Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 27 March 2012

Titian Cinta: Bab 29

Kicauan burung yang berterbangan bebas di dada langit menarik perhatian Rahadatul ‘Aisy. Tunak bebola matanya mengikuti pergerakan sekawan burung yang lincah melayangkan sayap mereka dalam keriangan. Sudah hampir setengah jam dia berdiri di balkoni bilik tidur, menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan. Mengharapkan kekusutan di benak fikirannya yang kian berselirat bisa terurai. Mencari ketenangan dalam gundah yang bertamu di hati.
Skrin telefon bimbit yang berada di tangan kanannya ditatap. Perlahan tangannya menekan menu Inbox. Khidmat pesanan ringkas yang telah dihantar ke nombor telefonnya lewat petang tadi dibuka. Mesej tanpa nama pengirim yang benar-benar telah mengganggu emosi. Menggugah ketenangan jiwa.
‘Lemahnya hati seorang Rahadatul ‘Aisy. Walau pernah dihina dan dihalau bagai pengemis oleh suami sendiri, tapi masih mampu memaafkan. Selamat pulang ke tanah air, ‘Aisy. Kebahagiaan tidak akan pernah menjadi milik kau, jika kau bersama Umayr Harris!’ patah perkataan yang dihantar melalui private number itu dibaca berulang kali.
Siapa yang mengirim pesanan berbaur ugutan ini? Adakah angkara Syarifah Sofia? Siapa lagi yang tidak senang melihatnya bahagia dengan Umayr Harris melainkan wanita itu? Tetapi jika betul pengirim itu adalah Syarifah Sofia, apa tujuan sebenar wanita itu menggunakan private number untuk mengugut nya. Kenapa perlu berselindung sedangkan selama ini Syarifah Sofia sudah terang-terangan menunjukkan niatnya untuk merampas kembali Umayr Harris?
Rahadatul ‘Aisy meraup wajahnya. Sebuah keluhan berat terlepas dari bibirnya. Dia sedar, perkahwinannya dengan Umayr Harris sejak awal lagi sering diuji dengan pelbagai fitnah. Fitnah yang sengaja ditabur untuk memusnahkan hubungan mereka. Bermula dengan fitnah video lucah yang sehingga kini dia sendiri masih tidak dapat menebak siapa yang bertanggungjawab menyebarkan video itu. Kisah itu seakan senyap begitu sahaja dan Umayr Harris sendiri tidak pernah mengungkit lagi selepas mereka berbaik semula.
Sekarang, dia diugut pula. Mungkin kah pengirim mesej ini adalah orang yang sama yang menghantar video lucah itu? Tetapi siapa? Siapakah manusia yang seakan cukup berdendam dengannya? Dendam dengan kebahagian yang sedang dibinanya bersama dengan Umayr Harris?
Dendam? Entah kenapa, wajah Daniel Haiqal terbayang di ruang matanya. Sejak kejadian di Lemon Grass Café seminggu yang lalu, hatinya beriak tidak tenang. Menyaksikan keakraban Syarifah Sofia dan Daniel Haiqal semakin memagut resah di hati. Bukankah Syarifah Sofia terlalu membenci Daniel Haiqal suatu waktu dulu. Sudah lupa kah Syarifah Sofia terhadap sumpah seranah yang pernah dilafazkannya terhadap Daniel Haiqal? Begitu mudah pula Syarifah Sofia memaafkan perbuatan lelaki itu? Atau wanita itu sebenarnya sedang merancangkan sesuatu? Bergabung tenaga dengan Daniel Haiqal untuk mengenakannya?
Sarat benaknya dengan kemusykilan yang mengundang pelbagai soalan dan tebakan yang bukan-bukan. Terbayang-bayang senyuman beku yang terlakar di wajah Daniel Haiqal dan mata dingin lelaki itu yang dalam diam mengekori setiap pergerakannya mengundang gentar di dadanya. Mungkin kah Daniel Haiqal masih menyimpan dendam terhadapnya?
Layar ingatannya kembali melakarkan peristiwa silam tujuh tahun yang lepas.
“Betul ke apa yang kita buat ini, Sofia?” Soal Rahadatul ‘Aisy dengan riak resah. Berita penggantungan Daniel Haiqal dari universiti kerana terlibat dalam kes penculikan hangat menjadi topik perbualan di kalangan teman universiti. Semuanya berlaku selepas dia memfailkan laporan polis terhadap Daniel Haiqal.
“Buat apa?” Tanya Syarifah Sofia acuh tidak acuh. Dia masih leka menikmati mi goreng mamak di dalam pinggan. Hatinya berlagu senang. Berbeza dengan Rahadatul ‘Aisy, dia cukup puas dan gembira dengan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Daniel Haiqal. Penggantungan pengajian lelaki itu benar-benar melegakannya. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu lagi merasa takut untuk bergerak ke mana-mana. Tidak perlu lagi dibayangi lelaki itu.
“Aku rasa tak sedap hatilah buat Daniel macam itu.” luah Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia menghentikan suapannya. Wajah teman di depannya dipandang geram. Rahadatul ‘Aisy terlalu berlembut hati.
“Habis itu, kau nak tarik balik laporan polis? ‘Aisy, Daniel tu dah lakukan jenayah pada kau. Dia berbahaya. Lagipun kau tak boleh buat apa-apa dah. Pengajian dia dah digantung universiti pun.” keras nada suara Syarifah Sofia. Kecil besar matanya memandang Rahadatul ‘Aisy yang sedang mengeluh gusar. Gadis itu hanya menguis-nguis nasi goreng kampung yang masih tidak terusik. Seleranya bagaikan tiada.
Sehari selepas kejadian penculikan itu, Syarifah Sofia mendesak Rahadatul ‘Aisy untuk membuat laporan polis terhadap penculikan yang dilakukan Daniel Haiqal. Bersungguh-sungguh gadis itu memujuknya yang masih berbelah bahagi. Jelas terpancar riak bimbang di wajah Syarifah Sofia. Gadis itu mempunyai sebab yang kukuh untuk merasa risau. Membiarkan Daniel Haiqal lepas bermakna keselamatan Syarifah Sofia turut terancam. Tidak mungkin dia dapat memaafkan dirinya andai sesuatu yang buruk menimpa sahabatnya itu. Disebabkan itulah, dia akhirnya bersetuju. Bertemankan Aryan Rayyan sebagai saksi utama, mereka menuju ke Balai Polis Bandar Baru Bangi.
Sejak itu, hatinya tidak pernah tenang. Rasa serba salah sering kali menghantuinya. Banyak perkara yang menerjah fikirannya untuk dipertimbangkan. Bukan sahaja masa depan Daniel Haiqal yang menjadi cagaran, tetapi dia juga harus mengambil kira hubungan baik di antara kedua ibu bapanya dengan keluarga Daniel Haiqal. Walaupun orang tuanya tidak pernah mempersoalkan tindakannya membuat laporan polis, tetapi dia dapat mengesan rasa berat hati melalui bicara mereka.
“Aku tahu Daniel bersalah. Tapi aku yakin dia tak berniat nak buat macam itu. Silapnya dia terlalu mengikut perasaan.” Tingkah Rahadatul ‘Aisy dalam nada kesal. Kesal dengan ketewasan Daniel Haiqal dalam menghadapi kekecewaan. Sehingga lelaki itu sanggup membiarkan cinta merasuk akal, menguasai jiwa dan membutakan hati. Hanya semata kerana cinta yang ditolak lelaki itu sanggup memperjudikan masa depannya sendiri.
“Disebabkan kebodohan dia itulah, dia perlu dihukum. He has to pay for the price. Lelaki tak guna macam Daniel tu perlu diajar. Biar dia sedar diri itu sikit. Dasar budak kampung!” sumpah Syarifah Sofia kegeraman. Rahadatul ‘Aisy menekurkan wajah. Dia menelan liur pahit. Sedikit sebanyak hatinya turut terasa dengan perkataan budak kampung yang kerap kali dihamburkan Syarifah Sofia. Dia juga berasal dari kampung.   
“Tapi, takkan tak ada cara lain? Mungkin Daniel perlu diberi peluang kedua.” Cadang Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia semakin sentap.
“Kau jangan jadi bodoh, ‘Aisy. Kau boleh beri jaminan ke yang Daniel akan berubah jika diberi peluang kedua?” bentak Syarifah Sofia keras. Sakit hatinya melihatkan Rahadatul ‘Aisy yang begitu goyah pendiriannya.
“Aku tak sampai hati, Sofia. Aku kesian dekat mak dan ayah Daniel. Jika dia disabitkan kesalahan, dia akan dibuang universiti. Gelap masa depan dia, Sofia. Lagipun dia dah tahun akhir.” Itulah perkara utama yang membuatkan hatinya berbelah bahagi. Dia tidak mahu harapan menggunung tinggi yang disandarkan Mak Leha dan Pak Usop terhadap Daniel Haiqal musnah. Tidak dapat digambarkan kekecewaan di wajah tua Mak Leha dan Pak Usop seandainya Daniel Haiqal dihukum di atas kesalahan jenayah yang dilakukannya.
“Dengar sini, ‘Aisy. Sebelum kau kasihankan orang, lebih baik kau kasihankan diri kau sendiri dulu. Daniel tidak akan menginsafi kesalahan jika dia tidak dihukum. Kau sendiri tahu dia macam mana kan? Dengan dendam dan ketaasuban dia terhadap aku. Dia akan terus memburu aku, ‘Aisy. Inilah satu-satunya cara untuk menjauhkan lelaki tak guna itu dari aku. Dari kau juga. Aku yakin dia takkan lepaskan kita begitu saja. Atau kau nak tunggu sesuatu yang buruk berlaku baru kau nak sedar?” pertanyaan Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy termangu-mangu. Dia kehilangan kata. Jauh di dasar hatinya dia sendiri tidak berani untuk mengambil risiko itu.
Akhirnya, dia kalah dengan kata-kata Syarifah Sofia. Walaupun hatinya cukup berat dia terpaksa meneruskan dakwaan itu. Betapa sukarnya dia melalui saat itu hanya Tuhan yang tahu. Daniel Haiqal sudahnya dibicarakan dan disabitkan kesalahan di atas cubaan jenayah yang dilakukannya. Keputusan itu telah membuatkan lelaki itu dibuang dari universiti berkuat kuasa serta-merta. Selepas peristiwa itu, dia langsung tidak mendengar khabar tentang Daniel Haiqal. Mak Leha dan Pak Usop juga telah berpindah ke tempat lain kerana tidak tahan menanggung malu.
 “Sayang…” Sepasang tangan tegap yang tiba-tiba melingkari pinggangnya dari arah belakang membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkejut hebat. Telefon bimbit terlepas dari tangannya. Lamunannya yang panjang terhenti. Spontan dia meronta dan menepis kasar tangan itu.
“Lepaskan aku!” Serentak mulutnya menjerit lantang.
“Hey, sayang. Kenapa ni? Ini abang, sayang” Kata-kata itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Tanpa sedar dia menghelakan nafas lega. Degupan kuat di dada kembali mereda.
“Kenapa terperanjat sampai macam ini sekali?” soal Umayr Harris pelik sambil menarik tubuh Rahadatul ‘Aisy mendekatinya. Tangan sejuk si isteri digenggam erat dan diusap lembut. Cuba menyalurkan kekuatan dan mengembalikan semangat yang hilang.
“Err..abang tulah. Tiba-tiba datang peluk ‘Aisy macam tu. Mahunya tak terkejut. Suka buat ‘Aisy macam tu kan” tingkah Rahadatul ‘Aisy menutup keresahan yang sedang merantai jiwanya di hadapan Umayr Harris. Begitu asyik dia melayan perasaan sehingga langsung tidak menyedari kelibat suaminya yang baru pulang dari kerja. Deruman enjin kereta Umayr Harris pun dia tidak dengar.
Dia meleraikan tangannya daripada pegangan Umayr Harris. Badannya dibongkokkan untuk mengambil telefon yang terjatuh di atas lantai balkoni.
“Tengok ini, telefon ‘Aisy dah rosak. Sayangnya.” adu Rahadatul ‘Aisy manja sambil mencebikkan bibirnya. Tangannya lincah cuba menghidupkan kembali telefon bimbit yang telah dihadiahkan oleh Umayr Harris itu. Inilah salah satu sebab kenapa dia tidak gemar menggunakan telefon canggih. Bila dah terlalu canggih, ketahanan pula kurang. Terhempas sedikit pun dah boleh padam.
Senyuman lebar menguntum di bibir Umayr Harris. Senang hatinya dengan kemanjaan yang dipamerkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Isterinya itu sudah berani merajuk manja dengannya. Sedikit demi sedikit Rahadatul ‘Aisy yang dahulu telah kembali menonjolkan diri. Satu perkembangan yang positif!
“Sayang muncung bibir macam tu saja nak goda abang ke? Nak minta dicium ke?” Umayr Harris tergelak kecil mengusik. Raut wajah Rahadatul ‘Aisy yang mula memerah itu ditatap dengan penuh rasa kasih yang mendalam. Pinggang Rahadatul ‘Aisy dipeluk erat dan tubuh wanita itu di bawa rapat ke badannya.
“Abang, ‘Aisy tengah risaukan telefon ini. Cuba abang tengok ini. Dah tak boleh nak on” Rahadatul ‘Aisy cuba memancing perhatian Umayr Harris. Disuakan telefon itu di hadapan muka suaminya.
“Kalau macam itu sayang on kan abang sajalah” ujar Umayr Harris sambil menjongketkan kedua belah keningnya nakal. Dia mengambil telefon di tangan Rahadatul ‘Aisy dan memasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia mendekatkan mukanya ke wajah Rahadatul ‘Aisy. Aduan si isteri langsung tidak dipedulikan. Apa susah? Kalau dah rosak, beli saja yang lain. Begitu mudah lelaki kaya seperti Umayr Harris ini berfikir.
“Mulalah nak menggatal tu. Suka sangat ambil kesempatan.” Pantas Rahadatul ‘Aisy menekup bibirnya sambil melarikan wajahnya sedikit menjauh. Namun, pergerakannya sedikit terbatas dek pelukan erat tangan Umayr Harris.
“Eh..nak cium isteri yang dah halal pun dikira ambil kesempatan ke? Bukankah berkasih sayang dengan isteri ini sunah Rasulullah. Pahala ganjarannya, sayang” kata-kata lembut Umayr Harris itu membuatkan lidah Rahadatul ‘Aisy kelu. Sejak akhir-akhir ini, entah kenapa bait-bait bicara yang meniti di bibir lelaki itu sering membuatkan hatinya tersentuh. Walaupun kadang-kadang ayat yang dituturkan begitu ringkas dan bersahaja, namun hentakannya terasa begitu bermakna.
Sinar mata Rahadatul ‘Aisy bersabung dengan anak mata Umayr Harris. Jari-jemarinya yang sedang menekup mulutnya dileraikan oleh Umayr Harris. Kali ini, hatinya bagai merelakan segala perbuatan suaminya itu. Lalu, bibir Umayr Harris jatuh di atas dahinya. Sebuah kucupan hangat dan lama singgah di situ. Dia memejamkan mata terbuai dengan sentuhan itu. Keresahan di hati bagaikan dihambat pergi. Gusar di jiwa hilang entah ke mana. Benarlah kasih sayang yang suci itu bagaikan ubat yang bisa merawat hati dan jiwa.
“Abang cintakan sayang, terlalu cinta.” bisik Umayr Harris romantis. Kata-kata indah yang kerap kali meniti di bibir suaminya itu tidak pernah gagal membuatnya merasa bahagia. Tanpa sedar tangannya turut mendarat di pinggang Umayr Harris. Turut membalas pelukan itu. Wajahnya disembamkan ke dada bidang Umayr Harris.
Dalam keasyikannya melayan keindahan perasaan yang membuai jiwa, mata Rahadatul ‘Aisy menangkap satu kilatan sinar cahaya. Dari ekor mata, dia seakan dapat melihat bayangan seseorang di sebalik pagar batu. Dia cuba memusatkan pandangan ke arah itu, namun tiada apa yang pelik dikesan oleh matanya di situ. Lagipun, jarak dari balkoni ke pagar yang agak jauh turut membataskan daya penglihatannya.
Fikirnya mungkin pandangan matanya telah tersilap. Tetapi, entah kenapa hatinya tidak mahu menidakkan apa yang telah dilihatnya tadi. Buat kali kedua dia menoleh kepalanya ke arah pagar. Kosong. Tiada sesiapa di situ.
“Sayang tengok apa?” soal Umayr Harris pelik dengan tingkah laku Rahadatul ‘Aisy. Dia turut menghalakan pandangannya ke arah yang sama.
“Tak..tak ada apa-apa” jawab Rahadatul ‘Aisy gugup. Pantas dia menggelengkan kepala laju. Umayr Harris memandangnya tidak berkelip. Riak wajah suaminya itu penuh dengan tanda tanya.
You are acting weird lately. Sayang sembunyikan sesuatu daripada abang ke?” soalan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Lelaki itu seakan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikirannya.
“Pelik? Mana ada.” Balas Rahadatul ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman manis. Segera menutup kegugupannya.
Dia tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu Umayr Harris tentang ugutan yang diterimanya. Kisah ugutan yang mungkin akan membongkar cerita tentang Daniel Haiqal. Bimbang suaminya itu akan tersalah anggap. Dia cukup maklum dengan cemburu suaminya yang kadang-kadang tidak bertempat. Lagipun dia tidak rela rasa bahagia yang baru diraih  kembali tercalar. Sudah tidak sanggup mengulangi keperitan yang bertahun-tahun menemani hidup.
Are you sure, sayang?” tanya Umayr Harris tidak percaya. Keraguan lelaki itu sedikit membuatkan Rahadatul ‘Aisy merasa lemas.
Yes, I’m sure. Cuma, mungkin ‘Aisy stress dengan kerja di pejabat. Sejak dilantik menjadi penyelaras program ini, makin bertimbun-timbun workload.” Dalih Rahadatul ‘Aisy mencari alasan. Memang sejak akhir-akhir ini, dia tidak menang tangan dengan beban kerjanya. Skop tugas sebagai pensyarah yang merangkumi pengajaran, penyeliaan, pengurusan, penyelidikan dan penerbitan benar-benar mencabarnya. Itu belum termasuk dengan mesyuarat yang perlu dihadirinya hampir setiap hari. Masa kerja sembilan jam sehari yang diperuntukkan seakan tidak pernah cukup.
“Kalau macam itu, sayang berhentilah kerja. Duduk rumah, jaga abang saja. Kalau bosan, sayang kerja dengan abang. Lagi bagus. Bila-bila masa abang boleh jumpa sayang.” balas Umayr Harris mudah. Tercengang Rahadatul ‘Aisy mendengarkan saranan suaminya itu.
“Abang ini ke situ pula. ‘Aisy cakap macam tu bukan bermakna ‘Aisy tak suka dengan kerja ‘Aisy. You know I love this job very much, kan” tingkah Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris tersenyum tipis.
Tekanan di tempat kerja bukanlah masalah besar baginya. Walaupun tertekan, dia masih mampu mengawalnya. Tidak mungkin dia akan melepaskan jawatan yang menjadi cita-citanya sejak dari kecil lagi.
“Abang tahu. Dan abang tak pernah lupa kesungguhan sayang memujuk abang untuk benarkan sayang bekerja dulu.” Umayr Harris mengenyitkan matanya, nakal. Rahadatul ‘Aisy segera melarikan wajahnya ke arah lain. Tidak sanggup dia mengingati balik keberanian yang telah dilakukannya semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan Umary Harris untuk mengizinkannya bekerja. Memang kerja gila!
“Tapi kan, agak-agak malam ini boleh tak kalau abang nak tengok sayang dalam gaun merah tu lagi?” serta-merta wajahnya terasa panas tatkala mendengarkan usikan nakal Umayr Harris.
“Mulalah tu nak melalut bukan-bukan.” tegur Rahadatul ‘Aisy menjeling manja. Lelaki itu tergelak kuat sambil meraih tubuh wanita itu ke dalam pelukannya.
Oh, I really miss that time, sayang. You look so sexy in that dress.” bisik Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy menyembamkan wajahnya ke dada Umayr Harris. Malu tetapi bahagia!
“Tapi kan, apa yang buat abang tertanya-tanya sampai sekarang, apa sebenarnya niat sayang? Was it because you really want to get my permission or you were trying to seduce me, hemm? Yalah, you know how we ended up that night kan?” tanya Umayr Harris masih lagi berniat untuk mengusik. 


Entah kenapa petang itu hatinya begitu bahagia mengingati kembali malam indah itu. Malam yang menjadi kenangan yang tidak mungkin dia akan lupakan buat seumur hidupnya. Malam di mana dia dan Rahadatul ‘Aisy benar-benar bersatu sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya. Malam yang telah menyaksikan satu nyawa ditiupkan ke dalam rahim Rahadatul ‘Aisy. Walaupun nyawa itu cuma singgah buat seketika waktu.
“‘Aisy memang tak ada niat lain. What had happened that night wasn’t in my plan. ‘Aisy hanya nak minta kebenaran abang untuk terima tawaran kerja tu. Tapi, ‘Aisy takut abang tak benarkan. Abang kan garang sangat dengan ‘Aisy masa tu” bela Rahadatul ‘Aisy bersungguh-sungguh.
Semuanya kerana terpedaya dengan saranan Sakeena ketika dia sedang terdesak mencari jalan untuk memujuk Umayr Harris yang begitu dingin dan beku waktu itu. Temannya itulah yang beria-ia menyuruhnya membeli jiwa Umayr Harris dengan makan malam yang romantis. Dengan penuh semangat, dia memasak lamb chop yang merupakan makanan kegemaran Umayr Harris. Tidak cukup dengan itu, dia disuruh memakai gaun merah ketat separas lutut yang pernah diberikan oleh Sakeena sebagai hadiah perkahwinannya.
“Betul ke ni, sayang? Hemm..kalau setakat nak dapatkan kebenaran abang, kenapa perlu pakai gaun seksi tu? Unless…”
“Dah mulalah tu nak mengarut balik. Daripada layan abang ini kan, lebih baik ‘Aisy masuk dalam dulu. Mandi. Lagipun maghrib dah nak masuk ini” Rahadatul ‘Aisy segera memotong kata-kata Umayr Harris. Sebelum suaminya itu mula melalut yang bukan-bukan dan membuatnya bertambah segan, lebih baik dia melarikan diri. Dia meleraikan pelukan dan mula mengorak langkah masuk ke dalam bilik.
“Okay, sayang. Jom” langkahnya terhenti apabila tangan Umayr Harris melingkar di atas bahunya.
“Jom ke mana?” tanya Rahadatul ‘Aisy pelik. Senja-senja begini takkan hendak keluar kot.
“Tadi sayang cakap nak mandi. Abang pun nak mandi juga ni. Jomlah kita mandi sekali.” beritahu Umayr Harris sambil melirik senyum menggoda. Rahadatul ‘Aisy menepuk dahinya.
“Err..kalau macam itu, abang mandi dululah.” Tolak Rahadatul ‘Aisy berlembut. Dia melangkah ke ampaian untuk mengambil tuala dan dihulurkan kepada Umayr Harris.
Tuala itu tidak disambut Umayr Harris. Sebaliknya timbul idea nakal di benaknya. Tangan kejap itu segera mencempung tubuh Rahadatul ‘Aisy.
“Sayang tahu tak, Rasulullah sendiri sering mandi bersama dengan isterinya Aisyah dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Beritahu Umayr Harris mengenyitkan matanya. Langkah diayun dengan mudah ke arah bilik mandi.
Rahadatul ‘Aisy yang tidak menyangka dengan tindakan berani Umayr Harris tergamam. Kata-kata Umayr Harris membuatnya benar-benar terpaku. Tanpa sedar, tangannya melingkar kemas di leher Umayr Harris. Dan tanpa sedar, hatinya bagai merelakan perbuatan Umayr Harris.

6 comments:

  1. romanticnya haris!!!hope sgt ending cite ni diorg berdua dgn babies diorg sekali...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe..kena tunggu ending tu kalau nak tahu..hehehe..

      Delete
  2. panas panas romantik trlebih ni, ehem2 cik iman ni, suker buat aii malu2 taw.
    ala knapa la aisyh ni xmau cakap dkt harris tentg ugutan tu, jdi msalah komunikasi pula, nanti mesti ada prob, harap2 haris baca msg tu...
    ala mana watak aryan ni, ilang mcm tu jer ke, kalo aryan jdi jahat pung best gak... hahaha aii like, nanti mesti watak dia selalu muncul

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harris kan kuat jeles..terpaksala 'Aisy rahsiakan...nnt kena marah lagi..tak sanggup dh 'Aisy kena marah dgn Harris..heheheh
      Aryan akan muncul next n3..akan selalu muncul..don't worry..dh rindukan aryan ye...hahahha...nak Aryan jadi jahat ke? Huhuhuhu...kesian aryan tu tau..

      Delete
  3. Bestlah n3 kali ni dgn kenakalan umar harris yang makin terselah keromantikannye.. you are my hero harris.. hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. amboi..amboi..amboi..hehehe..best ya!

      Delete

Tinggalkan jejak anda..