Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday, 13 February 2012

Titian Cinta: Bab 24

Ketukan bertalu-talu di pintu rumah sewanya mengejutkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang leka menandakan manuskrip jawapan ujian para pelajarnya. Sayup-sayup kedengaran suara seorang perempuan memberi salam diselangi dengan esak tangis. Suara itu seperti terlalu biasa didengarinya. Segera dia mencapai tudung Pashmina dan diselempangkan. Langkahnya diatur ke muka pintu.
“Sofia!” buntang mata Rahadatul ‘Aisy disapa dengan kelibat Syarifah Sofia yang sedang berdiri lemah dengan wajah yang suram. Penampilan Syarifah Sofia yang bertudung litup amat berbeza dengan Syarifah Sofia yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu. Tiada lagi imej seksi dan menggoda yang cukup sinonim dengan wanita itu. Tempoh masa empat tahun benar-benar telah merubah penampilan fizikalnya. Tidak dapat dinafikan Syarifah Sofia semakin cantik, sopan dan ayu!
Air mata yang sedang berjuraian lebat di pipi mulus milik wanita cantik itu mengundang tanda tanya di hati Rahadatul ‘Aisy. Dia kaget dan pada masa yang sama dia turut merasa keliru. Setelah lebih empat tahun persahabatannya dengan Syarifah Sofia terputus, untuk apa wanita itu tiba-tiba muncul kembali di hadapannya? Sudah lupa kah Syarifah Sofia pada ikrarnya untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengannya?
“Tolong aku ‘Aisy. Aku.. aku…” kata-kata Syarifah Sofia terhenti dan berganti dengan esakan yang semakin meruntun jiwa lembut Rahadatul ‘Aisy. Dia merenung tubuh Syarifah Sofia yang sedikit berserabut itu dari atas ke bawah, dan pandangannya terhenti pada beg pakaian yang sedang dibimbit oleh Syarifah Sofia. Jelas sesuatu telah menimpa wanita yang pernah bergelar sahabat baiknya itu.
“Apa yang sudah terjadi ini, Sofia?” terbit rasa belas kasihan di hati Rahadatul ‘Aisy. Pintu gril dibuka dan Syarifah Sofia yang sedang terenjut-enjut menahan tangis dihampiri. Walaupun terlalu banyak kenangan pahit yang telah dilakarkan oleh Syarifah Sofia di dalam hidupnya, namun dia tidak dapat menafikan rasa sayang yang masih tersisa pada sebuah persahabatan yang pernah terjalin di antara mereka. Kesedihan yang terpamer di wajah Syarifah Sofia sedikit demi sedikit membunuh rasa terkilan yang terbuku di dalam hatinya selama ini.
“Aku..aku..aku kotor, ‘Aisy” sebak bicara yang meniti di bibir pucat Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Dia memeluk tubuh Rahadatul ‘Aisy yang masih terkaku. Mencari sandaran mungkin untuknya melepaskan rasa hiba yang bersarang di hati.
“Err..kita cakap di dalam. Kau masuk dulu” Ajak Rahadatul ‘Aisy tanpa rasa ragu. Pelukan dileraikan. Dengan penuh rasa simpati dia memimpin tangan Syarifah Sofia, membawa wanita itu duduk di atas sofa. Syarifah Sofia menekurkan wajahnya ke lantai, jelas terpancar beribu sesalan.
“Kau bertenang dulu. Aku ke dapur sekejap ambilkan kau air” Tergesa-gesa dia menuju ke ruang dapur.
Beberapa minit kemudian, Rahadatul ‘Aisy kembali dengan secawan air suam, mengharapkan ia dapat memberikan sedikit kelegaan buat Syarifah Sofia. Sempat dia membacakan doa penenang hati yang dihafal nya. Itulah tindakan yang sering dilakukan oleh ibunya apabila dia ditimpa sesuatu musibah.
“Minum air ini dulu. Jangan lupa baca selawat” Pesanan dititipkan sambil menghulurkan cawan kepada Syarifah Sofia. Terketar-ketar tangan Syarifah Sofia menyambut lalu disisipkan ke mulut. Rahadatul ‘Aisy melabuhkan duduk di atas sofa berhadapan dengan Syarifah Sofia.
Beberapa waktu berlalu hanya ditemani kesepian. Sesekali diselangi sedu sedan yang dilagukan oleh Syarifah Sofia. Pandangan mata Rahadatul ‘Aisy seakan sedang berbicara, merenung Syarifah Sofia yang sedang bermuram durja di hadapannya. Sabar menunggu wanita itu untuk menjelaskan duduk perkara sebenar. Belum pernah dia menyaksikan Syarifah Sofia dalam keadaan begitu. Pasti dugaan hebat yang sedang mengujinya.
“Aku.. aku minta maaf, ‘Aisy. Aku dah tak tahu nak minta tolong pada siapa. Semua orang dah buang aku, ‘Aisy” rintih Syarifah Sofia dalam tangis.   
Mummy dan daddy dah halau aku dari rumah. Mereka tak mengaku aku anak mereka lagi. Razif pun dah putuskan hubungan dengan aku” sambung Syarifah Sofia dengan esakan yang semakin meninggi.
“Razif?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan kerutan di dahi tatkala mendengarkan suatu nama yang begitu asing di telinganya. Terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya. Sebolehnya dia tidak mahu membuat telahan terlalu awal.
“Razif..dia teman lelaki aku. Aku benar-benar cintakan dia, ‘Aisy. Segala-galanya aku korbankan demi kasih sayang aku. Tapi, akhirnya dia tinggalkan aku” luah Syarifah Sofia masih lagi di dalam sendu yang tidak bertepi.
“Sabarlah, Sofia. Mungkin dia bukan jodoh kau.” pujuk Rahadatul ‘Aisy kekok. Terasa janggal sekali dia untuk menenangkan Syarifah Sofia. Kemesraan yang pernah terlakar di antara mereka berdua ternyata telah hilang. Jika dulu, dia tidak pernah jemu menjadi tempat Syarifah Sofia melepaskan perasaan setiap kali wanita itu mengalami kegagalan dalam percintaan. Dengan rela hati dia akan menadah telinganya mendengar setiap hamburan amarah Syarifah Sofia.
“Dia memang jodoh aku, ‘Aisy. Dia perlu bertanggungjawab pada aku. Aku terlalu sayangkan dia. Hidup aku mati tanpa dia, ‘Aisy. Hati aku kering tanpa cinta Razif!” Lirih bait-bait ayat yang meniti di bibir Syarifah Sofia menggambarkan kepedihannya.
“Kau kena kuat, Sofia. Kau takkan mati tanpa cinta seorang lelaki. Kerana dalam detik setiap nafas yang kita sedut dan hembus ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang-Nya” ujar Rahadatul ‘Aisy menitipkan semangat. Dia juga dulu seperti Syarifah Sofia. Pernah parah terluka kerana mengejar cinta seorang suami. Namun kerana luka lama itulah yang mengajarnya banyak tentang cinta. Merubah definisi dan persepsi nya tentang cinta. Baginya, cinta pada lelaki hanyalah meninggalkan kesan luka yang mendalam di dalam hati. Lalu untuk apa perlu ditagih cinta pada yang tidak sudi?
“Aku tak kuat, ‘Aisy. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa salah aku, ‘Aisy? Segala kemahuan dia aku turutkan. Sehinggakan aku..aku sanggup menyerahkan diri aku pada dia. Bodohnya aku, ‘Aisy. Kerana cinta aku telah meletakkan diri aku sebegini kotor dan jijik!” esakan Syarifah Sofia semakin menggila. Pengakuannya membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin terpempan. Dia beristighfar di dalam hati. Kenapa begitu mudah Syarifah Sofia dibutakan kerana cinta? Kenapa sanggup membiarkan maruah diri menjadi korban pada sebuah cinta yang belum pasti? Kenapa tergamak menjadi bunga yang telah layu dihisap madunya oleh kumbang yang tidak berhak? Persoalan yang tidak mungkin akan ditemukan jawapannya.
“Tenang, Sofia. Jangan ikutkan sangat perasaan sedih itu Mungkin ada hikmah di atas apa yang terjadi” hanya kata-kata tu yang mampu diucapkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Tumpah rasa simpati yang menggunung buat Syarifah Sofia. Dia menghampiri Syarifah Sofia dan duduk di sisi wanita itu.
Dia tidak menyangka begini liku-liku cinta yang terpaksa ditempuh Syarifah Sofia. Wanita cantik yang mempunyai banyak pilihan dalam bercinta, akhirnya kecundang di tangan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Perjalanan cintanya sendiri juga masih terlalu jauh untuk digapai. Hubungannya dengan Umayr Harris bagaikan ombak laut, yang ada pasang dan surutnya.
“Macam mana aku hendak bertenang, ‘Aisy. Sedangkan dalam rahim aku ini ada tanda cinta kami yang semakin membesar” suara Syarifah Sofia perlahan dan sayu.
“Kau mengandung? Anak Razif?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan wajah yang tercengang. Anggukan Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah. Matanya jatuh pada perut Syarifah Sofia yang masih kempis. Belum jelas kelihatan. Mungkin kandungannya masih muda.
“Aku..aku mengandung lima minggu. Apabila Razif tahu aku mengandungkan anak dia, dia terus mengambil keputusan untuk tinggalkan aku. Disebabkan ini juga mummy dan daddy buang aku. Mereka malu sebab aku telah memalitkan arang ke muka mereka” terang Syarifah Sofia membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Kenapa perlu buru-buru mengikut nafsu menjalinkan hubungan haram tanpa lafaz ijab dan kabul?
“Apa patut aku buat, ‘Aisy? Aku dah tak ada siapa-siapa lagi. Aku bukan setakat dihalau dari rumah tapi daddy aku dah buang aku dari syarikat. Semua kad kredit, wang simpanan aku dibekukan. Aku dah tak ada apa-apa lagi ‘Aisy” Rahadatul ‘Aisy merenung sayu ke arah Syarifah Sofia. Dia masih bungkam memikirkan cara untuk membantu Syarifah Sofia. Rasa kemanusiaan di dalam dirinya membuatkan dia merasa bertanggungjawab untuk melindungi Syarifah Sofia apatah lagi di dalam rahim wanita itu ada satu nyawa yang tidak berdosa. Dia tidak mahu Syarifah Sofia hilang pertimbangan dan mengapa-apakan kandungannya.
“Kau tak perlu risau. Kau tinggal saja di sini buat sementara waktu. Selepas itu, kita usaha pujuk Razif untuk menikahi kau” putus Rahadatul ‘Aisy. Tangan Syarifah Sofia digenggam erat, cuba menyalurkan sedikit kekuatan buat wanita itu.
“Aku..aku tak menyusahkan kau ke, ‘Aisy?” soal Syarifah Sofia dalam riak yang serba salah.
“Tak susah pun. Dah jadi tugas aku untuk menolong orang yang memerlukan.” Jawab Rahadatul ‘Aisy sambil menggosok-gosok belakang tangan Syarifah Sofia. Memberikan keyakinan buat wanita itu.
“Tapi..kawan-kawan serumah kau macam mana?”
“Kau jangan bimbang, nanti aku beritahu dia orang. Sakeena dan Hafeeza mesti faham keadaan kau. Lagipun rumah ini ada satu lagi bilik kosong dekat tingkat atas. Tapi, bilik itu tak adalah selesa dan besar macam bilik kau” ujar Rahadatul ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman nipis. Terpancar riak kelegaan di wajah Syarifah Sofia.
“’Aisy, terima kasih. Walaupun macam-macam aku dah buat pada kau dulu, kau masih sudi nak membantu aku. Aku malu dengan kau, ‘Aisy” beritahu Syarifah Sofia serba salah. Wajah itu kembali berubah suram tiba-tiba. Sebagai manusia biasa, memang hati Rahadatul ‘Aisy masih berbirat luka dengan tuduhan dan fitnah yang pernah ditaburkan oleh Syarifah Sofia terhadapnya dulu. Namun, kesukaran yang sedang dilalui oleh Syarifah Sofia tidak membenarkan dirinya untuk terus melayani kesakitan kisah silam.
“Kau tak perlu fikir fasal perkara yang dah lepas. Let bygone be bygone, okay?” kata-kata Rahadatul ‘Aisy membuatkan mata Syarifah Sofia berkaca. Pipi yang baru sahaja kering, kini dibasahi lagi dengan air mata.
“Maafkan aku, ‘Aisy. Walaupun aku tahu kesilapan aku pada kau terlalu besar tapi tolong maafkan aku” pinta Syarifah Sofia. Anggukan di kepala Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia memeluknya dengan penuh rasa terharu.
“Terima kasih, ‘Aisy.” Pelukan itu membuatkan hati Rahadatul ‘Aisy tersentuh. Kemaafan memang dendam yang terindah. Aku bersyukur pada-Mu sekiranya sedikit kebaikan yang aku hulurkan bisa menyulam kembali hubungan persahabatan kami yang terputus sejak sekian lama. Monolog Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.
“Mari aku bawa kau ke bilik. Kau mesti dah penat kan? Ibu mengandung kena banyak berehat” pelawa Rahadatul ‘Aisy meleraikan pelukan. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Syarifah Sofia dan dibalas oleh wanita itu. Pantas, beg pakaian Syarifah Sofia dijinjing. Tanpa sebarang rasa curiga dia melangkah menaiki tangga, sedikit ke depan mendahului Syarifah Sofia.
Tiba-tiba, senyuman manis yang terukir di wajah Syarifah Sofia bertukar menjadi sinis. Sorotan matanya berubah tajam memandang belakang tubuh Rahadatul ‘Aisy dengan penuh kebencian dan dendam. Tiada lagi riak polos dan suram yang terbias di wajahnya. Watak Syarifah Sofia yang teraniaya hanyalah sebahagian daripada plot lakonannya untuk memperdayakan Rahadatul ‘Aisy. Perancangannya setakat ini berjalan lancar. Kau memang bodoh, ‘Aisy! Nampaknya bertahun-tahun hidup di luar negara masih tidak mampu mengubah kenaifan kau. Jangan harap aku akan benarkan kau hidup bahagia bersama Umayr Harris! Kata hatinya mengutuk dengan angkuh.
Dendam yang dipendam sejak empat tahun yang lalu perlu dilunaskan. Dia sudah tidak mampu menyimpan rasa sakit di hatinya dengan lebih lama. Perhitungan perlu dilakukan demi untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Pengkhianatan perlu dibalas dengan pengkhianatan!
*********
Kehadiran Syarifah Sofia yang menumpang tinggal mengundang rasa kurang senang hati pada Sakeena. Bukanlah bermakna dia tidak bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita itu. Tetapi entah kenapa, nalurinya bagaikan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi apabila mengenangkan pengkhianatan yang pernah dilakukan Syarifah Sofia kepada Rahadatul ‘Aisy.
“Betul ke Sofia itu mengandung?” bisik Sakeena perlahan, bimbang jika soalannya itu didengari oleh Syarifah Sofia. Matanya memandang kiri kanan, cukup berwaspada. Padahal pada waktu itu hanya dia sahaja yang berada di dalam kamar tidur Rahadatul ‘Aisy.
“Kau dengar tak apa aku tanya?” Sakeena kembali menyoal apabila tiada jawapan daripada Rahadatul ‘Aisy. Sahabatnya yang sedang menyandar di birai katil direnung. Dia cuba mendapatkan perhatian Rahadatul ‘Aisy yang sedari tadi begitu khusyuk memerhatikan skrin telefon bimbitnya.
“Kenapa kau tanya aku macam tu?” Persoalan Sakeena tidak segera dijawab oleh Rahadatul ‘Aisy. Sebaliknya dia membalas dengan pertanyaan yang acuh tidak acuh. Tumpuannya masih pada paparan mesej yang baru diterima daripada Umayr Harris. Sekarang, suaminya berada di United States atas urusan perniagaan. Namun, setiap hari Umayr Harris tidak pernah gagal memberitahu aktivitinya di sana walaupun dia tidak pernah membalas setiap mesej yang diterima. Jauh sekali untuk mengangkat panggilan telefon daripada Umayr Harris.
“Hati aku tak sedaplah, ‘Aisy. Aku rasa macam ada sesuatu yang pelik lah” luah Sakeena tanpa berselindung.
“Apa yang peliknya?” wajah teman baiknya itu direnung, menantikan sebuah penjelasan. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kecil di sisi katil.
“Tak adalah, semalam kau cakap Sofia datang meratap-ratap sedih dengan kau. Macam orang hilang anak. Tetapi yang peliknya, hari ini aku tengok dia happy semacam je. Macam orang yang tak ada masalah pula” dengan riak wajah yang penuh curiga, Sakeena becok menyampaikan kemusykilan di hatinya. Rahadatul ‘Aisy tertawa lucu, sedikit tercuit hati melihatkan kesungguhan Sakeena. Gaya pun dah serupa seperti Kak Leha, jiran sebelah yang suka benar bergosip. Sakeena jugalah orang yang paling suka melayan Kak Leha itu bercerita.
“Aku tanya serius ini, kau bantai gelak pula” tempelak Sakeena tidak puas hati melihat gelak Rahadatul ‘Aisy yang semakin besar.
“Kau ini kelakar lah, Keena. Tengok gaya kau ini teringat aku dekat Kak Leha jiran sebelah. Aku rasa genetik Kak Leha dah banyak menurun dekat kau ni” usik Rahadatul ‘Aisy dalam sisa tawa membuatkan Sakeena menjelingnya masam. Ringan tangannya membaling bantal ke arah Rahadatul ‘Aisy. Cekap tangan Rahadatul ‘Aisy menyambut bantal dan di bawa rapat ke dada untuk dipeluk.
“Aku cakap serius, boleh pula kau perli aku” ujar Sakeena tidak berpuas hati.
“Apa yang nak dirunsingkan. Baguslah kalau Sofia dah boleh rasa gembira. Nanti kalau dia asyik meratap hiba kita juga yang susah hendak pujuk. Yang jadi mangsa anak dalam kandungannya itu” jawab Rahadatul ‘Aisy akhirnya. Baginya, Sakeena terlalu berprasangka. Tetapi dia tidak boleh menyalahkan Sakeena kerana merasa curiga. Dia tahu temannya itu penuh dengan sikap melindungi. Sakeena tidak akan tegar melihat dia menjadi mangsa pengkhianatan buat kedua kali.
“Bercakap fasal anak, betul ke Sofia itu mengandung? Aku tengok tak macam gaya orang mengandung pun. Tengah hari tadi boleh pula dia makan nanas berkeping-keping.” Kata-kata Sakeena membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak.
“Habis itu, kau tak larang dia ke?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan wajah risau.
“Tak” balas Sakeena sepatah tanpa rasa bersalah membuatkan Rahadatul ‘Aisy mendengus lemah.
“Kenapa tak tegur dia? Aku rasa dia tak tahu yang perempuan mengandung tak digalakkan makan nanas. Dia kan mengandung anak sulung.” Janganlah yang tidak-tidak menimpa Sakeena dan kandungannya. Dia pernah merasai keperitan akibat kehilangan zuriat yang dikandungi. Kalau boleh dia tidak mahu wanita lain melalui apa yang pernah dialaminya.
“Kau tak boleh terlalu berbaik sangka, ‘Aisy. Kau dah lupa apa yang dia pernah buat pada kau dan Harris dulu?” tukas Sakeena. Itulah kelemahan Rahadatul ‘Aisy. Dia mempunyai sekeping hati yang lembut. Membuatkan hatinya mudah tersentuh dengan pujuk rayu.
“Aku tak pernah lupa, Keena. Tetapi perkara dah lepas, kan. Lagipun, aku memang tidak ada pilihan. Dia dalam kesusahan dan aku cuma menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang insan. Selebihnya, kita serahkan pada ALLAH” tingkah Rahadatul ‘Aisy mematahkan tebakan negatif Sakeena.
“Lagipun, aku tengok Sofia dah banyak berubah ke arah kebaikan. Dia dah sedar kesilapannya. Jadi, tak salah kita beri dia peluang kan?” Dalam diam Sakeena turut mengakui kebenaran kata-kata Rahadatul ‘Aisy. Dari segi penampilan memang jelas Syarifah Sofia telah berubah ke arah positif. Aurat yang selama ini dibiarkan terdedah telah ditutup daripada pandangan ajnabi. Tetapi, kenapa iman masih tipis sehingga membiarkan diri bergelumang dengan dosa zina? Iman bukan boleh diukur berdasarkan labuhnya tudung seseorang.
“Tapi, ‘Aisy..”
“Dahlah. Kau ini suka sangat fikir yang bukan-bukan. Ini mesti sebab banyak sangat novel dan berguru dengan Kak Leha.” Gurauan Rahadatul ‘Aisy sekali lagi membuatkan dia dihadiahkan dengan balingan bantal oleh Sakeena.
“Kau jangan risaulah, Keena. Aku yakin Sofia memang dalam kesusahan. Yang penting sekarang ini, kita kena fikirkan macam mana nak pujuk mak ayah dan kekasih dia untuk menerima dia kembali” ujar Rahadatul ‘Aisy tenang. Akhirnya, curiga Sakeena hilang begitu sahaja. Lagipun Rahadatul ‘Aisy sendiri lebih mengenali siapa Syarifah Sofia berbanding dirinya.
*********
Malam minggu itu, Rahadatul ‘Aisy tinggal berdua bersama dengan Syarifah Sofia. Sakeena terpaksa pulang ke kampungnya di Kuantan untuk menguruskan majlis perkahwinannya yang hanya berbaki sebulan. Manakala, Hafeeza pula berkursus di Genting Highlands. Mujur jugalah ada Syarifah Sofia, sekurang-kurangnya tidaklah dia keseorangan di rumah teres dua tingkat itu.
Setelah menyiapkan makan malam, Rahadatul ‘Aisy menuju ke biliknya di tingkat atas untuk membersihkan diri. Namun, langkahnya terhenti apabila melihat pintu bilik Syarifah Sofia sedikit terbuka. Dia berniat untuk mengajak Syarifah Sofia makan. Jika wanita itu lapar, bolehlah wanita itu makan terlebih dahulu. Maklumlah ibu mengandung. Perut tidak boleh dibiarkan kosong. Lantas, langkah kakinya bertukar arah menuju ke kamar Syarifah Sofia.
 “Malam ini, ‘Aisy tinggal seorang diri. Peluang baik yang kita tunggu akhirnya dah tiba” dari luar bilik jelas kedengaran suara Syarifah Sofia sedang bercakap dengan seseorang di dalam talian. Namanya yang meniti di bibir Syarifah Sofia mengundang rasa ingin tahu di hati. Kata-kata yang dituturkan oleh Syarifah Sofia menarik minat Rahadatul ‘Aisy untuk mengintip perbualan wanita itu.
“Kalau rancangan ini berjaya, aku pasti ‘Aisy akan menjadi milik engkau. Aku yakin Harris pasti akan menceraikan ‘Aisy. Kali ini, sesiapapun tak akan dapat membela perempuan itu lagi walaupun Hajah Mariah!” Suara angkuh Syarifah Sofia membuatkan jantung Rahadatul ‘Aisy berdetak kencang. Waktu itu, dia sedar yang kecurigaan Sakeena memang benar-benar berasas. Ternyata keinsafan Syarifah Sofia hanyalah lakonan semata-mata. Wanita itu selama ini hanya berpura-pura untuk mengaburi matanya.
“Tapi, kau jangan lupa janji kau pada aku kalau rancangan ini berjaya. Kalau kau mungkir, tahulah aku hendak buat macam mana!” suara Syarifah Sofia berubah tegang. Dia terdiam sejenak, mungkin sedang mendengar bicara daripada pemanggil di hujung talian. Siapakah pemanggil yang sedang bercakap dengan Sofia? Hati Rahadatul ‘Aisy tertanya-tanya.
“Bagus! Kau jangan bimbang. Aku tahulah apa yang patut aku buat. She will be yours tonight! Bukannya susah hendak kelentong perempuan kesayangan kau tu. Dua tiga titik air mata aku pun dah boleh beli perasaan kasihan ‘Aisy. She is so naïve and sometime stupid!” ketawa sinis terhambur keluar dari mulut Syarifah Sofia. Namun pantas tangannya menekup mulut, bimbang jika perbualannya didengari. Hancur luluh hati Rahadatul ‘Aisy berkeping-keping tatkala mendengarkan penghinaan Syarifah Sofia. Parut lama kembali bernanah. Kali ini lukanya pasti meninggalkan kesan yang lebih dalam. Tanpa sedar, tangannya dikepal kuat, menahan rasa bahang yang mula mengisi di segenap ruang hatinya.
“Relaks lah! Aku kutuk sikit pun kau dah nak melenting. Aku tak fahamlah apa kau pandang sangat pada perempuan itu” Dari celah pintu yang sedikit terbuka, jelas riak kebencian terbias di wajah Syarifah Sofia.
“Aku..aku tahu urusan kau bukan urusan aku. Maafkan aku!” suara Syarifah Sofia berubah kendur dan gugup. Pelik! Kenapa berubah-rubah emosi yang ditunjukkan olehnya? Seolah-olah si pemanggil itu begitu mempunyai pengaruh yang besar terhadap Syarifah Sofia. Siapakah pemanggil yang seakan begitu mengenali Rahadatul ‘Aisy. Begitu ingin memiliki dirinya. Dia cuba meneka namun otaknya langsung tidak dapat berfikir.
“Ya! Malam ini kita buat seperti yang kau rancang. Aku akan pastikan ‘Aisy tidur mati malam ini. Kau perlu ingat, bilik tidur ‘Aisy bilik kedua dari tangga.” Terketar-ketar Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Matanya berkaca bening. Dia dapat menghidu sesuatu yang buruk akan berlaku jika dia tidak berbuat sesuatu. Rasa takut, marah, geram dan kecewa bercampur baur.
Bodohnya dia kerana terlalu mudah mempercayai bekas sahabatnya sendiri. Bodohnya dia kerana mengharapkan kebaikannya bisa merubah dan menjadikan Syarifah Sofia manusia yang lebih baik. Bodohnya dia kerana masih menumpahkan air mata buat seorang manusia yang langsung tidak layak untuk dijadikan sahabat! Air matanya dikesat laju. Dia tidak ingin menangis lagi. Tidak sekali-kali dia akan menyerah kalah.
“’Aisy!” suara terkejut Syarifah Sofia mengaburkan lamunannya. Syarifah Sofia berdiri tegak di ambang pintu dengan wajah yang berubah pucat.
“Tergamak kau mengkhianati aku lagi, Sofia! Rupa-rupanya cerita simpati kau selama ini hanyalah palsu. Selama ini kau hanya berpura-pura dengan aku!” jeritan Rahadatul ‘Aisy mengisi segenap ruang rumah. Amarah yang ditunjukkan oleh Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia terkedu. Entah dari mana kekuatan itu meresap ke dalam tubuhnya. Mungkin rasa sakit hati yang tersimpan bertahun-tahun dan rasa kecewa yang menyapa membuatkan dirinya menjadi berani.
“Aku…aku tak..kau dah salah faham, ‘Aisy” tingkah Syarifah Sofa gugup. Buntu akalnya untuk mencipta helah.
“Kau tak perlu berlakon lagi, Sofia. Aku dah dengar semua perbualan kau tadi. Apa yang kau nak buat pada aku Sofia? Kejahatan apa lagi yang kau rancang untuk kenakan aku?” tanya Rahadatul ‘Aisy bertubi-tubi. Wajah Syarifah Sofia dipandang dengan sebuah renungan yang cukup tajam.
Tiba-tiba Syarifah Sofia meledakkan tawa. Semakin kuat dan semakin sinis di pendengaran Rahadatul ‘Aisy. Dia memang sengaja membakar amarah Rahadatul ‘Aisy. Segala perancangannya telah terbongkar. Tidak guna dia berlindung di balik telunjuk lagi. Rancangan yang telah disusun rapi juga perlu berubah. Walau bagaimana cara sekalipun, dia perlu pastikan Rahadatul ‘Aisy  dibenci Umayr Harris buat selama-lamanya!
“Aku hendak pulangkan kau pada seseorang yang sudah lama menantikan kau” wajah Syarifah Sofia berubah sinis.
“Siapa?” tanya Rahadatul ‘Aisy.
“Kau akan tahu bila tiba masanya nanti. Malam ini, aku akan pastikan kau akan menjadi milik dia. Milik seorang lelaki yang sudah begitu lama ingin meratah tubuh kau!” ujar Syarifah Sofia dengan wajah bengis. Tubuh Rahadatul ‘Aisy semakin dihampirinya.
“Kau dah gila, Sofia!” balas Rahadatul ‘Aisy dengan nada yang cukup berani. Dia berundur setapak ke belakang. Wajah bengis Syarifah Sofia sedikit menggoyahkan keberaniannya.
“Mungkin betul aku gila. Aku gila dengan dendam aku pada kau yang masih belum berbalas. Aku akan buat hidup kau merana seperti apa yang kau telah buat pada aku. Aku akan pastikan seumur hidup kau menderita, dibayangi kenangan hitam yang bakal dicipta malam ini” ugutan Syarifah Sofia membuatkan tangkai hati Rahadatul ‘Aisy bergetar ketakutan. Wanita di hadapannya ini tidak ubah seperti seekor binatang buas yang sedang menunggu untuk menerkam mangsanya.
“Apa sebenarnya yang aku dah buat pada kau, Sofia? Kau masih tak sedar apa yang telah berlaku berpunca daripada keegoan kau sendiri? Kau yang telah membuat pilihan yang salah. Pilihan yang akhirnya memakan diri kau sendiri. Kau ini tak ubah seperti buruk muka, cermin disalahkan” balasan Rahadatul ‘Aisy dalam sindiran menghangatkan rasa amarah Syarifah Sofia. Langkah Rahadatul ‘Aisy terhenti apabila menyedari kakinya sudah berada di birai anak tangga pertama.
“Kau pula bijak mengambil kesempatan di atas kekhilafan aku kan?” rengus Syarifah Sofia tidak mahu mengaku kalah. Pandangan matanya penuh dengan kebencian.
“Kau atau aku yang mengambil kesempatan, Sofia? Kau sebenarnya seorang perempuan yang terlalu bangga dan angkuh dengan diri kau sendiri. Kerana keangkuhan, kau tidak pernah cukup  dengan apa yang kau ada. Kerana ego, kau tidak dapat menerima hakikat yang orang lain juga layak bahagia. Sehingga kau sanggup rampas dan musnahkan kebahagiaan aku, kawan baik kau sendiri. Kau memang perempuan tamak, Sofia. Kau tamak harta, kedudukan, perhatian dan kasih sayang sehinggakan kau sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan hati kau!” hamburan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia semakin berang. Patah demi patah kebenaran yang semakin terungkap di bibir Rahadatul ‘Aisy bagaikan belati tajam yang mencucuk tangkai hati Syarifah Sofia. Dia benci untuk mengakui kebenaran itu.
“Tetapi itu tidak memberikan kau hak untuk merampas tunang aku sendiri!” tengking Syarifah Sofia. Memang menjadi pantang baginya jika haknya dirampas. Terutamanya oleh teman baik yang sering dipandang enteng olehnya. Baginya Rahadatul ‘Aisy tidak layak untuk memiliki apa yang pernah menjadi miliknya.
“Sofia..Sofia.. Kau dah lupa apa yang kau dah buat pada Harris? Kecurangan kau sendiri yang membuatkan Harris membuang kau, Sofia! Kau sanggup menjual maruah diri kau hanya…”
“Diam, ‘Aisy!” potong Syarifah Sofia tidak sanggup membiarkan Rahadatul ‘Aisy meneruskan kata-kata sinisnya.
“Kenapa? Kau dah tak sanggup nak mendengarkan kebenarannya? Kebenaran yang kau sanggup menjual maruah diri kau hanya kerana mengejar cinta seorang lelaki yang lebih hebat, lebih kaya dan lebih tampan daripada Harris?” sambung Rahadatul ‘Aisy melampiaskan perasaannya yang terpendam. Langsung dia tidak mengendahkan amaran Syarifah Sofia.
“Aku kata diam, perempuan!” rasa amarah membuatkan Syarifah Sofia melayangkan sebuah tamparan di pipi Rahadatul ‘Aisy. Tindakan itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy hilang kawalan diri dan akhirnya tubuhnya melayang jatuh menggelongsor tangga sehingga ke bawah. Hentakan kuat yang menimpa perutnya membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengaduh kesakitan.
Syarifah Sofia yang menyaksikan kejadian itu terkaku di atas tangga. Tubuh Rahadatul ‘Aisy yang sudah terdampar di kaki tangga mengundang getar di hatinya. Dia memang tidak sengaja untuk menyebabkan Rahadatul ‘Aisy jatuh tangga. Namun, rasa takut itu tidak lama. Dia akhirnya tersenyum puas melihatkan tubuh Rahadatul ‘Aisy yang terbaring lemah. Sekurang-kurangnya tugasnya akan menjadi lebih mudah untuk meneruskan rancangan jahat nya. Perlahan-lahan dia melangkah menuruni tangga.
‘Astagfirullahalazim. Kenapa boleh jatuh ini, ‘Aisy?” suara terperanjat Hafeeza menghentikan langkah Syarifah Sofia. Dia mengetap bibirnya geram.
“Kenapa perempuan itu, tiba-tiba balik pula malam ini?” Syarifah Sofia merengus geram. Nampaknya dia tiada pilihan. Rancangannya gagal untuk dilaksanakan. Dendam yang terbuku masih seakan liat untuk dileraikan. Dengan bara dia melangkah kembali ke bilik tidurnya. Dia perlu keluar dari rumah itu dengan segera!
*********
Umayr Harris terdiam, khusyuk mendengar satu persatu cerita daripada mulut Rahadatul ‘Aisy. Hatinya membara dengan rasa marah dan geram yang tidak bertepi. Pandangan matanya jelas menunjukkan api kebencian.
“Kurang ajar kau, Sofia. Kau memang nak kena!” bisik Umayr Harris penuh dengan dendam.
“Abang, ‘Aisy beritahu abang semua ini bukan berniat untuk meminta abang balas balik segala perbuatan Sofia.” ujar Rahadatul ‘Aisy apabila dia melihat wajah merah Umayr Harris yang sedang menahan geram. Dengan kedudukan yang dimiliki oleh suaminya, dia tahu Umayr Harris mampu melakukan apa saja.
“Tapi, perempuan macam itu patut diajar supaya selepas ini dia tidak ganggu sayang lagi. Sayang jangan bimbang. Tahulah abang nak buat macam mana” dengus Umayr Harris tidak puas hati.
“Abang kan dah janji dengan ‘Aisy tadi untuk tidak berdendam kan? ‘Aisy sanggup ceritakan semuanya pada abang pun sebab janji abang tadi” Rahadatul ‘Aisy mengingatkan Umayr Harris.
“Tapi…”
“Abang, dalam Islam tak pernah ajar kita untuk balas kejahatan dengan kejahatan kan? ALLAH kan ada bersama dengan kita. Kita doakan saja semoga dia berubah. Lagipun, abang kan nak kawal baran abang itu. Anggaplah ini sebagai ujian pertama abang” pujuk Rahadatul ‘Aisy lembut. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman sambil dia memaut lengan sasa Umayr Harris. Sengaja dia merapatkan badannya ke tubuh sasa Umayr Harris.
“Pandai sayang pujuk abang, ya” Umayr Harris mencuit hidung Rahadatul ‘Aisy. Hatinya yang sedang hangat membara serta-merta sejuk dengan senyuman dan perlakuan manja Rahadatul ‘Aisy. Kemesraan yang jarang-jarang ditunjukkan oleh isterinya.
“Sayang duduk rapat-rapat dengan abang macam hendak goda abang saja. Sayang dah buat abang rasa lain macam ni. You’ve turned me on. Jom, sayang. Kita masuk bilik” kata-kata Umayr Harris yang kedengaran nakal membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersipu malu.
“Tak senonoh betullah abang ni” gumam Rahadatul ‘Aisy seram. Pantas pegangan tangannya pada lengan Umayr Harris dilepaskan dan tubuhnya dijauhkan. Perbuatan isterinya itu mengundang tawa Umayr Harris.
“Kenapa tiba-tiba duduk jauh pula ni?” Umayr Harris mendekati Rahadatul ‘Aisy. Dia menyelitkan kembali tangan Rahadatul ‘Aisy di celah lengannya.
“Abang itulah, cakap lagi pelik-pelik macam tu” marah Rahadatul ‘Aisy. Rungutan Rahadatul ‘Aisy hanya mengundang senyum di wajah Umayr Harris.
“Abang gurau saja, sayang. The truth is abang akan tunggu sehingga sayang benar-benar sihat dan bersedia” ujar Umayr Harris perlahan menyentuh hati Rahadatul ‘Aisy. Jari-jemari Rahadatul ‘Aisy di elus dengan penuh rasa kasih.
“Terima kasih, abang” ucapan tulus Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris tersenyum senang. Hatinya melagukan irama bahagia.

p/s: Ini entry terpanjang yang pernah dipost. Enjoys.. Maybe entry berikutnya akan ambil masa lama sikit. 

7 comments:

  1. besttttttt....jgn biarkam aisy teraniaya lagi k..harris kna sentiasa ade utk protect aisy..

    ReplyDelete
  2. ok bagus2, nsib aisy bgitahu suami dier, geram btul dkt sofia tu... best btul criter ni, thanxs

    ReplyDelete
  3. hope diorg dapat baby one day nti...haris kena protect aisy...

    ReplyDelete
  4. Best sangat n3 kali ni... huhuhu.. enjoy membacanya..
    Jahat betoilah si sofia... mungkin die tak jumpe org yg sama jahat dengan die.. baru padam dengan muke die.. hehehe..
    Harap2 lepas aisy dan harris ni... terus bahagia dan tiada lagi konflik2 lagi... hehe.. susah2 ambik anak angkat jea.. habis cerita titian cinta ni..
    ops! sorry writter... mane boleh... titian cinta ni baru bab 24.. lagi panjang lagi bagus sebab cerita ni best sangat2.. hehehe..
    harap2 cerita ni dinovelkan.. nak beli cepat2 sebab penat sangat nak menunggu sambungan cerita ni...

    ReplyDelete
  5. nasib baik aisy bagi tahu hal yg sebenar..pasni entah apa pulak tindakan sofea tu..

    ReplyDelete
  6. uiksss..jahat nye sofia tu.. harap kene langgar lori..hahahahaa. sape lelaki yang bersubahat dengan sofia tu?

    Harris..tolong jaga Aisy baik2 hocaayyy..

    ReplyDelete
  7. kathy: akak tgk awak komen seme n3 titian cinta, terharu sungguh..thank you dik!

    yuyu, jeng jeng jeng..kena ikuti novel ni kalau nk tau.. more conflicts dan rahsia akan dibongkarkan..hehehe

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..