Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Wednesday, 21 December 2011

Titian Cinta: Bab 18

Setelah sejam Rahadatul ‘Aisy tertidur, akhirnya dia terjaga apabila sayup-sayup azan asar kedengaran. Mujurlah, sebelum bertolak dari hospital tadi, dia telah menunaikan solat Zuhur. Serentak itu, gegendang telinganya disapa dengan bunyi deringan telefon bimbitnya. Dengan kepala yang masih lagi berdenyut-denyut, Rahadatul ‘Aisy mencapai telefon bimbit yang berada di dalam tas tangan. Dia terus menjawab panggilan tanpa melihat nama pemanggil.

“Assalamualaikum” sapa Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak. Matanya dipejamkan cuba meredakan sakit di kepalanya.

“Waalaikumsalam. Kau sihat ke tak ni? Lain macam je aku dengar suara kau” suara Sakeena jelas bernada runsing di hujung talian.

“Aku sakit kepala sikit. Lepas makan ubat nanti baiklah. Kenapa kau call aku ni?” soal Rahadatul ‘Aisy sambil memicit dahinya dengan jari. Beginilah kalau migrain menyerang. Senak mencucuk sehingga ke bebola mata.

“Aku call ni nak tanya doktor dah beri kebenaran kau balik ke? Kalau dah, kejap lagi aku gerak terus ke hospital dari tempat kerja” jawapan Sakeena membuatkan Rahadatul ‘Aisy menepuk dahi. Dia lupa hendak memaklumkan kepada Sakeena yang dia telah keluar hospital tengah hari tadi. Mujur Sakeena menelefonnya terlebih dahulu.

Sorry, Keena. Aku lupa nak beritahu kau. Sebenarnya aku dah keluar hospital. Tengah  hari tadi, Harris jemput aku” beritahu Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang lemah. Memikirkan perihal Harris membuatkan denyutan di kepala nya semakin kuat.

“Harris jemput kau?” perkhabaran yang disampaikan oleh Rahadatul ‘Aisy benar-benar membuatkan Sakeena terkejut. Semalam bukan main lagi temannya itu menceritakan tentang rajuk Umayr Harris. Cepat benar rajuk Umayr Harris hilang. Mungkin benar lelaki itu sudah jauh berubah. Tidak lagi mudah melatah dan baran seperti dahulu.

“Ha’ah, aku pun pelik bila dia tiba-tiba muncul. Sekarang ini, dia paksa aku pindah tinggal dengan dia” adu Rahadatul ‘Aisy. Dia menjadi serba salah. Bimbang keputusan drastik yang dibuat oleh Umayr Harris bakal menyusahkan kedua-dua teman serumahnya.

“Pindah? Oh, patutlah kawan aku ini migrain. Rupanya sedang memikirkan masalah negara” meletus tawa kecil dari mulut Sakeena. Sempat lagi dia mengusik Rahadatul ‘Aisy. Namun, di dalam hati, dia gembira dengan perkembangan yang diceritakan kepadanya. Mungkin ini akan menjadi titik tolak kebahagiaan rumah tangga Umayr Harris dan Rahadatul ‘Aisy.

“Ini bukan masalah negara, tapi masalah dunia. Harris dah tak nak berkompromi dengan aku. Kata-kata dia sekarang ini dah macam arahan diktator” luah Rahadatul ‘Aisy cuba memancing sokongan Sakeena. Selama ini hanya pada Sakeena lah tempat dia meluahkan segala masalah dan kesedihan nya.

“Mungkin Harris buat macam itu supaya kau bersetuju pindah duduk dengan dia. Agaknya dia tak nak kau bermain tarik tali dengan dia, sebab itu dia bertegas” Rahadatul ‘Aisy tergamam mendengar pandangan Sakeena. Sejak bila Sakeena mula menyebelahi Umayr Harris? Semalam bukan main lancang mulut temannya itu mengutuk Umayr Harris.

“Entahlah, Keena. Kalaulah aku masih seorang wanita normal seperti dahulu, semua masalah ini pasti tak akan berlaku” keluh Rahadatul ‘Aisy. Sukarnya dirasakan untuk membina kembali keyakinan diri yang menghilang. Satu persatu peristiwa yang menguji hidupnya sejak empat tahun yang lalu membuatkan dia seakan hilang jati diri, hilang ketabahan dan semangat untuk hidup. Sebaliknya, dia menjadi seorang wanita yang lebih banyak mengalah dengan nasib diri.

“’Aisy, tak baik mengeluh macam tu. Kau dah lupa apa yang Hafeeza cakap semalam? Ini semua kan ujian dari Tuhan. Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Segala perjalanan hidup kita ini disusun dan diatur oleh-Nya. Yang penting Harris tak tinggalkan kau walau apa pun yang telah menimpa engkau. Cubalah kau beri peluang kepada Harris dan diri kau sendiri. Aku yakin kau orang berdua mampu bahagia” Rahadatul ‘Aisy terdiam mendengar butir bicara Sakeena. Sedikit demi sedikit kata-kata Sakeena mula terkesan di hatinya.

“Tapi, macam mana dengan nenek Harris? Papa dan mama Harris? Harris itu kan anak tunggal dan cucu lelaki tunggal. Mesti mereka inginkan zuriat dari keturunan Harris. Lagipun kau tahu sajalah macam mana penerimaan papa dan mama Harris pada aku. Perkara ini pasti akan mengeruhkan lagi keadaan” ujar Rahadatul ‘Aisy dengan kebimbangannya yang tak pernah surut. Pasti bukan mudah untuk ahli keluarga Umayr Harris menerima perkhabaran ini.

“Itulah silapnya diri kau. Dalam kepala itu asyik fikirkan kebahagian dan kepentingan orang lain. Kita tidak mampu hendak puaskan hati semua orang. Sekarang ini, apa yang penting kau fikirkan kebahagiaan kau bersama Harris dulu. Cubalah pentingkan diri sendiri itu sikit. Tak habis-habis hendak korbankan perasaan sendiri” nasihat Sakeena. Baginya, Rahadatul ‘Aisy terlalu baik dan lembut hati. Dan kerana kebaikan itulah, temannya itu sanggup dilukakan dan dikecewakan demi melihat orang di sekelilingnya gembira.

“Lagi satu, fasal mertua kau. Empat tahun lebih dah berlalu, ‘Aisy. Entah-entah mereka semua dah sedar dengan kesilapan masing-masing. Harris yang ego dan panas baran tu pun sudah jauh berubah. Kau kena optimis, ‘Aisy. Mana sifat juang yang selalu ada dalam diri kau? Dulu kau selalu nasihatkan aku, berusaha dan bertawakal. Ini belum apa-apa kau dah mengaku kalah. Bukankah kau selalu kata, gagal setelah berjuang lebih baik daripada tewas tanpa usaha” sambung Sakeena panjang lebar membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengeluh lemah. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Sakeena.

“Sebagai kawan baik kau, aku inginkan kau bahagia dengan orang yang kau cinta. Kalau kau sakit aku pun terasa tau. Cuma Harris yang mampu membuatkan kau bahagia kerana hanya dia yang berjaya mencuri hati kau. Jadi, aku akan sentiasa sokong dan doakan semoga kau bahagia dengan Harris. Sekarang, Harris dah bawa kau duduk bersama dengan dia. Ini langkah yang terbaik untuk memperbaiki hubungan kau orang berdua” nada suara Sakeena berubah syahdu.

Thanks, Keena. Kau selalu ada di sisi apabila aku memerlukan” ucap Rahadatul ‘Aisy sebak. Terharu dengan luahan ikhlas Sakeena. Dia tahu, dulu Sakeena memang marah dengan apa yang telah berlaku di antara dia dan Umayr Harris. Namun, penyesalan Umayr Harris telah mengubah persepsi Sakeena terhadap lelaki itu.

“Dah, tak nak sedih-sedih. Kebahagiaan memang sudah terbentang di depan kau, ‘Aisy. Tinggal kau nak atau pun tak nak saja. Janji dengan aku kau kena bahagia. Janji?”

“Ya, aku janji” lambat-lambat Rahadatul ‘Aisy membalas.

“Okaylah, aku nak drive ni. Jangan lupa makan ubat migrain tu. And one more thing, jangan lawan cakap suami lagi, tak baik” gurauan Sakeena membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersenyum kecil.

“Okay, bawak kereta hati-hati. Aku sayang kau sangat-sangat tau. Thanks for everything

“Aku sayang kau juga. Tapi aku cintakan tunang aku, Raziq. Hahaha…Okay, aku chow dulu. Salam” tergelak kecil Rahadatul ‘Aisy mendengar cara pamitan Sakeena sebelum mematikan talian telefon. Keceriaan temannya itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya terhibur. Hilang sedikit denyut di kepalanya.

“Padanlah abang mesej tak balas, call tak berangkat. Rupanya tengah seronok bergayut” sapaan Umayr Harris benar-benar menyentakkan Rahadatul ‘Aisy. Serta-merta senyuman di wajahnya mati. Bila masa suaminya itu balik? Langsung dia tidak mendengar bunyi enjin kereta. Rahadatul ‘Aisy merenung skrin telefonnya. Ada 15 mesej dan 20 panggilan tidak berjawab! Wajah Umayr Harris yang kelat dipandangnya dengan rasa gentar.

“Err.. saya minta maaf. Saya tak sedar tadi. Saya ti…”

“Yalah, nak sedar macam mana kalau tengah asyik memadu asmara di telefon” sampuk Umayr Harris sambil menjeling tajam ke arah Rahadatul ‘Aisy. 


Perasaaan cemburu meluap-luap apabila telinganya menangkap perbualan Rahadatul ‘Aisy yang sedang mengungkapkan kata-kata sayang dengan suara yang lembut. Makin panas cuping telinganya mendengar gelak kecil isterinya itu. Sudahlah sepanjang satu jam dia tidak senang duduk apabila mesej dan panggilannya tidak dijawab oleh Rahadatul ‘Aisy. Langsung dia tidak dapat memberikan fokus dan tumpuan terhadap perbincangan dengan Dato’ Bakri, pelanggan penting syarikatnya. Mujurlah Dato’ Bakri juga terpaksa cepat beredar kerana ada urusan lain. Tidak tunggu lama dia segera memecutkan keretanya pulang ke rumah, bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini pada isterinya.

“Apa yang awak merepek ni, Harris? Saya cuma berbual dengan Sakeena tadi” buntu Rahadatul ‘Aisy melihat Umayr Harris yang pulang dengan wajah yang merah padam. Tiba-tiba baran tidak tentu fasal. Baru tadi hatinya menanam azam untuk berbaik-baik dengan Umayr Harris. Kalau macam inilah perangai Umayr Harris, dia perlu fikir beribu-ribu kali dengan tindakannya. Tak habis-habis dengan cemburu buta.

“’Aisy jangan bohong abang. Takkan cakap dengan Sakeena sampai perlu bersayang-sayang?” soal Umayr Harris tidak percaya membuatkan Rahadatul ‘Aisy mendengus perlahan. 


Sejak dari dulu sehingga ke hari ini, Umayr Harris memang tidak pernah percayakannya seratus peratus. Ada sahaja rasa curiga terhadap kesetiaannya sebagai seorang isteri di hati Umayr Harris. Dia sendiri tidak faham kenapa Umayr Harris perlu berperasaan begitu. Hendak dikatakan dia mempunyai wajah secantik ratu atau tubuh langsing persis model jauh sekali. Perwatakannya pun tidaklah menarik sehingga mampu membuatkan hati mana-mana lelaki cair dengannya. Semakin serabut kepalanya memikirkan kerenah Umayr Harris.

“Sakeena kawan baik saya. Salah ke kalau saya sayangkan kawan saya sendiri” suara Rahadatul ‘Aisy lemah sambil memejamkan matanya. Serangan migrain di kepala yang sudah reda kembali menggila.

“Abang tak percaya. Cakap, siapa lelaki yang call ‘Aisy tadi?” keras suara Umayr Harris. Semakin hangat hatinya melihatkan Rahadatul ‘Aisy yang seolah-olah tidak acuh dengan pertanyaannya.
“Mana ada lelaki, Harris. Sakeena yang call saya. Kalau awak tak percaya awak check call register dalam telefon saya ini. Tengok siapa orang terakhir yang call” ujar Sakeena seraya mengunjukkan telefonnya kepada Umayr Harris. Dia sudah tidak larat hendak bertekak dengan Umayr Harris.

Pantas Umayr Harris menyambut telefon bimbit isterinya. Berubah riak wajahnya apabila terbukti kebenaran kata-kata Rahadatul ‘Aisy. Dia meraup rambutnya dan beristighfar di dalam hati. Sekali lagi dia tewas untuk berfikir dengan waras akibat cemburu yang dibiarkan menguasai diri.

“Awak memang tidak pernah percayakan saya kan? Dari dulu sampai sekarang. Walaupun saya ini isteri awak yang derhaka, tapi saya masih belum tergamak hendak menduakan awak” balas Rahadatul ‘Aisy berkecil hati seraya menuruni katil dan melangkah lemah keluar bilik. Dia rimas melayan cemburu Umayr Harris yang tidak pernah habis.

“’Aisy nak ke mana tu?” pertanyaan Umayr Harris hanya dibiarkan sepi. Rajuk di hati membuatkan mulutnya berat untuk menjawab soalan Umayr Harris. Di tangannya tergenggam botol ubat migrain. Dia ingin ke dapur untuk mendapatkan air. Sudah tidak tahan menanggung sakit yang semakin menyenakkan kepala.

Perlahan-lahan, Rahadatul ‘Aisy melangkah menuruni tangga. Walaupun pandangan matanya berpinar-pinar, dia tetap menggagahkan dirinya. Rasa sakit di hati membuatkan dia degil dan ego untuk meminta pertolongan Umayr Harris. Namun, dek pandangan matanya yang berpusing-pusing menyukarkan dirinya untuk mengagak tinggi rendah anak tangga yang dipijak. Hampir sahaja dia terjatuh apabila langkah kakinya hilang pertimbangan. Umayr Harris yang mengekorinya dari belakang pantas memaut bahunya. Di cempung tubuh Rahadatul ‘Aisy sehingga ke ruang tamu. Tubuhnya dibaringkan di atas sofa.

Kemudian, Umayr Harris hilang ke arah dapur dan tidak lama kemudian lelaki itu kembali dengan sepinggan nasi dan air. Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Setiap kali dia cuba menjadi kuat di depan Umayr Harris, pasti sebaliknya yang berlaku.

“Makan nasi dulu sebelum makan ubat” ujar Umayr Harris sambil mula menyuapkan sesudu nasi ke mulut Rahadatul ‘Aisy. Ubat yang digenggam oleh Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris faham isterinya diserang migrain.

“Tak apa, saya boleh suap sendiri” tolak Rahadatul ‘Aisy. Melihat keengganan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris mengalah dan membiarkan isterinya menyuap sendiri. Setelah tiga sudu nasi masuk ke perutnya, Rahadatul ‘Aisy berhenti.

“Kenapa makan sikit sangat?” tanpa menghiraukan pertanyaan Umayr Harris, Rahadatul ‘Aisy segera menelan dua biji ubat migrain. Disandarkan badannya pada sofa. Beberapa minit kemudian kepalanya yang berat terasa sedikit ringan.

“Dah okay sikit?” tanya Umayr Harris sambil memandang risau isterinya. Rahadatul ‘Aisy hanya menjawab dengan anggukan.

“Sayang, abang minta maaf fasal tadi” mohon Umayr Harris dengan rasa bersalah. Dia merasa cukup menyesal dengan tindakan terburu-burunya. Kerana amarah, langsung dia tidak perasan wajah isterinya yang pucat menahan kesakitan. Kadang-kadang dia gagal juga mengawal baran nya walaupun sudah hampir dua tahun dia mengikuti kaunseling untuk mengawal rasa marah.

“Tak perlu awak ragu kesetiaan saya pada awak, Harris. Kalau saya hendak curang, empat tahun dulu saya sudah buat. Tak perlu saya tunggu sekarang dan di depan awak. Lagipun, saya tahu status saya sebagai seorang isteri” ujar Rahadatul ‘Aisy perlahan, cuba membuatkan Umayr Harris mengerti. Namun, kata-kata itu membuatkan riak wajah Umayr Harris kembali berubah tegang.

“Betul ‘Aisy tak pernah curang pada abang?” soal Umayr Harris curiga memandang Rahadatul ‘Aisy dengan pandangan yang sukar dimengerti. Entah kenapa ayat tanya itu membuat hati Rahadatul ‘Aisy terusik.

“Tak pernah, Harris. Tak pernah walaupun sekali” balas Rahadatul ‘Aisy dengan tegas.

“’Aisy pasti ke? Cuba ‘Aisy fikirkan betul-betul. Maybe you’ve got something to confess” buntu Rahadatul ‘Aisy mendengarkan kata sinis yang dituturkan oleh Umayr Harris.

What do you mean, Harris? Apa lagi yang awak hendak tuduh saya, Harris? Apa yang telah berlaku selama ini tidak cukup ke untuk buatkan awak percaya kepada saya?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Rahadatul ‘Aisy. Soalan sinis Umayr Harris benar-benar mencabar kesabarannya.

Takkan Umayr Harris masih tidak puas hati dengan fitnah video yang memaparkan wajah perempuan mirip sepertinya. Bukankah semua fitnah itu sudah terjawab dan dijelaskan. Malah, Sakeena dan Raziq sendiri berjumpa dengan Umayr Harris untuk menunjukkan alibi bagi membuktikan bukan dia watak utama yang dimainkan dalam video itu. Mujurlah, pada tarikh dan waktu video lucah tersebut dirakamkan, dia sedang mengikuti bengkel di Hotel Pan Pasific, Johor Baru. Kebetulan, aktiviti dan ragam peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut turut dirakam dalam bentuk gambar dan video. Sakeena dan Raziq lah yang bersusah payah mendapatkan salinan video daripada pihak penganjur. Semata-mata ingin membersihkan nama baik Rahadatul ‘Aisy.

How about Jason Alexander Carter? Didn’t you remember those 33 roses that he gave on your convocation day?” pertanyaan sinis Umayr Harris benar-benar membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpempan. Dia sangat terkejut dengan nama yang disebut oleh Umayr Harris. Dan apa yang lebih mengejutkannya macam mana Umayr Harris boleh mengetahui semua itu.

“Macam mana awak tahu tentang Jason?” tajam anak mata Rahadatul ‘Aisy memandang Umayr Harris. 


Jason merupakan teman baiknya semasa dia di London. Kebetulan, Jason merupakan pegawai penyelidik yang banyak membantunya dalam kajian yang dilakukannya. Malah, hubungan mereka semakin rapat apabila Jason sering bertanyakan padanya perihal Islam. Pemikiran Jason yang terbuka membuatkan dia selesa berbincang dan bertukar pendapat dengan lelaki British itu. Tetapi, keakraban mereka tidak pernah melebihi batas persahabatan.

“Macam mana abang tahu itu tak penting. Yang penting sekarang ini abang hendak tahu apa hubungan ‘Aisy dengan mat salleh tu. You never confess anything about Jason to me

“Apa yang saya nak confess? Sebab saya tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa dengan Jason. He just my best buddy in London. Nothing more!” balas Rahadatul ‘Aisy geram. Curiga Umayr Harris memang melampau. Semakin sakit hatinya melihat senyuman sinis di bibir lelaki itu.

Best buddy sehingga berikan hadiah bunga ros. 33 kuntum, sayang. ‘Aisy tahu tak apa simbolik 33 kuntum tu? It’s mean I LOVE YOU” bentak Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin rimas.

For God sake, ia hanyalah bunga. Ia tidak pernah bawa apa-apa makna pun pada saya” pertahan Rahadatul ‘Aisy. Dia memang tidak pernah tahu apa makna di sebalik bilangan kuntum bunga ros yang dihadiahkan oleh Jason. Sebenarnya dia memang tidak pernah ambil kisah. Dia menerima pemberian Jason atas dasar kawan. Tidak pernah langsung dia merasa ragu. Tetapi, kenapa Umayr Harris perlu mempersoalkan kejujurannya dengan membangkitkan sekecil-kecil perkara. Hanya kerana bunga ros boleh membuatkan Umayr Harris cemburu padanya!

“Abang tak sangka taste ‘Aisy berciri antarabangsa juga ya” pedas sindiran Umayr Harris membuatkan hati Rahadatul ‘Aisy semakin terguris. Dek gagal mengawal rasa marah dan kecewa yang membuak-buak, air mata akhirnya tumpah.

“Cukuplah, Harris. Tak guna saya bertekak dengan awak” ujar Rahadatul ‘Aisy sambil bangun menuju ke tingkat atas. Rawan hatinya dengan tuduhan Umayr Harris membuatkan dia tidak betah lagi berada di situ. Lagipun, ada tanggungjawab yang belum ditunaikan. Lebih baik dia solat Asar, sekurang-kurangnya dengan mengadu kepada Tuhan, hatinya yang sakit sedikit terubat dan tenang.

11 comments:

  1. alahai si harris ni.. geram pulak dgn perangai dia.. apa2 pun.. best~~~~

    ReplyDelete
  2. p/s: senang2 aisy kahwin je dgn jason tu.. hahahaha

    ReplyDelete
  3. nak ke aisy kawen ngan jason? hahahaha...

    ReplyDelete
  4. ishh...npe la harris ni...angin je..

    ReplyDelete
  5. harris tak berubah langung..suka tuduh tanpa usul periksa..haraplah dia berubah sebab takut peristiwa 4 tahun lepas berulang lagi..anyways,waahh,aisy ada peminat tu..:)kak iman,nak happy ending tau hehe :)

    ReplyDelete
  6. harris ni asyik cemburu buta je la..iskkk...

    ReplyDelete
  7. aisy patut confess perasaan cinta die kat harris...myb harris rasa kedudukan die tergugat dan myb harris nak bukti kot...tp, jgn lah smp wat aisy mcm tu...sian aisy, die kan baru sihat tu...jgn lah gaduh2 lagi ea cik writer...

    ReplyDelete
  8. adoi.. over la plak si harris ni.. rimas seh dpt hubby yg sgt cemburu buta ni.. jaga la hati isteri~ org tu dahla baru kuar dari hospital..

    ReplyDelete
  9. over kan si harris ni? itulah resam rumahtangga, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. hehehe...

    ReplyDelete
  10. cemburu tahap gaban inche Harris nih..

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..