Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 3-4

BAB 3
Tidak sampai beberapa jam dia menjejakkan kaki di bumi Kuala Lumpur, pandangan matanya telah disajikan dengan satu wajah yang paling ingin dielakkan. Retina matanya masih tidak buta dan otaknya masih cekap memproses isyarat yang dihantar oleh mata. 


Umayr Harris! Nama itu kembali bergema. Empat tahun dia mengumpul kekuatan untuk melenyapkan nama itu, namun kini dia tewas lagi.

“Harris…” tanpa sedar bibirnya menyebut nama itu. Mujurlah panggilan itu cukup perlahan untuk disedari oleh lelaki itu. Sebaik kakinya melangkah keluar dari pintu rest room, pandangannya disapa oleh susuk tubuh tegap milik Umayr Harris. 


Pantas cermin mata hitam dicapai dan disangkutkan di celah telinga. Dia cuba mencari perisai untuk menyembunyikan wajahnya. Cepat-cepat dia berpaling membelakangi lelaki itu dan langkah kakinya dihayun laju menuju ke satu arah yang dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu dia perlu melarikan diri. Dia tidak mahu Umayr Harris mengetahui kepulangannya di sini. Dia belum bersedia.

Rahadatul ‘Aisy menarik nafas lega sebaik melihat kelibat Sakeena yang sedang menunggunya di meja makan. Bayangan Umayr Harris juga sudah hilang. Dia yakin Umayr Harris tidak menyedari kehadirannya. Mujur dia cepat bertindak.

Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan jika Umayr Harris melihatnya. Dia tidak pasti adakah dia sudah cukup bersedia untuk berdepan dengan Umayr Harris. Melihat susuk tubuh lelaki itu pada jarak lima meter, sudah cukup membuatkan Rahadatul ‘Aisy gugup. Dengan perasaan getar yang masih bersarang, dia menarik kerusi dan duduk.

“Kau ni kenapa, ‘Aisy? Macam terserempak hantu je” tanya Sakeena apabila melihat keresahan temannya. Wajah pucat Rahadatul ‘Aisy dipandang. Lengan temannya yang masih kaku di sisi disentuh lembut.
“Err.. Umayr Harris.. aku.. aku nampak dia” buat kali kedua, setelah empat tahun nama itu kembali meniti di bibirnya.

“Macam mana dia boleh ada kat sini?” tanya Sakeena. Soalan yang sama juga menjengah benak fikiran Rahadatul ‘Aisy. Mustahil Umayr Harris datang untuk menyambut kepulangannya. Lelaki itu cukup membenci dirinya. Dan dia sendiri tidak mengharapkan kehadiran Umayr Harris.

“Dia..dia tahu ke flight aku hari ini?” tanya Rahadatul ‘Aisy pada sahabatnya. Pada pengiraannya, mustahil Sakeena akan memberitahu Umayr Harris tentang kepulangannya kerana Sakeena seolah-olah turut melancarkan perang terhadap Umayr Harris setelah apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu pada dirinya.

“Entah. Siapa lagi tahu fasal kepulangan kau?” tanya Sakeena kembali. Dia mengangkat keningnya.

“Hanya kau dan keluarga aku” jawab Rahadatul ‘Aisy. Tidak mungkin Haji Hilmi atau Hajah Maryam yang memberitahu kerana awal-awal dia sudah menitipkan amaran untuk merahsiakan kepulangannya terutamanya daripada pengetahuan Umayr Harris.

“Ini kan tempat awam. Mungkin dia pun baru balik dari mana-mana” ujar Rahadatul ‘Aisy akhirnya membuat kesimpulan. Dia cuba bersikap lebih rasional. Sebagai ahli lembaga pengarah Indah Puncak Corporation, salah sebuah syarikat konglomerat Malaysia yang terbesar, pasti Umayr Harris di antara orang yang sentiasa perlu mengembara atas urusan kerja. Tidak mustahil lapangan terbang adalah rumah keduanya.

“Mungkin juga. Habis tu dia nampak kau tak?” Sakeena menganggukkan kepalanya tanda menyetujui. Wajah teman yang sedikit terusik itu dipandang. Pasti Rahadatul ‘Aisy sedang bermain dengan perasaannya sendiri.

“Aku rasa tak. Lagipun waktu tu dia tengah bercakap dengan seseorang” dia yakin Umayr Harris langsung tidak menyedari kehadirannya. Lagipun, lelaki itu sedang asyik memberikan tumpuan pada wanita cantik di sisinya. Dia dapat melihat kemesraan dan kemanjaan wanita itu. Satu pasangan yang sepadan. Hatinya mengakui. Lelaki setampan Umayr Harris sentiasa dikelilingi oleh perempuan cantik yang ingin menarik perhatiannya. Ditambah pula dengan poket yang sentiasa tebal. Hanya wanita bodoh sahaja yang akan menolak.

“Nasib baik. Kau okey tak ni, ‘Aisy?” diperhatikan wajah teman yang seakan hilang dalam dunianya sendiri.

“Aku okey. Kau jangan risau” dia cuba meyakinkan Sakeena. Cuba meyakinkan diri sendiri juga.

“Betul ni? Are you sure?” tanya Sakeena berulang kali. Sekali lagi simpatinya tumpah pada Rahadatul ‘Aisy. Berat sekali penderitaan yang ditanggung oleh temannya itu. Nampaknya tempoh empat tahun masih tidak mampu membuang rasa gentar Rahadatul ‘Aisy terhadap suaminya. 

“Ya, betul. Jomlah kita makan. Perut aku dah lapar ni” nada suaranya diubah ceria. Makanan yang menyelerakan terhidang di atas meja dipandang. Sudu dicapai dan laksa disuap ke dalam mulut. Pandangan pelik Sakeena tidak dihiraukan. Dia tahu, di depan temannya itu dia tidak mampu untuk menyembunyikan perasaannya namun dia tidak mahu Umayr Harris terus mengganggu ruang ingatannya.

“Kot iyapun dah lapar, tanggalkanlah dulu spek hitam kau tu. Laksa tu bercahaya sangat ke sampai silau mata kau?” Sakeena sudah ketawa mengusik. Seakan faham yang temannya tidak mahu meneruskan cerita yang mengaitkan Umayr Harris.

“Nak buat macam mana. Aku kalau nampak laksa Penang ni, memang tak pandang kiri kanan dah” dia ketawa kecil cuba menyembunyikan kesilapan diri. Cermin mata hitam yang menutupi anak matanya yang berwarna coklat ditanggalkan dan diletakkan di sisi.

Tiga jam waktu yang tinggal sebelum dia bertolak ke kampung halamannya dihabiskan dengan Sakeena. Dia sungguh terharu kerana Sakeena sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut kepulangannya dan menemaninya sementara dia menunggu penerbangan seterusnya. Perpisahan selama empat tahun membangkitkan pelbagai cerita dan gossip yang ingin dikongsi. Pelbagai cerita dan kisah yang diimbau mengundang tawa mereka berdua. Sakeena pula memang seorang penglipur lara yang hebat. Tak kering gusi dia mendengar butir bicara sahabatnya itu. Sekurang-kurangnya petang itu dia berjaya membuang bayang Umayr Harris jauh dari benaknya. Jauh di sudut hati, dia berharap dirinya akan lebih bersedia seandainya dia ditemukan lagi dengan lelaki itu. 

BAB 4
Rahadatul ‘Aisy membalas lambaian Sakeena. Kakinya bergerak pantas ke kaunter berlepas. Dia agak leka berbual dengan Sakeena sehinggakan tidak sedar waktu untuk menaiki pesawat semakin hampir. Sahabatnya itu kalau sudah membuka mulut, memang payah hendak berhenti. 


Langkahnya dibesarkan apabila melihat para penumpang sudah mula bergerak untuk memasuki perut pesawat. Sebaik dia melabuhkan punggung di kerusi, tali pinggang keselamatan dipakai, perkara pertama yang akan dilakukan setiap kali dia menaiki penerbangan tanpa perlu menunggu arahan daripada pramugari. Dia memerhati sekeliling. Tidak ramai penumpang pada petang itu kerana masih banyak lagi kerusi kosong yang tidak diisi. Begitu juga dengan kerusi di sebelahnya. Bagus juga begitu, sekurang-kurangnya keadaan itu memberikan sedikit kebebasan untuk bergerak. Maklum sajalah, berapa sangatlah keluasan tempat duduk di kelas ekonomi itu.

Rahadatul ‘Aisy menyandarkan badannya cuba mencari keselesaan. Matanya dipejamkan sambil mulutnya terkumat-kamit membaca doa menaiki kenderaan. Dia sedikit berasa cuak. Tangannya mula merasa sejuk dan dibasahi peluh. Satu perasaan yang akan singgah setiap kali dia menaiki kapal terbang. Rasa fobia menaiki kapal terbang tidak pernah hilang. Namun dia tidak mempunyai pilihan. Itulah satu-satunya pengangkutan yang paling menjimatkan masa dan kurang memenatkan.

Matanya dibukakan apabila dirasakan kerusi di sebelahnya telah diduduki penumpang. Sebaik pandangan matanya dibuka, dia sekali lagi disajikan dengan wajah Umayr Harris. Kenapa wajah putih lelaki ini juga yang menjelma ke mana-mana saja dia pergi. Digosok matanya berulang kali. Dia menepuk muka dengan telapak tangan. Seolah-olah ingin menyedarkan dirinya ke alam nyata. Namun bayangan itu tidak menghilang.

“Apa khabar, ‘Aisy?” lelaki itu menyapa tenang. Gegendang telinganya jelas menangkap suara garau itu. Nyata tidak berubah langsung. Kini dia sedar, bukan pandangan matanya yang menipu. Bukan fikirannya yang berhalusinasi. Semuanya adalah realiti. Umayr Harris benar-benar berada di depannya!

“Kenn..kenapa awak boleh ada kat sini?” sapaan Umayr Harris tidak dijawab sebaliknya dibalas dengan pertanyaan spontan. Meletus ketawa kecil daripada mulut Umayr Harris. Riak wajah lelaki itu begitu tenang sekali.

“Abang rasa semua orang dalam flight ni ada sebab yang sama kenapa mereka berada di sini” Senyuman kecil jelas terukir di tubir bibir Umayr Harris seolah-olah memerli Rahadatul ‘Aisy yang sedang terpisat-pisat. Pasti lelaki itu sedang mentertawakan kebodohannya.

Rahadatul ‘Aisy melarikan pandangannya ke luar jendela pesawat. Kenapa secepat ini dia harus ditemukan dengan lelaki ini? Jika tadi dia masih mampu meloloskan diri daripada dilihat oleh Umayr Harris tapi kini tidak mungkin dia mampu untuk melarikan diri keluar dari perut pesawat. Kapal terbang sudah bergerak perlahan ke landasan pelepasan. Pramugari yang sedang tangkas melakukan demonstrasi keselamatan menarik perhatian Umayr Harris. Hemm.. dasar lelaki memang pantang jika disajikan dengan makhluk Tuhan yang cantik dan seksi. Rahadatul ‘Aisy menggumam di dalam hati.

So, where have you been for the last four years?” pertanyaan Umayr Harris hanya dibiarkan sepi. Wajah lelaki itu masih tenang memandangnya. Pandangan matanya juga lembut menjamah setiap inci wajah Rahadatul ‘Aisy dari sisi.

Nowhere…” dia menjawab malas seolah-olah ingin menghentikan pertanyaan lanjut daripada lelaki itu.

“Tak baik seorang isteri menipu suaminya. Berdosa” bulat mata Rahadatul ‘Aisyh memandang Umayr Harris. Berdesing telinganya mendengar perkataan ‘isteri’ yang keluar daripada mulut lelaki itu. Seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka berdua.

“Minta maaf Encik Umayr Harris Tan Sri Hakim. Saya bukan lagi isteri kepada sesiapa” sengaja Rahadatul ‘Aisy menekan perkataan ‘bukan’ walaupun dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya itu. 


Ego membuatkan dirinya menuturkan penyataan yang dia sendiri tidak pasti. Tapi, bukankah dulu Umayr Harris sendiri yang telah membuang jauh dirinya sebagai seorang isteri. Di saat dia memerlukan perlindungan seorang suami, dirinya dicampak keluar dari mahligai mewah milik lelaki itu. Di kala sepatutnya dia dibelai dengan kasih sayang seorang suami, lelaki itu hanya menghadiahkan tubuhnya dengan sepak terajang dan cacian. Seolah-olah dia seorang wanita yang langsung tidak mempunyai maruah, seperti seekor kucing kurap. Mengenangkan itu semua, hatinya pedih dan sakit.

“Dan untuk pengetahuan Puan Rahadatul ‘Aisy Hilmi, talak dipegang oleh suami. Seingat akal abang yang masih waras ini, abang tidak pernah menceraikan ‘Aisy” tegas tutur kata Umayr Harris. Namun riak wajah itu masih tenang. Dia memang bijak mengawal emosinya.

Kata-kata yang meniti keluar di bibir Umayr Harris ditelannya pahit. Bukankah empat tahun lalu, lelaki ini dengan angkuh memintanya untuk menunggu surat cerai daripada peguamnya. Memang surat daripada peguam Umayr Harris tidak pernah sampai ke tangannya. Apatah lagi ketika itu dia benar-benar menyibukkan diri dengan segala urusan persiapan berkaitan pengajiannya. Langsung dia tidak pernah ambil peduli atau bertanyakan perihal Umayr Harris termasuklah urusan penceraiannya. Pada waktu itu, dia cuma ingin terbang ke bumi England dengan segera. Ingin ditinggalkan dan dikuburkan segala memori pahit bersama lelaki itu. Tidak mahu berpaling ke belakang lagi.

“Apa yang awak mengarut ni?” pertanyaan Rahadatul ‘Aisy disambut dengan tawa Umayr Harris. Dia tahu wanita itu telah mula kehilangan kata. Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir.

“Abang tak mengarut, sayang. ‘Aisy masih isteri abang. Dan abang nak ‘Aisy kembali ke rumah kita. Hidup bersama abang. Cukuplah tempoh empat tahun abang izinkan ‘Aisy pergi jauh daripada abang” pujukan Umayr Harris seakan-akan menjerut leher Rahadatul ‘Aisy. Permainan apakah yang ingin dimulakan oleh Umayr Harris kini? Masih tidak puas lagi kah lelaki itu menyeksanya dulu?

“Gurauan apakah ini, Harris. Empat tahun yang lalu, awak sendiri mengarahkan saya pergi jauh dari hidup awak. Awak jelik dengan diri saya yang kotor ini. Malah memandang keturunan saya pun awak jijik” kata-kata Umayr Harris empat tahun yang lalu diulang kembali. Dia menahan mutiara jernih yang mula singgah di tubir matanya. Kata-kata pedih itu kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya. Sudah cukup membuatkannya faham. Umayr Harris memang tidak pernah menghargai kehadirannya sebagai isteri.

“Maafkan abang, sayang. I was wrong about you. Abang ingin tebus segala kesalahan abang dulu. I need a second chance. Please, come back into my life” rayuan Umayr Harris berterus-terang membuatkan hati Rahadatul ‘Aisy bertambah bengkak. Ungkapan sayang membuatkan telinganya seperti bernanah. Dia tidak mampu untuk memaafkan apa yang telah dilakukan oleh Umayr Harris. Lelaki yang telah merampas satu-satunya anugerah terindah yang pernah hadir dalam hidupnya. Tidak cukup dengan itu, kerana perbuatan lelaki ini dirinya kini bukan lagi seorang wanita yang sempurna.

“Saya tidak cukup baik untuk memaafkan awak. Kembali hidup dengan awak adalah perkara terakhir yang saya akan lakukan dalam hidup ini! Ia takkan menjadi kenyataan. Not even in your dream. And don’t you dare to call me sayang” suara Rahadatul ‘Aisy sedikit meninggi. Puas dia dapat menuturkan kata-kata itu. Dia perasan perubahan di wajah tenang Umayr Harris. Kelihatan kedua-dua belah rahang lelaki itu bergerak-gerak.

Biar Umayr Harris sedar Rahadatul ‘Aisy bukan lagi seorang perempuan lemah. Dia tidak akan mudah menyerah. Baginya, bersama kembali dengan Umayr Harris seolah-olah merelakan dirinya terpenjara di dalam sangkar emas yang berduri. Indah mungkin hanya pandangan orang tapi sengsara dan derita yang ditanggung hanya dia yang tahu. Dia sudah cukup terseksa dan hatinya sudah cukup parah terluka kerana Umayr Harris.

Well, we will see” ringkas kata Umayr Harris seakan memberikannya amaran. Lelaki itu menghadiahkan senyuman sinis. Cukup untuk mengundang kebimbangan di hati Rahadatul ‘Aisy. Baginya tiada guna dia terus membalas kata-kata Umayr Harris untuk memanjangkan pertikaman lidah di antara mereka. Yang penting dia perlu bertindak untuk menghentikan permainan Umayr Harris. Hanya satu perkataan yang ligat bermain di kotak fikirannya. Penceraian!

Pengumuman kapten juruterbang yang meminta anak pesawat bersedia untuk berlepas seolah-olah menyelamatkan keadaan. Tidak lama selepas itu, lampu di dalam kapal terbang dipadamkan tanda bersedia untuk melakukan penerbangan.

Rahadatul ‘Aisy membetulkan duduknya. Enjin kuat pesawat yang menderum membuatkan jantungnya berdegup pantas. Perbualan tegang dengan Umayr Harris sebentar tadi langsung tidak mampu mengatasi rasa fobianya. Aerophobia, perasaan takut ketika menaiki penerbangan. Tiba-tiba dia merasakan tangannya yang sejuk digenggam kemas.

Let me ease your fear, sayang” Umayr Harris berbisik lembut di telinga Rahadatul ‘Aisy. Dia mengemaskan genggaman yang cuba dileraikan oleh isterinya.

I don’t need your help” ujar Rahadatul ‘Aisy cuba menahan suara. Genggaman kuat Umayr Harris cuba dilepaskan walaupun dia tahu usahanya pasti akan sia-sia. Mana mungkin kudrat wanitanya mampu melawan tenaga seorang lelaki angkuh seperti Umayr Harris. Akhirnya dia hanya membiarkan pegangan kemas lelaki itu. Beralah tak bermakna kalah.

Umayr Harris tersenyum menang. Jari-jemarinya mengusap lembut belakang tangan isterinya. Dia pasti, dia akan dapat menawan kembali hati dan jiwa Rahadatul ‘Aisy. Sekeras mana hati isterinya, pasti akan dilembutkan. Sepetah mana kata-kata yang meniti di bibir comel itu, pasti akan didiamkan. Dia sudah bersedia memulakan misinya. Sudah lama dia menunggu. Senyumnya semakin lebar tatkala mengingati segala perancangan yang telah disusun rapi. Umayr Harris yakin dia akan menang dan Rahadatul ‘Aisy tidak akan pergi dari hidupnya lagi!

2 comments:

  1. ntah apalah plan harris ni ye..

    ReplyDelete
  2. ish...xsuka lah ngan Umayr Harris nie...emmm....

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..