Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 22 March 2012

Titian Cinta: Bab 28 Part 1

Tujuh tahun yang lepas...


“Oh..Siapalah diri aku ini
Tanpa mu dunia ku pasti tak berseri
Dan hidup tak menjadi”
Rahadatul ‘Aisy terpisat-pisat membuka matanya. Sayup-sayup nyanyian yang kedengaran dari luar rumah membangkitkannya dari lena. Dia melirik ke arah jam loceng berbentuk empat segi di atas meja studi. Baru pukul 1.30 pagi!
“Kau bagi ku satu-satunya
Padamu lah ku meminta, ku bermanja
Ku rindui ku kasihi”
Dia mengamati suara lelaki itu. Memang sah itu suara milik Daniel Haiqal. Lelaki yang tidak pernah jemu mengejar cinta Syarifah Sofia. Daniel Haiqal memang tidak pernah serik! Atau dengan kata lain, tidak faham bahasa. Memang dasar kepala batu urat dawai.
Melalui jendela bilik tidurnya, Rahadatul ‘Aisy mengintai kelibat Daniel Haiqal. Jelas kelihatan lelaki tinggi lampai itu sedang berdiri di luar pagar rumah sambil mendendangkan lagu dengan petikan gitar kapaknya. Semakin lama semakin tinggi nada suaranya.
Rahadatul ‘Aisy menjadi serba salah. Bimbang perbuatan lelaki itu mengganggu jiran sekeliling. Tanpa membuang masa, dia mengayun langkah ke bilik sebelah. Pintu bilik diketuk bertalu-talu.
“Sofia..Sofia..” nama sahabatnya itu dilaungkan beberapa kali. Beberapa minit berlalu, akhirnya pintu dikuak dari dalam. Terpacul wajah Syarifah Sofia yang agak kusut masai.
“Apa hal bising-bising tengah malam buta ni?” soal Syarifah Sofia malas dengan mata yang separa terpejam.
Sorry, Sofia. Daniel…dia..”
“Kalau kau nak beritahu fasal Daniel tunggu besok tak boleh ke? Aku mengantuk ni. Besok-besok sajalah” potong Syarifah Sofia dengan suara yang sedikit keras. Bengang tidurnya diganggu semata-mata disebabkan seorang lelaki yang sudah tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam hidupnya lagi.
“Nanti dulu, Sofia! Tapi, Daniel tengah tercongok depan pagar tu.” Rahadatul ‘Aisy menahan daun pintu yang ingin ditutup kembali oleh Syarifah Sofia.
“Biarlah dia. Nanti dia penat, dia baliklah. Aku tak kuasalah nak melayan mamat jiwang tu.” Balas Syarifah Sofia acuh tak acuh. Mudah dia ingin lepas tangan begitu sahaja. Baginya, Daniel Haiqal adalah sepah yang telah kehabisan madu. Tidak lagi berguna untuk dirinya.
Hatinya kini telah beralih arah pada Umayr Harris. Lelaki yang bakal dijodohkan dengannya atas pilihan keluarga. Seorang lelaki yang sudah pasti memiliki banyak kelebihan yang tiada pada Daniel Haiqal. Barulah sesuai gadis berdarah bangsawan sepertinya dipadankan dengan lelaki korporat yang berwajah tampan itu.
“Tak boleh lah macam tu, Sofia. Kau tak dengar ke dia tengah buat bising dekat luar tu? Nanti apa kata jiran-jiran kita” pujuk Rahadatul ‘Aisy lembut. Bercakap dengan Syarifah Sofia yang agak keras kepala ini memerlukan diplomasi yang tinggi. Jika tidak kena dengan anginnya, percuma sahaja dia ditengking nanti.
“Habis tu kau nak aku buat apa? Pujuk mamat tu? Eiii..no way” balas Syarifah Sofia sambil mencebik.
Please, Sofia. Kau cakaplah elok-elok dengan Daniel tu.” tambah Rahadatul ‘Aisy masih cuba memancing kerjasama daripada teman baiknya itu.
“Kau nak aku cakap apa lagi dengan dia? Kau bukannya tak tahu Daniel itu degil, muka tak tahu malu. Dahlah, aku nak tidur. Kalau kau tak sanggup kena sumpah dengan jiran-jiran kita, apa kata kau saja yang pergi selesaikan dengan Daniel” bentak Syarifah Sofia dengan wajah yang meluat sebelum menghempaskan pintu biliknya.
“Aku? Aku ke dia yang bercinta dengan Daniel?” Gumam Rahadatul ‘Aisy geram kepada dirinya sendiri. Kepala yang tidak gatal digaru tanpa tujuan. Dia mundar-mandir di depan pintu bilik Syarifah Sofia yang sudah tertutup rapat. Apa yang harus dilakukannya?
Kusut benaknya saat itu. Sayup suara Daniel Haiqal yang masih tidak berhenti mendendangkan nyanyian yang mendayu-dayu itu menambahkan serabut di fikirannya. Akhirnya dia mencapai tudung dan melangkah keluar rumah untuk menemui Daniel Haiqal. Hendak tidak hendak terpaksalah dia berhadapan dengan lelaki itu.
“Apa kau buat ini, Daniel? Malu lah kalau jiran-jiran dengar.” Tegur Rahadatul ‘Aisy tergesa-gesa berjalan menghampiri pintu pagar rumah sewanya. Wajah tertekan Daniel Haiqal di luar pagar dipandang dengan rasa simpati. Buat sekian kali dia terpaksa bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kekusutan yang ditinggalkan oleh Syarifah Sofia. Menjadi tempat luahan kemarahan dan ketidakpuasan hati lelaki yang dikecewakan.
“Daniel! Janganlah buat bising macam ini. Orang semua nak tidur.” pinta Rahadatul ‘Aisy sekali lagi apabila Daniel Haiqal langsung tidak mengendahkan tegurannya. Tangan lelaki itu terus-terusan memetik gitar dan melontarkan suara mengalunkan lagu.
“Sudah-sudahlah tu, Daniel. Jangan malukan diri kau sendiri lagi. Kau jangan jadi bodoh kerana cinta, Daniel!” suara Rahadatul ‘Aisy naik satu oktaf. Kata-kata yang agak keras itu berjaya membuatkan Daniel Haiqal menghentikan nyanyiannya.
“Ini bukan urusan kau!” Daniel Haiqal memandang tajam ke arah Rahadatul ‘Aisy. Pandangan mata yang beku itu jelas memancarkan kemarahan. Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Sedar yang dia sudah terlepas cakap. Kata-katanya tadi hanya menambahkan bara di dalam hati Daniel Haiqal.
“Maafkan aku, Daniel. Memang ini bukan urusan aku. Tapi, kalau kau buat bising di kawasan rumah aku, aku ada hak untuk menegur kau kan?” balas Rahadatul ‘Aisy kembali memperlahankan suaranya. Berharap darjah kemarahan Daniel Haiqal dapat diturunkan.
“Lagipun, sebagai kawan, aku tak sampai hati melihat kau berterus-terusan menyakiti diri kau begini…” kata-kata Rahadatul ‘Aisy terhenti. Sedangkan orang yang kau kejar cintanya itu langsung tidak pernah peduli dengan apa yang kau rasa. Sambungnya hanya mampu terluah di dalam hati. Tidak tergamak untuk menuturkan ayat itu.
“Kalau kau tak nak tengok aku begini, kau panggil Sofia keluar sekarang. Aku nak jumpa dia” arah Daniel Haiqal dengan suara yang mendatar.
“Daniel, tolonglah. Jangan mengeruhkan lagi keadaan. Yang lepas itu lepaslah. Kau balik, ya.” ujar Rahadatul ‘Aisy mengharapkan pengertian daripada Daniel Haiqal. Dia faham dengan keperitan dan kekecewaan yang sedang dirasakan oleh lelaki itu walaupun dia sendiri tidak pernah mempunyai pengalaman dalam cinta. Tetapi dia tidak mempunyai kudrat dan daya untuk menolong.
“Kau cakap senanglah sebab bukan kau yang rasa. Tak mungkin aku mampu lepaskan Sofia. Dia adalah cinta pertama aku dan akan selama-lamanya menjadi milik aku” bentak Daniel Haiqal keras. Tangannya meraup kasar wajahnya yang agak kusut itu. Seolah-olah ingin melepaskan beban kekecewaan yang sarat tergalas di bahu.
“Tapi cinta pertama tidak semestinya bersatu kan? Mungkin Sofia bukan ditakdirkan untuk menjadi milik kau.” tutur Rahadatul ‘Aisy lembut. Dia benar-benar buntu untuk menyusun kata. Bagaimanakah cara terbaik untuk dia menyedarkan Daniel Haiqal yang selama ini dia tidak pernah menjadi pilihan Syarifah Sofia. Seandainya dia berterus-terang, pasti hati Daniel Haiqal akan hebat terluka. Pada masa yang sama, dia tidak mempunyai hak untuk memburuk-burukkan Syarifah Sofia walaupun dia sedar dalam hal ini, sahabatnya itu juga bersalah kerana memberikan lelaki itu harapan. Menganggap cinta lelaki hanyalah satu mainan. Itulah masalahnya apabila mempunyai terlalu banyak pilihan.
“Tak! Tak, ‘Aisy. Sofia akan tetap menjadi milik aku!” Daniel Haiqal menggeleng-gelengkan kepalanya laju. Kata dan azam yang tersemat kukuh di dalam hatinya. Walau apa sekalipun cara, dia akan pastikan Syarifah Sofia akan menjadi miliknya buat selamanya.
“Daniel, tolonglah jangan berdegil macam ini. Buat apa kau terus berharap pada yang tak sudi? Anggaplah Sofia tu bukan jodoh kau. Apa yang berlaku tersirat hikmah di sebaliknya. Mungkin sekarang kau tak nampak. Tapi, yakinlah ALLAH merancang yang terbaik untuk kau” Rahadatul ‘Aisy mengeluh berat. Dia benar-benar tersepit di tengah-tengah. Di sana adalah sahabat baiknya. Dan lelaki di depannya ini adalah teman sekampungnya. Dua-dua adalah kawan yang disayanginya.
“Tak mungkin aku mampu lupakan dia, ‘Aisy. Aku terlalu sayangkan dia. Terlalu cintakan dia. Dia nyawa aku. Aku perlukan dia dalam hidup aku” luah Daniel Haiqal bersungguh-sungguh.
“Aku tahu kau sayangkan dia. Tapi, apalah hak kita untuk menolak takdir seandainya kau dan Sofia tidak berjodoh. Reda dan bersabarlah.” Rahadatul ‘Aisy memandang wajah keruh Daniel Haiqal. Tubuh lelaki itu yang semakin susut direnung penuh belas. Cinta memang boleh membuatkan manusia menjadi gila. Apatah lagi jika cinta yang dikejar itu hanya disandarkan pada keseronokan dan keindahan dunia semata.
“Aku tak boleh lupakan dia, ‘Aisy. Tak boleh..tak boleh” ulang Daniel Haiqal berkali-kali menegaskan perasaannya. Menafikan hakikat dan menolak kenyataan tentang episod cintanya yang telah kecundang. Rasa taasub untuk memiliki dan meraih cinta Syarifah Sofia yang membuai jiwa membuatkan dirinya semakin parah.
“Kenapa Sofia tinggalkan aku, ‘Aisy? Kenapa dia buat aku macam ini? Apa salah aku?” soal Daniel Haiqal berubah lirih.
“Aku tiada jawapan dia, Daniel.” Balas Rahadatul ‘Aisy perlahan. Dia menarik nafas panjang dan menghembus nya berat. Memang benar dia tidak mampu menjawab setiap persoalan itu.
“Aku dah korbankan segala-galanya untuk dia. Selama ini, apa yang dia mahukan sedaya upaya aku usahakan. Semuanya aku buat kerana dia” tingkah Daniel Haiqal sayu. Setitis air mata lelakinya gugur, cukup menggambarkan keperitan yang sedang dilaluinya.
Rahadatul ‘Aisy melarikan anak matanya ke arah lain. Walaupun ini bukanlah kali pertama dia menyaksikan kekecewaan seorang lelaki tetapi melihatkan kepedihan Daniel Haiqal turut membuatkan hatinya sayu. Mudah benar hati perempuannya terusik. Dia mengelipkan mata yang mula ditakung mutiara jernih.
“Daniel..” kata-kata Rahadatul ‘Aisy terhenti. Dia benar-benar kematian kata. Tiada alasan yang mampu diberikan kepada Daniel Haiqal untuk menenangkan lelaki itu.
Di sudut hati dia mengakui Daniel Haiqal terlalu mencintai Syarifah Sofia. Terlalu cinta sehingga sanggup membiarkan dirinya dipergunakan sepenuhnya oleh Syarifah Sofia. Sanggup berhabis duit biasiswa demi untuk memenuhi kehendak Syarifah Sofia yang bercita rasa tinggi itu. Sanggup bersengkang mata menyiapkan tugasan kekasih hati. Sanggup menjadikan diri tidak ubah seperti seekor lembu yang dicucuk hidungnya dengan tali. Cinta itu memang tidak bermata. Manusia sanggup membutakan akal dan hati kerana cinta.
“Kau tolong aku, ‘Aisy. Tolong pujuk Sofia kembali pada aku” kata-kata Daniel Haiqal mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari menungannya. Sekali lagi keluhan berat meniti di bibir.
“Daniel, kau kan tahu Sofia macam mana. Tak mungkin dia akan terima kau kembali.” Ujar Rahadatul ‘Aisy. Lagipun, bulan depan Sofia akan bertunang dengan lelaki pilihan keluarganya. Ayat itu hanya mampu terluah di dalam hatinya. Dia tidak mampu untuk menyampaikan berita yang bakal merobek perasaan Daniel Haiqal. Apatah lagi Syarifah Sofia sendiri memintanya untuk merahsiakan perkara itu.
“Kau kan kawan baik dia. Mesti dia dengar cakap kau. Tolonglah aku, ‘Aisy” tutur Daniel Haiqal separuh merayu meletakkan Rahadatul ‘Aisy dalam keadaan yang cukup sukar. Ditelan mati emak, diluahkan mati bapak. Peribahasa yang tepat menggambarkan keadaannya pada masa ini.
“Sofia itu degil, Daniel. Kalau dah hitam kata dia, tak ada siapa mampu ubah dia untuk pilih putih.” Balas Rahadatul ‘Aisy. Jika Syarifah Sofia itu mendengar kata, tidak mungkin dia akan berterusan mempermainkan hati dan perasaan lelaki yang menagih cintanya. Bukannya dia tidak pernah menasihati Syarifah Sofia dengan perangai playgirl gadis itu. Sudah berbuih mulutnya meminta Syarifah Sofia untuk setia pada satu cinta. Tetapi kata-katanya hanya dipandang enteng oleh sahabatnya itu. Bagi Syarifah Sofia, selagi dia mempunyai pilihan dia berhak untuk memilih yang terbaik.
“Kau cubalah pujuk dia. Untuk aku, ‘Aisy. Aku minta tolong kau sangat-sangat” desak Daniel Haiqal dengan wajah yang penuh berharap. Pintu pagar yang memisahkan kedudukannya dan Rahadatul ‘Aisy didekati. Rayuannya benar-benar membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu.
“Aku buntu, ‘Aisy. Aku dah tak tahu macam mana lagi hendak pujuk Sofia. Kau pun tahu macam-macam cara aku dah buat supaya dia kembali semula pada aku. Tanpa dia, hidup aku musnah, ‘Aisy. Musnah.” pujuk Daniel Haiqal. Mengenangkan usaha memujuk Daniel Haiqal yang langsung tidak dipandang Syarifah Sofia membuatkan simpati Rahadatul ‘Aisy melimpah. Bukan setakat di rumah, malah di universiti lelaki itu tanpa segan silu mengekori ke mana sahaja Syarifah Sofia berada. Merendahkan harga diri dan meruntuhkan ego lelaki, terus memujuk dan terus merayu tanpa henti.
“Aku cuba. Tapi, aku tak janji” akhirnya Rahadatul ‘Aisy menganggukkan kepalanya. Dia tidak sanggup membiarkan Daniel Haiqal memusnahkan dirinya sendiri. Bimbang kemusnahan lelaki itu bakal menghancurkan harapan kedua ibu bapanya di kampung. Daniel Haiqal lah satu-satunya harapan Mak Leha dan Pak Usop untuk membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Jadi, apalah salah seandainya dia mencuba, walaupun dia tahu peratus kejayaannya berada di paras negatif.
“Terima kasih, ‘Aisy” ucap Daniel Haiqal kelegaan.
“Tapi aku tak janji dan kau harus bersedia untuk terima sebarang kemungkinan” Rahadatul ‘Aisy mengingatkan.
“Sofia akan dengar cakap kau. Dia akan kembali pada aku” ujar Daniel Haiqal yakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Melihatkan wajah Daniel Haiqal yang berubah cerah mengundang gusar di hatinya. Lelaki ini terlalu berharap untuk bersama dengan Syarifah Sofia. Dia bimbang sikap obsesif Daniel Haiqal ini akan membuatkan jiwa lelaki ini tertewas parah seandainya dia gagal memujuk Syarifah Sofia nanti.
“Aku akan cuba. Tetapi walau apa pun yang berlaku kau harus tabah dan kena kuatkan iman. Jangan kerana cinta kau abaikan tanggungjawab kau sebagai pelajar. Kau kena ingat kaulah satu-satunya harapan keluarga. Pendorong pada adik-adik kau.” Rahadatul ‘Aisy menitipkan pesan. Terbayang di ruang matanya wajah tua Mak Leha dan Pak Usop. Kedua-dua orang tua itu telah banyak berkorban untuk membolehkan Daniel Haiqal menjejakkan kaki sehingga ke universiti.
“Kau jangan risau. Semuanya akan lancar bila Sofia kembali semula pada aku.” jaminan Daniel Haiqal itu merunsingkan Rahadatul ‘Aisy.
‘Dah lewat malam ini. Kau pergilah balik dulu. Dah lama sangat kau tercegat dekat sini. Kalau jiran-jiran tengok tak elok” beritahu Rahadatul ‘Aisy menghantar isyarat kepada Daniel Haiqal untuk beredar.
“Okay, aku balik dulu. Kau pujuk Sofia untuk aku, ya” sempat Daniel Haiqal mengulangi pesananya sebelum beredar bersama motor RXZ miliknya.
Rahadatul ‘Aisy tercegat berdiri sehingga kelibat Daniel Haiqal hilang daripada pandangan. Dia menengadah pandangannya ke arah langit yang hitam pekat. Langsung tidak berbintang. Kelam dan suram. Mungkin tanda hujan akan menjengah bumi. Jauh di sudut hati, dia mengharapkan masih ada sinar pelangi untuk memulihkan hubungan Daniel Haiqal dan Syarifah Sofia.
*****************
“Sofia!” kejar Daniel Haiqal dengan sejambak bunga ros merah di tangannya. Panggilan itu menghentikan langkah Syarifah Sofia dan Rahadatul ‘Aisy yang sedang menuju ke kafeteria fakulti.
You nak apa lagi, Daniel?” soal Syarifah Sofia dengan rasa geram yang tertahan-tahan.
Please, Sofia. Kembali semula pada I.” pujukan Daniel Haiqal membuatkan Syarifah Sofia merengus. Bosan dengan pujuk rayu Daniel Haiqal yang tidak pernah putus. Jambangan bunga yang dihulurkan lelaki itu langsung tidak diambil.
Rahadatul ‘Aisy di sisi hanya mampu memandang dengan rasa serba salah. Dia tidak mampu menunaikan permintaan Daniel Haiqal untuk menghalang Syarifah Sofia daripada memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Seperti yang disangka, pujukannya langsung tidak berjaya melembutkan hati Syarifah Sofia. Lagipun, dalam hal ini sahabatnya itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Syarifah Sofia terpaksa akur dengan jodoh yang ditetapkan oleh keluarganya.
You ni memang tak faham kan, Daniel? I  dah tak nak bersama dengan you. Antara kita dah tak ada apa-apa” ujar Syarifah Sofia sambil memeluk tubuhnya. Dia menjeling tajam ke arah Daniel Haiqal. Semakin hari dia semakin jengkel dengan lelaki itu. Terlalu mendesak dan terdesak untuk memilikinya.
“Tapi, I masih sayangkan you, Sofia. I tak mampu teruskan hidup tanpa you. Tolonglah jangan buat I macam ini.” rayu Daniel Haiqal bersungguh-sungguh.
“Daniel, please wake up! Masa untuk kita berdua bersama dah tamat. Dan I takkan kembali semula pada you. Never!” intonasi suara Syarifah Sofia tegang. Beberapa pasang mata yang sedang menyaksikan drama sebabak itu tidak dihiraukan.
“Sofia, you tak boleh buat I macam ini. Kita bincang dulu ya, sayang.” pinta Daniel Haiqal cuba berlembut. Wajah kelat Syarifah Sofia dipandang dengan penuh rasa cinta.
“Dah tak ada apa yang hendak dibincangkan.” Balas Syarifah Sofia dingin.
“Apa salah I pada you, Sofia? You tak puas hati dengan layanan I pada you ke? Atau I ada sakitkan hati you?” soal Daniel Haiqal bertubi-tubi membuatkan Syarifah Sofia rimas.
I tak ada masa nak jawab soalan bodoh you tu. Jom, ‘Aisy. Kita gerak” Syarifah Sofia menarik tangan Rahadatul ‘Aisy yang hanya mendiamkan diri. Kesabarannya sudah mencapai tahap maksimum. Sebelum dia mengeluarkan kata-kata yang bukan-bukan lebih baik dia beredar.
“Sofia! You tak boleh larikan diri macam ini. I perlukan jawapan. Kenapa you buat I macam ini?” Daniel Haiqal memegang kasar lengan Syarifah Sofia membuatkan gadis itu tertarik ke belakang.
“Auchh..Daniel, lepaskan I. Sakitlah” jerit Syarifah Sofia seraya cuba merentap tangannya dari pegangan Daniel Haiqal. Namun kudrat perempuannya tidak mungkin dapat melawan kekuatan Daniel Haiqal.
No! I takkan lepaskan selagi you tak berikan I jawapan” tegas Daniel Haiqal mengemaskan tangannya kejap di lengan Syarifah Sofia. 
Tell me, Sofia. Why you did this to me?” soal Daniel Haiqal semakin mendesak. Wajah Syarifah Sofia yang sedang mengaduh menahan kesakitan dipandang tajam.
“Daniel, you are hurting me!” gumam Syarifah Sofia mengetap bibir.
“Sudahlah tu, Daniel. Lepaskan Sofia” Rahadatul ‘Aisy bersuara untuk meleraikan ketegangan. Tindakan Daniel Haiqal yang sedang menyakiti Syarifah Sofia perlu dihentikan.
“Kau diam, ‘Aisy. Ini bukan urusan kau!” jerkah Daniel Haiqal membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak. Terangkat bahunya tatkala disergah kuat begitu.
I tak peduli, Sofia. I need your answer now!” jerit Daniel Haiqal menggoncang kasar bahu Syarifah Sofia. Paksaan demi paksaan daripada lelaki itu membuatkan Syarifah Sofia semakin hilang pertimbangan.
“Baik! Kau nak tahu sangat sebabnya kan? Sekarang kau dengar elok-elok apa yang aku nak beritahu kau” balas Syarifah Sofia dengan nada suara yang ditinggikan. Rasa amarah yang semakin hangat membahang perasaannya membuatkan mulutnya mula membahasakan dirinya dengan panggilan yang lebih kasar.
“Untuk pengetahuan kau, Daniel. Aku tidak pernah sayangkan kau. Jauh sekali aku nak cintakan kau. Kau ingat lelaki kampung seperti kau ini layak nak berdamping dengan aku? Sedarlah diri itu sikit. Now, get me off!” beritahu Syarifah Sofia dengan nada angkuh. Dia menarik tangannya daripada pegangan Daniel Haiqal. Wajah terkejut Daniel Haiqal dipandang dengan rasa meluat.
“Habis itu, kenapa you beri I harapan kalau tak cinta? Kenapa ucapkan rindu kalau tak pernah memaksudkannya? I tahu you bohong I kan, Sofia? You tak maksudkan apa yang you cakapkan tadi kan?” tanya Daniel Haiqal bertubi-tubi. Ternyata lelaki itu tidak mampu menerima penjelasan Syarifah Sofia.
“Daniel..Daniel. Lelaki cerdik macam kau ini pun rupanya ada bodohnya juga. Don’t you get it? Selama ini aku berbaik dengan kau pun kerana aku perlukan otak kau yang pandai itu untuk menyiapkan tugasan dan projek aku. CGPA aku semester lepas cukup-cukup makan. Dan aku betul-betul perlu membaiki grade aku untuk terus survive di universiti. Sekurang-kurangnya otak geliga kau itu dapat menolong aku meningkatkan gred.” ujar Syarifah Sofia tanpa sedikit pun rasa bersalah. Berubah air muka Daniel Haiqal tatkala mendengarkan penjelasan berani Syarifah Sofia.
Rahadatul ‘Aisy terkesima. Tidak pernah menyangka Syarifah Sofia sanggup bertindak sekejam itu. Mempergunakan cinta lelaki yang mengejarnya demi kepentingan diri. Selama ini dia ingatkan Syarifah Sofia sering bertukar pasangan kerana gadis itu terlalu memilih. Yalah, perempuan cantik, kaya dan berstatus sepertinya pasti ingin mencari lelaki yang benar-benar sepadan dengannya.
“Jadi, selama ini you mempergunakan I, Sofia?” Riak kekecewaan jelas terpancar di wajah Daniel Haiqal. Jambangan bunga yang sedari tadi kemas berada di tangan kirinya melurut jatuh menyembah bumi.
“Kau juga yang rela hendak menolong aku kan? Aku tak pernah paksa kau untuk menyiapkan kerja aku.” tutur Syarifah Sofia senada. Dia menghadiahkan senyuman sinis kepada Daniel Haiqal yang tertunduk diam tidak berkutik.
“Sekarang kau dah faham kenapa aku tak boleh terima kau kan? Kalau aku terima kau sekalipun, papa dengan mama aku pasti takkan restu. Lagipun, mereka dah ada calon yang terbaik untuk aku” sambung Syarifah Sofia membuatkan Daniel Haiqal mengangkat wajah.
“Apa maksud you?”
“Dua minggu lagi aku akan bertunang dengan lelaki pilihan keluarga aku.” Perkhabaran itu jelas membuatkan Daniel Haiqal terpempan.
You tak boleh buat I macam ni, Sofia. You tak boleh bertunang dengan lelaki itu. You milik I” bangkang Daniel Haiqal dengan suara yang ditinggikan. Kedua-dua belah bahu Syarifah Sofia digoncang.
“Kau tak ada hak nak halang aku, Daniel. Takkan aku nak bersama dengan lelaki kampung macam kau? Sedangkan aku layak dapat lelaki yang lebih baik. Dan Umayr Harris adalah pilihan yang sepadan dengan aku. He is much better than you, for sure!” tingkah Syarifah Sofia menepis kasar kedua-dua belah tangan Daniel Haiqal yang mendarat di bahunya. Tanpa gadis itu sedar dia telah merendah-rendahkan dan membandingkan Daniel Haiqal dengan Umayr Harris.
You tak boleh tinggalkan I. I janji I akan jadi lelaki yang lebih baik daripada dia.” Rayu Daniel Haiqal. Kali ini lelaki itu melutut di hadapan Syarifah Sofia.
Rahadatul ‘Aisy yang menyaksikan tindakan Daniel Haiqal terpempan. Ringan mulutnya untuk meminta Daniel Haiqal bangun. Tetapi apabila mengenangkan campur tangannya hanya akan mengeruhkan keadaan, dia membatalkan niatnya. Kenapa kau sanggup merendahkan harga diri kau sampai begini sekali semata-mata kerana cinta? Bisik nya di dalam hati.
I’m sorry, Daniel. I can’t do that. Dahlah, Daniel. Tak guna kau buat semua ini. Takkan mampu mengubah keputusan aku. Aku harap lepas ini kau jangan ganggu aku lagi. Jom, ‘Aisy.” balas Syarifah Sofia tidak sedikit pun bertimbang rasa dengan pengharapan yang ditunjukkan Daniel Haiqal. Tanpa sekelumit rasa bersalah, dia mengatur langkah meninggalkan lelaki itu yang sedang tertunduk menekurkan wajahnya ke lantai.
“Aku minta maaf bagi pihak Sofia, Daniel. Dan maafkan aku kerana tak berdaya nak pujuk Sofia. Aku harap kau sabar. Jangan musnahkan diri kau kerana cinta.” Rahadatul ‘Aisy memandang wajah Daniel Haiqal dengan kekesalan. Kesal dengan tindakan Syarifah Sofia yang mempermainkan cinta lelaki itu.
Daniel Haiqal bangkit dan memandang tajam ke arah Rahadatul ‘Aisy. Entah kenapa kata-kata yang meniti di bibir gadis itu bagaikan seperti menyindirnya.
“Kau jangan nak tunjuk baiklah dengan aku, ‘Aisy. Kau pun sama berpakat dengan Sofia kan? Puas hati kau melihat aku kecewa begini?” tengking Daniel Haiqal membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpana.
“Kau salah faham, Daniel. Aku…”
“Kau tak perlu berpura-pura baik di hadapan akulah, ‘Aisy. Kau memang kawan tak guna. Kalau kau tolong aku pujuk Sofia, pasti semua ini takkan terjadi” tuduh Daniel Haiqal benar-benar memberikan tamparan hebat kepada Rahadatul ‘Aisy. Dia beristighfar di dalam hati. Dia tidak menyangka turut diheret sama dalam masalah ini.
“Aku dah cuba pujuk Sofia, tapi kau tahu kan Sofia itu macam mana” ujar Rahadatul ‘Aisy cuba memperbetulkan salah faham.
“Sudahlah. Perempuan semuanya sama. Penipu! Kau beritahu Sofia, aku takkan putus asa. Jangan ingat dia akan bahagia dengan setiap penderitaan yang dia telah lemparkan pada aku. Kalau dia tidak dapat menjadi milik aku, jangan harap aku akan benarkan dia menjadi milik lelaki lain” selesai menuturkan kata-kata yang berbaur ugutan itu, Daniel Haiqal melangkah pergi meninggalkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang termangu. Susuk tubuh Daniel Haiqal yang semakin menjauh diperhatikan.
“’Aisy, kau buat apa lagi dekat situ? Jom, makan” laungan Syarifah Sofia menyedarkan Rahadatul ‘Aisy. Dengan keluhan yang berat dia menghampiri Syarifah Sofia yang sudah beberapa meter ke hadapan. Terngiang-ngiang ugutan Daniel Haiqal merunsingkan fikirannya.
*****************
p/s: Bab 28 ini agak panjang, so Ridhya split pada dua bahagian. Basically part ini banyak merungkaikan kisah di antara Daniel Haiqal, Syarifah Sofia dan Rahadatul 'Aisy... Enjoys. Kalau sudi tinggalkanlah komen ya :D

9 comments:

  1. ohhhh jahatnye cik sofia tu..... adoiii windu haris. tq ridhya

    ReplyDelete
  2. lamanya takde n3 bru..
    nak lagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sorry fyda..byk kerja lain kena settle kan

      Delete
  3. Replies
    1. Harris akan muncul nnt..skang ni kita konflik sket2..hehehe..sabar ye

      Delete
  4. asal plak sye lh x fhm nie...loadinggggg....................

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehhe..tak faham kat mana tu? adeh..something wrong dgn my story agaknya buat awk tak faham..

      Delete
  5. Cpt2 masuk part haris plak keke

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..