Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Wednesday, 22 February 2012

Titian Cinta: Bab 26

Gegaran yang tidak henti-henti di telefon bimbit Rahadatul ‘Aisy sedikit mengganggu tumpuannya di skrin komputer. Di kerling sekilas ke arah telefon yang sudah senyap dan dia kembali meneruskan kerjanya yang terhenti. Sejak dari pagi lagi dia bertungkus-lumus menyiapkan slaid pengajaran dan merangka soalan tugasan untuk diberikan kepada para pelajarnya. Dek begitu terleka dengan kerja yang bertimbun, akhirnya dia terlupa untuk melihat pesanan mesej yang masuk.
Setelah urusan kerjanya disiapkan, barulah dia mencapai telefon yang diletakkan di sisi meja pejabatnya. Lagipun, waktu rehat tengah hari sudah hampir menjengah. Bibirnya menguntumkan senyum saat matanya dihalakan pada skrin telefon. Terdapat tiga mesej yang dihantar oleh Umayr Harris. Tidak sibuk kah lelaki itu dengan kerja? Bukankah pada waktu-waktu begini Umayr Harris tidak menang tangan berurusan dengan rakan perniagaan korporatnya.
‘Sayang! Kenapa sukar sangat sayang hendak berterus-terang dengan abang? Dah lupa janji sayang?’ Terpapar kiriman mesej pertama daripada Umayr Harris di skrin telefon. Senyuman Rahadatul ‘Aisy mati. Dahinya berkerut cuba mencerna ayat yang baru dibacanya. Apa yang dimaksudkan oleh Umayr Harris? Berterus-terang tentang apa? Seingatnya segala-galanya telah dirungkaikan dengan penyatuan kasih di antara mereka. Hatinya merasa tidak enak.
How could you do this to me, sayang? It causes me so much pain.’ Mesej kedua dibaca kali ini dengan debaran di dada. Semakin sesak benaknya dengan pelbagai andaian persoalan. Apakah yang dimaksudkan oleh Umayr Harris? Dugaan apakah kali ini yang datang menguji rumahtangga mereka? Fitnah apakah lagi yang sampai ke telinga Umayr Harris? Otaknya mula memikirkan bermacam-macam kemungkinan yang bukan-bukan.
“Sayang! Where are you? Why don’t you answer me? Jangan main-mainkan perasaan abang, sayang. Sakitnya hati abang ini, sayang.” saat dia membaca mesej yang ketiga, perasaannya sudah dipagut resah yang tidak bertepi. Hatinya benar-benar tidak keruan dengan bait-bait ayat yang ditaip oleh Umayr Harris. Sesungguhnya dia tidak mengerti dan buntu. Apakah kesalahan yang telah dilakukannya? Sedangkan pagi tadi hubungan mereka masih lagi hangat dengan kemesraan.
Terketar-ketar tangannya mendail nombor telefon Umayr Harris. Hendak membalas mesej suaminya dirasakan terlalu sukar untuk merungkaikan segala persoalan melalui khidmat pesanan ringkas. Dia menunggu panggilannya diangkat namun hampa. Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah.
Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri kerana membiarkan sahaja mesej yang bertubi-tubi masuk. Dia cuba mendail buat kali kedua. Bunyi deringan menandakan panggilannya masuk namun tiba-tiba talian diputuskan membuatkan debaran di dadanya semakin kencang. Kenapa Umayr Harris memutuskan talian? Marah benarkah suaminya saat itu sehingga langsung tidak mahu bercakap dengannya?
Rahadatul ‘Aisy sudah tidak betah duduk. Dia mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Peluh renek memercik di dahi. Penyaman udara yang terpasang seakan tidak dapat menenangkan kegusaran di hati.
“Apa maksud abang? Berterus-terang tentang apa? ‘Aisy tak faham” tidak menunggu lama dia menaipkan mesej dan pantas butang hantar ditekan. Satu minit, dua minit, tiga minit sehinggalah sepuluh minit berlalu, namun tiada balasan daripada Umayr Harris.
“Abang, jangan buat ‘Aisy takut macam ni” gugup lontaran suara Rahadatul ‘Aisy bercakap seorang diri. Air mata sudah mula bermain di tubir. Ligat akalnya memikirkan cara untuk menghubungi Umayr Harris. Dia tidak rela membiarkan Umayr Harris terus dihambat prasangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengundang keluhan Rahadatul ‘Aisy. Sebolehnya dia tidak ingin diganggu, apatah lagi di saat hatinya disapa gundah. Namun, mengingatkan dia sedang berada di pejabat, kakinya tetap melangkah malas ke arah pintu biliknya. Tombol pintu dipulas.
“Abang!” Jerit Rahadatul ‘Aisy tatkala melihat wajah Umayr Harris yang tersembul di hadapan biliknya. Menyedari keterlanjurannya, dia segera menutup mulut. Bimbang jika suaranya mengundang tumpuan rakan-rakan sepejabat di aras yang sama.
Bulat matanya seakan tidak percaya kelibat Umayr Harris di depan mata. Pandangan matanya bersabung dengan anak mata Umayr Harris. Buat beberapa detik, tiada bicara yang mengiringi kata. Kesempatan itu diambil untuk menebak riak muka Umayr Harris yang keruh. Akhirnya, sebuah keluhan dilepaskan oleh Umayr Harris sebelum lelaki itu memulakan bicara.
 “Kenapa sayang tak beritahu abang?” persoalan sama yang telah diutarakan dalam pesanan ringkas kini meniti di bibir Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terasa sesak. Apa sebenarnya yang Umayr Harris ingin tahu darinya.
“Beritahu apa?” Sungguh benaknya buntu untuk menebak maksud kata-kata Umayr Harris. Terlalu banyak andaian tanpa satu kesimpulan yang pasti. Keadaan Umayr Harris yang masih tegak terpaku memandangnya membuatkan dia semakin diragut risau.
“Abang? Abang hendak tahu tentang apa sebenarnya?” ulangnya sekali lagi apabila persoalannya hanya dijamah sepi. Sesungguhnya dia tidak tegar membiarkan kebahagiaan yang baru dinikmatinya kembali dilanda badai. Dia sudah tidak sanggup untuk melalui kepedihan saat kesetiaannya dicurigai oleh seorang suami.
“Tentang hubungan kita...” serius kedengaran suara Umayr Harris semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpinga-pinga.
“Kenapa dengan kita?” Rahadatul ‘Aisy melongo. Ingin segera dirungkaikan segala persoalan yang bermain di benaknya. Namun, Umayr Harris tidak terus menjawab apabila menyedari keadaan mereka berdua yang sedang berdiri di muka pintu.
“Abang rasa lebih baik kita bercakap di dalam” pinta Umayr Harris sambil menarik tangan sejuk Rahadatul ‘Aisy masuk ke dalam pejabat isterinya. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Tidak sesuai jika perbualan mereka berdua hanya berlangsung di muka pintu. Tambahan pula, kelibat pelajar yang lalu-lalang di koridor mengganggu privasi mereka berdua.
Umayr Harris melabuhkan duduk di atas sofa yang berada di hujung bilik dan Rahadatul ‘Aisy mengambil tempat di sisi suaminya.
“Kenapa dengan hubungan kita? ‘Aisy ada sakitkan hati abang ke?” soal Rahadatul ‘Aisy lembut. Wajah Umayr Harris yang sukar diteka reaksinya direnung dengan penuh asyik, memohon sebuah penjelasan.
“Ha’ah, sayang dah buat hati abang ini sakit. Kerana sayang, fikiran abang terganggu, jiwa abang terseksa” jawapan lemah Umayr Harris menjentik rasa kurang senang di hati Rahadatul ‘Aisy. Ligat otaknya memutarkan ingatan, mencari-cari kesalahan yang mungkin dilakukan di luar sedar sehingga menggores perasaan Umayr Harris. Namun, dia gagal temui.
“Sepanjang hari abang cuba bertahan. Abang cuba buat tidak peduli. Abang cuba sibukkan diri dengan kerja tapi abang tak mampu. Sakitnya dada abang ini, sayang. Sesak nafas abang seperti tak cukup oksigen” ujar Umayr Harris menyambung kata membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin dihimpit rasa bersalah. Tetapi, apakah sebenarnya kekhilafan yang telah dilakukannya sehingga mengundang ketidakpuasan hati Umayr Harris? Sehingga saat itu dia buntu untuk memikirkannya.
“Apa yang ‘Aisy dah buat pada abang?” Rahadatul ‘Aisy menelan liur pahit.
“Takkan sibuk sangat bekerja sampai sayang langsung tak ingat?” persoalan yang berbaur sinis daripada Umayr Harris hanya menambahkan teka-teki di benak Rahadatul ‘Aisy. Sejujur nya dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa kesilapan yang pernah terjadi.
“Sungguh ‘Aisy betul-betul tak ingat” Rahadatul ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Dia mengelipkan matanya yang mula digenangi mutiara putih. Sedaya upaya dia cuba menahan gelodak perasaan yang kian kuat berkocak.
“Sampai hati sayang dera perasaan abang. Sayang dah lupa janji sayang pada abang?” Intonasi suara Umayr Harris yang berbaur rajuk membuatkan Rahadatul ‘Aisy kaget.
“Janji?”
“Pagi tadi, sebelum ke pejabat, apa yang sayang janji dengan abang?” tutur Umayr Harris mengingatkan. Kerutan di dahi Rahadatul ‘Aisy menandakan yang dia masih gagal mengingati sebarang janji yang telah dibuat. Umayr Harris mendengus perlahan.
You promise me to made a confession, remember?” beritahu Umayr Harris sambil menjeling tajam kepadanya. Rahadatul ‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Dia mula mengerti apa yang dimaksudkan oleh Umayr Harris. Lelaki itu mahukannya membuat pengakuan tentang luahan perasaannya terhadap Umayr Harris.
Dia sendiri pelik dengan kemahuan Umayr Harris yang mahukannya untuk mengungkapkan kata cinta dan rindu setiap hari. Padahal bukannya tidak pernah bibirnya mengakui cinta pada lelaki itu sebelum ini, cuma baginya kata-kata itu tidak perlulah diucapkan selalu. Bimbang jika semakin kerap disebut, rasa itu semakin hilang kehangatannya.
“Sayang juga janji untuk beritahu abang bila dah sampai pejabat. But you never did” Rahadatul ‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Macam mana dia langsung tidak teringat tentang itu. Kali ini dia benar-benar bersalah kerana dia sendiri yang mengikrarkan janji itu. Janji yang dibuat semata-mata untuk memujuk Umayr Harris membenarkannya memandu sendiri ke tempat kerja.
Sudah seminggu dia telah memulakan kerja setelah pulih daripada pembedahan. Untuk tempoh itu, pergi dan pulangnya dari pejabat berjemput. Jika Umayr Harris tidak dapat mengambilnya, dihantar Pak Mat sebagai ganti. Dia rimas dengan keadaan itu. Mata-mata yang memandang juga membuatkan hatinya tidak senang.
“’Aisy minta maaf. ‘Aisy terlupa” ujar Rahadatul ‘Asiy dengan rasa bersalah.
“Sepanjang pagi abang tunggu mesej atau panggilan daripada sayang. I’m worrying like crazy. Sampaikan satu kerja pun abang tak dapat fokus. Dalam kepala ini asyik teringatkan sayang” keluh Umayr Harris sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.
“Penantian itu memang sesuatu penyeksaan. Apatah lagi menantikan sesuatu daripada orang yang tersayang. Sayang buat dada abang berdegup kencang kerana risaukan keselamatan sayang” kendur suara Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy bungkam.
“Jantung abang ni..Cuba sayang rasa. Kuat hentakan dia, sakit sayang” bisik Umayr Harris sambil menggenggam tangan Rahadatul ‘Aisy dan dibawa ke dadanya. Dapat dirasakan ritma denyutan jantung suaminya agak luar biasa.
“Maafkan ‘Aisy kerana buat abang risau. ‘Aisy benar-benar terlupa tadi” tunak anak mata Umayr Harris direnungnya. Sinar mata lelaki itu jelas memancarkan cahaya cinta yang sarat. Hatinya tersentuh.
“Hey, sayang. Kenapa menangis ni?” lenggok suara Umayr Harris berubah apabila menyedari setitis air mata gugur membasahi pipi Rahadatul ‘Aisy. Air mata wanita yang bisa mengalahkan ego lelakinya. Pantas tangan kirinya merangkul erat pinggang Rahadatul ‘Aisy dan dibawa tubuh kecil isterinya rapat ke sisi.
Rahadatul ‘Aisy bungkam. Dia hanya membiarkan perlakuan Umayr Harris. Entah kenapa hatinya benar-benar terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Umayr Harris terhadapnya. Adakah itu tanda cintanya yang semakin mendalam buat Umayr Harris? Dia sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu.
“Shh..abang tak marahkan sayang. Abang cuma luahkan apa yang abang rasa supaya sayang mengerti. You are everything to me. Nama sayang terpahat dalam setiap hembusan nafas dan  denyutan nadi abang” air mata Rahadatul ‘Aisy disapu dengan ibu jari Umayr Harris. Rahadatul ‘Aisy melentokkan kepalanya ke bahu Umayr Harris. Perlakuan manja isterinya membuatkan dia tersenyum senang.
“’Aisy sayangkan abang” luah Rahadatul ‘Aisy tanpa dipinta. Tangannya melingkar di pinggan Umayr Harris. Semakin melebar senyuman di bibir Umayr Harris.
Langkahnya untuk mengembalikan semula Rahadatul ‘Aisy yang pernah dikenalinya lebih empat tahun yang lalu semakin membuahkan hasil. Seorang isteri yang manja dan penuh dengan cinta yang membara. Dia tahu kerana kenangan silam yang menyakitkan, Rahadatul ‘Aisy berubah menjadi seorang yang kaku dan beku dalam berkasih sayang.
“Hem..nasib baik abang jumpa sayang. Kalau tak, entah di mana abang dapat rawat sakit di dada abang ni” ujar Umayr Harris dalam nada ceria.
“Doktor kat hospital kan ramai. Carilah doktor yang lawa-lawa. Mesti cepat baik jantung abang tu” balas Rahadatul ‘Aisy sambil mengusap-usap tangannya di dada Umayr Harris. Manja!
“Tak ada gunanya, sayang. Doktor perubatan tak boleh rawat sakit abang ni. Tetapi hanya seorang Doktor saja yang boleh…” kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tidak senang duduk. Dia melonggarkan pelukan dan wajah Umayr Harris dipandang tajam.
“Siapa?” gumam Rahadatul ‘Aisy. Umayr Harris tersenyum simpul. Pandai cemburu juga isterinya itu.
“Doktor yang tengah cemburu buta di depan abang ni, Dr. Rahadatul ‘Aisy Hilmi” bisik Umayr Harris sambil mengenyitkan matanya. Sempat dia mencuit nakal hidung Rahadatul ‘Aisy sehingga membuatkan wanita itu terkesima. Lelaki ini mempermainkannya!
“Mana ada ‘Aisy cemburu” marah Rahadatul ‘Aisy sehingga tanpa sedar dia mencubit lengan Umayr Harris. Dia mengetap bibir geram apabila lelaki itu mula meledakkan ketawa.
“Aduh, sayang! Sejak bila isteri abang ini ada sepit ni” usik Umayr Harris diiringi tawa kecil. Sempat dia menangkap jari-jemari Rahadatul ‘Aisy yang galak merayap mengetil lengannya.
“Mengaku sajalah yang sayang cemburu. Dahsyat juga isteri abang ini bila cemburu ya, merah muka tu” usik Umayr Harris tidak mahu kalah. Semakin galak tawa Umayr Harris.
“Tak kuasalah ‘Aisy nak cemburu” balas Rahadatul ‘Aisy. Tanpa sedar, Rahadatul ‘Aisy menyentuh pipinya. Nampak sangat ke? Soalnya di dalam hati.
“Tapi abang suka sayang cemburu. Cemburukan tandanya sayang. It shows that you do really love me so much, right?” bisikan romantis Umayr Harris membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy berubah merah.
You look so sexy when you are blushing.” Pujian Umayr Harris yang kedengaran begitu nakal membuatkan Rahadatul ‘Aisy menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
“Jangan jeling abang macam tu, sayang. Panahan mata sayang yang menggoda tu buat abang rasa nak terkam sayang sekarang juga” usikan Umayr Harris yang semakin menjadi-jadi membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjegilkan matanya yang tidak berapa luas itu.
“Eii..malas ‘Aisy nak layan abang” balas Rahadatul ‘Aisy sebal sambil cuba merenggangkan rangkulan. Namun, tindakannya hanya membuatkan Umayr Harris semakin mengemaskan tangannya di pinggang Rahadatul ‘Aisy.
“Pandai mengelat nak larikan diri daripada abang ya” Kemas tubuh Rahadatul ‘Aisy dibawa menghimpit ke dadanya. Dia bahagia dengan sentuhan hangat itu.
“Bukan larikan diri tapi nak selamatkan diri daripada raksasa yang mula nak menggatal” jawapan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris membulatkan matanya. Suatu perkembangan yang baik apabila isterinya sudah mula berani bergurau begitu dengannya.
“Ooo.. mengata abang raksasa gatal, ya. Mari abang tunjukkan macam mana raksasa menggatal dengan isteri raksasa” Umayr Harris mula ingin menggeletek tubuh Rahadatul ‘Aisy apabila isterinya berjaya meloloskan diri.
“Abang, stop it” tindakan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terjerit halus. Dia menutup mulutnya bimbang jika didengari oleh teman-teman pejabat yang lain walaupun bilik mereka dipisahkan dengan tembok batu yang kedap bunyi.
“Janganlah, abang. Nanti kalau ‘Aisy jerit semua orang dengar, malu!” tegah Rahadatul ‘Aisy sambil cuba melarikan diri, namun ke mana sangatlah wanita itu boleh pergi dalam keluasan bilik yang hanya sekangkang kera itu.
“Okay, abang tak buat lagi dah. Semua aksi melampau akan disambung di rumah nanti” ujar Umayr Harris sambil mengangkat kedua belah tangannya. Sempat dia mengangkat keningnya nakal.
Akhirnya, Rahadatul ‘Aisy membiarkan tubuhnya kembali berada di dalam dakapan Umayr Harris. Masing-masing mendiamkan diri, menikmati rasa cinta yang mengalir melalui sentuhan hangat dua jiwa.
I love you so much, sayang. Terima kasih kerana memberi abang peluang kedua untuk merasa bahagia” bicara Umayr Harris mengusik tangkai hati Rahadatul ‘Aisy.
“Terima kasih juga pada abang kerana tidak jemu manjakan ‘Aisy dengan cinta dan kasih sayang abang.” Entah kuasa apa yang merasuk, Rahadatul ‘Aisy menghadiahkan sebuah ciuman hangat di pipi Umayr Harris membuatkan suaminya tercengang. Tidak lama selepas itu, dia mengukirkan senyuman yang cukup lebar dengan keberanian isterinya.
“Err.. jom kita makan tengah hari. ‘Aisy lapar” rengek Rahadatul ‘Aisy mengalih topik. Di dalam hati, terbuku rasa malu yang masih menebal dengan tindakan spontannya tadi.
Umayr Harris yang menyedari wajah Rahadatul ‘Aisy yang sedang pijar hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Makan tengah hari berdua bersama Rahadatul ‘Aisy merupakan suatu perkara yang sering ditunggu-tunggunya. Senyuman bahagia terus diukir di wajahnya. Lebar dan semakin melebar.
p/s Sudi-sudikanlah tinggalkan jejak anda (komen lah..apa lagi..hehehe)

12 comments:

  1. sweet..sweet..sweet..
    nk lagi..
    best..

    ReplyDelete
  2. so sweet! rasa sy lak jadi aisy..kehkehkeh~

    ReplyDelete
  3. best2.. xsbr tnggu next en3..hehehe

    ReplyDelete
  4. mula2 baca tdi, cuak la juga, duk pikir prob apa lgi yg mlanda. ru jer nk bhagia. ngada2 taw haris ni, suka buat sye senyum malu2.... hahaha lpas baca bab hari ni, tiba2 jer sye rasa malu lgi.... hahaha tempias aura kegatalan haris kot

    ReplyDelete
  5. comelnye laaa diorg ni..hope kebahagiaan kekal buat mereka..

    ReplyDelete
  6. Terbuai? Hehehehe.. nantikan n3 seterusnya..hehehehe...Thanks onion_ring, kathy tuah, gemini, zawani, blink, akulah & fatiah..

    ReplyDelete
  7. yeahh !! the best la sis ! hhehehe... sweet nye ! i pn dh ikot blushing 'Aisy ble bce ctr ni.,hehehe...
    mule2 tu egtkn ape la yg jd.. wat suspen je... hehehe... terbaekkk ! cpt2 smbung taw ( kalo lg cepat lg bgus... ) hahaha... lebiu sis <3 ^_____________^v

    ReplyDelete
  8. Sgt romantik hoccayy.. Harap rumahtangga diaorg x dilanda badai lg.. Cepat2 dpt baby..

    ReplyDelete
  9. aisey dah lupe apa konflik diorang nie.. hhaha nak kena belek bab 1 balik

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..