Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 9-10

BAB 9
“Sayang…” sapaan Umayr Harris tatkala Rahadatul ‘Aisy melangkah keluar dari bilik air benar-benar menyentaknya. Tidak menyangka lelaki itu masih setia menunggunya di depan pintu bilik air. Bukannya sekejap dia mengurungkan diri. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia bertapa di situ. Malas dia hendak menghadap muka Umayr Harris. Namun, bimbang pula jika tindakannya itu akan mengundang rasa pelik ahli keluarganya yang lain. Maklumlah, bilik air itu berada di luar bilik tidurnya dan dikongsi ramai.


Tanpa menghiraukan sapaan Umayr Harris, Rahadatul ‘Aisy berlalu ke bilik tidurnya. Badannya benar-benar penat. Hati dan perasaannya benar-benar jerih. Mata yang membengkak seakan tidak mampu dicelikkan lagi. Dia sudah tidak berminat untuk bertikam lidah dengan Umayr Harris.

“’Aisy nak buat apa tu?” terpacul soalan dari mulut Umayr Harris apabila Rahadatul ‘Aisy mencapai sebiji bantal dan menghamparkan comforter di atas lantai bilik tidurnya. Sedari tadi dia  hanya memerhatikan tingkah Rahadatul ‘Aisy. Hati lelakinya benar-benar runtun melihat keadaan Rahadatul ‘Aisy yang tidak bermaya.

“Saya nak tidur” ringkas balasan Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak.


“Kenapa nak tidur dekat bawah? Katil kan ada” bicara Umayr Harris lembut.


“Awak tidurlah atas katil. Saya dah biasa susah. Tidur di atas lantai pun tak apa” ujar Rahadatul ‘Aisy sinis. Kepalanya dibaringkan di atas bantal kekabu. Badannya diiringkan membelakangi Umayr Harris, cuba mencari keselesaan dan menghilangkan lenguh di badan.

“Degil betul isteri abang ni” serentak itu, Umayr Harris mengambil bantal dan turut berbaring di sebelah Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu tidak jadi memejamkan mata.

“Awak buat apa baring dekat sini?” Rahadatul ‘Aisy bangun dari perbaringannya.

“Tidurlah” Umayr Harris menjawab sepatah.

“Tempat awak kat sana, bukan kat atas lantai ini. Nanti habis lenguh tubuh awak, saya juga yang dipersalahkan” tukas Rahadatul ‘Aisy sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah katil.

“Abang akan tidur di mana isteri abang tidur. Kalau lenguh, kita lenguh sama-sama” Rahadatul ‘Aisy mendengus dengan ketegasan Umayr Harris. Lantas, dia bangun dan menuju ke arah katil. Tubuhnya dihempaskan di atas tilam empuk. Selesa! 


Tindakannya itu turut diikuti oleh Umayr Harris. Akhirnya dia hanya membiarkan Umayr Harris tidur di sebelahnya. Dia tahu dia tidak akan menang dengan kedegilan Umayr Harris. Lagipun badannya sudah tidak larat untuk berkalih tempat tidur lagi. Diletakkan bantal panjang sebagai benteng di antara dia dan Umayr Harris. Bimbang juga jika suaminya cuba mengambil kesempatan seperti petang tadi. Tetapi apa pilihan yang Rahadatul ‘Aisy ada?

“Jangan risau, abang akan berpegang pada janji abang” bisikan lembut Umayr Harris dekat dengan telinga Rahadatul ‘Aisy memberikan jaminan seakan mengerti gelodak perasaan yang sedang bermain di fikiran isterinya.

“Tidurlah, Harris. Saya penat sangat ni” lemah suara Rahadatul ‘Aisy sudah tidak mampu menahan rasa mengantuknya.

“Selamat malam, sayang” Cup! Ciuman Umayr Harris yang hinggap di pipi Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu membuka mata semula. Geram dengan kesempatan yang diambil Umayr Harris.

“Awak…” Rahadatul ‘Aisy tidak jadi menghamburkan amarah saat melihat Umayr Harris sudah memejamkan mata. Dengkuran halus menunjukkan yang Umayr Harris sudah terlena. Cepat betul dia ini tidur? Rahadatul ‘Aisy mengomel di dalam hatinya. Matanya yang kian memberat turut membawa dirinya ke alam separa sedar.

********************

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari lena. Jika diikutkan rasa mengantuk, ingin terus disambung tidurnya yang dirasakan baru sekejap itu. Namun, tuntutannya sebagai hamba kepada sang Pencipta perlu ditunaikan dahulu. Tatkala Rahadatul ‘Aisy bangun dari perbaringannya, matanya bertembung dengan susuk tubuh Umayr Harris yang hanya bertuala. Rambut basah Umayr Harris menunjukkan lelaki itu baru selesai mandi.

“Sayang dah bangun? Pergilah mandi dulu. Abang tunggu ‘Aisy, kita solat jemaah sama-sama” sapaan Umayr Harris mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari terleka merenung suaminya. Pantas, dia menghalakan pandangan ke arah lain.

“Tak salah kalau sayang nak tenung lama-lama tubuh abang. Ini kan hak sayang juga” kata-kata Umayr Harris yang berbaur usikan membuatkan rona muka Rahadatul ‘Aisy berubah warna. Ditambah dengan gelagat Umayr Harris yang begitu selamba memakai pakaian di hadapannya membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin tersipu.

“Saya mandi dulu” tidak betah dengan keadaan itu, Rahadatul ‘Aisy pantas mencapai tuala dan baju bersih. Dia berlalu ke bilik air. Namun begitu, telinganya masih sempat menangkap tawa halus Umayr Harris. Pasti lelaki itu sedang mentertawakannya.

Usai mandi dan berwuduk, Rahadatul ‘Aisy melihat Umayr Harris sudah menunggunya di tikar sejadah. Tanpa berlengah dia menyarungkan telekung sembahyangnya. Pagi itu, pertama kali dia bersolat berimamkan suaminya sendiri. Sebuah impian yang pernah disuarakannya lima tahun yang lalu. Sebuah angan-angan yang dulu hanya dipandang sepi oleh Umayr Harris. Tetapi saat ini, kenapa lelaki ini telah jauh berubah?

Selesai menunaikan solat, Umayr Harris memimpin bacaan wirid. Saat Umayr Harris menadahkan kedua belah tangannya untuk memanjatkan doa, dirasakan satu perasaan halus mula merantai hati Rahadatul ‘Aisy. Sebuah perasaan indah dan bahagia. Namun, dia cuba mengusir perasaan yang bertamu itu dengan memusatkan penghayatan pada doa yang dititipkan oleh Umayr Harris.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Indahkan lah rumah tangga kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkan lah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redai. Jadikan kami teladan yang baik bagi manusia

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Damaikan lah pertengkaran di antara kami, tautkan hati kami dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan yang benar. Engkau limpahkan lah kami dengan kesabaran yang tiada terbatas. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelikan yang tampak dan tersembunyi

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Berkatilah pendengaran kami, lindungi lah penglihatan kami, peliharalah lidah kami, kuatkan lah hati kami dan Engkau ampuni lah kami. Sesungguhnya, Engkau maha pengampun lagi maha penyayang. Amin..

Tatkala mengaminkan bait-bait doa yang dipanjatkan oleh Umayr Harris, Rahadatul ‘Aisy merasakan kedamaian hati dan ketenangan jiwa yang cukup luar biasa. Huluran salam Umayr Harris disambut walaupun pada awalnya Rahadatul ‘Aisy seperti teragak-agak dan kekok. Perlahan-lahan tangan Umayr Harris dicium. Apabila bibir Umayr Harris jatuh di dahinya, Rahadatul ‘Aisy hanya memejamkan mata membiarkan. Terdetik rasa rindu di hatinya. Rindu dengan saat-saat bahagia yang pernah mereka miliki bersama walaupun hanya seketika cuma. Tidak mungkin dia akan mengecap saat-saat indah itu lagi.

“Sayang, abang hendak cakap sesuatu dengan sayang, boleh?” Umayr Harris memulakan bicara. Redup renungannya menjamah setiap inci wajah Rahadatul ‘Aisy yang masih bertelekung. Rahadatul ‘Aisy hanya membalas dengan anggukan.

“Abang minta maaf seandainya abang terlalu mendesak ‘Aisy” Tangan Rahadatul ‘Aisy dicapai dan dibawa ke dalam genggamannya. Kemudian, wajah isterinya dipandang lama. Umayr Harris menghela nafas menyusun kata-kata yang sesuai.

“Abang benar-benar jujur dengan penyesalan abang. Abang benar-benar harap ‘Aisy akan menerima penyesalan abang walaupun abang tahu, penyesalan abang tidak akan membawa kembali anak kita. Walaupun kata-kata maaf dari abang tidak akan membetulkan balik keadaan yang telah tersurat, tapi abang benar-benar ikhlas memohon keampunan dari ‘Aisy di atas segala dosa abang terhadap ‘Aisy” lirih bait ayat yang diucapkan oleh Umayr Harris. Tangan Rahadatul ‘Aisy dibawa ke bibirnya. Setitik air mata Umayr Harris jatuh membasahi belakang tangan Rahadatul ‘Aisy. Cukup membuatkan wanita itu terpegun. Saat itu, hatinya tidak mampu lagi menidakkan keikhlasan Umayr Harris.

“Abang sedar, abang telah menghadiahkan derita yang cukup hebat dalam hidup ‘Aisy. Kerana itu luka di hati ‘Aisy cukup dalam. Mungkin luka itu terlalu sukar untuk disembuhkan. Tapi tidak salah jika ‘Aisy cuba membuka ruang keizinan di hati untuk abang merawat luka itu kan? Seandainya, suatu hari nanti, hati ‘Aisy masih tidak mampu membuang kenangan hitam itu walaupun sekuat mana ‘Aisy telah mencuba, abang reda, sayang” tutur Umayr Harris terhenti. Dia menelan liurnya pahit.

“Abang tahu, buat masa sekarang mungkin terlalu sukar ‘Aisy hendak terima abang kembali dalam hidup ‘Aisy. Abang takkan paksa ‘Aisy untuk itu. Ambil lah selama mana masa yang ‘Aisy perlukan. Abang tetap akan sabar menunggu ‘Aisy selagi abang masih bernafas. Cuma satu yang abang pinta. Tolong jangan ungkit pasal perpisahan. Hati abang sakit setiap kali mendengar perkataan itu. Bagai disiat-siat. Janji dengan abang, ya sayang” wajah Rahadatul ‘Aisy dipandang mengharapkan persetujuan dan pengertian. Lambat-lambat akhirnya Rahadatul ‘Aisy terpaksa mengangguk. Pengharapan Umayr Harris yang tinggi menggunung menjadikan Rahadatul ‘Aisy berbelah bahagi.

“Terima kasih, sayang” sekali lagi tangan Rahadatul ‘Aisy yang berada di dalam genggaman Umayr Harris dikucup. Rahadatul ‘Aisy memejamkan matanya. Cuba mencari kekuatan di dalam dirinya. 


Kesungguhan Umayr Harris benar-benar membuatkannya lemas. Benar-benar meletakkannya dalam keadaan serba-salah. Hakikatnya, dia tidak mampu memberikan Umayr Harris harapan. Dia tidak mahu Umayr Harris menggarap impian, yang kesudahannya hanyalah sia-sia. Seteguh mana pun keikhlasan kasih sayang Umayr Harris padanya, tidak mampu menjadikan dia seorang isteri yang sempurna di mata Umayr Harris. Dia sudah hilang hak itu. Seandainya dia kembali menerima Umayr Harris, terlalu banyak liku yang bakal ditempuhinya. Terlalu banyak hati yang perlu dijaga. Rahadatul ‘Aisy menghela nafasnya berat.

“Biarlah masa yang menentukannya, Harris. Mungkin suatu hari nanti hati saya yang retak ini akan bercantum semula. Mungkin suatu masa nanti jiwa saya yang remuk ini akan sembuh kembali. Tapi, buat masa ini, permintaan awak itu terlalu tinggi untuk saya tunaikannya, Harris” setitik air mata Rahadatul ‘Aisy gugur. Hakikatnya, dia tidak mungkin akan kembali untuk hidup bersama Umayr Harris. Buat apa diteruskan seandainya dia tahu kesudahannya pasti akan membuatkan dia dan Umayr Harris kecewa dan terluka.

“Seandainya, dalam tempoh itu. Awak bertemu dengan seorang perempuan yang berjaya mengisi kekosongan hati awak, saya akan mengundur diri dengan rela hati” sambung Rahadatul ‘Aisy. Pilu di hatinya kerana terpaksa mengungkapkan kata-kata itu.

“Takkan ada perempuan lain dalam hidup abang melainkan ‘Aisy. Hanya sayang isteri abang dunia dan akhirat” tukas Umayr Harris serius.

“Dengan izin Allah, Harris. Semuanya di bawah ketentuan-Nya” balas Rahadatul ‘Aisy.

“Ya, sayang. Dengan izin-Nya, tapi kita dituntut untuk berusaha kan?” pertanyaan tulus itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpegun sekali lagi. Akhirnya, Rahadatul ‘Aisy kehilangan kata. Dalam diam dia melepaskan keluhan berat.

 BAB 10
Rahadatul ‘Aisy membaringkan tubuhnya melepaskan lelah di atas sofa panjang di ruang tamu rumah sewanya. Dia kini sudah hampir sebulan kembali bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Hari minggu merupakan hari yang ditunggu-tunggunya kerana pada hari inilah dia berpeluang untuk mengemaskan barang-barangnya yang masih tersimpan rapi di dalam kotak. Banyak juga barang yang dibawa balik dari London melalui kapal laut yang telah sampai seminggu yang lalu.

“Assalamualaikum…” lembut salam menyapa telinga Rahadatul ‘Aisy. Seketika kemudian, pintu gril dibuka dari luar. Terpacul seorang gadis manis bertudung labuh sambil melemparkan senyuman mesra ke arahnya. Hafeeza Maisara merupakan teman serumah di rumah sewa yang baru didudukinya. Sebelum dia masuk menyewa di situ, rumah itu didiami Hafeeza bersama dengan Sakeena. Kebetulan, rumah teres dua tingkat itu mempunyai empat bilik tidur, jadi Sakeena menawarkannya untuk tinggal bersama.

“Waalaikumussalam. Baru habis kelas ke?” tanya Rahadatul ‘Aisy sambil turut membalas senyuman Hafeeza. Pagi tadi, Hafeeza ada memaklumkan yang dia mengadakan kelas ganti untuk para pelajarnya. Begitulah tugas sebagai seorang pensyarah, kadang-kadang hari minggu terpaksa dikorbankan demi untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Tambahan pula, musim peperiksaan akhir sudah hampir tiba.

“Ha’ah. Hari ini marathon tiga jam kuliah” Hafeeza melabuhkan duduk di atas sofa. Rahadatul ‘Aish amat menyenangi ketenangan wajah milik teman yang baru dikenalinya itu. Sesuai dengan jawatan Hafeeza sebagai pensyarah agama di Fakulti Pengajian Islam.

“Minta maaf ye, saya tak sempat nak tolong ‘Aisy kemas barang” ucap Hafeeza serba salah tatkala melihat wajah Rahadatul ‘Aisy tampak sedikit penat.

“Tak apa. Dah siap kemas pun. Saya cuma keluarkan barang yang hendak digunakan saja. Yang lain, saya biarkan dulu dalam kotak, letak dalam stor” balas Rahadatul ‘Aisy. Dalam diam Rahadatul ‘Aisy mengagumi keperibadian Hafeeza yang cukup sopan dan berbudi bahasa. Seandainya dia memiliki abang, ingin sekali dia menyunting gadis itu menjadi kakak iparnya. Emaknya di kampung pasti bangga dapat bermenantukan gadis yang tinggi ilmu agama ini.

“Sakeena mana?” tanya Hafeeza sebaik menyedari kelibat temannya tiada di rumah. Jika tidak pasti riuh rumah itu dengan mulut murai Sakeena.

“Hari-hari minggu ni mana lagi kalau tak keluar dating dengan tunang dia” jawab Rahadatul ‘Aish. Dia tumpang gembira melihat kebahagiaan yang sedang di kecapi Sakeena.

“Emm..mesti banyak persiapan yang hendak disediakan. Tak lama lagi merasa lah kita makan nasi minyak Sakeena tu ye” ujar Hafeeza sambil melemparkan senyuman lembut. Hai.. gadis ini murah betul dengan senyuman.

Turn Feeza bila pula?” tanya Rahadatul ‘Aisy lebih berniat untuk mengusik.

“Saya ini manalah ada calon, ‘Aisy” tutur Hafeeza merendah diri.

“Gadis cantik macam Feeza ni takkan tak ada calon kot. Tak percayalah saya” berbual dengan Hafeeza yang lemah lembut ini secara automatik menjadikan Rahadatul ‘Aish lebih menjaga kata.

“Betul” balas Hafeeza cuba meyakinkan.

“Atau Feeza ini memilih sangat kot. Entah-entah berderet ustaz-ustaz kat luar sana yang tengah makan hati berulam jantung tak” usik Rahadatul ‘Aisy mengundang tawa kecil Hafeeza.

“Belum sampai jodoh lagi kot” ujar gadis itu tersipu malu.

“’Aish pula macam mana? Hari ini tak keluar dengan buah hati ke?” serkap Hafeeza membalas usikan Rahadatul ‘Aish.

“Buah hati?” entah kenapa spontan wajah Umayr Harris terbayang di ruang matanya. Sudah hampir sebulan dia tidak berhubung dengan suaminya. Sebaik mereka kembali ke Kuala Lumpur, dia sengaja mengelak daripada menghubungi Umayr Harris. Pesanan Umayr Harris yang memintanya untuk memberitahu nombor telefon bimbitnya sebaik dia mendaftarkan talian telefon tidak dihiraukan.

“Assalamualaikum..” suara garau memberi salam mengejutkan Rahadatul ‘Aisy dari lamunan. Hafeeza menjawab salam dan menjengah untuk melihat tetamu yang datang.

“Minta maaf mengganggu. Saya Umayr Harris, suami Rahadatul ‘Aisy. Isteri saya ada?” tanpa berlengah Umayr Harris memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kedatangannya. 


Hafeeza sedikit kaget. Dia tidak menyangka Rahadatul ‘Aisy telah berkahwin. Temannya itu tidak pernah menceritakan status dirinya. Sakeena pun tidak pernah membuka mulut memaklumkannya. Malah, dia sendiri pun tidak pernah bertanya.

“Sekejap ye” sopan Hafeeza meminta Umayr Harris menunggu sebentar. Lelaki itu hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.

“Aisy, suami awak datang. Nak saya ajak dia masuk ke?” tanya Hafeeza teragak-agak apabila dia melihat wajah Rahadatul ‘Aisy yang telah berubah riak. Wanita itu seolah-olah tidak menyenangi kehadiran suaminya.

“Err.. tak perlu. Sekejap lagi saya keluar” Rahadatul ‘Aish menghilangkan diri ke dalam biliknya untuk memakai tudung. Baru teringat terus sampai. Panjang betul umur awak, Umayr Harris. Tapi macam mana dia tahu tempat tinggal aku? Timbul tanda tanya di benak fikirannya.

“Thanks ye” Rahadatul ‘Aisy berpaling semula ke arah Hafeeza sambil melemparkan senyuman nipis. Hafeeza menghilangkan diri ke dalam bilik tidurnya. Sengaja memberikan privasi kepada Rahadatul ‘Aisy dan Umayr Harris.

“Ada hal apa awak datang ke sini?” tanya Rahadatul ‘Aisy dongkol. Dia menghampiri Umayr Harris yang sedang membelakangi nya. Lantas lelaki itu memalingkan tubuh bertentang dengan Rahadatul ‘Aisy.

“Abang ada hal nak bincang dengan ‘Aisy. Tapi bukan dekat sini. Kita keluar?” cadang Umayr Harris. Wajahnya langsung tidak menunjukkan apa-apa perasaan. Sering kali Rahadatul ‘Aisy gagal menebak emosi lelaki itu.  

“Kita bincang kat sini sajalah. Saya malas nak keluar petang-petang macam ni” Rahadatul ‘Aisy beralasan. Dia tidak mahu mewujudkan sebarang kemesraan dengan Umayr Harris.

No! Abang nak ‘Aisy ikut abang” keras intonasi suara Umayr Harris namun dia masih mengawal volum suaranya.

“Awak tak boleh paksa saya” jawab Rahadatul ‘Aisy. Dia bengang dengan ajakan Umayr Harris yang lebih berbaur arahan. Entah mana perginya janji Umayr Harris untuk tidak terus mendesaknya.

“Abang suami ‘Aisy. ‘Aisy wajib mentaati perintah abang” tegas tutur kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu.

“Saya penat lah, Harris” Rahadatul ‘Aisy beralasan lagi.

“Abang tak kira. By hook or by crook, we have to go somewhere else. We need to talk. Atau ’Aisy nak abang angkat ‘Aisy ke kereta? Biar semua jiran-jiran kat sini tengok free show, emm?” ugut Umayr Harris apabila melihat Rahadatul ‘Aisy seolah-olah bermain tarik tali dengannya.

Gulp. Rahadatul ‘Aish menelan air liur. Umayr Harris memang bijak mendesaknya. Kerana ugutan Umayr Harris dia tiada pilihan lain. Terpaksa dituruti kehendak lelaki itu.

“Kejap, saya bersiap” Rahadatul ‘Aisy beralah dalam paksa. Wajahnya sudah kelat.

“Tak perlu” tegah Umayr Harris.

“Tapi, takkan saya nak keluar dengan t-shirt lengan pendek dan seluar slack? Awak nak tanggung dosa saya ke” tanya Rahadatul ‘Aisy dalam nada sinis.

“Okay, 3 minutes” akhirnya Umayr Harris membenarkan. 3 minit? Ingat aku ini tentera ke? Bagi arahan dah serupa ketua batalion negara. Rahadatul ‘Aisy mengomel di dalam hati.

“Tapi…”

3 minutes atau ’Aish nak abang dukung?” Umayr Harris sudah bergerak ke arah Rahadatul ‘Aish dan cuba memeluk pinggang isterinya.

“Yalah, yalah..” Rahadatul ‘Aisy mendengus geram kerana terpaksa mengalah. Pantas dia mengorak langkah menuju ke kamarnya untuk bersiap ala kadar. Sempat juga dia menitipkan pesan kepada Hafeeza. Bimbang jika kehilangannya mengundang kerisauan teman serumah.

“Sudah 7 minit. You are late, sayang” ujar Umayr Harris tatkala Rahadatul ‘Aisy sedang mengunci pintu dan gril rumah. Sengaja dia tidak mengendahkan teguran Umayr Harris. Dengan langkah yang malas, dia menuju ke arah kereta Audi S8 milik Umayr Harris.

“Cepat masuk” arah Umayr Harris tidak sabar. Dia sudah membukakan pintu kereta di sebelah penumpang. Tak sabar langsung. Rahadatul ‘Aisy menjeling geram.

Di dalam kereta, Rahadatul ‘Aish hanya melayan perasaannya yang masih terbuku. Geram dengan kuasa veto yang digunakan oleh Umayr Harris untuk memaksanya. Dia memang tidak suka dipaksa namun kerana menghormati ikatan di antara dia dan Umayr Harris dan kemungkinan tindakan gila yang akan diambil oleh suaminya itu, dia terpaksa menurut.

Umayr Harris hanya membatu sambil matanya tunak menumpukan perhatian pada jalan raya. Hatinya sebal apabila isterinya langsung tidak mempunyai inisiatif untuk menghubunginya. Sebulan dia tidak tentu arah menunggu panggilan telefon daripada Rahadatul ‘Aish. Setiap kali nombor asing yang muncul di skrin telefon bimbitnya, hatinya berbunga mengharapkan panggilan itu adalah daripada isterinya. Namun setiap kali itulah, dia hampa. Dia diibaratkan seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Akhirnya, dia bertekad untuk menjejaki Rahadatul ‘Aisy di tempat kerjanya namun apa yang disajikan menjentik rasa cemburu di hati. Bertambah sakit hatinya apabila terpandangkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki petang semalam.

“Awak nak bawa saya ke mana ni?” pertanyaan Rahadatul ‘Aisy memecahkan kesunyian tatkala Umayr Harris membelokkan keretanya ke kawasan perumahan mewah di Lake Villas Bangi.

“Rumah kita” jawab Umayr Harris mengundang pandangan cerlung daripada Rahadatul ‘Aisy.

“Rru..rumah?” suaranya bernada resah.

“Yup, rumah baru kita”

“Buat apa pergi rumah awak?” saat pertanyaan keluar dari bibir merah Rahadatul ‘Aisy, suaminya telah memarkir kereta di sebuah perkarangan rumah banglo mewah dua setengah tingkat.

“Kita dah sampai. Jom masuk” ajak Umayr Harris. Enjin keretanya telah dimatikan. Dipandang isterinya yang masih kaku tidak menunjukkan sebarang reaksi untuk keluar dari kereta.

“Saya tak nak” tolak Rahadatul ‘Aish gelisah. Dia tidak sanggup berdua-duaan dengan Umayr Harris di dalam rumah itu. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apatah lagi dirinya sememangnya halal buat Umayr Harris. Walaupun suaminya pernah berjanji untuk tidak memaksanya tapi bolehkah dia mempercayai janji seorang lelaki?

“Jangan degil. Abang nak kita masuk dan bincang dalam rumah” diplomasi Umayr Harris.
“Kita bincang dalam kereta saja”

“Abang tak kisah kalau terpaksa dukung ‘Aisy” lagi-lagi ugutan yang sama digunakan Umayr Harris. Rahadatul ‘Aisy sudah tidak peduli. Kali ini dia tidak akan mengalah lagi. Paksaan demi paksaan oleh Umayr Harris membuatkan hatinya jengkel.

“Saya nak balik..” tegas Rahadatul ‘Aisy.

“’Aisy jangan menyesal” sabar Umayr Harris semakin menipis. Dia menuruni kereta dan bergerak ke sebelah pintu penumpang di mana Rahadatul ‘Aisy berada. Pintu kereta dibuka kasar. Umayr Harris menundukkan kepalanya untuk membuka tali pinggang keledar yang dipakai Rahadatul ‘Aisy. Namun pantas tangan Rahadatul ‘Aisy memegang kuat dan mengemaskan tali pinggang keledar yang dipakai ke tubuhnya untuk menghalang tindakan Umayr Harris.

Tidak semena-mena kedua-dua belah tangan Umayr Harris menyentuh pipi gebu Rahadatul ‘Aish dan bibirnya memagut kemas bibir isterinya. Rahadatul ‘Aish membulatkan mata dan spontan tangannya menolak dada Umayr Harris. Serentak itu, Umayr Harris berjaya meloloskan Rahadatul ‘Aish daripada lilitan tali pinggang keledar. Tubuh Rahadatul ‘Aisy didukung dengan mudah.

“Lepaskan saya! Lepaskan, Harris. Lepaskan!” rontaan Rahadatul ‘Aish langsung tidak berjaya menghalang tingkah Umayr Harris. Sebaliknya, Umayr Harris hanya membiarkan tumbukan bertubi-tubi singgah di dada bidangnya. Dia menuju ke kamar utama dan menghempaskan tubuh Rahadatul ‘Aish ke atas tilam empuk.

“Susah sangat ke ‘Aisy nak dengar cakap abang?” tanya Umayr Harris sambil merenung tajam isterinya.

“Apa yang awak nak sebenarnya? Kenapa awak bawa saya ke sini?” soal Rahadatul ‘Aish memberanikan diri walau jelas suaranya bergetar. Tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Umayr Harris.

“Abang nak…” ujar Umayr Harris sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Dia melirikkan senyuman menggoda sambil merapati isterinya. Ingin melihat sejauh mana keberanian isterinya.


“Awak jangan harap boleh apa-apakan saya” terketar-ketar Rahadatul ‘Aisy memberikan amaran. Dia mengesotkan tubuhnya menjauhi Umayr Harris. Tangannya disilangkan ke dada. Seram!

“Abang cuma nak hak abang…” isterinya dirapati lagi.

“Hak? Aw..awak kan dah janji” tutur Rahadatul ‘Aisy cuba mengingatkan janji yang telah dibuat oleh Umayr Harris. Rahadatul ‘Aiys tidak boleh menjauhkan diri lagi kerana punggungnya benar-benar berada di birai katil. Selangkah dia bergerak, pasti dia akan terjatuh dari katil yang boleh tahan tingginya itu.

“Tapi sayang tak boleh nafikan hak abang..”

“Tolong, Harris. Saya tak bersedia..” rayu Rahadatul ‘Aisy. Keberaniannya sudah hilang sama sekali. Ketakutan mengundang takungan air di matanya.

“Bersedia atau tidak, abang nak hak abang. Hak abang untuk tahu siapa lelaki tua yang berbual mesra dengan ‘Aisy petang semalam?” bulat mata Rahadatul ‘Aisy tersentak dengan pertanyaan yang langsung tidak dijangkanya. Terbit rasa malu kerana otaknya sudah tersasar jauh memikirkan yang bukan-bukan.

Siapa lelaki tua yang dimaksudkan oleh Umayr Harris? Rahadatul ‘Aisy cuba memproses ingatannya.

“Prof Abang Daing?” terpacul nama salah seorang professor di jabatannya. Seingatnya usai habis waktu kerja petang semalam dia hanya berbual kosong dengan Professor Abang Daing ketika  menunggu Hafeeza mengambilnya. Dia selesa berbual dengan lelaki yang penuh dengan sikap kebapaan itu, sering mengingatkan dia kepada ayahnya sendiri.

“Bukan main mesra. Siap berabang lagi. Dengan suami sendiri tak nak pula panggil abang” tingkah Umayr Harris semakin cemburu.

“Dah memang namanya Abang Daing Bin Abang Solehuddin” Rahadatul ‘Aisy menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Prof Abang Daing tu ketua jabatan saya. Takkanlah saya tak boleh berbual dengan rakan sekerja saya. Awak nak saya jadi macam katak bawah tempurung ke?” tempelak Rahadatul ‘Aisy. Pening dia dengan sikap cemburu buta Umayr Harris.

No, you are too beautiful to be a frog” suara Umayr Harris sudah berubah intonasi. Cuba menyembunyikan rasa bersalah. Ternyata cemburunya tidak berasas. Rahadatul ‘Aisy menjeling Umayr Harris tajam. Orang cakap lain, dia faham lain. Tapi, macam mana dia boleh nampak aku sedang berbual dengan Prof Abang Daing? Dia mengintip aku ke? Monolog Rahadatul ‘Aisy dengan prasangka.

“Awak intip saya?” soalan berbaur tuduhan terus diutarakan kepada Umayr Harris.

I have to. Nak tunggu ‘Aisy yang call abang, jangan haraplah. Susah sangat ke nak register line telefon kat Malaysia ni? Atau ‘Aisy memang sengaja nak larikan diri dari abang?” kini giliran Umayr Harris pula menempelak Rahadatul ‘Aisy. Wanita itu kematian kata. Telahan Umayr Harris memang ada kebenarannya. Dia memang sengaja tidak mahu memaklumkan nombor telefon bimbitnya kerana ingin menjarakkan hubungannya dengan Umayr Harris.

“Mana ada. Saya cuma sibuk”

“Sibuk? Tapi berborak kosong dengan bos kesayangan tak sibuk pula” balas Umayr Harris sinis. Rahadatul ‘Aisy sudah mula naik rimas dengan kata-kata Umayr Harris yang bernada cemburu.

“Awak nak bincang apa dengan saya sebenarnya? Kalau tak ada apa yang penting, saya nak balik” beritahu Rahadatul ‘Aisy bangkit dari duduk. Dia malas hendak melayan jika hanya hal remeh begini yang hendak ditanya oleh suaminya.

“Perkara ini penting bagi abang. Tell me, ‘Aish. Kenapa tak contact abang?” Umayr Harris menagih jawapan.

“Tak penting” jawab Rahadatul ‘Aisy tidak acuh. Umayr Harris tersentuh. Semakin kuat dia berusaha untuk mendapatkan kembali Rahadatul ‘Aisy, semakin jauh dirasakan isterinya cuba mengelakkan diri.

But it meant everything to me!” tiba-tiba Umayr Harris meninggikan suara cukup untuk mengejutkan Rahadatul ‘Aisy. Emosi lelaki ini memang sukar dijangka. 

“Abang perlukan bantuan ‘Aisy untuk sama-sama pulihkan hubungan kita” Umayr Harris meraup wajahnya yang keruh. Sikap berdiam diri Rahadatul ‘Aisy menyesakkannya.

Rahadatul ‘Aisy bungkam di atas katil. Sejak peristiwa di Subuh hari itu, dendam di hatinya sudah makin terlerai. Hatinya bukanlah hati batu, sehingga begitu keras untuk tidak memaafkan kekhilafan seorang suami. Hati seorang perempuan hanyalah sekeras kerak nasi. Rayuan penyesalan seorang suami yang penuh dengan keikhlasan ibarat seperti air yang mampu melembutkan.

Sejak itu, Rahadatul ‘Aisy tahu jiwanya kembali merindui Umayr Harris. Hatinya mekar berbunga dibajai dengan rasa cinta. Sebuah perasaan indah yang sudah sekalian lama cuba dilenyapkan dengan membina tembok kebencian. Namun, sekuat mana jiwanya meruntun rindu, setinggi mana cinta yang bertunas di hati, dia tidak mampu untuk menzahirkan nya. Tidak mungkin dia dan Umayr Harris akan kembali bahagia seperti dahulu. Dia tidak mampu memberikan kebahagiaan kepada Umayr Harris. Tiada guna rasa rindu dan cinta, seandainya rasa itu hanya membuatkan insan lain menderita. Saat itu, dia hanya berharap diberi kekuatan untuk melawan rasa rindu dan rasa cinta yang kembali beraja di dasar hatinya.

“Tolong hantar saya balik” hanya ayat itu yang terpacul dari mulut Rahadatul ‘Aisy. Umayr Harris mendengus kecewa.

“Baiklah. Abang akan hantar ‘Aisy balik tapi bukan hari ini”

“Apa ni, Harris? Tadi awak ajak saya keluar untuk berbincang. Sekarang dah jadi lain pula” ujar Rahadatul ‘Aisy kelat.

“Malam ini ‘Aisy tidur sini. Abang dah sediakan semua kelengkapan ‘Aisy dalam almari tu. Dan abang tak nak dengar apa-apa alasan pun. T.I.T.I.K!” tegas kata-kata Umayr Harris. Rahadatul ‘Aisy mendengus keras. Namun, dia seakan hilang kekuatan untuk menentang keputusan Umayr Harris. Hasilnya pasti sia-sia jika dia melawan seorang lelaki yang berjiwa diktator seperti Umayr Harris. Nampaknya lelaki itu terlebih dahulu merancang sesuatu.

2 comments:

  1. bilalah dorang ni berbaik semula ye..tp 'aisy mcm nekad je dengan keputusan dia..

    ReplyDelete
  2. ^____^ .. cayalah Harris.. go Harris go!!!

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..