Sebaik
melangkah keluar dari bilik pejabat Ikram, aku mengeluh lega. Terasa macam baru
terlepas dari mulut buaya saja. Semakin hari aku rasa Ikram tu dah serupa ulat
bulu naik daun. Memang sesuai sangat kalau aku labelkan Ikram ini Mr. beluncas.
Kenapa? Mari aku bentangkan teori aku.
Teori pertama.
Sifat ulat bulu a.k.a. beluncas yang suka benar merayap dan meratah daun pucuk
muda yang licin. Samalah macam tangan si Ikram yang sesuka hati merayap pada
kulit tangan gadis muda macam aku ini. Tahulah tangan aku ini gebu dan licin. Maklumlah
aku kan pucuk muda yang suci dan naif.
Teori kedua.
Keunikan yang nyata seekor beluncas apabila mampu membuatkan kulit yang
bersentuhan dengannya sama ada secara sengaja atau tidak terasa gatal-gatal.
Itulah yang aku rasa saat ini. Rasa macam dah dicemari. Miang. Susah payah aku jaga
kulit aku ini khas untuk suami aku. Dia pandai-pandai rasmi dulu. Balik nanti
kena samak dengan tanah liat ni. Aduh ‘Ain, kau ingat kulit Ikram tu najis
Mughallazah ke? Okay, aku over reacting!
“Ehem..”
Suara Uzair yang berdeham kuat memangkas monolog aku. Boleh aku biarkan kepala
otak ini menerawang fasal teori persamaan beluncas dan Ikram sedangkan Uzair
tercongok di depan aku ini dari tadi.
Wajah
Uzair yang sedang beriak tanpa perasaan ku pandang. Biarpun kadang kata-kata
sinis Uzair sering buat jiwa aku terangah tetapi aku terhutang budi dengan apa
yang telah dilakukan lelaki ini semasa di dalam bilik Ikram sebentar tadi. Baiknya
Uzair kerana prihatin dengan keadaan aku yang tidak selesa bila diasak Ikram.
Puji ku ikhlas di dalam hati. Senyuman nipis ku ukirkan.
“Err..terima
kasih tolong cover saya tadi.” Ucap
ku perlahan. Pintu bilik Ikram yang tertutup rapat ku kerling sekilas. Orang
berbudi kita berbahasa. Jadi lafaz terima kasih memang patut aku ungkapkan
kepada Uzair. Memaknakan penghargaan aku atas pertolongannya.
“Hmm..kenapa
tak biarkan encik Ikram hantar awak? Dah ada orang nak sorongkan bantal masa
mengantuk, kenapa tak ambil?” Tanpa membalas kata-kata ku Uzair menyindir ku
pedas.
Aku
mengetap bibir. Tengok tu. Baru saja hati aku nak merasa sejuk dengan lelaki
sarkastik ni, dia buat darah aku mendidih balik. Ada saja perkara yang dia nak
cari gaduh dengan aku.
“Kalau
yang menghulur tu spesies ulat beluncas naik daun baik tak payah.” Gumam ku menahan
sabar.
“Ya ke?
Tapi kenapa saya rasa kata-kata awak ni tak seiring dengan perbuatan? Atau…”
Uzair meleretkan suara. Dia mendekatkan tubuhnya pada aku lalu kepalanya
sedikit ditundukkan. Bibirnya begitu hampir dengan telinga ku sebelum dia menyambung
kata.
“Awak
sengaja jual mahal kan? Playing hard to
get emmm? Yalah.. encik Ikram tu kan handsome
dan kaya. Bos pula tu kat sini. Takkan awak tak terpikat kot? Untung-untung
boleh tumpang senang.”
Berdesing
telinga aku dengan ungkapan sinis Ikram. Dada ku mula berombak geram. Tuduhan
dia sungguh menyakitkan hati. Boleh tak kalau aku tarik balik pujian aku tadi
pada lelaki ini?
“Mulut
awak ni busuk macam belacan!!!” Nada suara ku naik satu oktaf.
Uzair
tersentak dengan kata-kata ku. Segera dia mengangkat wajahnya yang sedikit
berubah menjauh dari ku.
Mentang-mentang
aku orang yang tak berduit sewenang-wenang dia nak tuduh aku semurah itu? Kalau
aku ini perempuan mata duitan, aku tak pilih untuk terus hidup susah bersama mak di Kampung Chamang. Malah kalau ikutkan hati, aku ingin terus
tinggal di kampung halaman ku itu. Tapi peluang kerja di kampung yang agak
terbatas membawa kaki aku merantau ke ibu kota. Sebab utamanya aku nak balas
jasa mak yang telah bersusah payah semata-mata untuk membesarkan aku.
“Saya
tak hadap duit lelaki kalau nak hidup senang. Memang saya ni miskin tapi tak
bermakna saya sanggup gadaikan maruah kerana nak hidup senang dengan cara mudah.
Apa..awak ingat perempuan macam saya ni tak boleh nak berjaya dengan kudrat
sendiri?” Bidas ku keras. Jari telunjuk ku angkat tinggi agar selaras dengan
muka Uzair. Anak mata ku tepat memanah tajam ke dalam mata coklatnya.
Tiba-tiba
pintu bilik Ikram terkuak dari dalam. Aku kalih ke sisi. Tersembul wajah Ikram
dengan senyuman manis nan menggodanya itu. Segera tangan ku jatuhkan ke bawah.
“Thank God both of you are still here.” Keluh
Ikram lega. Dia melangkah menghampiri aku dan Uzair.
Segera
aku memaniskan wajah. Senyuman kelat ku ukirkan. Janganlah Ikram perasan dengan
pertelingkahan aku dan Uzair. Bimbang kalau lelaki ini kembali mendesak untuk
menghantar aku pulang ke kampung. Entah kenapa aku lebih rela bertikam lidah
dengan Uzair daripada duduk berdua di dalam kereta bersama Ikram.
Sekurang-kurangnya Uzair tak pernah dengan sengaja mengambil kesempatan
menyentuh aku tanpa lapik.
“Bila you all nak bertolak ni?” Soal Ikram sambil
mengerling jam tangan Montblanc di pergelangan.
“Sekarang!”
“Sekejap
lagi.”
Serentak
aku dan Uzair bersuara tapi malangnya dengan jawapan yang berbeza. Ikram terpinga-pinga
memandang aku dan Uzair silih berganti.
“Maksud I kami dah nak siap bertolak dah ni.
Cuma tunggu ‘Ain kemas apa yang patut.” Balas Uzair sambil matanya mengisyaratkan
aku dengan isyarat yang aku sendiri tak faham. Dia ingat aku ini ahli silap
mata? Boleh baca kata hati dia guna kuasa psikik?
Sudahnya
aku menuju ke arah meja pejabat. Pura-pura mengemas ruang yang sudah aku
kemaskan awal tadi. Kemudian beg galas ku ambil dan sandangkan di kepala bahu
kanan. Manakala tangan kiri ku membimbit beg pakaian yang ku letakkan di atas
lantai.
“Jom.”
Aku mengajak Uzair.
“Saya
balik dulu, encik Ikram. Jumpa hari Isnin ni.” Ucap ku meminta diri.
Aku mula
mengatur langkah. Dari ekor mata, aku lihat Uzair turut mengikuti langkah ku
dari belakang.
“Tunggu!
I hantar ‘Ain ke bawah.” Tutur Ikram
menghentikan langkah ku. Aku memusingkan
tubuh seratus lapan puluh darjah.
“Err..tak
payah, encik Ikram.” Tolak ku bersungguh-sungguh.
“I rasa lebih baik I temankan ‘Ain sampai ke
kereta. Bukan apa I just want to make
sure you’re safe and sound. Barulah hati I ni tenang.” Kata-kata Ikram yang romeo habis tu bagaikan menjerut
leher ku.
“Tak
perlu susah-susah. Bukannya ada penjahat nak culik saya pun kat luar sana.
Lagipun encik Uzair ada.” Aku geleng kepala laju.
Sesekali
bebola mata aku singgah di wajah Uzair yang diam membisu. Mengharapkan lelaki
itu membantu aku. Masak aku kalau terpaksa teruskan lakonan ni sampai ke bawah.
“Di KL
ni macam-macam ada, ‘Ain. Jangan ambil mudah terutamanya dengan penculik hati. Sebab
itulah I kena berhati-hati untuk ‘Ain.”
Pesan Ikram menjeling tajam pada Uzair. Semacam saja kerlingan lelaki itu.
Macam tak puas hati pun ada.
Bibir
Uzair hanya terkatup rapat. Dia macam biasalah dengan wajahnya yang tak berperasaan
tu. Kadang-kadang aku rasa kayu lagi punya perasaan daripada lelaki sarkastik ni.
“Penculik
hati? Maksud encik Ikram, ada sindiket culik dan jual hati ke?” Aku mengerutkan
dahi cuba mentafsir kata-kata Ikram. Menyeramkan sungguh kehidupan di bumi
Kuala Lumpur ni sampaikan ada sindiket jual beli hati manusia. Dunia zaman
sekarang. Yang susah makin terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan
yang kaya sanggup berhabis duit asal dapat menyelamatkan nyawa. Halal haram tolak tepi.
“Bukan
untuk dijual, ‘Ain. Tapi hati ini untuk dimiliki oleh yang berhak..” Ikram
ketawa lucu dengan pertanyaan ku. Tangan kanannya ditekapkan ke dada.
“Jadi sebelum
‘Ain serahkan pada yang berhak, biarlah I
yang jaga hati ‘Ain dulu. Kalau barang atau duit yang hilang tak apa lagi.
Tapi kalau hati ‘Ain yang hilang lagilah I
risau..” Sambung Ikram puitis. Kata-kata yang mampu membuat hati perempuan
cair. Memang itu pun kepakaran lelaki yang bermulut manis macam gula-gula ni.
Aku
terkedu. Oh..kononnya dia sedang bimbang aku akan serahkan hati aku pada penculik
hati yang tak berhak? Dia berkias pada Uzair ke? Tak ada maknanya Uzair nak
jadi penculik hati aku. Kalau pemanas hati takat didih tu aku percayalah. Dia
ni sedang buat lawak antarabangsa ke? Tak berapa nak kelakar, okay. Ikram tak
tahu ke orang yang sepatutnya aku kena hati-hati tu dia?
“Macam bapak ketam ajar anak jalan lurus.” Bisik
ku perlahan pada diri sendiri. Dalam diam aku mencebikkan bibir.
“Hah..apa
you cakap, ‘Ain?” Pertanyaan Ikram
hampir membuat aku tersedak.
“Errr..tak..tak
ada apa-apa..” Balas ku gelabah. Sempat aku menangkap senyum senget yang
terbias di tubir bibir Uzair.
“So, shall we?”
Aku
hanya mampu menurut langkah Ikram. Kering alasan untuk menolak. Kontang idea
untuk berdalih. Uzair pula aku lihat macam tak nak beri kerjasama langsung.
@@@
Ikram
benar-benar mengiring aku sehingga ke ruang parking
yang terletak di tingkat bawah. Bukan itu saja. Dia pastikan aku selamat berada
di tempat duduk penumpang di sebelah Uzair yang bertindak sebagai pemandu.
Mujur tangan aku cepat menarik tali pinggang keledar untuk melilit tubuh ku.
Kalau tidak harus Ikram sanggup pakaikan untuk aku juga.
“Ingat
Uzair apa yang I pesan tadi. Hantar
‘Ain terus ke kampung. Jangan pandai-pandai nak melencong ke lain pulak. Kalau
nak memancing, jangan sampai termakan umpan sendiri.” Tekan Ikram mengingatkan
Uzair. Dia menutup pintu kereta. Kepalanya dijengahkan sedikit ke dalam kereta
melalui tingkap di bahagian penumpang.
“You jangan bimbang. I bukannya pagar yang suka makan padi.” Balas Uzair dengan senyum
herot di bibir.
Aku
hanya diam mendengar. Sungguh aku tak faham dengan apa yang sedang dituturkan
dua lelaki ini. Pancing, umpan, pagar, padi. Mereka berdua ni nak pergi
memancing ikan di sawah padi ke?
“Kalau nak memancing, encik Ikram
boleh ke kampung Mambang dekat Pekan. Kampung asal mak saya. Macam-macam jenis
ikan dalam sawah kat kampung tu. Ada ikan sepat, ikan puyu..haruan pun ada.
Dulu, masa kecik-kecik rajin juga mak bawa saya balik ke Pekan. Pernah jugalah
sekali dua saya memancing..”
“Ehem..”
Dehem Uzair menghentikan bicara aku. Aku kerling Uzair yang sedang memandang aku
tajam. Eh, aku salah cakap ke? Sekadar berbasa-basi dengan bos takkan tak
boleh. Aku ajak-ajak ayam saja pun.
“Oh really? Next time I will, ‘Ain.” Ikram
mengangguk sambil mengenyitkan mata.
Aku
kalih wajah ke depan. Berbulu biji mata dengan lagak Ikram ni.
“Okay,
‘Ain. Take care ya. Uzair, drive safely.”
Pesan Ikram sebelum kembali menegakkan tubuhnya.
Uzair
mengangguk sekali. Gear digerakkan ke kotak D. Beberapa saat kemudian, kereta
Vios milik Uzair meluncur keluar dari bangunan Gemilang Holdings. Dari cermin
sisi aku melihat tubuh Ikram yang masih tercegat di tempat parking. Dia masih tetap berada di situ sehingga bayangannya tidak
lagi dapat dilihat oleh pandangan mata ku.
Di dalam
kereta, masing-masing hanya membiarkan suasana sepi yang berbicara. Sama ada
aku atau Uzair tiada walau sepatah kata yang meniti di bibir kami. Aku
menghalakan pandangan ke luar. Kesesakan lalu lintas di waktu kemuncak begini
menyebabkan pergerakan kereta sangat perlahan. Macam kura-kura berjalan.
Silap-silap kura-kura pun lagi laju.
Jam di dashboard sudah menghampiri pukul enam
petang. Bolehlah aku minta Uzair
berhentikan kereta di perhentian bas berdekatan. Dari situ aku boleh ambil bas
RapidKL untuk pulang ke rumah. Aku tahu aku dah tak sempat nak kejar bas terakhir ke Bentong. Nampaknya besok pagi sajalah aku bertolak ke kampung.
“Errr…”
“Awak ni
memang sengaja ambil kesempatan kan?” Pertanyaan Uzair membuatkan aku
menolehkan wajah ke kanan. Lelaki yang segak berkaca mata hitam itu aku renung.
“Maksud
awak?”
“Sengaja
kan awak gunakan saya dan kereta saya ni. Yalah..dapat balik free ke kampung. Naik kereta yang
lengkap berhawa dingin siapa tak nak.” Sinis Uzair. Pandangannya tegak ke
depan.
Aku
mengetap gigi sekuat hati. Mujur gigi aku ini cukup kalsium. Kalau tidak dah
lama rongak agaknya sebab asyik duk kancing gigi menahan geram dengan kata-kata
Uzair. Kenapalah dia ni selalu sangat menduga kesabaran aku?
Sabar ‘Ain.
Sabar.. Tenang ku di dalam hati. Aku menarik nafas dalam. Memang si Uzair
sarkastik ni perlu diajar.
“Memang
pun. Memang saya sengaja ambil kesempatan. Wah…bestnya dapat naik kereta Vios ni. Emmm..selesanya..sejuk.. Dahlah
ada pemandu tak bergaji yang tolong hantarkan.” Balas ku dengan suara yang
buat-buat teruja. Sengaja aku gunakan reverse
psychology. Aku nak tengok siapa yang lebih sakit hati.
Uzair
diam tidak membalas. Melalui ekor mata aku perasan perubahan pada riak
wajahnya. Aku tersenyum menang.
“Warrghhhh..”
Aku buat-buat menguap.
“Lama
lagi kot nak sampai kampung saya ni. Emmm..penat rasanya. Saya tidur dulu ya. Nanti dah sampai awak kejutkan saya.” Sindir ku. Tangan ku menggagau pelaras untuk
menurunkan kerusi. Sebaik kerusi dilaraskan aku menyandarkan tubuh dengan
selesa di belakang kerusi.
“Banyak
cantik muka awak.” Gumam Uzair menahan bengang.
“Terima
kasih atas pujian awak.” Balas ku menahan senyum. Dalam hati aku gelak jahat. Kalaulah
aku dapat rakam mimik wajah Uzair saat ini, mahu rasanya aku cetak besar-besar
dan gantungkan di papan billboard.
Uzair menekan
pedal minyak. Tiba-tiba dia membelok keretanya ke kiri secara mengejut membuatkan
tubuh aku terhempap ke pintu kereta. Dia membrek kuat sehingga berdecit tayar
kereta. Ni apa hal tiba-tiba drift kereta
macam samseng jalan raya?
“Cik
puan muda, sebelum kita bertolak ke kampung cik puan muda, sila bayar dulu duit
minyak kereta ya.” Uzair tersenyum sambil menadah tangannya pada aku.
Aku
bingkas bangkit menegakkan tubuh. Kereta Uzair betul-betul berhenti di Stesen
Minyak Petronas.
“Ddd..duit
minyak?” Soal ku sedikit gelabah. Aku memang fobia kalau berkait fasal duit ni.
“Yalah..kereta
ni nak jalan pakai minyak. Minyak tu kena beli dengan duit. Bukannya boleh
bayar dengan air liur.” Sindir Uzair berapi.
Uzair ni
memang sengaja nak kenakan aku. Bukannya kereta dia ni tak ada minyak pun. Aku tengok
paras minyak di skrin dashboard baru saja
luak satu bar. Berkira sungguh mamat ni!
Aku
capai beg sandang. Dompet hitam berjalur merah aku keluarkan.
“Nah.”
Aku hulurkan sekeping not lima ringgit dan tiga keping duit syiling dua puluh sen kepadanya.
“Awak
ingat nak isi minyak motosikal ke?” Uzair membuka cermin matanya. Dia mencerlang
tajam pada aku. Duit yang aku hulur langsung tidak bersambut.
“Eh..lima
ringgit enam puluh sen ni harga tambang tiket bas Maraliner dari KL ke Bentong
tau. Samalah kan. Ni kira saya bayar harga tambanglah ni.”
“Itu
tambang bas. Sekarang awak naik kereta. Siap dengan driver. Bak sini lima puluh ringgit.” Tukas Uzair. Lima batang
jarinya digerakkan.
“Hah! Lima
puluh ringgit??? Awak ni nak pergi Mekah balik hari ke?” Sindir ku. Memang
cekik darah betul Uzair ni.
“Awak ni
banyak soal lah. Cepat, saya nak isi minyak ni. Tu kereta kat belakang berderet
tunggu turn nak isi minyak.” Desak
Uzair.
Aku
merengus. Daripada aku keluarkan duit untuk lelaki kedekut tahi hidung masin
ni, lebih baik aku keluar dari kereta. Dia ingat aku hadap sangat nak naik
kereta dia ni.
“Saya
tak ada duit. Saya turun kat sini je.” Ujar ku memasukkan semula sekeping not
lima ringgit dan duit syiling ke dalam
dompet. Beg sandang ku galas. Tangan ku menekan punat kereta. Sebelum picu kereta
ku tarik, punat kereta itu kembali terkunci secara automatik. Siapa lagi kalau
bukan Uzair yang punya angkara.
“Jangan
harap awak boleh keluar sebelum bayar duit minyak kereta saya.” Uzair menekan
suaranya.
“Saya
tak ada duit.” Gumam ku.
“Buka
pintu ni. Saya nak turun.” Pinta ku menahan suara.
Uzair
menggelengkan kepala. “Duit mana?”
Ya ALLAH.
Lelaki ni memang mata duitan sungguh. Bencinya!
“Saya
kan dah kata saya tak ada. Kalau awak nak sangat duit saya, lima ringgit enam
puluh sen saya boleh bagi.” Nada suara aku meninggi. Mujur tingkap kereta ini kedap
bunyi. Kalau tidak mahunya satu stesen Petronas ni tertumpu pada aku.
Tiba-tiba
tingkap kereta di sebelah Uzair diketuk dari luar. Dia menurunkan cermin
kereta. Terpacul seorang pekerja Petronas dengan wajah yang serius.
“Encik
ni nak isi minyak ke tak? Kalau tak, tolong alihkan kereta encik ke tepi sebab
kat belakang kereta encik ni dah berderet menunggu giliran.” Teguran lelaki
dalam seragam hijau itu membuatkan aku mengalih pandang ke belakang. Memang berderet
sungguh. Sampai ke jalan raya. Keadaan yang sedia sesak menjadi semakin teruk.
Uzair
mengangguk sekali. Cermin matanya kembali disangkut di celah telinga. Tanpa suara
dia menukar gear dan menekan pedal. Menyusur laju ke arah jalan raya.
“Saya
tak habis lagi dengan awak.” Bentak Uzair. Matanya tegak memandang jalan.
“Depan
sana ada bus stop. Drop saya dekat sana.”
Pinta ku tanpa mempedulikan kata-kata Uzair. Jari telunjuk ku halakan ke depan.
Uzair
langsung tidak beriak. Tidak mengiakan mahupun menolak permintaan aku.
“Awak
dengar tak saya kata ni?” Soal ku mengetap bibir.
Dia
tetap juga bisu. Aku tahu memang dia sengaja begitu. Sengaja untuk terus
membakar perasaan aku.
“Berhenti
kat sini awak.” Pinta aku lagi sebaik kereta Uzair melalui perhentian bas yang
aku maksudkan. Tetapi lelaki sarkastik ni bukan dia nak berhentikan keretanya,
malah semakin laju dia memecut meninggalkan perhentian bas jauh ke belakang.
Aku
mendengus kuat. Nafas ku tarik dalam. Mencari sisa kesabaran yang sudah
tercarik.
“Ada apa
nak berhenti kat situ?” Uzair menyoal ku.
“Ooo..kat
situ ada orang jual nasi lemak sedap. Saya nak makan nasi kat situ.” Balas ku
sinis. Nampaknya aku pun dah jadi sarkastik macam lelaki di sebelah aku ni. Buat
apa lagi di perhentian bas kalau bukan nak naik bas. Lagi mahu tanya ke? Grrrr…
“Apa pun alasan awak. Jangan harap saya akan
berhenti.” Meletus tawa dari mulutnya. Entah kenapa aku rasakan tawanya itu
lain macam saja bunyinya. Aku mengerling sekilas ke arah Uzair yang sedang
tersenyum senget.
Tiba-tiba
terbit rasa cuak di hati aku. Baru aku sedar, sekarang ni aku hanya berdua di
dalam kereta bersama lelaki yang aku tak kenal hati budinya. Entah kenapa aku
boleh jadi seberani ini dengan Uzair. Entah-entah Uzair pun sama spesies dengan
Ikram. Spesies ulat beluncas naik daun. Jangan-jangan aku keluar mulut buaya,
masuk mulut harimau tak. Prasangka ku di dalam hati.
“Awak
nak bawa saya ke mana ni?” Suara ku mengendur dihimpit rasa takut.
Uzair
tidak menjawab pertanyaan aku. Dia hanya melemparkan senyum ngeri. Semakin membuatkan
hati aku ditembak rasa cuak. Kereta semakin laju membelah lebuh raya. Jalan
kiri kanan semakin sunyi.
“Cakaplah
awak nak bawa saya ke mana?” Soal ku separuh merayu. Namun Uzair masih diam.
Tubir
mata ku mula digenangi air. Habislah aku. Entah-entah Uzair ini perogol
bersiri. Kepala otak aku mula membayangkan kes-kes jenayah rogol dan bunuh yang
sering terpampang di dada akhbar. Silap-silap besok kisah aku pula yang dicetak
di muka depan akhbar.
Seorang gadis ditemui mati dengan kesan rogol. Mayat dibuang di dalam
gaung.
“Tidak!!!”
Tanpa sedar aku menjerit kuat. Aku memejamkan mata rapat. Laju air mata yang
turun di pipi menggambarkan ketakutan yang bersarang hebat di hati.
Uzair
yang tersentak dengan jeritan nyaring aku segera memberhentikan keretanya di
birai jalan.
“Awak ni
kenapa?” Uzair mendengus. Tangannya mendarat di bahu ku.
“Tolonglah
awak. Jangan apa-apakan saya. Lepaskan saya.” Aku menjarakkan diri ku. Uzair tergamam
sebaik melihat air mata yang mengalir deras di pipi ku.
“Tolonglah lepaskan saya. Awak ambil lah semua
duit saya. Tapi tolonglah benarkan saya turun dari kereta awak.” Rayu ku
berkali-kali. Esak tangis ku semakin kuat.
“Shhh….jangan
menangis.” Uzair memujuk perlahan.
“Awak
tak boleh turun sekarang.” Tambah Uzair.
“Tolonglah
jangan apa-apa kan saya.”
“Hish…apa
yang awak merepek ni, ‘Ain? Awak ingat saya ni perogol bersiri ke?” Tebak Uzair
bagaikan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran aku.
“Bukan
ke?” Soal ku berterus-terang.
Uzair
tersenyum lucu. Ada tawa kecil meletus di bibirnya. Entah kenapa rasa takut aku
sedikit hilang dengan senyuman itu. Tangis ku mula reda.
“Jangan
risau. I’ll make sure you’re safe and
sound sampai ke kampung awak. Hemm..” Tenang bicara Uzair.
“Lagipun
kalau saya turunkan awak kat sini, teruk saya kena nanti dengan encik Ikram.
Kalau saya tinggalkan awak kat luar tu, berani ke awak duduk dalam senja-senja
begini sorang diri?”
Aku
menelan liur. Kata-kata Uzair memang masuk akal. Keadaan luar yang sudah mula
gelap dan kiri kanan yang hanya dilitupi semak samun membuatkan aku berfikir
dua kali juga untuk turun.
Melihat
aku hanya mendiamkan diri, Uzair kembali meneruskan pemanduan. Keadaan kembali
sepi. Hanya ditemani alunan suci bacaan al-Quran menandakan sekejap lagi azan
Maghrib akan berkumandang.
hahaha.. tdi ain brani sgt dgn uzair.. last2 menangis.. haha.. nakal sungguh si uzair ni buat ain mcm tu.. best betoi utk part 12 ni..
ReplyDeletesorry ridhya, sy tertinggal nk komen utk part 11..
sambunglah cepat2 utk part 13..
Uzair the cheeky one. Thanks following TDC
Deletekat chamang rasanya x de sawah padi ya, takut nanti ada org cakap penulis ni menulis sesuka hati je.... jangan marah ya
ReplyDeleteHairiah
Hahaha..memang saya tahu..tp aci tak kalau saya nak buat jugak ada sawah padi..hahahaaha.. Kampung chamang ada air terjun yang cantik...hehehehe
Deleteimaginasi ain ni tinggi lah pulak. blh lg bayangkan uzair tu perogol..hehe
ReplyDeleteKan..thanks for following
Deletehehe..best pulak bab kali ni..Ain2 ada pulak berprasangka jahat kt uzair kan..hehe..xsbr nk tgu strus nyalh, :-)
ReplyDelete#Schariedah Schalus
Thanks..harap sabar menungg7 next n3
DeleteTak baik la nyakat anak dara org smpai camtu skali
ReplyDeleteKan..heheehe..sian ain..
Deleteaskm,,, TC mmg okey,,, cuma kalau boleh nak minta RI upkan sikit Ain tu sesuai dgn kelulusan dia.. agak tak logik kalau dia tak pandai speaking.. he he he.. budak u yang kurang keyakinan diri, gabra dan agak polos.. hmm macam satu dalam seribu jer org yang macam tu.. papepun TC ni mmg menghiburkan.. mudah2an akan ujud entry yang menjadi anjakan kepada perubahan watak ain.. ala.. bagilah up sikit.. hehehe... congrats sis,,,
ReplyDeleteTerima kasih utk comment yg sgt membina.appreciate it. Bdk u yg xberapa pandai speaking ramai sebenarnya. Hehee..i've seen a lot. Trust me! Heeheh..sbb ade beza antara xfaham english n xpandai speaking. InsyaAllah watak ain akan dikembangkan. Utk ade satu anjakan sbb itu mmg salah satu objektif sy dlm cerita ni. Harap2 tercapai objektif
DeleteBetul.. Ada perbezaan antara written n spoken.. Ramai budak2 u mmg tak pandai speaking even though english mereka on paper bagus.. Confident tu kurang bila nak berbual dgn lancar dgn org. Mmg pengalaman bila interview budak2 ni.. Kelulusan yg tinggi tak menjamin pun.. Kena byk latihan dan latihan...
DeleteYup, Agreed dgn Ridhya. Actually ramai student u even degree level pn ada yg x bole speaking fluently. Mereka faham tp x pndai nk speaking. Apa pn sy follow cite ni n sgt suka kelainannya- Ct
ReplyDeletenakal betul si Uzair ni..
ReplyDeletex abis2 nk kenekan budak ain ni..
jgn nanti Uzair kene tdo kt kampung Ain sudah..
hehehe...
LAWAK BETUL AIN BUAT SUSPEN AJE.
ReplyDeleteSaya salah seorang peminat novel dan memang tertunggu cerita ni.....cerita yang kelakar...hilang stress
ReplyDeletemmg klakar la RI... hadoii.. sakit perut gelak... blh pulak bergaduh uzair mintak duit isi minyak lps tu si ain bg rm5.60... aaiihh mcm2...
ReplyDeleteya Allah psiko btul uzair ni...
ReplyDeleteain mmg suka imagine yg bkn2 yaaa....kelakar lak rasa...
ReplyDeleteKlakau n terbaik laaaa
ReplyDeleteRasanya pembaris pun tak lurus macam ain ni...lawak ke der betul la....yang uzair pulak menyakat je kerjanya....good job ridhyaiman...
ReplyDeletemacamana saya nak dptkan novel ni? baru tau kewujudan dia
ReplyDelete