Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday, 5 December 2011

Titian Cinta: Bab 14

Genggaman tangan Umayr Harris masih kejap melingkar di celah jari jemari runcing Rahadatul ‘Aisy. Setiap inci wajah pucat yang sedang nyenyak terlena itu diperhatikan dengan penuh kasih. Rambut ikal isterinya diusap perlahan. Mengharapkan sentuhan itu dapat mengalirkan semangat sebagai kekuatan untuk menyembuhkan Rahadatul ‘Aisy. Rasa bersalah semakin menghimpit perasaan Umayr Harris tatkala melihatkan derita yang sarat ditanggung oleh sekujur tubuh lesu itu.

“Maafkan abang, sayang. Terlalu banyak dosa abang pada sayang. Ya Allah..” rintih Umayr Harris sambil mengucup lembut belakang tangan Rahadatul ‘Aisy. 


Setitik air mata lelakinya gugur. Tidak tergambar kekesalan yang bermukim di hati. Selayaknya dia dihukum di atas segala kekhilafan nya yang lalu. Dia reda dan tidak akan sekali-kali menyesal seandainya itu corak takdirnya. Sekurang-kurangnya, dia dapat menebus rasa bersalah yang bersarang di jiwa. Namun, apa yang dikesalkan kesilapannya itu lebih banyak menghukum Rahadatul ‘Aisy. Akibat yang sarat ditanggung oleh isterinya sekarang ini berpunca daripada perbuatannya sendiri. Masih terngiang-ngiang di telinganya perkhabaran yang dibawa oleh Doktor Asyraff pagi tadi.

Adhesions. From MRI scan we’ve found your wife is suffering from abdominal adhesions” penjelasan Doktor Asyraff mengundang kerut di wajah Umayr Harris. Sememangnya dia kurang arif dengan istilah perubatan ini.

“Adhesions?” tanya Umayr Harris meminta penjelasan lanjut daripada Doktor Asyraff.

Yes, adhesions is an abnormal connection between two surfaces in the body. Kebiasaannya, ia merujuk kepada jalur tisu seperti parut yang berkumpul dan melekat pada organ dalaman” terang Doktor Asyraff satu persatu. Dia memandang wajah Umayr Harris sekilas untuk memastikan lelaki itu jelas dengan penerangannya.

“Ia berkemungkinan besar terjadi akibat daripada pembedahan yang pernah dijalani oleh Puan Rahadatul empat tahun yang lalu. Menurut rekod perubatan ini, isteri encik pernah melalui pembedahan membuang sebelah kiri ovarinya yang rosak. So, sedikit demi sedikit kesan sampingan daripada pembedahan itu telah membentuk parut tisu yang semakin membesar pada dinding abdomen” sambung Doktor Asyraff dengan tenang sambil menilik rekod perubatan Rahadatul ‘Aisy.

“Pembedahan?” Umayr Harris terpempan. Penerangan yang didengarinya benar-benar menyentap tangkai hatinya.

“Ya, pendarahan dalaman yang serius akibat kemalangan yang menimpa Puan Rahadatul menyebabkan sebelah ovarinya rosak dan terpaksa dibuang. Encik maklumkan dengan perkara ini?” soal Doktor Asyraff sambil memandang tepat ke wajah Umayr Harris yang sedang kebingungan. Timbul tanda tanya di hatinya. Masakan sebagai suami, Umayr Harris tidak tahu perkara segenting ini yang telah menimpa isterinya. Sebaliknya, Umayr Harris hanya bungkam, tindak mengiakan atau menidakkan pertanyaan Doktor Asyraff.

“Encik Harris, are you okay?” tanya Doktor Asyraff lagi setelah melihat lelaki ini tidak bereaksi.

“Ya..ya.. My wife.. Is she going to be okay, doctor?” ada getar dalam suara Umayr Harris. 


Dia langsung tidak menyangka sebegini hebat tanggungan kepedihan yang terpaksa diharungi oleh Rahadatul ‘Aisy. Kepedihan bukan hanya kerana kehilangan cahaya mata yang dikandunginya, malah terpaksa pula mengharungi hidup tanpa kesempurnaan diri sebagai seorang wanita. Apa yang lebih dikesalkan, dia tega membiarkan isterinya menelan setiap kesakitan itu seorang diri. Semuanya kerana cemburu dan salah sangka yang membuatkan dirinya terus kejam menghukum tanpa sempat Rahadatul ‘Aisy membela diri. Langsung dia tidak mengendahkan keadaan Rahadatul ‘Aisy dan tidak pernah sekalipun dia menghadirkan diri di sisi isterinya untuk memberikan sokongan dan perhatian di waktu itu. Umayr Harris mengeluh kesal.

“Encik Harris, do you hear me?” Doktor Asyraff memerhatikan Umayr Harris yang sedang kegelisahan.

“Err.. what should I do, doctor?” mendengarkan soalan yang terpacul dari mulut Umayr Harris membuatkan Doktor Asyraff tersenyum nipis. Memang sah lelaki di depannya ini tidak menumpukan perhatian kepada percakapannya sebentar tadi. Dia faham Umayr Harris benar-benar risaukan keselamatan isterinya.

“Encik Harris janganlah terlalu bimbang. Insya-Allah, setiap penyakit pasti ada rawatannya. Lagipun, keadaan yang dihadapi oleh Puan Rahadatul tidak membahayakan nyawa, cuma jika keadaan berlarutan ia boleh menyebabkan kesakitan yang kronik pada bahagian abdomen dan pelvis” lembut tutur kata Doktor Asyraff cuba menenteramkan Umayr Harris.

“Apa rawatan terbaik untuk menyembuhkan isteri I?” soalan yang ditanya membiaskan kebimbangan yang tidak terbendung di raut wajah Umayr Harris. Seandainya dia mempunyai peluang, dia sanggup memikul beban penderitaan yang sarat ditanggung oleh Rahadatul ‘Aisy.

“Rawatan terbaik setakat ini adalah pembedahan laparoscopic untuk memotong abnormal connection yang terbentuk. Jadi, kes isteri encik Harris akan dirujuk kepada gynecologist, cuma..” bicara Doktor Asyraff terhenti seketika. Dia menghela nafasnya panjang.

“Cuma apa, Doktor?” melihat kebungkaman Doktor Asyraff, hati Umayr Harris semakin tidak senang. Dia dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena.

“Keadaan ini mungkin menjejaskan peluang isteri encik untuk hamil. Ini adalah salah satu risiko yang perlu kita sedar dan untuk sebarang kemungkinan I  harap you sentiasa memberikan sokongan kepadanya. Berkemungkinan keadaan ini akan memberikan tamparan yang hebat kepada emosi Puan Rahadatul” beritahu Doktor Asyraff dengan berdiplomasi. Profesionalisme nya sebagai seorang pengamal perubatan diaplikasikan dengan sebaik mungkin terutama apabila menuntutnya untuk menyampaikan berita yang kurang baik. 


Perkhabaran yang disampaikan oleh Doktor Asyraff benar-benar membuatkan Umayr Harris terhenyak. Ya Allah! Berat benar dugaan yang Engkau berikan kepada isteri ku. Rintih Umayr Harris di dalam hati. Matanya digenangi mutiara jernih.

“Awak…” suara lemah Rahadatul ‘Aisy mengejutkan Umayr Harris dari lamunannya. Dia memanggungkan kepala. Air mata yang gugur membasahi pipinya dikesat.

“Sayang abang dah bangun?” tanya Umayr Harris cuba menyembunyikan kesedihannya.

“Kenapa awak menangis ni? Saya belum mati lagi lah” tutur Rahadatul ‘Aisy perlahan apabila menyedari mata Umayr Harris merah. Lelaki itu mengeluh perlahan, tidak gemar mendengar perkataan yang kerap kali meniti di bibir mungil isterinya.

“Shhh.. jangan cakap macam tu, sayang. ‘Aisy tak boleh tinggalkan abang. ‘Aisy adalah nyawa abang” pujuk Umayr Harris dengan sabar. Tangan sejuk milik Rahadatul ‘Aisy dibawa ke bibirnya dan dikucup lama. 


Redup pandangan mata Rahadatul ‘Aisy memerhatikan perbuatan Umayr Harris. Terusik hatinya dengan kesayuan yang terpancar di wajah Umayr Harris. Ingin sekali disentuh dan dipujuk wajah itu namun dia tidak berdaya. Dia tidak berdaya untuk menunjukkan cinta dan kasihnya yang semakin memekar buat Umayr Harris kerana dia sudah tiada apa-apa untuk disandarkan kepada lelaki itu.

“Saya dekat hospital ke?” soal Rahadatul ‘Aisy sebaik menyedari kelainan suasana bilik yang didiaminya. Tidak berniat untuk membalas luahan Umayr Harris.

“Ya, sayang. ‘Aisy pengsan semalam. Hafeeza yang jumpa dan bawa ‘Aisy ke sini” lembut Umayr Harris menjelaskan. Ya, Rahadatul ‘Aisy masih ingat. Sepanjang malam dia tidak dapat tidur kerana menahan rasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian perut dan tulang pinggulnya. Semakin tidak selesa apabila darah mengalir tidak henti seperti air paip. Sangkanya dia mengalami uzur syarie walaupun kuantiti darah yang keluar agak luar biasa. Keadaan itu menyebabkan tubuhnya lemah dan akhirnya dia tidak sedarkan diri.

“Kenapa dengan saya, Harris?” terbit rasa ingin tahu. Kepiluan yang jelas terpancar dalam redup pandangan mata Umayr Harris membuatkan dada Rahadatul ‘Aisy berdetak resah. Apakah kesakitan yang datang mengujinya berkait dengan perkara yang disembunyikan kemas selama ini? Perkara yang pasti membuatkan hatinya sakit setiap kali ia menjengah ingatan. Dan kerana perkara itulah yang membuatkan dia bertekad untuk pergi dari hidup Umayr Harris. Jika benar telahannya, pasti saat ini Umayr Harris sudah mengetahui semuanya.

“Doktor cakap ada jalur tisu yang tidak normal melekat di abdomen ‘Aisy. Jadi, ‘Aisy kena jalani laparoscopic surgery. But don’t worry. Nothing serious and everything will be okay” beritahu Umayr Harris cuba melemparkan senyuman. Berat hatinya ingin mengkhabarkan perkara sebenar. Sekurang-kurangnya bukan sekarang terutama dalam keadaan fizikal dan emosi Rahadatul ‘Aisy yang tidak stabil.

“Awak sudah tahu semuanya kan? Beritahu saya, Harris. There is something wrong with me, right?” tebak Rahadatul ‘Aisy apabila hatinya dapat membaca riak serba salah Umayr Harris. Ya, hatinya cukup pasti. Matanya mula digenangi air mata.

Tell me, Harris. Tell me!” nada suara Rahadatul ‘Aisy ditinggikan walaupun ternyata kedengaran agak lemah. Dengan sehabis kudrat dia cuba bangun dari perbaringannya.
“Sayang, kenapa bangun ni? Tubuh sayang kan lemah lagi” ujar Umayr Harris sambil membantu isterinya bangun.

“Saya tidak boleh mengandung lagi kan?” soal Rahadatul ‘Aisy sayu. Gugur air matanya satu persatu membasahi pipi pucatnya. Saat itu, dia tidak dapat lagi menyembunyikan rasa pilu yang mencucuk-cucuk pintu hatinya. Betapa kerdilnya dirasakan dirinya kini di hadapan Umayr Harris. Kini, Umayr Harris sudah tahu kekurangannya. Kekurangan yang membuatkan dia hilang keyakinan diri untuk terus menjadi srikandi dalam hidup Umayr Harris.

“Sayang, jangan macam ini. Itu semua tidak penting kerana ia tidak akan mengubah apa-apa. Cinta abang pada sayang tetap tidak berkurang” pujuk Umayr Harris tidak terus menjawab apabila melihat Rahadatul ‘Aisy mula teresak-esak menahan tangis. Tubuh Rahadatul ‘Aisy didakap erat. Namun, kata-kata Umayr Harris cukup untuk membuatkan Rahadatul ‘Aisy faham dengan kebenaran persoalannya.

“Saya tidak boleh mengandung lagi” kata-kata itu meniti lagi di bibirnya seolah-olah cuba dibisikkan kepada diri sendiri. Kemungkinan risiko yang sudah dimaklumkan kepadanya sewaktu dia mendapat rawatan ketika berada di London lagi. Hari ini kemungkinan itu sudah menjadi kenyataan. Kenyataan yang membuatkan hati dan perasaannya remuk redam.

“Sayang, ia masih boleh dirawat. Kita buat pembedahan laparoscopic, ya” lembut suara Umayr Harris sambil mengusap-usap belakang tubuh Rahadatul ‘Aisy. Air mata lelakinya turut gugur melihat kesengsaraan isterinya.

It won’t help much, Harris” enggan Rahadatul ‘Aisy sambil menggelengkan kepalanya. Jika tidak, dia pasti sudah melakukan pembedahan itu ketika di London.

“Sekurang-kurangnya kita cuba, sayang. Lagipun pembedahan itu akan menghilangkan rasa sakit di bahagian pinggul dan abdomen ‘Aisy. Kalau tak berjaya di sini, kita dapatkan khidmat pakar luar negara. Selebihnya kita serahkan kepada Allah” rayu Umayr Harris mengharapkan persetujuan daripada Rahadatul ‘Aisy.

“Buat apa semua itu, Harris. Tidak ada gunanya semua itu sebab hakikat sebenarnya saya sudah tidak sempurna seperti wanita lain” luah Rahadatul ‘Aisy berputus asa. Rasa rendah diri semakin menebal.

“Sayang, dengar sini. Adanya diri sayang menemani abang sudah cukup sempurna dalam hidup abang ini. Abang tidak minta lebih dari sayang. Apa yang penting kesihatan sayang. Abang tak nak sayang terus menganggung kesakitan ini. Kesakitan sayang adalah penderitaan buat abang” bicara Harris sambil memegang kedua belah pipi Rahadatul ‘Aisy. Sepasang mata coklat milik isterinya direnung dalam.

“Saya malu, Harris. Saya malu dengan kekurangan saya ini. Ia buat saya rasa tidak berguna” sendu Rahadatul ‘Aisy memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia memejamkan kedua belah matanya. Cuba menghalau kepedihan yang semakin meraja di hati. Di mana lagi dia harus mencari kekuatan untuk melalui semua dugaan ini sedangkan kekuatan diri yang dikumpulkan selama ini sudah makin terhakis? Kepahitan yang bertimpa-timpa membuatkan dia semakin lemah dan goyah. Masih adakah esok yang bahagia buat dirinya? Entahlah, yang pasti esok yang ada bukan lagi miliknya bersama Umayr Harris.

“Sayang, jangan…”

“Sudahlah, Harris. Saya penat. Saya hendak tidur. Awak baliklah” potong Rahadatul ‘Aisy kembali membaringkan tubuhnya membelakangi Umayr Harris.

“Baiklah, sayang. Sayang berehatlah. Kalau sayang perlukan apa-apa, panggil abang. Abang akan sentiasa menemani sayang di sini” akur Umayr Harris sambil menyelimutkan tubuh isterinya. Ubun-ubun Rahadatul ‘Aisy dikucup dengan penuh kasih. Dia tahu emosi isterinya sedang terganggu. Jadi, biarlah dia berikan sedikit ruang buat Rahadatul ‘Aisy untuk menenangkan diri. Jauh di sudut hati dia berazam untuk menebus kesilapannya yang lalu. Walaupun kesilapan itu telah meninggalkan parut yang tidak mungkin hilang.

6 comments:

  1. kesiannya rahadatul aisy...hrp harris akan ttp disamping rahadatul biar apa pun yg b'laku.

    ReplyDelete
  2. Jangan lah buat cerita sedihhh..
    Harap2 lah aisy ada peluang untuk mengandung~


    #Kak iman buat happy ending aisy dgn harris tau~~~~

    ReplyDelete
  3. sian aisy...hope aris x tinggalkan aisy dlm waktu mcm ni...

    ReplyDelete
  4. harap2 ada keajaiban berlaku pada aisy..manalah tau kan, dia leh mengandung pas ni..*memandai je kan? hihi..

    ReplyDelete
  5. siannya kat Aisy.. harap banyak bersabar ehh.. insyaallah ada rezeki korang.. cewaahh

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..