Tepat jam satu tengah hari,
aku menapak keluar dari bangunan Gemilang Holdings. Mengambil kesempatan waktu
rehat selama sejam itu untuk mengeluarkan duit di bank. Duit yang aku pinjam
daripada mak. Baru sekejap tadi mak menghantar khidmat pesanan ringkas beritahu
aku yang dia dah masukkan duit ke dalam akaun simpanan aku. Sejak dua menjak ni
mak semakin mengagumkan aku. Bukan hanya bahasa Inggeris mak yang makin bagus
tapi kemahiran teknologi mak juga meningkat sama.
Dalam sisa tenaga yang
berbaki, langkah kaki ku atur lemah. Kalau boleh diukur bateri tubuh ku ini
rasanya dah berkelip-kelip merah. Tangan ku mula menggigil dan pandangan ku
berbalam-balam. Mana taknya, dari semalam lagi usus perut aku kosong tanpa menyimpan
sikit pun makanan. Sisa bahan kumuh pun dah tak ada agaknya. Jadi apa lagi yang
berbaki dalam tubuh aku ini sebagai bahan api untuk membakar tenaga.
Ajakan Suraya untuk makan
tengah hari bersama-sama terpaksa aku tolak dengan baik. Nak makan tengah hari
macam mana kalau duit tunai yang ada dalam tangan aku ini nilainya
negatif.
Tangga bangunan CIMB yang
terletak cuma lima blok dari Gemilang Holdings ku daki perlahan. Sampai saja di
mesin ATM, aku beratur di belakang seorang pakcik yang berusia dalam lingkungan
50-an. Mujurlah tak ramai orang yang nak keluarkan duit waktu itu.
Bila tiba giliran aku, kad
bank dari dompet aku keluarkan. Lalu kad itu ku masukkan ke dalam mesin ATM.
Aku tekan butang untuk memasukkan nombor pin yang dah tersemat dalam kepala
otak ini. Kemudian jari telunjuk ku sentuh pada skrin untuk melihat baki dalam
akaun simpanan ku sebelum mengeluarkan duit.
RM 1119.90.
Mata ku bulat sebaik
melihat empat digit angka yang tertera di dada skrin. Aku gosok berkali-kali
mata ku. Manalah tahu sebab lapar penglihatan aku dah jadi tak betul. Tapi
memang tak salah angka yang aku nampak ni. Mulut ku sedikit terlopong. Rasanya
kalau ada lalat saat itu, mahunya ia berbahagia terbang masuk ke dalam mulut
aku.
Aku menggaru kepala dalam
kehairanan. Kenapa jumlah wang dalam akaun simpanan aku ini tiba-tiba jadi
banyak? Macam mana duit sebanyak seribu ringgit ini boleh tersesat mendarat ke dalam akaun aku ini?
Adakah aku tersilap masuk ke akaun orang lain? Tapi mana mungkin sebab
kad bank yang aku jolok ke mesin adalah sah milik aku. Takkan mak yang
masukkan duit sebanyak ni? Aku cuma minta mak masukkan seratus ringgit ke dalam
akaun. Takkan mak tersalah kira duit. Lagipun mak tak mungkin mempunyai
wang sebanyak ini. Entah-entah pekerja
bank yang tersilap masukkan angka? Atau mungkin ada orang yang tersilap
masukkan duit ke dalam akaun aku? Pelbagai persoalan yang bermain di benak aku.
Musykil..musykil…
“Tak boleh jadi ni.” Aku
menggumam pada diri sendiri. Angka yang tertera itu ku tenung lagi.
“Cik, ada masalah ke?”
Tiba-tiba aku ditegur pegawai bank yang bertugas di situ. Agaknya dia perasan
dan pelik bila aku terkaku lama di depan mesin.
Aku kalih wajah sebentar
ke arah pegawai lelaki yang kemas bertali leher itu.
“Err..memang ada.” Akui
ku sambil mengangguk.
“Saya pelik kenapa duit
dalam akaun saya ni banyak sangat?” Sambung ku melontarkan pertanyaan.
“Maksud cik?” Soal pegawai yang
memakai tag nama Zulkifli. Senyuman mesra terukir di bibirnya biarpun dahinya
sedikit berkerut.
“Saya tak tahu macam mana akaun saya
boleh ada duit sebanyak ni. Sepatutnya baki dalam akaun saya cuma seratus
sembilan belas ringgit sembilan puluh sen sahaja selepas mak saya masukkan duit
seratus ringgit tadi. Seribu ringgit ni datang dari mana pula?” Terang ku
panjang lebar. Jari telunjuk ku halakan pada skrin ATM.
“Mungkin agaknya emak Cik terlebih masukkan
duit.” Pegawai itu menelah.
“Tak mungkin. Mak saya..”
“Dik tak sudah lagi ke? Queue dah panjang ni.” Kata-kata aku
mati bila ditegur seorang perempuan yang sedang beratur di belakang ku.
“Err..maaf…maaf” Ucap ku. Sekelip mata barisan
yang sedang beratur untuk menggunakan mesin ATM menjadi panjang. Tanpa sedar
aku telah menyebabkan urusan orang lain tergendala. Atau sebenarnya rakyat
Malaysia memang tidak punya kesabaran yang tinggi?
“Macam ni, Cik. Apa kata Cik ikut
saya ke kaunter. Kita jumpa dengan pengurus bank.” Cadang pegawai bank itu.
“Okay.. Tapi sebelum tu saya nak
keluar duit dulu.” Beritahu ku seraya menekan skrin sesentuh untuk mengeluarkan
duit sebanyak seratus ringgit yang telah dimasukkan oleh mak. Lebih baiklah aku
keluarkan duit dulu. Nanti silap-silap kena beratur panjang pula. Sudahlah
waktu rehat aku ini pendek.
Usai mengeluarkan duit, aku mengikut
pegawai bank itu ke kaunter khidmat pelanggan. Dia membawa aku berjumpa dengan
Puan Normala yang merupakan pengurus bank di situ.
“Sebenarnya kami tak boleh buat
apa-apa dengan jumlah wang yang ada dalam akaun simpanan cik ini. Selagi kami
tidak menerima sebarang laporan tentang kesilapan memasukkan duit ke akaun
simpanan Cik, kami tak boleh ambil apa-apa tindakan.” Itulah yang dikomen Puan
Normala sebaik aku habis menyuarakan keraguan kepadanya.
“Cik pasti ke tak ada sesiapa yang
cik kenal yang telah masukkan duit ni?” Sambung Puan Normala menyoal ku.
“Tak ada. Saya cuma ada minta mak
saya masukkan duit seratus ringgit. Kalau nak kata duit gaji, saya baru je mula
kerja hari ni. Takkan lah tempat kerja saya tu baik hati sangat nak bagi advance dulu.” Balas ku dengan gelengan.
Aku membetulkan duduk.
“Pernah ke berlaku macam ni sebelum
ni?” Pertanyaan Puan Normala aku balas dengan gelengan.
“Tak pernah pula. Takkan puan tak boleh trace siapa yang masukkan duit seribu
ringgit ini ke akaun saya?” Aku menyoal.
“Mengikut rekod transaksi, sebanyak seribu
ringgit telah didebitkan ke akaun cik dengan menggunakan cash deposit pada pukul 10.18 pagi tadi. Jadi, kami tak dapat trace siapa yang telah memasukkan duit
tersebut.” Terang Puan Normala. Sekeping kertas yang tertera rekod transaksi
akaun simpanan diunjukkan kepada aku.
“Takkan tak ada cara, puan? Saya nak
buat apa dengan duit yang bukan milik saya ni. Haram kalau saya guna duit yang
saya tak tahu datang dari mana ni.” Keluh ku.
Wang sebanyak seribu ringgit itu
cukup besar nilainya untuk aku yang memang tengah sengkek ni. Alangkah indahnya
kalau duit itu memang milik aku. Banyak masalah aku dapat selesaikan
terutamanya hutang PTPTN aku yang dah banyak tertunggak tu. Tapi malangnya duit
itu bukan aku yang punya.
“Saya pun tak ada jawapan untuk
soalan cik. Sebenarnya kami jarang terima inquiry
daripada pelanggan tentang keraguan pertambahan duit dalam akaun. Kalau inquiry berkenaan kehilangan duit dalam
akaun tu banyaklah.” Beritahu Puan Normala dengan senyuman nipis. Dia terdiam
beberapa saat sebelum kembali menyambung kata.
“Macam ni lah, kami akan buat further investigation. Katalah berlaku kesilapan
transaksi, nilai wang yang dimasukkan itu akan ditolak secara automatik dari
akaun cik.”
Aku mengangguk perlahan. “Baiklah. Kalau
macam tu saya tunggu feedback dari
pihak bank.”
“Ada apa-apa lagi yang saya boleh
bantu?” Soal Puan Normala dengan berhemah.
“Tak ada apa. Terima kasih, puan.”
Ucap ku sebelum bangkit untuk beredar dari situ.
Aku mengerling jam di pergelangan
tangan. Masih berbaki dua puluh minit sebelum waktu rehat tamat. Perut yang
berkeriuk ku gosok perlahan. Aku mengayun langkah sambil melilau pandangan
mengintai kalau-kalau ada sesuatu yang boleh aku beli untuk melapik perut yang
kosong ini.
Kaki ku berhenti di depan Restoran
Cahaya Warisan. Agak-agak sempat tak kalau aku singgah mengisi perut yang
tengah kelaparan tahap kebulur ni? Soal ku bermonolog di dalam hati.
Semerbak bau pelbagai lauk pauk
makanan tengah hari yang menusuk hidung membuatkan air liur ku kecur. Tanpa berfikir
panjang aku mengatur langkah masuk ke dalam restoran dan menuju ke ruang bufet.
“Sedapnya..” Aku menggumam perlahan.
Rembesan enzim liur semakin
membanjiri ruang mulut. Rambang mata dengan pelbagai aneka pilihan lauk masakan
kampung yang dihidangkan secara bufet itu. Cukup menggoda nafsu makan ku. Rasa
macam dah bertahun-tahun tak makan nasi. Haruslah aku rasa macam tu kalau
hari-hari yang aku telan cuma Maggie dan kadang-kadang kerak biskut kering yang
berbaki.
Usai memilih nasi dan lauk-pauk
idaman, aku mengambil tempat di suatu sudut di tepi dinding yang agak
terperosok. Dengan harapan dapatlah aku menghayati nikmat kesedapan nasi campur
dengan semaksimum yang mungkin. Sepinggan penuh nasi dan segelas air batu
kosong ku letakkan di atas meja sebelum aku melabuhkan duduk.
Doa makan ku baca dan dengan lafaz
bismillah, tangan kanan ku mula menggaul nasi bersama lauk lemak nangka. Namun belum
sempat satu suap nasi dibawa masuk ke dalam mulut, pergerakan ku terhenti bila ada
sepinggan nasi lain diletakkan di depan aku. Aku mendongakkan wajah bila Uzair
dengan selamba duduk di depan aku.
“Eh, awak buat apa kat sini?” Soal ku
spontan. Okay. Aku tahu aku dah lontarkan soalan yang kurang cerdik. Soalan
yang hanya memberi ruang kepada lelaki sarkastik ini untuk mengebom aku.
Bersiap sedia sajalah telinga.
“Basuh kain.” Jawab Uzair pendek.
Haa..kan aku dah kata. Jawapan sinis yang dia beri.
Aku mengetap bibir. Pandangan aku
masih pada Uzair yang selamba menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Memang dasar
kurang perasaan.
“Awak ekori saya ke?” Tuduh ku. Asal
mana-mana saja aku pergi mesti ada dia. Dari pagi sampai ke tengah hari asyik
bertembung saja dengan mamat ni. Mahunya aku tak berprasangka. Agaknya dia tak
habis siasat aku lagi kot. Tapi orang tua-tua kata kalau acap kali bertembung
jodoh kuat. Erk!
Uzair memanggungkan kepala. Kunyahannya
terhenti.
“Sebelum saya jawab soalan awak, saya
nak tanya awak dulu.” Ujarnya membalas
pandangan ku.
“Awak miss Universe ke?”
“Apa jenis soalan merepek yang awak
tanya ni? Awak sengaja nak kenakan saya ke?” Soal ku membalas.
“Jawab dulu. Nanti awak akan tahu
kenapa saya tanya. Pernah jadi ratu cantik ke sebelum ni?” Desak Uzair.
Aku menggeleng menafikan.
“Awak anak Dato’ ke?”
Aku menggeleng lagi untuk menidakkan.
Kalau aku ini anak Dato’ tak adalah aku susah macam ni. Kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang.
“Awak
popular ke? Pernah masuk rancangan realiti TV ke?”
Aku gelengkan kepala lagi. Dalam hati
sungguh aku tak faham dengan setiap soalan yang diajukan Uzair.
“Kebiasaannya ada tiga tarikan kenapa
seorang lelaki mengekori perempuan. Pertama mungkin kerana terpikat dengan
kecantikan perempuan tu. Kedua, mungkin juga sebab kekayaan perempuan tu.
Lelaki mana yang tak nak berdamping dengan perempuan kaya dan berpengaruh. Kalau
terkena umpan, hidup goyang kaki sampai mati. Dan yang ketiga sebab populariti. Semua ciri-ciri ni ada ke pada awak?
Tak ada kan? So, kalau saya ekori
awak apa yang saya dapat?” Tutur Uzair pedas untuk menjawab tuduhan ku. Dia
merenung ku sinis sebelum meneruskan suapan.
Okay. Sekarang aku rasa Uzair ini
berlagak tahap gaban. Sikit punya panjang hipotesis yang dia keluarkan hanya
untuk beritahu yang aku ini sebenarnya tak cantik, miskin dan tak popular. Berasap
sungguh telinga aku dengan jawapan materialistik lelaki sarkastik ni. Lantas
senyum plastik aku hadiahkan.
“Encik Uzair, pernah dengar tak
pepatah ni? Beauty is in the eye of the
beholder. Maknanya kalaupun saya ni tak cantik di mata awak pun saya peduli
apa. Cukuplah saya cantik pada pandangan bakal suami saya.” Tingkah ku bersama
hujah.
Tak fasal-fasal aku keluarkan
falsafah Inggeris. Satu-satunya peribahasa indah yang sering diungkapkan arwah
ayah aku untuk meredakan tangisan ku bila setiap kali aku mengadu padanya
tentang kawan-kawan di sekolah yang sering kali mengejek aku bunga tompok.
Sebabnya dulu betis dan tangan aku ini penuh dengan tompokan kudis dan parut
kerana kulit aku yang agak sensitif dengan gigitan nyamuk.
Aku mengetap gigi kuat bila aku lihat
Uzair bagaikan endah tak endah dengan kata-kata aku. Dia terus dengan
aktivitinya menyuap, mengunyah dan menelan nasi. Geram sungguh!
“Yang kedua, hidup miskin tapi bermaruah
lebih baik daripada kaya dalam kehinaan. Tak ada maknanya kalau titik peluh tu
diraih dengan menumpang tuah orang lain..” Bicara ku menyambung kata dalam nada
suara yang sedikit meninggi. Habis semua ayat kaunselor aku keluarkan. Tetapi lelaki
itu hanya tunduk bisu. Begitu khusyuk mengadap makanan macam setahun tak makan.
Aku menarik nafas dalam sebelum
meneruskan hujah perbahasan aku yang seterusnya. Gaya pun dah macam peserta
perbahasan sekolah menengah dah ni. Tak sia-sia aku masuk pertandingan bahas
dulu.
“Dan yang ketiga, saya nak tanya awak
satu soalan. Penting ke populariti di mata manusia? Boleh kaut pahala ke? Boleh
bawa sampai ke syurga?” Aku menyoal Uzair bertalu-talu.
Uzair mengangkat wajah memandang ku. Beberapa
saat aku menunggu jawapan dari mulutnya. Nak juga aku tahu apa jawapan Uzair. Tapi
hampa. Dia bagaikan terkedu. Tiada langsung walau sepatah kata sinis yang
meluncur keluar dari bibir merahnya. Hanya matanya yang memandang ku tidak
berkelip.
“Cantik, kaya atau popular semua itu
tak kekal lama kat atas dunia ni. Seorang perempuan yang tinggi nilainya bila
dia cantik tingkah lakunya, kaya budi bahasanya dan popular di hati ibu bapanya.”
Tambah ku sedikit puitis.
Pandangan Uzair tetap pada wajah ku. Gaya
dia macam sedang terpegun habis dengan bicara aku. Rasakan. Jangan dicabar
kredibiliti pembahas terbaik Sekolah Menengah Sains Machang ni.
“Cantiklah sangat tingkah laku tu
bila tengah menghadap makanan tersembur-sembur berceramah. Cuba awak tengok
meja ni, dah beberapa titik DNA awak yang melekat. Patah selera saya..” Perli
Uzair. Sudu dan garpu di tangannya diletakkan di atas meja.
Aku terkedu nak membalas. Mata ku
tala memerhati permukaan meja.
“Mana ada! Awak ni memang sengaja nak
naikkan darah saya!” Bantah ku dengan nada suara yang keras. Jari telunjuk ku
naik ke mukanya.
“Kaya sangatlah tu budi bahasa awak.
Bercakap tinggi suara dengan jari telunjuk macam tu.” Pangkah Uzair menyindir
ku. Pang! Terasa macam ada satu tangan yang menampar pipi aku kuat. Aku
terkesima.
Uzair bangkit. Pinggannya yang sudah licin
tanpa sebiji nasi pun ditolak ke tepi. Patah selera konon!
“Okay. Saya nak balik ofis. Makanan saya
ni awak bayarkan. Tolak hutang.” Sempat dia menghadiahkan aku senyuman sinisnya
sebelum beredar keluar dari restoran. Meninggalkan aku yang tercengang-cengang
seorang diri.
“Eiii…geramnya aku!!!” Jerit ku di
dalam hati. Kalau tak ingat aku ni di tempat awam, mahu saja aku jerit
kuat-kuat untuk melepaskan rasa terbuku di dalam hati. Kalau berterusan macam
ni boleh terkena tekanan perasaan.
P/S: Maaf untuk yang menunggu lama entry baru TDC. Harap terhibur dengan Bab 10 dan tinggalkan komen. Komen anda vitamin buat saya!
P/S: Maaf untuk yang menunggu lama entry baru TDC. Harap terhibur dengan Bab 10 dan tinggalkan komen. Komen anda vitamin buat saya!
Mmg cantiklah padanan suara dan perbahasan dua insan yg sama ego dan sama sarkastik ni.. Kalau di hantukkan kepala keduanya, pasti terus jatuh cinta.... He..he...
ReplyDeleteOk..nnt kita hantukkan kepala diorg ni. Tengok terngadah ke tidak..hehehe
Deletebetul bendul sungguh si ain ni.. tapi uzair ni memang poyolah sbb kenekan ain balik.. haha.. teruskan menulis utk bab 11.. makin lama makin best cerita ni.. good job ridya!
ReplyDeletePoyo itu macho. Hahahah
Deletependek sgt. abg uzair nie sinis lah. hahahaha. dpt duit 1k tue. abg uzair yg bagi nie. teruskan. pastikan yg tbaik. saya menunggu, :)
ReplyDeleteInsyaAllah next n3 panjang sket..heeehe
DeleteKelakar la si uzair dengan si ain ni. Baca sampai gelak terbahak2. Nasib baik baca mlm2, kalau siang2 dikata dek orang tak berapa nak waras. tq cik Ridhya.. suka sangat dgn watak dua org ni..
ReplyDeleteSila control gelak. Nnt lalat masuk. Hehehe..
DeleteRM here... nak comment tp nnt la.. hahaha..
ReplyDeleteSila comment RM
Deleteuzair o uzair awat buat ain mcm tu. kesian dia..tq ridya.. bessssttttt.
ReplyDeleteWelcome..mr sarcastic in the house!!! Heeheheh
DeleteBest tul watak uzair dan ain...dua2 degil and klu keluar ayat menyindir..power tul...hehehe..cepat2 ler bab 11 ya cik ridhya ..x sabar
ReplyDeleteSabar2..heheehehe..
Deletebest sgttttt...n cpt2 post n3 yer hehehe
ReplyDeleteTq..
Deletebestttt...
ReplyDeleteBest.... #^_^
ReplyDeleteSiapa pula yg bermurah hati masuk kan duit banyak2 dalam akaun si Ain ni?
best sggt criter nie... uzair N ain make a good couple..
ReplyDeletetapi n3 nie pendek sgtttt...
cepat2 up kan n3 yer....
sapa yg msukn duit 2... wahhh utung lah... tp klo sy pn msti xbrni nk usik...
ReplyDeletewah... suka la cite ni... best sgt... asyik tersengih jer baca cite bila nak cetak ni?
ReplyDeletehaha. penat je ain tu berhujah pnjng2. baik ler mkn je..haha papepon best :)
ReplyDeleteMemang best cite ni. Sy sentiasa follow walaupun kekdg x sempat nk komen sbb cite ni mmg lain dr yg lain.. teruskan berkarya Ridhya!
ReplyDeleteKlau patah selera yg duduk mkn sesama dgn Ain tu dah knapa?.....
ReplyDeletebest gilacter nie :) bila nk publish nie.... hahah hari buku nie kluar hari tu jgak saya beli :D
-Syira Azmi-
mcm anjing dgn kucing... pantang jumpa nak gaduh ajer kejer nyer si ain dgn uzair ni... eerrmmm agak2 saper yg bank in kan duit rm 1k dlm acc ain tu????
ReplyDeleteokey..emo kut bc..hahaha...
ReplyDeletebeshhhhhhhhhhhhhhhhhhh
ReplyDeletenape ain ngan uzair mcm xsuke 1 ngan lain je
ReplyDeletehahaha...comel sungguh diorng berbahas..... sapa agak2 yg masukkan 1K dlm acc ain tu ya...mcm uzair je..dia kan tau ain takde duit... hmm.
ReplyDelete