“Awak
berhenti je dekat depan tu.” Suruh ku sambil memanahkan jari telunjuk ke sebuah
pondok kayu yang tampak sedikit usang. Pondok beratapkan anyaman daun nipah yang
dibina hasil gotong-royong penduduk kampung sebagai tempat riadah itu berada
lebih kurang dua puluh meter dari pagar rumah mak.
“Pondok
ni rumah keluarga awak ke?” Uzair menyoal sinis.
Aku mengerling
sekilas Uzair yang tenang memandu di sebelah. Dia ni kalau nak tanya soalan pun
agak-agak lah. Takkanlah pondok yang tak berdinding ini jadi tempat tinggal aku
dan mak pula.
“Rumah
mak saya depan sana sikit lagi. Tapi awak hantar saya kat sini jelah. Saya
boleh jalan kaki. Tak jauh dah.” Beritahu aku. Takkan aku nak benarkan Uzair
hantar aku sampai depan-depan rumah. Nanti berbakul-bakul ceramah percuma
daripada mak yang terpaksa aku tadah. Mak aku tu walaupun boleh dikategorikan
seorang ibu yang sporting tapi kalau hal
yang melibatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan ni mak memang tak pandang
ringan.
“Kalau
kamu belum rasa nak berlaki, kamu jangan gatal-gatal nak bawa kawan lelaki
balik ke rumah lagi lepas ni. Kalau kamu buat lagi, mak takkan teragak-agak kahwinkan
kamu terus dengan lelaki yang kamu bawak balik tu. Dan dan tu jugak.”
Terngiang-ngiang
jelas di telinga aku amaran keras yang pernah mak beri sebaik aku sampai ke
kampung untuk menghabiskan cuti semester dua tahun lepas. Sebabnya masa itu aku
terbawa balik sekali Shuib sotong, kawan sekuliah aku. Bukannya aku rancang pun
nak bawa balik ke rumah kawan lelaki aku yang terlebih sikit hormon estrogen
itu. Tapi aku tak sampai hati tengok Shuib sotong ini hampir meraung di hentian
bas kerana dia tertinggal bas untuk balik ke rumahnya di Kuantan.
Niat aku
cuma nak beri Shuib sotong menumpang tidur semalaman di rumah mak sebelum dia
teruskan perjalanannya besok hari. Aku ingatkan mak pun tak kisah. Yalah, benda
baik kan. Tapi aku tak sangka pula mak terlebih emosi sampai dengan Shuib
sotong yang nampak lebih perempuan dari lelaki itu pun mak nak berkira. Sejak
itu, tak pernah lagi aku jemput kawan-kawan lelaki datang ke rumah hatta untuk datang
beraya sekalipun.
“Kenapa
tak nak saya hantar awak depan rumah?” Soalan Uzair memangkas lamunan aku.
“Errr…jalan
kat depan tu sempit. Kiri kanan semak. Saya takut nanti habis calar-balar
kereta awak. Tak fasal-fasal nanti awak tuntut ganti rugi dengan saya beratus-ratus
ringgit pulak.” Sela ku dalam sindiran. Terbias senyuman senget di bibir Uzair.
“Habis
tu saya?”
“Kenapa
dengan awak?” Aku menyoal tidak faham. Dahi ku berkerut.
“Habis
tu saya ni macam mana?” Ulang Uzair lagi.
“Macam
mana apa pulak? Lepas awak drop saya
kat depan pondok tu, awak baliklah.” Balas ku mudah. Bukanlah aku ini nak jadi
manusia yang tidak mengenang budi. Tapi takkanlah aku nak ajak Uzair singgah
rumah mak dulu. Silap-silap ada yang kena kahwin free nanti. Mak aku kadang tu bukan boleh dijangka. Kalau dia kata
sungguh dia akan kotakan.
“Saya
nak solat maghrib kat rumah mak awak.” Ujar Uzair senada dan senafas.
Aku
kalih kepala ke kanan sembilan puluh darjah. Wajah Uzair ku tenung. Cuba
mentafsir kata-kata lelaki itu. Itu sebenarnya permintaan ke atau pemberitahuan?
“Tak
boleh!” Cepat-cepat aku geleng kepala. Berubah wajah Uzair dengan penolakan aku.
“Err…maksud
saya lebih baik awak solat kat masjid. Rumah saya tu sempit. Nanti awak tak
selesa. Lagipun masjid tu tak jauh pun. Awak keluar dari simpang besar nanti, lepas
awak belok kanan dalam tiga puluh meter ada masjid warna kuning sebelah kiri.”
Ujar ku mencipta dalih. Serba salah juga. Terasa macam kejam bila terpaksa
menolak permintaan Uzair yang nak tumpang beribadat.
“Awak
tahu tak sekarang dah pukul berapa? Dah nak pukul lapan. Sekejap lagi dah nak
masuk waktu isyak. Berdosa melengah-lengahkan solat. Awak nak tanggung dosa ke?”
Sinis Uzair membuatkan aku terkedu.
“Dosa
melengahkan solat itu satu. Kata kalau saya tak sempat nak solat Maghrib, dosa
yang saya kena tanggung macam dosa berzina dengan ibu sendiri.” Kata-kata Uzair
semakin menokok rasa bersalah dalam sarang hati ku.
“Yalah..yalah.
Awak solat kat rumah mak saya.” Putus ku mendengus perlahan.
Tahan
sajalah bebelan mak. Entah bagaimana penerimaan mak bila nampak Uzair nanti.
Kalau dengan Shuib sotong pun mak boleh naik angin sampai berpatah arang
berkerat rotan dengan aku apatah lagi Uzair yang memang lurus tak bengkok-bengkok
ni.
“Ikhlas
ke ni? Kebaikan yang dibuat dalam keluhan adalah kerja yang sia-sia.”
Aku
mengetap bibir. Tiba-tiba pula lelaki sarkastik ini bertukar personaliti jadi
imam muda. Silalah cermin dulu muka tampan tu sebelum nak bercakap soal ikhlas
dengan aku.
“Habis
tu awak ikhlas sangatlah hantar saya ni? Saya tahu awak buat semua ni pun sebab
terpaksa ikut arahan encik Ikram kan?” Bidas ku geram. Yalah. Kalau dia sungguh
ikhlas nak menolong aku, takkan dia dengan muka seposen minta aku taja duit
minyak kereta dia.
“Ikhlas
tu datang dari hati. Apa yang saya rasa dekat sini, awak boleh scan ke?” Tangan kirinya ditekapkan ke
dada.
Aku
mencebikkan bibir. “Tak payah nak scan bagai.
Mulut belacan awak yang duk sinis sana sinis sini dah cukup untuk saya nilai
sejauh mana keikhlasan awak tu.” Bidas ku.
“Mulut
kadang-kadang mampu menyembunyikan apa yang ada dalam hati.” Uzair bersuara perlahan.
Cukup perlahan. Tetapi telinga aku ini kan telinga lintah. Masih mampu aku
tangkap setiap patah kata yang meluncur keluar dari bibirnya.
“Maksud
awak?”
Uzair
tampak terkejut dengan pertanyaan aku. Pertama kali aku tengok dia menggelabah.
“Err…mana
satu rumah awak?” Soalnya mengalih topik. Pertanyaan aku turut hilang melayang.
Aku kalih wajah ke depan. Mata aku melingas memandang kiri kanan. Tak banyak
yang berubah pun sepanjang ketiadaan aku di kampung. Cuma bila malam ni
pandangan akan jadi sedikit terbatas.
“Depan
sana sikit. Dalam pagar putih tu.” Aku menjuihkan sedikit mulut. Di bawah sinar lampu jalan, pagar kayu bercat putih yang sudah pudar warnanya semakin jelas kelihatan. Pagar
yang telah dibina oleh arwah ayah lama dulu. Biarpun pagar itu tampak sudah
usang benar tapi itulah satu-satunya kenangan yang ditinggalkan oleh arwah
ayah.
Uzair
membelok keretanya memasuki halaman rumah mak. Sebuah kereta Honda Accord
berwarna biru metalik tersadai di depan rumah mak. Siapa pula yang datang
bertandang malam-malam begini. Desis ku di dalam hati.
Takkan
mak buka rumah urut pulak? Maju sungguh perniagaan mak kalau sampai tengah-tengah
malam pun masih ada pelanggan. Tetapi setahu aku mak cuma mengurut perempuan
yang baru lepas bersalin dan biasanya mak hanya mengurut di rumah pelanggan
saja.
“Meriah
rumah mak awak malam ni. Ada kenduri ke?” Pertanyaan Uzair menyedarkan aku dari
bermonolog seorang diri. Dia mematikan enjin kereta.
Aku bungkam.
Pertanyaan Uzair aku biarkan berlalu tanpa jawapan. Pandangan mata aku masih
pada rumah mak yang terang benderang. Semua lampu di dalam dan di luar rumah dinyalakan.
Ceria lain macam sungguh ni.
Entah-entah
apa yang aku teka tempoh hari semasa berbual dengan mak betul tak? Ada orang
datang nak meminang aku. Patutlah mak beria-ia sungguh suruh aku balik. Apa aku
nak buat kalau mak paksa aku terima pinangan tu? Aku tak nak kahwin paksa.
Kisah hidup aku bukan tipikal macam dalam drama Melayu swasta! Hish..apa yang
aku merepek ni? Malam-malam mana orang datang meminang. Tak mungkinlah. Aku
geleng kepala ku laju.
“Cik
puan muda, tak nak turun ke? Dah berbahagia sangat ke duduk dalam kereta ni?”
Sinis Uzair dari luar kereta. Kepalanya dijengahkan sedikit. Bila masa lelaki
ni menapak keluar dari perut kereta?
Aku
mengetap bibir menahan kata-kata sinis Uzair. Agaknya memang hobi dan gaya si
Uzair ni bertutur sarkastik macam tu. Simpati aku pada nasib bini dia nanti
terpaksa hadap suami macam ni.
Cepat-cepat
tangan aku capai pemegang kereta. Pintu kereta ku tolak sedikit kasar lalu aku
melangkah keluar. Fikiran aku masih sarat dengan pelbagai andaian yang
berlegar-legar. Tanpa sedar aku menutup pintu kereta dengan kuat. Opsss..memang
sengaja pun sebenarnya. Aku gelak jahat di dalam hati.
Wajah
tak bersalah aku pamerkan bila Uzair menjeling aku tajam. Berkira sungguh mamat
ni. Bukannya haus pun pintu kereta tu. Pintu belakang aku buka untuk mengambil
beg pakaian ku.
“Tutup pintu
tu perlahan sikit. Kereta saya ni ada perasaan.” Tegur Uzair.
Aku
mencebekkan bibir. Mungkin sebab terhasut dengan bisikan syaitan yang banyak berkeliaran
waktu senja-senja begini, aku langsung tidak menghiraukan teguran Uzair. Sengaja
aku menghempas kuat pintu kereta. Lalu laju-laju aku melangkah ke muka pintu
rumah sebelum telinga aku ini menadah kata-kata sarkastik lelaki itu.
“Assalamualaikum.”
Laung ku memberi salam sebaik kaki berada di hujung anak tangga. Sayup
kedengaran gabungan beberapa suara menyambut salam aku. Meriah sungguh suasana
di dalam rumah mak saat ini.
Pintu kayu
rumah yang sedikit terbuka itu ku tolak perlahan. Mengeluarkan bunyi keriuk. Dari
muka pintu aku dapat dengar suara orang sedang berbual-bual dari arah ruang
tamu.
“Masuklah.”
Aku mempelawa Uzair sebelum mengatur langkah ke dalam rumah. Senyuman di bibir
aku melebar bila terpandangkan wajah mak yang sedang menghampiri aku.
“Budak
bertuah! Mak ingatkan kamu balik besok pagi. Kenapa tak cakap sepatah kamu nak
balik petang ni?” Riuh mulut mak mengomel.
“Surprise!!!” Aku tersengih ala-ala gaya Eric Leong dalam Casa Impian.
Tangan
mak ku capai dan ku cium hormat. Jelas wajah mak nampak terkejut dengan
kemunculan aku. Sengaja aku tak beritahu mak yang aku akan bertolak ke kampung
petang Jumaat. Konon nak buat kejutan.
“Banyaklah
kamu punya surprise. Tu haa..lelaki
yang kat belakang kamu tu yang betul-betul mak surprise. Calon suami kamu ke tu?” Mak menyoal serius.
Terus
padam sengihan di wajah aku. Tajam sorotan mata mak merenung Uzair atas bawah.
Aku telan liur kelat.
“Bukanlah,
mak. Tadi..err..dia..” Aku tergagap langsung kehilangan kata. Wajah serius mak
tidak berani ku tentang. Kan aku dah kata. Mak memang pantang bila aku bawa
kawan lelaki ke rumah.
“Saya
Uzair, makcik. Kawan sekerja ‘Ain. Makcik sihat?” Tutur Uzair memperkenalkan
diri. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan mak. Pandai juga lelaki
sarkastik ni menghormati orang tua.
“Baik..baik.
Oh..kawan sekerja ‘Ain rupanya. Kamu hantar ‘Ain balik ya?” Mak menyambut
huluran tangan Uzair. Sopan Uzair menunduk dan mencium tangan mak.
“Iya,
makcik. Kebetulan saya nak ke Temerloh, jadi saya tumpangkan ‘Ain ni sekali.
Satu jalan.” Balas Uzair lembut sambil tersenyum manis. Pandai dia berlakon dan
mereka alasan. Boleh dah jadi pelapis Adi Putra ni.
“Baik
sungguh kamu ni Uzair. Dengan semua anak dara ke kamu layan macam ni? Ke dengan
‘Ain sorang je?” Puji mak. Dalam memuji tu sempat lagi dia memerli Uzair satu das.
Aku
sembunyi senyum melihat yang Uzair sedang terkulat-kulat nak menjawab. Wajah dia
pun dah berona merah. Padan muka. Baru bertemu buku dengan ruas. Ejek aku di
dalam hati.
“Tak
adalah, makcik. Saya baik dengan semua orang. Tak kira siapa pun. Apatah lagi
dengan orang yang saya ambil berat.” Jawab Uzair tenang.
Aku buat
muka meluat. Boleh tak aku rasa nak muntah hijau dengar jawapan Uzair? Entah
kenapa aku rasa lelaki ini sedang berhipokrit depan mak aku.
“Bagus..bagus.
I like. Mak suka..eh mak pulak.
Makcik suka jawapan kamu tu..” Suara mak berubah ceria. Melebar senyuman di
wajah mak.
Aku
bulatkan mata memandang mak. Mak membalas pandangan aku dengan senyum simpul. Kedua
belah keningnya diangkat.
“Kacak betul
bakal menantu mak ni. Sopan pulak tu. Pandai kamu pancing, ‘Ain.” Kata-kata mak
yang berbisik di telinga hampir buat aku tersedak. Mak mengenyitkan matanya
sebelah pada aku. Amboi mak. Aku ingatkan Ikram saja yang pakar mengenyit, mak
pun dah berjangkit sekali?
“Bukanlah mak. Dia kawan sekerja orang je.” Gumam
aku perlahan. Menafikan sekeras-kerasnya.
“Yalah
tu.” Mak hanya tersenyum meleret. Sempat lagi dia mengangkat ibu jarinya
membuatkan aku terkedu seribu bahasa.
Aku
berdeham. “Uzair ni nak tumpang solat Maghrib, mak.”
Aku
kerling Uzair yang sedang menahan senyum. Janganlah dia dengar apa yang mak
bisikkan di telinga aku.
“Oohh..boleh
sangat. Kecil tapak tangan, nyiru mak…eh..mak lagi..makcik tadahkan. Mari..jemput
masuk, nak.” Pelawa mak ramah. Risau aku dengan perubahan mak yang drastik ni.
“Maaflah, makcik. Terpaksa susahkan makcik.”
Ucap Uzair berbasa-basi. Semakin tebal cebikan di bibir aku. Kalau dengan aku
jangan harap dia nak cakap selembut dan sesopan ini.
“Tak ada
hal. Mari masuk makcik tunjukkan biliknya.” Mak mula melangkah ke ruang tamu
meninggalkan aku dan Uzair sedikit ke belakang.
“Saya
suka mak awak.” Komen Uzair berbisik pada aku. Dia tersenyum.
“Suka?
Awak nak jadi bapa tiri saya ke?” Soal aku sengaja mengenakannya. Senyumannya
mati diganti dengan jelingan maut.
“Bapa
tiri tak berminat. Kalau jadi calon suami boleh jugak saya pertimbangkan…”
Bicara Uzair meleret.
Gulp! Langkah
kaki aku terhenti. Tiba-tiba jantung aku berdegup kencang. Kuat menghentak
dinding dada. Aku kena heart attack ke?
“Itu pun
kalau tinggal awak sorang je perempuan dalam dunia ni.” Sambung Uzair. Ada tawa
di hujung kata-katanya.
Aku
mengetap bibir. Terus denyutan jantung aku kembali normal. Fuhh… Tapi entah
kenapa ada rasa sedikit kecewa di hati dengan kata-kata Uzair itu. Hishh..kenapa
dengan aku ni?
“Mak..kereta
siapa kat luar tu?” Aku menyoal mak sebaik teringatkan kereta mewah di depan
rumah mak.
Belum
sempat mak menjawab pertanyaan, langkah kaki aku terkaku. Lidah ku kelu. Otak
ku kosong bagaikan tidak terisi. Tanpa sedar beg pakaian yang ku jinjing
melurut jatuh ke lantai. Hanya bebola mata ku yang bergerak silih berganti dari
satu wajah ke satu wajah yang turut kaku membalas pandangan ku. Biarpun wajah-wajah
itu tampak sedikit berubah dek dimamah usia tetapi seumur hidup tidak mungkin
aku dapat melupakan dua wajah ini.
Dua
batang tubuh yang sedang duduk di atas kerusi rotan itu ku renung tajam. Dua orang manusia yang bertanggungjawab memalitkan
kenangan hitam ke dalam hidup ku. Mereka yang aku dendami sampai mati!
“’Ain,
ini ‘Ain ke Lijah? Dah besar ya..” Suara wanita itu lembut menerjah cuping
telinga aku. Tetapi kelembutan itu bagaikan membakar hati dan perasaan aku. Dia
bingkas bangun untuk menghampiri ku.
“Tolong
jangan dekat!” Aku angkat tangan menghalang. Langkah wanita itu terhenti.
“’Ain..kenapa
cakap macam tu? Tak baik.” Tegur mak perlahan. Aku kalih wajah pada mak.
“Buat
apa mereka datang sini, mak?” Soal ku. Entah kenapa aku rasa ada air yang mula
bertakung di birai mata. Ada hentakan yang sedang memalu pilu tangkai hati ini.
“Mereka
datang nak jumpa kamu, ‘Ain.” Beritahu mak lembut tetapi langsung tidak mampu
melembutkan hati aku.
“Orang
masuk bilik dulu.” Balas ku senada. Beg yang tersadai di atas lantai ku capai.
“’Ain,
salam dulu dengan dia orang.” Arah mak. Tetapi entah kenapa arahan mak kali ini
langsung tidak berbekas di hati aku.
“Dah
lewat ni, mak. Orang nak solat Maghrib.” Ujar ku beralasan. Aku mula mengorak
langkah.
“’Ain,
mak tak pernah ajar anak mak jadi kurang ajar macam ni dengan orang tua. Salam
dulu.” Nada suara mak mula meninggi. Memang mak tidak pernah mengajar aku jadi
begini. Tetapi aku tidak mampu mengikis kecewa yang terpahat kukuh di dalam
hati ini. Aku tetap meneruskan langkah.
“Kamu
tahu tak berdosa kamu macam ni. Tolonglah, ‘Ain. Sekurang-kurangnya demi mak.”
Rayu mak. Langkah kaki aku mati. Keluhan berat terhambur keluar dari mulut ku.
Demi mak aku akur. Ya..semua yang aku buat hanya demi mak. Mak yang telah
banyak berkorban untuk membesarkan aku.
Dengan
langkah yang lemah, aku menghampiri dua batang tubuh yang sedang tegak berdiri
di ruang tamu. Memandang aku dengan pandangan yang sukar untuk aku mengerti.
Tangan
wanita itu ku gapai dan ku kucup ala kadar. Bila terasa ada jari-jemari yang
mula nak menyentuh ubun-ubun kepala, aku segera mengangkat tubuh ku. Terbias
senyuman kelat di wajah itu.
“’Ain
sihat?” Ada getar dalam suara itu. Aku angguk perlahan tanpa sedikit pun
membalas renungan lembut itu.
Kemudian
aku beralih pula pada lelaki yang berada di sisi wanita itu. Perkara yang sama
aku lakukan. Menyalami tangan kusam itu dan tunduk mengucup sepintas lalu.
Bibir itu bergerak-gerak bagaikan ingin mengungkapkan sesuatu.
“Mak,
orang masuk bilik dulu.” Aku pandang mak sekejap sebelum mengayun langkah ke
bilik tidur ku. Tidak lagi aku kalih ke belakang untuk melihat wajah-wajah itu.
Doa ku semoga ini kali terakhir aku menatap wajah mereka. Wajah-wajah yang
paling ku benci!
Pintu
bilik sengaja ku hempas kuat. Bergegar dinding rumah kayu yang separuhnya sudah
dimakan anai-anai. Biar mereka faham yang kehadiran mereka di sini langsung
tidak diundang!
Aku
hempas tubuh ku kasar di atas katil. Bibir ku ketap kuat. Cuba menahan bahang
yang sedang bergelora hebat di dalam jiwa. Terasa ingin menjerit untuk ku
suarakan segala ketidakpuasan yang terbuku di dasar hati.
Arghhh!
Aku bangkit menuju ke rak ampaian. Sehelai tuala ku capai rakus. Mengenangkan
ada tanggungjawab yang belum tertunai, langkah ku susun ke bilik air. Lagipun aku
perlu tenangkan hati yang tengah panas ini.