Usai berbuka puasa, Arianna hanya memerap di dalam bilik.
Sementara menunggu Affan dan keluarga mertuanya selesai menunaikan solat
terawih di masjid, dapatlah dia merehatkan diri sekejap. Melepaskan lelah setelah
berhempas pulas menyiapkan hidangan berbuka tadi. Tubuh yang keletihan dicampur
dengan emosi yang terdera dek penangan Affan menjadikan dirinya bertambah
lelah.
Arianna merebahkan tubuh di atas tilam empuk milik
Affan. Sungguh selesa bila dia dapat baring di atas katil canggih yang lengkap
dengan fungsi urutan itu. Affan memang punya cita rasa yang tinggi. Jadi tidak
hairanlah jika tatarias bilik tidur lelaki itu persis hotel lima bintang.
Mengenangkan tingkah Affan, hati Arianna mendongkol
geram. Hari ini percuma saja dia dikenakan dan dimalukan Affan berulang-kali di
hadapan keluarga mertua. Sungguh bijak suaminya itu mengambil kesempatan ke
atas dirinya. Terngiang-ngiang perbualannya dengan Puan Rose ketika di dapur
tadi.
“Sedap Anna masak semua lauk kegemaran Affan tu. Macam
tulah isteri yang baik. Pandai Anna tambat hati suami,” puji Puan Rose dengan
bibir yang tersenyum bangga.
“Lauk kegemaran abang Affan?” Arianna angkat wajah.
Tangannya yang sedang mengelap pinggan terus terhenti.
“Hmmm…Affan tu
kalau hari-hari makan nasi berlaukkan kari pun tak apa. Tambah lagi kalau lauk
kari tu memang kena dengan selera dia. Berpinggan-pinggan dia boleh habiskan
nasi macam tadi tu.” Ramah Puan Rose bercerita sambil tangannya lincah mencuci
pinggan kotor di dalam singki.
“Tapi abang Affan cakap lauk kari tu lauk favourite mama dan papa.”
Arianna mengetap bibir. Patutlah berbuka tadi Affan
bukan main berselera menjamah makanan. Siap menambah nasi sampai tiga kali.
“Affan cakap macam tu?” soal Puan Rose. Sebelah
keningnya naik.
Arianna angguk sekali.
“Hmmm..sebab tulah abang Affan minta Anna masakkan
lauk kari tu. Ikan merah masak lemak cili padi tu pula katanya kegemaran tok
wan,” balas Arianna berterus-terang.
“Budak bertuah. Nakal tak habis-habis si Affan ni.
Sajalah tu dia gunakan kami semua supaya Anna masak lauk-lauk kegemaran dia
tu,” omel Puan Rose sambil menggelengkan kepalanya perlahan.
Arianna diam tidak membalas. Senang-senang Affan telah
menggula-gula dirinya. Demi menutup rasa geram yang bermukim di hati, dia
kembali menyambung kerja mengelap pinggan mangkuk.
Puan Rose menjeling Arianna yang sedang ralit dengan
kerjanya. Biarpun wajah itu sentiasa mekar dengan senyuman manis, tetapi dia
dapat rasakan senyuman itu kadang-kadang seperti dipaksa. Ingin dia menebak apa
yang sedang bersarang di jiwa menantunya itu, tetapi dia bukanlah ahli nujum
yang mampu meneka. Biarpun jauh di dasar hati, nalurinya dapat merasakan
hubungan anak dan menantunya yang dingin.
“Anna bahagia dengan Affan?”
Arianna terpempan dengan pertanyaan Puan Rose.
Langsung terhenti pergerakan tangannya. Dia mendongak wajah.
“Errr…Anna…” Kata-katanya mati. Dia menelan liur yang
tiba-tiba terasa pahit. Serba-salah. Andai dia jujur memberikan jawapan, pasti
mama mertuanya kecewa. Namun untuk
menipu dia juga tidak berdaya.
“Anna sedang cuba untuk bahagia, mama.” Sebuah
senyuman yang kaku terukir di bibirnya.
Bahagia. Perkataan itu sebenarnya sudah lama hilang
dalam kamus hidupnya. Bahagianya sudah lama dibawa pergi bersama Lutfan. Lelaki
yang pernah dicintainya separuh mati. Dan kerana cinta lelaki itu jugalah yang
membuatnya tersungkur rebah berkali-kali.
Puan Rose senyum kelat. Jawapan selamat yang diberikan
Arianna menambah gusar di hatinya. Sebuah keluhan panjang meletus di bibir.
“Affan ada berkasar dengan Anna lagi? Ada dia pukul
Anna?” selidik Puan Rose.
Sejak kejadian tempoh hari, pelbagai andaian negatif
yang sering bermain di fikirannya. Entah kenapa Affan boleh hilang pertimbangan
pada malam itu. Kalaulah tamparan anaknya itu hinggap di wajah Arianna, dia
sendiri tak tahu macam mana hendak menjawab kata dengan Puan Zainab, ibu
Arianna merangkap teman baiknya sendiri.
“Tak...tak ada.” Laju Arianna menggelengkan kepala.
“Betul tak ada? Anna terus-terang je dengan mama,”
desak Puan Rose separuh percaya.
“Betul, mama. Abang Affan tak pernah berkasar dengan
Anna. Marah Anna pun tak pernah. Kejadian hari tu sebenarnya kali pertama dan
kali terakhir abang Affan macam tu. Silap Anna juga,” tekan Arianna merujuk
hari di mana dia nyaris ditampar Affan. Dia tidak boleh salahkan Affan
sepenuhnya. Dia juga silap kerana mencabar kesabaran Affan sebagai seorang suami.
Puan Rose menarik nafas lega. Syukurlah.
Sekurang-kurangnya Affan belum pernah menyakiti tubuh Arianna. Jauh di dasar
hati, dia berdoa semoga anak dan menantunya itu dapat bertahan dalam menongkah
arus dugaan berumah tangga.
“Anna sayangkan Affan?” duga Puan Rose seraya
menyudahkan bilasan pinggan yang terakhir. Tuala kering dicapai untuk mengelap
tangannya yang basah.
Arianna terkesima. Lama dia berjeda membiarkan pertanyaan
itu sepi tanpa jawapan. Sukarnya dia untuk membalas soalan yang melibatkan hati
dan perasaan.
“Anna tak sayangkan Affan ke?” Sekali lagi soalan itu
diulang. Jelas suara Puan Rose bernada kecewa. Riak Arianna yang teragak-agak
sudah cukup memberinya jawapan.
Arianna menekur wajah. Dia mengetap bibir kuat.
Kedua-dua belah tangannya bercantum resah.
“Anna…Anna sedang cuba, mama.” Arianna bersuara
perlahan.
Puan Rose menarik nafas dalam sebelum menghembus
perlahan. Wajah resah Arianna direnung lama.
“Mari kita duduk sekejap. Mama ada perkara nak berbual
dengan Anna,” ajak Puan Rose. Dia melabuhkan duduk di atas bangku bulat.
Arianna mengangguk. Tanpa banyak bicara dia hanya
menurut ajakan Puan Rose.
“Anna…” Puan Rose membawa jari-jemari Arianna ke dalam
genggamannya. Belakang tangan menantunya itu diusap perlahan. Menyalurkan rasa
kasih seorang ibu.
“Mama tahu perkahwinan ini bukan mudah untuk Anna dan
Affan. Yalah, bukan senang nak cari kesesuaian untuk hidup dengan seseorang yang
datang dari latar belakang yang berbeza dan gaya hidup yang tak sama. Lagilah
Anna dan Affan tak pernah kenal dan bercinta sebelum kahwin. Nak pupuk rasa
kasih dan sayang tu mungkin ambil masa sikit.” Puan Rose menghentikan bicaranya
seketika untuk melihat reaksi Arianna yang diam tak berkutik.
“Apa yang penting, Anna jangan mudah mengalah. Apatah
lagi awal-awal kahwin ni memang banyak dugaan yang datang. Masing-masing masih
tercari-cari titik persamaan antara satu sama lain. Jadi, Anna kena banyak
bersabar dan bertolak ansur dengan kerenah Affan. Mama tahu anak mama tu banyak
kekurangan. Tapi mama harap sangat Anna dapat terima Affan dan sayangkan Affan
selayaknya sebagai suami Anna,” sambung Puan Rose penuh harapan. Setiap hari
dia tak pernah jemu mengutus doa. Semoga rumah tangga Affan dan Arianna kekal
sehingga ke syurga hendaknya.
Arianna tertunduk diam. Dia tak sanggup menentangi
mata Puan Rose yang nampak berharap itu. Sungguh berat permintaan mama
mertuanya biarpun dia tahu sebagai isteri sewajarnya itulah yang patut
dilakukannya. Tetapi rasa sayang itu bukan boleh dipaksa-paksa.
“Boleh, Anna?”
Arianna telan liur. Dia tidak mampu menipu perasaannya
sendiri tetapi untuk merumitkan lagi keadaan dia juga tidak mahu.
“Anna cuba, mama.” Sudahnya hanya itu yang mampu
diungkap bibirnya. Dia akan cuba sebagaimana dia sedang cuba untuk menerima
hakikat perkahwinannya ini.
“Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci. Melalui
perkahwinan manusia diizinkan ALLAH untuk berkasih sayang secara halal. Sesuatu
perkahwinan itu terjadi atas iradat ALLAH. Ia bukan sekadar untuk menyatukan
dua hati, tapi perkahwinan itu sendiri dapat melahirkan kebahagiaan dan
ketenangan,” nasihat Puan Rose lembut.
Arianna resah sendiri dengan bicara Puan Rose.
Bagaimana dia dapat merasa bahagia sedangkan kebahagiaannya ada bersama orang
lain? Bagaimana dia mampu hidup tenang kalau sehari-hari jiwanya begitu kosong
dan sepi?
“Perkahwinan ini…macam mana Anna nak rasa bahagia
dengan perkahwinan ini, ma?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Arianna.
Puan Rose tersenyum nipis.
“Reda. Bila hati Anna reda dengan perkahwinan ini, insya-ALLAH
jiwa Anna akan jadi lebih tenang untuk menyemai bahagia bersama Affan.”
Sinar matanya merenung Arianna dengan penuh kasih.
Kali pertama melihat Arianna dulu, hatinya sudah terpaut sayang. Sikap hormat
pada orang tua yang dimiliki Arianna memikat hatinya. Disebabkan itulah dia
segera mengikat janji dengan Puan Zainab untuk menjodohkan Arianna dengan Affan.
Puan Zainab juga terus bersetuju. Berkenan sangat dengan Affan katanya.
“Macam mana nak pujuk hati ni untuk reda?” soal
Arianna perlahan.
Memujuk hati untuk menerima jodoh ini bukanlah semudah
menuturkan kata di bibir. Bukannya dia tak pernah cuba untuk menerima Affan.
Tetapi dia tak mampu mengubah pintu hatinya yang terlebih dulu mencintai lelaki
lain. Sungguh sukar untuk dia membuang bayang-bayang Lutfan.
“Percaya dengan kasih sayang ALLAH. Anna kena ingat,
ALLAH yang tetapkan jodoh Anna dengan Affan. Perkahwinan Anna dan Affan ni
terjadi bukan atas kemahuan mama, papa, tok wan mahupun ayah atau ibu
semata-mata. Kami mungkin jadi penyebab atau pembuka jalan tapi perkahwinan ni
takkan terjadi tanpa izin dan restu dari ALLAH. Anna fahamkan kata-kata mama
ni?” ujar Puan Rose tenang.
Arianna mengangguk sekali. Dia faham. Cukup faham dengan
percaturan Ilahi. Tetapi dia hanyalah manusia biasa yang sering tewas dengan
kehendak akal dan hati. Sakitnya bila takdir dan kehendak hati tak bergerak
seiring.
“Bahagia itu perlu dicari dan diusahakan. Sama ada
dari pihak Anna atau Affan, dua-dua kena sama-sama belajar untuk mencari
bahagia dalam rumah tangga. Masing-masing kenalah saling menerima dan memberi.
Dan sebagai isteri, tugas Anna adalah untuk membahagiakan suami. Begitulah juga
sebaliknya. Boleh?” tanya Puan Rose penuh makna.
“Huh?” Arianna panggung wajah.
“Boleh Anna janji dengan mama untuk bahagiakan anak
mama tu?” Redup pandangannya menikam anak mata Arianna.
“Insya-Allah, ma.” Arianna melarikan pandangan ke arah
lain. Berat bibirnya untuk berjanji. Tetapi untuk mengecewakan wanita yang
telah dianggap seperti ibunya sendiri itu, dia juga tidak berdaya.
“Anna kena pandai tawan hati Affan tu. Orang lelaki
ni, ada dua cara kita nak tambat hati dia. Anna tahu tak?” soal Puan Rose
memancing perhatian Arianna.
Arianna menggelengkan kepala. “Apa dia, ma?”
“Satu, tawan perut dia melalui masakan. Dan satu lagi,
tawan nafsu dia semasa di bilik tidur. Kalau bab memasak tu mama boleh ajar
Anna macam mana nak tambat selera Affan tapi kalau bab bilik tidur tu kena
pandai-pandai sendirilah. Tak ada praktikal tapi banyak buku Anna boleh rujuk,”
beritahu Puan Rose sambil tergelak kecil.
Mendengarkan kata-kata mama mertuanya itu, wajah
Arianna terasa berbahang. Mula dia rasa tak senang duduk. Sungguh dia tak
pernah terfikir sehingga sejauh itu.
“Ehemm…rancak mama berborak dengan isteri Affan ni.
Bergosip ke?” tegur Affan yang sedang berdiri di muka pintu dapur sambil
berpeluk tubuh.
“Kus semangat. Budak bertuah ni! Terkejut mama.” Puan
Rose mengurut dada. Entah sejak bila anaknya itu berada di situ, langsung tak
disedarinya.
“Mama gossip apa dengan isteri Affan?” Sambil
tersenyum nipis, Affan mengulang pertanyaannya. Malam itu dia segak dalam baju
Melayu berwarna kuning dan berkain pelekat. Wajahnya tampak segar dengan rambut
yang masih basah.
“Gossip apa bulan-bulan puasa ni. Itu hal orang
perempuan. Mana boleh beritahu kamu. Yang kamu ni menyibuk dekat dapur ini buat
apa?” balas Puan Rose.
“Affan datang ni sebab nak panggil mama, solat Maghrib
berjemaah sekali. Papa dah lama tunggu dengan Tok Wan dalam bilik solat tu,” beritahu
Affan.
“Ya ALLAH. Ralit sangat berborak dengan Anna sampai
lupa mama tak solat Maghrib lagi. Dahlah...mama nak masuk bilik dulu.” Kalut
Puan Rose melangkah ke tingkat atas, meninggalkan hanya Affan dan Arianna di
ruang dapur.
Arianna bingkas bangkit. Renungan tajam Affan
membuatkan dia jadi tak senang duduk. Dia benci dengan panahan mata helang itu.
Terasa seperti dirinya seperti sedang diimbas luar dan dalam.
“Abang tak tahu pun yang Rie pandai masak lauk kari.”
Suara Affan tenang. Selama ini kesibukannya di pejabat membuatkan dia jarang
menjamah masakan di rumah. Lagipun dia tak pernah sangka Arianna pandai
memasak. Kalau dia tahu hari-hari dia sanggup ulang-alik dari pejabatke rumah
semata-mata untuk menjamah air tangan isteri.
“Dah abang tak tanya. Takkan Rie nak cerita pula,” jawab
Arianna menutup gugup di hati.
“Sedap lauk Rie masak tadi. Semuanya kena dengan
selera abang terutamanya lauk kari tu,” puji Affan.
“Hmmm…” Dia
jadi kekok dengan pujian Affan. Lalu dipalingkan tubuh agar membelakangi lelaki
itu. Pura-pura sibuk mengelap permukaan meja kabinet yang dah sedia bersih itu.
“Lepas ni, Rie masak untuk abang setiap hari ya.
Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam semuanya abang nak dari air
tangan isteri abang ni,” pinta Affan lembut.
“Huh?” Arianna terkesima. Dia panggung wajah.
“Boleh kan?”
“Errr…” Arianna tiada jawapan.
“Lepas Raya nanti, abang nak Rie masak untuk abang.
Sebelum abang pergi kerja, Rie siapkan sarapan. Kemudian tengah hari abang akan
balik rumah untuk makan tengah hari. Malam abang akan makan di rumah kalau
abang tak ada dinner atau appointment dengan client. Dan untuk bulan puasa ni, Rie masakkan lauk sahur dan
berbuka. Lepas ni abang tak nak lagi beli lauk kedai,” atur Affan.
“Tapi…” Arianna telan liur dengan kata-kata Affan. Dia
mencari-mencari alasan untuk menolak tetapi satu pun tak muncul di benak
fikirannya.
“Betul cakap mama tadi. Langkah pertama Rie kena tawan
hati abang melalui masakan dulu. I think
we should give a try for the sake of our marriage.”
Kata-kata Affan sekali lagi membuat Arianna terkedu.
Mesti lelaki ini mengintip perbualannya tadi.
“Pasal tips di bilik tidur tu, maybe you should consider to move in my bedroom after this, hmmm? Tak
payah pindah balik ke bilik tidur Rie tu.” Ada senyum sinis yang herot di
pinggir bibirnya. Melihat kegusaran Arianna, semakin galak dia mengusik si
isteri.
“Rie tak…”
“Abang nak solat dulu,” pangkah Affan sebelum sempat
Arianna meningkah. Cepat-cepat dia berpaling untuk berlalu ke bilik solat. Namun
dia tiba-tiba menghentikan langkah dan memusingkan tubuh ke arah Arianna.
“Masak lauk kari setiap hari untuk abang. Abang rasa
abang dah jatuh cinta…dengan lauk kari Rie tu. Mana tahu selepas ni abang jatuh
cinta dengan tukang masaknya pula.” Affan kenyit mata sebelum dia kembali
meneruskan langkahnya.
Dan abang juga akan buat Rie jatuh cinta dengan abang.
Bisik hatinya.
Arianna mengetap bibir kuat. Bicara Affan yang
terakhir itu benar-benar membuat jiwanya jadi tidak keruan. Hatinya semakin
dihambat resah.