Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 5 February 2012

Titian Cinta: Bab 21

Begitu asyik sekali Rahadatul ‘Aisy mengacau nasi goreng di dalam kuali sehingga langsung dia tidak menyedari sepasang mata milik Umayr Harris yang sedang tunak memerhatikannya. Aroma nasi goreng kampung yang memenuhi setiap ruang benar-benar membuatkan air liurnya kecur. Sejak semalam lagi tekaknya begitu teringin hendak menjamah nasi goreng kampung, resepi turun temurun yang dipelajari daripada emaknya. Masakan tidak, setelah hampir dua minggu dia terpaksa berpantang akibat luka pembedahan yang dialaminya. Selama itu jugalah, dia terpaksa mengikat perut dengan menu nasi putih dan sup ikan haruan. Dia terpaksa akur kerana Umayr Harris benar-benar mengawal ketat pemakanannya. Tetapi, pagi itu dia sudah tidak dapat menahan dirinya dengan menu yang disediakan oleh Umayr Harris.

“Sayang, kenapa masak sarapan ni?” tegur Umayr Harris setelah beberapa minit berdiri sambil berpeluk tubuh di belakang Rahadatul ‘Aisy. Suara serak Umayr Harris sedikit menyentakkan Rahadatul ‘Aisy. Dijelingnya sekilas ke arah Umayr Harris yang segak berkemeja dan bertali leher. Daripada raut wajah lelaki itu, jelas terpancar riak kerisauan.

“Selamat pagi, abang” dengan wajah yang dimaniskan, Rahadatul ‘Aisy menyapa Umayr Harris. Sengaja dia tidak mengendahkan pandangan suaminya yang sedang menantikan sebuah penjelasan. Sebaliknya, dia menghadiahkan Umayr Harris dengan sebuah senyuman. Dia tahu Umayr Harris tidak bersetuju dengan apa yang sedang dilakukannya. Awal-awal lagi lelaki itu menegah nya daripada melakukan kerja-kerja rumah termasuklah memasak.

“Sayang kan masih belum sihat lagi. Mana boleh buat kerja-kerja berat ni” omel Umayr Harris tanpa membalas sapaan Rahadatul ‘Aisy. Tajam pandangan matanya merenung Rahadatul ‘Aisy yang masih tidak lekang dengan senyuman di bibir. Walaupun, dia merasakan senyuman Rahadatul ‘Aisy sedikit luar biasa manisnya pada pagi itu tetapi dia tahu isterinya sengaja menggunakan senyuman itu untuk menyejukkan hatinya. Padanlah, usai solat subuh lagi kelibat Rahadatul ‘Aisy sudah menghilang dari bilik tidur. Rupa-rupanya isterinya sedang berperang di dapur, menyediakan sarapan.

“’Aisy dah sihatlah, abang. Setakat masak nasi goreng ni bukannya susah. Lagipun hari ini last day ‘Aisy MC. Besok ‘Aisy dah masuk kerja pun, maknanya ‘Aisy dah okay” jawab Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang sedikit manja, ingin mengambil hati suaminya. Pada masa yang sama, tangannya ligat menyenduk nasi goreng yang sedang berasap ke dalam mangkuk untuk dihidangkan.

“Sayang masuk kerja besok. Hari ini sayang masih cuti sakit lagikan. Orang yang diberi cuti sakit, kenalah berehat. Bukannya sibukkan diri dengan kerja rumah” tegas Umayr Harris masih tidak berpuas hati. Dalam ketegasannya itu, masih sempat dia mengambil mangkuk yang berisi nasi goreng di tangan Rahadatul ‘Aisy untuk diletakkan di atas meja makan. Perlakuan Umayr Harris benar-benar membuatkan Rahadatul ‘Aisy bersenang hati.

“Doktor kan suruh ‘Aisy banyak bergerak. Sekurang-kurangnya dengan memasak ni, bolehlah ‘Aisy aktifkan diri” alasan yang diberikan oleh Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris bungkam. Selama lebih seminggu sepanjang dia bercuti sakit di rumah Umayr Harris, pelbagai pantang larang yang telah tetapkan oleh suaminya itu. Apa yang boleh dimakan, apa yang tidak boleh dibuat, semuanya telah disenaraikan oleh Umayr Harris dengan rapi. Memang dirinya tidak betah untuk mengikuti segala-galanya, namun apabila mengenangkan kesungguhan Umayr Harris, dia sabarkan dirinya untuk menuruti.

“Ada saja yang hendak dijawabnya. Memasak satu hal. Masak nasi goreng pula tu. Sayang mana boleh makan makanan berminyak ni. Dahlah dalam nasi ini sayang letak telur. Sayang kan alah pada protein telur. Nanti luka yang baru hendak baik tu, bernanah pula” kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy mendengus perlahan. Kadang-kadang dia rasakan Umayr Harris terlalu cerewet dalam menjaga kesihatannya. Kebimbangan yang langsung tidak bertempat dan munasabah. Sedangkan sudah hampir dua minggu dia menjalani pembedahan. Luka pembedahan pun sudah sepenuhnya baik.

“Abang ini risau sangatlah. Luka di perut ‘Aisy ini dah pulih 100%. Kesan parut pun dah makin kurang. Lagipun, ‘Aisy dah bosan hari-hari kena telan nasi dan sup ikan haruan” pujuk Rahadatul ‘Aisy sambil meletakkan sesenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Di dalam hati dia sudah tidak sabar mahu menjamah nasi goreng kampung yang diidam-idamkan nya. Menu nasi putih kosong dan sup ikan haruan benar-benar telah membuatkan dia muak. Bayangkanlah dalam tempoh seminggu, hanya itulah makanan ruji yang terpaksa dijamahnya. Jika tidak pasti panjang bebelan Umayr Harris yang terpaksa ditadah oleh telinganya.

“Nasi putih dan sup ikan haruan tu kan untuk cepat sembuhkan luka dalaman sayang. Dah, sayang jangan degil. Abang tak nak tanggung risiko dengan benarkan sayang makan nasi goreng ni” tutur Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah. Nasi goreng yang sudah dihidangkan di dalam pinggan hanya dipandang sepi. Wajahnya menjadi kelat apabila melihat Umayr Harris sedang menjinjing semangkuk sup ikan haruan kepadanya.

“Ini abang dah masak pagi-pagi tadi sup ikan haruan. Nanti, bila sayang dah betul-betul sihat barulah makan nasi goreng ni, ya” Umayr Harris menyambung kata-katanya sambil meletakkan semangkuk sup di hadapan Rahadatul ‘Aisy. Sebelum Subuh lagi dia sudah bangun menyiapkan sup itu. Dia terpaksa menyediakan sarapan pagi lebih awal kerana pada hari itu dia perlu ke pejabat untuk menghadiri mesyuarat tergempar dengan Maju Holdings, pelabur terpenting syarikatnya. Sebelum ini, beberapa perjumpaan dengan syarikat itu terpaksa ditangguhkan kerana dia ingin menumpukan perhatian kepada kesihatan Rahadatul ‘Aisy.

Sudah hampir seminggu dia mengambil cuti semata-mata untuk menjaga Rahadatul ‘Aisy. Hatinya tidak betah membiarkan isterinya keseorangan di rumah. Kebetulan pula, Mak Timah pembantu rumah separuh masanya sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak perempuannya. Jika tidak, boleh juga dia mengharapkan wanita itu menjaga Rahadatul ‘Aisy. Sejak itu, rutin hariannya berubah 360 darjah. Setiap hari, dia mengambil tugas menyediakan sarapan. Mujurlah dia masih tidak lupa dengan kemahiran memasak yang diasah nya sewaktu belajar di luar negara.

“Tapi tekak ‘Aisy ni dah tak boleh nak jamah sup ikan haruan ni lagi dah” ujar Rahadatul ‘Aisy dengan muka yang cemberut. Mangkuk sup yang terhidang di depannya ditolak ke tengah sedikit. Bau sup ikan haruan yang agak hanyir memualkannya. Tanpa sedar, perlakuan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris berkecil hati. Dirasakan seperti isterinya langsung tidak menghargai segala penat lelah nya yang telah bersusah payah bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan sup tersebut. Sudahlah otaknya berserabut dengan kerenah yang ditimbulkan oleh Maju Holdings yang mengugut untuk membatalkan kontrak pelaburan mereka. Langsung dia tidak menyangka dek tindakannya yang banyak kali menangguhkan perjumpaan dengan wakil Maju Holdings membuatkan syarikat itu beranggapan yang dia tidak serius dengan kerjasama mereka dalam pelaburan hartanah.

“Sayang ni degil sangat kenapa? Selama ini boleh saja sayang telan sup ini. Kenapa hari ini tiba-tiba keras kepala pula?” suara Umayr Harris sudah ditinggikan satu oktaf membuatkan Rahadatul ‘Aisy menekur wajah, terasa hati dengan pertanyaan Umayr Harris yang agak kasar.

“Bukan niat ‘Aisy berkeras dengan abang. ‘Aisy cuma dah tak larat nak hirup sup ikan haruan yang hanyir ini. ‘Aisy takut nanti..”

“Sekarang sup ini hanyir pula? Ohh, jadi ‘Aisy nak cakap yang ‘Aisy geli nak makan sup ini sebab abang cuci ikan tak bersih? Macam tu?” potong Umayr Harris dengan emosi. Bulat mata Rahadatul ‘Aisy memandang ke arah suaminya. Sama sekali tidak menyangka begitu anggapan suaminya terhadap penolakan nya.

“Bukan. ‘Aisy tak bermaksud begitu. Memang selama ini pun bau sup ikan haruan ini hanyir. Maksud ‘Aisy…”

“Kenapa ‘Aisy tak beritahu abang awal-awal yang ‘Aisy tak sanggup nak telan sup yang abang masak ini? Kalau tak, boleh abang minta tolong dekat nenek saja untuk masakkan. Abang minta maaf. Abang ingatkan abang dah cuci ikan tu bersih-bersih” ujar Umayr Harris dengan suara yang kendur, sekali lagi memotong percakapan Rahadatul ‘Aisy. Entah kenapa pagi itu Umayr Harris begitu mudah tersalah faham dengan kata-katanya.

“Bukan itu maksud ‘Aisy. Sup ikan haruan ini memang baunya hanyir tak kiralah siapa pun yang memasaknya. Dah memang begitu baunya. Lagipun, kalau abang tak cuci bersih dah lama ‘Aisy kena cirit birit” terang Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang sengaja diceriakan. Dia cuba mengukirkan sebuah senyuman buat Umayr Harris mengharapkan rajuk suaminya akan berpujuk.

“Dahlah, ‘Aisy. Kalau ‘Aisy jijik nak telan sup tu, ‘Aisy buangkan saja ke dalam sink. Abang gerak ke pejabat dulu” bentak Umayr Harris benar-benar berjauh hati. Dia mengatur langkah ke ruang tamu. Dengan tergesa-gesa, Rahadatul ‘Aisy mengekori Umayr Harris. Jauh di sudut hati, dia merasa sesal kerana terlalu menurut kehendak tekaknya untuk merasa nasi goreng. Jika dia memaksa dirinya menelan sup ikan haruan itu, pasti pagi mereka hari itu akan dilalui dengan ceria dan usik ketawa.

“Abang, kalau nak ke pejabat pun, makanlah sarapan pagi tu dulu. ‘Aisy masak banyak tu. Tak baik biarkan perut masuk angin” pujuk Rahadatul ‘Aisy. Tangan Umayr Harris dicapai dan digenggam lembut namun ditepis oleh suaminya. Sebaliknya, dia menuju ke pintu utama. Tindakan Umayr Harris membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy berubah.

“Abang dah lewat ini. Abang kena kejar masa yang dah terbuang semata-mata kerana melayan kerenah mengada-ngada ‘Aisy tu” tolak Umayr Harris dingin. Ayat sindiran yang dituturkan oleh Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjerut rasa.

“Kalau macam tu, abang tunggu sekejap ‘Aisy bekalkan nasi goreng tu. Nanti sampai di ofis, abang makanlah” beritahu Rahadatul ‘Aisy cuba tidak mengambil hati.

“Abang cakap tak payah. Abang ada urgent meeting pagi ini. Nanti tak fasal-fasal disebabkan nasi goreng sayang tu, abang hilang kontrak pula” perli Umayr Harris dengan nada suara yang beku, semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy tergores hati.

“Kalau macam tu, tak apalah. ‘Aisy minta maaf sebab sudah susahkan abang. Nanti ‘Aisy minum sup tu. Abang bawa kereta hati-hati, ya” dicapai tangan Umayr Harris lalu diciumnya dengan penuh hormat. Hatinya kembali walang dengan kata-kata pedas yang meniti di bibir Umayr Harris. Hanya kerana keengganannya untuk menjamah sup ikan haruan, Umayr Harris boleh berubah laku sebegitu dingin. Entah ke mana hilangnya janji bahagia yang pernah diikrarkan oleh lelaki ini untuk dikotakan.

“Errr..abang” Umayr Harris mengetap bibir. Dia kehilangan kata. Sekali lagi pagi itu dia gagal mengawal dirinya. Rapuh sekali ketahanan dirinya yang bertindak mengikut hati dan rasa amarah semata-mata. Sepatutnya dia perlu lebih bijak beriak berdasarkan akal fikirannya yang waras.  

“’Aisy masuk dalam dulu” cepat-cepat Rahadatul ‘Aisy menutup pintu utama, walaupun Umayr Harris masih tercegat di luar pintu utama. Dia sudah tidak mampu menahan tubir matanya yang sedang digenangi air jernih. Bimbang jika air mata itu mengalir di depan Umayr Harris.

Tidak lama selepas itu, dia mendengar ngauman enjin kereta Umayr Harris keluar dari perkarangan rumah. Langkahnya diatur lemah ke ruang dapur. Nasi goreng di dalam pinggan yang masih belum terusik kembali diletakkan ke dalam mangkuk. Seleranya yang benar-benar membuak tadi kini terpadam. Nampaknya nasi goreng itu bakal menjadi hidangan tong sampah.

Dia kembali duduk di atas kerusi makan. Perlahan-lahan sup ikan haruan dicapai. Lama dia memandang sup itu, cuba menahan rasa mual. Dia bukannya sengaja mencipta alasan atau berpura-pura mengada dengan Umayr Harris. Memang betul tekaknya sudah tidak mampu menelan. Entah kenapa sukar sekali Umayr Harris memahami keadaannya. Dengan kesan air mata yang masih bersisa, dia cuba menghirup sup itu. Sedaya upaya dia memaksa dirinya menelan sup itu walaupun dirasakan tekaknya menolak. Setelah beberapa suap, dia tergesa-gesa menuju ke sink. Segala isi yang ditelan kembali dimuntahkan.

Sudahnya, sup itu tidak mampu dihabiskannya. Tubuhnya menjadi lesu akibat keperitan memuntahkan semua isi perutnya. Dia membawa tubuhnya untuk berehat seketika di ruang tamu. Terngiang-ngiang sindiran tajam yang dituturkan Umayr Harris sebentar tadi. Kenapa layanan lelaki itu boleh berubah dalam sekelip mata? 


Sedangkan beberapa hari yang lalu Umayr Harris melayannya dengan cukup romantik. Hubungan mereka cukup indah disulami dengan gelak tawa dan usik mengusik bahagia. Mungkin Umayr Harris sedang tertekan dengan urusan kerjanya. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan oleh suaminya itu. Adat lah dalam rumah tangga ada pasang surutnya. Dia cuba menyedapkan hati.

Dalam keasyikannya melayan fikiran, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi loceng yang bertalu-talu. Pagi-pagi begini siapa pula yang datang bertandang. Apatah lagi ketika Umayr Harris tiada di rumah. Sepanjang dia pindah tinggal bersama Umayr Harris, belum pernah lagi dia menerima sebarang kunjungan daripada sanak saudara mahupun kenalannya. Lagipun, tiada kenalannya yang tahu di mana tempat tinggalnya melainkan Hafeeza dan Sakeena.

Dalam kehairanan, Rahadatul ‘Aisy menjengah ke luar jendela. Dia tergamam sebaik melihat kelibat seorang gadis tinggi lampai yang sedang berdiri di luar pagar rumah. Syarifah Sofea Dato’ Syed Jamal, bekas tunangan Umayr Harris! Calon menantu yang menjadi pilihan kedua orang mertuanya. 


Pertama kali mengenali Syarifah Sofea, dia pernah menyimpan rasa kagum terhadap gadis cantik yang kini bertudung litup itu. Baginya, Syarifah Sofea bukan sahaja cantik malah gadis itu kaya dengan budi bahasa yang tinggi. Personaliti hebat yang dimiliki olehnya sering membuatkan Rahadatul ‘Aisy merasa rendah diri. Syarifah Sofea memiliki segala-galanya yang dia tiada.

Namun, rasa kagumnya kini telah bertukar menjadi ngeri. Di sebalik wajah lembut dan bertudung litup itu, Syarifah Sofea mampu melakukan lebih apa sahaja asalkan hasrat dan impiannya terlaksana. Gadis itu bijak memanipulasikan keadaan. Musibah apakah yang dibawa oleh gadis itu kali ini. Debaran di dadanya kian berkocak.

Assalamualaikum. Anybody home?” berkali-kali salam yang dihulurkan oleh suara lembut itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy menelan liur perit. Di dalam hatinya berkira-kira hendak membiarkan sahaja keadaan itu sehingga gadis itu berlalu pergi. Sangkanya berapa lama sangatlah Syarifah Sofea mampu bertahan di bawah cahaya matahari yang mula memancarkan bahang. 


Dalam rasa berbelah bahagi itu, Rahadatul ‘Asy sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita elegan di sisi Syarifah Sofea. Semakin kuat jantungnya berdegup.

I know you are in the house, ‘Aisy. Let us in” wanita itu pula menjerit, membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin tidak keruan. Adakah wajar dia menghindari kehadiran kedua-dua orang perempuan itu? Adakah wajar dia berbuat demikian sedangkan salah seorang perempuan itu adalah ibu mertuanya sendiri! 


p/s Sorry for the long silence. Harap-harap entry kali ini dapat memberikan kepuasan kepada yang menanti kisah 'Aisy dan Harris. Jangan lupa tinggalkan komen ya!

5 comments:

  1. ahhh sudah, bala dtg pula, dah la bahagia pun belum agi, aisy cuba la jdi wanita kntal ckit, cik writer yg baik ati, aisy ni memg confirm trus xleh bsalin or peluang tipis

    ReplyDelete
  2. zawani: nak tahu itu kena sabar ikuti kisah ini seterusnya. Hehehehe...Basically, novel ini cuba menyelami perasaan hati seorang wanita yang sukar mendapatkan zuriat

    Che laila: itulah kan, ada saja yg menyibuk ni..hehehehe

    ReplyDelete
  3. hope aisy jgn bukak pintu lah...lgpun hubby die kan xde...xpun, kol la hubby die...x mo lah konflik berat2 sgt ye cik writer, klu x, nti stress rasa nye...bahagia baru je nak mula.

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..