Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Wednesday, 22 February 2012

Titian Cinta: Bab 26

Gegaran yang tidak henti-henti di telefon bimbit Rahadatul ‘Aisy sedikit mengganggu tumpuannya di skrin komputer. Di kerling sekilas ke arah telefon yang sudah senyap dan dia kembali meneruskan kerjanya yang terhenti. Sejak dari pagi lagi dia bertungkus-lumus menyiapkan slaid pengajaran dan merangka soalan tugasan untuk diberikan kepada para pelajarnya. Dek begitu terleka dengan kerja yang bertimbun, akhirnya dia terlupa untuk melihat pesanan mesej yang masuk.
Setelah urusan kerjanya disiapkan, barulah dia mencapai telefon yang diletakkan di sisi meja pejabatnya. Lagipun, waktu rehat tengah hari sudah hampir menjengah. Bibirnya menguntumkan senyum saat matanya dihalakan pada skrin telefon. Terdapat tiga mesej yang dihantar oleh Umayr Harris. Tidak sibuk kah lelaki itu dengan kerja? Bukankah pada waktu-waktu begini Umayr Harris tidak menang tangan berurusan dengan rakan perniagaan korporatnya.
‘Sayang! Kenapa sukar sangat sayang hendak berterus-terang dengan abang? Dah lupa janji sayang?’ Terpapar kiriman mesej pertama daripada Umayr Harris di skrin telefon. Senyuman Rahadatul ‘Aisy mati. Dahinya berkerut cuba mencerna ayat yang baru dibacanya. Apa yang dimaksudkan oleh Umayr Harris? Berterus-terang tentang apa? Seingatnya segala-galanya telah dirungkaikan dengan penyatuan kasih di antara mereka. Hatinya merasa tidak enak.
How could you do this to me, sayang? It causes me so much pain.’ Mesej kedua dibaca kali ini dengan debaran di dada. Semakin sesak benaknya dengan pelbagai andaian persoalan. Apakah yang dimaksudkan oleh Umayr Harris? Dugaan apakah kali ini yang datang menguji rumahtangga mereka? Fitnah apakah lagi yang sampai ke telinga Umayr Harris? Otaknya mula memikirkan bermacam-macam kemungkinan yang bukan-bukan.
“Sayang! Where are you? Why don’t you answer me? Jangan main-mainkan perasaan abang, sayang. Sakitnya hati abang ini, sayang.” saat dia membaca mesej yang ketiga, perasaannya sudah dipagut resah yang tidak bertepi. Hatinya benar-benar tidak keruan dengan bait-bait ayat yang ditaip oleh Umayr Harris. Sesungguhnya dia tidak mengerti dan buntu. Apakah kesalahan yang telah dilakukannya? Sedangkan pagi tadi hubungan mereka masih lagi hangat dengan kemesraan.
Terketar-ketar tangannya mendail nombor telefon Umayr Harris. Hendak membalas mesej suaminya dirasakan terlalu sukar untuk merungkaikan segala persoalan melalui khidmat pesanan ringkas. Dia menunggu panggilannya diangkat namun hampa. Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah.
Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri kerana membiarkan sahaja mesej yang bertubi-tubi masuk. Dia cuba mendail buat kali kedua. Bunyi deringan menandakan panggilannya masuk namun tiba-tiba talian diputuskan membuatkan debaran di dadanya semakin kencang. Kenapa Umayr Harris memutuskan talian? Marah benarkah suaminya saat itu sehingga langsung tidak mahu bercakap dengannya?
Rahadatul ‘Aisy sudah tidak betah duduk. Dia mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Peluh renek memercik di dahi. Penyaman udara yang terpasang seakan tidak dapat menenangkan kegusaran di hati.
“Apa maksud abang? Berterus-terang tentang apa? ‘Aisy tak faham” tidak menunggu lama dia menaipkan mesej dan pantas butang hantar ditekan. Satu minit, dua minit, tiga minit sehinggalah sepuluh minit berlalu, namun tiada balasan daripada Umayr Harris.
“Abang, jangan buat ‘Aisy takut macam ni” gugup lontaran suara Rahadatul ‘Aisy bercakap seorang diri. Air mata sudah mula bermain di tubir. Ligat akalnya memikirkan cara untuk menghubungi Umayr Harris. Dia tidak rela membiarkan Umayr Harris terus dihambat prasangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengundang keluhan Rahadatul ‘Aisy. Sebolehnya dia tidak ingin diganggu, apatah lagi di saat hatinya disapa gundah. Namun, mengingatkan dia sedang berada di pejabat, kakinya tetap melangkah malas ke arah pintu biliknya. Tombol pintu dipulas.
“Abang!” Jerit Rahadatul ‘Aisy tatkala melihat wajah Umayr Harris yang tersembul di hadapan biliknya. Menyedari keterlanjurannya, dia segera menutup mulut. Bimbang jika suaranya mengundang tumpuan rakan-rakan sepejabat di aras yang sama.
Bulat matanya seakan tidak percaya kelibat Umayr Harris di depan mata. Pandangan matanya bersabung dengan anak mata Umayr Harris. Buat beberapa detik, tiada bicara yang mengiringi kata. Kesempatan itu diambil untuk menebak riak muka Umayr Harris yang keruh. Akhirnya, sebuah keluhan dilepaskan oleh Umayr Harris sebelum lelaki itu memulakan bicara.
 “Kenapa sayang tak beritahu abang?” persoalan sama yang telah diutarakan dalam pesanan ringkas kini meniti di bibir Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terasa sesak. Apa sebenarnya yang Umayr Harris ingin tahu darinya.
“Beritahu apa?” Sungguh benaknya buntu untuk menebak maksud kata-kata Umayr Harris. Terlalu banyak andaian tanpa satu kesimpulan yang pasti. Keadaan Umayr Harris yang masih tegak terpaku memandangnya membuatkan dia semakin diragut risau.
“Abang? Abang hendak tahu tentang apa sebenarnya?” ulangnya sekali lagi apabila persoalannya hanya dijamah sepi. Sesungguhnya dia tidak tegar membiarkan kebahagiaan yang baru dinikmatinya kembali dilanda badai. Dia sudah tidak sanggup untuk melalui kepedihan saat kesetiaannya dicurigai oleh seorang suami.
“Tentang hubungan kita...” serius kedengaran suara Umayr Harris semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpinga-pinga.
“Kenapa dengan kita?” Rahadatul ‘Aisy melongo. Ingin segera dirungkaikan segala persoalan yang bermain di benaknya. Namun, Umayr Harris tidak terus menjawab apabila menyedari keadaan mereka berdua yang sedang berdiri di muka pintu.
“Abang rasa lebih baik kita bercakap di dalam” pinta Umayr Harris sambil menarik tangan sejuk Rahadatul ‘Aisy masuk ke dalam pejabat isterinya. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Tidak sesuai jika perbualan mereka berdua hanya berlangsung di muka pintu. Tambahan pula, kelibat pelajar yang lalu-lalang di koridor mengganggu privasi mereka berdua.
Umayr Harris melabuhkan duduk di atas sofa yang berada di hujung bilik dan Rahadatul ‘Aisy mengambil tempat di sisi suaminya.
“Kenapa dengan hubungan kita? ‘Aisy ada sakitkan hati abang ke?” soal Rahadatul ‘Aisy lembut. Wajah Umayr Harris yang sukar diteka reaksinya direnung dengan penuh asyik, memohon sebuah penjelasan.
“Ha’ah, sayang dah buat hati abang ini sakit. Kerana sayang, fikiran abang terganggu, jiwa abang terseksa” jawapan lemah Umayr Harris menjentik rasa kurang senang di hati Rahadatul ‘Aisy. Ligat otaknya memutarkan ingatan, mencari-cari kesalahan yang mungkin dilakukan di luar sedar sehingga menggores perasaan Umayr Harris. Namun, dia gagal temui.
“Sepanjang hari abang cuba bertahan. Abang cuba buat tidak peduli. Abang cuba sibukkan diri dengan kerja tapi abang tak mampu. Sakitnya dada abang ini, sayang. Sesak nafas abang seperti tak cukup oksigen” ujar Umayr Harris menyambung kata membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin dihimpit rasa bersalah. Tetapi, apakah sebenarnya kekhilafan yang telah dilakukannya sehingga mengundang ketidakpuasan hati Umayr Harris? Sehingga saat itu dia buntu untuk memikirkannya.
“Apa yang ‘Aisy dah buat pada abang?” Rahadatul ‘Aisy menelan liur pahit.
“Takkan sibuk sangat bekerja sampai sayang langsung tak ingat?” persoalan yang berbaur sinis daripada Umayr Harris hanya menambahkan teka-teki di benak Rahadatul ‘Aisy. Sejujur nya dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa kesilapan yang pernah terjadi.
“Sungguh ‘Aisy betul-betul tak ingat” Rahadatul ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Dia mengelipkan matanya yang mula digenangi mutiara putih. Sedaya upaya dia cuba menahan gelodak perasaan yang kian kuat berkocak.
“Sampai hati sayang dera perasaan abang. Sayang dah lupa janji sayang pada abang?” Intonasi suara Umayr Harris yang berbaur rajuk membuatkan Rahadatul ‘Aisy kaget.
“Janji?”
“Pagi tadi, sebelum ke pejabat, apa yang sayang janji dengan abang?” tutur Umayr Harris mengingatkan. Kerutan di dahi Rahadatul ‘Aisy menandakan yang dia masih gagal mengingati sebarang janji yang telah dibuat. Umayr Harris mendengus perlahan.
You promise me to made a confession, remember?” beritahu Umayr Harris sambil menjeling tajam kepadanya. Rahadatul ‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Dia mula mengerti apa yang dimaksudkan oleh Umayr Harris. Lelaki itu mahukannya membuat pengakuan tentang luahan perasaannya terhadap Umayr Harris.
Dia sendiri pelik dengan kemahuan Umayr Harris yang mahukannya untuk mengungkapkan kata cinta dan rindu setiap hari. Padahal bukannya tidak pernah bibirnya mengakui cinta pada lelaki itu sebelum ini, cuma baginya kata-kata itu tidak perlulah diucapkan selalu. Bimbang jika semakin kerap disebut, rasa itu semakin hilang kehangatannya.
“Sayang juga janji untuk beritahu abang bila dah sampai pejabat. But you never did” Rahadatul ‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Macam mana dia langsung tidak teringat tentang itu. Kali ini dia benar-benar bersalah kerana dia sendiri yang mengikrarkan janji itu. Janji yang dibuat semata-mata untuk memujuk Umayr Harris membenarkannya memandu sendiri ke tempat kerja.
Sudah seminggu dia telah memulakan kerja setelah pulih daripada pembedahan. Untuk tempoh itu, pergi dan pulangnya dari pejabat berjemput. Jika Umayr Harris tidak dapat mengambilnya, dihantar Pak Mat sebagai ganti. Dia rimas dengan keadaan itu. Mata-mata yang memandang juga membuatkan hatinya tidak senang.
“’Aisy minta maaf. ‘Aisy terlupa” ujar Rahadatul ‘Asiy dengan rasa bersalah.
“Sepanjang pagi abang tunggu mesej atau panggilan daripada sayang. I’m worrying like crazy. Sampaikan satu kerja pun abang tak dapat fokus. Dalam kepala ini asyik teringatkan sayang” keluh Umayr Harris sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.
“Penantian itu memang sesuatu penyeksaan. Apatah lagi menantikan sesuatu daripada orang yang tersayang. Sayang buat dada abang berdegup kencang kerana risaukan keselamatan sayang” kendur suara Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy bungkam.
“Jantung abang ni..Cuba sayang rasa. Kuat hentakan dia, sakit sayang” bisik Umayr Harris sambil menggenggam tangan Rahadatul ‘Aisy dan dibawa ke dadanya. Dapat dirasakan ritma denyutan jantung suaminya agak luar biasa.
“Maafkan ‘Aisy kerana buat abang risau. ‘Aisy benar-benar terlupa tadi” tunak anak mata Umayr Harris direnungnya. Sinar mata lelaki itu jelas memancarkan cahaya cinta yang sarat. Hatinya tersentuh.
“Hey, sayang. Kenapa menangis ni?” lenggok suara Umayr Harris berubah apabila menyedari setitis air mata gugur membasahi pipi Rahadatul ‘Aisy. Air mata wanita yang bisa mengalahkan ego lelakinya. Pantas tangan kirinya merangkul erat pinggang Rahadatul ‘Aisy dan dibawa tubuh kecil isterinya rapat ke sisi.
Rahadatul ‘Aisy bungkam. Dia hanya membiarkan perlakuan Umayr Harris. Entah kenapa hatinya benar-benar terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Umayr Harris terhadapnya. Adakah itu tanda cintanya yang semakin mendalam buat Umayr Harris? Dia sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu.
“Shh..abang tak marahkan sayang. Abang cuma luahkan apa yang abang rasa supaya sayang mengerti. You are everything to me. Nama sayang terpahat dalam setiap hembusan nafas dan  denyutan nadi abang” air mata Rahadatul ‘Aisy disapu dengan ibu jari Umayr Harris. Rahadatul ‘Aisy melentokkan kepalanya ke bahu Umayr Harris. Perlakuan manja isterinya membuatkan dia tersenyum senang.
“’Aisy sayangkan abang” luah Rahadatul ‘Aisy tanpa dipinta. Tangannya melingkar di pinggan Umayr Harris. Semakin melebar senyuman di bibir Umayr Harris.
Langkahnya untuk mengembalikan semula Rahadatul ‘Aisy yang pernah dikenalinya lebih empat tahun yang lalu semakin membuahkan hasil. Seorang isteri yang manja dan penuh dengan cinta yang membara. Dia tahu kerana kenangan silam yang menyakitkan, Rahadatul ‘Aisy berubah menjadi seorang yang kaku dan beku dalam berkasih sayang.
“Hem..nasib baik abang jumpa sayang. Kalau tak, entah di mana abang dapat rawat sakit di dada abang ni” ujar Umayr Harris dalam nada ceria.
“Doktor kat hospital kan ramai. Carilah doktor yang lawa-lawa. Mesti cepat baik jantung abang tu” balas Rahadatul ‘Aisy sambil mengusap-usap tangannya di dada Umayr Harris. Manja!
“Tak ada gunanya, sayang. Doktor perubatan tak boleh rawat sakit abang ni. Tetapi hanya seorang Doktor saja yang boleh…” kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tidak senang duduk. Dia melonggarkan pelukan dan wajah Umayr Harris dipandang tajam.
“Siapa?” gumam Rahadatul ‘Aisy. Umayr Harris tersenyum simpul. Pandai cemburu juga isterinya itu.
“Doktor yang tengah cemburu buta di depan abang ni, Dr. Rahadatul ‘Aisy Hilmi” bisik Umayr Harris sambil mengenyitkan matanya. Sempat dia mencuit nakal hidung Rahadatul ‘Aisy sehingga membuatkan wanita itu terkesima. Lelaki ini mempermainkannya!
“Mana ada ‘Aisy cemburu” marah Rahadatul ‘Aisy sehingga tanpa sedar dia mencubit lengan Umayr Harris. Dia mengetap bibir geram apabila lelaki itu mula meledakkan ketawa.
“Aduh, sayang! Sejak bila isteri abang ini ada sepit ni” usik Umayr Harris diiringi tawa kecil. Sempat dia menangkap jari-jemari Rahadatul ‘Aisy yang galak merayap mengetil lengannya.
“Mengaku sajalah yang sayang cemburu. Dahsyat juga isteri abang ini bila cemburu ya, merah muka tu” usik Umayr Harris tidak mahu kalah. Semakin galak tawa Umayr Harris.
“Tak kuasalah ‘Aisy nak cemburu” balas Rahadatul ‘Aisy. Tanpa sedar, Rahadatul ‘Aisy menyentuh pipinya. Nampak sangat ke? Soalnya di dalam hati.
“Tapi abang suka sayang cemburu. Cemburukan tandanya sayang. It shows that you do really love me so much, right?” bisikan romantis Umayr Harris membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy berubah merah.
You look so sexy when you are blushing.” Pujian Umayr Harris yang kedengaran begitu nakal membuatkan Rahadatul ‘Aisy menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
“Jangan jeling abang macam tu, sayang. Panahan mata sayang yang menggoda tu buat abang rasa nak terkam sayang sekarang juga” usikan Umayr Harris yang semakin menjadi-jadi membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjegilkan matanya yang tidak berapa luas itu.
“Eii..malas ‘Aisy nak layan abang” balas Rahadatul ‘Aisy sebal sambil cuba merenggangkan rangkulan. Namun, tindakannya hanya membuatkan Umayr Harris semakin mengemaskan tangannya di pinggang Rahadatul ‘Aisy.
“Pandai mengelat nak larikan diri daripada abang ya” Kemas tubuh Rahadatul ‘Aisy dibawa menghimpit ke dadanya. Dia bahagia dengan sentuhan hangat itu.
“Bukan larikan diri tapi nak selamatkan diri daripada raksasa yang mula nak menggatal” jawapan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris membulatkan matanya. Suatu perkembangan yang baik apabila isterinya sudah mula berani bergurau begitu dengannya.
“Ooo.. mengata abang raksasa gatal, ya. Mari abang tunjukkan macam mana raksasa menggatal dengan isteri raksasa” Umayr Harris mula ingin menggeletek tubuh Rahadatul ‘Aisy apabila isterinya berjaya meloloskan diri.
“Abang, stop it” tindakan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terjerit halus. Dia menutup mulutnya bimbang jika didengari oleh teman-teman pejabat yang lain walaupun bilik mereka dipisahkan dengan tembok batu yang kedap bunyi.
“Janganlah, abang. Nanti kalau ‘Aisy jerit semua orang dengar, malu!” tegah Rahadatul ‘Aisy sambil cuba melarikan diri, namun ke mana sangatlah wanita itu boleh pergi dalam keluasan bilik yang hanya sekangkang kera itu.
“Okay, abang tak buat lagi dah. Semua aksi melampau akan disambung di rumah nanti” ujar Umayr Harris sambil mengangkat kedua belah tangannya. Sempat dia mengangkat keningnya nakal.
Akhirnya, Rahadatul ‘Aisy membiarkan tubuhnya kembali berada di dalam dakapan Umayr Harris. Masing-masing mendiamkan diri, menikmati rasa cinta yang mengalir melalui sentuhan hangat dua jiwa.
I love you so much, sayang. Terima kasih kerana memberi abang peluang kedua untuk merasa bahagia” bicara Umayr Harris mengusik tangkai hati Rahadatul ‘Aisy.
“Terima kasih juga pada abang kerana tidak jemu manjakan ‘Aisy dengan cinta dan kasih sayang abang.” Entah kuasa apa yang merasuk, Rahadatul ‘Aisy menghadiahkan sebuah ciuman hangat di pipi Umayr Harris membuatkan suaminya tercengang. Tidak lama selepas itu, dia mengukirkan senyuman yang cukup lebar dengan keberanian isterinya.
“Err.. jom kita makan tengah hari. ‘Aisy lapar” rengek Rahadatul ‘Aisy mengalih topik. Di dalam hati, terbuku rasa malu yang masih menebal dengan tindakan spontannya tadi.
Umayr Harris yang menyedari wajah Rahadatul ‘Aisy yang sedang pijar hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Makan tengah hari berdua bersama Rahadatul ‘Aisy merupakan suatu perkara yang sering ditunggu-tunggunya. Senyuman bahagia terus diukir di wajahnya. Lebar dan semakin melebar.
p/s Sudi-sudikanlah tinggalkan jejak anda (komen lah..apa lagi..hehehe)

Monday, 20 February 2012

Thursday, 16 February 2012

Titian Cinta: Bab 25

Jam di dinding sudah melewati tengah malam. Sepasang mata Umayr Harris masih segar melayan lencongan fikiran. Kedinginan malam membuai-buai rentak cinta di jiwa. Malam yang digamit sepi menderu rasa rindu di hati. Cinta dan rindu yang bercantum menjadi satu. Sesak nafasnya menahan gelora perasaan.
Seraut wajah polos Rahadatul ‘Aisy yang sedang nyenyak disapa mimpi ditenung penuh asyik. Bibir Umayr Harris menguntum senyum bahagia. Dalam keasyikan, tangan kasarnya mengusap-usap lembut pipi mulus si isteri. Jari jemarinya dibawa menjelajahi di segenap roman muka dan akhirnya terhenti pada dua ulas bibir merah bak delima milik Rahadatul ‘Aisy. Cukup seksi dan indah pada kaca mata lelakinya, menjentik nalurinya sebagai seorang suami.
Tidak semena-mena kekhilafan lalu menjengah ruang ingatan. Senyuman Umayr Harris mati dan serentak khayalan indahnya hilang berlalu pergi. Terimbau-imbau di layar matanya peristiwa pahit yang mengundang rasa bersalah yang tidak bertepi.
“Maafkan abang, sayang” kata maaf meniti di pinggir bibirnya. Walaupun berulang kali pengucapan itu dilafazkan seakan tidak mampu membuang rasa bersalah yang bersarang di hati. Bibir Rahadatul ‘Aisy dikucup lembut penuh dengan rasa kasih yang menggunung. Seakan ingin merawat kelukaan yang pernah singgah di situ. Bibir merekah yang pernah luka berdarah dek baran nya yang gagal dikawal.
Pandangannya jatuh pula pada sekujur tubuh Rahadatul ‘Aisy yang berselimut separas pinggan. Lama renungannya terkaku pada perut kempis isterinya yang pernah terisi dengan satu nyawa. Penyesalan bertubi-tubi menyerang hati dan perasaannya. Penyesalan yang tidak mungkin dapat ditebus dan ditukar ganti walaupun dengan seribu maaf yang diberi.
Ego lelakinya kalah apabila setitik mutiara jernih gugur dan mengenai pelupuk mata Rahadatul ‘Aisy.
Lena Rahadatul ‘Aisy terganggu. Terpisat-pisat dia membuka mata. Suasana bilik yang diselubungi cahaya lampu tidur yang malap membiaskan pandangan kelam. Dalam kepayahan, dia mencerna ingatan dan memusatkan pemerhatian.
Tatkala penglihatannya bertembung dengan anak mata Umayr Harris yang berkaca, hatinya melontarkan tanda tanya. Dia meraba-raba kelopak matanya yang dirasakan basah.
“Abang, kenapa ni?” Kerut di dahi Rahadatul ‘Aisy menandakan dia berusaha mencerna situasi yang sedang berlaku. Wajah Umayr Harris yang agak rapat dengan wajahnya ditenung.
“Ampunkan abang, sayang. Ampunkan abang. Abang berdosa pada sayang” serak suara Umayr Harris membiaskan penyesalan yang tidak berpenghujung. Tubuh kaku Rahadatul ‘Aisy dirangkul erat. Semakin sarat rasa keliru yang bermain di benaknya.
Perbuatan Umayr Harris mengundang rasa pelik Rahadatul ‘Aisy. Namun, dia tetap membalas pelukan lelaki itu. Hatinya bagai diruntun untuk menenangkan gelora hiba Umayr Harris. Lalu tangannya mengusap lembut belakang suaminya.
“Kenapa minta maaf dengan ‘Aisy? Abang tak salah apa pun” pertanyaan tulus Rahadatul ‘Aisy dibisikkan di cuping telinga Umayr Harris. Hati lelakinya makin tersentuh.
“Kenapa ni, abang?” Rahadatul ‘Aisy mengulangi soalan dalam nada yang lebih lembut setelah pertanyaannya hanya dibiarkan berlalu sepi oleh Umayr Harris. Pelukan dileraikan. Matanya memanah tepat pada anak mata coklat pekat Umayr Harris. Dia sabar menanti sebuah penjelasan daripada seraut wajah yang jelas terpancar kesayuan.
Tiba-tiba, tangan kasar Umayr Harris terketar-ketar menyentuh bibir Rahadatul ‘Aisy. Setitik manik putih menitis di pipinya.
“Di sinilah, tamparan abang pernah singgah sehingga melukakan bibir indah sayang. Maafkan abang, sayang” ungkap Umayr Harris penuh syahdu. Tanpa sedikit pun rasa belas, dia menjatuhkan hukuman kepada isterinya sebelum dibicarakan.
Kemudian, tangannya mengelus lengan Rahadatul ‘Aisy.
“Lengan ini pernah dicengkam kuat oleh tangan kasar abang. Pasti lebam kan, sayang? Maafkan abang kerana telah menyakiti lengan yang sepatutnya abang belai dengan penuh kasih sayang” tambah Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima.
“Abang, kenapa perlu minta maaf lagi ini? ‘Aisy dah ikhlas maafkan abang” balasan Rahadatul ‘Aisy langsung tidak berjaya menjernihkan wajah Umayr Harris. Sebaliknya, jari jemari Umayr Harris bergerak dan melekap pada perut Rahadatul ‘Aisy. Sentuhan itu mengingatkannya pada sepak terajangnya yang bertubi-tubi ke perut itu.
“Kejamnya abang sanggup meletakkan kaki abang di dinding rahim sayang yang sedang dihuni tanda cinta kita. Suami dan bapa jenis apakah abang ini sehingga sanggup membunuh zuriat sendiri?” air mata Umayr Harris berlinangan.
“Abang…bukan abang yang sebabkan anak kita mati” nafi Rahadatul ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Matanya turut lebat mengalirkan air mata. Memang selama ini dia membiarkan dirinya hanyut dalam arus kebencian dan dendam dengan menyalahkan Umayr Harris. Tetapi, dia terlupa yang semuanya adalah percaturan takdir Ilahi yang tidak mampu ditolak kehebatan-Nya.
“Kalaulah abang tak termakan dengan fitnah dan menghalau sayang dari rumah kita, pasti kita sedang berbahagia dengan zuriat kita. Dan sayang tidak perlu menanggung akibat semua ini seorang diri. Abang sepatutnya melindungi sayang, bukan membuatkan sayang menderita. Ya ALLAH! Abang berdosa pada anak kita. Abang berdosa pada sayang.” sesalan Umayr Harris bagaikan tidak berpenghujung.
“Shhh…tak perlu diungkit lagi apa yang telah terjadi.” Jari telunjuknya pantas di bawa ke bibir Umayr Harris. Pedih hatinya tatkala telinganya disapa dengan satu persatu kekesalan yang dihitung Umayr Harris.
Kenangan itu telah menjadi coretan sejarah dalam kamus hidup Rahadatul ‘Aisy. Memori yang menyakitkan untuk diingatkan. Namun, entah kenapa semua kesakitan itu seakan menjadi neutral tatkala melihatkan kedukaan dan kesengsaraan yang ditanggung Umayr Harris. Keperitan itu bagaikan terhapus dengan ratapan keinsafan suaminya.
Umayr Harris menggenggam jari-jemari Rahadatul ‘Aisy erat.
“Kerana bertuankan baran, abang memperhambakan cinta abang sendiri. Sehinggakan abang tewas pada rasa curiga. Setiap kali abang gagal mengawal baran dan menyakiti hati sayang, setiap kali itulah sayang memaafkan abang, memberikan abang peluang. Kadang-kadang abang rasakan abang sudah tidak layak mendapatkan kemaafan daripada sayang. Ampunkan abang, sayang. Terlalu banyak dosa abang pada sayang.” talar Umayr Harris berterusan mengungkapkan kata maaf tanpa jemu. Ungkapan yang semakin meruntun dan mengusik jiwa lembut Rahadatul ‘Aisy.
“Demi ALLAH, ‘Aisy dah maafkan abang dunia akhirat. ‘Aisy terima semuanya sebagai qada’ dan qadar ALLAH.” Ujar Rahadatul ‘Aisy meyakinkan Umayr Harris. Genggaman tangan suaminya dibalas kemas. Sakit hatinya menyaksikan kesedihan Umayr Harris.
“Memaafkan lebih mudah daripada melupakan. Ibarat seperti menyapu ubat pada tempat yang terluka. Luka yang sembuh pasti meninggalkan parut walaupun sakitnya sudah hilang. Abang kesal, sayang. Kesal kerana perbuatan abang tetap akan kekal sebagai kenangan hitam di hati sayang.” lirih Umayr Harris mengeluh berat.
“Memang ‘Aisy akui apa yang berlaku sukar untuk dilupakan. Tetapi, suatu hari nanti pasti semua itu akan berlalu pergi seiring dengan masa yang beranjak ke depan. Parut jika disapu minyak, lama-lama akan hilang juga, kan?” sinar mata Rahadatul ‘Aisy menatap Umayr Harris dengan sebuah pengharapan.
“Usah diungkit lagi segala kekhilafan yang telah menyakitkan kita berdua. ‘Aisy takut kesakitan itu akan menjadi api di dalam sekam. Membunuh kita berdua dalam diam.” Sambung Rahadatul ‘Aisy. Dia hanyalah manusia biasa yang juga perlukan kekuatan. Memaafkan dengan seikhlas hati merupakan langkah pertamanya untuk membuang jauh keperitan yang pernah dilaluinya.
“Maafkan abang, sayang” sekali lagi Umayr Harris mengungkapkan pernyataan itu, mengundang keluhan di bibir Rahadatul ‘Aisy. Lalu tangannya memegang kedua-dua belah pipi Umayr Harris.
“’Aisy dah maafkan abang seikhlas dan setulus cinta ‘Aisy pada abang. Jangan diungkapkan lagi kata-kata maaf kerana sudah tiada salah untuk dimaafkan. ‘Aisy reda dengan semuanya. Cuma, ‘Aisy harap abang bantu ‘Aisy untuk melupakan semua ini.” luah Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris terkesima. Seakan tidak percaya dengan kata cinta yang keluar dari mulut isterinya. Matanya berkaca-kaca memancarkan sinar bahagia.
I will, sayang. I will..” Ikrar Umayr Harris sepenuh hati. Sekali lagi tubuh Rahadatul ‘Aisy dirangkul ke dalam pelukannya. Bersaksikan cinta kita, abang janji takkan sakiti sayang lagi. Detik kata hati Umayr Harris.
Thanks for everything, sayang. I love you so much” bisik Umayr Harris sepenuh perasaan. Cinta di hati kian membara.
I love you too” balasan perlahan Rahadatul ‘Aisy mengundang senyuman di bibir Umayr Harris. Dia mengemaskan pelukannya. Kehangatan tubuh Rahadatul ‘Aisy membuatkannya tenggelam dalam lautan cinta yang tidak bertepi. Mengundang ketenangan di jiwa. Tiada lagi ungkapan kata yang menemani bicara mereka. Hanya gerak tubuh yang menggambarkan hangat nya sentuhan cinta bersulam rindu yang terpendam di antara mereka.  
Kedukaan yang lalu biarkan ia bergerak pergi. Dendam yang terpendam biarkan ia terlerai. Kasih sayang yang terputus kini bertaut kembali. Diikat dengan tali cinta yang bersimpul mati.
****************
Sayup azan Subuh yang berkumandang mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari mimpi indahnya. Dengkuran halus Umayr Harris menandakan lelaki itu masih dibuai lena. Tangan suaminya sedang elok memaut pinggangnya. Wajah yang sedang tidur pulas di sebelahnya ditatap dengan penuh kasih. Comel! Bisik hati Rahadatul ‘Aisy sambil mengukir senyum. Peristiwa semalam terakam di ruang ingatan. Penyatuan di antara dua keping hati yang telah melunaskan rindu rawan yang tersimpan.
Perlahan-lahan Rahadatul ‘Aisy menggerakkan tubuhnya ingin bangkit untuk membersihkan diri. Bimbang jika pergerakannya mengganggu tidur Umayr Harris. Tangan Umayr Harris yang melingkar kemas cuba diangkat perlahan, namun tangan itu dirasakan terlalu berat. Sebaliknya pelukan Umayr Harris semakin kejap.
“Sayang nak pergi mana?” suara serak basah Umayr Harris menyapa gegendang telinganya. Lelaki itu menongkatkan sikunya dan merenung nakal wajah Rahadatul ‘Aisy yang sedang berbaring. Rahadatul ‘Aisy terkaku. Wajahnya berona merah.
“Err..dah Subuh. ‘Aisy nak solat” beritahu Rahadatul ‘Aisy teragak-agak. Tidak tahan dengan panahan mata Umayr Harris, dia memalingkan wajah ke arah lain. Apatah lagi rasa malu sarat bersarang di jiwanya dengan apa yang telah terjadi di antaranya dan Umayr Harris semalam.
“Kenapa palingkan wajah dari abang? Tak sudi nak tengok wajah handsome abang waktu bangun tidur ke?” soal Umayr Harris dalam nada mengusik.
“Mana ada…” kata-kata Rahadatul ‘Aisy mati di situ. Tidak tahu bagaimana hendak membalas.
“Sayang malu ya?” tebakan Umayr Harris membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy semakin pijar. Senyuman mengusik jelas terukir di bibir Umayr Harris. Senyuman tampan yang membuatkan Rahadatul ‘Aisy terbuai asyik.
“Nak malu fasal apa?” tanya Rahadatul ‘Aisy pura-pura tidak mengerti.
About what happened last night. Our intimate relationship” selamba Umayr Harris menjawab disulami dengan tawa kecil. Membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin tidak keruan menahan kehangatan di wajahnya. Ingin segera disembunyikan dirinya ke dalam bilik air.
“Err..’Aisy nak ke bilik air dulu, ya” sengaja dia mengalih topik sambil menepis tangan Umayr Harris. Anak matanya dijeling ke arah Umayr Harris, mengharapkan suaminya melonggarkan rangkulan tangannya.
“Nantilah dulu. Sayang jeling abang macam tu buat abang terasa hendak sambung balik yang tertinggal semalam.” Semakin galak Umayr Harris menduga apatah lagi melihatkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang tersipu.
“Abang rindulah dengan belaian sayang. Kemanjaan..kemesraan…”
“Eii..gatal! Geli anak tekak ‘Aisy ni dengan perangai merenyam abang” gumam Rahadatul ‘Aisy memintas percakapan Umayr Harris. Dia menjegilkan matanya. Umayr Harris hanya ketawa lepas sambil merapatkan tubuh Rahadatul ‘Aisy ke badannya.  Ditolak lembut tubuh suami yang menempel.
“Abang merenyam dengan isteri abang seorang ni saja. Lagipun, dah lama abang puasa tau. Bila dah dapat sekali, itu yang buat abang rasa hendak lagi” nakal sekali Umayr Harris menggoda Rahadatul ‘Aisy. Sengaja dirapatkan wajah ke muka isterinya. Tegak bulu roma Rahadatul ‘Aisy apabila sebuah kucupan hangat singgah di kawasan pertengahan lehernya.
“Dah hilang dah rasa geli dekat tekak? Kalau rasa geli dekat tempat lain, mari sini abang ubatkan” kenyitan mata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Bijak suaminya itu mengambil kesempatan.
“Eiii..tak sukalah abang buat ‘Aisy macam tu. Ambil kesempatan ya!” dada Umayr Harris ditolak lembut. Walaupun terasa geram namun dia tidak dapat menidakkan rasa bahagia yang bermain di hati.  Setiap perlakuan nakal Umayr Harris begitu menyenangkannya.
“Abang cuma cium saja. Semalam, lebih daripada ini sayang tak cakap pun tak suka” Lagi-lagi perkara tentang semalam yang diungkit Umayr Harris.
“Malas lah nak layan abang. Makin dilayan makin menjadi-jadi. ‘Aisy nak ke bilik air ini. Lepaslah” sengaja dia mengeraskan suaranya. Kalau tidak bertegas, jangan harap Umayr Harris akan melepaskan rangkulan.
“Nak buat apa ke bilik air?” tanya Umayr Harris polos dengan mempamerkan sengihan.
“’Aisy nak mandilah, waktu Subuh pun dah lama masuk.” Jawapan Rahadatul ‘Aisy mengundang sengihan Umayr Harris yang semakin melebar.
“Mandi apa, sayang?” saat soalan itu diutarakan, Umayr Harris tergelak kuat. Tercuit hatinya melihat Rahadatul ‘Aisy yang terpisat-pisat.
“Eii..abang ini teruklah. Menyampah!” serentak itu, Rahadatul ‘Aisy bangkit dan meloloskan diri daripada rangkulan Umayr Harris yang telah dilonggarkan.
Tanpa memandang Umayr Harris dia terus mengambil tuala yang tersidai di rak ampaian dan menuju ke arah bilik air.
“Jangan lupa niat mandi wajib, ya sayang” sayup-sayup dia mendengar suara Umayr Harris tatkala melangkah masuk ke dalam bilik air. Tawa suaminya masih bersisa. Dalam diam dia turut mengukirkan senyum sambil menggelengkan kepala. Dia tahu suaminya sengaja mengusiknya. Usik-usik yang membawa bahagia!
p/s: Scene romantik sket. Hehehe...terbuai tak? Sila tinggalkan komen ya!

Monday, 13 February 2012

Titian Cinta: Bab 24

Ketukan bertalu-talu di pintu rumah sewanya mengejutkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang leka menandakan manuskrip jawapan ujian para pelajarnya. Sayup-sayup kedengaran suara seorang perempuan memberi salam diselangi dengan esak tangis. Suara itu seperti terlalu biasa didengarinya. Segera dia mencapai tudung Pashmina dan diselempangkan. Langkahnya diatur ke muka pintu.
“Sofia!” buntang mata Rahadatul ‘Aisy disapa dengan kelibat Syarifah Sofia yang sedang berdiri lemah dengan wajah yang suram. Penampilan Syarifah Sofia yang bertudung litup amat berbeza dengan Syarifah Sofia yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu. Tiada lagi imej seksi dan menggoda yang cukup sinonim dengan wanita itu. Tempoh masa empat tahun benar-benar telah merubah penampilan fizikalnya. Tidak dapat dinafikan Syarifah Sofia semakin cantik, sopan dan ayu!
Air mata yang sedang berjuraian lebat di pipi mulus milik wanita cantik itu mengundang tanda tanya di hati Rahadatul ‘Aisy. Dia kaget dan pada masa yang sama dia turut merasa keliru. Setelah lebih empat tahun persahabatannya dengan Syarifah Sofia terputus, untuk apa wanita itu tiba-tiba muncul kembali di hadapannya? Sudah lupa kah Syarifah Sofia pada ikrarnya untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengannya?
“Tolong aku ‘Aisy. Aku.. aku…” kata-kata Syarifah Sofia terhenti dan berganti dengan esakan yang semakin meruntun jiwa lembut Rahadatul ‘Aisy. Dia merenung tubuh Syarifah Sofia yang sedikit berserabut itu dari atas ke bawah, dan pandangannya terhenti pada beg pakaian yang sedang dibimbit oleh Syarifah Sofia. Jelas sesuatu telah menimpa wanita yang pernah bergelar sahabat baiknya itu.
“Apa yang sudah terjadi ini, Sofia?” terbit rasa belas kasihan di hati Rahadatul ‘Aisy. Pintu gril dibuka dan Syarifah Sofia yang sedang terenjut-enjut menahan tangis dihampiri. Walaupun terlalu banyak kenangan pahit yang telah dilakarkan oleh Syarifah Sofia di dalam hidupnya, namun dia tidak dapat menafikan rasa sayang yang masih tersisa pada sebuah persahabatan yang pernah terjalin di antara mereka. Kesedihan yang terpamer di wajah Syarifah Sofia sedikit demi sedikit membunuh rasa terkilan yang terbuku di dalam hatinya selama ini.
“Aku..aku..aku kotor, ‘Aisy” sebak bicara yang meniti di bibir pucat Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Dia memeluk tubuh Rahadatul ‘Aisy yang masih terkaku. Mencari sandaran mungkin untuknya melepaskan rasa hiba yang bersarang di hati.
“Err..kita cakap di dalam. Kau masuk dulu” Ajak Rahadatul ‘Aisy tanpa rasa ragu. Pelukan dileraikan. Dengan penuh rasa simpati dia memimpin tangan Syarifah Sofia, membawa wanita itu duduk di atas sofa. Syarifah Sofia menekurkan wajahnya ke lantai, jelas terpancar beribu sesalan.
“Kau bertenang dulu. Aku ke dapur sekejap ambilkan kau air” Tergesa-gesa dia menuju ke ruang dapur.
Beberapa minit kemudian, Rahadatul ‘Aisy kembali dengan secawan air suam, mengharapkan ia dapat memberikan sedikit kelegaan buat Syarifah Sofia. Sempat dia membacakan doa penenang hati yang dihafal nya. Itulah tindakan yang sering dilakukan oleh ibunya apabila dia ditimpa sesuatu musibah.
“Minum air ini dulu. Jangan lupa baca selawat” Pesanan dititipkan sambil menghulurkan cawan kepada Syarifah Sofia. Terketar-ketar tangan Syarifah Sofia menyambut lalu disisipkan ke mulut. Rahadatul ‘Aisy melabuhkan duduk di atas sofa berhadapan dengan Syarifah Sofia.
Beberapa waktu berlalu hanya ditemani kesepian. Sesekali diselangi sedu sedan yang dilagukan oleh Syarifah Sofia. Pandangan mata Rahadatul ‘Aisy seakan sedang berbicara, merenung Syarifah Sofia yang sedang bermuram durja di hadapannya. Sabar menunggu wanita itu untuk menjelaskan duduk perkara sebenar. Belum pernah dia menyaksikan Syarifah Sofia dalam keadaan begitu. Pasti dugaan hebat yang sedang mengujinya.
“Aku.. aku minta maaf, ‘Aisy. Aku dah tak tahu nak minta tolong pada siapa. Semua orang dah buang aku, ‘Aisy” rintih Syarifah Sofia dalam tangis.   
Mummy dan daddy dah halau aku dari rumah. Mereka tak mengaku aku anak mereka lagi. Razif pun dah putuskan hubungan dengan aku” sambung Syarifah Sofia dengan esakan yang semakin meninggi.
“Razif?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan kerutan di dahi tatkala mendengarkan suatu nama yang begitu asing di telinganya. Terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya. Sebolehnya dia tidak mahu membuat telahan terlalu awal.
“Razif..dia teman lelaki aku. Aku benar-benar cintakan dia, ‘Aisy. Segala-galanya aku korbankan demi kasih sayang aku. Tapi, akhirnya dia tinggalkan aku” luah Syarifah Sofia masih lagi di dalam sendu yang tidak bertepi.
“Sabarlah, Sofia. Mungkin dia bukan jodoh kau.” pujuk Rahadatul ‘Aisy kekok. Terasa janggal sekali dia untuk menenangkan Syarifah Sofia. Kemesraan yang pernah terlakar di antara mereka berdua ternyata telah hilang. Jika dulu, dia tidak pernah jemu menjadi tempat Syarifah Sofia melepaskan perasaan setiap kali wanita itu mengalami kegagalan dalam percintaan. Dengan rela hati dia akan menadah telinganya mendengar setiap hamburan amarah Syarifah Sofia.
“Dia memang jodoh aku, ‘Aisy. Dia perlu bertanggungjawab pada aku. Aku terlalu sayangkan dia. Hidup aku mati tanpa dia, ‘Aisy. Hati aku kering tanpa cinta Razif!” Lirih bait-bait ayat yang meniti di bibir Syarifah Sofia menggambarkan kepedihannya.
“Kau kena kuat, Sofia. Kau takkan mati tanpa cinta seorang lelaki. Kerana dalam detik setiap nafas yang kita sedut dan hembus ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang-Nya” ujar Rahadatul ‘Aisy menitipkan semangat. Dia juga dulu seperti Syarifah Sofia. Pernah parah terluka kerana mengejar cinta seorang suami. Namun kerana luka lama itulah yang mengajarnya banyak tentang cinta. Merubah definisi dan persepsi nya tentang cinta. Baginya, cinta pada lelaki hanyalah meninggalkan kesan luka yang mendalam di dalam hati. Lalu untuk apa perlu ditagih cinta pada yang tidak sudi?
“Aku tak kuat, ‘Aisy. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa salah aku, ‘Aisy? Segala kemahuan dia aku turutkan. Sehinggakan aku..aku sanggup menyerahkan diri aku pada dia. Bodohnya aku, ‘Aisy. Kerana cinta aku telah meletakkan diri aku sebegini kotor dan jijik!” esakan Syarifah Sofia semakin menggila. Pengakuannya membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin terpempan. Dia beristighfar di dalam hati. Kenapa begitu mudah Syarifah Sofia dibutakan kerana cinta? Kenapa sanggup membiarkan maruah diri menjadi korban pada sebuah cinta yang belum pasti? Kenapa tergamak menjadi bunga yang telah layu dihisap madunya oleh kumbang yang tidak berhak? Persoalan yang tidak mungkin akan ditemukan jawapannya.
“Tenang, Sofia. Jangan ikutkan sangat perasaan sedih itu Mungkin ada hikmah di atas apa yang terjadi” hanya kata-kata tu yang mampu diucapkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Tumpah rasa simpati yang menggunung buat Syarifah Sofia. Dia menghampiri Syarifah Sofia dan duduk di sisi wanita itu.
Dia tidak menyangka begini liku-liku cinta yang terpaksa ditempuh Syarifah Sofia. Wanita cantik yang mempunyai banyak pilihan dalam bercinta, akhirnya kecundang di tangan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Perjalanan cintanya sendiri juga masih terlalu jauh untuk digapai. Hubungannya dengan Umayr Harris bagaikan ombak laut, yang ada pasang dan surutnya.
“Macam mana aku hendak bertenang, ‘Aisy. Sedangkan dalam rahim aku ini ada tanda cinta kami yang semakin membesar” suara Syarifah Sofia perlahan dan sayu.
“Kau mengandung? Anak Razif?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan wajah yang tercengang. Anggukan Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah. Matanya jatuh pada perut Syarifah Sofia yang masih kempis. Belum jelas kelihatan. Mungkin kandungannya masih muda.
“Aku..aku mengandung lima minggu. Apabila Razif tahu aku mengandungkan anak dia, dia terus mengambil keputusan untuk tinggalkan aku. Disebabkan ini juga mummy dan daddy buang aku. Mereka malu sebab aku telah memalitkan arang ke muka mereka” terang Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Kenapa perlu buru-buru mengikut nafsu menjalinkan hubungan haram tanpa lafaz ijab dan kabul?
“Apa patut aku buat, ‘Aisy? Aku dah tak ada siapa-siapa lagi. Aku bukan setakat dihalau dari rumah tapi daddy aku dah buang aku dari syarikat. Semua kad kredit, wang simpanan aku dibekukan. Aku dah tak ada apa-apa lagi ‘Aisy” Rahadatul ‘Aisy merenung sayu ke arah Syarifah Sofia. Dia masih bungkam memikirkan cara untuk membantu Syarifah Sofia. Rasa kemanusiaan di dalam dirinya membuatkan dia merasa bertanggungjawab untuk melindungi Syarifah Sofia apatah lagi di dalam rahim wanita itu ada satu nyawa yang tidak berdosa. Dia tidak mahu Syarifah Sofia hilang pertimbangan dan mengapa-apakan kandungannya.
“Kau tak perlu risau. Kau tinggal saja di sini buat sementara waktu. Selepas itu, kita usaha pujuk Razif untuk menikahi kau” putus Rahadatul ‘Aisy. Tangan Syarifah Sofia digenggam erat, cuba menyalurkan sedikit kekuatan buat wanita itu.
“Aku..aku tak menyusahkan kau ke, ‘Aisy?” soal Syarifah Sofia dalam riak yang serba salah.
“Tak susah pun. Dah jadi tugas aku untuk menolong orang yang memerlukan.” Jawab Rahadatul ‘Aisy sambil menggosok-gosok belakang tangan Syarifah Sofia. Memberikan keyakinan buat wanita itu.
“Tapi..kawan-kawan serumah kau macam mana?”
“Kau jangan bimbang, nanti aku beritahu dia orang. Sakeena dan Hafeeza mesti faham keadaan kau. Lagipun rumah ini ada satu lagi bilik kosong dekat tingkat atas. Tapi, bilik itu tak adalah selesa dan besar macam bilik kau” ujar Rahadatul ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman nipis. Terpancar riak kelegaan di wajah Syarifah Sofia.
“’Aisy, terima kasih. Walaupun macam-macam aku dah buat pada kau dulu, kau masih sudi nak membantu aku. Aku malu dengan kau, ‘Aisy” beritahu Syarifah Sofia serba salah. Wajah itu kembali berubah suram tiba-tiba. Sebagai manusia biasa, memang hati Rahadatul ‘Aisy masih berbirat luka dengan tuduhan dan fitnah yang pernah ditaburkan oleh Syarifah Sofia terhadapnya dulu. Namun, kesukaran yang sedang dilalui oleh Syarifah Sofia tidak membenarkan dirinya untuk terus melayani kesakitan kisah silam.
“Kau tak perlu fikir fasal perkara yang dah lepas. Let bygone be bygone, okay?” kata-kata Rahadatul ‘Aisy membuatkan mata Syarifah Sofia berkaca. Pipi yang baru sahaja kering, kini dibasahi lagi dengan air mata.
“Maafkan aku, ‘Aisy. Walaupun aku tahu kesilapan aku pada kau terlalu besar tapi tolong maafkan aku” pinta Syarifah Sofia. Anggukan di kepala Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia memeluknya dengan penuh rasa terharu.
“Terima kasih, ‘Aisy.” Pelukan itu membuatkan hati Rahadatul ‘Aisy tersentuh. Kemaafan memang dendam yang terindah. Aku bersyukur pada-Mu sekiranya sedikit kebaikan yang aku hulurkan bisa menyulam kembali hubungan persahabatan kami yang terputus sejak sekian lama. Monolog Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.
“Mari aku bawa kau ke bilik. Kau mesti dah penat kan? Ibu mengandung kena banyak berehat” pelawa Rahadatul ‘Aisy meleraikan pelukan. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Syarifah Sofia dan dibalas oleh wanita itu. Pantas, beg pakaian Syarifah Sofia dijinjing. Tanpa sebarang rasa curiga dia melangkah menaiki tangga, sedikit ke depan mendahului Syarifah Sofia.
Tiba-tiba, senyuman manis yang terukir di wajah Syarifah Sofia bertukar menjadi sinis. Sorotan matanya berubah tajam memandang belakang tubuh Rahadatul ‘Aisy dengan penuh kebencian dan dendam. Tiada lagi riak polos dan suram yang terbias di wajahnya. Watak Syarifah Sofia yang teraniaya hanyalah sebahagian daripada plot lakonannya untuk memperdayakan Rahadatul ‘Aisy. Perancangannya setakat ini berjalan lancar. Kau memang bodoh, ‘Aisy! Nampaknya bertahun-tahun hidup di luar negara masih tidak mampu mengubah kenaifan kau. Jangan harap aku akan benarkan kau hidup bahagia bersama Umayr Harris! Kata hatinya mengutuk dengan angkuh.
Dendam yang dipendam sejak empat tahun yang lalu perlu dilunaskan. Dia sudah tidak mampu menyimpan rasa sakit di hatinya dengan lebih lama. Perhitungan perlu dilakukan demi untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Pengkhianatan perlu dibalas dengan pengkhianatan!
*********
Kehadiran Syarifah Sofia yang menumpang tinggal mengundang rasa kurang senang hati pada Sakeena. Bukanlah bermakna dia tidak bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita itu. Tetapi entah kenapa, nalurinya bagaikan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi apabila mengenangkan pengkhianatan yang pernah dilakukan Syarifah Sofia kepada Rahadatul ‘Aisy.
“Betul ke Sofia itu mengandung?” bisik Sakeena perlahan, bimbang jika soalannya itu didengari oleh Syarifah Sofia. Matanya memandang kiri kanan, cukup berwaspada. Padahal pada waktu itu hanya dia sahaja yang berada di dalam kamar tidur Rahadatul ‘Aisy.
“Kau dengar tak apa aku tanya?” Sakeena kembali menyoal apabila tiada jawapan daripada Rahadatul ‘Aisy. Sahabatnya yang sedang menyandar di birai katil direnung. Dia cuba mendapatkan perhatian Rahadatul ‘Aisy yang sedari tadi begitu khusyuk memerhatikan skrin telefon bimbitnya.
“Kenapa kau tanya aku macam tu?” Persoalan Sakeena tidak segera dijawab oleh Rahadatul ‘Aisy. Sebaliknya dia membalas dengan pertanyaan yang acuh tidak acuh. Tumpuannya masih pada paparan mesej yang baru diterima daripada Umayr Harris. Sekarang, suaminya berada di United States atas urusan perniagaan. Namun, setiap hari Umayr Harris tidak pernah gagal memberitahu aktivitinya di sana walaupun dia tidak pernah membalas setiap mesej yang diterima. Jauh sekali untuk mengangkat panggilan telefon daripada Umayr Harris.
“Hati aku tak sedaplah, ‘Aisy. Aku rasa macam ada sesuatu yang pelik lah” luah Sakeena tanpa berselindung.
“Apa yang peliknya?” wajah teman baiknya itu direnung, menantikan sebuah penjelasan. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kecil di sisi katil.
“Tak adalah, semalam kau cakap Sofia datang meratap-ratap sedih dengan kau. Macam orang hilang anak. Tetapi yang peliknya, hari ini aku tengok dia happy semacam je. Macam orang yang tak ada masalah pula” dengan riak wajah yang penuh curiga, Sakeena becok menyampaikan kemusykilan di hatinya. Rahadatul ‘Aisy tertawa lucu, sedikit tercuit hati melihatkan kesungguhan Sakeena. Gaya pun dah serupa seperti Kak Leha, jiran sebelah yang suka benar bergosip. Sakeena jugalah orang yang paling suka melayan Kak Leha itu bercerita.
“Aku tanya serius ini, kau bantai gelak pula” tempelak Sakeena tidak puas hati melihat gelak Rahadatul ‘Aisy yang semakin besar.
“Kau ini kelakar lah, Keena. Tengok gaya kau ini teringat aku dekat Kak Leha jiran sebelah. Aku rasa genetik Kak Leha dah banyak menurun dekat kau ni” usik Rahadatul ‘Aisy dalam sisa tawa membuatkan Sakeena menjelingnya masam. Ringan tangannya membaling bantal ke arah Rahadatul ‘Aisy. Cekap tangan Rahadatul ‘Aisy menyambut bantal dan di bawa rapat ke dada untuk dipeluk.
“Aku cakap serius, boleh pula kau perli aku” ujar Sakeena tidak berpuas hati.
“Apa yang nak dirunsingkan. Baguslah kalau Sofia dah boleh rasa gembira. Nanti kalau dia asyik meratap hiba kita juga yang susah hendak pujuk. Yang jadi mangsa anak dalam kandungannya itu” jawab Rahadatul ‘Aisy akhirnya. Baginya, Sakeena terlalu berprasangka. Tetapi dia tidak boleh menyalahkan Sakeena kerana merasa curiga. Dia tahu temannya itu penuh dengan sikap melindungi. Sakeena tidak akan tegar melihat dia menjadi mangsa pengkhianatan buat kedua kali.
“Bercakap fasal anak, betul ke Sofia itu mengandung? Aku tengok tak macam gaya orang mengandung pun. Tengah hari tadi boleh pula dia makan nanas berkeping-keping.” Kata-kata Sakeena membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak.
“Habis itu, kau tak larang dia ke?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan wajah risau.
“Tak” balas Sakeena sepatah tanpa rasa bersalah membuatkan Rahadatul ‘Aisy mendengus lemah.
“Kenapa tak tegur dia? Aku rasa dia tak tahu yang perempuan mengandung tak digalakkan makan nanas. Dia kan mengandung anak sulung.” Janganlah yang tidak-tidak menimpa Sakeena dan kandungannya. Dia pernah merasai keperitan akibat kehilangan zuriat yang dikandungi. Kalau boleh dia tidak mahu wanita lain melalui apa yang pernah dialaminya.
“Kau tak boleh terlalu berbaik sangka, ‘Aisy. Kau dah lupa apa yang dia pernah buat pada kau dan Harris dulu?” tukas Sakeena. Itulah kelemahan Rahadatul ‘Aisy. Dia mempunyai sekeping hati yang lembut. Membuatkan hatinya mudah tersentuh dengan pujuk rayu.
“Aku tak pernah lupa, Keena. Tetapi perkara dah lepas, kan. Lagipun, aku memang tidak ada pilihan. Dia dalam kesusahan dan aku cuma menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang insan. Selebihnya, kita serahkan pada ALLAH” tingkah Rahadatul ‘Aisy mematahkan tebakan negatif Sakeena.
“Lagipun, aku tengok Sofia dah banyak berubah ke arah kebaikan. Dia dah sedar kesilapannya. Jadi, tak salah kita beri dia peluang kan?” Dalam diam Sakeena turut mengakui kebenaran kata-kata Rahadatul ‘Aisy. Dari segi penampilan memang jelas Syarifah Sofia telah berubah ke arah positif. Aurat yang selama ini dibiarkan terdedah telah ditutup daripada pandangan ajnabi. Tetapi, kenapa iman masih tipis sehingga membiarkan diri bergelumang dengan dosa zina? Iman bukan boleh diukur berdasarkan labuhnya tudung seseorang.
“Tapi, ‘Aisy..”
“Dahlah. Kau ini suka sangat fikir yang bukan-bukan. Ini mesti sebab banyak sangat novel dan berguru dengan Kak Leha.” Gurauan Rahadatul ‘Aisy sekali lagi membuatkan dia dihadiahkan dengan balingan bantal oleh Sakeena.
“Kau jangan risaulah, Keena. Aku yakin Sofia memang dalam kesusahan. Yang penting sekarang ini, kita kena fikirkan macam mana nak pujuk mak ayah dan kekasih dia untuk menerima dia kembali” ujar Rahadatul ‘Aisy tenang. Akhirnya, curiga Sakeena hilang begitu sahaja. Lagipun Rahadatul ‘Aisy sendiri lebih mengenali siapa Syarifah Sofia berbanding dirinya.
*********
Malam minggu itu, Rahadatul ‘Aisy tinggal berdua bersama dengan Syarifah Sofia. Sakeena terpaksa pulang ke kampungnya di Kuantan untuk menguruskan majlis perkahwinannya yang hanya berbaki sebulan. Manakala, Hafeeza pula berkursus di Genting Highlands. Mujur jugalah ada Syarifah Sofia, sekurang-kurangnya tidaklah dia keseorangan di rumah teres dua tingkat itu.
Setelah menyiapkan makan malam, Rahadatul ‘Aisy menuju ke biliknya di tingkat atas untuk membersihkan diri. Namun, langkahnya terhenti apabila melihat pintu bilik Syarifah Sofia sedikit terbuka. Dia berniat untuk mengajak Syarifah Sofia makan. Jika wanita itu lapar, bolehlah wanita itu makan terlebih dahulu. Maklumlah ibu mengandung. Perut tidak boleh dibiarkan kosong. Lantas, langkah kakinya bertukar arah menuju ke kamar Syarifah Sofia.
 “Malam ini, ‘Aisy tinggal seorang diri. Peluang baik yang kita tunggu akhirnya dah tiba” dari luar bilik jelas kedengaran suara Syarifah Sofia sedang bercakap dengan seseorang di dalam talian. Namanya yang meniti di bibir Syarifah Sofia mengundang rasa ingin tahu di hati. Kata-kata yang dituturkan oleh Syarifah Sofia menarik minat Rahadatul ‘Aisy untuk mengintip perbualan wanita itu.
“Kalau rancangan ini berjaya, aku pasti ‘Aisy akan menjadi milik engkau. Aku yakin Harris pasti akan menceraikan ‘Aisy. Kali ini, sesiapapun tak akan dapat membela perempuan itu lagi walaupun Hajah Mariah!” Suara angkuh Syarifah Sofia membuatkan jantung Rahadatul ‘Aisy berdetak kencang. Waktu itu, dia sedar yang kecurigaan Sakeena memang benar-benar berasas. Ternyata keinsafan Syarifah Sofia hanyalah lakonan semata-mata. Wanita itu selama ini hanya berpura-pura untuk mengaburi matanya.
“Tapi, kau jangan lupa janji kau pada aku kalau rancangan ini berjaya. Kalau kau mungkir, tahulah aku hendak buat macam mana!” suara Syarifah Sofia berubah tegang. Dia terdiam sejenak, mungkin sedang mendengar bicara daripada pemanggil di hujung talian. Siapakah pemanggil yang sedang bercakap dengan Sofia? Hati Rahadatul ‘Aisy tertanya-tanya.
“Bagus! Kau jangan bimbang. Aku tahulah apa yang patut aku buat. She will be yours tonight! Bukannya susah hendak kelentong perempuan kesayangan kau tu. Dua tiga titik air mata aku pun dah boleh beli perasaan kasihan ‘Aisy. She is so na├»ve and sometime stupid!” ketawa sinis terhambur keluar dari mulut Syarifah Sofia. Namun pantas tangannya menekup mulut, bimbang jika perbualannya didengari. Hancur luluh hati Rahadatul ‘Aisy berkeping-keping tatkala mendengarkan penghinaan Syarifah Sofia. Parut lama kembali bernanah. Kali ini lukanya pasti meninggalkan kesan yang lebih dalam. Tanpa sedar, tangannya dikepal kuat, menahan rasa bahang yang mula mengisi di segenap ruang hatinya.
“Relaks lah! Aku kutuk sikit pun kau dah nak melenting. Aku tak fahamlah apa kau pandang sangat pada perempuan itu” Dari celah pintu yang sedikit terbuka, jelas riak kebencian terbias di wajah Syarifah Sofia.
“Aku..aku tahu urusan kau bukan urusan aku. Maafkan aku!” suara Syarifah Sofia berubah kendur dan gugup. Pelik! Kenapa berubah-rubah emosi yang ditunjukkan olehnya? Seolah-olah si pemanggil itu begitu mempunyai pengaruh yang besar terhadap Syarifah Sofia. Siapakah pemanggil yang seakan begitu mengenali Rahadatul ‘Aisy. Begitu ingin memiliki dirinya. Dia cuba meneka namun otaknya langsung tidak dapat berfikir.
“Ya! Malam ini kita buat seperti yang kau rancang. Aku akan pastikan ‘Aisy tidur mati malam ini. Kau perlu ingat, bilik tidur ‘Aisy bilik kedua dari tangga.” Terketar-ketar Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Matanya berkaca bening. Dia dapat menghidu sesuatu yang buruk akan berlaku jika dia tidak berbuat sesuatu. Rasa takut, marah, geram dan kecewa bercampur baur.
Bodohnya dia kerana terlalu mudah mempercayai bekas sahabatnya sendiri. Bodohnya dia kerana mengharapkan kebaikannya bisa merubah dan menjadikan Syarifah Sofia manusia yang lebih baik. Bodohnya dia kerana masih menumpahkan air mata buat seorang manusia yang langsung tidak layak untuk dijadikan sahabat! Air matanya dikesat laju. Dia tidak ingin menangis lagi. Tidak sekali-kali dia akan menyerah kalah.
“’Aisy!” suara terkejut Syarifah Sofia mengaburkan lamunannya. Syarifah Sofia berdiri tegak di ambang pintu dengan wajah yang berubah pucat.
“Tergamak kau mengkhianati aku lagi, Sofia! Rupa-rupanya cerita simpati kau selama ini hanyalah palsu. Selama ini kau hanya berpura-pura dengan aku!” jeritan Rahadatul ‘Aisy mengisi segenap ruang rumah. Amarah yang ditunjukkan oleh Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia terkedu. Entah dari mana kekuatan itu meresap ke dalam tubuhnya. Mungkin rasa sakit hati yang tersimpan bertahun-tahun dan rasa kecewa yang menyapa membuatkan dirinya menjadi berani.
“Aku…aku tak..kau dah salah faham, ‘Aisy” tingkah Syarifah Sofa gugup. Buntu akalnya untuk mencipta helah.
“Kau tak perlu berlakon lagi, Sofia. Aku dah dengar semua perbualan kau tadi. Apa yang kau nak buat pada aku Sofia? Kejahatan apa lagi yang kau rancang untuk kenakan aku?” tanya Rahadatul ‘Aisy bertubi-tubi. Wajah Syarifah Sofia dipandang dengan sebuah renungan yang cukup tajam.
Tiba-tiba Syarifah Sofia meledakkan tawa. Semakin kuat dan semakin sinis di pendengaran Rahadatul ‘Aisy. Dia memang sengaja membakar amarah Rahadatul ‘Aisy. Segala perancangannya telah terbongkar. Tidak guna dia berlindung di balik telunjuk lagi. Rancangan yang telah disusun rapi juga perlu berubah. Walau bagaimana cara sekalipun, dia perlu pastikan Rahadatul ‘Aisy  dibenci Umayr Harris buat selama-lamanya!
“Aku hendak pulangkan kau pada seseorang yang sudah lama menantikan kau” wajah Syarifah Sofia berubah sinis.
“Siapa?” tanya Rahadatul ‘Aisy.
“Kau akan tahu bila tiba masanya nanti. Malam ini, aku akan pastikan kau akan menjadi milik dia. Milik seorang lelaki yang sudah begitu lama ingin meratah tubuh kau!” ujar Syarifah Sofia dengan wajah bengis. Tubuh Rahadatul ‘Aisy semakin dihampirinya.
“Kau dah gila, Sofia!” balas Rahadatul ‘Aisy dengan nada yang cukup berani. Dia berundur setapak ke belakang. Wajah bengis Syarifah Sofia sedikit menggoyahkan keberaniannya.
“Mungkin betul aku gila. Aku gila dengan dendam aku pada kau yang masih belum berbalas. Aku akan buat hidup kau merana seperti apa yang kau telah buat pada aku. Aku akan pastikan seumur hidup kau menderita, dibayangi kenangan hitam yang bakal dicipta malam ini” ugutan Syarifah Sofia membuatkan tangkai hati Rahadatul ‘Aisy bergetar ketakutan. Wanita di hadapannya ini tidak ubah seperti seekor binatang buas yang sedang menunggu untuk menerkam mangsanya.
“Apa sebenarnya yang aku dah buat pada kau, Sofia? Kau masih tak sedar apa yang telah berlaku berpunca daripada keegoan kau sendiri? Kau yang telah membuat pilihan yang salah. Pilihan yang akhirnya memakan diri kau sendiri. Kau ini tak ubah seperti buruk muka, cermin disalahkan” balasan Rahadatul ‘Aisy dalam sindiran menghangatkan rasa amarah Syarifah Sofia. Langkah Rahadatul ‘Aisy terhenti apabila menyedari kakinya sudah berada di birai anak tangga pertama.
“Kau pula bijak mengambil kesempatan di atas kekhilafan aku kan?” rengus Syarifah Sofia tidak mahu mengaku kalah. Pandangan matanya penuh dengan kebencian.
“Kau atau aku yang mengambil kesempatan, Sofia? Kau sebenarnya seorang perempuan yang terlalu bangga dan angkuh dengan diri kau sendiri. Kerana keangkuhan, kau tidak pernah cukup  dengan apa yang kau ada. Kerana ego, kau tidak dapat menerima hakikat yang orang lain juga layak bahagia. Sehingga kau sanggup rampas dan musnahkan kebahagiaan aku, kawan baik kau sendiri. Kau memang perempuan tamak, Sofia. Kau tamak harta, kedudukan, perhatian dan kasih sayang sehinggakan kau sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan hati kau!” hamburan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia semakin berang. Patah demi patah kebenaran yang semakin terungkap di bibir Rahadatul ‘Aisy bagaikan belati tajam yang mencucuk tangkai hati Syarifah Sofia. Dia benci untuk mengakui kebenaran itu.
“Tetapi itu tidak memberikan kau hak untuk merampas tunang aku sendiri!” tengking Syarifah Sofia. Memang menjadi pantang baginya jika haknya dirampas. Terutamanya oleh teman baik yang sering dipandang enteng olehnya. Baginya Rahadatul ‘Aisy tidak layak untuk memiliki apa yang pernah menjadi miliknya.
“Sofia..Sofia.. Kau dah lupa apa yang kau dah buat pada Harris? Kecurangan kau sendiri yang membuatkan Harris membuang kau, Sofia! Kau sanggup menjual maruah diri kau hanya…”
“Diam, ‘Aisy!” potong Syarifah Sofia tidak sanggup membiarkan Rahadatul ‘Aisy meneruskan kata-kata sinisnya.
“Kenapa? Kau dah tak sanggup nak mendengarkan kebenarannya? Kebenaran yang kau sanggup menjual maruah diri kau hanya kerana mengejar cinta seorang lelaki yang lebih hebat, lebih kaya dan lebih tampan daripada Harris?” sambung Rahadatul ‘Aisy melampiaskan perasaannya yang terpendam. Langsung dia tidak mengendahkan amaran Syarifah Sofia.
“Aku kata diam, perempuan!” rasa amarah membuatkan Syarifah Sofia melayangkan sebuah tamparan di pipi Rahadatul ‘Aisy. Tindakan itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy hilang kawalan diri dan akhirnya tubuhnya melayang jatuh menggelongsor tangga sehingga ke bawah. Hentakan kuat yang menimpa perutnya membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengaduh kesakitan.
Syarifah Sofia yang menyaksikan kejadian itu terkaku di atas tangga. Tubuh Rahadatul ‘Aisy yang sudah terdampar di kaki tangga mengundang getar di hatinya. Dia memang tidak sengaja untuk menyebabkan Rahadatul ‘Aisy jatuh tangga. Namun, rasa takut itu tidak lama. Dia akhirnya tersenyum puas melihatkan tubuh Rahadatul ‘Aisy yang terbaring lemah. Sekurang-kurangnya tugasnya akan menjadi lebih mudah untuk meneruskan rancangan jahat nya. Perlahan-lahan dia melangkah menuruni tangga.
‘Astagfirullahalazim. Kenapa boleh jatuh ini, ‘Aisy?” suara terperanjat Hafeeza menghentikan langkah Syarifah Sofia. Dia mengetap bibirnya geram.
“Kenapa perempuan itu, tiba-tiba balik pula malam ini?” Syarifah Sofia merengus geram. Nampaknya dia tiada pilihan. Rancangannya gagal untuk dilaksanakan. Dendam yang terbuku masih seakan liat untuk dileraikan. Dengan bara dia melangkah kembali ke bilik tidurnya. Dia perlu keluar dari rumah itu dengan segera!
*********
Umayr Harris terdiam, khusyuk mendengar satu persatu cerita daripada mulut Rahadatul ‘Aisy. Hatinya membara dengan rasa marah dan geram yang tidak bertepi. Pandangan matanya jelas menunjukkan api kebencian.
“Kurang ajar kau, Sofia. Kau memang nak kena!” bisik Umayr Harris penuh dengan dendam.
“Abang, ‘Aisy beritahu abang semua ini bukan berniat untuk meminta abang balas balik segala perbuatan Sofia.” ujar Rahadatul ‘Aisy apabila dia melihat wajah merah Umayr Harris yang sedang menahan geram. Dengan kedudukan yang dimiliki oleh suaminya, dia tahu Umayr Harris mampu melakukan apa saja.
“Tapi, perempuan macam itu patut diajar supaya selepas ini dia tidak ganggu sayang lagi. Sayang jangan bimbang. Tahulah abang nak buat macam mana” dengus Umayr Harris tidak puas hati.
“Abang kan dah janji dengan ‘Aisy tadi untuk tidak berdendam kan? ‘Aisy sanggup ceritakan semuanya pada abang pun sebab janji abang tadi” Rahadatul ‘Aisy mengingatkan Umayr Harris.
“Tapi…”
“Abang, dalam Islam tak pernah ajar kita untuk balas kejahatan dengan kejahatan kan? ALLAH kan ada bersama dengan kita. Kita doakan saja semoga dia berubah. Lagipun, abang kan nak kawal baran abang itu. Anggaplah ini sebagai ujian pertama abang” pujuk Rahadatul ‘Aisy lembut. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman sambil dia memaut lengan sasa Umayr Harris. Sengaja dia merapatkan badannya ke tubuh sasa Umayr Harris.
“Pandai sayang pujuk abang, ya” Umayr Harris mencuit hidung Rahadatul ‘Aisy. Hatinya yang sedang hangat membara serta-merta sejuk dengan senyuman dan perlakuan manja Rahadatul ‘Aisy. Kemesraan yang jarang-jarang ditunjukkan oleh isterinya.
“Sayang duduk rapat-rapat dengan abang macam hendak goda abang saja. Sayang dah buat abang rasa lain macam ni. You’ve turned me on. Jom, sayang. Kita masuk bilik” kata-kata Umayr Harris yang kedengaran nakal membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersipu malu.
“Tak senonoh betullah abang ni” gumam Rahadatul ‘Aisy seram. Pantas pegangan tangannya pada lengan Umayr Harris dilepaskan dan tubuhnya dijauhkan. Perbuatan isterinya itu mengundang tawa Umayr Harris.
“Kenapa tiba-tiba duduk jauh pula ni?” Umayr Harris mendekati Rahadatul ‘Aisy. Dia menyelitkan kembali tangan Rahadatul ‘Aisy di celah lengannya.
“Abang itulah, cakap lagi pelik-pelik macam tu” marah Rahadatul ‘Aisy. Rungutan Rahadatul ‘Aisy hanya mengundang senyum di wajah Umayr Harris.
“Abang gurau saja, sayang. The truth is abang akan tunggu sehingga sayang benar-benar sihat dan bersedia” ujar Umayr Harris perlahan menyentuh hati Rahadatul ‘Aisy. Jari-jemari Rahadatul ‘Aisy di elus dengan penuh rasa kasih.
“Terima kasih, abang” ucapan tulus Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris tersenyum senang. Hatinya melagukan irama bahagia.

p/s: Ini entry terpanjang yang pernah dipost. Enjoys.. Maybe entry berikutnya akan ambil masa lama sikit.