Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Saturday, 21 January 2012

Titian Cinta: Bab 20

Jam di dinding yang sudah melepasi angka 11.00 malam ditenung gelisah. Sekejap-sekejap pandangan mata Rahadatul ‘Aisy beralih ke arah susuk tubuh Umayr Harris yang sedang bersandar di kepala katil. Ralit benar lelaki itu menghadap skrin komputer apple nya. Umayr Harris dan kerja memang tidak dapat dipisahkan. Kejayaannya dalam dunia perniagaan menjadi bualan ramai. Jika tidak masakan wajahnya sering menghiasi majalah-majalah prima perniagaan.
Rahadatul ‘Aisy mengusap-usap matanya yang berair kerana sedari tadi dia menahan rasa mengantuk. Mulutnya juga sudah beberapa kali ditekupkan dengan telapak tangan. Jika diikutkan matanya yang sudah hampir separuh terpejam, ingin saja dia membaringkan tubuhnya di atas katil bertilam empuk itu dan berlabuh ke alam mimpi. Namun, hasratnya terbantut apabila Umayr Harris turut berada di atas katil yang sama. Apatah lagi lelaki itu dengan selamba tidak berbaju! Seolah-olah seperti sengaja ingin menduga dan menggodanya! Jika itu yang Umayr Harris harapkan memang dia telah berjaya membuatkan hati Rahadatul ‘Aisy benar-benar menjadi tidak keruan dengan keadaan itu.
‘Aduh, kenapa aku rasa segan sangat ni? Dia cuma tak pakai baju saja. Bukannya tak pakai apa-apa langsung! Yang aku nak gelabah tak tentu fasal ni kenapa? Baring dan pejam mata saja, bukannya susah pun’ monolog Rahadatul ‘Aisy kepada dirinya sendiri, cuba menitipkan sedikit keberanian dan menepis rasa malu yang kuat bersarang dalam dirinya. Walaupun dia pernah berkongsi hidup dengan lelaki itu suatu ketika dulu, namun perpisahan yang terjadi di antara dia dan Umayr Harris dalam tempoh yang bukannya singkat membuatkan dirinya masih dihambat dengan rasa kekok.
Dia cuba beriak selamba dan melabuhkan punggung di birai katil. Duvet yang terlipat kemas di hujung katil ditarik menyelimuti badannya yang mula terasa kesejukan akibat suhu bilik yang dikawal penghawa dingin itu. Tubuhnya dibawa mengiring membelakangi Umayr Harris. Pelik juga dia melihat Umayr Harris yang masih tenang memandang komputer ribanya. Malam-malam begini dengan tidak berbaju, tidak terasa sejuk kah suaminya itu?
“Sayang dah nak tidur ke?” pertanyaan Umayr Harris membuatkan mata Rahadatul ‘Aisy yang sedikit terpejam terbuka luas. Rasa mengantuk hilang terbang entah ke mana. Dekat sekali sapaan itu di cuping telinganya sehingga dia dapat merasakan dengus nafas Umayr Harris. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang apabila dirasakan pergerakan tubuh Umayr Harris semakin menghampirinya.
“Hmmm..” balas Rahadatul ‘Aisy perlahan menahan getaran di dada. Detak nadinya bagaikan hilang rentak apabila dia merasai kehangatan tubuh Umayr Harris di belakangnya.
“Sampai hati sayang tidur tak minta izin abang dulu. Sudahlah tu tidur membelakangi abang” bisik Umayr Harris ke telinga Rahadatul ‘Aisy dalam nada rajuk.
“Kena minta izin ke? Selama ini tak perlu pun” omel Rahadatul ‘Aisy perlahan. Namun, kata-kata suaminya itu membuatkan dia segera memalingkan tubuhnya ke arah Umayr Harris. Tindakannya tanpa sedar membuatkan wajah mereka berdua hanya dipisahkan dalam jarak satu inci sahaja. Pandangan mata mereka bertaut lama. Situasi itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy hilang arah dan segera dia menjarakkan tubuhnya.
“Ya, selama ini memang tak, tapi mulai hari ini abang nak sayang beritahu abang dulu kalau nak tidur. Sekurang-kurangnya ucapkan selamat malam ke atau bisik I love you ke. Apa yang penting sebelum tidur, abang mesti dengar suara sayang dulu. Barulah abang dapat tidur dengan lena” beritahu Umayr Harris. Entah kenapa permintaan itu mendatangkan rasa bahagia di hati Rahadatul ‘Aisy. Dan sudah pasti dengan senang hati dia akan turutkan kemahuan itu. Apalah sangat dengan ucapan selamat malam yang didambakan jika ia mampu menggembirakan hati seorang suami.
“Baiklah. Kalau macam tu, saya minta izin tidur dulu ya. Selamat malam, awak” tutur Rahadatul ‘Aisy mengundang senyum lebar di wajah Umayr Harris. Dia senang sekali dengan perubahan positif yang ditunjukkan Rahadatul ‘Aisy. Sikap isterinya yang semakin berlapang dada menerima kehadirannya kembali cukup dihargainya.
 “Abang tak nak izinkan sayang tidur lagi. Abang nak pinjam sekejap masa dan tenaga sayang untuk abang malam ni, boleh?” soal Umayr Harris sambil melirik matanya nakal ke arah Rahadatul ‘Aisy. Senyuman yang tergaris di bibir merah lelaki itu dirasakan semakin menggoda. Membuatkan jiwa Rahadatul ‘Aisy semakin kacau. Apa maksud Umayr Harris? Tidak mungkin suaminya itu sedang menuntutnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri? Apatah lagi dalam keadaannya yang masih belum sihat sepenuhnya. Semakin serba salah dan resah dirasakan.
 “Kalau kita tangguh ke hari lain tak boleh ke? Saya dah mengantuk ni” helah Rahadatul ‘Aisy dalam kiasan. Memang tadi matanya mengantuk sangat namun dengan situasi yang sedang dilaluinya sekarang, matanya kembali segar. Dia sebenarnya ingin mengelak. Sejujur nya dia masih belum bersedia. Empat tahun berlalu tanpa belaian kasih seorang suami membuatkan dirinya sedikit kekok untuk membawa hubungan itu lebih jauh. Namun, seandainya itu yang diharapkan oleh Umayr Harris, dia tidak mampu menolaknya kerana Umayr Harris berhak sepenuhnya ke atas dirinya.
“Mana boleh tangguh-tangguh. Apa yang berlaku hari ini mana sama dengan apa yang bakal terjadi esok hari. Lagipun dah lama abang pendamkan hasrat abang ini. Abang dah tak tahan hendak bertangguh lagi. Rindu sangat saat indah itu” terasa pahit liur yang ditelan Rahadatul ‘Aisy tatkala mendengar kata-kata yang meniti di bibir Umayr Harris itu. Apabila tubuhnya dirangkul erat Umayr Harris, sesak nafas di dadanya semakin menghimpit. Jelas wangian Calvin Klein Eternity yang dipakai oleh Umayr Harris menyapa rongga hidungnya. Perasaannya bercampur baur. Dalam bahagia yang bertamu, tersisip rasa resah. Tipu lah jika dia tidak merasa bahagia dengan setiap sentuhan dan layanan romantis Umayr Harris. Namun rasa resah turut merantai jiwa dengan keinginan yang didambakan oleh Umayr Harris.
I miss you so much sayang. Damn much” bisik Umayr Harris dengan nada suara yang cukup romantik. Dirapatkan wajahnya dan sebuah kucupan hangat singgah di pipi gebu milik Rahadatul ‘Aisy. Kemudian dia mengelus lembut pipi itu dengan penuh kasih sayang. Tangannya kemudian bermain-main di bibir merekah Rahadatul ‘Aisy.
Perbuatan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkaku. Lidahnya kelu tanpa sebutir bicara. Ciuman yang diterima membuatkan rona wajahnya berubah merah. Hati Umayr Harris tercuit lucu dengan perubahan raut wajah isterinya sehingga membuatkan dia tergelak kecil.
You never change, sayang. Isteri abang ini masih seorang pemalu seperti dulu. But I love seeing you blushing like this. So cute. Buat abang makin geram” usik Umayr Harris dengan ledakan tawa yang masih bersisa. Hidung Rahadatul ‘Aisy yang sederhana mancung itu dicuit mesra.
“Itu baru cium pipi, belum cium dekat tempat lain lagi” tokok Umayr Harris masih lagi dalam nada bergurau. Semakin galak Umayr Harris mengusik, semakin tebal kulit muka Rahadatul ‘Aisy menahan rasa malu.
“Err, dah lewat ni. Lebih baik awak tidur. Besok awak kerja, kena bangun awal pagi” dalih Rahadatul ‘Aisy mengubah topik perbualan, cuba mengurangkan gelora yang hebat menyerang perasaannya. Pada masa yang sama dia mengharapkan Umayr Harris berhenti daripada terus mengusiknya dengan kata-kata dan perlakuan yang mampu membuatkan dirinya terbuai asyik dalam dunia yang cukup indah.
“Suka sangat ubah tajuk bila sayang blushing. Kali ini abang takkan terpengaruh dengan helah sayang lagi dah” komen Umayr Harris semakin mengeratkan rangkulannya. Malam itu, dia ingin membuang jauh rasa segan Rahadatul ‘Aisy apabila bersama dengannya. Tembok yang menghalang akan dirobohkan dan jurang yang terbina akan dirapatkan.
“Sayang ingat tak malam pertama kita dulu?” soalan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak. Sebenarnya dia tidak mengerti dengan tujuan Umayr Harris membangkitkan ingatan terhadap kenangan malam pertama mereka sebagai suami isteri. Baginya tiada apa yang indah dalam kenangan itu. Namun terukir senyuman nipis di bibirnya apabila mengingati betapa polos dan bodoh dirinya waktu itu dalam mendefinisikan cinta.
Kotak ingatannya masih jelas terakam kenangan malam itu. Bersungguh-sungguh dia mempersiapkan diri secantik mungkin selayaknya sebagai seorang isteri. Buat pertama kalinya dia sanggup menepis rasa malu dengan memakai baju tidur nipis sehingga menampakkan susuk tubuhnya, hanya semata-mata kerana seorang suami yang dicintainya sepenuh hati. Segala petua yang dititipkan untuk kebahagiaan rumah tangga diikuti tanpa rungutan.
Dia benar-benar bertekad untuk menambat hati Umayr Harris walaupun dia tahu cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Sangkanya, dia mampu menghadirkan cinta di hati Umayr Harris apabila terjalinnya ikatan yang suci dan diredai Ilahi di antara mereka. Beria-ia dia menahan debar seorang isteri menanti kedatangan seorang suami. Sebaliknya, kehadirannya tidak langsung dipandang oleh Umayr Harris walau pun dengan sebelah mata. Malam pertamanya hanya berlalu sepi ditemani linangan air mata dek rasa sakit di hati.
“Sombong dan ego betul abang waktu itu kan? Sanggup biarkan isteri abang yang cukup menggoda malam itu tidur seorang diri. Pula tu marah-marah sayang tak tentu fasal kan?” luah Umayr Harris sambil melemparkan sebuah senyuman yang jelas membiaskan rasa serba salah.
“Menggoda? Awak jangan bohonglah. Badan saya dulu kan berisi macam karung beras. Hanya layak duduk di dapur, bukannya berdamping di sisi awak” tingkah Rahadatul ‘Aisy mencebik sinis, sengaja memulangkan paku buah keras. Perkataan ‘karung beras’ sengaja ditekankan. Itulah ayat sindiran yang dituturkan Umayr Harris pada malam itu. Memang dia cukup berkecil hati dengan kata-kata itu.
Dia kecewa dengan penilaian Umayr Harris terhadap dirinya yang hanya bersandarkan pada kecantikan lahiriah semata. Cinta baginya bukan kerana rupa yang cantik atau bentuk badan yang menarik. Itu hanyalah bonus dalam sesebuah perhubungan dan bukan jaminan kebahagiaan sesebuah ikatan kerana sesuatu yang cantik dan menarik hanyalah bersifat sementara.
I’m sorry, sayang. Teruk betul mulut abang waktu tu kan. I did that on purpose but I never meant it. I was trying hard to hide my feeling. Melihat sayang dalam keadaan seksi macam tu, hanya lelaki bodoh macam abang saja yang buat-buat tak nampak. Apatah lagi perempuan itu seorang yang halal untuk disentuh. Padahal dalam hati abang ni, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya menahan gelora dalam diri. Terus terang jika diingat, memang menyesal tak sudah abang rasa. Maafkan abang, ya” beritahu Umayr Harris berkali-kali menyatakan penyesalannya dengan kata-kata maaf. Keikhlasan jelas terpancar di wajahnya.
“Tak perlulah awak minta maaf lagi. Itu kan semua kenangan lama. Dah jadi sejarah pun” balas Rahadatul ‘Aisy perlahan.
“Habis tu abang tengok muncung sayang tu dah panjang semacam. Abang cuma suruh sayang ingat bukannya merajuk disebabkan kenangan itu” tutur Umayr Harris. Bukan niat di hatinya untuk membuat Rahadatul ‘Aisy berjauh hati dengan mengingati kenangan itu. Dia cuma ingin berkongsi rasa dengan menjelaskan perkara yang tidak terluah sebelum ini.
“Dah awak suruh saya kenang peristiwa yang tak berapa manis. Cuba awak suruh saya ingat fasal…” kata-kata Rahadatul ‘Aisy terhenti di situ. Otaknya langsung tidak dapat mengingati kenangan indah yang pernah dimiliki mereka berdua.
“Kita memang tiada kenangan manis bersama kan. Selama ini, abang hanya tahu membuatkan hidup sayang menderita saja kan?” jelas nada suara Umayr Harris berbaur kecewa. Semakin kuat rasa bersalah yang menjentik rasa dalam dirinya.
“Mungkin kita tidak pernah ada memori manis bersama tetapi masih belum terlambat untuk kita ciptakan sesuatu yang indah bersama untuk kita abadikan dan kenang pada masa hadapan” pujuk Rahadatul ‘Aisy tenang. Dia tidak mahu Umayr Harris berterusan menyalahkan dirinya di atas segala kekhilafan yang pernah menyapa hidup mereka suatu tika dulu.
Sebenarnya kehadiran zuriat yang menjadi tanda cintanya buat Umayr Harris merupakan hadiah dan kenangan terindah dalam hidupnya. Walaupun hadirnya permata itu hanyalah seketika cuma, tetapi cukup membuatkan dirinya merasa bahagia. Namun, dia tidak mampu meluahkan apa yang dirasakannya itu kepada Umayr Harris. Dia tidak ingin menambah rasa terkilan Umayr Harris.
“Insya-Allah, sayang. Abang tidak akan berhenti berusaha sehabis daya untuk menghadirkan sebanyak mungkin kenangan yang akan membahagiakan sayang. Terima kasih, sayang” ucap Umayr Harris seraya mengucup lama dahi Rahadatul ‘Aisy. Dia semakin mengeratkan pelukan sehingga membuatkan Rahadatul ‘Aisy merasa sedikit lemas. Namun pada masa yang sama tidak mampu menolak kerana dia semakin selesa dengan kehangatan yang datang daripada tubuh sasa milik Umayr Harris.
“Dahlah. Tak guna kita kenang perkara-perkara sedih ni. Hari pun dah lewat malam ni. Kita tidur, ya” pinta Rahadatul ‘Aisy sambil mengerling jam di meja. Sudah hampir jam 12.00 malam! Padanlah kelopak matanya kembali memberat. Dia cuba merungkaikan pelukan, namun Umayr Harris kembali menariknya rapat ke dalam rangkulannya.
“Nantilah dulu. Jom temankan abang ambil angin di balkoni” ajak Umayr Harris sambil melirik pandangannya ke arah jam. Permintaan Umayr Harris mengundang rasa pelik di hati Rahadatul ‘Aisy.
“Malam-malam macam ini?” soalan Rahadatul ‘Aisy dijawab dengan anggukan.
“Jomlah” desak Umayr Harris. Entah angin apa yang merasuk Umayr Harris. Malas hendak berfikir panjang, akhirnya Rahadatul ‘Aisy menuruti ajakan Umayr Harris.
“Sekejap, sayang” Umayr Harris melangkah ke almari pakaian dan mencapai sehelai kemeja-T berleher bulat. Rahadatul ‘Aisy hanya tergelak kecil melihat Umayr Harris menyarungkan kemeja itu ke tubuhnya. 
 “Ingatkan kulit awak ini spesies reptilia tadi. Dari tadi tak berbaju, tak sejuk ke?” tanya Rahadatul ‘Aisy dengan gelengan di kepala.
“Sejuk, tapi abang sengaja tahan. Sengaja abang nak tayangkan six-pack abang ni pada sayang. Ingatkan dapatlah goda sayang, tapi orang tu buat tak faham” balas Umayr Harris sambil mengenyitkan matanya nakal. Sengaja dia ingin menduga reaksi isterinya. Terus terhenti tawa Rahadatul ‘Aisy tatkala mendengar jawapan Umayr Harris yang tidak disangka-sangka. Tiba-tiba lidahnya menjadi kelu. Sempat lagi lelaki itu mengenakannya.
“Sayang ini tak sudah-sudah lagi malu dengan abang, ya. Tak apa, lepas ini tahulah abang hendak buat macam mana pada isteri abang ini. Jom, sayang. Kita memadu kasih di bawah pancaran cahaya bulan yang dikelilingi dengan taburan bintang yang berkelipan” suara Umayr Harris dengan lenggok bahasa yang puitis, membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin menundukkan wajahnya. Dengan senyuman yang meleret, dia menghampiri Rahadatul ‘Aisy. Jari-jemari isterinya yang sedikit dingin dicapai dan digenggam erat. Mereka beriringan melangkah ke arah beranda kamar beradu mereka.
Di balkoni, hanya suasana sepi yang mengiringi mereka berdua. Pemandangan bangunan dan rumah yang diterangi cahaya lampu menggamit ruang penglihatan. Kedudukan rumah agam milik Umayr Harris yang berada di puncak bukit membolehkan mereka menikmati pemandangan waktu malam yang cukup indah dan sunyi.
Tiba-tiba langit yang hitam pekat disimbah dengan percikan cahaya bunga api. Cukup membuatkan pandangan mata Rahadatul ‘Aisy terpesona dengan keindahan pelbagai corak bunga api berwarna-warni yang mengisi ruang udara silih berganti.
“Cantiknya” satu perkataan yang muncul di mulutnya. Matanya masih lagi tunak memerhatikan setiap pancaran bunga api yang terbentuk di udara.
Happy 5th Anniversary, sayang” bisik Umayr Harris di telinganya sambil merangkul erat tubuh Rahadatul ‘Aisy dari belakang. Sekali lagi Rahadatul ‘Aisy terkesima. Hari ini ulang tahun perkahwinan mereka? Macam mana dia langsung tidak mengingati tarikh yang telah mengangkat martabatnya sebagai isteri di sisi Umayr Harris bersaksikan ijab dan kabul yang telah dilafazkan. Mungkin kerana selama ini dia tidak pernah meraikan hari istimewa ini bersama dengan Umayr Harris sehingga membuatkan dia semakin melupai tarikh keramat yang telah menyatukan mereka berdua.
“Semoga ikatan pernikahan kita terus diberkati kekal sehingga ke Jannah” pengharapan yang dituturkan Umayr Harris benar-benar mengusik perasaan Rahadatul ‘Aisy. Matanya mula digenangi manik-manik kaca.
“Awak rancang semua ini?” tanya Rahadatul ‘Aisy usai bunga api terakhir dilepaskan ke udara.
“Abang ingin ciptakan kenangan yang manis-manis buat sayang. Ini adalah langkah pertama abang. What do you think, sayang?” jawapan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy cukup tersentuh. Air mata mula menitik membasahi pipi.
“Cukup indah, abang. Kenangan yang pasti ‘Aisy takkan lupakan untuk seumur hidup ini. Terima kasih, abang” ucap Rahadatul ‘Aisy sebak.
“Apa yang sayang cakap tadi?” soal Umayr Harris sambil memalingkan tubuh Rahadatul ‘Aisy ke arahnya. Di sebalik luahan isterinya itu, ada perkara lain yang lebih menarik perhatiannya.
“Terima kasih kerana sanggup merancang ini semua” ulang Rahadatul ‘Aisy.
No, no. Bukan itu. You just called me abang, right?” soal Umayr Harris lagi dalam nada teruja. Rahadatul ‘Aisy tersenyum simpul. Dia sendiri tidak menyangka setelah sekian lama, ringan bibirnya kembali memanggil Umayr Harris dengan panggilan yang telah lama ditinggalkan. Mungkin sudah tiba masanya dia membetulkan apa yang silap selama ini.
“Abang tak suka ke?” sengaja dia bertanyakan soalan yang dia sendiri sudah maklum dengan jawapannya.
“Sudah pasti abang suka sangat-sangat. In fact, this is I’ve been waiting for all this while. Alhamdulillah, sayang. Lepas ini, no more saya-awak. From now on keep calling me abang, okay?” pohon Umayr Harris sambil membawa tubuh Rahadatul ‘Aisy ke dalam dakapan nya. Perbuatannya jelas menggambarkan perasaan gembiranya. Jauh di sudut hati Rahadatul ‘Aisy dia turut bersyukur kerana tindakan spontannya tadi berjaya mengundang keceriaan di wajah Umayr Harris.
I have something for you. Come, ikut abang” ujar Umayr Harris sambil meleraikan pelukan. Tangan Rahadatul ‘Aisy dituntun masuk ke dalam bilik dan didudukkan di birai katil. Laci meja tidur dibuka dan Umayr Harris mengeluarkan sebuah kotak baldu berwarna biru gelap.
“Bukalah” huluran kotak bersaiz segi empat tepat itu disambut Rahadatul ‘Aisy dengan teragak-agak. Sebagai seorang perempuan, dia seakan dapat meneka isi di sebalik kotak itu. Perlahan-lahan dia membuka kotak itu dan pandangan matanya terpanah dengan kilauan satu set rantai emas 916 bersama dengan loket yang terukir namanya.
“Terima kasih, abang. Cantik sangat” ucap Rahadatul ‘Aisy dengan pandangan mata yang kabur. Dia benar-benar terharu dengan ingatan Umayr Harris.
“Walaupun cinta abang pada sayang tidak ternilai, tapi rantai ini sebagai tanda kasih sayang abang pada sayang. Sayang suka?” soal Umayr Harris dengan senyuman puas. Puas kerana buat pertama kali dia berpeluang menggembirakan hati wanita kesayangannya.
“Suka. Tapi, ‘Aisy minta maaf. ‘Aisy tak sediakan apa-apa hadiah untuk abang” beritahu Rahadatul ‘Aisy berterus-terang. Masakan dia mampu menyediakan hadiah sedangkan tarikh ulang tahun perkahwinannya pun dia tidak teringat langsung.
“Tak apa, sayang. Kegembiraan sayang ini pun adalah hadiah yang cukup bermakna buat abang” balas Umayr Harris sambil menyeka air mata yang tumpah di pipi isterinya. Malam itu Umayr Harris benar-benar telah berjaya membuat hatinya tersentuh. Namun, dalam diam sekali lagi dia dihambat dengan rasa segan kerana dia tiada apa-apa untuk diberikan kepada Umayr Harris sebagai galang gantinya.
“’Aisy minta maaf kerana lupa anniversary kita” pohon Rahadatul ‘Aisy sambil menundukkan wajah bersalah.
Hey, it’s ok sayang. Abang faham. After all what has happened to us, abang takkan sekali-kali salahkan sayang seandainya sayang terlupa. Tapi, kalau tahun depan sayang tak ingat juga, siap sayang” usik Umayr Harris sambil memicit lembut pipi Rahadatul ‘Aisy.
“Terima kasih, abang untuk semua ini. ‘Aisy bahagia sangat, abang” luah Rahadatul ‘Aisy. Kembang hati Umayr Harris mendengar ungkapan yang dibisikkan. Dia akan pastikan hari-hari mendatang yang dilaluinya bersama Rahadatul ‘Aisy akan terus diterangi cahaya kebahagiaan.

p/s: Khas buat yang masih setia menunggu cerita ini. Terima kasih dan jangan lupa berikan komen. Entry kali ini agak rushing, sorry jika ada kekurangan. Enjoy!

6 comments:

  1. uhhh akhirnye, xder gado2 agi..... biler nk smbg lgi ni... besh btoi

    ReplyDelete
  2. Insya-Allah akan disambung lagi very soon. Sabar menunggu ya. Dan terima kasih kerana sudi baca :D

    ReplyDelete
  3. best....semoga mrk trs b'bahagia slps ni dan x gaduh2 lg..klu ada konflik pun biar dpt di selesaikan dgn baik..

    ReplyDelete
  4. best sgt! sinar bahagia mula menyinari dorang berdua..suka :')

    ReplyDelete
  5. Owh Harris.. *jatuh tergolek-golek*

    taknak konflik2 yg berat.Nak Aisy pregnant plak. hehehehe *demand*

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..