf sebab cemburukan abang dengan Arianna,” pinta ‘Aisy. Kedua belah tangan Harris dikucup lembut.
Harris menggariskan senyuman. Itulah ‘Aisy. Seorang wanita yang berjiwa lembut dan sentiasa hangat dengan kasih sayang walaupun jarang diluahkan melalui kata.
“Hmmm…since sayang abang ni jarang-jarang je nak cemburu, jadi abang maafkan sayang,” ujar Harris nakal. Kedua belah keningnya diangkat tinggi.
“Ada pulak macam tu… Habis tu kalau ‘Aisy ni kuat cemburu abang tak nak maafkan ‘Aisy lah?” cebik ‘Aisy dengan jelingan manja.
“Abang akan maafkan jugak sebab abang terima segala kelebihan dan kekurangan sayang seadanya. You might not perfect to other people but you’re perfecting me by completing the incomplete me,” bicara Harris romantis.
‘Aisy terharu dengan kata-kata Harris. Dia merebahkan kepalanya di dada Harris. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan atas nikmat berkasih-sayang yang dianugerahkan Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

“Terima kasih, Tuhan…” 

“Terima kasih, abang…”