Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday, 6 February 2012

Titian Cinta: Bab 22

“Kenapa lama sangat hendak buka pintu?!” tanpa sempat dipelawa oleh Rahadatul ‘Aisy, Puan Sri Nora terus melangkah ke dalam rumah sebaik sahaja pintu utama dibuka. Tiada langsung segaris senyuman di wajah itu. Pandangan matanya melilau ke sekeliling ruang tamu. Lagaknya seperti sedang melakukan pemeriksaan mengejut. Syarifah Sofia yang berada di belakang Puan Sri Nora sempat melemparkan senyuman sinis kepadanya.
“’Aisy minta maaf, mama” ucap Rahadatul ‘Aisy dengan nada suara yang serba salah. Bukan niatnya untuk membiarkan ibu mertuanya menunggu lama di luar pagar. Sebenarnya dia kaget dengan kemunculan tiba-tiba kedua-dua orang wanita itu. Hatinya seakan-akan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Bukannya dia hendak berburuk sangka, tetapi apa yang telah berlaku selama ini membuatkan dia perlu lebih berhati-hati dan berwaspada.
“Kamu ini sengaja nak biarkan kami berpanas dekat luar tu, kan? Lebih sepuluh minit kami tercegat macam peminta sedekah. Tangan ini dah naik kematu duduk menekan loceng. Menantu jenis apa kamu ini, ‘Aisy. Dari dulu sampai sekarang, tak pernah pandai hendak menghormati orang tua” serang Puan Sri Nora dengan nada suara yang dikeraskan, membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpisat-pisat. Sebuah jelingan tajam diberikan kepada Rahadatul ‘Aisy. Sekali lagi tanpa diundang, dia dan Syarifah Sofia melabuhkan duduk di atas sofa.
Itulah Puan Sri Nora, ibu mertuanya. Wanita berkarisma, elegan dan sentiasa mementingkan status diri yang disandangnya. Ternyata tempoh empat tahun langsung tidak dapat merubah persepsi buruk dan layanan dingin Puan Sri Nora terhadapnya.
Tidak salah tanggapannya tempoh hari sewaktu dia menerima kunjungan Hajah Mariah. Puan Sri Nora berpura-pura baik dengannya hanya di hadapan ibu mertuanya. Di belakang Hajah Mariah, dia tidak akan teragak-agak menunjukkan penerimaan sebenarnya terhadap Rahadatul ‘Aisy. Sehingga kini dia masih tidak dapat menerima hakikat yang menantunya hanyalah seorang gadis kampung. Kerana Rahadatul ‘Aisy lah impiannya untuk bermenantukan Syarifah Sofia musnah.
“Nama saja belajar tinggi sampai ke luar negara tetapi perangai serupa orang tak sekolah” tempelak Puan Sri Nora lagi membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Ringan mulutnya hendak menjawab kata-kata ibu mertuanya itu. Tetapi mengenangkan wanita di depannya itu seorang manusia yang berpangkat ibu, disabarkan hatinya yang mula membahang. Rasa hormat nya masih bersisa.
“Tak apalah, aunty. Mungkin ‘Aisy sedang tidur sebab itu dia tak dengar bunyi loceng tadi. Salah kita juga, datang rumah orang pagi-pagi ni” lembut sekali bicara Syarifah Sofia cuba menenangkan Puan Sri Nora. Lagak Syarifah Sofia itu mengundang cebikan di wajah Rahadatul ‘Aisy. Dia tahu segala-gala yang dituturkan oleh gadis itu hanyalah pura-pura. Memang padanlah mereka berdua ini boleh ngam bersama. Dua-dua layak menerima gelaran ratu hipokrit! Sinis Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.
“Hah, elok sangatlah tu. Dah bertahun-tahun jadi isteri pun masih hendak membuta sampai matahari dah meninggi. Suami bertungkus lumus mencari rezeki di pejabat, isteri pula bersenang lenang buat tahi mata di rumah. Itulah, kalau ada anak kan bagus. Tak adalah kamu jadi pemalas macam ni” leter Puan Sri Nora membuatkan Rahadatul ‘Aisy beristighfar di dalam hati. Semakin dibiarkan, semakin menjadi-jadi pula tuduhan Puan Sri Nora. Jika boleh, setiap inci kesalahannya walau sebesar zarah sekalipun ingin diungkit nya.
“Tak adalah, mama. Sebenarnya tadi, ‘Aisy di dapur. Mama dah makan? ‘Aisy ada masakkan nasi goreng. Jomlah sarapan sekali” ujar Rahadatul ‘Aisy akhirnya berhelah. Hanya alasan itu yang mampu difikirkannya untuk membetulkan tuduhan ibu mertuanya yang semakin berbisa itu. Memang perit sindiran pedas yang meniti di bibir Puan Sri Nora, namun dia harus menelannya dengan sabar. Selagi dia mampu bertahan, dia akan cuba. Walaupun dia tahu kesabarannya tidaklah setinggi mana, terutamanya apabila menyentuh tentang isu anak. Mudah sekali hatinya tersentuh dan tercalar.
“Tak payah, kami datang sini bukannya hendak makan” tolak Puan Sri Nora dingin.
“Habis itu, ada apa mama datang sini?” tanya Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang dilembutkan. Bimbang jika persoalannya disalah tafsir pula oleh ibu mertuanya.
Mustahil Puan Sri Nora dan Syarifah Sofia datang semata-mata ingin melawatnya. Setahunya, Umayr Harris tidak pernah mengkhabarkan perihal pembedahannya kepada keluarga mertuanya termasuklah Hajah Mariah. Dia sendiri yang meminta Umayr Harris berbuat demikian kerana tidak mahu masalah kesihatannya mengganggu emosi Hajah Mariah. Apatah lagi dengan hakikat yang dia sudah tidak mampu melahirkan waris buat Umayr Harris, pasti akan membuatkan keluarga mertuanya kecewa. Sekurang-kurangnya biarlah berita itu disimpan sebagai rahsia buat masa sekarang kerana dia juga perlukan masa dan ruang untuk mengumpul kekuatan dalam menerima takdir hidupnya. Suatu hari nanti, lambat laun berita itu akan terbongkar juga. Cuma apa yang diharapkan, andai waktu itu tiba biarlah dirinya sudah cukup tabah untuk menghadapi tamparan hebat itu.
“Mama tak sangka, ya. Dalam lembut-lembut kamu ini, terselindung sikap busuk hati” kata-kata kasar Puan Sri Nora membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak, membawa kembali fikirannya ke alam nyata. Dia cuba mencerna butir bicara yang disampaikan oleh mertuanya namun gagal. Fitnah apa pula yang perlu dihadapinya kali ini.
“Apa maksud mama? ‘Aisy tak faham” dia memandang wajah Puan Sri Nora dengan kerutan di dahi. Sungguh dia tidak mengerti apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh ibu mertuanya itu. Apakah kesilapan yang telah dilakukannya sehingga membuatkan Puan Sri Nora menuduhnya begitu.
“Kamu jangan pura-pura, ‘Aisy. Sofia dah ceritakan semuanya pada mama” bicara Puan Sri Nora membuatkan mata Rahadatul ‘Aisy mencerlung ke arah Syarifah Sofia yang segera menundukkan wajah, lagak seperti orang yang sedang serba-salah. Sengaja dia melarikan anak matanya daripada menjadi mangsa panahan Rahadatul ‘Aisy.
Aunty, tak perlulah ungkit lagi perkara yang dah berlaku. Lagipun Sofia dah tak apa-apa” beritahu Syarifah Sofia dengan mempamerkan wajah yang polos. Namun, Rahadatul ‘Aisy masih dapat mengesan senyuman sumbing di tubir bibir gadis itu seolah-olah mengejeknya.
“Seminggu kamu terlantar di rumah dengan kaki berbalut kamu kata tak apa-apa? Kamu jangan lembut hati sangat, Sofia. Aunty tahu ‘Aisy ni pernah jadi kawan baik kamu. Takkanlah setelah apa yang dia buat pada kamu, kamu masih hendak membela dia” tegas Puan Sri Nora membuatkan Syarifah Sofia menekur wajah ke lantai.
Rahadatul ‘Aisy yang memerhati hanya tersenyum sinis. Dia mula dapat membaca sandiwara yang sedang diarah dan dilakonkan oleh Syarifah Sofia. Memang kelas lakonan kau Sofia. Kerana perasaan ingin memiliki, kau telah berubah sejauh ini. Kau bukan lagi Syarifah Sofia yang pernah menjadi sahabat baik aku suatu ketika dulu.
Baiklah, jika kau ingin sangat bermain dengan api, kita tengok siapa yang akan terbakar nanti. Bisik hati Rahadatul ‘Aisy sambil menggeleng-gelengkan kepalanya terkilan.
“Kali ini apa yang aku dah buat pada kau, Sofia?” jelas suara Rahadatul ‘Aisy bernada sindiran. Dia menantikan buah jawapan daripada mulut Syarifah Sofia namun gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Beritahu saya, mama. Cerita rekaan yang macam mana pula Sofia dah beritahu mama kali ini?” pertanyaan yang sama ditujukan pula kepada Puan Sri Nora, setelah melihat mulut Syarifah Sofia seakan terkunci rapat. Ingin dia melihat sejauh mana permainan yang sedang dipentaskan oleh Syarifah Sofia. Saat itu, dia pasti Syarifah Sofia sengaja mereka-reka sebuah cerita untuk mengenakannya. Dengan bermodalkan wajah lembut dan sopan, pasti bukannya sukar untuk dia membuatkan Puan Sri Nora percaya dengan cerita palsunya.
“Kamu jangan pandai-pandai nak menuduh Sofia pula. Kalau dah bersalah tu, mengaku sajalah. Tak perlu berpura-pura hendak menyindir pula” bela Puan Sri Nora dengan riak wajah yang kelat. Jelas terpancar riak kemenangan di wajah Syarifah Sofia kerana telah berjaya membuatkan Puan Sri Nora berpihak kepadanya.
“’Aisy minta maaf kalau pertanyaan ‘Aisy tadi buat mama terasa. Cuma ‘Aisy tak faham apabila mama dan Sofia tiba-tiba menuduh ‘Aisy dan senang-senang minta ‘Aisy mengaku. Sedangkan ‘Aisy langsung tak tahu hujung pangkal cerita. Seingat ‘Aisy, ‘Aisy tak pernah buat apa-apa pun pada Sofia” balas Rahadatul ‘Aisy mempertahankan diri dengan suara yang tertahan-tahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal oktaf suaranya.
“Nampaknya, singkat sangat ingatan kamu ni ya ‘Aisy. Kalau kamu lupa biar mama ingatkan kamu. Dua minggu lepas, Sofia ada datang menjenguk kamu di rumah sewa kan?” pandangan mata Puan Sri Nora tepat merenungnya. Dengan berani Rahadatul ‘Aisy membalas pandangan itu. Dia tidak salah dan kerana itu dia berani mempertahankan kebenarannya.
“Ya, memang benar Sofia ada datang ke rumah ‘Aisy. Tetapi ‘Aisy tidak tahulah apa tujuan kedatangan dia sebenarnya. Sama ada atas dasar hendak menziarah kawan lama atau sekadar hendak mencarik luka di parut lama” jawab Rahadatul ‘Aisy dengan nada perli. Memang sengaja dia menunjukkan kesinisan dalam setiap tutur katanya. Dia perasan wajah yakin Syarifah Sofia sedikit berubah riak.
‘’Aisy! Sampai hati kau cakap aku macam tu. Aku memang ikhlas datang hendak melawat kau. Lagipun kita dah lama sangat tak berjumpa. Niat aku cuma hendak menyambung kembali persahabatan kita yang terputus” sebak suara Syarifah Sofia menuturkan bicaranya. Sesiapa yang tidak pernah mendengar kelembutan bicaranya pasti akan mudah terpedaya. Tetapi tidak bagi Rahadatul ‘Aisy. Cukuplah sekali dia tertipu dengan sandiwara Syarifah Sofia. Jadi, dia tidak akan membiarkan perempuan itu menindas nya sesuka hati. Tidak lagi!
“Ya ke? Apa yang berlaku hari itu langsung tak menggambarkan niat kau yang ikhlas itu, Sofia. Kalau kau benar-benar ikhlas hendak berbaik dengan aku, kau takkan tolak aku sehingga jatuh dari tangga kan? Kalaulah kau tak sengaja sekalipun, kenapa kau tergamak berlalu begitu sahaja dan biarkan aku dalam kesakitan?” hamburan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Syarifah Sofia terpempan. Bibirnya terketar-ketar, sedikit terkejut dengan sikap agresif yang dipamerkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Wanita yang pernah menjadi teman baiknya itu ternyata sudah jauh berubah. Suaranya seakan tidak terkeluar untuk membalas kata Rahadatul ‘Aisy.
Namun, reaksi itu hanya seketika. Syarifah Sofia kembali bijak melakonkan wataknya tatkala dia menyedari perubahan pada wajah Puan Sri Nora yang seakan menagih sebuah penjelasan darinya.
“Sanggup kau letakkan kesalahan kau sendiri pada aku, ‘Aisy. Aku tahu kau tak sengaja tertolak aku. Aku tidak pernah salahkan kau walaupun seminggu aku terpaksa terlantar di atas katil. Kau tahu betapa aku sayangkan persahabatan kita ini. Jika ini harga yang perlu aku bayar untuk kembalikan persahabatan kita, aku tidak kisah. Tapi aku sedih bila kau menuduh aku yang menolak kau, sedangkan kau yang sebenarnya tertolak aku sehingga aku jatuh menggelongsor sampai ke hujung tangga” bohong Syarifah Sofia dalam esakan. Pipinya sudah basah digenangi air mata palsu. Ternyata drama air mata yang ditayangkan nya berjaya mengundang simpati Puan Sri Nora. Kebenciannya terhadap Rahadatul ‘Aisy semakin meluap-luap.
“Kamu jangan memutarbelitkan fakta, ‘Aisy. Pandai kamu menuduh Sofia yang menolak kamu sedangkan hakikat sebenarnya kamu yang sengaja menolak dia kan? Mama hendak kamu minta maaf dengan Sofia sekarang” sokongan Puan Sri Nora membuatkan Rahadatul ‘Aisy mendengus. Bulat matanya memandang wajah Puan Sri Nora dan Syarifah Sofia silih berganti. Jika diikutkan rasa hati, ingin sahaja dia membentak keras dengan tuduhan dan permintaan tidak masuk akal Puan Sri Nora. Dia tidak akan sekali-kali memohon maaf pada sebuah kesilapan yang tidak pernah dilakukannya.
Namun, dia perlu bertenang. Dia harus bijak menangani tohmahan yang sengaja diada-adakan oleh Syarifah Sofia. Dia tahu tujuan gadis itu hanyalah untuk meraih simpati dan perhatian daripada Puan Sri Nora.
“Mama, mama. Semudah itu mama percayakan Sofia ni? Apa yang membuatkan mama terlalu yakin ‘Aisy yang menolak Sofia sedangkan mama tak ada pun masa kejadian tu kan? Dia ada bukti ke?” soal Rahadatul ‘Aisy bertalu-talu dengan tertawa sinis. Entah kenapa tangkai hatinya digeletek dengan rasa lucu. Lucu dengan sikap manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi. Syarifah Sofia memang seorang yang oportunis. Bijak memanipulasikan keadaaan dan mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.
“Tak perlu ‘Aisy persoalkan kepercayaan mama pada Sofia. Mama kenal Sofia ini macam mana. Dia daripada keturunan yang baik-baik. Mustahil dia sengaja mereka-reka cerita. Kalau kamu, mama tak tahulah. Anak nelayan yang entah dari mana-mana asalnya” balas Puan Sri Nora dengan begitu yakin.
Terhenyak hati Rahadatul ‘Aisy mendengar kata-kata hinaan yang meniti di mulut ibu mertuanya. Hatinya sudah tidak mampu disabarkan terutama apabila melibatkan nama mak dan ayahnya sendiri. Itu bukan kali pertama dia menerima penghinaan sebegitu daripada Puan Sri Nora. Sejak dari awal pernikahannya dengan Umayr Harris lagi dia terpaksa menebalkan telinga dan mengebalkan hatinya dengan sindiran pedas. Jika dulu dia mampu bertahan demi cintanya pada Umayr Harris tetapi tidak kini.
“Dan saya juga telah cukup lama kenal siapa Syarifah Sofia ini. Hampir lima belas tahun, mama. Dia pernah menjadi kawan baik yang sangat saya percayai. Kawan yang berkongsi suka duka bersama. Tetapi akhirnya dia berubah menjadi kawan yang sanggup menikam saya dari belakang. Hanya semata-mata untuk memenuhi kehendaknya” luah Rahadatul ‘Aisy tanpa berselindung.
Rasa terkilan yang dipendamkan selama ini membuatkan dia melepaskan perasaan. Setitis air matanya gugur. Namun, cepat-cepat dia menyeka mutiara jernih itu. Tidak pernah sekali-kali dia melupakan pengkhianatan Syarifah Sofia terhadapnya dan Umayr Harris. Sebuah pengkhianatan yang telah membuka matanya untuk mengenali siapa sebenarnya Syarifah Sofia. Sakit hatinya masih terasa sehingga kini.
“Apa yang kau merepek ini, ‘Aisy? Kau tuduh aku mengkhianati persahabatan kita? How could you, ‘Aisy. I’m so disappointed with you!” Kata-kata Rahadatul ‘Aisy mengundang esakan yang lebih kuat daripada Syarifah Sofia. Lantas Puan Sri Nora menghampiri Syarifah Sofia dan menenangkan gadis itu di dalam pelukannya.
“Dan aku juga telah lama kecewa dengan kau, Sofia. Selama ini aku cuba bersabar dengan setiap perbuatan kau kerana mengenangkan secebis kenangan yang tinggal buat persahabatan kita. Jadi, sebelum mulut aku ini mengungkit setiap perbuatan keji kau, lebih baik kau balik. Sementara sisa kesabaran aku ini masih ada” balas Rahadatul ‘Aisy tanpa perasaan. Sengaja dipamerkan wajah tanpa reaksi, tidak mahu menjadikan dirinya lemah dengan permainan Syarifah Sofia. Namun, jauh di sudut hatinya dia tidak mampu lari daripada rasa terkilan terhadap apa yang telah berlaku.
“Kita balik, aunty. Sofia dah tak tahan hendak dengar segala tuduhan ini semua” ajak Syarifah Sofia masih dalam esak tangisnya. Sekali lagi Rahadatul ‘Aisy tersenyum sinis. Dia tahu Syarifah Sofia sudah mula mengaku kalah dengan permainan yang dimulakannya sendiri. Tidak mungkin Syarifah Sofia sanggup membenarkannya menghitung setiap kesilapan yang pernah dilakukannya terutamanya di hadapan Puan Sri Sofia.
“Kau halau kami, ‘Aisy? Perempuan kurang ajar!” jerit Puan Sri Nora sambil mengangkat tangannya tinggi, bersedia untuk menghadiahkan sebuah tamparan buat Rahadatul ‘Aisy.
“Mama!” kemunculan Umayr Harris di muka pintu benar-benar membuatkan Puan Sri Nora terkesima. Tangannya yang sedang terawang di udara terhenti dan akhirnya dijatuhkan.
Tajam anak mata Umayr Harris memerhatikan satu persatu wajah yang berada di ruang tamu. Sorotan matanya semakin cerlung apabila singgah di seraut wajah milik Rahadatul ‘Aisy yang sedang mempamerkan wajah tanpa reaksi. Kosong!

6 comments:

  1. Napelah jahat sangat mak mertua rahadatul 'aisy ni....???
    Menantu yg bergitu baik pun tak bersyukur lagi... Apelah kesempurnaan seorg menantu yang dipandang oleh mak mertua 'Aisy ni..issh...
    sorry emosi sikit!
    Cepat sambung cerita ni ya...
    makin emosi ni...

    ReplyDelete
  2. ahh benci benci benci.... xsuka la stress2 mcm ni... ni semua harris yg punya pasal, dah la aisy trseksa jiwa lara, mslah xleh hamil pulak, then ngan family harris plak, cmpur dgn minah miang tu lgi... sya yg bca pn stress, lgikn pula aisy. cik writer yg baik hati, cepat la smbg, please

    ReplyDelete
  3. bgus aisy..lawan mereka semua tu..chayyok2!!

    ReplyDelete
  4. bagus aisy...jgn biar depa duk pijak kepala awak lagi...hope haris akan sokong is3 die lak dis time ye..

    ReplyDelete
  5. hope haris dgr time aisy ckp sofia yg tolak dia.
    jgn la haris marah aisy.
    biar bhgia je diorg ni.
    xmo dh sedih2.

    ReplyDelete
  6. nasib baik aisy pertahankan diri dia..jgn harris marahkan dia sudah lah..

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..