Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Saturday, 24 March 2012

Titian Cinta: Bab 28 Part 3

“Awak tinggal di sini?” soal Aryan Rayyan sebaik keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah agam tiga tingkat. Riak wajah itu seakan terkejut dan tidak percaya.
“Tak. Ini rumah milik keluarga tunang Sofia. Kebetulan malam ini Sofia tidur di sini.” sangkal Rahadatul ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Aryan Rayyan terdiam mendengar penjelasannya. Hanya sorotan mata lelaki itu merenung rumah bergaya Inggeris itu.
Rasanya sudah tiba masa untuk Rahadatul ‘Aisy menghulurkan salam perpisahan buat Aryan Rayyan. Sudah beberapa jam dia terpaksa mengambil masa lelaki itu.
“Err..terima kasih kerana awak selamatkan saya tadi. Saya minta maaf terpaksa menyusahkan awak tengah malam buta ini.” ucap Rahadatul ‘Aisy benar-benar memaknakan sebuah penghargaan buat Aryan Rayyan. Namun, kata-katanya itu tidak mendapat sebarang tindak balas daripada Aryan Rayyan. Sebaliknya, lelaki itu seakan tenggelam dalam dunianya sendiri. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Dia pelik dengan perubahan tiba-tiba Aryan Rayyan.
“Encik Aryan?” panggilan Rahadatul ‘Aisy menyedarkan Aryan Rayyan. Lelaki itu kemudiannya berpaling ke arahnya sambil menjongketkan kedua-dua belah keningnya.
“Oh, sorry. I was thinking about something else. Saya baru teringat yang saya sepatutnya ada temu janji dengan seseorang malam ini” beritahu Aryan Rayyan melemparkan sebuah senyuman nipis.
Timbul rasa serba salah di dalam diri Rahadatul ‘Aisy. Secara tidak sengaja dia telah mengganggu urusan lelaki itu. Mungkin Aryan Rayyan mempunyai temu janji istimewa dengan kekasih hati atau isterinya barangkali? Lelaki setampan ini pasti sudah berpunya.
“Maafkan saya. Saya rasa lebih baik saya masuk ke dalam dulu. Terima kasih atas segala pertolongan awak. Semoga ALLAH membalas segala jasa baik awak ini dengan seribu kebaikan” pamit Rahadatul ‘Aisy dalam nada terharu. Hanya perkataan terima kasih yang mampu diucapkan untuk menunjukkan penghormatannya kepada Aryan Rayyan.
“Sama-sama. Saya rasa semua orang akan melakukan perkara yang sama jika mereka berada di tempat saya. Mungkin sudah ditakdirkan saya berada di sana pada masa yang tepat” lembut kata-kata yang meniti di bibir Aryan Rayyan menyapa pelupuk telinganya. Jauh di sudut hati dia kagum dengan sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“Saya masuk dalam dulu. Terima kasih.” segaris senyuman dihadiahkan kepada Aryan Rayyan. Buat seketika, pandangan matanya beradu dengan anak mata milik Aryan Rayyan. Dalam kesamaran cahaya yang dipancarkan lampu jalan, baru kini dia dapat meneliti wajah lelaki itu.
Memiliki tulang pipi yang tinggi, hidung yang mancung terletak, bibir yang kemerah-merahan, sepasang mata berwarna hazel, kening lebat yang hampir bercantum di tengah membuatkan Aryan Rayyan kelihatan begitu tampan di matanya. Gabungan yang cukup indah dan sempurna. Dari raut wajah Aryan Rayyan yang agak cerah itu jelas menunjukkan lelaki itu berdarah campuran.
“Ehem..” deheman Aryan Rayyan membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak. Lelaki itu turut berpura-pura membetulkan duduknya yang dirasakan agak canggung.
Rahadatul ‘Aisy segera melarikan pandangannya. Wajahnya dirasakan berbahang panas. Macam mana dia boleh terlepas laku sampai begitu sekali? Bukannya dia tidak pernah melihat lelaki tampan sebelum ini.
“Err..saya pergi dulu. Jumpa lagi. Assalamualaikum.” buat kali ketiga dia mengucapkan kata-kata pamitan. Dalam kalut dia membuka pintu kereta dan menapak keluar. Kakinya melangkah laju ke arah pintu pagar wrought iron yang terukir indah itu. Langsung tidak mengangkat wajahnya untuk memandang Aryan Rayyan. Malu kerana terkantoi!
“Tunggu! Saya temankan awak” suara Aryan Rayyan yang sedikit dikuatkan itu membuatkan langkah Rahadatul ‘Aisy yang tergesa-gesa seakan terpasung. Sekelip mata lelaki itu telah berdiri di sebelahnya.
“Tapi..temu janji awak..” tingkah Rahadatul ‘Aisy dalam rasa bersalah.
That can be waited. You need me more. Saya kan satu-satunya saksi yang boleh mengesahkan cerita awak” ujar Aryan Rayyan sambil mengenyitkan matanya. Rahadatul ‘Aisy pura-pura tidak nampak dengan perbuatan lelaki itu. Masih dihambat dengan rasa malu.
“Kalau orang yang menunggu itu adalah kekasih atau isteri awak, saya rasa tak elok awak buat macam itu. Lebih baik awak balik” tolak Rahadatul ‘Aisy. Sungguh dia tidak berniat untuk campur tangan dalam urusan peribadi Aryan Rayyan tetapi dia tidak mahu menjadi penyebab kepada pergaduhan sepasang kekasih atau mungkin sepasang suami isteri.
“Kekasih? Isteri? Satu pun saya tak ada. Orang yang saya nak jumpa itu pun just one of my colleagueSo, you don’t have to worry. Saya temankan awak ke dalam, ya?” beritahu Aryan Rayyan dengan wajah yang tenang.
“Okay.” Rahadatul ‘Aisy mengangkat bahu. Langkah kembali diatur menghampiri pintu pagar. Loceng ditekan sekali. Hatinya dipagut bimbang juga untuk mengganggu ketenteraman penghuni rumah agam itu. Maklumlah waktu sudah menghampiri tengah malam. Mungkin masing-masing sudah berlabuh dibuai mimpi. Namun dia tidak mempunyai pilihan. Dia perlu memastikan keselamatan Syarifah Sofia. Sahabatnya itu perlu segera diberikan peringatan sebelum Daniel Haiqal melunaskan dendam nya. Lagipun, setelah apa yang terjadi, dia tidak berani pulang ke rumah sewanya. Takut kelibat Daniel Haiqal dan dua orang rakan subahat lelaki itu sedang menanti kepulangannya di situ.
Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya pintu pagar automatik itu terbuka. Rahadatul ‘Aisy melangkahkan kakinya menuju ke pintu utama sambil diiringi Aryan Rayyan.
Pintu cengal yang dicat putih itu terkuak dari dalam. Terpacul wajah seorang lelaki di muka pintu. Rahadatul ‘Aisy pernah melihat wajah tampan lelaki yang sedang berdiri di depannya itu. Dia pasti lelaki itu adalah Umayr Harris walaupun dia hanya melihat lelaki itu di dalam gambar sebelum ini. Pelik, kenapa Umayr Harris pula yang membuka pintu? Bukankah rumah ini ramai orang gaji? Sempat hatinya melontarkan persoalan yang tidak berapa penting itu.
“Assalamualaikum” Rahadatul ‘Aisy mengucapkan salam dan dia mendengar Umayr Harris menjawab perlahan.
“Ada hal apa?” tanya Umayr Harris sambil memandang Rahadatul ‘Aisy dan Aryan Rayyan silih berganti. Dan pandangannya semakin pelik tatkala melihatkan keadaan Rahadatul ‘Aisy yang agak serabai. Selendang di kepala yang langsung tidak padan dengan baju dan seluar yang dipakai.
“Maaf mengganggu lewat malam begini. Err..sebenarnya saya Rahadatul ‘Aisy, housemate Sofia. Dan ini..err..kawan saya Aryan Rayyan.” Beritahu Rahadatul ‘Aisy memperkenalkan. Aryan Rayyan menghulurkan tangannya dan disambut Umayr Harris. Kedua-dua orang lelaki itu hanya menganggukkan kepala sedikit tanda hormat. Tiada sapaan mesra yang meniti di kedua-dua bibir mereka. Kemudian, pandangan Umayr Harris yang tidak bereaksi itu kembali beralih kepadanya.
“Saya perlu jumpa dengan Sofia. Boleh tolong panggilkan dia tak?” sambung Rahadatul ‘Aisy menyatakan tujuannya.
“Kenapa?” sepatah soalan yang keluar dari mulut Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy termangu-mangu. Dia kehilangan kata. Memang benarlah komen Syarifah Sofia sebelum ini. Umayr Harris terlalu dingin dan beku.
Rahadatul ‘Aisy menjeling sekilas ke arah Aryan Rayyan yang hanya mendiamkan diri di sisinya. Melalui sorotan mata, dia cuba mendapatkan sokongan lelaki itu. Tetapi Aryan Rayyan seakan tidak mengerti dengan isyaratnya. Mata lelaki itu hanya merenung tajam ke arah Umayr Harris.
Pandangan Aryan Rayyan yang semacam itu membuatkan hatinya mula menebak yang tidak-tidak. Takkan lelaki ini berminat dengan Umayr Harris kot? Hishh…‘Aisy, apa yang kau melalut ini. Rahadatul ‘Aisy memarahi dirinya dan dia menepuk kepalanya. Aksinya itu mengundang pandangan pelik Umayr Harris. Tidak mahu lelaki itu tersalah anggap, dia mula menyusun kata.
“Err..sebenarnya..”
“Harris? Siapa yang datang tu?” suara lembut yang menyapa mematikan kata-kata Rahadatul ‘Aisy.
“Kawan serumah Sofia” sahut Umayr Harris membalas.
“’Aisy ke?” nada suara Hajah Mariah berubah ceria. Wanita tua itu berjalan menghampiri Umayr Harris. Dia membulatkan matanya tatkala melihat batang tubuh Rahadatul ‘Aisy di hadapannya.
“Ya ALLAH, ‘Aisy. Kenapa kusut macam ini? Apa yang dah jadi ni? Mari-mari, masuk dulu” suara Hajah Mariah jelas bernada risau. Tangan Rahadatul ‘Aisy dipimpin ke ruang tamu. Umayr Harris yang hanya memerhati berundur sedikit ke belakang untuk memberikan laluan.
“Anak ini siapa pula?” soal Hajah Mariah sebaik menyedari kelibat Aryan Rayyan.
“Saya kawan ‘Aisy, nenek. Aryan Rayyan” jawab Aryan Rayyan sopan turut memanggil Hajah Mariah dengan panggilan nenek. Dia melangkah mengekori Rahadatul ‘Aisy dan Hajah Mariah ke ruang tamu.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni, ‘Aisy?” Hajah Mariah terus melemparkan pertanyaan sebaik sahaja mereka melabuhkan duduk di atas sofa. Tangan Rahadatul ‘Aisy digenggam erat. Belas hatinya melihatkan keadaan gadis itu.
“Sofia…Sofia mana nenek?” soalan wanita tua itu tidak dijawabnya. Sebaliknya dia membalas dengan mengutarakan soalan.
“Sofia ada di bilik tamu tu. Mungkin dah tidur agaknya.” Beritahu Hajah Mariah tenang.
“Err..’Aisy nak jumpa dengan Sofia.” ujar Rahadatul ‘Aisy cemas. Entah kenapa hatinya tidak akan senang selagi dia sendiri tidak melihat kelibat Syarifah Sofia.
“Harris, tolong nenek panggilkan Sofia” arah Hajah Mariah. Lelaki itu tidak membalas sebaliknya akur mengatur langkah ke bilik tamu yang berada di tingkat atas.
“Tenang, ‘Aisy. Beritahu nenek apa sebenarnya yang dah berlaku.” Pujuk Hajah Mariah lembut. Dia mengelus perlahan jari-jemari Rahadatul ‘Aisy.
“Sebenarnya tadi ‘Aisy hampir kena culik.” Jelas Rahadatul ‘Aisy.
“MASYA-ALLAH.” Hajah Mariah beristighfar panjang. Dia benar-benar terpana dengan berita yang disampaikan itu.
“Tapi, alhamdulillah ‘Aisy berjaya melepaskan diri dan Encik Aryan inilah yang telah menyelamatkan ‘Aisy” sambung Rahadatul ‘Aisy membuatkan Hajah Mariah melurut dada kelegaan.
“Syukurlah ‘Aisy tak diapa-apakan. Aryan, terima kasih kerana selamatkan ‘Aisy.” ucap Hajah Mariah sambil matanya memandang ke arah Aryan Rayyan.
“Sama-sama. Secara kebetulan kami terserempak dan dia memerlukan pertolongan saya. Menolongnya sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai manusia.” Ujar Aryan Rayyan sambil mengukirkan senyuman manis.
“’Aisy kenal tak siapa yang culik ‘Aisy?” pertanyaan Hajah Mariah itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Dia menelan liurnya pahit. Tidak tahu bagaimana jawapan yang harus diberikan. Yang pasti dia tidak boleh menyebut nama Daniel Haiqal. Dia perlu menyembunyikan hubungan silam yang pernah terjalin di antara Syarifah Sofia dan Daniel Haiqal terutamanya daripada pengetahuan bakal keluarga mertua sahabatnya itu.
“Err..tt..tak..tak kenal” balas Rahadatul ‘Aisy tergagap-gagap. Sengaja dia melarikan anak matanya daripada bertembung dengan pandangan mata helang Aryan Rayyan yang sedang merenungnya. Jelas wajah itu agak terkejut dengan pembohongan gadis itu.
“Culik? Kau kena culik, ‘Aisy?” Syarifah Sofia segera menerpa ke arah Rahadatul ‘Aisy. Sebaik kakinya menjejak anak tangga paling bawah, telinganya sempat menangkap pertanyaan yang diutarakan Hajah Mariah. Wajah sahabatnya yang agak berserabut itu dipandang dengan penuh tanda tanya.
Rahadatul ‘Aisy mengangguk lemah. Melalui ekor matanya, dia melirik pandang ke arah Syarifah Sofia ingin menzahirkan sesuatu. Andainya dia dapat menyampaikan apa yang telah terjadi melalui isyarat matanya.
“Macam mana boleh kena culik? Kau okay tak ini? Dia orang apa-apakan kau ke?” Syarifah Sofia mendakap tubuh Rahadatul ‘Aisy erat.
Rahadatul ‘Aisy ingin menggunakan kesempatan itu untuk membisikkan tentang Daniel Haiqal di telinga Syarifah Sofia. Namun, tidak semena-mena pandangannya berlaga dengan anak mata Umayr Harris yang sedang tunak merenungnya. Lelaki itu sedang berdiri dalam jarak dua meter sambil berpeluk tubuh. Entah kenapa renungan itu membuatkan dirinya merasa tidak selesa.
“Aku tak apa-apa.” Hanya itu yang terkeluar di bibir Rahadatul ‘Aisy. Mata Umayr Harris yang seakan ketat mengawasinya membuatkan Rahadatul ‘Aisy membatalkan niatnya.
"Mujurlah kau tak apa-apa. Aisy, aku minta maaf. Aku tertidur awal tadi. Aku tak sedar mesej kau. Buat kau lama tertunggu di luar.” Ujar Syarifah Sofia serba salah.
“Mesej?” soal Rahadatul ‘Aisy tidak mengerti. Bila dia menghantar khidmat pesanan ringkas pada Syarifah Sofia?
“Ha’ah. Dalam pukul 11 tadi aku terima mesej kau. Kau cakap kau dah ada dekat luar rumah. Kau suruh aku buka pintu. Tapi waktu tu aku betul-betul tak larat nak buka mata. Lama ke kau tunggu aku dekat luar?” Penerangan Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin keliru.
Pukul 11 malam bermakna sejam yang lalu. Waktu itu dia masih berada di dalam kereta yang sedang dipandu Aryan Rayyan. Macam mana dia boleh menghantar mesej pada Syarifah Sofia sedangkan telefon bimbitnya tidak ada bersama dengannya tika itu? Otaknya ligat mencernakan teka-teki yang bermain di fikiran. Akhirnya, dia dapat memahami apa yang sedang berlaku. Dia pasti ini semua perangkap yang dipasang Daniel Haiqal. Ternyata keresahan di hatinya bersebab. Rupanya memang benar lelaki itu lebih pantas bertindak. Namun, mujurlah nasib masih tidak menyebelahi Daniel Haiqal.
“Bu…err..oh, aku lupa. Aku memang ada mesej kau tadi. Hampir setengah jam aku dan Aryan tunggu kau buka pintu, tapi kau tak muncul. Jadi, aku terpaksa tekan loceng. Maaf terpaksa mengejutkan dan menyusahkan semua orang” tingkah Rahadatul ‘Aisy menyusun ayat-ayat pembohongan. Dia melirik ke arah Aryan Rayyan takut-takut. Bimbang juga hatinya andai lelaki itu membuka cerita yang sebenar. Namun, lelaki itu cuma berlagak tenang.
“Menyusahkan apanya, ‘Aisy? Perkara culik ini bukan boleh dibuat main. ‘Aisy dah buat police report?” soalan Hajah Mariah itu sekali lagi bagaikan menjerut lehernya. Otaknya cuba merangka-rangka alasan yang agak munasabah. Sememangnya dia bukan seorang yang bijak dalam penipuan.
“Sebenarnya, saya dah ajak ‘Aisy buat laporan polis tadi tapi dia berkeras hendak ke sini dulu. Mahu jumpa Sofia. Mungkin tadi dia dalam keadaan trauma dan terkejut. Elok juga kalau dia dapat berehat dan tenangkan diri dulu. Insya-Allah, esok saya akan datang untuk bawa ‘Aisy ke balai polis.” sampuk Aryan Rayyan tenang setelah melihat Rahadatul ‘Aisy sedang termangu-mangu mencipta alasan. Dalam hati Rahadatul ‘Aisy mengeluh lega. Mujurlah Aryan Rayyan sudi membantunya.
“Yalah, elok juga kalau begitu.” Hajah Mariah menyetujui.
“Kalau macam tu, saya balik dulu. Hari pun dah lewat malam sangat ni.” Ujar Aryan seraya bingkas bangun dari duduknya.
“Sekarang ini awak dah selamat, ‘Aisy. Berehat dan tenangkan diri. Insya-Allah besok saya datang ambil awak. Kita ke balai sama-sama” pesan Aryan Rayyan bersahaja.
“Terima kasih di atas pertolongan awak.” tutur Rahadatul ‘Aisy menggariskan senyuman nipis buat Aryan Rayyan.
No problem. Saya pergi dulu. Assalamualaikum” ucap Aryan Rayyan senafas. Dia menundukkan kepalanya sedikit pada Hajah Mariah tanda menghormati wanita tua itu. Kemudian, dia menyalami Umayr Harris sebelum melangkah keluar. Tidak lama kedengaran deruman enjin kereta Porsche meninggalkan perkarangan kawasan perumahan mewah itu.
“Sofia, bawa ‘Aisy berehat ke dalam bilik.” Arah Hajah Mariah. Syarifah Sofia akur dan memimpin Rahadatul ‘Aisy naik ke tingkat atas.
“Siapa Aryan Rayyan tu? Sejak bila kau kenal dengan dia? Kenapa aku tak pernah nampak dia sebelum ini?” bertubi-tubi soalan yang ditanya Syarifah Sofia sebaik mereka berdua berada di dalam bilik tamu.
“Dia yang tolong selamatkan aku semasa aku melarikan diri dari penculik.” Jawab Rahadatul ‘Aisy acuh tidak acuh. Bukan perkara tentang Aryan Rayyan yang menjadi tumpuan utama sekarang ini.
Handsome gila Aryan tu. Naik kereta Porsche, mesti bukan calang-calang orang dia tu.” Komen Syarifah Sofia tersungging senyuman gatal di wajahnya. Rahadatul ‘Aisy tidak berminat untuk membalas kata-kata Syarifah Sofia. Di dalam kepalanya hanya ada satu nama. Syarifah Sofia perlu diberitahu tentang Daniel Haiqal.
“Tentang mesej yang kau terima tadi” ujar Rahadatul ‘Aisy mengalih topik.
“Mesej? Mesej apa?” soal Syarifah Sofia tidak faham.
“Kau kata aku ada hantar mesej dekat kau kan?” Syarifah Sofia mengangguk mengiakan.
“Memang kau yang hantarkan?” pertanyaan teman baiknya itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengeluh berat. Seketika dia terdiam sebelum menyambung kata.
“Sebenarnya bukan aku yang mesej kau. Tapi Daniel!” beritahu Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia terkesima. Bulat mata gadis itu memandang Rahadatul ‘Aisy tidak percaya.
“Daniel? Jangan mengarutlah, ‘Aisy. Macam mana dia boleh guna telefon bimbit kau pula?” soal Syarifah Sofia tidak berpuas hati.
“Dalang yang menculik aku tu adalah Daniel” terpempan Syarifah Sofia tatkala mendengar perkhabaran yang disampaikan Rahadatul ‘Aisy. Lancar mulut gadis itu menceritakan peristiwa penculikan dirinya. Berubah riak wajah Syarifah Sofia yang selama ini sering mengambil ringan kesan daripada setiap tindakannya mempermainkan lelaki.
“Kita perlu buat sesuatu, ‘Aisy. Besok aku teman kau ke balai. Biar polis tangkap lelaki tak sedar diri itu. Baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah.” gumam Syarifah Sofia sebaik Rahadatul ‘Aisy selesai menceritakan segala-galanya.
“Jangan! Kalau boleh aku tak nak perkara ini jadi kes polis.” Bantah Rahadatul ‘Aisy.
“Kau gila? Kau nak biarkan Daniel terlepas bebas? Kalau Daniel itu sanggup bertindak sampai macam ini sekali, maknanya lelaki itu berbahaya. Kau sanggup perkara yang sama berulang lagi? Kau sanggup biarkan aku menjadi mangsa?” Syarifah Sofia tertahan-tahan mengawal suaranya. Jelas terpancar kemarahan di riak wajahnya. Kata-kata Syarifah Sofia yang berasas itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy terdiam.
“Tapi, Daniel tu kawan sekampung aku. Aku kenal sangat dengan mak ayah dia. Aku tak nak mak ayah dia malu dan kecewa kalau Daniel tertangkap. Masa depan dia akan hancur.” Luah Rahadatul ‘Aisy terhadap kerisauan yang membelenggu benaknya.
“Habis itu kau nak maruah aku jadi pertaruhan?” dakwaan yang diajukan Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy menggelengkan kepalanya cepat-cepat.
“Bukan..aku..aku..” Rahadatul ‘Aisy kehilangan kata. Serba salah!
“Daniel sudah melakukan kesalahan jenayah, ‘Aisy. Dan orang yang bersalah tetap perlu dihukum. I’m your best friend, ‘Aisy. You should be more concerned about me at the first place” Syarifah Sofia merendahkan suaranya separuh memujuk.
“Aku..aku..aku serba salah, Sofia. Aku…aku.. entahlah.” Keluh Rahadatul ‘Aisy berat.
“Dah. Tak perlu kau fikirkan lagi, ‘Aisy. Besok kita ke balai buat laporan polis. Lagipun tadi, Aryan dah janji nak datang jemput kau ke balai kan. Okay?” Putus Syarifah Sofia bagi pihak Rahadatul ‘Aisy.
Lambat-lambat akhirnya Rahadatul ‘Aisy mengangguk lemah. Memang dia tidak sanggup memusnahkan harapan kedua-dua ibu bapa Daniel Haiqal. Tetapi, dia juga tidak sanggup meletakkan keselamatan Syarifah Sofia dan dirinya menjadi taruhan. Pandangan matanya dibawa ke luar jendela. Membuang pandang pada dada langit yang kelam tanpa kehadiran kilauan bintang. 


p/s Terpaksa sambung jadi part 3 plak. Serius panjang bab 28 ni. Enjoys reading... Kalu sudi silalah komen ya. Thanks!

10 comments:

  1. Replies
    1. next? hahahaha...errrr..tgh fikir nk cite pasal ape lagi ni..hahahaha..

      Delete
  2. yippie, akhirnya ada juga harris. ala sye mcm trsuka aryan la pulak... ahaks giler gediks... tpi knape aryan tu duk tenung2 haris tu, brkenan kot... ahhahaha maybe dorg kawan lama, or musuh kot, buat la part 4 pula, best la pula criter ada aryan ni.. aiii like, ala tpi laki yg dlm gmbr ehem2 dgn aisy tu ada tatu, xkan aryan ada tatu pula kot... misterinya

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...tu kena tunggu smpai habis cerita baru tahu..hahaahha..

      Delete
  3. kak,smbung la lg..cept2..
    nk tw pe jd kt aisy..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar cik fieqah..hahaha..kalau tunggu version cetak aci tak? hahahaha...

      Delete
  4. Klu xaci,.aci x cik ridhya?? Kiki
    Lmbt la nk tgu versi cetak keke

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kekeke...aci dia buka pintu je...sy post satu atau dua chapter je lg...insyaallah...

      Delete
  5. Ada part 3 rupanye untuk bab 28 ni.. rase macam kene tambah part 4 ni.. nak tau jugak aisy sanggup ke tak buat laporan polis..! Uish..sofea ni memang gedik la bila tengok lelaki yang ensem dan kaya-raya.. ingat kan lelaki je patang tengok pempuan cantik tapi pempuan pun tergugat jugak imannya bile tengok lelaki yg ensem.. rasenya dah makin suspen dan makin byk rahsia yg terlindung titian cinta ni.. makin byk rahsia makin syok nak bace next n3..pape pn nak sambungan part 4 tapi taknak lagi bab 29.. boleh tak cik writter? hehehehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha..dh nama pn manusia..mmg sukakan sesuatu yg cantik...samada aisy report ke tak kena tunggu...nnt akan terungkai...hehehe

      Delete

Tinggalkan jejak anda..