Gegaran yang tidak henti-henti di telefon bimbit ‘Aisy sedikit
mengganggu tumpuannya di skrin komputer. Di kerling sekilas ke arah telefon
yang sudah senyap dan dia kembali meneruskan kerjanya yang terhenti. Sejak dari
pagi lagi dia bertungkus-lumus menyiapkan slaid pengajaran dan merangka soalan
tugasan untuk diberikan kepada para pelajarnya. Dek begitu terleka dengan kerja
yang bertimbun, akhirnya dia terlupa untuk melihat pesanan mesej yang masuk.
Setelah urusan kerjanya disiapkan, barulah dia mencapai telefon
yang diletakkan di sisi meja pejabatnya. Lagipun, waktu rehat tengah hari sudah
hampir menjengah. Bibirnya menguntumkan senyum saat matanya dihalakan pada
skrin telefon. Terdapat tiga mesej yang dihantar oleh Harris. Tidak sibuk kah
lelaki itu dengan kerja? Bukankah pada waktu-waktu begini Harris tidak menang
tangan berurusan dengan rakan perniagaan korporatnya.
‘Sayang! Kenapa sukar sangat sayang nak berterus-terang dengan abang?
Dah lupa janji sayang?’
Terpapar kiriman mesej pertama daripada Harris di skrin telefon.
Senyuman ‘Aisy mati. Dahinya berkerut cuba mencerna ayat yang baru dibacanya.
Apa yang dimaksudkan Harris? Berterus-terang tentang apa? Seingatnya
segala-galanya telah dirungkaikan dengan penyatuan kasih di antara mereka.
Hatinya merasa tidak enak.
‘How could you do this to me, sayang? It causes me so much
pain.’
Mesej kedua dibaca kali ini dengan debaran di dada. Semakin sesak
benaknya dengan pelbagai andaian. Dugaan apakah kali ini yang datang menguji
rumahtangga mereka? Fitnah apakah lagi yang sampai ke telinga Harris? Otaknya
mula memikirkan bermacam-macam kemungkinan yang bukan-bukan.
‘Sayang! Where are you? Why don’t you answer me? Jangan dera
perasaan abang, sayang. Sakitnya jiwa abang ini, sayang.’
Saat dia membaca mesej yang ketiga, perasaannya sudah dipagut
resah yang tidak bertepi. Hatinya benar-benar tidak keruan dengan bait-bait
ayat yang ditaip Harris. Sesungguhnya dia tidak mengerti dan buntu. Apakah
kesalahan yang telah dilakukannya? Sedangkan pagi tadi hubungan mereka masih
lagi hangat dengan kemesraan.
Terketar-ketar tangannya mendail nombor telefon Harris. Hendak
membalas mesej suaminya dirasakan terlalu sukar untuk merungkaikan segala persoalan
melalui khidmat pesanan ringkas. Dia menunggu panggilannya diangkat namun
hampa.
‘Aisy mengeluh lemah. Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri
kerana membiarkan sahaja mesej yang bertubi-tubi masuk. Dia cuba mendail buat
kali kedua. Bunyi deringan menandakan panggilannya masuk namun tiba-tiba talian
diputuskan membuatkan debaran di dadanya semakin kencang. Kenapa Harris
memutuskan talian? Marah benarkah suaminya saat itu sehingga langsung tidak
mahu bercakap dengannya?
‘Aisy sudah tidak betah duduk. Dia mundar-mandir di dalam bilik
pejabatnya. Peluh renek memercik di dahi. Penyaman udara yang terpasang seakan
tidak dapat menenangkan kegusaran di hati.
‘Apa maksud abang? Berterus-terang tentang apa? ‘Aisy tak faham.’
Tidak menunggu lama dia menaipkan mesej dan pantas butang hantar
ditekan. Satu minit, dua minit, tiga minit sehinggalah sepuluh minit berlalu,
namun tiada balasan daripada Harris.
“Abang, jangan buat ‘Aisy takut macam ni.” Gugup lontaran suara
‘Aisy bercakap seorang diri. Air mata sudah mula bermain di tubir. Ligat
akalnya memikirkan cara untuk menghubungi Harris. Dia tidak rela membiarkan
Harris terus dihambat prasangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengundang keluhan ‘Aisy.
Sebolehnya dia tidak ingin diganggu, apatah lagi di saat hatinya disapa gundah.
Namun, mengingatkan dia sedang berada di pejabat, kakinya tetap melangkah malas
ke arah pintu biliknya. Tombol pintu dipulas.
“Abang!” Jerit ‘Aisy tatkala melihat wajah Harris yang tersembul
di hadapan biliknya. Menyedari keterlanjurannya, dia segera menutup mulut.
Bimbang jika suaranya mengundang tumpuan rakan-rakan sepejabat di aras yang
sama.
Bulat matanya seakan tidak percaya kelibat Harris di depan mata.
Pandangan matanya bersabung dengan anak mata Harris. Buat beberapa detik, tiada
bicara yang mengiringi kata. Kesempatan itu diambil untuk menebak riak muka
Harris yang keruh.
Akhirnya, sebuah keluhan dilepaskan Harris sebelum lelaki itu
memulakan bicara.
“Kenapa sayang tak nak beritahu abang?” Persoalan sama yang
telah diutarakan dalam pesanan ringkas kini meniti di bibir Harris membuatkan
‘Aisy terasa sesak. Apa sebenarnya yang Harris ingin tahu darinya.
“Beritahu apa?” Sungguh benaknya buntu untuk menebak maksud
kata-kata Harris. Terlalu banyak andaian tanpa satu kesimpulan yang pasti.
Keadaan Harris yang masih tegak terpaku memandangnya membuatkan dia semakin
diragut risau.
“Abang? Abang hendak tahu tentang apa sebenarnya?” Ulangnya sekali
lagi apabila persoalannya hanya dijamah sepi. Sesungguhnya dia tidak tegar
membiarkan kebahagiaan yang baru dinikmatinya kembali dilanda badai. Dia sudah
tidak sanggup untuk melalui kepedihan saat kesetiaannya dicurigai suami
sendiri.
“Tentang hubungan kita...” Serius kedengaran suara Harris semakin
membuatkan ‘Aisy terpinga-pinga.
“Kenapa dengan kita?”
‘Aisy melongo. Ingin segera dirungkaikan segala persoalan yang
bermain di benaknya. Namun, Harris tidak terus menjawab apabila menyedari
keadaan mereka berdua yang sedang berdiri di muka pintu.
“Abang rasa lebih baik kita cakap di dalam.” Pinta Harris sambil
menarik tangan sejuk ‘Aisy masuk ke dalam bilik pejabat isterinya. Pintu bilik
ditutup dan dikunci dari dalam. Tidak sesuai jika perbualan mereka berdua hanya
berlangsung di muka pintu. Tambahan pula, kelibat pelajar yang lalu-lalang di
koridor mengganggu privasi mereka berdua.
Harris melabuhkan duduk di atas sofa yang berada di hujung bilik
dan ‘Aisy mengambil tempat di sisi suaminya.
“Kenapa dengan hubungan kita? ‘Aisy ada sakitkan hati abang ke?”
Soal ‘Aisy lembut. Wajah Harris yang sukar diteka reaksinya direnung dengan
penuh asyik, memohon sebuah penjelasan.
“Ha’ah, sayang dah buat hati abang ini sakit. Kerana sayang,
fikiran abang terganggu, jiwa abang terseksa.”
Jawapan lemah Harris menjentik rasa kurang senang di hati ‘Aisy.
Ligat otaknya memutarkan ingatan, mencari-cari kesalahan yang mungkin dilakukan
di luar sedar sehingga menggores perasaan Harris. Namun, dia gagal temui.
“Sepanjang hari abang cuba bertahan. Abang cuba buat tak peduli.
Abang cuba sibukkan diri dengan kerja tapi abang tak mampu. Sakitnya dada abang
ini, sayang. Sesak nafas abang seperti tak cukup oksigen.” Ujar Harris
menyambung kata.
‘Aisy semakin dihimpit rasa bersalah. Tetapi, apakah sebenarnya
kekhilafan yang telah dilakukannya sehingga mengundang ketidakpuasan hati
Harris? Sehingga saat itu dia buntu untuk memikirkannya.
“Apa yang ‘Aisy dah buat pada abang?” ‘Aisy menelan liur pahit.
“Takkan sibuk sangat bekerja sampai sayang langsung tak ingat?”
Soalan sinis yang diutarakan Harris hanya menambahkan teka-teki di benak ‘Aisy.
Sejujur nya dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa kesilapan yang pernah
terjadi.
“Sungguh ‘Aisy betul-betul tak ingat.” ‘Aisy menggelengkan
kepalanya. Dia mengelipkan matanya yang mula digenangi mutiara putih. Sedaya
upaya dia cuba menahan gelodak perasaan yang kian kuat berkocak.
“Sampai hati sayang dera perasaan abang. Sayang dah lupa janji
sayang pada abang?” Intonasi suara Harris yang berbaur rajuk membuatkan ‘Aisy
kaget.
“Janji?”
“Pagi tadi, sebelum ke pejabat, apa yang sayang janji dengan
abang?” Tutur Harris mengingatkan.
Kerutan di dahi ‘Aisy menandakan yang dia masih gagal mengingati
sebarang janji yang telah dibuat. Harris mendengus perlahan.
“You promised me to made a confession, remember?” Beritahu
Harris sambil menjeling tajam kepadanya.
‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Dia mula mengerti apa yang
dimaksudkan Harris. Lelaki itu mahukannya membuat pengakuan tentang perasaannya
terhadap Harris.
Dia sendiri pelik dengan kemahuan Harris yang mahukannya untuk
mengungkapkan kata cinta dan rindu setiap hari. Padahal bukannya tidak pernah
bibirnya mengakui cinta pada lelaki itu sebelum ini, cuma baginya kata-kata itu
tidak perlulah diucapkan selalu. Bimbang jika semakin kerap disebut, rasa itu
semakin hilang kehangatannya.
“Sayang juga janji nak inform abang bila dah sampai pejabat. But you never did.”
‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Macam mana dia langsung tidak
teringat tentang itu. Kali ini dia benar-benar bersalah kerana dia sendiri yang
mengikrarkan janji itu. Janji yang dibuat semata-mata untuk memujuk Harris
membenarkannya memandu sendiri ke tempat kerja.
Sudah hampir dua minggu dia telah memulakan kerja setelah pulih
daripada pembedahan. Untuk tempoh itu, pergi dan pulangnya dari pejabat
berjemput. Jika Harris tidak dapat mengambilnya, dihantar Pak Mat sebagai
ganti. Dia rimas dengan keadaan itu. Mata-mata yang memandang juga membuatkan
hatinya tidak senang.
“’Aisy minta maaf. ‘Aisy terlupa.” Beritahu ‘Aisy dengan rasa
bersalah.
“Sepanjang pagi abang tunggu mesej atau panggilan daripada sayang.
Jawab mesej dan panggilan abang pun tak. I’m
worried sick about you. Sampaikan satu kerja pun abang tak dapat fokus.
Dalam kepala ini asyik teringatkan sayang.” Keluh Harris sambil menyandarkan
tubuhnya ke belakang kerusi.
“Penantian itu memang suatu penyeksaan. Apatah lagi menantikan
sesuatu daripada orang yang tersayang. Sayang buat dada abang berdegup kencang
kerana risaukan keselamatan sayang.” Kendur suara Harris membuatkan ‘Aisy
bungkam.
“Jantung abang ni..Cuba sayang rasa. Kuat hentakan dia, sakit
sayang.” Bisik Harris sambil menggenggam tangan ‘Aisy dan dibawa ke dadanya.
Dapat dirasakan ritma denyutan jantung suaminya agak luar biasa.
“Maafkan ‘Aisy kerana buat abang risau. ‘Aisy benar-benar terlupa
tadi.” Tunak anak mata Harris direnungnya. Sinar mata lelaki itu jelas
memancarkan cahaya cinta yang sarat. Hatinya tersentuh.
“Hey, sayang. Kenapa menangis ni?” Lenggok suara Harris berubah
apabila menyedari setitis air mata gugur membasahi pipi ‘Aisy. Air mata wanita
yang bisa mengalahkan ego lelakinya. Pantas tangan kirinya merangkul erat
pinggang ‘Aisy dan dibawa tubuh kecil isterinya rapat ke sisi.
‘Aisy bungkam. Dia hanya membiarkan perlakuan Harris. Entah kenapa
hatinya benar-benar terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Harris
terhadapnya. Adakah itu tanda cintanya yang semakin mendalam buat Harris? Dia
sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu.
“Shh..abang tak marahkan sayang. Abang cuma luahkan apa yang abang
rasa supaya sayang mengerti. You
are everything to me. Nama sayang terpahat dalam setiap hembusan nafas dan
denyutan nadi abang. Lagipun, ugutan Sofia tempoh hari buat abang tak senang
hati.”
Air mata ‘Aisy disapu dengan ibu jari Harris. Kejadian yang telah
menimpa ‘Aisy angkara Sofia membuatkan dia sentiasa berhati-hati memantau
keselamatan isterinya. Disebabkan itulah dia enggan membenarkan ‘Aisy memandu
sendirian ke tempat kerja. Namun, pada masa yang sama dia tidak sampai hati
untuk menghampakan permintaan ‘Aisy. Dia tahu ‘Aisy kurang selesa dihantar dan
dijemput pulang dari kerja.
‘Aisy melentokkan kepalanya ke dada Harris. Perlakuan manja
isterinya membuatkan dia tersenyum senang.
“’Aisy sayangkan abang.” Luah ‘Aisy tanpa dipinta. Tangannya
melingkar di pinggan Harris.
“Abang pun sayangkan sayang sangat-sangat. Tapi, janji dengan
abang jangan buat abang risau macam tu lagi. Keep
updating me wherever you go.” Harris mengingatkan sambil melebarkan
senyuman di bibirnya.
“’Aisy janji.” Suara ‘Aisy manja.
Harris mengusap lembut bahu ‘Aisy. Dia menghembuskan nafas lega.
Langkahnya untuk mengembalikan semula ‘Aisy yang pernah dikenalinya lebih empat
tahun yang lalu semakin membuahkan hasil. Seorang isteri yang manja dan penuh
dengan cinta yang membara. Dia tahu kerana kenangan silam yang menyakitkan, ‘Aisy
berubah menjadi seorang yang kaku dan beku dalam berkasih sayang.
“Hem..nasib baik abang jumpa sayang. Kalau tak, entah di mana
abang nak merawat sakit di dada abang ni.” Sela Harris dalam nada ceria.
“Doktor kat hospital kan ramai. Carilah doktor yang lawa-lawa.
Mesti cepat baik jantung abang tu.” Balas ‘Aisy sambil memainkan tangannya di
dada Harris.
“Tak ada gunanya, sayang. Doktor perubatan tak boleh rawat sakit
abang ni. Tetapi hanya seorang Doktor saja yang boleh…” Kata-kata Harris
membuatkan ‘Aisy tidak senang duduk. Dia melonggarkan pelukan dan wajah Harris
dipandang tajam.
“Siapa?” Gumam ‘Aisy.
Harris tersenyum simpul. Kini sudah pandai cemburu juga isterinya.
“Doktor yang tengah cemburu buta di depan abang ni, Dr. Rahadatul
‘Aisy Hilmi” Bisik Harris sambil mengenyitkan matanya. Sempat dia mencuit nakal
hidung ‘Aisy sehingga membuatkan wanita itu terkesima.
“Mana ada ‘Aisy cemburu.” Marah ‘Aisy sehingga tanpa sedar dia
mencubit lengan Harris. Dia mengetap bibir geram apabila Harris mula meledakkan
ketawa. Sedar yang dirinya telah dipermainkan.
“Aduh, sayang! Sejak bila isteri abang ini ada sepit ni.” Usik
Harris diiringi tawa kecil. Sempat dia menangkap jari-jemari ‘Aisy yang galak
merayap mengetil lengannya.
“Mengaku sajalah yang sayang cemburu. Dahsyat juga isteri abang
ini bila cemburu ya, merah muka tu.” Tambah Harris tidak mahu kalah. Semakin
galak tawa Harris.
“Tak kuasalah ‘Aisy nak cemburu.” Sangkal ‘Aisy. Tanpa sedar, dia
menyentuh pipinya. Nampak sangat ke? Soalnya di dalam hati.
“Tapi abang suka sayang cemburu. Cemburukan tandanya sayang. It shows that you do really love me
so much, right?” Bisikan romantis Harris membuatkan wajah ‘Aisy berubah
merah.
“You look so sexy when you are blushing.” Pujian Harris
yang kedengaran begitu nakal membuatkan ‘Aisy menghadiahkan jelingan tajam
kepadanya.
“Jangan jeling abang macam tu, sayang. Panahan mata sayang yang
menggoda tu buat abang rasa nak terkam sayang sekarang juga.” Gurauan Harris
yang semakin menjadi-jadi membuatkan ‘Aisy menjegilkan matanya yang tidak
berapa luas itu.
“Eii..malas ‘Aisy nak layan abang.” Getus ‘Aisy sebal sambil cuba
merenggangkan rangkulan. Namun, tindakannya hanya membuatkan Harris semakin
mengemaskan tangannya di pinggang ‘Aisy.
“Pandai mengelat nak larikan diri daripada abang ya.” Kemas tubuh
‘Aisy dibawa menghimpit ke dadanya. Dia bahagia dengan sentuhan hangat itu.
“Bukan larikan diri tapi nak selamatkan diri daripada raksasa yang
mula nak menggatal.” Jawapan ‘Aisy membuatkan Harris membulatkan matanya. Suatu
perkembangan yang baik apabila isterinya sudah mula berani bergurau begitu
dengannya.
“Ooo.. mengata abang raksasa gatal, ya. Mari abang tunjukkan macam
mana raksasa menggatal dengan isteri raksasa.” Harris mula ingin menggeletek
tubuh ‘Aisy apabila isterinya berjaya meloloskan diri.
“Abang, stop it.”
Tindakan Harris membuatkan ‘Aisy terjerit halus. Dia menutup mulutnya bimbang
jika didengari oleh teman-teman pejabat yang lain walaupun bilik mereka
dipisahkan dengan tembok batu yang kedap bunyi.
“Janganlah, abang. Nanti kalau ‘Aisy jerit semua orang dengar,
malu!” Tegah ‘Aisy sambil cuba melarikan diri. Namun ke mana sangatlah dia
boleh pergi dalam keluasan bilik yang hanya sekangkang kera itu.
“Okay, abang tak buat lagi dah. Semua aksi melampau akan disambung
di rumah nanti.” Ujar Harris sambil mengangkat kedua belah tangannya. Sempat
dia mengangkat keningnya nakal.
Akhirnya, ‘Aisy membiarkan tubuhnya kembali berada di dalam
dakapan Harris. Masing-masing mendiamkan diri, menikmati rasa cinta yang
mengalir melalui sentuhan hangat dua jiwa.
“I love you so much, sayang. Terima
kasih kerana memberi abang peluang kedua untuk merasa bahagia ini.” Bicara
Harris mengusik tangkai hati ‘Aisy.
“Terima kasih juga pada abang kerana tak jemu manjakan ‘Aisy
dengan cinta dan kasih sayang abang.”
Entah kuasa apa yang merasuk, ‘Aisy menghadiahkan sebuah ciuman hangat
di pipi Harris membuatkan suaminya tercengang. Tidak lama selepas itu, dia
mengukirkan senyuman yang cukup lebar dengan keberanian isterinya.
“Err.. jom kita makan tengah hari. ‘Aisy lapar.” Rengek ‘Aisy
mengalih topik. Di dalam hati, terbuku rasa malu yang masih menebal dengan
tindakan spontannya tadi.
Harris yang
menyedari wajah ‘Aisy yang sedang pijar hanya menganggukkan kepala tanda
bersetuju. Makan tengah hari berdua bersama ‘Aisy merupakan suatu perkara yang
sering ditunggu-tunggunya. Senyuman bahagia terus diukir di wajahnya. Lebar dan
semakin melebar.
hi.. mcm mana i nak oder buku ni..
ReplyDeletehttp://www.ideakreatif.net
Delete