Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 20 December 2011

Titian Cinta: Bab 17

“Harris!” bulat mata Rahadatul ‘Aisy merenung susuk tubuh Umayr Harris yang tercegat di depan pintu. Seraut wajah yang suram itu dipandang lama. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat oleh kornea matanya. Dia terperanjat dengan kehadiran Umayr Harris tetapi pada masa yang sama, hatinya lega kerana masih berpeluang menatap wajah yang dirindu itu.

“Kenapa tak siap kemas lagi ini?” tanya Umayr Harris dengan suara yang mendatar membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin pelik. Sudahlah lelaki ini muncul dengan tiba-tiba. Dan kini mengarahkannya berkemas untuk apa? Takkan Umayr Harris ingin menjemputnya keluar hospital?

“Kenapa awak datang sini?” soalan Umayr Harris dibalas Rahadatul ‘Aisy dengan pertanyaan.


Tunak dia memerhatikan wajah Umayr Harris yang beriak selamba. Reaksi biasa lelaki itu seperti tiada apa-apa yang telah berlaku. Bukankah Umayr Harris sudah bertekad untuk pergi jauh dari hidupnya? Apa yang membuat lelaki ini berubah fikiran? Mungkin Umayr Harris  sudah sejuk hati dengannya. Telahannya membuatkan perasaan Rahadatul ‘Aisy menjadi lapang. Semalaman dia tidak dapat tidur kerana dihimpit rasa bersalah dengan kekasaran yang telah dikeluarkan kepada Umayr Harris. Ditambah pula dengan nasihat Hafeeza tentang dosa seorang isteri yang menderhaka. Semakin membuatkan jiwanya gundah gulana.

“Bawa ‘Aisy baliklah, buat apa lagi” ringkas jawapan Umayr Harris dengan nada yang dingin. Ternyata telahan Rahadatul ‘Aisy silap. Tiada lagi panggilan sayang yang meniti di bibir Umayr Harris cukup menandakan yang dia benar-benar merajuk hati dengan Rahadatul ‘Aisy. Mungkin kehadiran Umayr Harris hanyalah untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Sekurang-kurangnya tidaklah nanti dia dituduh seorang suami yang lepas tangan.

“Bawa balik? Tapi, Doktor Asyraff cakap saya cuma akan dibenarkan keluar petang nanti” tingkah Rahadatul ‘Aisy ragu-ragu. Pagi tadi memang Doktor Asyraff ada memaklumkan kepadanya yang urusan daftar keluar dia dari hospital mungkin hanya akan dapat diselesaikan lewat petang kerana beberapa pegawai perubatan yang bertugas di wad itu terlibat dengan pembedahan penting sepanjang hari.

“Abang minta kebenaran Doktor Asyraff untuk keluarkan ‘Aisy tengah hari ini juga. Lagipun petang nanti abang sibuk, ada meeting penting dengan client utama syarikat. Sepatutnya meeting ni minggu lepas lagi. Tetapi banyak hal pula yang berlaku, terpaksa abang tangguh. Sekarang dia orang dah bising” beritahu Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy sedikit terasa. Intonasi suara Umayr Harris secara tersirat menunjukkan yang dia tidak senang dengan apa yang berlaku kepada Rahadatul ‘Aisy yang sedikit sebanyak seperti telah mengganggu urusan perniagaannya.

“Awak tak perlu uruskan hal saya kalau awak sibuk. Lagipun…”

“Habis tu, ‘Aisy nak orang cakap abang ini suami yang tak bertanggungjawab? Seronok bila dengar orang tuduh abang begitu?” bentak Umayr Harris dengan nada suara yang keras memotong percakapan Rahadatul ‘Aisy. Baran yang ditunjukkan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak.

“Err..bukan maksud saya macam tu. Saya cuma tak nak awak terasa terbeban” tergagap-gagap Rahadatul ‘Aisy menyampaikan kata-katanya.

“’Aisy takut abang rasa terbeban ke atau ‘Aisy sengaja mencari alasan untuk mengelak daripada abang?” tuduhan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpisat-pisat. Dia menjadi tidak berani untuk membalas kata-kata lelaki itu. Umayr Harris di depannya kini adalah Umayr Harris yang dikenalinya empat tahun yang lalu. Umayr Harris yang baran, kaku dan dingin.

“Dahlah, kita dah lambat ni. Abang dah uruskan bil hospital dan ubat ‘Aisy pun abang sudah ambil di farmasi” sambung Umayr Harris sambil menunjukkan satu plastik ubat di tangannya. Sengaja dia melembutkan suara apabila melihat Rahadatul ‘Aisy yang kegelisahan. Tanpa menunggu tindak balas daripada isterinya, Umayr Harris menuju ke almari pakaian dan mula memasukkan semua pakaian dan barang keperluan Rahadatul ‘Aisy ke dalam beg dengan rakus.

“Err..tak apalah. Nanti saya kemaskan sendiri. Lagipun, Sakeena dah janji nak ambil saya  petang nanti” teragak-agak Rahadatul ‘Aisy menghalang Umayr Harris daripada mengemas barangnya. Melihatkan wajah Umayr Harris yang sukar dibaca air mukanya membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin cuak. Apatah lagi rasa segan yang menerpa apabila Umayr Harris dengan selamba memasukkan pakaian dalamnya dan beberapa barang keperluan wanita miliknya ke dalam beg.

No, abang tak nak dengar apa-apa alasan pun. Tengah hari ini ‘Aisy kena balik dengan abang dan tinggal bersama dengan abang di rumah kita. Abang tak nak ‘Aisy tinggal dengan Sakeena dan Hafeeza lagi” putus Umayr Harris dengan tegas membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Dia menelan liurnya pahit. Kenapa lelaki ini tiba-tiba memaksanya untuk berpindah ke rumahnya pula?

“Mana boleh awak buat macam tu” bangkang Rahadatul ‘Aisy tidak puas hati dalam takut-takut. Bukankah selama ini Umayr Harris sendiri bersetuju membenarkan dia tinggal bersama-sama dengan teman-temannya?

“’Aisy jangan lupa. Abang suami ‘Aisy. Seorang isteri wajib mentaati perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak. Mulai hari ini abang tak nak ‘Aisy lawan cakap abang. No more compromise” keras sekali nada suara Umayr Harris menggambarkan ujarnya yang tetap. Kedua-dua belah rahangnya bergerak-gerak menahan geram dengan sikap degil yang ditunjukkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Kenapa sukar sangat isterinya hendak menunaikan permintaannya? Kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Dia sebenarnya cukup sedar dengan kebenaran yang diungkapkan oleh Umayr Harris.

“Saya tahu, tapi bukan ke dahulu awak juga yang izinkan saya tinggal dengan Sakeena dan Hafeeza” tingkah Rahadatul ‘Aisy lemah. Terbit juga rasa gerun melihatkan ketegasan Umayr Harris. Tiada langsung kelembutan di wajah itu. Setiap ayat yang terpacul keluar juga  kedengaran cukup dingin. Umayr Harris di depannya kini cukup berbeza.

“Itu dulu. Sekarang tak lagi. Dahlah, cepat tolong abang kemaskan semua barang ‘Aisy ni” ujar Umayr Harris sambil tangannya lincah menyumbat semua pakaian ke dalam beg.
“Tapi…”

“Apa lagi yang tak puas hati ini? I don’t want to hear any excuses. Either you like it or not, you have to stay with me. This is my final decision. T. I. T. I. K” intonasi suara Umayr Harris yang tinggi membuatkan Rahadatul ‘Aisy kecut. Dalam terpaksa, dia akhirnya akur dengan kemahuan Umayr Harris. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata nasihat yang diberikan oleh Hafeeza semalam. Dengan wajah yang cemberut dia mula mengemas barang-barangnya.

“Hujung minggu ini, kita ambil semua barang ‘Aisy di rumah sewa” beritahu Umayr Harris langsung tidak mempedulikan ketegangan di wajah Rahadatul ‘Aisy. Dek rasa sebal yang mula merajai hatinya, Rahadatul ‘Aisy hanya membiarkan sepi kata-kata Umayr Harris.

“Dengar tak abang cakap?” tanya Umayr Harris kuat membuatkan Rahadatul ‘Aisy sedikit tersentak.

“Ya, dengar” jawab Rahadatul ‘Aisy acuh tidak acuh. Langsung dia tidak memandang wajah Umayr Harris.

Setelah semua urusan pendaftaran keluar hospital selesai, dengan langkah terpaksa Rahadatul ‘Aisy mengikut Umayr Harris pulang ke banglo mewah milik Umayr Harris. Di sepanjang perjalanan masing-masing mendiamkan diri, hanya lagu sentimental yang berkumandang memecah kesepian. Lebih-lebih lagi Rahadatul ‘Aisy, termangu-mangu dia berteka-teki menjawab pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran. Semakin kusut apabila memikirkan kemunculan Umayr Harris dan perubahan mendadak lelaki itu. Persoalan yang dia tidak ketemu jawapan sehinggalah kereta yang dipandu Umayr Harris memasuki perkarangan rumah.

Dengan rasa berat, Rahadatul ‘Aisy melangkah masuk ke dalam banglo yang tersergam indah itu. Baru dua kali dia menjejakkan kaki ke situ. Berada di dalam rumah agam yang serba mewah itu membuatkan dia kekok. Apatah lagi apabila hanya berdua bersama Umayr Harris di situ.

Senyap-senyap Rahadatul ‘Aisy mencuri pandang pada seraut wajah tampan milik Umayr Harris yang sedang menyandarkan tubuhnya ke sofa. Setiap inci wajah itu diterokai dengan penuh asyik. Sepasang mata milik lelaki itu yang terpejam jelas membiaskan kepenatan di wajah itu.

“Kenapa tercegat lagi itu? Pergilah masuk bilik. ‘Aisy kena banyak berehat” teguran Umayr Harris tanpa membuka mata membuatkan Rahadatul ‘Aisy serta-merta mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia ini ada ilmu batin ke? Mata terpejam rapat tapi boleh nampak aku yang masih tercongok dekat sini. Omel Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.

“Okay” balas Rahadatul ‘Aisy sepatah seraya melangkah perlahan menaiki tangga yang diperbuat daripada kayu jati. Sampai di tingkat atas, Rahadatul ‘Aisy segera menuju ke arah bilik kedua yang bersebelahan dengan bilik utama. Bilik yang menjadi tempat beradu nya sewaktu kali pertama dia datang ke rumah itu. Dia tahu bilik utama adalah bilik tidur Umayr Harris, jadi memang sahlah dia tidak boleh mengganggu dan menceroboh bilik itu. Takkan dia hendak berkongsi bilik dengan Umayr Harris pula.

“’Aisy nak masuk bilik siapa tu?” pertanyaan Umayr Harris sekali lagi menyentakkan Rahadatul ‘Aisy. Dia langsung tidak sedar Umayr Harris mengekorinya naik ke tingkat atas. Sangkanya Umayr Harris masih berada di ruang tamu.

‘Err..bilik inilah. Kenapa? Bilik ini dah ada orang punya ke?” soal Rahadatul ‘Aisy dengan kening yang berkerut.

“Semua bilik dalam rumah ini occupied kecuali master bedroom” kata-kata Umayr Harris semakin membuatkan Rahadatul ‘Aisy keliru. Setahu dia penghuni rumah itu selama ini hanyalah Umayr Harris, macam mana semua bilik lain boleh penuh? Buat stor ke? Atau ada tetamu halus yang tidak diundang menghuni bilik-bilik lain. Mungkin juga. Rumah besar selalu dikaitkan dengan unsur-unsur ghaib ini. Tiba-tiba bulu roma nya meremang.

“Kalau macam tu, lebih baik saya tinggal dengan Sakeena dan Hafeeza saja” balas Rahadatul ‘Aisy seram sejuk.

No way. Abang takkan benarkan. ‘Aisy pergi masuk dalam master bedroom. Itu bilik ‘Aisy. Semua barang kelengkapan ‘Aisy ada dalam bilik itu” ujar Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy kaget. Kata-kata Umayr Harris itu seolah-olah lebih menakutkan daripada khayalan seram yang difikirkannya tadi.

“Habis tu awak pula nak guna bilik mana?” soalan Rahadatul ‘Aisy mengundang senyuman sinis di bibir Umayr Harris.

Master bedroom lah, mana lagi” jawab Umayr Harris selamba. Namun, jawapan itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy tidak senang duduk.

“Takkan saya kena kongsi bilik dengan awak?” bentak Rahadatul ‘Aisy.

“Kenapa? Berdosa ke suami isteri berkongsi bilik yang sama? Setahu abang, isteri yang mengabaikan suami itu yang berdosa” sinis pertanyaan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy kematian kata. Rahadatul ‘Aisy sedar dia sebenarnya tidak mempunyai alasan yang logik untuk menjawab soalan Umayr Harris. Memanglah sepatutnya suami isteri yang normal berkongsi bilik tidur yang sama. Cuma, baginya keadaan rumah tangga mereka yang bagai dilanda ombak ganas itu membuatkan dia belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab seorang isteri. Dia perlukan masa, masa yang tiada berpenghujung nya.

“Saya sedar cuma saya belum bersedia. Saya perlukan masa” tutur Rahadatul ‘Aisy perlahan. Sudah terlalu lama dia hidup bersendirian. Jadi, untuk kembali tidur sekatil dengan seorang lelaki yang bergelar suami, dia perlukan kekuatan diri. Terlalu banyak kisah lama yang membuatkan dirinya menjadi trauma. Memanglah hatinya telah rada memaafkan tetapi untuk melupakan semua kisah hitam itu, dia perlukan masa. Luka walaupun sudah sembuh masih lagi meninggalkan parut.

“Sampai bila, sayang? Empat tahun lebih kita mensia-siakan hidup kita. Abang rasa sudah sampai masanya abang tuntut hak abang sebagai seorang suami. Like I said before, I won’t compromise anymore!” serentak itu Umayr Harris menarik tangan Rahadatul ‘Aisy masuk ke dalam bilik utama. Tersentap jantungnya dengan tindakan Umayr Harris, namun tarikan kuat itu memaksanya untuk menuruti langkah Umayr Harris.

“’Aisy baringlah dekat katil kalau penat. Kalau hendak mandi, toiletries abang dah sediakan dalam bilik air. Makanan abang dah siapkan di atas meja makan” pesan Umayr Harris setelah mendudukkan Rahadatul ‘Aisy di birai katil. Rahadatul ‘Aisy hanya menundukkan wajahnya resah. Dia menjadi tidak berani menentang mata suaminya.

“Abang kena gerak ke jumpa client sekarang. Sejam lagi abang balik. I’ll call or text you every 10 minutes. Jangan tak angkat atau tak balas mesej abang pula” ujar Umayr Harris seraya melihat jam di pergelangan tangannya. Dengan segera dia menghampiri pintu bilik.

One more thing. Jangan pandai-pandai nak keluar dari rumah. Kalau hendak ke mana-mana tunggu sampai abang balik. Anything just call me” pesan Umary Harris tegas sebelum tubuh tegap itu hilang di sebalik pintu. Tidak lama selepas itu Rahadatul ‘Aisy mendengar enjin kereta dihidupkan dan menderu keluar dari kawasan rumah itu.

Rahadatul ‘Aisy mendengus lemah. Rimas dengan paksaan demi paksaan yang dibuat oleh Umayr Harris. Emosinya tertekan dengan ketegasan yang dipamerkan oleh Umayr Harris. Kepalanya dirasakan pening tiba-tiba. Semua objek yang dipandang dirasakan berpusing-pusing. Mungkin migrainnya kembali menyerang. Lantas dia membaringkan tubuhnya di atas tilam empuk itu. Cuba mencari keselesaan. Akhirnya dengan kepala yang memberat dengan pelbagai masalah, dia terlena.

7 comments:

  1. harap2 rumahtangga dorang kembali pulih...next please...hehe

    ReplyDelete
  2. mungkin tindakan Umayr yg tegas sedikit dgn Rahadatul 'Aisy adalah tepat,mana tau lama2 nt hbgn mrk akan jd semakin baik...klu Umayr ikut sj kemahuan Rahadatul, hbgn mrk akan jd semakin jauh....

    ReplyDelete
  3. bagus tindakan umayr tu...kena tegas sikit dgn aisy...titik permulaan yg lebih baik utk hubungan diorg...

    ReplyDelete
  4. walaupun cerita ni sedih, ending dia kena happy~

    ReplyDelete
  5. ramai betul request eppy ending ya..hehehe...next n3 nak mcm mana pulak? sedih or romantik? :D

    ReplyDelete
  6. oh... bagus juga umayr bertegas ngan 'aisy..

    ReplyDelete
  7. harris buat mcm ni mesti sbb dia terdengar perbualan dorang bertiga kat hospital dulu..

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..