Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 29 March 2012

Titian Cinta: Bab 30

Rahadatul ‘Aisy merenung imbasan dirinya yang dipantulkan melalui cermin meja solek. Tudung Pashmina berwarna hijau pucuk pisang dengan corak abstrak hitam dililit kemas di kepalanya. Sesuai dipadankan dengan baju kurung berkain kapas yang berlatarkan rona warna yang sama.
Dia memusingkan badannya ke sisi bagi memastikan jatuhan hujung selendang seimbang menutupi badannya mengikut syariat yang digariskan dalam Islam. Masih terngiang-ngiang di telinganya ceramah Ustaz Don yang banyak memberikannya ilmu berguna tentang kaedah pemakaian tudung yang betul. Peraturan mudah yang kadangkala dipandang enteng oleh golongan wanita. Tidak mahu dirinya dilabelkan sebagai wanita bertudung tetapi bertelanjang.
Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, Rahadatul ‘Aisy mencapai tas tangan kulit berjenama BONIA. Lantas digantung di bahu kanannya. Kunci kereta yang terletak elok di atas meja solek diambil. Raut wajah yang bermekap tipis dipandang sekali lagi pada pantulan cermin sebelum mengatur langkah menuruni tangga. Ingin sekali dia memastikan kesempurnaan pada dirinya untuk tatapan seorang lelaki bergelar suami.
Umayr Harris! Sudah hampir seminggu lelaki itu berada di Switzerland atas urusan perniagaan. Tempoh waktu yang berjaya menghimpunkan bunga-bunga rindu yang kian kembang subur di kelopak hati. Jangka masa yang benar-benar meyakinkan dirinya dengan rasa cinta yang sedang mengalir hangat dalam setiap urat nadi. Membuatkan diri tidak lagi betah ditinggalkan bersendirian.
Dek rasa cinta yang semakin menyubur inilah yang kadangkala mengundang debar di dada dan memanggil gentar bersarang di jiwa. Bimbang andai derita kembali menyapa, mampu kah dia kembali bangkit menongkah arus sengsara?
Hari ini Umayr Harris akan pulang. Pulang ke pangkuannya bersama cinta dan rindu. Separuh dirinya yang bagaikan hilang dibawa pergi Umayr Harris bakal dikembalikan. Sejak dari tadi bibirnya tidak lekang daripada mengukirkan senyuman bahagia. Rindu!
“Hari minggu macam ini, ‘Aisy nak ke mana?” sapa Mak Timah, pembantu rumah separuh masa yang sudah hampir dua puluh tahun berkhidmat dengan keluarga Umayr Harris. Langkah Rahadatul ‘Aisy yang sedang melangkah ke pintu utama pegun.
“’Aisy nak ke airport.” Balas Rahadatul ‘Aisy dalam nada ceria. Senyuman di bibirnya semakin melebar. Jelas terpancar sinar kebahagiaan di wajah itu.
“Eh, setahu Mak Timah, Tuan Harris balik lusa kan?” soal Mak Timah pelik, inginkan kepastian. Seingatnya itulah yang diberitahukan kepadanya oleh Umayr Harris.
“Memang sepatutnya abang Harris balik lusa. Tapi semalam dia call ‘Aisy beritahu yang dia tukar flight.” Beritahu Rahadatul ‘Aisy. Sepanjang seminggu berjauhan, hanya panggilan telefon yang menjadi pengubat rindu.
“Oh, ini mesti sebab tak tahan menanggung rindu lama-lama lah ni.” usik Mak Timah menyimpulkan senyum. Seronok dia melihat hubungan Umayr Harris dan Rahadatul ‘Aisy yang semakin pulih.
Rahadatul ‘Aisy hanya diam tersenyum seakan mengiakan usikan nakal Mak Timah. Terasa kebas pula wajahnya diusik begitu.
“Mak Timah tengok muka ‘Aisy pun berseri-seri bukan main lagi. Rupanya, orang yang merindu dan dirindu dah nak balik, ya” sambung Mak Timah semakin giat mengenakan Rahadatul ‘Aisy.
“Nampak sangat ke, Mak Timah?” Tanpa sedar, Rahadatul ‘Aisy menjatuhkan kedua belah telapak tangannya ke pipi. Begitulah kalau hati sudah terlalu cinta dan jiwa sarat melagukan rindu.
“Jelas sangat-sangat. Mak Timah tengok macam seri pengantin baru pun ada. Berkepit sajalah Tuan Harris nanti dengan ‘Aisy selepas ini. Macam belangkas tu.” Giat Mak Timah sambil menghamburkan gelak kecil. Tercuit hatinya melihat perlakuan spontan Rahadatul ‘Aisy. Walaupun isteri majikannya itu nampak seperti pendiam, tetapi kadang-kadang manjanya terserlah juga tanpa sedar.
“Ada-ada saja Mak Timah ni. Pengantin yang dah basi macam ‘Aisy ini mana nak datang serinya lagi, Mak Timah.” Rahadatul ‘Aisy tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Ada-ada sahaja idea Mak Timah hendak mengenakannya.
Mujur Mak Timah sudi menemaninya di rumah banglo lima bilik itu sepanjang ketiadaan Umayr Harris. Jika tidak, wanita separuh abad itu hanya datang mengemas rumah di sebelah siang sahaja. Umayr Harris tidak membenarkan dia tinggal seorang diri di rumah terutamanya pada waktu malam.
Sebenarnya jika diikutkan, dia sendiri tidak kisah. Bimbang menyusahkan Mak Timah. Biarpun suatu ketika dulu dia memang seorang penakut, tetapi perit getir yang terpaksa diharungi berseorangan ketika di luar negara menjadikannya seorang yang lebih berani. Kala itu kesepian adalah teman yang paling setia. Ketabahan menjadi tongkat untuknya terus mengorak langkah. Tidak lagi takut pada kegelapan malam dan bayangan masa silam.
“Pukul berapa Tuan Harris sampai?” pertanyaan Mak Timah sedikit menyentakkan Rahadatul ‘Aisy yang mula melayarkan fikirannya entah ke mana.
“Dalam pukul 10 pagi.” Jam Calvin Klein di pergelangan tangan kirinya dikerling sekilas. Masih berbaki satu jam lagi sebelum kapal terbang yang dinaiki Umayr Harris dijadualkan mendarat.
Tanpa membuang masa, Rahadatul ‘Aisy menuju ke arah rak kasut dan sepasang sandal School berwarna hitam ditarik keluar.
“’Aisy tak nak sarapan dulu ke?” Mak Timah turut mengekori pergerakan Rahadatul ‘Aisy.
“Tak apalah, Mak Timah. Tak rasa lapar lagi” ujar Rahadatul ‘Aisy bersiap sedia untuk melangkah keluar. Perutnya terasa kenyang sedangkan sebiji nasi pun belum dijamah pagi itu. Mungkin kenyang dengan rasa cinta dan rindu yang menderu. Kau dah parah benar, ‘Aisy!
“Kalau iya pun dah rindu, perut itu jangan dibiarkan kosong. Nanti kalau kena gastrik kan susah” nasihat Mak Timah mengambil berat. Dia seakan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Rahadatul ‘Aisy. Agaknya beginilah yang dimaksudkan dengan pepatah makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Semuanya kerana penangan cinta.
“Nanti kalau lapar, ‘Aisy sarapan dekat airport saja. Lagipun, ‘Aisy dah lewat ini. Nak sampai ke sana pun dah setengah jam lebih memandu. ‘Aisy pergi dulu, ya.” Tolak Rahadatul ‘Aisy sopan. Dia tidak mahu Umayr Harris ternanti-nanti kehadirannya di sana.
“Yalah, bawak kereta hati-hati.” Pesan Mak Timah. Rahadatul ‘Aisy melebarkan senyum sebelum melangkah ke arah kereta MyVi putihnya. Tidak lama selepas itu, kereta itu dipandu menghala ke lebuh raya, menuju ke destinasi yang bakal menyaksikan kembali pertemuannya dengan kekasih hati.
Entah kenapa berjauhan dengan Umayr Harris kali ini benar-benar membuatkan dirinya menjadi seorang perindu. Dia rindu dengan usikan nakal Umayr Harris, dia rindu pada renungan tajam lelaki itu padanya, dan dia rindukan kemanjaan suaminya yang semakin terserlah. Segala-galanya tentang Umayr Harris membuatkan dia rindu. Mengingati lelaki itu, bibirnya tidak pernah lekang daripada mengukirkan senyum.
Di sepanjang perjalanan, Rahadatul ‘Aisy asyik melayan fikirannya. Lagu instrumental gesekan pemain viola terkenal Vanessa May bagaikan membuai rasa bahagia di hati. Akhirnya setelah memandu lebih setengah jam, keretanya diparkir di bahagian meletak kereta pada paras bawah tanah. Setelah memastikan pintu kereta dikunci, langkah diatur lajur ke arah lif bertingkat.
Setibanya di tingkat tiga, Rahadatul ‘Aisy menuju ke balai ketibaan dengan tergesa-gesa. Jarum pendek pada jam tangannya yang semakin menghampiri angka sepuluh membuatkan dia melajukan langkah. Dia ingin menjadi orang pertama yang melihat Umayr Harris tatkala lelaki itu keluar dari balai ketibaan nanti.
Dalam keasyikan Rahadatul ‘Aisy mencari arah, tiba-tiba tubuhnya melanggar seseorang. Pelanggaran yang agak kuat itu membuatkan tubuh kecilnya terjelepok jatuh. Terasa sengal tulang punggungnya menahan hentakan pada lantai simen itu. Silapnya juga kerana berjalan tidak memandang ke hadapan. Asyik melilau memerhatikan papan tanda.
“Cik, maafkan saya. Cik tak apa-apa?” Tegur satu suara garau. Tatkala Rahadatul ‘Aisy sedang tertunduk dan terkial-kial ingin bangkit dari jatuh, terasa lengannya dipegang kejap oleh satu tangan kasar.
“Err..saya tak apa-apa. Salah saya juga.” Balas Rahadatul ‘Aisy segera bangun sambil dibantu lelaki itu. Dia mengangkat wajah untuk melihat tuan empunya diri. Tubuhnya seakan kaku tatkala matanya bertembung dengan sepasang mata hazel milik lelaki itu.
“’Aisy!”
“Aryan!”
Serentak Rahadatul ‘Aisy dan Aryan Rayyan bersuara. Masing-masing bagaikan terkejut dengan pertemuan yang tidak disangka itu. Setelah hampir enam tahun, dia dipertemukan kembali dengan Aryan Rayyan.
“Err..saya terpaksa pergi dulu. Maafkan saya.” ujar Rahadatul ‘Aisy. Dia menyentap lembut tangan Aryan Rayyan yang masih kejap memegang lengannya. Walaupun sentuhan itu berlapik, namun perlakuan itu dirasakannya tidak sopan, apatah lagi dengan statusnya sebagai isteri orang. Buru-buru dia melangkah meninggalkan Aryan Rayyan yang masih tercegat memandangnya.
“Tunggu, ‘Aisy!” panggil Aryan Rayyan dengan nada yang sedikit tinggi. Namun, Rahadatul ‘Aisy berpura-pura tidak mendengar dan dia meneruskan langkah. Semakin panjang dia melangkah. Sayup panggilan lelaki itu langsung tidak dihiraukan.
Dia menghela nafas lega setelah bayang Aryan Rayyan tidak lagi kelihatan. Dada yang masih menahan hentakan kuat itu dilurut dengan jari-jemarinya. Kepalanya tertoleh-toleh ke arah pintu balai ketibaan, mencari-cari kelibat Umayr Harris yang masih tidak kelihatan. Jam di pergelangan tangan di pandang. Sepatutnya, pada waktu ini Umayr Harris sudah sampai. Mungkin abang sedang menunggu bagasi di dalam. Hatinya berbisik.
Setengah jam berlalu, namun Umayr Harris belum muncul-muncul lagi. Barangkali Umayr Harris sedang menunggunya di tempat lain. Dan dia sedang menunggu suaminya itu di balai ketibaan. Segera dia ingin mencapai telefon bimbit yang berada di dalam tas tangan untuk membuat panggilan terhadap Umayr Harris. Saat itu barulah dia tersedar yang tas tangannya tiada.
“Awak cari ini, ‘Aisy?” Dalam kekalutan dia mencari tas tangannya, ada satu suara yang menyapanya di sisi. Sekali lagi matanya bertembung pandang dengan anak mata Aryan Rayyan yang sedang menghulurkan tas tangan hitam miliknya. Mesti tas tangan ini tercicir ketika dia terjatuh tadi.
“Err..terima kasih” Hanya perkataan itu yang mampu terluncur di bibir Rahadatul ‘Aisy. Tas tangan itu bertukar tangan. Dia dihambat rasa malu kerana tidak menghiraukan panggilan Aryan Rayyan tadi. Sombong tak bertempat! Dalam diam dia memarahi diri sendiri.
Sorotan mata Aryan Rayyan yang sedang tunak merenungnya tidak dipedulikan. Tanpa lengah, dia segera mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon Umayr Harris. Namun, dia mengeluh hampa tatkala panggilannya hanya bersambut dengan suara operator. Bermakna Umayr Harris belum menghidupkan telefon bimbitnya lagi.
Matanya kembali meninjau-ninjau ke arah balai ketibaan. Sesekali dia menjengkitkan kakinya apabila pandangannya terhalang oleh timbunan manusia yang sedang menunggu sepertinya juga.
“Tunggu siapa?” soal Aryan Rayyan dengan suara yang datar. Rahadatul ‘Aisy menjeling sekilas ke arah batang tubuh yang sedang berdiri di sebelahnya.
“Harris.” Jawab Rahadatul ‘Aisy sepatah. Tidak berminat untuk menjadi terlebih mesra dengan lelaki itu.
“Ke mana?”
“Siapa?” Pertanyaan Aryan Rayyan membuatnya keliru.
“Suami awak, Harris. Dia ke mana?” ujar Aryan Rayyan memperjelaskan soalannya.
“Geneva.” Balas Rahadatul ‘Aisy pendek. Entah kenapa dia merasa janggal dan tidak selesa untuk berbual panjang dengan Aryan Rayyan. Mungkin setelah apa yang terjadi membuatkan rasa hormat pada lelaki itu hilang.
“Naik Emirates Airline ke?” Rahadatul ‘Aisy hanya mengiakan dengan anggukan kepalanya.
“Oh, flight tu delay. Dijangka mendarat dalam pukul 11.30 pagi nanti.” Beritahu Aryan Rayyan tenang. Kata-katanya membuatkan Rahadatul ‘Aisy melemparkan pandangan tidak percaya.
“Kebetulan, saya pun sedang tunggu seseorang yang menaiki penerbangan yang sama. Kalau awak tak percaya, awak boleh tengok maklumat di skrin.” Ujar Aryan Rayyan sambil menunjukkan ke arah skrin hitam yang dilekatkan pada sebatang tiang.
“Tak apalah. Terima kasih.” Ucap Rahadatul ‘Aisy sambil berlalu pergi tanpa sebarang pamitan. Jam di tangan dipandang lama. Dia mempunyai hampir satu jam untuk berlegar-legar di kawasan lapangan terbang bertaraf antarabangsa itu. Ke mana harus dia tuju?
Dalam termangu-mangu memikirkan arah tujuan, perut yang berkeriuk minta diisi memberikannya idea. Lantas dia membawa kaki ke arah medan selera yang berada di tingkat dua. Dia lebih selesa mencari makan di sana berbanding restoran segera. Tekak orang kampung sepertinya pasti mencari nasi lemak juga.
Selesai membeli sepinggan nasi lemak sambal bilis dan secawan teh o sejuk, Rahadatul ‘Aisy menghampiri meja makan yang agak tersorok kedudukannya. Cadangnya ingin berlama di situ sementara menunggu Umayr Harris sambil membaca novel. Mujurlah dia tergerak hati untuk membawa novel Terlerai Kasih, garapan menarik karya penulis kegemarannya Rehan Makhtar. Setelah melabuhkan duduk, dia mula menjamu selera.
“Boleh saya duduk di sini?” suara Aryan Rayyan yang menyapa membuatkan suapannya terhenti. Terkebil-kebil dia memerhatikan wajah lelaki yang sedang mengusung dulang berisi makanan itu.
“Duduklah.” Akhirnya Rahadatul ‘Aisy memberikan kebenaran. Dengan tersenyum manis lelaki itu mengambil tempat duduk di depannya. Tanpa menghiraukan Aryan Rayyan, dia menundukkan wajah meneruskan suapan. Saat itu, dia ingin segera menyudahkan sarapan paginya dan berlalu pergi.
Suasana berlalu sepi. Keadaan medan selera yang tidak begitu ramai pengunjung di kala itu menjadikan suasana bertambah sunyi. Hanya kedengaran bunyi sudu yang sekali-skala berlaga dengan pinggan kaca putih itu.
“Apa khabar, ‘Aisy?” soal Aryan Rayyan akhirnya membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengangkat mukanya. Baru kini dia berpeluang bertanyakan khabar wanita itu. Dia perasan yang sedari tadi Rahadatul ‘Aisy seperti ingin mengelakkan diri darinya.
“Baik.” Balas Rahadatul ‘Aisy sepatah. Dia kembali meneruskan suapan walaupun seleranya seakan mati. Butir nasi yang lembut itu dirasakan seperti pasir.
Telinga Rahadatul ‘Aisy menangkap sebuah keluhan meniti di bibir Aryan Rayyan. Dari ekor matanya, dia dapat melihat Aryan Rayyan menghentikan suapannya dan bersandar lemah di belakang kerusi.
“Awak masih marahkan saya, ‘Aisy?” pertanyaan Aryan Rayyan membuatnya hampir tersedak. Hampir separuh gelas dia menyedut air teh O untuk melegakan anak tekaknya. Mujur tekaknya tidak tercekik dengan nasi lemak yang ditelannya.
“Maafkan saya kalau soalan saya ini tak menyenangkan awak. It just I couldn’t hide my curiosity. Sejak tadi awak terlalu dingin dengan saya.” Ucap Aryan Rayyan kembali menyambung bicara.
Rahadatul ‘Aisy berdeham beberapa kali membetulkan suaranya. Sudu yang dipegang di jari kanannya diletakkan di dalam pinggan.
Past is past, Aryan. Rasa marah itu dah lama tiada. Sejak saya sah menjadi isteri Harris, saya telah serahkan kesetiaan cinta dan rasa kasih saya hanya untuk dia. Jadi, tak perlu saya menyimpan rasa marah pada lelaki yang sudah tiada maknanya lagi dalam hidup saya.” Ujar Rahadatul ‘Aisy. Buat pertama kali sejak terserempak dengan Aryan Rayyan, dia bertutur panjang lebar.
“Tapi, tindakan awak menggambarkan sebaliknya. Kalau benar awak dah tak marah, kenapa melarikan diri daripada saya?” duga Aryan Rayyan membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak.
“Mengelak dan melarikan diri adalah dua benda yang berbeza, Aryan. Ya, saya mengaku saya cuba mengelakkan diri daripada awak. Sebabnya, saya adalah seorang isteri yang perlu menjaga maruah suami saya. You are my past, Aryan. Seandainya pertemuan kita boleh menimbulkan fitnah dan salah faham, mengelak itu adalah lebih baik kan? After all that’s happened, do you expect me to treat you nicely? Banyak yang dah berubah dan keadaan dah tak sama seperti dulu.” tingkah Rahadatul ‘Aisy berterus terang. Sengaja dia mengeraskan sedikit suaranya untuk menyatakan ketegasan dalam tuturnya.
I know you’d never forgive me, ‘Aisy” Ucap Aryan Rayyan tersenyum kelat.
“Bukan saya yang layak untuk memaafkan segala perbuatan awak itu, Aryan. Saya tak berhak dan tidak pernah ada hak untuk itu.” Balas Rahadatul ‘Aisy memandang tajam ke arah Aryan Rayyan.
“Tapi disebabkan kejadian itu hati awak terluka. Saya bersalah kerana telah mengecewakan awak walaupun apa yang terjadi bukan atas kemahuan saya.” Tukas Aryan Rayyan dalam nada yang lirih.
“Sama ada apa yang telah terjadi itu atas kehendak awak atau tidak, itu semua dah tak penting. Sejujurnya, saya telah lama reda menerima semuanya sebagai takdir dalam hidup saya. Saya percaya, apa yang berlaku adalah di bawah perancangan-Nya. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita.” Putus Rahadatul ‘Aisy sambil menghabiskan air teh O. Nasi lemak yang masih berbaki separuh sudah tidak mampu dihabiskan.
“Tapi, saya perlu beritahu awak, ‘Aisy. Saya perlu betulkan salah faham kita. Saya mahu buang tanggapan buruk awak pada saya.” Bentak Aryan Rayyan bersungguh-sungguh.
“Untuk apa? Sudahlah, Aryan. Let bygone be bygone. Perkara itu dah lama berlaku. Almost six years. Dah lama pun berkubur. Dah tak ada siapa pun ingat.”
“Tapi awak tak pernah lupakan?” pertanyaan Aryan Rayyan membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Walaupun apa yang telah terjadi sudah tidak berbekas di hatinya, tetapi untuk membuang terus dari kotak ingatannya amatlah sukar. Bukannya dia berdendam, tetapi apa yang berlaku telah menjadi sebahagian daripada sejarah hitam hidupnya. Sejarah yang dia tidak mungkin dapat padamkan.
“Saya tidak pernah lupa kerana ia adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Tapi, itu tidak bermakna saya masih marah tau berdendam dengan apa yang dah berlaku. Lagipun, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri dan bahagia dengan cara masing-masing.” Balas Rahadatul ‘Aisy.
“Tapi saya tak pernah bahagia, ‘Aisy. Bila awak pergi dari hidup saya. Apabila semua orang menuding saya dengan kesalahan yang tak pernah saya lakukan, hidup saya makin menderita. Dan lebih perit bila awak sendiri tidak mahu percayakan saya. Sakit di dada ini tak mungkin akan hilang.” Kata-kata Aryan Rayyan semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpempan.
“Sama ada saya percaya atau tidak dah tidak membawa apa-apa makna. Apa yang berlaku biarlah ALLAH yang menilai. Saya tak akan dan tak mungkin kembali dalam hidup awak, Aryan. Saya adalah milik suami saya dan akan kekal begitu selamanya. Anggaplah pertemuan kita ini pertemuan yang terakhir. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Pamit Rahadatul ‘Aisy tergesa-gesa berlalu meninggalkan Aryan Rayyan yang masih termangu-mangu.
Rahahadatul ‘Aisy melangkah ke arah lif untuk menuju ke balai ketibaan. Baki masa lima belas minit membuatkan dia memutuskan untuk menunggu di situ, bersama dengan timbunan manusia yang lain. Mengharapkan keadaan itu bisa menipiskan peluangnya untuk terserempak buat kali kedua dengan Aryan Rayyan.
Tidak lama selepas itu, Umayr Harris muncul di sebalik pintu balai ketibaan sambil menolak troli yang berisi dengan bagasi miliknya. Belum sempat Rahadatul ‘Aisy ingin melambaikan tangan ke arah Umayr Harris, lelaki itu terlebih dahulu memandangnya dengan senyuman rindu yang sangat menawan. Senyuman yang sering menemani mimpi indahnya di malam hari. Langkah Umayr Harris menghampirinya yang sedang setia menanti.
“Abang…” Hanya nama panggilan itu yang mampu terluah dari bibirnya. Tubir matanya mula menggenangi mutiara jernih. Memaknakan rasa rindu yang cukup hebat menggebu di dalam hati. Pantas tangan Umayr Harris dicapai dan dikucup mesra. Setitis air matanya jatuh membasahi tangan lelaki itu. Terasa ubun-ubun kepalanya diusap lembut.
“Abang sihat?” Soalnya dalam sebak. Wajah kacak Umayr Harris ditenung lama. Rindunya dia untuk menatap raut wajah maskulin ini.
“Alhamdulillah, sihat.” Balas Umayr Harris seraya menjatuhkan sebuah kucupan di dahi Rahadatul ‘Aisy. Rindu yang tertahan selama ini bagaikan terlerai dengan sentuhan hangat itu.
“Sayang abang sihat? Kenapa menangis ni?” Tanya Umayr Harris sambil menyeka air mata yang mula gugur membasahi pipi isterinya.
“’Aisy rindukan abang.” Ucap Rahadatul ‘Aisy manja. Sebuah ucapan yang begitu bermakna di pendengaran Umayr Harris. Mengukirkan rasa bahagia yang tidak terhingga.
“Abang pun rindu sayang sangat-sangat.” Balas Umayr Harris lalu sekali lagi dia menghadiahkan kucupan di dahi Rahadatul ‘Aisy. Tubuh si isteri dibawa kemas ke dalam pelukannya.
Lama mereka dalam keadaan begitu sehingga mengundang beberapa pasang mata memandang. Rahadatul ‘Aisy yang mula tersedar dengan keterlanjuran mereka di khalayak ramai mula meleraikan rangkulan. Semakin dia cuba leraikan, semakin kejap pula tangan Umayr Harris melingkar di pinggangnya.
“Err..abang..” panggil Rahadatul ‘Aisy dalam serba salah.
“Hemmm..” sahut Umayr Harris dalam dengar tak dengar.
“Err..abang…dah lah tu.” Ujar Rahadatul ‘Aisy cuba merungkaikan pelukan. Dikerlingnya sekilas ke arah mata-mata yang memandang dengan senyuman simpul.
“Sekejaplah sayang.” tahan Umayr Harris.
“Errr…abang…” Wajah Rahadatul ‘Aisy sudah tidak mampu menahan malu.
“Hemm…abang tak puas lagi nak peluk sayang ni.” Balas Umayr Harris semakin leka memeluknya kemas.
“Abang…Kalau kita sambung peluk dekat rumah boleh tak?” soalan Rahadatul ‘Aisy itu berjaya membuatkan Umayr Harris meleraikan rangkulannya.
“Peluk dekat rumah? Ayat sayang tu macam nak memancing abang saja.” usik Umayr Harris sambil menjongketkan kedua-dua belah kening lebatnya.
“Dah mulalah tu nak melalut. Jomlah kita balik. Abang tak nampak ke semua orang sedang tengok kita semacam. Malulah.” Tegur Rahadatul ‘Aisy sambil memeluk lengan Umayr Harris. Mereka melangkah perlahan ke arah lif untuk turun ke tingkat bawah tanah.
“Biarlah dia orang nak tengok. Kita bukannya buat salah, nak malu buat apa.” Jawab Umayr Harris mudah.
“Memanglah tidak salah. Tapi, dalam Islam walaupun suami isteri kita ada adab yang perlu kita ikuti. Bimbang akan menimbulkan fitnah dan tanggapan buruk orang yang melihat.” Beritahu Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris terdiam.
“Macam itu ya, sayang? Okay, next time aksi melampau kita hanya di dalam bilik ya. Jom, tak sabar abang nak balik ke rumah ni.” Ujar Umayr Harris mengenyitkan matanya nakal. Rahadatul ‘Aisy hanya menggelengkan kepala tersenyum dengan kenakalan suaminya itu. Semakin hati semakin kuat mengusik!
p/s Ini merupakan n3 terakhir TC di blog. Banyak persoalan yang tidak terjawab lagi dalam kisah percintaan Umayr Harris & Rahadatul 'Aisy. Insya-Allah semuanya akan terjawab dalam versi cetak (doakan untuk dibukukan ya!) Happy readings. Tinggalkan komen kalau sudi...

22 comments:

  1. serius ai jatuh cinta dekat rayyan..hahaha..ai tau rayyan nanti penulis rehan makhtar tu balik sama2 ngn umayr tu..hehe..gud luck rid..be waiting..ai suke TC as much ai suke yu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah..thanks rehan.. ai liku u too very much..heheehe..

      Delete
    2. best! bila nak kuar lam versi cetak ni?

      Delete
    3. Insya-Allah plan nya thn ni. Cuba yg terbaik dan secepat mungkin..

      Delete
  2. wah, best2...xsabar nak baca full ni.

    ReplyDelete
  3. jelesh ar sye aish dah dpt bca novel Terlerai Kasih tu hahaha.... amboi kemain miang lgi harris ni, haris ni smua dh bgus, cuuma panas baran jer. weiii aryan aii like, windu dkt dia, ksian aryan dh la encem, teraniaya pula... criter ni trsangatlh misteri, gdluck taw iman, sye tggu novel awak dkt pasaran... x mau buat sedih2 n kejam2 sngt, xbaik stress2. hahaha windu la nanti dkt arryan ngan haris..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih zm..tunggu tau..insyaAllah ada rezeki ke dlm versi cetak lah ye..

      Delete
  4. Sukanya harris jadi nakal-nakal dengan aisy macam tu.. akhirnya titian cinta dah sampai dipenghujungnya untuk ditunggu dalam blog ridya ni... sedihnya... lambat lagilah nak tunggu ia dibukukan.. penatnya untuk menunggunya tapi tak apa bila keluar nanti pasti beli!!! ridya buatlah cerita lain pula sementara menunggu titian cinta dipasaran...

    ReplyDelete
    Replies
    1. novel baru? huhuhu.. kena pulun TC ini dulu..hahaha..insyaAllah..idea ada tp masa tak cukup nk kejar..

      Delete
  5. Aiii entry ni buat sy rse xsabau la nk tgu y versi cetak ny kekeke

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar...hehehehe..tunggu tau!..hehehe

      Delete
  6. bestnye cite ni..
    x saba nk tunggu novel ni..
    cnfirm la rindu kt harris ngn aryan..
    sian aryan..haaa...im falling in love..
    hehehee...
    congratz Ridhya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih pnut. sudi follow dan suka karya tak seberapa ni. :D

      Delete
  7. makin truja nak mgikuti prjlanan aisy & umayr...didoakn cepat2 dpasaran...pas ni pasti rindu gan aisy & umayr.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks hani..nntkan ade rezeki kluar versi cetak plak..

      Delete
  8. erm...sedih nya...mesti rindu citer nie eh...cepat2 bukukan citer nie yer...xsabar nk bca...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks myra..insyaAllah..nantikan ye..

      Delete
  9. baru first time baca dan saya dah terjatuh hati dengan cerita ni... sangat2 best... tahniah akak penulis... ^__^

    ReplyDelete
  10. Best gler...terbuai2 dgn cter ni...hai lena tdo dpt bce yg best cam ni hehehe

    ReplyDelete
  11. leh berangan pas abis baca sume bab,sungguh tak sabar nk tunggu kuar kan novel ne.layan gila ngan romantik nye Umary Harris hehehe........

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..