Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 7-8

BAB 7
Rahadatul ‘Aisy menggenyeh matanya yang masih mengantuk. Cahaya lampu yang menerangi setiap ruang menyilaukan matanya. Dia menyentuh kepalanya yang berdenyut-denyut. Cuba memusatkan fikirannya yang agak keliru. Suasana di sekeliling dirasakan sedikit asing. Setelah beberapa saat, barulah otaknya dapat memproses dengan betul. Kini dia bukan lagi berada di apartmen sewaannya di pinggir kota London. Susun atur perabot dalam bilik itu menunjukkan yang dia kini berada di kampung halamannya.

Tubuh lelaki yang lengkap berbaju Melayu biru turquoise menggamit pandangannya. Lunak sekali bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dilagukan Umayr Harris mendamaikan jiwanya. Terlalu banyak kejutan daripada lelaki ini. Semakin lama dia dapat mengesan perubahan Umayr Harris. Dia seakan-akan tidak mengenali suami yang berada di depannya kini. Atau adakah ini juga sebahagian lakonan yang cuba dipentaskan oleh Umayr Harris untuk mengaburinya?

“Sayang dah bangun?” sapaan Umayr Harris membuatkan dia agak terkaku. Peristiwa yang berlaku lewat petang tadi kembali menjengah di benaknya. Mengundang getar di hatinya. Sengaja dia membiarkan sepi pertanyaan Umayr Harris.

Lelaki itu menamatkan bacaannya. Dia melipatkan sejadah dan bangun menuju ke almari pakaian. Pantas tangannya mencapai tuala bersih yang berlipat kemas dan meletakkannya di hujung katil. Lagak lelaki itu seperti sudah biasa dengan setiap susun atur yang ada di dalam bilik tidur nya. Rahadatul ‘Aisy mengerutkan dahi kehairanan. Denyutan di kepalanya semakin kuat. Matanya dikecilkan menahan rasa yang mencucuk-cucuk.

“Kenapa ‘Aisy? Tak sihat ke?” tanya Umayr Harris risau. Pantas dia menghampiri Rahadatul ‘Aisy yang sedang menahan kesakitan sambil memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Dahi isterinya disentuh.

“Saya tak apa-apa” tangan Umayr Harris ditepis perlahan. Rahadatul ‘Aisy cuba bangun. Dia tidak mahu dianggap lemah di depan Umayr Harris. Namun pening di kepalanya menjadikan pandangannya semakin kabur, menyebabkan dia gagal mengimbangi diri. Lantas, dia memegang hujung katil untuk menampung dirinya daripada jatuh. Pantas, tangan Umayr Harris memaut bahu isterinya. Dia mendudukkan Rahadatul ‘Aisy di atas katil.

“Okey apa kalau nak bangun pun tak larat ni? Sayang sakit kepala? Abang picitkan?” kebimbangan jelas terpancar di wajah Umayr Harris. Wajah pucat Rahadatul ‘Aisy dipandang. Tangannya sudah berada di belakang tengkuk Rahadatul ‘Aisy, cuba untuk melegakan denyutan di kepala isterinya.

“Tak payah nak concern lebih-lebih. Saya belum nak mati lagi” sinis Rahadatul ‘Aisy. Tangan Umayr Harris ditepis lagi. Sekali lagi dia cuba bangun namun pandangannya berbalam. Umayr Harris memaut lengan Rahadatul ‘Aisy menghalang isterinya daripada jatuh.

“Dalam keadaan macam ni pun ‘Aisy masih nak berdegil lagi. Kita pergi klinik?” Umayr Harris cuba mengawal oktaf suaranya. Kesabarannya sedikit tercalar dengan kedegilan Rahadatul ‘Aisy. Hatinya dipagut risau.

“Tak perlu, awak tolong ambilkan ubat dalam handbag saya kat atas meja” pinta Rahadatul ‘Aisy lemah. Denyutan di kepalanya yang semakin menggila membuatkan dia terpaksa juga meminta pertolongan lelaki itu. Tanpa lengah, Umayr Harris segera menyelongkar tas tangan hitam milik isterinya. Satu-satunya botol ubat yang ada di dalam tas tangan itu diambil. Deskripsi pada label botol dibaca. Imitrex. Ini ubat migrain. Gumam Umayr Harris di dalam hati.

“Tunggu, abang ambilkan air” tingkah Umayr Harris sebaik botol ubat bertukar tangan. Seminit kemudian, Umayr Harris muncul dengan segelas air di tangan. Dihulurkan gelas tersebut kepada isterinya. Tunak matanya mengikuti setiap inci pergerakan isterinya daripada membuka botol ubat sehinggalah dua biji pil selamat ditelan. Rahadatul ‘Aisy menyandarkan tubuhnya di birai katil. Denyutan di kepalanya semakin berkurangan. Mungkin kesan daripada ubat yang dimakan.

“Sejak bila sayang ada migrain ni?” soal Umayr Harris mengambil berat.

“Tak penting untuk awak tahu” jawab Rahadatul ‘Aisy keras. Dia rimas dengan perhatian yang diberikan oleh Umayr Harris.

“Sayang kan isteri abang. Mestilah abang kena tahu kan?” balas Umayr Harris lembut sambil mengukirkan senyuman nipis di bibir.

“Kita akan berpisah tak lama lagi. Jadi, lebih baik kita tak perlu ambil tahu hal masing-masing lagi” bentak Rahadatul ‘Aisy, sengaja menuturkan kata-kata yang terus memadamkan senyum di wajah Umayr Harris. Kedegilan Rahadatul ‘Aisy benar-benar mencabar kesabaran Umayr Harris. Degupan jantungnya berdetak hebat setiap kali ungkapan perpisahan yang dituturkan isterinya.

“Abang tak suka ‘Aisy cakap macam tu. Abang harap ini kali terakhir ‘Aisy bangkitkan pasal ini. Dan keputusan abang tetap sama. Abang tak bersetuju dan takkan bersetuju!” intonasi suara Umayr Harris berubah tegas. Tajam renungan matanya bersatu dengan anak mata Rahadatul ‘Aisy. Namun, cepat-cepat Rahadatul ‘Aisy mengalihkan pandangannya ke arah lain. Bimbang dengan panahan sepasang mata coklat kehitaman yang bisa mencairkan tembok hatinya.

“Dan maafkan abang. Di atas setiap penderitaan yang terpaksa ‘Aisy harungi kerana abang. Abang tahu, ‘Aisy diserang migrain pun berpunca dari abang juga” sekali lagi kata maaf terluncur keluar daripada mulut Umayr Harris. Dirasakan dirinya sebagai punca bagi setiap keperitan dan musibah yang menimpa Rahadatul ‘Aisy.

“Tolong tinggalkan saya sendirian. Saya nak berehat” pinta Rahadatul ‘Aisy sambil memejamkan mata. Saat itu, dia sudah tidak mampu untuk mendengar kata-kata maaf dari Umayr Harris. Ingin diusir rasa serba salah yang mula membelenggu dirinya. Dia takut hatinya akan tertewas dengan rayuan maaf Umayr Harris. Sedangkan perasaannya masih tidak sembuh dari kepedihan kenangan semalam. Apa dah jadi dengan aku ini? Kenapa aku tak mampu membenci lelaki ini? Rahadatul ‘Aisy memarahi dirinya sendiri.

“Okey. Nanti, sayang pergi mandi. Barulah segar sikit badan tu. Lepas tu sayang solat. Waktu Isyak pun dah nak masuk ni. Jangan lupa jamak sekali dengan solat Maghrib” pesan Umayr Harris lembut sambil meletakkan tuala yang telah diambilnya tadi di sisi isterinya. Dia terpaksa menuruti permintaan Rahadatul ‘Aisy walaupun di dalam hatinya bimbang untuk meninggalkan wanita itu berseorangan. Tetapi melihat isterinya seakan tidak selesa dengan kehadirannya, dia terpaksa beralah.

“Boleh tak awak berhenti panggil saya sayang. Makin sakit kepala saya ini dengar perkataan tu” pinta Rahadatul ‘Aisy sinis.

Nope! Abang tak boleh tunaikan” jawapan Umayr Harris mengundang dengus isterinya.

“Ingat pesan abang tadi?” tanya Umayr Harris inginkan kepastian. Dia menyembunyikan senyum.

Rahadatul ‘Aisy hanya menganggukkan kepala perlahan. Tidak kuasa untuk bertekak. Matanya dipejamkan. Derap tapak kaki Umayr Harris semakin menghilang. Kemudian, dia mendengar bunyi pintu ditutup. Setelah setengah jam, sakit di kepala sudah hampir hilang sepenuhnya. Cepat-cepat Rahadatul ‘Aisy mencapai tuala dan berlalu ke bilik air.

Selesai membersihkan diri, dia kembali ke dalam biliknya. Badannya terasa segar. Pintu bilik dikuak dengan perasaan gugup. Mulutnya melepaskan keluhan lega apabila kelibat Umayr Harris tidak lagi kelihatan di situ. Beg pakaiannya dibuka dan dia mengeluarkan sehelai baju tidur kaftan. Dia menyalin dan menggantikan blaus dan seluar yang membalut tubuhnya. Silapnya tadi kerana dalam kalut-kalut dia terlupa untuk membawa baju bersih untuk disalin di dalam bilik air. Kemudian, dia menyarung baju sembahyang, bersedia untuk menunaikan solat.

“Sayang, mak ajak makan” Ketukan perlahan di pintu mengejutkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang berteleku di atas sejadah. Setelah menyidai baju sembahyang dan sejadah di rak, dia membuka pintu. Terpacul wajah Umayr Harris yang segak melemparkan senyuman.

“Kepala dah baik?” soal Umayr Harris prihatin. Hanya anggukan Rahadatul ‘Aisy menjawab pertanyaan suaminya.

“Jom, sayang. Mereka semua dah tunggu” ujar Umayr Harris sambil menyentuh jari jemari isterinya. Rahadatul ‘Aisy merentap pegangan itu.

“Saya tahu jalan sendiri. Tak perlu pimpin” keras suara Rahadatul ‘Aisy. Dia menjeling tajam. Riak wajah Umayr Harris berubah. Anak matanya hanya mampu memandang tubuh kecil Rahadatul ‘Aisy yang sedang menuju ke meja makan. Dia melangkah membuntuti isterinya.

Umayr Harris mengambil tempat duduk di sebelah Rahadatul ‘Aisy. Dalam banyak-banyak kerusi, sebelah aku jugak yang dia nak duduk. Wanita itu mengomel di dalam hati dan menjeling tajam suaminya. Umayr Harris hanya tersenyum pura-pura tidak faham dengan pandangan isterinya. Murah betul lelaki itu dengan senyuman kini.

“Banyaknya lauk mak masak. Kalau macam ni boleh gemuk ‘Aisy” ujar Rahadatul ‘Aisy sambil matanya memandang pelbagai juadah yang terhidang di depan mata. Kecur liurnya dengan aroma kuah singgang ikan tongkol, kangkung goreng, budu, ikan tenggiri masak lemak, kerabu pucuk paku dan kacang botol, pegaga dan ulam raja. Hampir penuh meja yang boleh memuatkan lapan kerusi itu.

“Makan banyak-banyak, ‘Aisy. Mak masak khas untuk anak mak ni. Mak tahu ‘Aisy dah lama tak makan lauk-lauk ini kan?” riang suara Hajah Maryam.

“’Aisy, sendukkan nasi untuk Harris” arah Haji Hilmi. Dalam keterpaksaan Rahadatul ‘Aisy meletakkan dua senduk nasi ke dalam pinggan di hadapan Umayr Harris.

“Terima kasih, sayang” bisik Umayr Harris romantis membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkaku. Didekatkan sedikit bibirnya ke telinga kiri Rahadatul ‘Aisy. Tidak mahu terbuai dengan situasi itu, Rahadatul ‘Aisy turut menyendukkan sesenduk nasi ke dalam pinggannya.

“Harris, jemput makan, nak. Jangan malu-malu” pelawa Hajah Maryam dengan mesra.

“Kalau malu depan rezeki alamatnya kelaparan lah saya malam ini. Air tangan mak, mana boleh saya tolak” lembut pujian Umayr Harris membuatkan Hajah Maryam tersenyum lebar. Rahadatul ‘Aisy mencebik di dalam hati. Sejak bila lelaki ini berselera dengan lauk kampung.

Haji Hilmi membacakan doa setelah semua ahli keluarganya berada di meja makan, mensyukuri dengan nikmat rezeki yang diberikan untuknya sekeluarga pada hari itu.

“Abang tahu, these are your favorites kan? Makanlah…” bisik Umayr Harris seakan mengerti pandangan Rahadatul ‘Aisy tatkala dia mencedok kuah singgang bersama dengan sepotong ikan tongkol dan kangkung goreng ke dalam pinggan isterinya. Kemudian Umayr Harris meletakkan lauk yang sama ke dalam pinggannya. Dia juga turut menggaulkan budu ke dalam nasinya. Sejak bila Umayr Harris Tan Sri Hakim makan budu? Dulu, bukankah dia orang pertama yang akan menutup hidung jelik dengan aroma budu, sos bilis yang menjadi makanan wajib rakyat pantai timur itu. Tapi kini, Umayr Harris cukup berselera sekali meratah setiap lauk yang dulu tidak mungkin akan dijamah oleh tekaknya.

“Senang hati mak tengok kamu berdua macam ni. Bertuah ‘Aisy dapat suami yang penyayang macam Harris” bicara Hajah Maryam dengan senyuman lebar di bibir. Sedari tadi dia memerhatikan layanan Umayr Harris terhadap anak perempuannya. Suapan Rahadatul ‘Aisy terhenti. Tersedak dia mendengar ayat penyata yang dikeluarkan oleh emaknya. Umayr Harris menghulurkan segelas air kepadanya. Belakang isterinya digosok lembut.

“Saya hanya ada ‘Aisy, mak. Lagipun saya dah janji dengan papa dan mama, untuk jaga dan hargai ‘Aisy sebaik mungkin sehingga hujung nyawa saya” ujar Umayr Harris membalas senyum membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjeling tajam suaminya. Sebal hatinya mendengar kata-kata manis suaminya itu. Nasi yang ditelan dirasakan pahit.

Mak tak pernah tahu, sebenarnya Umayr Harris tak pernah menyayangi dan menghargai ‘Aisy. Mak tak pernah tengok, layanannya yang sebenar terhadap diri ‘Aisy. Mak tak pernah sedar, sebenarnya dia sedang hebat mementaskan watak sebagai suami mithali untuk mengaburi mata semua orang. Ungkapan itu tersekat di kerongkongnya. Tiada kekuatan untuk menuturkan kata-kata yang bakal membuka lembaran sejarah hitam di antara dia dan Umayr Harris yang selama ini berjaya disimpan kemas daripada pengetahuan Haji Hilmi dan Hajah Maryam.

“Eloklah kalau kamu fikir macam tu, Harris” sampuk Haji Hilmi sambil menguntumkan senyum. Dia bersyukur melihat hubungan anak dan menantunya kembali rapat. Walaupun dia mengambil sikap berkecuali dan tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga anak perempuan dan menantunya itu, namun rajuk yang berpanjangan oleh Rahadatul ‘Aisy selama ini amat menggusarkan hatinya.

“Wah, romantiknya abang Harris ni. Maya pun nanti nak cari suami macam abang Harris lah. Dahlah handsome, kaya pula tu..” tutur Summayah teruja. Semenjak dari lapangan terbang lagi, dia asyik memerhatikan kelibat kakak dan abang iparnya yang pada pandangannya seperti merpati dua sejoli.

“Amboi, sekolah tak habis lagi dah pandai nak menggatal” Rizal meluku kepala adiknya. Suraya yang sibuk menyuapkan nasi ke mulut Mia Sara hanya tersenyum geli hati. Rizal dan Sumayyah memang pantang kalau duduk semeja. Ada sahaja perkara yang ingin digaduhkan. Marah-marah sayang lah katakan.

“Maya bukan menggatal lah abang Rizal. Maya cuma memasang impian” becok mulut Sumayyah menjawab.

“Muka macam lipan ada hati nak berangan. Ayah, budak ni kalau dapat banyak cangkul dalam SPM nanti kita kahwinkan saja” usikan Rizal membuatkan Sumayyah mencebik tidak puas hati.

“Abang Rizal ni jahat tau!” tangan Sumayyah sudah singgah di pinggang abangnya.

“Auch… macam spesies ketam. Nak menyepit aje kerjanya. Malanglah suami kau nanti Maya” Rizal menggosok pinggangnya yang terasa pedih kesan cubitan adiknya.

“Mak, ayah..tengok abang ni..” suara Sumayyah manja untuk mendapatkan sokongan. Rizal sudah ketawa mengekek melihat wajah adiknya yang sudah mencuka.

“Kamu berdua ni kalau tak bercakar tak sah” akhirnya Haji Hilmi bersuara mendamaikan keadaan. Hatinya berbunga bahagia kerana semua anak-anaknya dapat berkumpul dalam suasana yang cukup meriah. Rahadatul ‘Aisy juga terhibur dengan telatah kedua-dua adiknya. Sudah lama dia tidak merasai suasana ceria begitu.

“Bila kamu berdua nak balik ke KL?” tanya Hajah Maryam sambil matanya memandang anak perempuan dan menantu lelakinya silih berganti.

“Hari Sabtu ini. Harris ingat nak bawa ‘Aisy jumpa mama dan papa dulu. Dia orang dah rindu sangat dengan ‘Aisy terutamanya mama. Lagipun hari Isnin ‘Aisy dah kena lapor kerja di UKM. Betul kan, sayang?” jawab Umayr Harris. Wajah isterinya dipandang untuk mendapatkan kepastian.

“Huh?” Rahadatul ‘Aisy terkaku. Terperanjat dengan perancangan Umayr Harris.

Flight kita ke KL Sabtu ini, pukul 10.00 pagi kan?” ulang Umayr Harris sekali lagi. Lambat-lambat Rahadatul ‘Aisy menganggukkan kepala mengiakan. Macam mana Umayr Harris tahu tentang jadual perjalanannya? Hatinya sudah tidak keruan. Dijeling wajah Umayr Harris yang masih selamba.

“Kenapa kamu tak bawak ‘Aisy melawat Tan Sri dan Puan Sri dulu sebelum balik ke sini? Kamu pun satu ‘Aisy, kenapa tak jenguk mertua kamu dulu? Kesian dia orang” pertanyaan Hajah Maryam membuatkan Rahadatul ‘Aisy hilang punca. Sudikah Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora bertemu dengannya? Sedangkan selama ini mereka tidak pernah menerima kehadirannya dalam keluarga mereka.

“Sebenarnya, papa dan mama ada kat US sekarang ini” balas Umayr Harris menyelamatkan Rahadatul ‘Aisy yang sedang terpinga-pinga.

“Oh begitu. Kamu ini bercuti lama-lama tak apa ke, Harris? Sampai seminggu pula tu” soal Hajah Maryam sekadar ingin tahu. Selama ini, menantunya itu memang jarang dapat bercuti panjang. Selalunya, jikalau Umayr Harris balik menjenguk mereka, paling lama dia hanya dapat bermalam sehari dua sahaja. Itu pun setiap masa telefonnya asyik berdering. Maklumlah, tugas sebagai ahli perniagaan yang mempunyai banyak anak syarikat memang menuntut pengorbanan masa dan perhatian sepanjang masa.

“Ish awak ni, Yam. Dia kan bos besar. Ikut suka dialah nak cuti berapa lama pun. Tak ada siapa yang nak marah” sokong Haji Hilmi mengundang senyum di wajah Umayr Harris.

“Tak ada masalah, mak. Lagipun dah lama saya tak bercuti panjang. Saat ini kerja tak penting bagi saya. Apa yang paling utama saya nak habiskan masa yang berkualiti bersama ‘Aisy. Bukannya sekejap dia tinggalkan saya seorang diri di Malaysia” ujar Umayr Harris sambil melirik manja isterinya. Wang dan harta boleh dicari tapi jika dia kehilangan Rahadatul ‘Aisy lagi pasti hidupnya nanar.

“Mak pun tak faham kenapa ‘Aisy ni beria sangat nak sambung belajar kat UK. Padahal universiti dalam negara pun banyak. Sanggup tinggalkan suami lama-lama” tiba-tiba Hajah Maryam membangkitkan persoalan yang selama ini sering dielakkan oleh Rahadatul ‘Aisy.

 “Mak kan tahu, salah satu cita-cita ‘Aisy untuk belajar di UK. Semasa degree dan master ‘Aisy tak ada peluang. Jadi, bila kerajaan dah nak taja, takkanlah ‘Aisy nak menolak tuah” luah Rahadatul ‘Aisy membela diri. Jawapan yang sama diberikan setiap kali soalan yang sama dibangkitkan.

“Mak tahu kamu memang bercita-cita tinggi. Tapi, yang menjadi mangsa cita-cita kamu tu suami kamu ni. Makan pakai dia tak terjaga. Sepatutnya tempat seorang isteri di sisi suami” kata-kata Hajah Maryam menggambarkan yang dia tidak pernah bersetuju dengan tindakan anaknya menyambung pengajian di London. Mak dah mula dah. Rahadatul ‘Aisy gelisah. Kata-kata inilah yang sering diluahkan oleh emaknya setiap kali mereka berhubung di talian telefon. Dia memang tiada kudrat untuk membalas. Membalas kata-kata Hajah Maryam ibarat berhujah dengan seorang peguam. Mudah-mudah alasan dan jawapannya akan dipatah-patahkan oleh ibunya.

“Sebenarnya, saya izinkan ‘Aisy sambung belajar. Lagipun, zaman sekarang, Kuala Lumpur dengan London bukannya jauh sangat. Masa ‘Aisy kat sana, tiap-tiap bulan saya jenguk dia” bela Umayr Harris tenang. Bulat anak mata Rahadatul ‘Aisy memandang suaminya. Umayr Harris datang menjenguknya di London sebulan sekali? Kalaulah hendak membela dirinya sekalipun, tidak perlulah mereka cerita begitu. Apa yang ingin dibuktikan oleh Umayr Harris? Hendak beritahu kepada semua yang dialah seorang suami yang bertanggungjawab?

“Kamu ni, Yam. Anak kita kan dah balik. Dah habis pun belajar. Yang awak duduk ungkit perkara lepas tu buat apa?” tegur Haji Hilmi seakan mengerti gelodak yang bermain di jiwa anak perempuannya itu. Teguran suaminya langsung mematikan kata-kata Hajah Maryam.
Umayr Harris meneruskan suapan nasi yang sudah hampir dihabiskan. Dia perasan mata Rahadatul ‘Aisy asyik tajam memandangnya.

 “Abang tahulah muka abang ni handsome. Tapi perut tu takkan kenyang kalau asyik tenung wajah abang je” perli Umayr Harris. Dibisikkan kata-kata itu perlahan di telinga Rahadatul ‘Aisy sambil tersenyum mengusik. Geram dengan kata-kata itu, spontan kaki Umayr Harris dipijak Rahadatul ‘Aisy.

“Hebat awak ye. Agak-agak dah boleh ganti Aaron Aziz ke?” tanya Rahadatul ‘Aisy sinis dalam nada rendah. Umayr Harris memandang wajah kelat Rahadatul ‘Aisy. Sedaya upaya dia mengukir senyuman. Walaupun dia tidak tahu bagaimanakah rupa senyumnya kala itu kerana pada waktu yang sama wajahnya berkerut menahan sakit. Api tidak boleh disiram dengan minyak gas.

“Lebih daripada itu lagi abang boleh buat” kata-kata itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkesima. Apa maksud Umayr Harris?

BAB 8
“Apa semuanya tadi, Harris?” serang Rahadatul ‘Aisy tanpa berlengah tatkala hanya mereka berdua berada di anjung rumah. Suasana malam yang dingin langsung tidak dapat menyejukkan hatinya yang panas dengan lakonan dan penipuan Umayr Harris sewaktu di meja makan. Hatinya bertambah bengkak tatkala melihat Umayr Harris hanya membiarkan sepi pertanyaannya. Sebaliknya, lelaki itu hanya melemparkan senyuman sambil berpeluk tubuh. Menyampah!

“Apa maksud ‘Aisy? Abang tak faham” akhirnya Umayr Harris membalas pertanyaan Rahadatul ‘Aisy dengan soalan membuatkan wanita itu mendengus geram.

“Tak perlu berlagak naif depan saya, Harris. Kenapa awak sanggup menipu mak dan ayah saya? Apa yang awak nak buktikan?” keras intonasi suara Rahadatul ‘Aisy bertubi-tubi melontarkan pertanyaan.

“Menipu? Bila masa abang berbohong pada mak dan ayah?” Umayr Harris mengangkatkan kedua belah keningnya sambil berpeluk tubuh. Makin sakit hati Rahadatul ‘Aisy melihat ketenangan yang ditunjukkan oleh Umayr Harris.

“Awak beritahu mak dan ayah yang awak datang menjenguk saya di London tiap-tiap bulan, itu bukan penipuan ke? Kononnya awaklah suami mithali yang mengizinkan saya ke London, itu bukan pembohongan? Itu tak termasuk lagi lakonan hebat awak semasa di airport” segala ketidakpuasan hati Rahadatul ‘Aisy yang disimpan sewaktu makan malam tadi dihamburkan keluar.

“Habis tu, sayang nak mak dan ayah tahu yang ‘Aisy tak pernah minta kebenaran abang untuk ke London? ‘Aisy ke sana kerana membawa rajuk di hati? Sampaikan empat tahun ‘Aisy menghilang tanpa pernah sekali pun hubungi abang. Begitu?”

“Itu kebenarannya kan? Kenapa? Awak takut mak dan ayah akan tahu, apa yang awak dah buat pada saya? Takut pekung di dada awak itu akan terbuka?” pertanyaan dalam bentuk sindiran yang dituturkan oleh Rahadatul ‘Aisy ternyata berjaya mengusik sedikit ketenangan di wajah Umayr Harris. Namun, cuba dipujuk diri untuk tidak cepat melatah. Dia perlu bersabar.

“Abang tak pernah takut dengan kebenaran, ‘Aisy. Abang bukanlah orang yang suka lempar batu tapi sembunyi tangan. Tapi yang menghairankan abang, kenapa dari dulu lagi ‘Aisy sendiri yang tak berterus terang dengan mak dan ayah? Kenapa ‘Aisy sering mengelak setiap kali mak bertanya pada ‘Aisy tentang hubungan kita? Sampai sekarang, banyak perkara tentang kita yang ‘Aisy sembunyikan dari mak dan ayah kan?” bertubi-tubi persoalan yang dilontarkan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentak. Langsung membuatkan wanita itu kehilangan kata. Dia mengetap bibir geram. Akhirnya, dia pula yang terperangkap dengan persoalan yang ditimbulkannya.

Memang benar, walau luka yang Umayr Harris toreh di hatinya cukup dalam, ia masih tidak mampu membuatkan dirinya tergamak mencalarkan maruah suaminya. Baginya, masalah di antara dia dan Umayr Harris tidak perlu dihebohkan. Simpati dan ratapan pilu tidak akan mengurangkan derita dan sengsara yang sarat ditanggung hatinya. Atau sebenarnya masih ada lagi tunas-tunas cinta di ruang hatinya buat Umayr Harris?

“Kenapa diam?” perli Umayr Harris masih menanti jawapan Rahadatul ‘Aisy. Terukir senyuman sinis di tubir bibirnya tatkala melihat kegelisahan Rahadatul ‘Aisy.

“Awak jangan nak putar belit kan keadaan pula. Saya yang tanya awak dulu” gelabah bunyi ayat yang dituturkan Rahadatul ‘Aisy berjaya mengundang tawa tipis Umayr Harris.

“Pandai ‘Aisy nak mengelak, ya. Kenapa tak nak jawab soalan abang?” tubuh Rahadatul ‘Aisy didekati. Melihat Rahadatul ‘Aisy yang semakin tidak senang duduk membuatkan Umayr Harris semakin yakin dengan perasaannya isterinya.

“Kalau ‘Aisy tak nak jawab. Abang boleh tolong jawab kan” sambung Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy semakin terpisat-pisat. Seram sejuk pula melihat perubahan Umayr Harris yang sedang memandangnya dengan pandangan yang menggoda. Rasa gentar terbit di hatinya tatkala tubuh Umayr Harris semakin menghampirinya. Itu semua membuatkan akalnya kematian idea untuk membalas.

“Dahlah, malas saya nak bercakap dengan awak” tingkah Rahadatul ‘Aisy cuba menamatkan perbualan. Dia mula mengayun langkah ingin melarikan diri dari Umayr Harris yang hanya berada beberapa jengkal darinya. Pantas, lengan Rahadatul ‘Aisy dipaut membuatkan muka wanita itu tersembam ke dada bidang Umayr Harris. Bagaikan seperti ada aliran elektrik yang sedang mengalir saat lingkaran tangan Umayr Harris membawa tubuh Rahadatul ‘Aisy erat ke dalam dakapan.

“Sebenarnya, ‘Aisy tak sanggup mak dan ayah membenci abang jika mereka mengetahui kesilapan abang pada ‘Aisy kan? Kerana ‘Aisy masih sayangkan abang kan? Dalam hati ‘Aisy, masih ada cinta untuk abang kan?” bisik Umayr Harris romantis di cuping telinga Rahadatul ‘Aisy. Redup renungan Umayr Harris menembusi sepasang anak mata Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu seakan terpaku. Elusan lembut telapak tangan Umayr Harris di pipinya membuai perasaan Rahadatul ‘Aisy. Mindanya bagaikan sedang mengalami hipnosis. Lalu, tanpa sedar jari jemari Rahadatul ‘Aisy mengusap tangan Umayr Harris yang sedang bermain di pipinya, ingin dihayati keindahan sentuhan itu. Benarkah segala tebakan Umayr Harris? Masih cinta kah dia pada Umayr Harris? Masih berbaki kah kasihnya buat lelaki ini?

Namun, tatkala melihat kesan parut lama di lengannya telah membawa Rahadatul ‘Aisy kembali ke alam nyata. Serta-merta rasa marah, benci dan dendam bertamu menguasai diri. Marah dengan dirinya sendiri kerana semudah itu hatinya hampir tertewas dengan godaan Umayr Harris. Rasa benci dan dendam dengan kenangan silam yang sememangnya sukar untuk dipadamkan dari kotak memorinya. Dia tidak boleh terus membiarkan perasaan itu menjerut tangkai hatinya. Dengan kasar tangan Umayr Harris ditepis kuat dan pelukan dileraikan.

“Jangan terlalu mudah membuat kesimpulan, Harris. Perasaan saya pada awak dah lama mati. Saya tak ada hak untuk membuka mulut. Walaupun saya ini seorang perempuan yang pernah dipandang hina dan jijik oleh awak, tapi saya tidaklah begitu keji untuk menjaja kisah rumah tangga saya pada orang lain. Bukan seperti awak, nampak hebat di luar tapi dalam hati pengecut. Takut nak mengakui kesilapan sendiri. Hipokrit!” tukas Rahadatul ‘Aisy, tidak mahu kalah dengan telahan Umayr Harris. Tajamnya kata-kata itu bagaikan mata pisau, cukup membuatkan Umayr Harris terasa tercabar. Riak wajah Umayr Harris berubah tegang.

“Kalau ‘Aisy mahu, sekarang juga abang akan berterus terang dengan mak dan ayah. Abang tak pernah berniat untuk menyembunyikan kesilapan abang. Abang tahu abang salah dan abang berhak dihukum. Jika kebencian mak dan ayah boleh membuatkan ‘Aisy memaafkan abang, abang rela” putus Umayr Harris sambil menarik tangan Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu terdorong ke depan.

“Awak nak buat apa ini? Nak bawak saya ke mana?” terkejut dengan tindakan drastik Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy cuba merentap pegangan suaminya, namun gagal. Dalam terpaksa dia menuruti langkah Umayr Harris.

“Jumpa mak dan ayah. Kita berterus terang malam ini jugak!” ajakan serius Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy serba salah. Dia sedar, kata-katanya tadi telah membuatkan ego Umayr Harris tercabar. Namun, dia tidak menyangka Umayr Harris akan begitu nekad apabila mendengar kata-katanya yang berbisa itu. Bagaimana dirinya tergamak menuturkan kata-kata yang cukup pedih itu? Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir menyesali keterlanjuran katanya. Sering dia gagal mengawal emosi tika bersama Umayr Harris. Dalam hati dia mengutuk kebodohannya sendiri.

“Besok sajalah, Harris. Dah lewat malam ini. Mesti mak dan ayah dah tidur” Rahadatul ‘Aisy cuba memberi alasan. Namun tidak dihiraukan oleh Umayr Harris. Biarlah malam itu menjadi penentu segala-galanya. Pintu bilik tidur Haji Hilmi dan Hajah Maryam diketuk. Rahadatul ‘Aisy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia gelisah.

“Ada apa Harris, ‘Aisy?” soal Hajah Maryam sebaik pintu bilik dibuka. Dipandangnya wajah menantu dan anak perempuannya silih berganti.

“Kami minta maaf mengganggu mak tengah-tengah malam ini” tutur Umayr Harris membuka bicara.

“Tak apa. Mak pun belum tidur lagi. Kenapa, Harris?”

“Saya nak ..”

“’Aisy nak minta tolong mak masakkan gulai ayam kampung besok. Teringin sangat” potong Rahadatul ‘Aisy cepat. Mujurlah otaknya cepat mencari alasan. Pandangan tajam Umayr Harris tidak diendahkan. Hatinya tidak tega membiarkan Umayr Harris membuka rahsia rumah tangga mereka berdua. Kerana, satu rahsia yang akan dibuka pasti akan membangkitkan rahsia lain. Dia tidak mahu keadaan yang sudah keruh menjadi lebih rumit.

“Mak ingatkan apalah tadi. Sampaikan tak sempat nak tunggu besok. Kamu mengidam ke ‘Aisy?” senyum simpul yang terukir di bibir Hajah Maryam membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy berubah merah.

“Tak adalah, mak. ‘Aisy teringin sebab dah lama tak makan. Kalau dapat cicah dengan sambal belacan pauh lagi best”

“Yalah, nanti mak masakkan. Pagi besok mak suruh ayah kamu sembelih ayam. Kamu pula Harris, nak mak masakkan apa untuk besok?” tanya Hajak Maryam membuatkan Umayr Harris terpaksa melemparkan sengih.

“Saya tak kisah. Sebenarnya saya hendak…”

“Sebenarnya mak, abang Harris ni malu nak beritahu emak. Tadi dia beritahu ‘Aisy nak minta mak buatkan jala emas. Selera besar betul abang Harris ini kan” Rahadatul ‘Aisy menyampuk kata-kata Umayr Harris. Hajah Maryam tergelak kecil. Macam-macam hal mereka berdua ini.

“Yalah, besok mak buatkan. Dah lewat ini, kenapa tak masuk tidur lagi?” Hajah Maryam mengerling jam di dinding. Jarum jam sudah menghampiri tengah malam. Pelik juga dia dengan telatah anak menantunya itu. Tengah-tengah malam buat permintaan makanan.

“Kami masuk tidur dulu ye mak. Selamat malam. Assalamualaikum” ucap Rahadatul ‘Aisy tergesa-gesa. Dipimpinnya tangan Umayr Harris menuju ke bilik beradu mereka apabila menyedari lelaki itu masih teragak-agak.

“Dah, lepaskan tangan saya” tegur Rahadatul ‘Aisy sebaik mereka berdua berada di dalam bilik.

“Aik, siapa yang pegang siapa tadi?” riak pelik Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersipu saat menyedari jari-jemarinya yang sedang memaut kemas tangan Umayr Harris. Pantas tautan itu direnggangkan. Sengaja dia tidak mengendahkan pandangan tajam Umayr Harris. Sebaliknya, kakinya diatur ke bilik air. Belum sempat tombol pintu biliknya dipulas, Umayr Harris terlebih dulu menghalang.

“Kenapa tak benarkan abang berterus terang tadi?” soal Umayr Harris tidak berpuas hati. Wajahnya tegang. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang diinginkan oleh isterinya. Kadang-kadang dia rasa Rahadatul ‘Aisy seolah-olah sengaja ingin menduga kesabarannya. Sengaja isterinya itu menuturkan kata-kata untuk membangkitkan kemarahannya. Sengaja hendak mencari pasal dengannya.

“Dahlah, Harris. Saya penat sangat. Saya nak tidur” ujar Rahadatul ‘Aisy ingin mengelak.

No. ‘Aisy jawab dulu soalan abang. Kenapa ‘Aisy tak benarkan abang berterus terang? Sedangkan tadi ‘Aisy yang beria-ia mencabar abang kan?” paksa Umayr Harris mengulangi pertanyaannya. Rahadatul ‘Aisy menghela nafas yang panjang.

“Untuk apa, Harris? Semuanya dah berlaku. Buat masa sekarang, sama ada mak dan ayah tahu ataupun tidak, keadaan tetap takkan berubah. Masalah antara kita, lebih baik kekal antara kita berdua sahaja. Kita selesaikan dengan cara baik. Bila semuanya sudah selesai, saya pasti mak dan ayah akan mengerti” talar Rahadatul ‘Aisy membela tindakannya sebentar tadi.

 “Apa maksud ‘Aisy?”

“Awak tahu apa yang saya mahukan dari awak kan? Lebih baik kita berpisah dengan cara baik, Harris” balas Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris mengeluh berat.

“Kenapa setiap kali kita bercakap, akhirnya isu perpisahan juga yang ‘Aisy bangkitkan. Perkara yang paling abang tak suka dengar juga yang ‘Aisy suarakan. ‘Aisy sengaja nak hukum abang kan? Sengaja nak buat abang marah dan benci pada ‘Aisy kan? Kenapa ‘Aisy nak menyukarkan lagi keadaan?” keras nada suara Umayr Harris. Dadanya berombak menahan kesabaran yang dirasakan semakin menipis.

“Sebab saya tidak boleh lupakan apa yang awak dah buat pada saya. Setiap kali bersama awak, hati saya sakit. Ia akan mengingatkan saya pada saat saya kehilangan satu-satunya harta yang saya ada. Anugerah rezeki yang awak tak pernah hargai kehadirannya!” mata Rahadatul ‘Aisy mula digenangi mutiara jernih. Akhirnya dia tertewas lagi dengan air matanya sendiri. Pantas langkahnya dihayun ke bilik air.

Rahadatul ‘Aisy terjelepok di atas lantai bilik air. Segala kesedihan dihamburkan. Pancuran air dibuka untuk mengelakkan tangisannya mengejutkan tidur ahli keluarganya yang lain. Panggilan Umayr Harris yang sayup tenggelam timbul tidak meninggalkan kesan di hatinya. Hatinya sudah beku. Ingatannya menerawang ke malam itu. Malam yang telah mematahkan segala harapannya sebagai seorang isteri.

“Abang dah balik? Kenapa lewat? ‘Aisy masak special untuk abang tau. Tapi semuanya dah sejuk. Emm.. apa kata abang naik atas, mandi dan solat dulu. Sementara itu, boleh ‘Aisy panaskan lauk-lauk ni” ceria tutur Rahadatul ‘Aisy. Lelah memasak dan penat menunggu kepulangan Umayr Harris terubat tatkala melihat wajah suaminya. Lagipun, dia sudah tidak sabar untuk berkongsi berita gembira dengan Umayr Harris. Langsung tidak menyedari riak wajah Umayr Harris yang sedang memandangnya tajam. Tanpa suara, Umayr Harris meniti tangga menuju ke bilik tidurnya.

Rahadatul ‘Aisy mengukirkan senyuman bahagia. Dia menggosok-gosokkan perutnya yang kempis sambil menunggu masakan dipanaskan di dalam microwave. Di dalam rahimnya kini, sedang tumbuh subur benih cinta dia dan Umayr Harris. Kehadiran zuriat yang hampir setahun dinanti oleh mereka berdua. Mengharapkan berita ini akan mengembalikan sinar bahagia di dalam rumah tangganya. Kehadiran zuriat yang bakal mengikat kasih di antara dia dan Umayr Harris. Sejak akhir-akhir ini dia perasan kedinginan dalam layanan Umayr Harris terhadapnya. Entah di mana silapnya dia sendiri tidak pasti.

Dia memperkemaskan hiasan di meja makan sambil berlagu kecil. Kemudian, gambar imbasan ultrasound hasil pemeriksaan di klinik siang tadi diletakkan di atas pinggan kosong yang disediakan buat Umayr Harris. Sengaja ingin mencipta satu kejutan. Tidak sabar untuk melihat reaksi suaminya. Gambar yang masih belum jelas bentuk janinnya dipandang dengan penuh rasa kasih.

Senyuman Rahadatul ‘Aisy semakin melebar apabila kelibat Umayr Harris melangkah menuruni tangga. Namun, suaminya itu tidak terus duduk sebaliknya hanya berdiri kaku sambil melemparkan sebuah pandangan benci. Tiada langsung kemesraan di wajah itu.

“Abang ada sesuatu nak tanya ‘Aisy” keras intonasi suara Umayr Harris. Kedua-dua belah rahang milik lelaki itu bergerak-gerak memberi isyarat ada sesuatu yang tidak kena.

“Kalau ya pun, jomlah kita makan dulu. Mesti abang lapar kan? Sambil makan nanti abang boleh tanya ‘Aisy. Lagipun ‘Aisy ada benda juga nak beritahu abang” pujuk Rahadatul ‘Aisy lembut. Senyuman tetap diukirkan buat suaminya, cuba untuk meneutralkan emosi suaminya yang kurang baik. Entah apa yang merasuk Umayr Harris, sejak akhir-akhir ini suaminya itu sering pulang ke rumah dengan wajah yang dingin dan beku. Dia menghampiri Umayr Harris. Lengan lelaki itu dipaut lembut namun ditepis kuat. Senyuman Rahadatul ‘Aisy mati.

“Aku tak ingin makan masakan perempuan sundal macam kau ni!” kasar sekali bahasa yang keluar dari mulut Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpempan. Sudah hilang panggilan abang di bibir lelaki itu.

“Abang! Sampai hati abang cakap macam itu pada ‘Aisy” luah Rahadatul ‘Aisy sayu. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Dia cukup berkecil hati dengan kata-kata cacian suaminya. Apa salahnya sehingga selayaknya dia dihina dengan panggilan itu.

“Tak perlu lagi kau nak berpura-pura, perempuan. Simpan saja air mata palsu kau tu. Sekarang, aku nak kau jawab soalan aku. Siapa lelaki yang menyundal dengan kau ni?” beberapa keping gambar dilemparkan ke muka Rahadatul ‘Aisy dan jatuh berselerakan di atas lantai. Rahadatul ‘Aisy jatuh terjelepok tatkala anak matanya menangkap dua tubuh manusia yang sedang beraksi panas di dalam gambar pegun hitam putih yang diambil daripada rakaman video cctv. Jelas wajah wanita itu mirip sepertinya. Namun susuk tubuh lelaki membelakangi kamera itu tidak dapat dikenal pasti. Yang jelas di belakang lelaki itu terdapat ukiran tatu berbentuk labah-labah.

“Ya Allah, ini fitnah abang. Ini bukan ‘Aisy..” terketar-ketar dia menuturkan bait-bait ayat untuk membela dirinya. Berat sekali tuduhan itu. Memang betul bukan dirinya di dalam gambar itu walaupun raut muka perempuan itu persis sepertinya.

“Bukti dah ada depan mata pun kau masih nak menipu aku? Nak aku tunjukkan video dia baru kau nak mengaku? Cakap, siapa lelaki dalam gambar ini?” tanya Umayr Harris dalam nada yang tinggi. Lengan isterinya dicengkam kuat. Hatinya panas menyaksikan aksi mesra isterinya melayan lelaki lain.

“Sumpah, abang. ‘Aisy tak buat semua ini. Percayalah cakap ‘Aisy. Mungkin kebetulan wajah kami berdua sama, pelanduk dua serupa. Atau mungkin superimpose” dalam esakan dia cuba meraih kepercayaan suaminya walaupun peluangnya dirasakan tipis. Cuba mengajak suaminya berfikir dengan lebih rasional.

“Kau ingat boleh memperbodoh kan aku? Aku dah periksa video dan gambar ini. Semuanya asli” sudah seminggu dia berurusan dengan teman baiknya, Alif yang kebetulan merupakan pakar pengimejan video. Remuk redam hatinya tatkala Alif mengesahkan video yang diterimanya tidak mengandungi sebarang unsur pertindihan imej.

“Perempuan dalam gambar itu bukan ‘Aisy, abang. ‘Aisy tak pernah serahkan kehormatan diri ‘Aisy pada lelaki lain. ‘Aisy hanya setia pada abang. Ini semua fitnah. Fitnah!” raung Rahadatul ‘Aisy. Di kala hatinya berbunga dengan berita kehamilannya, dia terduga pula dengan fitnah kecurangannya. Yang pasti dia tidak melakukannya!

“Pergi jahanam dengan kesetiaan kau. Sekarang aku nak tahu, siapa lelaki dalam gambar ini?” tubuh Rahadatul ‘Aisy digoncang kasar. Cengkamannya dikuatkan. Umayr Harris cuba memaksa isterinya membuka mulut.

“’Aisy tak tahu abang. Tolonglah lepaskan ‘Aisy. Sakit abang..” cengkaman kuat Umayr Harris di lengannya membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengaduh.

“Di saat begini pun kau masih nak membela jantan ini? Sayang benar kau pada dia emmm..?” tingkah Umayr Harris melulu. Cemburunya membuak-buak pada lelaki yang tidak dikenali di dalam gambar itu. Dia perlu tahu siapa lelaki itu. Ingin diajar secukupnya jantan keparat itu. Dendam nya menggunung.

“Betul ‘Aisy tak tahu. Macam mana ‘Aisy nak tahu sedangkan bukan ‘Aisy yang bersama dengan lelaki itu. Percayalah abang…” talar Rahadatul ‘Aisy menidakkan. Hati Umayr Harris semakin panas.

Pang! Baran Umayr Harris sudah tidak dapat dikawal mendengar ayat penafian yang tidak henti-henti dituturkan oleh Rahadatul ‘Aisy. Dia melayangkan penampar sulung pada pipi mulus isterinya. Tamparan yang kuat itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy jatuh terjelepok di tepi meja. Dia dapat merasakan cecair pekat mengalir di celah bibirnya. Esakan Rahadatul ‘Aisy semakin kuat. Selama ini Umayr Harris tidak pernah menyakiti nya. Dia seolah-olah sudah tidak mengenali suaminya itu lagi.

“Sekarang kau masih tak nak mengaku lagi? Tak nak beritahu aku siapa lelaki keparat tu? Argghhh…” jerit Umayr Harris seperti kerasukan. Gelengan dan kedegilan Rahadatul ‘Aisy menambahkan bara di dada Umayr Harris. Otaknya semakin berserabut. Ringan kakinya menghadiahkan sepakan ke perut isterinya. Entah kenapa saat itu dia seperti gagal mengawal rasa amarah yang menguasai dirinya. Seakan-akan ada bisikan halus di telinga yang menghasut untuk menjatuhkan hukuman ke tubuh Rahadatul ‘Aisy.

“Abang, jangan buat ‘Aisy macam ini. Kasihanilah anak kita dalam perut ‘Aisy ini” rintih Rahadatul ‘Aisy lemah. Dia mengerang kesakitan. Tendangan padu kudrat seorang lelaki begitu menyenakkan perutnya. Dalam kesakitan, hatinya dipagut bimbang dengan keselamatan kandungannya.

“Anak? Kau mengandung?” Umayr Harris terpegun.

“Ya, abang. ‘Aisy mengandung dua bulan. Kita bakal jadi papa dan mama” beritahu Rahadatul ‘Aisy memancing simpati suaminya. Dia tidak kisah jika hanya dirinya yang disakiti tetapi dia tidak sanggup jika kandungannya turut terancam.

“Dua bulan? Ini mesti hasil kerja sundal kau dengan lelaki jahanam tu kan?” tuduhan Umayr Harris benar-benar menikam tangkai hatinya. Sungguh pedih dan berbisa.

“Subhanallah! Demi Allah, ini anak abang. Abang adalah ayah kepada anak ini. Anak hasil dari kasih sayang kita berdua” lirih tutur Rahadatul ‘Aisy.

“Kau ingat aku akan percaya? Anak haram ini bukan anak aku!” tengking Umayr Harris menyentap jantung Rahadatul ‘Aisy.

“Abang! Jangan hina anak kita. Kehadiran dia adalah hasil hubungan yang suci, hubungan yang halal” lantang Rahadatul ‘Aisy bersuara. Dia masih boleh bersabar saat dirinya difitnah dan dihina tapi dia tidak sanggup menadah telinga mendengar penghinaan terhadap zuriat yang dikandunginya. Apalah nasib mu, nak. Sebelum dilahirkan, papa mu telah membuang diri mu. Rintih Rahadatul ‘Aisy.

“Ooo… sekarang kau nak aku jadi pak sanggup untuk anak haram kau ini? Walaupun dalam mimpi, kau jangan harap aku akan terima anak ini. Aku jijik dengan kau dan keturunan kau!” jerkah Umayr Harris memandang isterinya dengan penuh kebencian.

“Abang…” hatinya seperti ditusuk belati tajam.

 “Kau berhambus dari rumah aku. Pergilah cari jantan jahanam tu untuk jadi bapa anak kau!” tiba-tiba Umayr Harris menarik tangan Rahadatul ‘Aisy menuju ke muka pintu rumah agam miliknya.

“Abang! Jangan layan ‘Aisy macam ni” rayu Rahadatul ‘Aisy.

“Kau memang perempuan kotor. Kau buat nenek aku jatuh sayang pada kau sehingga nenek sanggup paksa aku bernikah dengan kau. Bila aku dah boleh menerima kau, ini yang kau hadiahkan pada aku?” herdik Umayr Harris.

“’Aisy tak buat semua itu, abang. Percayalah cakap ‘Aisy, abang” ratap Rahadatul ‘Aisy pilu.

“Dah kira baik aku suruh kau keluar dari rumah aku. Kalu ikutkan hati, aku bunuh saja kau dan anak haram kau ini. Berhambus!” Daun pintu dibuka. Tubuh Rahadatul ‘Aisy ditolak kasar sehinggakan wanita itu tersungkur di atas lantai konkrit berjubin di koridor luar rumah.

“Abang..” raung Rahadatul ‘Aisy. Penghinaan bertubi-tubi yang diterima Rahadatul ‘Aisy hanya mampu dibalas dengan tangisan. Tiada guna dia menuturkan kata-kata penafian lagi. Pasti tidak akan berbekas di hati suaminya.

“Esok aku akan selesaikan semuanya dengan peguam. Kau tunggu saja surat cerai dari peguam aku” beritahu Umayr Harris dengan bengis seraya menghempaskan pintu kuat. Rahadatul ‘Aisy terduduk. Tubuhnya disapa angin semilir malam yang mendinginkan. Pintu yang tertutup rapat itu dipandang. Hanya kerana fitnah, Umayr Harris telah membuang dia dari hidupnya. Malam itu dia telah kehilangan haknya sebagai seorang isteri. Dia telah dihalau keluar oleh suaminya sendiri dengan cara yang paling hina. Dalam hujan yang lebat, dia membawa kakinya menuju ke destinasi yang dia sendiri tidak pasti. Dia hanya sebatang kara di bumi Kuala Lumpur. Ke mana harus dibawa diri dengan hanya sehelai sepinggan itu?

Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju mendekatinya yang sedang berdiri di bibir jalan. Suluhan lampu tinggi menyilaukan pandangan.

“Ya Allah..” hanya kalimat suci itu yang meniti di bibirnya tatkala kereta itu meluru ke arahnya. Tubuhnya dirasakan melayang ke udara dan hempasan kuat di atas jalan raya memberikan kesan kesakitan yang sukar digambarkan. Pandangannya berbalam dan gelap.

2 comments:

  1. sesak nafas baca part harris marahkan 'aisy tu..patut pun 'aisy kecewa sngat dengan harris..hurm..

    ReplyDelete
  2. ohhhhhhhhhhhhhhh sdeynyerrrr..!!!

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..