Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 5-6

BAB 5
Riuh rendah suara ahli keluarga Rahadatul ‘Aisy yang berkumpul untuk menyambut kepulangannya langsung tidak menarik perhatiannya. Keinginannya untuk melepaskan rindu pada ibu dan ayah serta adik beradiknya terbantut dengan kehadiran Umayr Harris. Dia rimas dengan ekor mata Umayr Harris yang sering mengekori setiap pergerakannya. Panahan mata helang milik Umayr Harris membuatkan dia menjadi kekok. Atau sebenarnya dia takut tertewas dengan sepasang mata yang sering dirindunya suatu waktu dulu.


Sengaja Rahadatul ‘Aisy meminta diri masuk ke dalam bilik dengan alasan untuk berehat. Sekurang-kurangnya dia berjaya meloloskan diri daripada Umayr Harris buat seketika. Perjalanan jauh yang ditempuhi memang meletihkan tubuhnya. Otaknya juga serabut dengan bermacam-macam soalan yang tidak berjawab tentang kemunculan Umayr Harris. Sehingga saat itu, dia masih tertanya-tanya dengan perubahan yang ditunjukkan Umayr Harris. Hatinya cukup sebu melihat hubungan mesra Umayr Harris dengan setiap ahli keluarganya. Berbeza sekali dengan Umayr Harris yang dikenalinya lima tahun yang lalu. Seorang lelaki yang cukup dingin dan beku seperti bongkah ais di kutub selatan. Apa tujuan sebenar Umayr Harris?

Rahadatul ‘Aisy melepaskan keluhan. Tubuhnya dihempaskan di atas katil. Tangannya diletakkan di atas kepala. Matanya tunak memerhatikan kipas syiling yang berputar laju. Kenangan di lapangan terbang Sultan Mahmud menjengah di ruang ingatannya.

“Awak tunggu apa lagi kat sini?” dia menjeling Umayr Harris yang masih tidak berganjak dari tempat memunggah bagasi walaupun bagasi sederhana besar miliknya sudah selamat berada di dalam troli.

“Abang tunggu isteri abang” Umayr Harris menjawab pertanyaan isterinya dengan senyuman. Dia perlu berlembut dengan Rahadatul ‘Aisy yang jelas kurang selesa dengan kehadirannya.

Where is your wife?” terpacul soalan berbaur sindiran dari mulut Rahadatul ‘Aisy. Dia berpura-pura melilau pandangan seolah-olah mencari kelibat seseorang. Sedangkan dia cukup maklum siapa yang dimaksudkan oleh Umayr Harris. Dia geram setiap kali perkataan isteri meniti di bibir lelaki itu. Baginya, gelaran itu sudah lama dilucutkan oleh Umayr Harris sendiri walaupun tidak secara hitam putih.

“Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu lagi mahu tanya, emm?” Umayr Harris mencuit dagu runcing milik Rahadatul ‘Aisy cuba mencipta kemesraan yang telah lama pergi. Pantas wanita itu melarikan wajahnya. Pandangannya dialihkan pada bagasi-bagasi yang sedang ditolak di atas conveyor belt. Dia benar-benar jengkel. Makin menjadi-jadi pula Umayr Harris jika dilayan.

“Tak perlu susah-susah. Saya boleh angkat sendiri. Awak tak perlu bazirkan masa menunggu bagasi saya. Saya rasa masih banyak lagi urusan awak yang lebih penting kan?” ujar Rahadatul ‘Aisy, langsung memberikan isyarat yang dia tidak memerlukan bantuan tenaga dari Umayr Harris saat dia mahu mengangkat bagasinya yang berada di atas conveyor belt. Namun, Umayr Harris degil. Dengan mudah bagasi besar kepunyaan Rahadatul ‘Aisy di angkat ke atas troli. Pelik apabila lelaki yang selama ini cukup menghargai masanya begitu santai di sisi Rahadatul ‘Aisy.

“Sayang adalah urusan abang yang paling penting sekarang ini” hidung milik Rahadatul ‘Aisy dicuit. Wanita itu mengetap bibir geram. Dia rimas dengan sandiwara yang dimainkan oleh Umayr Harris. Berbulu telinga mendengar panggilan sayang yang kerap digunakan setiap kali lelaki itu melontarkan kata.

“Tak perlu bermulut manis, Harris. Awak pasti tidak akan datang ke sini jika tidak ada urusan penting kan. Urusan kerja barangkali, emm?” balas Rahadatul ‘Aisy sinis dengan membuat andaian sendiri. Pasti lelaki itu sedang mengendalikan projek mega bernilai bilion ringgit. Umayr Harris mana betah untuk menjejakkan kaki ke kawasan kampung yang cukup berlawanan dengan fitrah jiwa lelaki itu yang amat menyanjung kemodenan.

“Yeah, mungkin betul. Memang abang ada urusan di sini. ‘Aisy pun kenal abang macam mana kan. I don’t like wasting my time for nothing” tingkah Umayr Harris angkuh. Kata-kata itu mengundang kecewa di hati Rahadatul ‘Aisy.

But believe me, sayang. Abang ke sini hanya untuk sayang. Demi untuk mendapatkan kembali cinta abang. Aisy adalah keutamaan dalam hidup abang dulu kini dan selamanya” intonasi suara Umayr Harris berubah lembut. Tanpa menghiraukan orang sekeliling, Umayr Harris mengelus pipi putih Rahadatul ‘Aisy membuatkan wanita itu terkaku. Entah kenapa hatinya terusik dengan bisikan kata-kata itu walaupun dia cukup sedar Umayr Harris tidak pernah ikhlas dengan perasaannya. Alangkah indahnya andai Umayr Harris tidak pernah menyakiti hatinya sebelum ini. Pasti dialah wanita yang paling bahagia saat itu.

Stop it, Harris. Sejak bila perempuan yang pernah awak layan macam kain buruk ini menjadi kepentingan utama seorang lelaki terhormat macam awak? Hakikatnya, awak tak pernah perlukan saya dan saya masih boleh hidup tanpa awak” Rahadatul ‘Aisy mengawal suaranya menuturkan kata-kata pedas itu. Sentuhan Umayr Harris ditepis lembut. Bimbang juga jika ketegangan di antara mereka disedari orang sekeliling. Mujurlah tidak ramai manusia yang berada di situ. Sakit hatinya pada lelaki itu tak pernah padam.

“Abang akui abang pernah tersilap menilai kejujuran dan keikhlasan ‘Aisy. Tapi, abang dah sedar dengan kesilapan abang. Abang dah tahu kebenarannya” tutur Umayr Harris dalam nada sesal.

“Kebenaran? Itu semua sudah tidak penting bagi saya. Ia tidak mungkin akan mengembalikan apa yang saya sudah hilang” suara Rahadatul ‘Aisy berubah sayu. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata yang mula menggenangi mata.

“Maafkan abang, sayang” lirih ayat yang keluar daripada mulut Umayr Harris, langsung tidak membalas kata-kata Rahadatul ‘Aisy yang berbisa itu. Wanita itu memberanikan diri menentang pandangan mata Umayr Harris, ingin mentafsir apa yang sedang bermain di benak fikiran lelaki itu. Pelik. Tiada lagi riak kebencian dalam pandangan Umayr Harris. Di mana keegoan dan keangkuhan lelaki tampan ini? Rahadatul ‘Aisy, memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia tidak mahu terbuai dan tertipu dengan sandiwara Umayr Harris.

Just go, Harris” ringkas tutur Rahadatul ‘Aisy. Tidak mungkin dia mampu memaafkan Umayr Harris. Luka di hatinya tak pernah kering. Masih berdarah dan parah!

Tangannya mencapai bagasi kedua berwarna coklat yang melintasi di depannya. Belum pun sempat tangannya menyentuh bagasi itu, Umayr Harris sekali lagi pantas mengangkatnya dan diletakkan di atas troli. Rahadatul ‘Aisy hanya mendengus geram. Sangkanya kata-katanya tadi cukup untuk membuatkan Umayr Harris beredar meninggalkannya. Namun lelaki itu terus tegap berdiri di sisinya tak ubah seperti pengawal peribadi. Tiada perasaankah dia?

“Ada lagi?” pertanyaan Umayr Harris hanya dijawab dengan gelengan setelah tiga biji bagasi berjaya diangkat masuk ke dalam troli. Tanpa pamitan dan tanpa ucapan terima kasih, dia menolak troli laju meninggalkan Umayr Harris agak terkebelakang. Namun tidak sukar lelaki tinggi itu, menyamai langkah Rahadatul ‘Aisy.

“Buat apa awak ikut saya lagi? Awak tak ada kerja lain ke?” dia menghentikan langkah membuatkan Umayr Harris terlajak ke depan.

“Sayang, kita menuju ke pintu yang sama. Rasanya, pintu ketibaan kat airport ni satu tu je kan?” kata-kata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy termalu sendiri. Siapa suruh perasan terlebih sangat. Dia memarahi dirinya sendiri.

“Lagipun, bagasi abang ada kat atas troli ni jugak. Terpaksalah abang ikut ke mana ‘Aisy nak bawak bagasi abang tu” tambah Umayr Harris sambil mengenyitkan mata. Eh! Bagasinya pula yang dijadikan alasan. Baru dia perasan di sebalik timbunan bagasi-bagasinya, terselit bagasi milik Umayr Harris. Entah bila dia tidak sedar Umayr Harris meletakkan bagasinya di atas troli yang sedang disorong.

Come, biar abang tolak” sambung Umayr Harris dan kini troli telah bertukar tangan. Rahadatul ‘Aisy ingin menghalang namun hasratnya dibatalkan sebaik melihat lambaian kedua orang tuanya. Langkah kaki dilajukan ke arah Haji Hilmi dan Hajah Maryam.

“Mak…” tangan Hajah Maryam dikucup lembut. Tubuh tua itu dipeluk erat. Rindu yang disimpan selama empat tahun untuk bertemu kini terlerai.

“Sayang anak mak. ‘Aisy sihat? Kenapa kurus sangat ni? Susah sangat ke nak dapat makanan halal kat sana?” Pertanyaan bertalu-talu Hajah Maryam mengundang tawa kecil Rahadatul ‘Aisy.

“’Aisy sihat, mak. Makan semua cukup. ‘Aisy macam dulu jugak cuma agaknya ‘Aisy ni makin tinggi kot. Sebab itu nampak kurus sikit” gurau Rahadatul ‘Aisy sambil memeluk bahu Hajah Maryam.

“Pandailah kamu nak kelentong mak ye” pipi Rahadatul ‘Aisy dicubit lembut.
“Kenapa ‘Aisy tengok makin banyak kedut kat muka mak ni? Mak tak pakai safi Rania ke?” usik Rahadatul ‘Aisy lagi.

“Bertuah punya budak. Memanglah mak makin tua. Kalau kulit ini licin nanti orang kampung cakap mak pakai susuk pulak” kata-kata berbaur gurauan itu mengundang tawa kedua beranak itu.

“Dua beranak ni kalau dah bertemu, dah tak ingat orang lain dah” sampukan Haji Hilmi menggamit Rahadatul ‘Aisy menghampiri lelaki berkopiah itu.

“Ayah sihat?” dia menyalami Haji Hilmi. Lelaki berusia awal 60-an itu mengusap lembut kepala Rahadatul ‘Aisy yang ditutupi tudung.

“Ayah macam ni lah, ‘Aisy. Dah nama pun orang tua. Kadang-kadang diberikan Allah kesihatan. Kadang-kadang Dia uji dengan sakit” lembut tutur bicara Haji Hilmi. Rahadatul ‘Aisy memandang wajah tua ayahnya. Kemudian, dia beralih kepada dua orang adiknya yang sedari tadi hanya memerhati, Rizal dan Sumayyah.

“Rizal apa khabar? Dah berjanggut rupanya adik kakak ni” Wajah tampan milik Rizal ditenung. Huluran tangan bersambut dan tangan Rahadatul ‘Aisy dikucup sopan. Kemudian pandangannya beralih pada seorang wanita yang sedang mesra mengukirkan senyum kepadanya.

“Alhamdulillah sihat, kak. Biasalah dah jadi bapa orang. Kenalkan ini isteri Rizal, Suraya” Suraya tunduk sopan menyalaminya.

“Kak ‘Aisy minta maaf tak dapat tengok secara live korang berdua kahwin” ujar Rahadatul “Aisy sedikit kesal. Hanya gambar perkahwinan Rizal dan Suraya yang menjadi pengganti. Itu pun hanya dapat ditonton di alam maya.

“Tak apa, kak ‘Aisy. Kami faham” ujar Suraya lembut.

“Ini mesti Mia Sara kan? Comelnya anak sedara umi ‘Aisy” pipi tembam anak perempuan Rizal dicubit lembut.

“Kak ‘Aisy” Rahadatul ‘Aisy berpaling memandang Sumayyah. Tangannya didepakan pada adik bongsunya. Sumayyah menangis teresak-esak di dalam pelukan Rahadatul ‘Aisy. Rindu benar dia pada kakak sulungnya itu.

“Dah besar panjang macam ni masih menangis macam budak kecil lagi?” Rahadatul “Aisy mengusap manja kepala Sumayyah. Dia cuba menahan tangis. Dia memang pantang melihat orang menangis. Pasti mudah sekali air matanya turut sama mengalir.

“Maya rindu sangat pada akak”

“Kak ‘Aisy pun sama. Rindu sangat pada adik akak yang manja ni” pelukan dileraikan. Sumayyah kini sudah menjadi seorang gadis yang cantik, dengan tubuh yang tinggi lampai yang diwarisi dari Haji Hilmi dan bentuk muka yang banyak mewarisi kejelitaan Hajah Maryam.

“Tinggi betul adik akak sekarang ni. Dah rasa macam berdiri sebelah galah pulak” Sumayyah menjeling manja mendengar usikan kakaknya. Rahadatul ‘Aisy tersenyum senang. Dah besar panjang, manja masih tak hilang lagi.

“Harris, apa khabar nak?” sapaan Haji Hilmi seakan menyedarkan kembali Rahadatul ‘Aisy pada kehadiran Umayr Harris. Lelaki itu sejak tadi hanya menjadi pemerhati. Senyuman Rahadatul ‘Aisy mati. Belum pergi lagi lelaki ini. Dia mendengus geram.

“Baik alhamdulillah. Mak dan ayah sihat?” sopan Umayr Harris menyalami Haji Hilmi dan Hajah Maryam.

“Sihat. ‘Aisy tak bagitahu pula yang Harris akan balik sekali” Hajah Maryam bersuara ramah. Dia melemparkan senyuman dan pandangan penuh makna kepada Rahadatul ‘Aisy. Masih dia ingat lagi minggu lepas beria-ia anak perempuannya itu berpesan supaya jangan memaklumkan kepulangannya pada Umayr Harris. Tapi, sebaliknya pula yang berlaku di depan matanya hari ini. Mungkin ini petanda baik yang Rahadatul ‘Aisy sudah mula boleh menerima kembali Umayr Harris. Dia dan Haji Hilmi sebenarnya tidak tahu punca Rahadatul ‘Aisy seakan merajuk membawa diri jauh daripada Umayr Harris. Menyebut nama Umayr Harris juga anaknya tidak mahu apatah lagi mendengar cerita tentang menantunya. Ada sahaja idea anaknya memotong ceritanya setiap kali dia cuba memancing untuk bertanya apa yang terjadi. Berbakul-bakul nasihat diberikan namun Rahadatul ‘Aisy lebih suka mengambil sikap berdiam diri.

“Sebenarnya…”

“Sebenarnya ‘Aisy pun tak tahu saya akan ikut dia balik. Sengaja saya nak buat kejutan. Lagipun tak puas lagi saya jumpa dia kat Kuala Lumpur. Cukuplah empat tahun dia tinggalkan saya seorang diri kat Malaysia. Lepas ini, saya tak nak berenggang dengan dia lagi” pantas Umayr Harris memotong kata Rahadatul ‘Aisy. Tangan kiri isterinya dipegang kemas. Rahadatul ‘Aisy menjegilkan mata, tanda protes dalam diam. Tip top sekali lakonan dan dialog yang dipentaskan Umayr Harris.

“Baguslah macam tu. Jom kita balik ke rumah. Mak kamu ini dah sediakan macam-macam makanan kat rumah. Tak henti-henti memasak dari pagi tadi” ujar Haji Hilmi senang.

“Nasi dagang ada tak, mak? Rindu betul Harris nak makan nasi dagang hasil tangan Hajah Maryam ni” tutur Umayr Harris manja. Tangan kirinya memaut mesra bahu Hajah Maryam. Manakala, tangan kanan lelaki itu masih kemas melilit di celah jari-jemari Rahadatul ‘Aisy. Berlebih-lebih pula lakonan lelaki ini.

“Alala…kesiannya menantu mak ini. Patutlah hati mak ini teringin sangat nak memasak nasi dagang. Rupanya, menantu mak nak datang” mesra sekali Hajah Maryam melayani Umayr Harris. Rahadatul ‘Aisy buntu melihat situasi itu. Sejak bila hubungan ibunya dengan Umayr Harris menjadi mesra dan kamceng begini.

“Baru dua minggu lepas mak kamu masakkan nasi dagang untuk kamu. Takkan dah rindu kot” usikan Haji Hilmi menambahkan kekeliruan Rahadatul ‘Aisy. Adakah Umayr Harris selalu pulang ke Terengganu sepanjang ketiadaannya? Tidak pula ibunya bercerita selama ini setiap kali dia menelefon bertanya khabar. Silapnya juga kerana sering mengubah topik sebaik ibunya membuka mukadimah tentang Umayr Harris.

“Apa semua ini, Harris?” tanya Rahadatul ‘Aisy tertahan-tahan. Umayr Harris mengangkat kening buat-buat tidak mengerti pada pertanyaan isterinya.

“Lepaslah” pegangan Umayr Harris cuba dilepaskan. Sebaliknya, lelaki itu semakin memperkemaskan pegangan. Rahadatul ‘Aisy rimas. Terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya kini. Sudah pasti Umayr Harris tidak akan mudah memberikannya jawapan. Nampaknya lelaki itu sudah awal-awal melaksanakan strateginya.

BAB 6 
“Jauhnya isteri abang ini mengelamun” desah nafas yang menyapa cuping telinga Rahadatul ‘Aisy membawanya ke alam nyata. Rahadatul ‘Aisy berpaling ke kanan. Bulat matanya memandang wajah Umayr Harris yang hanya berada seinci dari wajahnya. Langsung dia tidak menyedari sejak bila lelaki itu berada di dalam biliknya.

Terkejut dengan situasi itu, Rahadatul ‘Aisy bangun dari perbaringannya. Namun belum sempat dia berjaya menjarakkan diri, pinggangnya dirangkul oleh tangan sasa milik Umayr Harris. Tubuhnya kembali dibaringkan dan kini suaminya selesa berbaring bertongkatkan siku di sebelahnya.

“Awak ini kenapa? Dah buang tabiat ke?” suara Rahadatul ‘Aisy meninggi. Namun cuba dikawal supaya tidak didengari oleh penghuni lain di dalam rumah keluarganya. Kesabarannya yang dipertahankan sejak di dalam penerbangan tadi dirasakan semakin menipis. Umayr Harris semakin melampau.

Sekuat tenaga dia cuba menjauhkan diri dengan menepis tangan kanan Umayr Harris yang kemas melingkari pinggangnya. Sebaliknya, tangan Rahadatul ‘Aisy pula dipegang Umayr Harris. Lelaki itu semakin merapatkan tubuhnya membuatkan pergerakan Rahadatul ‘Aisy terkunci.

“Salahkah abang jika ingin bermesra dengan isteri sendiri?” jari-jemari Umayr Harris mengusap lembut pipi gebu milik Rahadatul ‘Aisy. Setiap inci wajah isterinya diperhatikan dengan rasa kasih. Gelora di jiwanya semakin membara.

“Harris! Awak tak ada hak buat saya macam ini!” herdik Rahadatul ‘Aisy berani. Geram kerana Umayr Harris seakan sudah hilang kewarasan diri.

Of course abang ada hak, sayang. I’m your husband” senyuman manis yang penuh dengan keyakinan mengiringi bicara Umayr Harris. Memang silap besar jika Rahadatul ‘Aisy mempersoalkan tentang hak suaminya sendiri. Dia masih isteri yang sah dan halal buat Umayr Harris.

Bibir merah milik Rahadatul ‘Aisy menjadi sasaran Umayr Harris. Pantas wanita itu melarikan wajahnya membuatkan ciuman Umayr Harris hanya sipi mengenai rambut isterinya. Haruman rambut Rahadatul ‘Aisy semakin menyemarakkan keinginannya untuk melunaskan tanggungjawab seorang suami. Sudah cukup lama dia menahan rindu terhadap isterinya itu.

“Harris, awak tak boleh paksa saya. Lepaskan saya” tingkah Rahadatul ‘Aisy. Jantungnya berdetak kencang. Keberaniannya semakin pudar. Seram sejuk tubuhnya berada di dalam dakapan Umayr Harris.

I miss you so much. Izinkan abang miliki sayang. I promise I won’t hurt you” goda Umayr Harris dengan bisikan yang cukup romantis. Anak rambut Rahadatul ‘Aisy yang berjuraian di dahi dikuak. Jari-jemari Umayr Harris meniti di setiap inci wajah Rahadatul ‘Aisy dan kemudian turun ke pangkal lehernya.

“Saya tak boleh. Saya tak sanggup. Tolonglah Harris” mohon Rahadatul ‘Aisy dengan nada suara yang semakin kendur. Cuba meraih simpati Umayr Harris. Apa yang harus dilakukannya? Menjerit? Tidak mungkin. Dalam keadaan begini, jeritan hanya akan mengeruhkan keadaan.

No! Sayang tak boleh nafikan hak abang sebagai suami!” tegas Umayr Harris. Hilang sudah bicara romantisnya. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah gagal memiliki apa yang dihajati. Penolakan Rahadatul ‘Aisy membuatkan ego Umayr Harris tercabar. Lelaki itu bertindak semakin berani. Wajah isterinya menjadi sasaran cumbuannya. Tubuh Rahadatul ‘Aisy menggigil ketakutan.

“Jangan layan saya macam ni. Saya merayu, Harris” rayuan Rahidatul ‘Aisy tidak dihiraukan. Air mata sudah lencun membasahi pipi Rahadatul ‘Aisy. Dalam masa yang sama, dia tidak berputus asa mencari peluang untuk melepaskan diri dari pelukan suaminya. Sedaya upaya Rahadatul ‘Aisy meronta, cuba melepaskan diri dari rangkulan kemas Umayr Harris.

Pang! Umayr Harris terkesima. Entah dari mana Rahadatul ‘Aisy memperoleh kekuatan melepaskan tamparan padu ke pipi Umayr Harris membuatkan lelaki itu terkesima. Dada bidang Umayr Harris ditumbuk dan ditolak kuat. Tubuh Umayr Harris yang kaku membuatkan dia berjaya meloloskan diri.

“Cukuplah sekali awak pijak maruah saya, Harris. Cukuplah awak hina saya selama ini. Jangan layan saya seperti seekor binatang. Hati dan tubuh saya bukan punching bag. Dipergunakan sebagai tempat melepaskan geram dan nafsu awak. Tapi bila sudah tidak diperlukan hanya layak dibuang ke dalam tong sampah” terketar-ketar Rahadatul ‘Aisy menuturkan kata di dalam esakan tangisnya. Hatinya cukup terguris dengan layanan Umayr Harris terhadapnya. Benarlah, dirinya tidak pernah ada harga di mata Umayr Harris. Satu hakikat yang terpaksa diterimanya dan hatinya pasti makin terluka. Air matanya makin laju jatuh ke pipi.

“Maafkan abang…” Umayr Harris meraup mukanya kasar. Pandangannya jatuh pada tubuh isterinya yang sedang memeluk lutut di hujung katil. Bahunya terenjut-enjut menahan tangis. Hiba sekali tangisan itu di pendengaran Umayr Harris.

“Awak adalah lelaki yang hanya tahu bercakap tentang hak seorang suami. Tapi bagaimana dengan hak saya? Hak seorang isteri yang teraniaya? Hak seorang isteri yang tidak pernah selayaknya dihargai di sisi seorang suami?” luah Rahadatul ‘Aisy sebak.

“Sayang, maafkan abang. Please stop crying” dia menghampiri isterinya melutut seperti seorang pesalah di sisi katil. Bahu isterinya diusap lembut. Hatinya pedih mendengar tangisan Rahadatul ‘Aisy yang mendayu-dayu.

Don’t you ever touch me!” Rahadatul ‘Aisy memandang tajam Umayr Harris. Sentuhan suaminya ditepis kasar. Dasar lelaki hipokrit. Cukup bijak bermain sandiwara untuk meraih simpati. Rupa-rupanya perubahan sikap dan pujuk rayu Umayr Harris hanyalah permainan lelaki itu semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsunya. Hanya tubuhnya yang Umayr Harris inginkan.

Rahadatul ‘Aisy memandang Umayr Harris dengan pandangan benci. Jika diturutkan hati, ringan langkahnya untuk keluar dari situ namun akalnya menghalang. Dia tidak mahu mengundang pandangan pelik ahli keluarganya.

 “Please, sayang. I am so sorry. I didn’t mean to hurt you. Oh God, what have I done?” seribu penyesalan jelas terpancar di raut wajah Umayr Harris. Dia dihimpit rasa bersalah kerana gagal mengawal keinginan dirinya. Namun rayuannya langsung tidak meninggalkan bekas di hati Rahadatul ‘Aisy. Sebaliknya, sedu wanita itu semakin kuat. Rahadatul ‘Aisy seakan tenggelam dalam kekecewaan dan kekesalan. Saat itu, hatinya dirasakan kosong dan sepi. Ingin segera ditamatkan jerat perasaan yang semakin menghiris jiwa.

 “Let me go, Harris. Lebih baik kita berpisah” pinta Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang bergetar. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia menuntut haknya. Hak yang bakal menggoncangkan tiang arash. Namun dia terpaksa kerana kesabarannya dirasakan sudah tidak dapat dibendung oleh perasaan yang berterusan memakan dirinya sendiri. Dia mahu Umayr Harris segera menamatkan permainan.

No way!” tegas jawapan Umayr Harris. Permintaan Rahadatul ‘Aisy benar-benar menyentap tangkai jantungnya.

“Saya hanya menuntut hak saya yang awak janjikan empat tahun yang lalu. Sehingga hari ini, saya masih menunggu surat cerai dari awak, Harris” ujar Rahadatul ‘Aisy mengingatkan. Walaupun dia tekad, tapi kenapa hatinya sakit dengan permintaannya sendiri.

“Tidak, ‘Aisy. Abang takkan lepaskan ‘Aisy. Never!” suara Umayr Harris sudah meninggi.

“Tapi, awak yang pinta saya tunggu surat cerai kan? Awak janji..”

No! Abang tak nak cakap tentang ini lagi. Jangan sekali-kali ungkit lagi pasal ini! Abang tak suka!” potong Umayr Harris memberikan amaran keras. Kedua-dua rahangnya diketap.

“Tapi kenapa awak tak nak lepaskan saya?” soal Rahadatul ‘Aisy lemah.

For whatever reason, the answer is no! T. I. T. I. K” tingkah Umayr Harris muktamad.

“Kita dah tak ada masa depan bersama, Harris. Lebih baik kita bawa haluan masing-masing” pinta Rahadatul ‘Aisy degil tidak langsung mempedulikan pandangan cerlung Umayr Harris.

Stop it ‘Aisy!” marah Umayr Harris. Tanpa sedar tangan sasanya mencengkam kuat lengan Rahadatul ‘Aisy.

“Lepaskan saya” berkerut dahi Rahadatul ‘Aisy menahan sakit.

No!” cengkamannya semakin dikuatkan.

“Lepaskan tangan saya, Harris. Saakkitt..” Umayr Harris melepaskan cengkaman tatkala menyedari Rahadatul ‘Aisy sedang mengongoi menahan kesakitan. Kesan berbirat merah di lengan isterinya semakin jelas.

“Subhanallah…” Umayr Harris menghela nafas panjang, cuba mengembalikan ketenangan dalam diri.

Sayang boleh minta apa saja daripada abang. Abang sanggup berikan semuanya tapi tolonglah jangan minta abang lepaskan ‘Aisy” Umayr Harris meraup wajahnya perlahan. Memang dia yang bertanggungjawab dengan setiap penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh Rahadatul ‘Aisy. Untuk itu, dia mahu menebus kekhilafan nya dulu. Tapi bukan dengan perpisahan yang akan memutuskan sebuah ikatan pernikahan.

You have everything, Harris. Wang ringgit, kuasa, kedudukan, rupa. Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang awak nak dari saya, Harris?” sedu Rahadatul ‘Aisy.

“Semua itu tidak bermakna kerana ‘Aisy tiada di sisi abang. Abang perlukan ‘Aisy dalam hidup abang. Berilah abang peluang kedua ‘Aisy. Just once. Abang akan buktikan kesucian cinta abang pada ‘Aisy. Abang akan jaga dan lindungi ‘Aisy dengan kasih sayang yang tak berbelah bagi” rayu Umayr Harris mengharapkan pengertian isterinya. Dia benar-benar terdesak untuk menakluki kembali hati suci seorang wanita bernama Rahadatul ‘Aisy. Dia benar-benar ingin memiliki kembali kasih sayang dan meraih perhatian isterinya.

“Empat tahun cukup membuatkan abang sedar betapa sakitnya menanggung rindu. Betapa pedih hati abang bila abang hanya mampu melihat dari jauh isteri yang abang cintai. Abang nak tebus balik semua yang kita pernah hilang, sayang. Maafkan abang, di atas segala dosa abang pada ‘Aisy” sayu kata-kata Umayr Harris sedikit menyentuh tangkai hati Rahadatul ‘Aisy. Namun dia cepat menyedarkan dirinya. Meletakkan perisai di dalam harinya untuk tidak mudah tertipu dengan muslihat Umayr Harris.

“Tidak semudah itu saya dapat lupakan apa yang dah berlaku, Harris. Pintu hati saya sudah tertutup. Saya mohon pada awak. Tolong lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup menjadi isteri yang berdosa kerana saya tahu saya tidak mungkin kembali dalam hidup awak” pinta Rahadatul ‘Aisy sekali lagi. Nusyuz kah dia jika dia memilih untuk meninggalkan suami yang telah banyak melukakan hatinya? Nusyuz kah dia jika dia ingin lari dari beban derita yang sarat ditanggung oleh hatinya?

“Kita bina hidup baru, sayang. Abang sedar, dulu abang tak pernah layan ‘Aisy dengan baik. Banyak peluang yang abang lepaskan kerana keegoan dan kebodohan abang sendiri. Tapi abang mohon, untuk kali ini saja. Bagi peluang untuk abang jadi seorang suami yang akan meminjamkan senyum ketika ‘Aisy bersedih, yang akan memujuk apabila ‘Aisy merajuk, yang akan berkongsi rasa bahagia apabila ‘Aisy gembira. Abang nak hidup bahagia dengan ‘Aisy” tingkah Umayr Harris menyambung kata.

“Bahagia saya bukan dengan awak, Harris. Saya tak perlukan cinta dan kasih sayang palsu awak. Cukuplah sekali hati saya awak sakiti” tolak Rahadatul ‘Aisy. Baginya, kata-kata pujuk rayu Umayr Harris hanya penuh dengan kepura-puraan. 

“Demi Allah, I love you so much, ‘Aisy. I really do!” ungkap Umayr Harris bersungguh-sungguh sambil menggoncang lembut bahu Rahadatul ‘Aisy. Tidak tahu bagaimana lagi harus diyakinkan isterinya.

“Cinta? Cinta awak hanya untuk dapatkan tubuh saya ini kan? Kasih awak hanya untuk menyakiti hati saya kan? Kalau awak jujur dan ikhlas dengan perasaan awak, tadi tu apa?” sekali lagi Rahadatul ‘Aisy menepis kasar tangan Umayr Harris yang mendarat di bahunya. Rasa pilu  yang bertamu di ruang hati benar-benar menyesakkan nafasnya tika mengenangkan perlakuan Umayr Harris sebentar tadi.

I know I lose control, but…” Umayr Harris kematian kata. Dalam diam dia memarahi dirinya sendiri kerana tindakan gelojohnya tadi. Entah kenapa Rahadatul ‘Aisy sering membuatkan dirinya hilang pertimbangan. Sikap tenang yang dimilikinya seakan-akan hilang ketika bersama Rahadatul ‘Aisy. Rindu yang ditahan dan rasa kasih yang membuak-buak pada isterinya membuatkan dia gagal mengawal diri. Dan kini dia terpaksa membayar di atas keterlanjurannya tadi.

“Sebenarnya awak tidak pernah menyayangi saya, Harris. Awak cuma mahukan tubuh saya kan? Saya benci awak, Haris. Saya benci!” luah Rahadatul ‘Aisy. Berombak dadanya menahan rasa marah dan kecewa. Hatinya pedih dengan kata-katanya sendiri. Mampukah hatinya membenci Umayr Harris seperti apa yang telah ditasdikkan oleh lidahnya?

“Begitu sekali ‘Aisy menilai cinta abang. Kasih abang pada ‘Aisy tak serendah itu, sayang. Cinta abang pada ‘Aisy bukan untuk diperdagangkan. Ikatan pernikahan kita terlalu suci, sayang. Abang benar-benar sayangkan rumah tangga kita. Walaupun seribu kali ‘Aisy ucapkan kata benci, abang tidak akan mengalah mengejar cinta sayang. I really mean it, sayang” tutur Umayr Harris perlahan. Walaupun hatinya terhiris dengan kata-kata isterinya, tetapi dia tidak boleh mengaku kalah.

“Look into my eyes, sayang. Tolong lihat dan nilai dengan pintu hati ‘Aisy. Mata abang tak mungkin dapat menipu. Abang sungguh-sungguh cintakan ‘Aisy. Cinta, kasih dan sayang abang hanyalah milik Rahadatul ‘Aisy Hilmi, satu-satunya isteri abang” luah Umayr Harris bersungguh-sungguh, mengharapkan kata-katanya mampu menautkan kembali simpulan kasih yang telah lama terlerai. 

Rahadatul ‘Aisy terkaku. Matanya memandang wajah lelaki itu, cuba mencari keikhlasan. Sinar kejujuran jelas terpancar pada panahan mata Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy melarikan anak matanya. Dia berbelah bagi. Akalnya yakin lelaki itu hanya bersandiwara, tapi hatinya membisikkan sebaliknya. Tiba-tiba kepalanya berdenyut hebat. Dia keliru!

“Abang janji, abang takkan sentuh ‘Aisy selagi ‘Aisy sendiri tidak merelakannya. Tadi, memang abang tersilap langkah, abang bertindak di luar kawalan. But it won’t happen again, you can mark my words” janji Umayr Harris hanya dipandang sepi oleh Rahadatul ‘Aisy. Dia sebenarnya masih terkejut dengan kata-kata Umayr Harris. Dalam diam dia cuba mencari titik rasional di sebalik luahan suaminya.

Umayr Harris menjarakkan diri ke jendela membawa kekecewaan tatkala melihat kesepian Rahadatul ‘Aisy. Dia melepaskan keluhan berat. Panorama senja seakan-akan menggambarkan gelodak perasaannya yang kelam.

Keadaan lama dibiarkan sunyi. Seakan memberi ruang kepada Umayr Harris dan Rahadatul ‘Aisy untuk bertenang. Diam mungkin jalan terbaik untuk meredakan keadaan yang dingin di antara mereka.

Suara azan maghrib dari surau berdekatan mengejutkannya dari lamunan. Esak tangis Rahadatul ‘Aisy tidak lagi kedengaran. Senyuman terukir di pinggir bibir Umayr Harris sebaik terpandang isterinya yang sedang tertidur kepenatan dalam keadaan merekot. Mungkin isterinya sedang mengalami kesan gangguan ritma harian atau jet lag.

Dia menghampiri wajah polos itu. Perlahan-lahan dia membetulkan pembaringan isterinya, cuba memberikan keselesaan. Kemudian, berhati-hati dia memanjat katil dan berbaring di sisi Rahadatul ‘Aisy, bimbang jika pergerakannya akan mengejutkan isterinya. Wajah itu ditenung tanpa jemu. Anak-anak rambut yang menutupi mata wanita itu di selak. Jelas kesan air mata yang berkumpul di tubir mata Rahadatul ‘Aisy yang sedang terpejam rapat. Kasih sayangnya pada wanita itu semakin menebal. Tidak pernah berkurang. Dahi Rahadatul ‘Aisy dikucupnya dengan penuh kasih. Tubuh wanita itu bergerak perlahan. Dengkuran halus yang kedengaran menandakan tidur isterinya yang sedang lena.

Setelah beberapa minit berteleku di sisi Rahadatul ‘Aisy, Umayr Harris bangun mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri dan menunaikan kewajipan pada Yang Esa. Nyenyak sekali Rahadatul ‘Aisy tidur menjadikannya serba salah untuk membangunkan isterinya itu. Dia berkira-kira untuk mengejutkan Rahadatul ‘Aisy usai dia menunaikan solat nanti. Lagipun dia tidak perlu bimbang jika isterinya terlepas waktu maghrib kerana seorang musafir diberikan kelebihan untuk  menjamakkan solat maghrib dan isyak di dalam waktu Isyak.

3 comments:

  1. wah, best sgt2..tapi nk tau jugak apa yang dah berlaku 4 tahun lepas..hihi

    ReplyDelete
  2. kenapa air mata sy keluar ye, wktu baca nie...adoi...mslah betul lah sy nie....ye nk thu jgk, knp Umayr buat mcm tu kat rahadatul 'aisy...

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..