Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Saturday, 17 December 2011

Titian Cinta: Bab 15

Dalam kepayahan Rahadatul ‘Aisy cuba bangun dari perbaringannya. Kesan pembedahan laparoscopic yang telah dijalani petang semalam sedikit membataskan pergerakannya. Namun dek rimas dengan tubuh badannya yang melekit membuatkan dia menggagahkan kakinya untuk ke bilik air. Sudah lebih sehari dia tidak mandi. Dengan berhati-hati dia menuruni katil untuk ke bilik air. Kesakitan yang mencucuk di bahagian perutnya kesan pembedahan cuba ditahan sekuat hati. Sesekali mulutnya berdecit menahan keperitan akibat pergerakan tubuhnya. Setiap kali itulah langkah yang diatur terhenti.

“Sayang nak ke mana ni?” soal Umayr Harris sebaik melangkah ke dalam wad kelas pertama itu apabila melihat Rahadatul ‘Aisy yang berdiri dalam keadaan terbongkok menahan kesakitan. Baru sekejap dia meninggalkan Rahadatul ‘Aisy sendirian untuk mengambil air. Termos yang baru diisi dengan air panas segera diletakkan.

“Saya nak ke bilik air” balas Rahadatul ‘Aisy pendek. Dia meneruskan langkahnya yang perlahan. Tidak mahu menunjukkan yang dia lemah di hadapan Umayr Harris.

“Kalau nak ke bilik air pun, tak boleh tunggu abang ke? Abang kan dah pesan tadi, kalau nak apa-apa tunggu abang. Sayang masih tak larat nak bergerak sendiri lagi. Kalau jadi apa-apa kan susah” nada suara Umayr Harris sudah naik satu oktaf. Dia menghampiri Rahadatul ‘Aisy dan memaut bahu isterinya.

“Saya okay. Saya boleh buat sendiri” jawab Rahadatul ‘Aisy dingin. Tangan Umayr Harris ditepis lembut. Dikeraskan hatinya daripada menerima pertolongan daripada Umayr Harris.

“Okay apa kalau jalan pun terbongkok-bongkok macam ni. Mari sini abang papah ke bilik air” tingkah Umayr Harris kembali melingkarkan tangannya di bahu Rahadatul ‘Aisy. Penolakan isterinya langsung tidak dihiraukan.

“Saya kata saya boleh buat sendiri. Awak tak faham ke? Awak baliklah, Harris” tolak Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang sengaja dikeraskan. Maafkan saya, Harris. Bisik hati Rahadatul ‘Aisy. Dia perlu halang Umayr Harris daripada terus melayannya dengan baik. Setiap kebaikan Umayr Harris hanya membuatkan hatinya bertambah berat untuk melepaskan lelaki itu pergi dari hidupnya.

“Kenapa degil sangat ni? Dah tak sayang diri sendiri ke?” bentak Umayr Harris dengan wajah yang tegang. Dia mula merasa geram dengan kedegilan yang ditunjukkan Rahadatul ‘Aisyh. Namun, disabarkan hatinya. Sekali lagi dia kembali memegang lengan Rahadatul ‘Aisy.

“Tubuh saya, saya tahu macam mana nak jaga. Awak tak perlu susah. Baliklah, Harris. Awak kan sibuk. Jangan sebab saya awak terpaksa menanggung kerugian pula. Saya tidak mampu nak bayar ganti rugi pada awak” sinis Rahadatul ‘Aisy masih berkeras hati. Umayr Harris mendengus kasar. 


Keengganan Rahadatul ‘Aisy menerima bantuannya membuatkan dia merasa cukup terkilan. Kesabarannya dirasakan semakin menipis. Namun, tatkala melihat kepayahan Rahadatul ‘Aisy menapak ke arah bilik air sendirian membuatkan hati Umayr Harris turut sakit. Mana mungkin dia tega membiarkan isterinya keseorangan menanggung penderitaan. Lagipun, dia tahu keras kepala yang ditunjukkan oleh Rahadatul ‘Aisy mungkin disebabkan oleh tekanan yang dihadapi isterinya. Menurut Doktor Asyraff, dia perlu banyak bersabar dan terus menyokong Rahadatul ‘Aisy. Mengingatkan itu, rasa panas hatinya kembali sejuk.

“Sayang ingat dengan kepala batu sayang ni akan buat abang putus asa daripada menjaga sayang? Sayang ingat abang akan benarkan sayang sakiti tubuh sayang sendiri kerana kedegilan sayang ni? Neversayang. Dan jangan sekali-kali bandingkan diri sayang dengan wang ringgit. You are worth more than millions ringgit that I might loss. Kerana diri sayang tiada tukar gantinya dengan apa-apa pun dalam dunia ini. Abang pernah kehilangan sayang sekali and I won’t let it happen again. Tiada siapa lagi yang dapat pisahkan sayang daripada abang melainkan mati!” ketegasan kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpegun. Serentak itu tubuhnya diangkat dan diletakkan di atas kerusi roda. Kali ini tiada lagi penolakan darinya. Terbias segaris senyuman di wajah Umayr Harris. Tanpa menunggu lama dia menolak Rahadatul ‘Aisy ke bilik air.

Ada air jernih yang bertakung di kelopak mata Rahadatul ‘Aisy. Hati wanita mana yang tidak akan tersentuh mendengar luahan ikhlas daripada seorang suami. Kenapa di saat hatinya telah membulatkan tekad untuk melangkah jauh dari hidup Umayr Harris, semakin kuat kakinya diikat dengan kesucian kasih sayang yang dicurahkan oleh lelaki itu. Kenapa apabila setiap kali dia sengaja membuatkan Umayr Harris lelah dengan bersikap dingin, lelaki itu dengan sabar melayannya tanpa jemu. Kenapa sukar benar untuk dia lari daripada Umayr Harris? 


Kuatkan hati, ‘Aisy. Kau harus tetap dengan apa yang telah kau rancang! Pantas dia terus menyeka air mata yang mula menitik membasahi pipinya. Kehadiran air mata hanya akan menampakkan perasaannya yang semakin tidak ketentuan. Bimbang hatinya akan tewas kerana walau sekuat mana dia cuba membenci Umayr Harris tetapi hatinya tetap bertegas untuk terus mencintai lelaki itu.

“Okay, sekarang kita dah di bilik air ni. Sayang nak buat apa?” soal Umayr Harris dengan suara yang ceria. Kemarahannya terus lenyap apabila Rahadatul ‘Aisy tidak lagi berkeras menolak bantuannya. Dia tersenyum apabila pertanyaannya hanya dibiarkan sepi oleh Rahadatul ‘Aisy. Lantas, dia mencangkung di hadapan Rahadatul ‘Aisy.

“Sayang nak mandi ke? Kalau hendak mandi abang ambilkan tuala” sekali lagi soalan dilontarkan Umayr Harris setelah melihat Rahadatul ‘Aisy masih diam tidak berkutik. Jari jemari Rahadatul ‘Aisy digenggam erat. Cukup sabar dia meladeni isterinya itu. Rahadatul ‘Aisy memejamkan mata saat sentuhan tangan kasar Umayr Harris melingkar kemas di celah jari-jemarinya. Dia cuba mencari sisa kekuatan yang masih tertinggal di dalam dirinya untuk membuatkan Umayr Harris supaya tidak terus berharap.

“Sudahlah, Harris. Saya hendak mandi ke, hendak apa ke dalam bilik air ini tiada kaitan dengan awak. Awak tak perlu sibuk. Tolonglah keluar dari sini” kasar Rahadatul ‘Aisy menjawab sengaja menjentik api kemarahan Umayr Harris. Serentak itu dia merentap kuat genggaman Umayr Harris. Nyata tindakannya itu hanya mengundang rasa ngilu pada bahagian insisi kecil yang telah ditebuk di abdomen nya sewaktu pembedahan semalam. Spontan dia menekan perutnya.

“Kenapa ini, sayang? Kenapa jadi kasar macam ini? Sikap sayang ini hanya buat tubuh sayang makin sakit” Umayr Harris cuba menahan nada suaranya. Kesabarannya sekali lagi dicabar. Pada masa yang sama, jelas riak risau di wajahnya tatkala melihat kerutan di muka Rahadatul ‘Aisy akibat menahan sakit.

“Saya memang macam ini. Sekarang awak sudah tahu kan? Saya seorang perempuan yang kasar. Dan sebelum saya menjadi kurang ajar dengan awak, lebih baik awak tinggalkan saya sendirian di sini!” dikuatkan suaranya sambil memandang tajam ke arah Umayr Harris. Bisanya kata-kata yang meniti di bibir Rahadatul ‘Aisy bagaikan minyak gas yang dicurahkan ke dalam api.

“Rahadatul Aisy!” bulat mata Umayr Harris memanggil nama isterinya. Dada lelaki itu mula berombak deras. Rahadatul ‘Aisy tahu apabila nama penuhnya mula dipanggil oleh Umayr Harris, dia telah berjaya membuatkan suaminya marah. Langkah seterusnya, dia hanya perlu membuat Umayr Harris membenci dirinya.

Just go home, Harris. I don’t need you here. Kehadiran awak hanya membuatkan hati saya sakit. Dada saya ini sakit sangat, Harris. Macam ditoreh dengan pisau tanpa ubat bius. Lebih hebat daripada sakit yang saya tanggung di perut” tutur Rahadatul ‘Aisy pilu. Ya, bertambah sakit hatinya apabila terpaksa menuturkan ayat-ayat penipuan ini. 


Sebenarnya, saya sangat-sangat perlukan awak, Harris. Kehadiran awak menemani saya di sini cukup membahagiakan saya. Indahnya perasaan ini apabila mengetahui diri saya ini lebih penting daripada urus niaga awak yang bernilai jutaan ringgit itu. Tetapi saya terpaksa, Harris. Awak perlukan zuriat untuk menyambung legasi awak di dunia ini. Satu-satunya hadiah yang saya tidak mampu berikan pada awak. Maafkan saya, Harris. Rintihan itu hanya bergema sayu di dalam hati Rahadatul ‘Aisy.

“Sayang, abang cuma ingin jalankan tanggungjawab abang sebagai suami. I know I have made a lot of mistakes before. Please, give me a chance to fix everything” rayu Umayr Harris dengan suara yang serak. Rahadatul ‘Aisy mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sanggup dia melihat mata Umayr Harris yang sudah berkaca bening.

There is nothing to fix, Harris. Semua yang dah berlaku tetap akan kekal begitu walaupun hanya sebagai kenangan. Kenangan hitam yang saya cuba buang jauh daripada ingatan. Awak adalah sebahagian daripada kenangan hitam itu, Harris. Tolonglah pergi dari hidup saya. Saya ingin bina kenangan baru yang lebih indah dan membahagiakan. Yang pasti, tiada awak dalam kenangan itu” digagahi jua bibirnya untuk menuturkan kata-kata yang cukup pedih itu. Kata-kata yang pasti membuatkan hati Umayr Harris tergores. Demi Tuhan, awak adalah kenangan terindah dalam hidup saya, Harris.

“Abang ini cuma kenangan hitam sayang? Terima kasih sayang kerana menyedarkan abang. Walaupun pahit tetapi memang itu kebenarannya yang terpaksa abang telan. Nampaknya kesilapan abang dulu benar-benar telah mencampakkan abang jauh daripada sayang. Sehinggakan langsung tidak layak menjadi sebahagian daripada kenangan indah sayang” sebak Umayr Harris. Setitis air mata lelakinya gugur. Pedihnya hakikat yang terpaksa diterimanya.

“Dahlah, Harris. Saya sudah penat dengan semua ini. Tolonglah keluar. Saya hendak mandi” beritahu Rahadatul ‘Aisy dengan wajah yang beku. Sebenarnya, dia sudah tidak sanggup untuk menatap wajah sedih Umayr Harris. Andai ditunggu lebih lama bimbang hatinya akan mengalah.

“Baiklah, sayang. Abang akan pergi jika kepergian abang akan membuatkan sayang bahagia dan gembira” Umayr Harris cukup berkecil hati dengan kata-kata yang dituturkan Rahadatul ‘Aisy. Dia mengatur langkah longlai keluar dari bilik air, membiarkan Rahadatul ‘Aisy keseorangan.

Rahadatul ‘Aisy memejamkan matanya rapat sebaik kelibat Umayr Harris hilang di sebalik pintu bilik air yang sudah ditutup rapat. Air mata yang ditahan sedari tadi menitis laju membasahi pipi. Terenjat-enjut bahunya menahan tangis. Segala kesakitan, kepedihan dan keperitan yang ditanggung dihamburkan dalam esakan yang mendayu-dayu. Pantas tangannya menekup mulutnya agar tangisan itu tidak didengari oleh Umayr Harris. 


Saat itu dia yakin Umayr Harris sedang mengemaskan pakaian untuk meninggalkannya. Ya Allah, tabahkanlah hatiku ini. Engkau titipkan lah kebahagiaan dalam hidup Umayr Harris. Semoga dia bertemu dengan pengganti diriku. Seorang perempuan yang lebih baik dan lebih sempurna daripada ku. Doanya di dalam hati.

Hampir setengah jam Rahadatul ‘Aisy berteleku di atas kerusi roda melayan perasaannya sendiri. Dia mengesat sisa tangisan yang semakin reda dengan belakang telapak tangannya. Mata yang membengkak dan hidung yang tersumbat membuatkan dirinya semakin tidak selesa. Perlahan-lahan dia cuba bangun dari kerusi roda untuk membasuh mukanya. Tetapi kerana dia terlupa untuk mengunci roda kerusi dan dek lantai bilik air yang sedikit licin membuatkan tubuh lemahnya hilang pertimbangan dan jatuh tersembam.

“Auch!” terpacul jeritan kesakitan di bibirnya.

“Sayang!” pantas Umayr Harris menerpa ke arah Rahadatul ‘Aisy yang sedang terjelepok di lantai. Dengan mudah lelaki itu mencempung tubuh Rahadatul ‘Aisy dan meletakkan kembali di atas kerusi roda.

Sedari tadi Umayr Harris cuma memasang telinga mengawasi di sebalik pintu bilik air, risau jika berlaku perkara yang tidak diingini. Sayup dia mendengar tangisan isterinya yang mendayu. Jika diturutkan rajuk di hatinya memang dia ingin melenyapkan diri dari pandangan Rahadatul ‘Aisy. Tetapi, kebimbangan terhadap keselamatan isterinya jika ditinggalkan seorang diri mengatasi egonya sendiri.

“Sayang okay tak ni?” tanya Umayr Harris dalam nada yang mendatar, masih berjauh hati.

“Saya okay” balas Rahadatul ‘Aisy berselindung. Wajah Rahadatul ‘Aisy yang sembap dipandang. Kesan air mata dan hidung yang sedikit memerah jelas menunjukkan yang isterinya baru reda dari tangis. Kenapa harus menangis? Bukankah dia sepatutnya gembira kerana aku bersetuju untuk pergi jauh dari hidupnya?

“Sayang tak boleh buat semuanya seorang diri. Kalau sayang benci kan abang sekalipun, kali ini tolonglah benarkan abang bantu sayang. Berilah abang peluang untuk menunaikan tanggungjawab abang buat kali terakhir. Nanti abang akan minta tolong Sakeena atau Hafeeza temankan sayang di sini” beritahu Umayr Harris perlahan membuatkan Rahadatul ‘Aisy bungkam. Dia tahu saat itu hatinya sudah tidak sanggup untuk menolak permintaan Umayr Harris.

“Sayang hendak mandi kan? Kejap abang ambilkan tuala dan kain basahan” tanpa menunggu balasan jawapan daripada Rahadatul ‘Aisy, dia melangkah keluar menuju ke arah almari pakaian. 


Petang itu, akhirnya Rahadatul ‘Aisy merelakan dirinya dimandikan oleh suaminya sendiri. Walaupun dirinya terpaksa menahan malu kerana terpaksa berkemban di depan Umayr Harris, tetapi layanan suaminya yang selamba menyabun badannya dan mensyampu rambutnya tanpa rasa kekok membuatkan perasaannya semakin dihambat rasa serba salah. Tidak cukup dengan itu, selesai mandi Umayr Harris turut mengelap rambut dan tubuhnya dengan penuh sabar. Kenapa dengan lelaki ini? Mana pergi sikap panas baran nya? Kenapa begitu tenang dia meladeni aku walaupun setelah aku menyakiti hati nya? Ya Allah, berdosa kah aku seandainya apa yang aku lakukan ini semata untuk kebahagiaannya? Harapan Hajah Mariah untuk melihat keturunan Umayr Harris.

“Sayang pakai yang warna pink ye” suara Umayr Harris mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari menungannya. Serentak itu wajahnya berona merah tatkala melihat kedua-dua pakaian dalamnya yang sedang dihulurkan oleh Umayr Harris kepadanya. Dengan wajah yang sedikit tertunduk dia menyambut huluran Umayr Harris.

“Kenapa tak pakai lagi tu? Nak abang pakaikan juga ke?” usik Umayr Harris nakal membuatkan wajah itu semakin membahang. Terubat hatinya melihat Rahadatul ‘Aisy yang sedang tersipu malu. Seakan terbang rasa sayu yang mengisi di segenap ruang hatinya.

“Macam mana saya hendak pakai kalau awak tercegat depan saya?” pertanyaan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris tergelak kecil.

“Sayang segan ke? Apa yang hendak dimalukan. Macam sayang tak biasa. Lebih daripada itu pun abang dah tengok sayang kan” usik Umayr Harris lagi, cuba menciptakan suasana ceria. Sekurang-kurangnya detik-detik terakhir bersama dengan Rahadatul ‘Aisy akan menjadi kenangan bahagia yang akan dibawa menemani hidupnya.

It was four years ago, Harris. Awak sudah lupa ke? Sekarang ini awak bukan siapa-siapa pun dalam hidup saya. Tubuh saya bukan untuk tontonan lelaki yang sudah tiada makna dalam hidup saya lagi!” sekali lagi Rahadatul ‘Aisy terpaksa berlaku kejam dengan menghamburkan kata-kata pedas yang bisa menghancurkan dan melumatkan hati Umayr Harris. Dia perasan perubahan riak pada raut muka Umayr Harris.

Not again, sayang. Please, don’t start it. Abang tahu abang tak penting dalam hidup, sayang. But, please izinkan abang mencipta sedikit memori indah bersama sayang untuk abang kenang” pinta Umar Harris syahdu.

“Tak apalah, abang tunggu di luar. Kalau ada apa-apa, panggil abang ya” sambung Umayr Harris sebelum melangkah keluar. Rahadatul ‘Aisy menarik nafasnya panjang. Sakit sungguh dadanya saat itu. Pedih bagai ditusuk belati yang cukup tajam. Maafkan saya, Harris! Untuk ke sekian kalinya air matanya menitis lagi.

8 comments:

  1. rasa mcm x patut dan keterlaluan plk aisy buat haris mcm tu...jgn smp aisy nyesal haris dah pergi bawa diri nti sudah lah...hope family haris boleh terima keadaan aisy...hope sgt haris taw sb ape aisy wat mcm ni...x adil utk haris klu aisy yg tentukan segala2 nye...cinta tu bkn boleh di jual beli, kan...hope sgt aisy x sakitkan ati haris lagi, sb diri die jgk yg akan sakit nti bile buat haris mcm tu...hehehe...

    ReplyDelete
  2. cian haris.. Tp kalo aku jd mcm asy mgkn akn buat pkra yg sma kot.
    Huhu.. Sayu nya bca n3 kali nie..

    ReplyDelete
  3. blink & eija: thanks sudi bc novel ni :D
    teruskan ikuti cerita ini ya! kali ini nak n3 sedih lagi ke or eppy plak? hehehehe...

    ReplyDelete
  4. sedihnya~ kesian kat Haris tapi lagi kesian kat 'Aisy.. yela kalo bukan sebab Haris yg kejam 4 thun dulu 'aisy tak kan jadi camtu..

    ReplyDelete
  5. betul ke aisy tak boleh mengandung ? harap harap aisy still boleh mengandung :) nak aisy terus tabah and memang patut pun aisy marah dekat haris but jangan sampai jadi kejam macam tu..and harap keluarga haris tahu cerita sebenar apa yang berlaku kat aisy..anyways memang emo je baca entry ni :(

    ReplyDelete
  6. nak happy entry pulakkkkk~~

    harap2lah aisy dgn haris kekal hidup bahagia~~~~ hahaha

    ReplyDelete
  7. thanks sudi jenguk cite ni. iman pun emo mengarang cite ni. tunggu next n3 tau.. :D

    ReplyDelete
  8. nampaknya harris mmg dah berubah..tapi x leh nak salah aisy jugak sbb dia yg alami peristiwa hitam 4 tahun lepas..tak kisahlah apa pun yg berlaku, yg penting endingnya mestilah happy..hehe..

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..