Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Saturday, 7 January 2012

Titian Cinta: Bab 19

Usai bersolat Asar, air mata Rahadatul ‘Aisy mengalir tidak dapat ditahan-tahan. Terenjat-enjut bahunya menahan tangis dalam tadahan doa, memohon kekuatan dan ketabahan dari yang Esa. Mengharapkan sinar kebahagiaan yang dirasakan semakin suram.

“Abang tak sangka taste ‘Aisy berciri antarabangsa juga ya” patah-patah perkataan yang dituturkan Umayr Harris itu kembali terngiang-ngiang di telinganya. Entah kenapa hatinya cukup tergores dengan sindiran pedas itu. Peritnya di jiwa apabila diri dicurigai. Adakah apa yang dirasakannya kini sama seperti yang pernah dilalui oleh Umayr Harris, ketika dia dengan sengaja menyakiti hati dan melukakan perasaan suaminya sendiri. Hukum karma kah ini?

Lama Rahadatul ‘Aisy berteleku di atas tikar sejadah, bermunajat untuk mendapatkan ketenangan dalam mencari arah untuk memandu kehidupan yang belum pasti. Seteguh mana kesetiaan yang dipertahankan nyata tiada makna jika dikhianati dengan rasa sangsi. Setinggi mana harapan yang disandarkan pada sebuah kebahagian pasti tiada daya untuk digapai seandainya duka dibiarkan terus menemani sepi sekeping hati. Terlalu banyak liku yang perlu ditempuhi dalam perjalanannya mencari titik kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan. Membuatkan kesabarannya semakin terhakis dan perasaannya disapa lelah yang semakin menggunung.  

“Ya Allah, engkau berikan aku petunjuk-Mu. Seandainya, masih ada sinar kebahagiaan yang tertinggal buat aku dalam perkahwinan ini, Engkau berikanlah aku kekuatan untuk aku terus mempertahankan ikatan suci ini. Namun, jika kebahagiaan yang aku harapkan tidak berpihak kepada ku, aku reda, ya Allah” rintih hati Rahadatul ‘Aisy. Sebuah keluhan lemah meniti di bibirnya. Mengeluh bukan kerana menyalahkan takdir, tetapi untuk memujuk hati, agar dapat mengurangkan beban perasaan yang ditanggung. Menghalau jauh derita hati yang selama ini bersarang dalam diri.

Bunyi keriuk pintu dibuka dari luar membuatkan Rahadatul ‘Aisy berpaling. Untuk seketika, bebola matanya yang memerah bertembung dengan anak mata Umayr Harris. Jelas terpancar riak serba salah di wajah lelaki itu. Kata-kata pedih yang dilemparkan lelaki itu kembali terngiang-ngiang seperti bisikan di cuping telinga Rahadatul ‘Aisy. Membuatkan wanita itu semakin menjeruk rasa. Dek rasa rajuk di hati, Rahadatul ‘Aisy segera melarikan pandangan ke arah lain. Lalu, air mata yang membasahi pipi sedari tadi diseka. Dia bangun mengemaskan telekung sembahyang dan sejadah. Rasa ngilu di bahagian perut kesan pembedahan membuatkannya tidak betah untuk terus duduk bersimpuh lama di atas sejadah.

Suasana sepi dan suram yang menyelubungi membuatkan Rahadatul ‘Aisy berasa kekok untuk terus berada di dalam bilik. Apatah lagi dengan rasa berjauh hati yang masih tebal bersarang di dada.

“Sayang nak ke mana tu?” pertanyaan Umayr Harris menghentikan pergerakan Rahadatul ‘Aisy yang ingin memulas tombol pintu.

“Saya nak ambil angin dekat luar. Dalam bilik ini panas” balas Rahadatul ‘Aisy kaku. Sakit di hati yang masih tersisa membuatkan lancar bibirnya memuntahkan kata-kata pedas dan berbisa. Walaupun terbit rasa bersalah dengan kekasaran lidahnya namun dikeraskan hati untuk membuang jauh rasa bersalah itu.

“Dah pasang aircond pun masih panas lagi? Nanti abang rendahkan lagi suhu. Lagipun, doktor kan dah pesan. Sayang kan tak boleh banyak sangat bergerak. Nanti luka tu lambat sembuh” ujar Umayr Harris dengan suara yang lembut. Sengaja dia pura-pura tidak mengerti dengan sindiran Rahadatul ‘Aisy. Dia tahu dia telah tersilap. Terlalu mengikut rasa cemburu di hati sehingga menggoreskan hati dan perasaan isterinya sendiri. Dia tahu Rahadatul ‘Aisy benar-benar terluka dengan curiga yang dilemparkan olehnya, membuatkan hubungan mereka yang sedia dingin menjadi semakin beku.

“Abang ada benda nak berbincang dengan ‘Aisy” sambung Umayr Harris sambil menghampiri Rahadatul ‘Aisy. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan hubungan mereka. Mungkin dengan berbicara dari hati ke hati mampu menjernihkan segala kekeruhan yang telah berlaku.
“Nak bincang apa lagi? Kalau setakat hendak sakitkan hati saya lebih baik tak perlu” tolak Rahadatul ‘Asy.

“Kita perlu berbincang fasal hubungan kita. Please…” rayu Umayr Harris. Dia mencapai tangan Rahadatul ‘Aisy. Lalu, jari jemari si isteri diusap dengan penuh rasa kasih. Hati isteri yang sedang merajuk perlu segera dipujuk.

It will take us to nowhere, Harris. Kalau awak masih nak teruskan dengan serkap jarang awak pasal saya..” kata-kata Rahadatul ‘Aisy terhenti apabila pantas jari Umayr Harris melekap di bibirnya.

I know I was wrong. Sebab itu abang hendak kita berdua berbincang dari hati ke hati. Kita ambil peluang ini untuk kita luahkan segala yang terbuku di hati. Kita sama-sama cari penyelesaian untuk setiap masalah kita. Please, sayang” potong Umayr Harris sambil mengemaskan genggaman tangan kirinya di celah jemari Rahadatul ‘Aisy. Sentuhan dan bicara lembut Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Hatinya yang rajuk seakan berpujuk dengan kelembutan rayuan Umayr Harris. Satu-satunya senjata yang sentiasa mampu meruntuhkan benteng kemarahan dan mencairkan api kebenciannya pada Umayr Harris.

Please, sayang..” Akhirnya Rahadatul ‘Aisy menurut ajakan Umayr Harris. Dengan berhati-hati dia memimpin isterinya duduk di atas katil. Pandangan mata Umayr Harris tunak merenung setiap inci wajah Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu menjadi tidak keruan. Dia berdeham beberapa kali apabila menyedari kegelisahan Rahadatul ‘Aisy menanti buah bicara dari mulutnya.

“Mungkin sudah terlalu kerap kata-kata maaf yang telah abang ucapkan pada sayang. Tetapi, abang tetap ingin memohon keampunan di atas keterlanjuran abang tadi” bicara Umayr Harris sambil menggenggam erat tangan Rahadatul ‘Aisy.

“Abang sedar selama ini abang bukan suami yang baik. Abang lelaki yang baran. Selalu kalah dengan rasa curiga. Tapi, abang cuba untuk berubah sayang. Walaupun bukan mudah but I’m trying very hard, sayang. Abang terlalu mencintai sayang. Kerana rasa cinta inilah kadang-kadang membuatkan abang tersasar dan gagal mengawal rasa cemburu. Maafkan abang ya, sayang” sambung Umayr Harris. Wajah Rahadatul ‘Aisy yang sedang tunduk membisu dipandang dengan penuh pengharapan.

Kata-kata maaf yang dituturkan menyapa pelupuk telinga Rahadatul ‘Aisy, menusuk sehingga ke kalbu. Perasaannya berbelah bahagi. Jika diturutkan kata hati, ingin sekali dia memaafkan kekhilafan Umayr Harris kerana rasa cinta yang tidak pernah surut buat lelaki itu. Tetapi, kata akal seakan menegah, sangsi jika penyesalan Umayr Harris hanya sekadar di bibir. Bimbang untuk membiarkan dirinya dilanda badai kecewa lagi dan lebih menakutkan jika ia berlaku, mungkin saat itu hatinya sudah tidak mampu bertahan lagi.

“Jika maaf yang awak harapkan, awak tak perlu minta dari saya, Harris. Saya sentiasa memaafkan awak” ujar Rahadatul ‘Aisy perlahan. Dari dulu, kini dan selamanya hati ini memang tidak pernah akan mampu membenci awak, Harris. Cinta dan rindu dendam saya akan sentiasa menjadi milik awak. Walaupun sekuat mana saya cuba menidakkan rasa sayang ini, namun saya tidak mampu. Sambungnya di dalam hati, tidak mampu meluahkan kata-kata itu pada Umayr Harris.

“Tapi, apa kesudahan hubungan kita ini, Harris? Apa lagi yang tinggal dalam hubungan kita ini jika awak tidak pernah mempercayai kejujuran saya. Dulu, awak buang saya kerana percaya dengan fitnah kecurangan saya. Bertahun-tahun saya menjeruk rasa. Bertahun-tahun saya kumpul kekuatan untuk melupakan segala keperitan. Peritnya hidup apabila dibuang oleh suami sendiri dan satu-satunya tanda cinta kita juga pergi meninggalkan saya. Dan sekarang, awak persoalkan pula persahabatan saya dengan Jason. Kenapa awak tidak pernah puas menyakiti saya, Harris” tingkah Rahadatul ‘Aisy meluahkan rasa kecewa. Sekali lagi bibirnya terpaksa mengungkit kenangan hitam yang pernah singgah dalam hidupnya. Walaupun dia telah lama reda dengan segala yang berlaku namun dia perlu meluahkan perasaannya agar Umayr Harris mengerti betapa beratnya beban hati yang terpaksa ditanggung apabila kesetiaan yang dipertahankan dicurigai.

“Maafkan abang, sayang. Abang tidak pernah berniat untuk menyakiti hati sayang. Cuma kadang-kadang abang gagal mengawal perasaan abang sendiri. Sehinggakan abang tidak sedar telah mengungkapkan kata-kata yang telah menyakitkan hati ‘Aisy” sesal Umayr Harris. Sikap baran merupakan kelemahan utamanya. Dia sering tewas mengawal kemarahannya.

“Bukan kata-kata maaf yang saya harapkan dari awak, Harris. Saya perlukan kepercayaan awak. Apalah erti sebuah perkahwinan jika sering dipenuhi dengan rasa curiga terhadap pasangan. This marriage is not going to work if we don’t trust each other, Harris” tukas Rahadatul ‘Aisy.

“Jangan cakap macam tu, sayang. Tujuan abang ajak sayang berbincang bukan untuk akhiri hubungan kita. Tidak akan sekali-kali abang izinkan itu berlaku. Abang akan cuba apa saja untuk selamatkan hubungan kita. If you want trust, then I’ll give you trust. I’ll do anything sayang as long as you are here with me by my side. Sebenarnya, abang dalam proses berubah. Apa yang abang perlukan adalah kesabaran sayang” pujuk Umayr Harris bersungguh-sungguh. Jelas sekali terpancar di wajahnya yang dia benar-benar mahu mempertahankan rumah tangga yang bagaikan retak menanti belah. Kesungguhan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terdiam seketika untuk menyusun kata. Tidak adil jika kesalahan ini hanya diletakkan di bahu Umayr Harris.

“Entahlah, Harris. Terlalu banyak perkara yang menyekat hubungan kita. Kepercayaan, kesabaran mungkin sudah tidak penting lagi kerana yang paling utama saya pun sudah tidak mampu memberikan awak zuriat, Harris. Mungkin ini semua petanda yang kita berdua tiada masa depan yang indah untuk hidup bersama” walaupun perit dengan apa yang dituturkan olehnya tetapi dia perlu meluahkan apa yang dirasakannya kepada Umayr Harris. Saat itu, segala semangat positif yang pernah dititipkan oleh Sakeena dan Hafeeza hilang entah ke mana. Dek terlalu kecewa, dia kembali menjadi seorang wanita yang menyerah kalah kepada keadaan.

“Zuriat bukan penyebab kita akan bahagia atau tidak. Abang perlukan cinta sayang kerana sayang yang akan bersama-sama menemani abang sehinggalah abang tua. Jika diizinkan Allah sehingga ke syurga. Dan itu sudah cukup bila abang sendiri terdengar pengakuan yang sayang benar-benar cintakan abang semasa di hospital. Kenapa kita tidak pertahankan hubungan kita ini apabila kita berdua saling cinta menyintai?” pengakuan Umayr Harris benar-benar membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Umayr Harris telah mendengar perbualannya dengan Sakeena dan Hafeeza. Barulah dia faham kenapa Umayr Harris muncul tiba-tiba setelah menyepikan diri daripadanya.

“Tapi saya..saya takut saya tak kuat menghadapi semua ini. Saya takut saya akan penat, Harris. Penat mengejar bahagia yang tidak pernah menjadi milik saya. Mungkin, saya harus pasrah dengan takdir ini” rintih Rahadatul ‘Aisy sebak.

“Takdir kita untuk bahagia bersama. Derita dan sakit yang kita berdua rasa adalah ujian, sayang. Allah menguji kita kerana Dia tahu kita mampu mengharunginya. Dia ingin lihat setinggi mana keimanan dan kesabaran kita dalam menghadapi setiap dugaan-Nya. Abang pernah baca petikan penulisan Imam Ghazali, sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar” ungkapan Umayr Harris berjaya membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkelu. Seakan tidak percaya yang kata-kata itu meniti di bibir Umayr Harris. Lelaki ini memang benar sukar diduga. Seorang lelaki yang suatu ketika dulu menjadikan budaya moden barat sebagai tunjang hidupnya. Kini melalui bicara yang dituturkan Umayr Harris, dia yakin pegangan hidup suaminya sudah berubah seratus peratus. Ya, mungkin benar Umayr Harris sedang melalui fasa perubahan dalam hidupnya. Berubah menjadi lebih baik. Jauh di sudut hati dia merasa kagum dan tersentuh.

Abang percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang cukup manis menanti buat kita. Yang penting kita berdua harungi nya dengan penuh kesabaran. Abang yakin sayang kuat dan sayang adalah kekuatan abang. We complement each other” sambung Umayr Harris mengharapkan pengertian daripada Rahadatul ‘Aisy.

Mendengarkan bait-bait ayat positif yang dituturkan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjadi malu. Malu dengan kelemahan dirinya yang sentiasa mudah melatah dengan setiap dugaan kecil yang menimpanya. Malu kerana mudah menyerah kalah dengan onak dan badai yang melanda kehidupan.

“Masih adakah lagi bahagia buat kita, Harris?” soal Rahadatul ‘Aisy perlahan.

“Insya-Allah, kita akan bahagia sayang. Beri peluang kepada diri kita untuk mencari bahagia bersama. Yang penting, never ever give up on us” keyakinan Umayr Harris benar-benar meruntun jiwa Rahadatul ‘Aisy. Buat sekian kali air mata wanitanya gugur menitis di pipi. Mampu kah dia terus membuka ruang di hati untuk berjuang mempertahankan sebuah ikatan suci yang telah tersimpul di antaranya dan Umayr Harris.

“Abang janji abang akan cuba menjadi suami yang lebih baik. Abang cuma perlukan sokongan sayang. Just be by my side and I’ll change for better. Bantu abang mengemudi bahtera rumah tangga kita ya, sayang?” pinta Umayr Harris sambil menyeka air mata yang membasahi pipi Rahadatul ‘Aisy. Permintaan Umayr Harris benar-benar mengusik tangkai hatinya. Lambat-lambat dia mengangguk. Saat itu dia tidak mampu menidakkan kemahuan hatinya.

“Terima kasih, sayang” bergenang kelopak mata Umayr Harris saat melihat anggukan Rahadatul ‘Aisy. Pantas tubuh isterinya dibawa ke dalam dakapan nya. Rahadatul ‘Aisy turut membalas rangkulan Umayr Harris. Buat pertama kali setelah sekian lama, hatinya benar-benar lapang menerima sentuhan kasih seorang suami.

“Maafkan saya, Harris. Selama ini saya telah banyak menyakiti hati awak dengan kata-kata saya” pohon Rahadatul ‘Aisy dalam esakannya. Betapa banyak dosanya melakukan kesalahan dalam sedar kepada suaminya sendiri.

“Sayang tak ada dosa dengan abang sebab abang sentiasa mengampunkan sayang” balas Umayr Harris sambil mengucup ubun-ubun Rahadatul ‘Aisy. Perlakuan Umayr Harris benar-benar menyentuh perasaan Rahadatul ‘Aisy sehingga tanpa sedar wanita itu semakin mengeratkan rangkulannya. Gerakan bahasa tubuh isterinya itu membuatkan Umayr Harris tersenyum dalam bahagia.

“Alhamdulillah” terbit bisikan kalimah kesyukuran di bibir Umayr Harris. 

5 comments:

  1. suke n3 kali ni...aisy xleh putus asa taw...haris pun kena kawal baran tu...

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..suka sngt dorang dah berbaik ^^

    ReplyDelete
  3. yeayyy...takmo gaduh2 lagi.

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..