Hari
Jumaat adalah hari yang paling dimuliakan dan menjadi kebesaran bagi orang
Mukmin. Kemuliaan hari Jumaat sehingga ia diangkat sebagai penghulu segala
hari. Hari bila mana Nabi Adam Alaihissalam
diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga dan diturunkan ke bumi. Hari
berkumpulnya umat Islam di masjid-masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Dan hari
ini Jumaat datang lagi. Jumaat pertama yang aku lalui selepas hampir seminggu
melalui kehidupan yang sungguh memenatkan dan mencabar di Gemilang Holdings.
Penat tubuh dan letih emosi. Mana taknya bila terpaksa menghadap si Uzair,
lelaki sarkastik yang banyak menyumbang pada ketidakstabilan emosi aku.
Tubuh ku
juga dah mula terasa sakit-sakit mungkin akibat banyak sangat berjalan dan dua
kali jatuh terhentak punggung. Macam nak putus segala urat. Saat-saat macam ni
memang khidmat urutan mak sangat aku perlukan. Lagipun seronok juga kalau dapat
habiskan cuti hujung minggu di kampung ku yang kaya dengan flora dan fauna yang
mendamaikan mata yang memandang.
Dah lama
aku bercadang nak balik ke kampung halaman ku di Bentong itu. Tapi kerana
kekangan duit, aku pendamkan dulu hasrat hati sehingga gaji masuk di penghujung
bulan biarpun Kuala Lumpur dan Bentong bukannya jauh mana pun. Namun perbualan
telefon aku dan mak semalam mengubah perancangan aku. Beria-ia
mak mendesak aku balik.
“Budak bertuah! Sejak dah jadi orang
KL ni dah tak tahu nak telefon orang kampung Chamang ke? Kamu baca tak mesej
mak malam tadi? Mak suruh kamu call mak
kan?” Sayup-sayup suara mak di hujung talian telefon menyindir ku. Mak macam
biasalah. Belum sempat aku memberi salam, macam bertih jagung mulut mak
membebel.
“Orang
bukan tak nak call mak tapi
mak pun tahu kan telefon orang tak ada kredit.” Ujar ku memberi alasan. Lagipun
baru minggu lepas mak menelefon aku. Takkan mak dah rindu-rinduan nak dengar
suara merdu anaknya ini.
“Habis
tu tak boleh guna public phone?”
Tingkah mak bagaikan tidak dapat menerima alasan ku.
“Public
phone kat bawah tu selalu je rosak mak.” Balas ku dalam keluhan.
Semalam
aku dengan bersemangat waja turun ke bawah dari tingkat tujuh dengan
menggunakan tangga semata-mata untuk menelefon mak. Sebabnya lif di blok aku
rosak. Sampai saja di depan telefon awam tu, rasa nak meraung kat situ juga
bila aku angkat gagang yang wayarnya telah terputus dari badan. Vandalisme
memang perkara biasa bila tinggal di kawasan rumah pangsa kos rendah ini.
“Kalau public
phone rosak tak boleh ke pinjam sekejap telefon kawan?” Soal mak
lagi.
“Orang
malas lah nak susahkan kawan serumah ni. Orang bukannya baik sangat dengan dia orang.
Lagipun tengah-tengah bulan ni, poket masing-masing tengah
nipis.” Balas ku.
Tahu
sajalah aku pun baru masuk menyewa di situ. Kawan-kawan serumah yang seramai
dua orang tu iaitu Noni dan Liana bukannya aku rapat sangat. Nama saja duduk
sebumbung. Nak bertemu muka pun jarang-jarang. Maklumlah masing-masing kerja.
Keluar awal-awal pagi, balik pula dah malam.
“Itulah,
jadi lagi kera sumbang. Lain kali mulut tu rajin-rajinlah nak menegur orang.
Tak salah kalau kita buat baik dengan orang. Jangan sombong. Kita hidup ni
bermasyarakat. Walaupun kamu tu tinggal di KL tapi mak tak nak kamu ikut budaya
hidup orang di KL tu. Jiran sebelah pun tak kenal siapa. Bawak budaya kampung Chamang
ke KL. Hidup bermuafakat dan saling tolong-menolong.” Leter mak panjang lebar. Tadah
sajalah telinga mendengar bebelan mak.
“Yalah,
mak.” Akur ku.
Memang
betul pun ujaran mak itu. Cuma diri aku ini sebenarnya yang sukar nak berkawan.
Seumur hidup aku di muka bumi milik ALLAH ini, aku tak pernah ada kawan baik.
Kawan yang biasa-biasa itu ramailah. Tapi nak punyai seorang kawan baik yang
aku boleh kongsi segala-galanya di kala susah dan senang terlalu payah untuk
aku lakukan. Mungkin sejarah silam hidup ku yang mendidik diri aku agar tidak
mudah meletakkan kepercayaan pada seseorang.
“Hari
minggu ni kamu buat apa? Free tak?”
Tanya mak mengubah topik.
“Tak
buat apa-apa pun. Duduk rumah je lah kot.” Jawab ku.
“Kalau
macam tu kamu balik kampung hujung minggu ni.” Arah mak.
“Balik
kampung? Err…tak bolehlah mak..” Aku menggaru kepala. Bukannya aku tak nak
balik kampung tapi tahu-tahu sajalah keadaan kewangan aku yang sangat-sangat
kritikal saat ini.
“Kenapa
pula tak boleh?”
“Err…”
Aku kematian kata.
“Kamu
jangan cakap kamu tak ada duit pula. Duit seribu ringgit yang mak masukkan
semalam ke dalam akaun kamu takkan tak cukup?” Pangkas mak. Aku tersentak.
“Duit
seribu ringgit tu mak yang masukkan ke?” Aku menyoal dalam kaget.
“Yalah..mak
masukkan duit ke dalam akaun kamu dua kali. Malam sebelumnya mak masukkan
seratus ringgit. Kemudian keesokan paginya mak ke bank lagi sekali untuk
masukkan seribu ringgit pula.” Terang mak satu persatu. Terungkai kini misteri
duit seribu ringgit itu.
“Laa..kenapa
mak tak cakap awal-awal. Penat orang fikir siapalah yang dah tersalah masuk
duit ke akaun orang. Sampaikan orang terpaksa buat laporan ke bank.” Aku tepuk
dahi.
“Dah
kamu tak tanya.” Balas mak mudah.
“Tapi
mak dapat duit kat mana banyak sangat tu?” Pertanyaan ku membuatkan mak terdiam
beberapa saat. Musykil juga tangkai hati aku ni bila mak tiba-tiba bermurah
hati masukkan duit sebanyak itu ke dalam akaun aku.
“Errr…errrr..”
Nada suara mak berubah gugup sehingga membuatkan aku mula nak fikir yang
bukan-bukan.
“Mak
berhutang dengan along ke? Mak jangan main-main dengan kongsi gelap ni.
Mula-mula dia orang memang nak tolong, lama-lama nanti mak yang melolong.”
Tebak ku.
“Astagfirullahalazim…kau
ingat aku ini hadap sangat duit along yang bunga berkoyan-koyan tu?” Mak beristighfar
panjang.
“Tak
baik berhutang ni. Jamin Keling kan pernah kata tabiat paling buruk
adalah berhutang.” Sambung mak.
“Jamin
Keling? Keling mana pula yang mak jamin ni?” Soal ku mengerut dahi. Kawan baru
mak ke? Maklumlah kerjaya mak sebagai tukang urut membuatkan mak dikenali
seluruh kampung.
“Bukan
jamin keling lah. Ala..lelaki yang hasil elektrik daripada kilat tu..Berjamin
Keling kan? Hari tu Mr. Henry ada cakap..” Penjelasan mak yang jujur dan tulus
itu membuatkan aku meledakkan tawa. Usus perut aku ni terasa bagai digeletek
kuat.
“Benjamin
Franklin lah mak..” Betul ku menahan tawa yang bagaikan tidak mahu berhenti.
“Haa..lelaki
tu lah. Seronok kau gelak ya. Elok sangatlah tu anak dara ketawa macam tu.”
Tegur mak.
“Mak tu
lah buat lawak tengah malam buta ni.” Aku mengesat tubir mata yang mula
digenangi air.
“Lidah
orang tua keraslah sikit. Bukannya macam rebung yang kita boleh lentur.”
Aku
menarik nafas dalam. Kerjung rasa rahang ku dek gelak tak ingat tadi. “Haa..mak
tak cakap lagi mana mak dapat duit seribu ringgit tu..”
“Nantilah
mak beritahu. Yang penting kamu balik dulu hujung minggu ni. Ada perkara yang
mak nak bincang ni.” Bicara mak membuatkan aku semakin dihimpit tanda tanya.
Misteri sungguh kata-kata mak.
“Serius
je bunyi ni mak. Cakap dalam telefon tak boleh ke?”
“Perkara
ni tak sesuai cakap dalam telefon. Boleh ke tak boleh ke..kamu kena balik juga
minggu ni.” Tekan mak.
“Ada
orang nak masuk meminang orang ke?” Tebak ku tidak berputus asa.
“Apa-apa
pun hujung minggu ni. I zip my mouth shut.” Balas
mak berteka teki. Itu mesti ayat Inggeris yang mak baru belajar dari Mr. Henry.
Kata-kata
mak makin membuatkan hatiku gelisah tak menentu. Takkan mak juga spesies orang tua
yang suka mengahwin-paksa anak dengan pilihan mereka?
“Hoi cik
kak!”
“Oii mak
ada orang nak pinang aku!” Segulung fail yang dihempaskan Suraya di atas meja membuatkan
aku melatah. Habis bertebaran pergi ingatan aku pada perbualan aku dengan mak
semalam.
“Oooo..patutlah
jauh benar mengelamun. Rupanya kau dah nak kahwin ya.” Nada suara Suraya yang
sedikit kuat berjaya membuatkan beberapa pasang mata memandang ku.
“Kau ni
Su, buat aku terkejut je. Lain kali letaklah fail tu pelan-pelan atas meja aku
ni.” Aku mengurut dada. Kurus semangat!
“Sorry lah.
Dari tadi aku tengok kau duk termenung panjang. Berbuih mulut aku ni panggil
kau, haram tak dengar. Ini haa..Encik Ikram minta kau rekodkan semua maklumat
resit ni dalam komputer.” Beritahu Suraya. Dia mengunjukkan fail putih setebal
tiga inci itu kepada ku.
“Okay..beres.”
Aku mengangguk sambil menyambut fail tersebut. Arahan yang diberi ku terima dengan
berbesar hati. Dah memang tugas aku pun kan. Dan gaji aku dibayar untuk setiap
keringat yang aku curahkan dalam syarikat ini. Laksanakan kerja dengan ikhlas,
barulah rezeki yang dapat itu berkat.
“Eh..betul
ke ada orang nak masuk meminang kau? Siapa?” Soal Suraya. Punggungnya sudah
bertenggek di birai meja ku.
“Tak
adalah.” Nafi ku acuh tak acuh. Tangan ku mula membelek fail yang diberi. Mata
aku tertumpu pada kepingan resit yang dikepilkan dalam fail itu.
“Sajalah
tu kan kau nak sorok. Habis tu yang kau melatah tadi tu apa?” Suraya tidak
berpuas hati dengan penafian ku.
Aku
mengerling Suraya sekilas. Gadis terlebih ramah ni memang kepochi sungguh.
Kalau betul pun ada orang datang nak meminang aku takkan aku nak pergi canang
dekat dia pula. Agaknya mahu kecoh seantero Gemilang Holdings nanti. Wah..kau
bajet kau glamor ke ‘Ain?
“Nama
pun melatah, Suraya ooi.” Balas ku.
Tangan
ku memegang tetikus untuk menggerakkan cursor pada
skrin komputer. Sistem Pengurusan Gudang yang digunakan untuk merekodkan aliran
data keluar masuk dalam gudang dibuka. Aku tidak boleh melengahkan masa. Kerja
yang diberi perlu aku siapkan segera.
“Tapi
kebiasaannya orang yang melatah ni akan cakap secara spontan apa yang ada dalam
fikiran dia masa tu. Cakaplah..kau dah nak kahwin kan? Wah..tiba-tiba aku
terbau nasi minyaklah..” Suraya menebak sendiri dengan teruja.
Tanpa
mempedulikan telahan Suraya, tangan ku ligat menekan papan kekunci untuk
memasukkan satu persatu data yang tertera pada resit ke dalam sistem.
“Siapa
yang nak kahwin ni?” Tegur Ikram yang muncul secara tiba-tiba.
Aku memanggungkan
kepala. Suraya yang tadi begitu selesa bertenggek di atas meja pantas bangkit
berdiri.
“You ke yang
nak kahwin, Suraya?” Soal Ikram lagi menghampiri meja ku. Tangan
kanannya memegang sebiji mug.
“Bukan
saya.” Suraya geleng kepala laju-laju. Agaknya takut saham dia jatuh di mata
Ikram. Bukan aku tak perasan yang Suraya seperti ada menyimpan perasaan
terhadap Ikram.
“Habis
tu siapa yang nak kahwin ni? Takkan ‘Ain kot?”
Kali ini
laju Suraya mengangguk mengiakan pertanyaan Ikram. Jarinya tepat memanah ke
arah ku. Amboi..ini sudah terlebih sudu dari kuah nampaknya.
“Sungguh
ke ‘Ain nak kahwin? Dengan siapa? Orang mana? Bila?” Tanya Ikram bertalu-talu.
Dia memandang ku dengan mata yang membulat. Terkejut sungguh nampaknya. Dah
rupa macam terkena renjatan elektrik pun ada. Sungguh Ikram tampak tak tampan
langsung bila dia jegilkan bebola matanya begitu.
“Tak
adalah, Encik Ikram. Suraya bergurau je tu.” Jawab ku menidakkan.
“Sungguh
ke ni tak ada?”
“Betul,
tak ada. Orang macam saya ni siapalah yang nak.” Aku gelengkan
kepala.
“Syukurlah..”
Ikram mengeluh lega. Dia berpaling pada Suraya kemudiannya.
“Suraya dear, you tolong
buatkan I milo. I kalau
tak minum milo you setiap
pagi rasa macam hari I tak
lengkap..” Pinta Ikram bermulut manis. Senyuman manis dilemparkan buat Suraya.
Dia menghulurkan mug di tangannya. Seminggu bekerja di situ aku dah hampir imun
dengan ayat-ayat manis Ikram yang macam gula-gula tu.
“Encik
Ikram ni ada-ada je.” Bicara Suraya malu-malu. Dengan senyum lebar yang
bagaikan nak mencecah paras cuping telinga, Suraya melenggok ke ruang pantry.
Menunaikan permintaan pujaan hati.
Ikram
berpaling padaku. Senyuman di bibirnya hilang.
“Ingat
‘Ain, kalau ada rombongan nak meminang, ‘Ain kena
beritahu I segera tau.” Pesan Ikram beria-ia.
Aku
mengerutkan dahi. Sebenarnya aku kurang faham dengan kata-kata Ikram ni tapi
aku buat-buat faham jelah. Menganggap apa yang diungkapkan Ikram sekadar
gurauan antara bos dan pekerja bawahan.
“Mana
boleh Encik Ikram. Kalau setakat urusan meminang tu takkanlah saya nak
khabarkan pada semua orang. Kan kalau bertunang tak baik dihebahkan. Tapi,
kalau majlis perkahwinan saya, insya-Allah saya pasti akan beritahu Encik Ikram
dengan kad wangi.” Balas ku tersengih membalas gurauan Ikram. Dalam
kepala otak ini mula terbayang-bayangkan Mr. Right yang bakal menjadi pelengkap
hidup ku. Siapalah agaknya ya?
“Mana
boleh. Sebelum ada orang masuk meminang lagi ‘Ain kena beritahu I dulu.
Senang I nak ambil tindakan nanti.” Suara
Ikram serius. Entah kenapa tiba-tiba aku tak rasa Ikram sedang bergurau.
“Kenapa
pula?”
“Senanglah
I bawa ‘Ain lari nanti.” Ujar Ikram
seraya mengenyitkan matanya. Dia berpaling untuk menapak masuk ke
dalam bilik pejabatnya. Sempat telinga aku menangkap tawa
halus yang tersisa di hujung kata-katanya.
@@@@@
Tepat
pukul 4.55, aku mematikan komputer. Meja ku sudah dikemas rapi setelah kerja
pejabat yang perlu aku siapkan hari ini berjaya aku bereskan awal-awal lagi. Sampai
sanggup aku tak keluar makan tengah hari semata-mata untuk menyudahkan kerja. Muncung
juga Suraya tadi bila aku menolak ajakan dia untuk makan tengah hari di KLCC.
Lima
minit yang berbaki aku tunggu dengan sabar. Bersiap sedia untuk punch out sebaik jarum pendek menghala
ke angka lima. Bukannya apa. Aku kena bergegas ke terminal bas Puduraya untuk mengejar
bas terakhir ke Bentong yang kebiasaannya bertolak pukul 6.30 petang. Kalau
sempat naik bas itu, menjelang 8.00 malam mesti aku dah tercongok depan pintu
rumah mak.
Beg merah berisi beberapa helai pakaian yang
ku letakkan di bawah meja ku angkat ke atas riba. Sengaja aku bawa bersama beg
pakaian itu ke tempat kerja supaya tak perlulah aku patah balik ke rumah
sebelum ke terminal bas Puduraya. Dari sini nak ke terminal bas kalau dengan
menaiki teksi tidaklah jauh mana. Tapi mengenangkan kesesakan lalu lintas yang
tidak dapat dielakkan di bandar raya Kuala Lumpur ini, kadang tempat yang dekat
pun ambil masa berjam-jam untuk sampai. Harap-harap sempatlah aku sampai tepat
pada waktu.
“Suraya,
Please get Rizal for me now! I need him
to fix my computer. Something wrong with it..” Suara Ikram yang kedengaran
cemas membuatkan aku sedikit tersentak. Dia terpacul di depan muka pintu
biliknya dengan wajah yang resah semacam.
“Rizal
cuti hari ni, Encik Ikram. Mak dia sedang sakit tenat.” Beritahu Suraya.
“Asri? Or any available technicians, get me one.
Quick!” Arah Ikram.
Suraya
segera mencapai gagang telefon. Beberapa ketika dia bercakap di talian sebelum
kembali berpaling ke arah Ikram yang sedia menanti di depannya.
“Semua
tak ada, Encik Ikram. Beberapa orang technician
sedang berkursus dan Asri standby di Lembah Kelang untuk event Kryptonite.”
Ikram mendengus
berat. “Takkan tak ada seorang pun technician
yang standby di pejabat?”
“Sepatutnya
Rizal dan Zaidil. Kebetulan pula Zaidil isterinya bersalin pagi tadi dan Rizal
terpaksa ambil cuti kecemasan untuk balik ke kampung.” Terang Suraya lagi.
“Banyak file penting berkenaan tender Alpha Beta
yang I dah siapkan dalam komputer I tiba-tiba corrupt. Semua file tak
boleh buka. Sudahlah besok dateline
tender tu.” Keluh Ikram. Dia memicit dahinya. Kali pertama aku melihat lelaki
yang selalunya tersenyum manis itu gusar begitu.
“Encik
Ikram tak buat backup ke?”
“I’m afraid not. I tak sempat nak buat backup.”
Kedudukan
meja ku yang betul-betul berhadapan dengan meja Suraya membolehkan aku mencuri dengar
perbualan Ikram dan Suraya. Timbul rasa simpati di hati aku. Aku memerhatikan
jam di tangan yang sudah melepasi jam lima petang. Nak balik ke atau nak bantu
Ikram? Aku berbelah bagi.
“Err..Encik
Ikram. Maaf kalau saya menyibuk.” Aku menyampuk lalu bangkit menghampiri meja
Suraya. Beg pakaian ku letakkan kembali di atas lantai.
“Kalau
Encik Ikram nak, saya boleh tengokkan komputer encik.” Tawar ku.
Biarpun
sekarang sudah melebihi pukul lima petang dan kalau ikut peraturan waktu kerja aku
sudah tamat tapi serba salah pula aku nak melangkah keluar sedangkan bos aku
ada masalah besar. Sebagai pekerja yang berdedikasi aku tak sampai hati nak
mementingkan diri sendiri.
Ikram
memandang aku tidak percaya. Suraya juga begitu. Haruslah mereka pelik bila
penyimpan stor menawarkan diri untuk melakukan kerja yang berkaitan dengan
komputer. Ikram lupa agaknya aku mempunyai kelulusan dalam bidang IT, jadi
sedikit sebanyak masalah yang berkaitan dengan komputer ini aku boleh
selesaikan dengan ilmu yang aku pelajari sebelum ini. Lalu aku tersenyum nipis
pada mereka berdua.
“Saya pernah
belajar macam mana nak fix file yang corrupt. Encik Ikram boleh guna tool
untuk error-checking.” Terang ku.
“Err..okay,
awak masuk bilik saya.” Ikram mengangguk biarpun wajahnya masih ragu-ragu.
Aku
mengikut Ikram masuk ke dalam biliknya. Segala ilmu yang aku pernah belajar
dulu aku gunakan. Beberapa minit kemudian, kesemua fail yang dikatakan rosak
tadi telah berjaya dipulihkan.
“Rasanya
tak ada masalah dah ni. Semua file
Encik Ikram yang corrupt tadi dah
boleh buka ni.” Beritahu ku.
“Macam
mana ‘Ain selesaikan?” Soal Ikram yang sedang berdiri di sebelah ku. Tubuhnya
merapati aku yang sedang melabuhkan duduk di atas kerusi empuk miliknya. Dapat
juga aku merasa duduk di atas kerusi orang-orang besar ni.
“Mudah
saja, Encik Ikram. Lain kali kalau ada file
encik yang rosak, encik klik Start
dan kemudian klik Computer. Pada
skrin ni encik cari driver mana yang encik
simpan file encik tadi. Kemudian klik
kanan pada mouse dan klik properties. Pilih tools pada skrin ni, klik Check
Now dan hit semua check box ni. Tekan ok, kemudian restart computer. Beres.” Aku
menerangkan satu persatu.
“’Ain..you really impressed me.” Ikram memandang
ku kagum macam aku dah selesaikan masalah dunia.
“Tak ada
apalah, Encik Ikram. Benda kecil je ni pun.” Balas ku tersipu-sipu. Dalam hati
kembang semangkuk dah ni. Mana tak bangga kalau bos sendiri yang puji. Ada rezeki
cepat lah dapat naik pangkat! Ahaks… Ikhlas ke tak kau menolong ni, ‘Ain? Kalau
ikhlas jangan harapkan balasan. Suara hati aku mengingatkan.
“Astagfirullahalazim..”
Tanpa sedar aku beristighfar kuat.
“Kenapa
tiba-tiba beristighfar ni, ‘Ain?” Soal Ikram pelik.
“Err..tak..tak ada apa-apa.” Laju aku
menggelengkan kepala. Wajah ku berona merah.
“Thank you so much, ‘Ain. You have saved my life!” Ucap Ikram
teruja. Spontan dia memegang tangan kanan ku dan diusapnya perlahan. Aku
tersentak dengan perbuatan Ikram. Namun, belum sempat aku menarik tangan ku
dari genggamannya, tiba-tiba pintu bilik Ikram terkuak dari luar.
Mata ku
bulat melihat Uzair yang sedang memandang tajam pada aku dan Ikram. Segera aku
menarik tangan ku. Sungguh aku tidak berniat untuk benarkan Ikram menyentuh
tangan ku lama. Cuma aku tergamam tak tahu nak buat apa. Janganlah Uzair fikir
yang bukan-bukan. Erk! Sejak bila aku kisah dengan apa yang Uzair fikir? Yang
si Uzair ni pun satu hal. Setiap kali masuk bilik Ikram aci main redah je. Bukannya
reti nak ketuk pintu dulu.
“Err..kalau
tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu.” Aku bingkas bangun dari duduk. Jam di
pergelangan tangan ku kerling sekilas. Sudah hampir 5.30 petang! Aku kena
berkejar dengan pantas ke terminal bas ni.
“Nantilah
dulu, ‘Ain. You have done a big favor.
Apa kata I belanja ‘Ain makan?”
Pelawa Ikram menghalang langkah ku.
“Err..tak
apalah Encik Ikram. Lagipun saya sebenarnya kejar masa ni. Saya nak balik
kampung petang ni.” Aku menolak dengan cara baik.
“Balik
kampung? Kalau macam tu I hantar you balik.”
“Eh..tak
payah..tak payah Encik Ikram. Lagipun menyusahkan encik je.” Aku menggawangkan
tangan. Seram sejuk kalau aku berdua dengan Ikram dalam kereta. Spesies tangan
yang suka merayap ni memang tak boleh dipercayai sangat. Silap-silap bukan ke
kampung yang dia hantar aku tapi ke hotel. Isk! Nauzubillahiminzalik..
“Tak
apa.. I tak kisah. Boleh juga I kenal kampung halaman ‘Ain.”
“Tadi
kan Encik Ikram kata nak siapkan tender Alpha Beta. Esok dateline dia kan? Nanti kan terganggu pula kerja encik.” Ujar ku
mengingatkan.
“Kan ‘Ain
dah tolong I recover file yang corrupt tadi. Basically kerja I dah
siap pun. Cuma nak kena finalize sikit
je lagi. Lepas hantar ‘Ain I boleh
siapkan. Lagipun Bentong dengan KL bukannya jauh sangat.” Ikram masih juga
mendesak.
Aku
menggaru kepala ku. Alasan apa lagi yang boleh aku gunakan untuk menolak ajakan
Ikram ini. Aku mengerling Uzair yang sedang membatu di depan pintu.
“Err..sebenarnya
Encik Uzair dah janji nak hantar saya. Betulkan Encik Uzair?” Lancar mulut aku
memberi dalih dengan menggunakan nama Uzair. Aku pandang wajah Uzair yang
tampak sedikit terkejut dengan kata-kata aku.
“Betul
ke, Uzair? You nak hantar ‘Ain?”
“Emm..”
Lambat-lambat Uzair mengangguk.
“Cepatlah.
Dah pukul berapa ni. Tadi awak janji dengan saya pukul lima kan?” Tingkah Uzair
dengan suara yang tegas. Tak sangka si Uzair ni sanggup membantu aku.
“Saya
balik dulu, Encik Ikram.” Ucap ku mempermisikan diri. Aku berpaling untuk
menapak keluar dari bilik.
Ikram
tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalanya. Dia berkalih pada Uzair.
“Uzair, you jaga ‘Ain elok-elok. Bawa ‘Ain terus
balik ke kampung, jangan nak melencong ke tempat lain pula. Tangan tu pegang
stereng baik-baik. Jangan merayap ke lain pula.” Sempat aku menangkap pesanan
Ikram pada Uzair.
Uzair
mencebik. Kalau aku jadi Uzair pun aku akan buat benda yang sama. Ikram ni
menasihatkan orang memang pandai tapi bukan ke setiap apa yang dia pesan tu
sebenarnya dia yang terlebih dulu buat?
p/s Semoga terhibur. Macam biasa.. ur comment is my vitamin! Drop one jika sudi. Thanks
Jamin keling???? hahahahahahah lawak2 kak rid... best n3 kali nie kak.... uzair + ain +sweet jerrr... >___<
ReplyDelete~amyzainudin~
best cik writer...
ReplyDeleteLa kata pjg...tp tgh best baru nak jumpa uzair dah sambung pulak...
ReplyDeleteUiks.. ni entry paling panjang dh ni dari entry2 yg lain. berbelas pages kot dlm word..hehehe.. next part ade uzair
Deleteeh dr pudu ada bas nak g bentong ke? coz dulu2 nak g bentong naik dari pekeliling... he3 best n3 nih
ReplyDeleteHairiah
ye ke? hahahaha.. main hentam je tu..hahaha..nnt akan dibaiki. Thanks untuk input yg sangat berguna ni. <3
Deleteehem... ridhya iman... :) sambung lagi aci tak .... bab ada uzair ngan ain mesti best kan hehehe .. ikram yg gatal terlebih... mesti kes duduk tertungging dulu masa temuduga jadi simpanan kenangan pada yg tertengok pada cctv :)
ReplyDeletex blh blah la si ikram ni..gatai semacam..
ReplyDeletesib baik uzair muncul..
suke la ain & uzair..
Tertunggu N3 br utk citer ni...best sgt!
ReplyDelete;-) (Y)
ReplyDeletebest.
ReplyDeleteMisteri ni... uzair atau ikram yg ada hati dgn ain.... cik writer, next update pls. Tapi crita ni mmg best.
ReplyDeleteuzair n ikram..sungguh lebih suka uzair dgn ain dr ikram.gatal je ikram tu..huhhhh
ReplyDeletesambung.....
ReplyDeletelaaa... mak ain yg masukkan duit rm1 k tu... gatai sungguh la ikram nih... tangan nak merayap jer keje... mmg dua2 ni syok kat ain nie... ;) best... tq RI
ReplyDeletewriter....xsabar nk tunggu novel nie keluar =D
ReplyDeleteamboi..gatal ikram ni
ReplyDeletemasih misteri
ReplyDeleteikram dgn uzair ni mcm nak bersaing je...
ReplyDelete