Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 18 December 2011

Titian Cinta: Bab 16

Hari ini genap seminggu Rahadatul ‘Aisy ditahan di hospital. Luka pembedahan juga semakin sembuh. Kebiasaannya, proses pulih pesakit yang menjalani pembedahan laparoscopic yang dikategorikan sebagai minimal invasive procedure ini lebih cepat berbanding pembedahan major yang lain. Esok mungkin dia akan dibenarkan pulang. Dia sendiri sudah tidak sabar untuk keluar dari hospital. Tiada siapa sebenarnya yang seronok tinggal di rumah sakit. Hanya terlantar di atas katil dengan aktiviti asas makan dan tidur. Rongga pernafasan pula sudah muak menghidu aroma udara yang berbau ubat-ubatan.

“Assalamualaikum, ‘Aisy” terdengar satu suara lembut memberi salam. Rahadatul ‘Aisy sedia maklum, pada waktu tengah hari begini dia akan menerima kunjungan daripada Hafeeza dan Sakeena.

“Waalaikumsalam” balas Rahadatul ‘Aisy menjawab salam. Senyuman terukir di bibirnya tatkala melihat kelibat dua orang teman serumahnya. Dua orang sahabat yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan dan bergilir menemaninya di hospital saban malam sejak seminggu yang lalu. Mujur ada mereka berdua. Jika tidak entah bagaimana Rahadatul ‘Aisy ingin menguruskan diri dalam keadaan yang tidak berupaya.

Hendak membebankan keluarga di kampung jauh sekali. Disebabkan itu dia sanggup menyembunyikan keadaan kesihatannya daripada pengetahuan keluarganya di kampung. Awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada Sakeena untuk merahsiakan. Bimbang jika kesihatan emak dan ayahnya akan terganggu. Lagipun dia tidak mahu memanjangkan cerita. Takut akan mencetuskan pelbagai soalan berbangkit. Banyak perkara yang selama ini dirahsiakan akan terbongkar nanti. Lebih banyak hati yang akan terluka. Jadi, dia lebih rela menanggung keperitan ini seorang diri untuk kebaikan semua. Berpura-pura tabah dengan menunjukkan sisi luarannya yang kuat tetapi hakikat yang sebenar dalamannya cukup rapuh.

“Macam mana hari ini? Sihat?” soal Sakeena berbasa-basi sambil menenggekkan punggungnya di birai katil. Raut wajah Rahadatul ‘Aisy yang sedikit segar kemerahan sudah menjelaskan tahap kesihatan Rahadatul ‘Aisy yang semakin baik. Cuma dia perasan tiada keserian di wajah itu. Rahadatul ‘Aisy di depannya kini lebih banyak mendiamkan diri dan sering menghabiskan masa dengan termenung jauh.

“Alhamdulillah. Makin sihat. Doktor beritahu aku tadi. Mungkin besok petang aku dah boleh keluar” beritahu Rahadatul ‘Aisy dengan tersenyum nipis. Lega hatinya apabila memikirkan yang dia tidak lagi perlu berkurung di hospital. Menjadi pesakit banyak membataskan pergerakannya. Sekurang-kurangnya dia boleh melakukan pelbagai aktiviti jika berada di rumah atau di pejabat. Dapat juga dia melekakan diri daripada terus melayan perasaan yang bukan-bukan.

That’s great. Jadi, besok ‘Aisy nak kita orang jemput ke? Atau Harris yang datang ambil?” soal Hafeeza menyambut gembira perkhabaran yang disampaikan. Terkedu Rahadatul ‘Aisy tatkala mendengar nama Umayr Harris disebut.

“Yalah, Feeza. Kalau tidak kita siapa lagi. Kalau hendak harapkan si Harris itu berjanggut lah menunggu jawabnya” jawab Sakeena dengan nada sinis membuatkan air muka Rahadatul ‘Aisy berubah suram. 


Sudah hampir lima hari Umayr Harris menyepikan diri. Umayr Harris benar-benar menunaikan permintaannya untuk menjauhkan diri daripadanya. Nampaknya, kata-kata kejamnya berjaya merobek hati dan membunuh perasaan lelaki itu. Biarlah, memang itu yang dia harapkan, untuk membuatkan Umayr Harris terus mengalah dengannya. Walaupun hatinya sendiri terluka pedih.

“Tak baik tuduh macam tu, Keena” teguran Hafeeza membuatkan hati Sakeena semakin membahang.

“Aku bukannya menuduh membabi buta, Feeza. Kau tak perasan ke sudah lima hari Harris tak jenguk langsung ‘Aisy dekat sini. Suami apa macam itu yang langsung tak bertanya khabar kesihatan isteri. Mula-mula itu bukan main terhegeh hendak menjaga ‘Aisy” luah Sakeena tidak puas hati. 


Bukannya dia marahkan Hafeeza yang membela Umayr Harris. Dia faham mungkin Hafeeza berkata begitu kerana temannya itu tidak tahu hujung pangkal kisah sedih Rahadatul ‘Aisy. Cuma dia tidak mampu lagi menahan rasa geram yang membukit di hati terhadap sikap sambil lewa Umayr Harris.

“Mungkin dia sibuk. Yalah, Harris kan usahawan berjaya. Mungkin dia banyak urusan yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak boleh ditinggalkan” balas Hafeeza bersangka baik cuba meredakan ketegangan Sakeena. 


Kata-kata Hafeeza itu mengingatkan Rahadatul ‘Aisy pada bait-bait indah yang pernah dituturkan Umayr Harris padanya. You are worth more than millions ringgit. Hatinya menjadi semakin rawan.

“Sibuk lah sangat. Sibuk berkepit dengan perempuan seksi adalah” beritahu Sakeena geram. Empat hari yang lalu, secara kebetulan dia terserempak dengan Umayr Harris sedang berjalan beriringan dengan seorang perempuan cantik di pusat membeli belah Mid Valley. Laju mulutnya menyampaikan berita yang berjaya membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy bertambah suram. Tidak sedar perkhabaran itu hanya membuatkan temannya semakin terluka. 


Cepat awak menemui pengganti. Orang seperti awak, petik sahaja jari pasti berderet perempuan beratur ingin mendampingi. Semoga berbahagia, Harris. Bisik hati Rahadatul ‘Aisy terasa.

“Kalau sibuk sekalipun, setakat datang menjenguk beberapa minit bukannya boleh lingkup pun business. Manusia ini, Feeza. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak macam-macam alasan boleh bagi” sambung Sakeena lagi. Entah kenapa petang itu dia seakan tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya terhadap nasib yang telah menimpa Rahadatul ‘Aisy.

“Sebenarnya, Keena. Harris tak salah” ujar Rahadatul ‘Aisy perlahan. Terbit rasa bersalah di hatinya apabila mendengar ungkapan yang dituturkan Sakeena. Hafeeza hanya mendengar tanpa bicara. Memang dia tidak tahu perkara sebenar yang telah menimpa Rahadatul ‘Aisy. Baginya terlalu banyak misteri yang disimpan oleh wanita ini.

“’Aisy, kau ni kenapa? Dalam keadaan macam ini pun kau masih nak membela dia? Kau dah lupa apa yang Harris dah buat pada kau dulu? Sampaikan kau terpaksa menderita begini? Aku yang melihat penderitaan kau pun terasa sakitnya, ‘Aisy. Apatah lagi kau yang menanggungnya” semakin sakit hati Sakeena dengan tindak balas Rahadatul ‘Aisy. Kenapa sahabatnya itu menjadi buta kerana cinta?

“Memang dia tak salah, Keena. Bukan kehendak dia untuk tidak mempedulikan aku di sini. Aku... aku yang halang dia, Keena. Aku yang minta dia pergi dari hidup aku. Aku lukakan hatinya sehingga dia bertekad untuk terus melenyapkan dirinya daripada pandangan aku” beritahu Rahadatul ‘Aisy lirih. Setitik air matanya gugur. Tidak sanggup dia membiarkan Sakeena berterusan meletakkan kesalahan di pundak Umayr Harris. Sedangkan, dia yang sepatutnya dipersalahkan.

“’Aisy, maafkan aku. Aku…” tubuh Rahadatul ‘Aisy yang semakin susut dirangkul erat. Sakeena mengetap bibir menyedari keterlanjuran kata yang meluncur keluar dari mulutnya sehingga membuatkan dia terlupa ada hati yang perlu dijaga.

“Aku yang salah, Keena. Aku isteri yang tidak sempurna, Keena” tukas Rahadatul ‘Aisy dalam sendu. Hafeeza yang memerhati turut merasa sayu.

“Kenapa ini, ‘Aisy? Ada sesuatu yang kau sembunyikan daripada aku ke?” soal Sakeena seperti dapat menangkap sesuatu. Rahadatul ‘Aisy menyeka air mata yang tumpah. Dia menarik nafas dalam dan perlahan-lahan menghela nya. Cuba mencari kekuatan untuk menceritakan duduk perkara yang sebenar.

“Aku dah tak boleh mengandung lagi. Doktor sudah sahkan peluang untuk aku hamil tipis” perit sekali tekaknya untuk menuturkan hakikat itu.

“Ya Allah, ‘Aisy. Kenapa perkara sebesar ini kau sembunyikan daripada aku?” terpempan Sakeena mendengarkan perkhabaran yang disampaikan kepadanya. Tangan Rahadatul ‘Aisy digenggam lembut.

“Maafkan aku. Aku perlukan masa untuk menerima semua ini, Keena. Walaupun aku memang menjangkakan perkara ini sejak aku di UK lagi” ujar Rahadatul ‘Aisy membalas genggaman Sakeena.

“Harris tahu fasal ini?” soal Sakeena. Rahadatul ‘Aisy cuma membalas dengan anggukan mengiakan pertanyaan temannya itu.

“Jadi, Harris dah tahu semuanya? Fasal pembedahan membuang ovari juga?” tanya Sakeena lagi. Sekali lagi jawapan Rahadatul ‘Aisy disampaikan melalui anggukan. Meletus keluhan kecil di bibir Sakeena.

“Habis itu Harris tak dapat terima semua ini? Dia sengaja tinggalkan kau sebab ini?” tebak Sakeena tidak sabar. Apa yang telah dilakukan oleh Umary Harris selama ini membuatkan dia menjadi pesimis terhadap lelaki itu. Mudah benar hatinya meneka yang bukan-bukan.
“Tak, Keena. Harris ingin terus bersama dengan aku. Terus mengharapkan aku untuk kembali hidup bersamanya. Dia ingin tebus semua kesilapannya pada aku dulu. Harris benar-benar sudah berubah, Keena. Dia langsung tak peduli dengan kekurangan aku ini. Sebaliknya dia terus melayan aku dengan cukup baik” beritahu Rahadatul ‘Aisy. Terbayang di ruang matanya saat Umayr Harris dengan penuh sabar melayan kedinginannya yang sengaja diciptanya.

“Habis itu kenapa sekarang Harris tak pedulikan kau pula?” soal Sakeena keliru. Kenapa Umayr Harris begitu tega menyerahkan tanggungjawab menjaga Rahadatul ‘Aisy yang sedang terlantar sakit kepadanya?

“Aku yang minta Harris tinggalkan aku walaupun pada mulanya dia berkeras untuk terus menjaga aku di sini. Sehingga aku terpaksa menyakitkan hatinya. Aku paksa diri aku menghamburkan kata-kata kasar padanya supaya dia percaya yang aku sudah tidak perlukannya lagi dalam hidup aku. Sekarang ini dia benar-benar berjauh hati dengan aku” perit dan sakit. Dua perkataan yang tepat untuk menggambarkan apa yang dirasa oleh Rahadatul ‘Aisy.

“’Aisy, kenapa kau seksa diri kau begini? Kau lukakan Harris dan pada masa yang sama beribu kali hati kau terluka” saat itu Sakeena sudah tidak mampu membendung air matanya daripada gugur. Tubuh Rahadatul ‘Aisy dipeluk. Simpatinya menggunung tinggi pada temannya itu.

“Aku terpaksa buat begitu, Keena. Sudah tiada maknanya jika aku kembali hidup bersama dengan Harris. Dia perlukan zuriat yang aku sendiri tidak mampu berikan. Kau kan tahu Harris satu-satunya cucu lelaki yang Hajah Mariah ada. Harapan Hajah Mariah terlalu tinggi untuk melihat zuriat Harris. Kalau dia terus mengharapkan aku, apa yang aku dapat berikan padanya melainkan kekecewaan” segala-gala yang terpendam diluahkan kepada Sakeena. Hafeeza yang memerhati turut bersimpati. Hebat sekali wanita ini diuji.

“Tapi, ‘Aisy. Kau tak boleh putus asa macam ni. Sekarang, teknologi perubatan pun dah canggih. Pelbagai ikhtiar yang kita boleh cuba untuk mendapatkan zuriat. Lagipun, ramai pasangan yang tidak dikurniakan anak tetapi mereka hidup bahagia saja. Paling tidak kau boleh ambil anak angkat” tingkah Sakeena seraya memberikan pendapat. Wajah sedih Rahadatul ‘Aisy dipandang dengan rasa terkilan. Terkilan kerana begitu sukar sahabatnya itu untuk mengecap bahagia dalam perkahwinan.

“Harris daripada keluarga berada. Sudah pasti keluarganya mahukan keturunan dari darah dagingnya sendiri. Mungkin ini sudah takdir hidup aku. Lagipun, mungkin sekarang ini Harris sudah menemui pengganti aku” ujar Rahadatul ‘Aisy pasrah. Walaupun hatinya menangis setiap kali mengenangkan Harris bersama perempuan lain, tetapi apa pilihan yang dia ada.

“Sabarlah, ‘Aisy. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya” tutur Hafeeza sambil menepuk lembut belakang Rahadatul ‘Aisy.

“Saya minta maaf, ‘Aisy. Mungkin saya tidak sepatutnya menyibuk dalam masalah awak. Tapi sebagai kawan, saya perlu beritahu awak. Memang orang kata anak adalah penyeri rumah tangga. Tetapi ia bukan jaminan pengikat kebahagiaan. Musibah yang menimpa awak ini sebenarnya adalah ujian dari Allah untuk awak dan Harris. Allah menguji kita dengan pelbagai cara. Susah, senang, miskin, kaya, kelebihan dan kekurangan semuanya adalah ujian. Yang penting kita menerima dan menangani ujian Allah itu dengan reda. Insya-Allah, di hujungnya pasti akan ada cahaya kebahagiaan untuk awak dan Harris” tenang suara Hafeeza menyapa gegendang telinga Rahadatul ‘Aisy. Sedikit sebanyak suara itu mampu mengurangkan ketegangan di jiwanya.

“Awak seorang isteri, ‘Aisy. Keberkatan seorang isteri di sisi Allah adalah melalui keredaan suami. Saya tidak tahu apa yang telah berlaku di antara awak dan Harris sebelum ini. Tetapi, seandainya dia sudah menyesali kekhilafan nya dan ingin berubah ke arah kebaikan, awak berilah dia peluang. Saya tahu awak cintakan Harris. Saya juga tahu yang Harris pun terlalu mencintai awak. Melalui layanannya terhadap awak, pandangan matanya pada awak, kebimbangannya pada diri awak jelas menunjukkan cinta Harris yang tidak berbelah bahagi untuk awak. Awak seorang yang bertuah, ‘Aisy. Allah sudah memberikan nikmat berkasih sayang kepada awak tetapi kenapa hendak ditolak lagi” sambung Hafeeza dengan suara yang lembut. Bait kata yang keluar dari mulut Hafeeza cukup terkesan di hati Rahadatul ‘Aisy.

“Saya…saya tak tahu nak buat apa, Feeza. Memang saya cintakan dia sangat-sangat. Cinta yang tak pernah berkurang walaupun beribu kali mulut saya mengungkapkan kata-kata benci padanya. Jadi kerana sayang lah, saya perlu melepaskan dia pergi. Demi kebahagiaannya. Harris tidak akan pernah bahagia dengan saya” rintih Rahadatul ‘Aisy.

“Awak pasti ke Harris akan bahagia jika awak buat begini? Awak harus ingat awak masih lagi isteri Harris. Menyakiti dan mengingkari suami adalah berdosa. Syurga seorang isteri adalah di bawah tapak kaki suami. Seeloknya berbincanglah dan capai kata putus bersama. Kalau awak buat begini tiada siapa yang untung. Awak menderita dan saya pasti Harris pun turut merana” bungkam Rahadatul ‘Aisy mendengar bicara Hafeeza. Jauh di sudut hati dia mengakui kebenaran temannya itu. Dia sedar kata-kata kasar yang dihamburkan kepada Umayr Harris membuatkan dia berdosa. Selama ini, apa yang difikirkannya adalah kebahagiaan Umayr Harris dan Hajah Mariah. Dia hanya nampak kekurangan dirinya membuatkan dia tidak layak untuk mendampingi Umayr Harris. Disebabkan itu dia memutuskan untuk meninggalkan Umayr Harris. Sehingga dia memandang enteng pada soal dosa dan pahala. Berdosanya aku, Ya Allah.

“Sabar ya, ‘Aisy” pujuk Sakeena apabila esakan Rahadatul ‘Aisy semakin kuat. Dia turut bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Hafeeza. Tetapi, pada masa yang sama dia faham apa yang Rahadatul ‘Aisy rasa.

“Maafkan saya, ‘Aisy jika kata-kata saya membuatkan awak terasa. Saya cuma menyampaikan apa yang saya tahu. Saya doakan awak dan Harris dapat mengecap bahagia bersama” tutur Hafeeza perlahan.

“Terima kasih, Feeza kerana menyedarkan saya. Thanks Keena kerana sentiasa menyokong aku” balas Rahadatul ‘Aisy sambil lirih sambil mendepakan tangan. Ketiga-tiga wanita itu berpelukan dalam tangisan syahdu. Kata-kata temannya itu tidak sedikit pun menggoreskan perasaannya. Malah dia bersyukur. Di saat dia seakan hilang pedoman dan mencari dirinya, Allah menghantar dua orang sahabat untuk memberikannya sinar.

Tanpa disedari ketiga-tiga wanita itu sekujur tubuh tegap milik Umayr Harris menyandar lesu pada dinding di sebalik pintu. Untuk ke sekian kalinya air mata lelaki itu tumpah lagi. Segala-galanya terjawab kini. Lima hari dia tidak tenang memikirkan keadaan isterinya di hospital. Dek perasaan risau yang tidak pernah surut itulah akhirnya membawa dia ke situ. Tujuannya untuk melegakan sedikit rasa gundah di hati lega apabila melihat Rahadatul ‘Aisy walaupun dari jauh. Tetapi, dia tidak menyangka kehadirannya pada tengah hari itu disajikan dengan perbualan syahdu tiga sahabat. Di dalam hati dia bertekad untuk melakukan sesuatu. Sebelum semuanya terlambat!

7 comments:

  1. aisy dah mula rase kehilangan haris...well, haris dah dgr segala galanye, hope haris akan fix everything yg dah berlaku dlm marriage diorg...plis3x...

    ReplyDelete
  2. Cepat2 la berbaik..x nak tengok dorang menderita lagi..huhu

    ReplyDelete
  3. harap2 'aisy dpt mgandg lagi...

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..