Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 9 February 2012

Titian Cinta: Bab 23

Pandangan cerlung Umayr Harris membuatkan suasana yang tegang sebentar tadi menjadi sunyi sepi. Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah berang. Tubuh Rahadatul ‘Aisy yang berdiri kaku seperti patung cendana dihampiri. Bermacam-macam persoalan yang berlegar-legar di benaknya. Jika benar apa yang telah didengar dan dilihatnya tadi, dia perlu lakukan sesuatu!
Rahadatul ‘Aisy masih lagi berdiri dengan pandangan yang kosong, langsung tidak menghiraukan panahan tajam Umayr Harris. Dia cuba berlagak berani dan cekal. Sedangkan di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana dia menjerut rasa. Rasa kecewa, sedih, marah, malu datang silih berganti dan bercampur baur menjadi satu.
Puan Sri Nora dan Syarifah Sofia saling berbalas pandang. Mereka berdua benar-benar tidak menyangka dengan kemunculan mengejut Umayr Harris. Bukankah tadi mereka sendiri melihat kereta yang dipandu Umayr Harris meluncur keluar dari perkarangan rumah? Namun, tatkala melihatkan reaksi Umayr Harris, Puan Sri Nora melemparkan senyuman sinis kepada Rahadatul ‘Aisy. Dia pasti anaknya sendiri telah menyaksikan kebiadaban Rahadatul ‘Aisy padanya. Sudah pasti anaknya itu tidak akan mudah-mudah melepaskan Rahadatul ‘Aisy. Umayr Harris seorang anak yang sentiasa menghormati orang tua, walaupun anaknya itu mewarisi sikap baran sepertinya.
“Eloklah Harris ada sekali. Boleh Harris tengok sendiri perangai buruk isteri Harris ini.” Bicara Puan Sri Nora memecah kesunyian. Tiada tindak balas daripada Umayr Harris. Sebaliknya lelaki itu masih merenung wajah Rahadatul ‘Aisy tanpa reaksi. Hanya sorotan matanya yang jelas menunjukkan riak kemarahan yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lagi.
Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan Rahadatul ‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Tiba-tiba rasa berani yang dikumpul turun ke paras negatif. Apatah lagi dengan renungan tajam Umayr Harris, membuatkan dirinya semakin tidak keruan. Entah kenapa dia dapat rasakan pandangan mata Umayr Harris penuh dengan rasa curiga terhadapnya.
“Mama memang tak sangka, isteri yang Harris puja-puja dan menjadi kebanggaan nenek Harris ini sanggup kurang ajar dengan mama. Suka-suka hati dia menghalau mama keluar dari rumah anak mama sendiri. Tak sedar yang diri tu sebenarnya menumpang hidup di sini” Lancar bibir Puan Sri Nora mengadu domba pada Umayr Harris. Dengan sepenuhnya dia menggunakan pengaruhnya sebagai seorang ibu untuk membuatkan anak lelaki tunggalnya itu termakan dengan kata-katanya.
Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir geram dengan kata-kata sinis ibu mertuanya. Dia tidak sepatutnya membiarkan Puan Sri Nora berterusan menuduhnya yang bukan-bukan. Tetapi mampu kah dia bersuara untuk menegakkan kebenaran yang jelas telah diputarbelitkan. Mampu kah dia merebut kepercayaan Umayr Harris sedangkan wanita yang sedang menjadi lawannya adalah ibu kandung suaminya sendiri. Apalah sangat kedudukannya sebagai seorang isteri jika dibandingkan dengan darjat seorang ibu. Mengenangkan hakikat itu, dia cuba menenangkan dirinya. Dia juga tidak mahu tutur bicara yang bakal diucapkannya bisa merenggangkan hubungan di antara ibu dan anak.
“’Aisy minta maaf, mama. Kata-kata ‘Aisy tadi bukan bermaksud untuk menghalau mama. ‘Aisy cuma minta Sofia balik sebab ‘Aisy dah tidak sanggup melihat kepura-puraan dia” suara Rahadatul ‘Aisy perlahan cuba memperbetulkan keadaan. Jika diikutkan memang dia terasa hati dengan sindiran pedas ibu mertuanya itu, tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biarlah dia beralah, jika dengan cara itu dapat meredakan kemarahan Puan Sri Nora. Beralah tidak semestinya kalah. Lagipun dia tidak boleh meletakkan kesalahan seratus peratus kepada ibu mertuanya itu. Puan Sri Nora bertindak begitu kerana terpedaya dengan tipu helah yang dimainkan oleh Syarifah Sofia.
“Kamu masih nak menegakkan benang yang basah, ‘Aisy? Sudah terang-terangan kamu yang cuba cederakan Sofia dan sekarang kamu tuduh dia berpura-pura? Kawan jenis apa kamu ini?” tengking Puan Sri Nora langsung tidak berbekas dengan kata-kata maaf yang diucapkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Nampaknya, ego yang tinggi melangit telah membutakan pintu hatinya untuk melihat kebenaran. Yakin sekali dirinya yang Syarifah Sofia tidak bersalah. Keyakinan Puan Sri Nora semakin membuatkan Syarifah Sofia tersenyum menang di dalam hati. Senyumnya semakin lebar di dalam hati tatkala melihat wajah merah Umayr Harris. Dia cukup pasti lelaki itu juga berpihak kepadanya. Dengan watak gadis lembut dan wajah polos yang dimilikinya, sudah pasti sesiapa pun akan terpedaya.
How could you be so sure, mama? Kalau benarlah ‘Aisy yang berniat hendak apa-apakan Sofia, kenapa Sofia yang berada di rumah ‘Aisy?” tutur Rahadatul ‘Aisy lemah. Walaupun kata-kata pembelaannya ibarat seperti mencurah air di daun keladi tetapi dia tidak akan sekali-kali mengakui kesalahan yang dia tidak pernah lakukan.
“Sebab kamu bijak mengambil kesempatan di atas kebaikan Sofia. Kamu itu sebenarnya yang berpura-pura. Hipokrit!” hampir sahaja kepala Rahadatul ‘Aisy ditunjal oleh Puan Sri Nora jika tidak dihalang oleh Umayr Harris. Pertanyaan yang meniti di bibir menantunya itu kedengaran begitu sinis di telinganya.
“Mama, please calm down.” Tenang Umayr Harris. Cepat-cepat dia menarik tubuh kecil Rahadatul ‘Aisy ke belakang badannya, cuba melindungi isterinya. Tindakan Umayr Harris membuatkan Puan Sri Nora semakin geram. Bulat mata Syarifah Sofia seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Macam mana mama nak bertenang dengan layanan sombong isteri Harris ini? Berani dia hendak kenakan Sofia. Sakit hati mama ini tahu tak! Mari sini biar mama ajar sikit perempuan tak sedar diri ni” ujar Puan Sri Nora tidak puas hati. Ringan tangannya diangkat tinggi untuk menyakiti tubuh Rahadatul ‘Aisy yang sedang bersembunyi di belakang Umayr Harris.
“Mama, apa semua ini? Hanya kerana Sofia, mama sampai nak naik tangan pada ‘Aisy? Kenapa mudah-mudah mama boleh percayakan dia lagi?” pertanyaan Umayr Harris benar-benar membuatkan Puan Sri Nora tercengang. Mujurlah ketinggian dan ketegapan badannya berjaya menghalang serangan ibunya yang mula bertindak kasar. Sementara itu, Syarifah Sofia yang sedari tadi hanya diam memerhati semakin gelisah.
“Sekarang Harris pun sudah berani hendak kurang ajar dengan mama juga?” Terketar-ketar bibir Puan Sri Nora menahan rasa amarah.
“Harris tak pernah terlintas hendak menderhaka pada mama. Tetapi mama dah lupa ke siapa Sofia ini sebenarnya? Apa yang dia dah buat pada keluarga kita dulu?” Umayr Harris menjeling tajam ke arah Syarifah Sofia. Gadis itu memang bijak meraih simpati. Tetapi dia tidak akan mudah diperbodohkan oleh Syarifah Sofia lagi. Dia masih mempunyai akal yang waras untuk menilai. Masih terngiang-ngiang kata-kata Hafeeza tempoh hari menceritakan insiden Rahadatul ‘Aisy jatuh tangga. Walaupun teman serumah isterinya itu tidak mengaitkan sesiapa dengan insiden itu tetapi dia masih ingat keraguan yang terpancar di wajah Hafeeza. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Firasatnya kuat menyatakan Syarifah Sofia mempunyai kaitan dengan peristiwa itu. Hatinya semakin berang apabila mengenangkan dek kejadian jatuh tangga itulah yang telah menyebabkan isterinya mengalami pendarahan dan dikejarkan ke hospital.
“Harris, semua yang dah berlaku bukan atas kehendak saya. Saya diperangkap. Dan orang yang bertanggungjawab…” belum sempat Syarifah Sofia menghabiskan ayatnya, kata-katanya telah dipotong oleh Umayr Harris.
“Sudahlah, Sofia. Tak perlu kau nak jelaskan lagi apa yang dah berlaku. Dah tak penting dan dah tiada makna bagi aku. Kau adalah sejarah yang aku tidak ingin kenang. Sekarang, aku cuma hendak tahu apa yang kau dah buat pada isteri aku. Kau yang tolak ‘Aisy sehingga dia jatuh tangga kan?” jerkah Umayr Harris membuatkan Syarifah Sofia terkedu sehingga bahunya sedikit terangkat.
“Harris! Kenapa Harris tuduh Sofia begitu?” sampuk Puan Sri Nora masih mempertahankan Syarifah Sofia. Terbit rasa belas di hati melihat Syarifah Sofia yang sedang gugup menahan ketar.
“Mama, please. Mama tolong jangan masuk campur. Betulkan, Sofia?” ketegasan Umayr Harris membuatkan Puan Sri Nora terdiam.
“Tak, Harris. Saya..saya tak buat” nafi Syarifah Sofia gugup. Kencang debaran di dadanya. Tebakan Umayr Harris ternyata benar belaka. Nampaknya dia sudah silap percaturan. Sangkanya dengan mengada-adakan cerita, dia mampu memporak-perandakan kepercayaan Umayr Harris terhadap Rahadatul ‘Aisy.
“Kau masih tak nak mengaku? Atau kau nak aku bawa saksi?” ugut Umayr Harris semakin menggoyahkan keyakinan Syarifah Sofia. Wajah gadis itu berubah pucat. Memikirkan kemungkinan perlakuannya pada Rahadatul ‘Aisy tempoh hari disaksikan oleh orang lain, hatinya semakin tidak keruan.
“Tak, Harris. Saya berani bersumpah, saya tak buat” Syarifah Sofia masih mempertahankan dirinya. Walau macam mana sekalipun dia perlu bertahan dan meneruskan lakonannya. Tidak mungkin dia akan mengakui kesilapannya. Kerana pengakuan hanya membuatkan dirinya akan kehilangan kepercayaan Puan Sri Nora dan sekali gus peluangnya untuk mendapatkan Umayr Harris semakin tertutup.
“Jangan bermain dengan sumpah, Sofia. Aku takut nanti kau yang dimakan sumpah” dingin suara Umayr Harris mengingatkan. Dadanya berombak menahan rasa marah yang semakin membuak. Syarifah Sofia yang sedang menikus di sisi Puan Sri Nora dijelingnya sekilas. Begitu kecil sekali Syarifah Sofia kini pada pandangannya.
“Kenapa dengan Harris ini? Sampaikan Sofia sanggup bersumpah pun Harris masih tak percaya? Mama rasa Harris dah kena guna-guna dengan perempuan ini. Cuba Harris tanya isteri Harris tu. Berani ke dia bersumpah?” lantang Puan Sri Nora melemparkan tuduhan kepada Rahadatul ‘Aisy. Tersayat pedih hatinya bagaikan ditusuk belati tajam. Memang benar ibu mertuanya telah dibutakan hati dan perasaan. Dirinya hanyalah kebencian buat Puan Sri Nora.
“Tak perlu, mama. Harris kenal isteri Harris dan Harris percayakan dia” kenyataan yang meniti di bibir Umayr Harris benar-benar membuatkan Rahadatul ‘Aisy terharu. Tubir matanya basah digenangi air mata. Sampai begitu sekali Umayr Harris sanggup mempertahankannya. Apatah lagi di kala ibu mertuanya sendiri lebih percayakan Syarifah Sofia.
“Harris! Sanggup…”
“Tak apalah, aunty. Sofia faham kalau Harris tak nak percayakan Sofia. Aunty tak perlulah bela Sofia. Sofia tak nak disebabkan Sofia, aunty dan Harris bertekak anak beranak. Sofia rasa lebih baik Sofia balik. Maafkan Sofia, aunty” sengaja Syarifah Sofia memotong kata-kata Puan Sri Nora. Dia ingin segera melepaskan diri daripada berterusan diasak oleh Umay Harris. Dia bimbang semakin lama dia berada di situ, semakin hambar lakonannya.
“Baguslah kalau kau dah sedar diri Sofia. Jangan sesuka hati kau hendak jejakkan kaki ke rumah aku dan mengganggu isteri aku lagi” peringatan yang dilemparkan oleh Umayr Harris membuatkan Syarifah Sofia terkedu. Di dalam hati, dia menyimpan azam. Tidak sekali-kali dia akan berhenti berusaha untuk mendapatkan Umayr Harris. Walaupun kebencian lelaki itu setinggi gunung, dia akan tarah perlahan-lahan. Nampaknya dia perlu merangka perancangan yang lebih kemas dan berhati-hati. Kau tunggu dan lihat sahajalah, Harris. Aku pasti akan buat kau melutut di kaki aku! Bisik Syarifah Sofia angkuh di dalam hati.
“Mama tak sangka Harris sanggup buat mama macam ini. Sanggup Harris malukan mama depan isteri kamu sendiri” tingkah Puan Sri Nora kegeraman.
“Jom kita balik, Sofia” Ajak Puan Sri Nora sambil menarik tangan Syarifah Sofia ke arah pintu utama. Dengan wajah yang kelat dia melangkah kasar menuju ke pintu kereta. Tanpa berpaling, dia meloloskan diri ke dalam kereta. Sengaja dihempaskan pintu kereta dengan kuat tanda protes.
Sebaik kereta BMW putih yang dipandu Syarifah Sofia hilang dari pandangan mata, Umayr Harris menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia memang sedia maklum dengan sikap Puan Sri Nora yang mudah naik angin itu. Ibunya itu ibarat seperti sarang tebuan, pantang dijolok. Tetapi dia tahu marah ibunya itu tidak akan lama.
Rahadatul ‘Aisy merenung belakang Umayr Harris dengan riak serba salah. Kerana dirinya hubungan Umayr Harris dan Puan Sri Nora menjadi tegang. Memang perlakuan Puan Sri Nora menjengkelkan hatinya tetapi walau seburuk mana pun wanita itu, dia tetap ibu kandung Umayr Harris dan ibu mertuanya.
“Ma..maafkan ‘Aisy, abang” suaranya sedikit gugup. Umayr Harris memusingkan badannya dan merenung tajam ke arah isterinya. Di antara dia dan Rahadatul ‘Aisy masih ada perhitungan yang belum selesai.
“Kenapa ‘Aisy sembunyikan pada abang fasal Sofia pernah ke rumah ‘Aisy dan menolak ‘Aisy jatuh tangga?” soal Umayr Harris menuntut sebuah penjelasan. Jika tidak kerana perbualan yang sempat didengarinya tadi, sampai sudah dia tidak akan mengetahui perbuatan khianat Syarifah Sofia terhadap Rahadatul ‘Aisy. Mujurlah dia mengambil keputusan untuk berpatah balik. Hatinya dihambat rasa bersalah kerana membuatkan isterinya merajuk hati. Sementelah perjumpaan penting yang telah dijadualkan pada awal pagi ditunda ke sebelah petang. Jadi, dia ingin mengambil kesempatan itu untuk memujuk rajuk si isteri.
“’Aisy tak nak mengeruhkan lagi keadaan” jawab Rahadatul ‘Aisy perlahan. Ya! Memang itulah niatnya. Hubungan mereka bertiga terlalu rumit. Syarifah Sofia bukan hanya sekadar bekas tunangan Umayr Harris. Tetapi di antara keluarga Syarifah Sofia dan keluarga Umayr Harris terjalin ikatan persaudaraan. Dan kerana hubungan persaudaraan itulah membuatkan dia lebih rela mendiamkan diri kejadian yang menimpanya. Terlalu banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga. Lagipun dia bukanlah seorang perempuan yang suka mengadu domba demi mendapatkan simpati orang.
“Tapi kerana sikap berahsia ‘Aisy inilah yang hampir memerangkap diri ‘Aisy sendiri. Mujur abang sempat balik. Jika tidak, entah apa yang mama dan Sofia akan buat pada ‘Aisy” tukas Umayr Harris sambil mengeluh lemah. Dia menyandarkan tubuhnya di atas sofa. Mujurlah dia muncul tepat pada waktunya. Jika tidak pasti berbirat kulit putih Rahadatul ‘Aisy dengan tamparan ibunya.
“Terima kasih kerana percayakan ‘Aisy dan lindungi ‘Aisy” ucap Rahadatul ‘Aisy terharu membuatkan Umayr Harris tersenyum nipis. Sejuk hatinya tatkala mendengarkan kata-kata penghargaan yang meniti di bibir isterinya.
“Abang akan terima kasih sayang tu, tapi dengan dua syarat” ujar Umayr Harris seraya mengangkat kedua-dua belah kening lebatnya. Tiba-tiba riak wajah lelaki itu berubah nakal. Tangannya dihulurkan ke arah Rahadatul ‘Aisy menggamit isterinya untuk melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Syarat?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan kerutan di dahi. Namun, dia tetap menyambut huluran tangan Umayr Harris dan melabuhkan duduk di sisi suaminya.
“Yup. Syarat yang pertama, ‘Aisy kena maafkan abang” permintaan Umayr Harris semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy pelik.
“Maaf? Kenapa?” Tunak matanya memerhatikan Umayr Harris.
“Fasal kata-kata abang pagi tadi. Abang tak sepatutnya cakap macam tu. I’m not supposed to get mad at you just because of sup ikan haruan. Maafkan abang, sayang” Wajah Umayr Harris berubah muram. Kedua-dua belah tangan Rahadatul ‘Aisy dicapai dan digenggamnya erat. Kesal dengan kegagalannya mengawal baran. Rasa marah yang menguasai diri kadang-kadang membuatkannya dirinya mudah menuturkan kata-kata yang bisa melukakan hati isterinya.
Tatkala mendengarkan pengakuan Umayr Harris, Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Sebenarnya dia benar-benar sudah terlupa. Sepatutnya dia sedang melancarkan perang dingin dengan Umayr Harris. Memang dia sedikit berkecil hati tadi. Tetapi entah kenapa kata-kata pedih yang dituturkan Umayr Harris pagi tadi sudah tidak berbekas di hatinya. Lagipun, salahnya juga kerana berdegil dengan Umayr Harris. Dia bukannya tidak tahu perangai suaminya itu. Pantang jika arahannya diingkari.
“Kalau ‘Aisy tak nak maafkan?” sengaja dia bertanya dengan lagak wajah yang serius.
“Mana boleh, sayang. Itu kan salah satu daripada syarat yang sayang wajib penuhi” balas Umayr Haris selamba. Dia dapat mengesan senyum nipis yang tersungging di bibir Rahadatul ‘Aisy.
“Mana ada orang minta maaf cara paksa macam ni” nada suara Rahadatul ‘Aisy kedengaran manja di telinga Umayr Harris. Umayr Harris mengukirkan senyuman lebar. Lega rajuk isterinya tidak lama kali ini.
“Yang abang tersengih sampai ke telinga ni kenapa? ‘Aisy tak cakap pun yang ‘Aisy dah maafkan abang” usik Rahadatul ‘Aisy mendera perasaan Umayr Harris. Namun, dia turut membalas senyuman suaminya.
I know you have forgiven me. I know that. Thanks, sayang” ucap Umayr Harris dengan yakin. Lantas dia menghadiahkan ciuman di pipi Rahadatul ‘Aisy. Perlakuan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Wajah itu berubah merah.
“Tapi, tolonglah jangan cakap macam tu lagi pada ‘Aisy. Kata-kata abang tadi buat ‘Aisy rasa abang tak benar-benar ikhlas menjaga ‘Aisy. Kalau kehadiran ‘Aisy menyusahkan abang, ‘Aisy boleh pindah balik ke rumah sewa” luah Rahadatul ‘Aisy membuatkan riak Umayr Harris berubah.
No! Abang tak akan izinkan. Ini adalah rumah ‘Aisy, rumah kita. Susah senang biar kita berdua harungi bersama. Abang tak mahu hidup berjauhan dengan sayang lagi. It was so painful.” Nada suara Umayr Harris berubah serak. Tubuhnya dipalingkan ke arah Rahadatul ‘Aisy. Jelas terbias kegusaran di wajahnya
“Abang benar-benar menyesal dengan kata-kata abang tadi. I never meant it, sayang! Abang sebenarnya risau hendak tinggalkan sayang. And at the same time, I have to go to office. Ada masalah besar. All these things make me tense. I’m so sorry, sayang. I’m sorry because I’m losing control again” terang Umayr Harris dengan penyesalan. Rahadatul ‘Aisy merenung wajah suaminya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu Umayr Harris sedang belajar untuk mengawal sikap panas baran nya. Untuk itu, dia perlu sentiasa menyokong dan memberi peluang kepada Umayr Harris. Itulah yang diikrarkan dalam dirinya tatkala dia mengambil keputusan untuk menerima Umayr Harris kembali dalam hidupnya.
It’s okay, abang. ‘Aisy sentiasa maafkan abang” balas Rahadatul ‘Aisy sambil mengusap-usap belakang tangan Umayr Harris.
Thanks, sayang” kedua-dua tangan Rahadatul ‘Aisy dibawa ke mulutnya dan dikucup lembut.
“Okay, syarat pertama dah lepas. So, apa syarat yang kedua?” soal Rahadatul ‘Aisy.
“Syarat yang kedua, abang nak tahu dari A sampai Z apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa Sofia datang ke rumah sayang?” beritahu Umayr Harris.
Rahadatul ‘Aisy bungkam dengan syarat kedua yang dikenakan oleh suaminya itu. Tiba-tiba lidahnya menjadi kelu. Apakah bentuk jawapan yang harus diberikan kepada Umayr Harris. Hatinya dihimpit rasa sangsi sehingga jelas terpancar riak keraguan di wajahnya.
“Sayang, abang tak nak ada rahsia di antara kita berdua” beritahu Umayr Harris lembut apabila mulut isterinya seakan terkunci. Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah.
 “Perkara dah berlaku. Rasanya tak perlulah diungkit lagi” tolak Rahadatul ‘Aisy akhirnya.
 “I know. Tapi sebagai suami, abang ada hak untuk tahu.” Desakan Umayr Harris sekali lagi mengundang keluhan di bibir Rahadatul ‘Aisy. Perlu kah dia menceritakan segala-galanya? Di sebalik serangan Syarifah Sofia, ada perkara lain yang cuba disembunyikan. Jauh di sudut hati dia bimbang jika perkara itu bakal mengundang kemarahan Umayr Harris yang tidak bertepi. Dia tahu apabila Umayr Harris marah, lelaki itu mampu melakukan apa saja termasuklah menggunakan pengaruhnya untuk membalas dendam!

6 comments:

  1. alah!! bagitahu aje kat suami awak aisy!!!

    ReplyDelete
  2. cik writer yg chantek, please... biar aisy cerita hal yg sbenar. msalah komunikasi ni bleh buat msalah ok... cik writer, xmau kejam2 ok. xadil la, apasal sofia tu xkena apa2. apsal haris xlayng penyepak dkt sofia tu. geram la. stakat tengking tu apa la sangat

    ReplyDelete
  3. uishh..nak hadiahkan penyepak? itu kena tunggu klimaks dia..hehehehe... sofia baru nak tunjuk taring sikit2 tu..hehehehe...

    ReplyDelete
  4. Puan Sri Nora ni nak menantu yang macam mana lagilah... Aisy tu dah sebaik2 menantu dah untuknya...
    Si sofia ni pun belagak jea..
    terima kasih harris kerana sangat mempercayai aisy... kecian kat aisy..
    cepatlah sambung writter..
    sorrylah emosi sikit malam ni...

    ReplyDelete
  5. cik writer...biar aisy tu crite smua kat harris..biar terbongkar semua..saya rase sofia tu yg fitnah aisy sampai harris halau die dulu..cik writer jgnla buat sofia tu buli aisy lg.buat harris plak buli si sofia tu..biar padan ngan muka die..huhuhuhu

    ReplyDelete
  6. biar aisy citer perkara sebenar kat harris..geram betul dgn sofea dan puan sri nora tu...

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..