Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 13

BAB 13
Di sepanjang penerbangan, Umayr Harris tidak jemu menatap gambar wanita bertudung yang menghiasi skrin telefonnya. Merenung seraut wajah cerah milik Rahadatul ‘Aisy mengundang rasa bahagia di hati. Kadang-kadang jari-jemarinya bermain-main di skrin telefon seolah-olah seperti dia sedang benar-benar menyentuh wajah itu. Sesekali senyuman terukir di pinggir bibir apabila fikirannya menerawang mengingati setiap kenangan tentang Rahadatul ‘Aisy. Leka benar Umayr Harris melayan perasaan indahnya. Pemangkin untuk dia terus bersemangat meniti perjalanan hidupnya. Menjadikan dia seorang pencinta yang setia. Cinta yang suatu ketika dulu pernah dimungkiri dan dikhianati. Dan kini cinta itulah yang dia kejar dan dia akan terus mengejar sampai mati.

Lima hari Umayr Harris berada di New York atas urusan perniagaan. Jarak masa itu benar-benar membuatkan segenap ruang hatinya sarat dengan rasa rindu terhadap Rahadatul ‘Aisy, menjadikan dirinya tidak betah berlama di tempat orang. Hatinya bertambah gundah apabila panggilan yang dibuat ketika dia berada di sana tidak pernah diangkat oleh Rahadatul ‘Aisy. Lantaran itu, dia memendekkan lawatan kerja yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh tujuh hari. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini ingatannya sangat kuat pada Rahadatul ‘Aisy. Layanan dingin yang diterimanya selama ini tidak pernah membuatkan cinta dan rindunya berkurang. Malah semakin hangat dan membara. Rahadatul ‘Aisy benar-benar membuatkan perasaannya menjadi semakin parah. Harus diakui dia kini angau pada isteri sendiri!

Sebaik sahaja Umayr Harris menjejakkan kaki di KLIA, nombor telefon bimbit Rahadatul ‘Aisy terus didail. Tidak sabar dia ingin mendengar suara isterinya. Rindu serindu-rindunya!

“Kenapa tak angkat phone ni ‘Aisy?” keluh Umayr Harris. Setelah beberapa kali mencuba, panggilannya masih tidak berjawab. Hatinya dipagut resah. Bermacam-macam tebakan negatif mula menerjah fikiran. Namun, akhirnya Umayr Harris tersenyum lega apabila penantiannya membuahkan hasil.

“Assalamualaikum, sayang. Kena…”

“Minta maaf, Encik Harris. Saya Hafeeza, teman serumah ‘Aisy. ‘Aisy tumpah darah. Dia dalam wad kecemasan sekarang ni” senyum Umayr Harris mati apabila mendengar suara lembut yang terus memotong percakapannya di hujung talian. Dan wajahnya bertambah pucat dengan perkhabaran yang baru didengarnya.

“Ya Allah! Dekat hospital mana?” tanya Umayr Harris. Jelas terbias kerisauan dalam nada suaranya.

“Hospital Serdang” balas Hafeeza.

“Okay, saya datang sekarang!” Umayr Harris segera mematikan talian tanpa menunggu balasan daripada Hafeeza. Di kala itu, otaknya hanya memikirkan tentang keselamatan Rahadatul ‘Aisy. Hatinya menjadi tidak keruan. Detak jantungnya seakan hilang rentak dek kerisauan yang mula menguasai diri. Tubuh yang penat setelah mengharungi penerbangan hampir 21 jam langsung tidak terasa. Dia perlu segera ke hospital. 


Di luar balai ketibaan, Umayr Harris melilau pandang mencari kelibat seseorang. Mujurlah Pak Mat, pemandu syarikatnya sudah sedia menanti untuk menjemputnya pulang. Tanpa lengah dia mengarahkan lelaki berusia pertengahan 40-an itu terus membawanya ke Hospital Serdang.

Kereta BMW 5 Series berwarna perak metalik menderu laju memasuki perkarangan Hospital Serdang. Apabila kereta itu diberhentikan di hadapan lobi hospital, pantas Umayr Harris melangkah keluar dari perut kereta.

“Pak Mat balik dulu. Hantar beg-beg saya ke rumah. Nanti apa-apa hal saya call ujar Umayr Harris cemas kepada Pak Mat.

“Baik, Encik Harris” balas Pak Mat sambil mengangguk. Kemudian, Umayr Harris tergesa-gesa melangkah menuju ke bahagian kecemasan. Hatinya tidak henti-henti memanjatkan doa. Sampai di wad kecemasan, pandangan matanya melilau mencari kelibat seorang perempuan. Harap-harap otaknya masih dapat mengecam Hafeeza, teman serumah Rahadatul ‘Aisy.

“Assalamualaikum. Hafeeza? Saya Harris” Umayr Harris menghampiri seorang gadis bertudung labuh yang sedang berteleku menundukkan wajah.

“Waalaikumsalam. Ya, saya Hafeeza” Hafeeza mendongakkan kepalanya. Salam Umayr Harris dijawab dengan segaris senyuman nipis di bibir.

“Macam mana dengan ‘Aisy?” tanya Umayr Harris merisik perkhabaran isterinya. Saat itu dia sudah tidak mampu menyembunyikan kebimbangan yang bermukim di hati. Sudah tidak mampu membalas senyuman sesiapa.

“’Aisy masih di dalam. Belum dapat apa-apa berita lagi, Encik Harris” beritahu Hafeeza. Risau juga di hati memikirkan nasib teman serumahnya itu. Apatah lagi apabila mengingatkan keadaan Rahadatul ‘Aisy yang cukup pucat dan lemah ketika dibawa ke sini.

“Kenapa boleh tumpah darah?” soal Umayr Harris lagi. Kali ini lelaki itu sudah mundar-mandir di hadapan pintu bilik rawatan.

“Saya pun tak pasti. Masa saya jumpa ‘Aisy dia tak sedarkan diri. Sabar, Encik Harris. Insya-Allah, ‘Aisy selamat” tenang bicara yang dituturkan Hafeeza. Namun, tidak mampu membuang gelisah yang melanda perasaan Umayr Harris. Macam mana dia mampu bertenang. Isteri yang amat dicintainya sedang bertarung nyawa di dalam sana.

Penat berdiri akhirnya Umayr Harris duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di ruang menunggu. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi. Dia meraup rambutnya sambil melepaskan keluhan lemah. Setiap detik yang berlalu dirasakan terlalu lambat. Berkali-kali pandangannya dihalakan ke arah pintu bilik rawatan kecemasan. Memang benar penantian itu suatu penyeksaan. Dan di kala ini hatinya benar-benar dihambat resah yang bukannya sedikit.

“Ya Allah, engkau selamatkan isteri aku” bisik Umayr Harris memanjatkan doa. Matanya dipejamkan rapat.

Tanpa disedari, kata-katanya itu didengari oleh Hafeeza. Sedari tadi sebenarnya ekor mata Hafeeza memerhati tingkah laku Umayr Harris yang sedang gelisah. Di sebalik kerisauan, jelas terpancar kasih sayang yang membukit di wajah lelaki itu buat Rahadatul ‘Aisy. Yalah, suami mana yang tak sayangkan isteri. Tetapi, baginya cinta Umayr Harris terhadap Rahadatul ‘Aisy cukup luar biasa. 


Pernah beberapa kali dia terserempak dengan Umayr Harris sewaktu lelaki itu menjenguk Rahadatul ‘Aisy di rumah sewa. Dari jauh dia sering memerhatikan pasangan itu. Dalam diam, Hafeeza mengagumi layanan Umayr Harris terhadap isterinya. Walau sedingin mana balasan layanan yang diberikan Rahadatul ‘Aisy, lelaki itu tetap bersabar. Rahadatul ‘Aisy memang cukup bertuah! Semoga pasangan ini terus diberikan peluang untuk bersama-sama mengecap bahagia dunia sehingga ke syurga.

Kemunculan seorang doktor lelaki yang lengkap dalam seragam putih menggamit Umayr Harris untuk menghampiri.

“Encik suami Puan Rahadatul ‘Aisy?” soal doktor muda itu pada Umayr Harris.

“Ya. Macam mana keadaan isteri I, doktor?” tanya Umayr Harris tanpa lengah.

I rasa lebih elok kita berbincang dalam bilik. Come” ajakan serius doktor itu membuatkan Umayr Harris tidak senang duduk. Dengan langkah yang berat dia mengekori doktor itu.

“Sila duduk, Encik..”

“Umayr Harris, just call me Harris” Umayr Harris melabuhkan duduk di hadapan doktor yang memakai tag nama Asyraff itu.

How’s my wife, doctor?” sekali lagi dia mengulang soalan yang sama. Hatinya sudah tidak mampu menahan debar.

“Tenang, encik Harris. Sebenarnya, isteri encik mengalami pendarahan yang agak serius. Alhamdulillah, kami berjaya menghentikan pendarahan tersebut, buat sementara waktu” dengan penuh berdiplomasi Doktor Asyraff menjelaskan.

“Sementara waktu? Maksud, doktor?”

“Buat masa sekarang, kami telah menggantikan beberapa pain darah yang hilang. Tetapi kebarangkalian pendarahan mungkin akan berlaku lagi. However, her condition has been stabilized” kata-kata Doktor Asyraff sedikit melegakan ketegangan yang dilalui Umayr Harris sejak beberapa jam yang lalui.

“Apa sebenarnya yang telah terjadi pada isteri I, doktor?” soal Umayr Harris lirih. Dia perlu tahu keadaan sebenar yang telah menimpa Rahadatul ‘Aisy.

“Buat masa sekarang kami sedang melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui punca sebenar. Pada mulanya, kami suspect isteri encik keguguran. But the result of pregnancy test was negative. Instead, through ultrasound, we have found some bruises on your wife’s internal abdomen. She might be suffering from abdominal trauma. Isteri encik pernah terlibat dengan kemalangan ke sebelum ini?” penerangan yang panjang lebar dan pertanyaan daripada Doktor Asyraff membuatkan Umayr Harris bungkam seketika.

“Ya, dia pernah dilanggar kereta. But it was more than four years ago” beritahu Umayr Harris perlahan. Dirinya pasti dihambat rasa bersalah setiap kali kenangan itu diungkit.

“Ya, kemalangan itu terlalu lama untuk meninggalkan kesan trauma pada abdomen. Mungkin baru-baru ini isteri encik pernah terhentak pada fizikal keras?” soalan Doktor Asyraff tidak mampu dijawab oleh Umayr Harris.

I’m not sure, doctor. I just came back from New York this morning. Sebelum I ke sana tak ada pula dia mengadu apa-apa” mujurlah dia mempunyai alasan untuk diberikan kepada Doktor Asyraff. 


Mana mungkin dia mengetahui setiap perkara yang menimpa isterinya sedangkan mereka tidak tinggal serumah. Keredaan nya merestui keengganan Rahadatul ‘Aisy untuk tinggal bersama ternyata membuatkan keadaan menjadi rumit. Sekurang-kurangnya jika Rahadatul ‘Aisy di depan mata, dia boleh memantau kesihatan isterinya itu.

Oh, I see. It’s okay. I akan cuba dapatkan rekod sejarah perubatan pesakit terlebih dahulu. Sebarang perkembangan mengenai isteri encik, I akan maklumkan. Insya-Allah, everything will be fine” ujar Doktor Asyraff tenang. 


Namun, kata-kata itu tidak mungkin mampu melegakan Umayr Harris. Bermacam-macam perkara yang bermain di benaknya ketika itu. Jika apa yang sedang menimpa Rahadatul ‘Aisy disebabkan oleh kesan kemalangan itu, sudah pasti dia semakin berdosa dengan isterinya sendiri. Seandainya, malam itu dia tidak berlaku kejam dengan menghalau Rahadatul ‘Aisy pasti kemalangan itu tidak akan berlaku. Malam itu juga dia telah berlaku kasar pada tubuh Rahadatul ‘Aisy. Mengingati itu, jantung Umayr Harris seakan terhenti. Nafasnya dirasakan sesak.

“Err, doktor pasti kemalangan itu bukan penyebab?” laju bibir Umayr Harris menyoal Doktor Asyraff.

“Besar kemungkinan bukan. But as I said before, we need to do further inspection

“Selain dari kemalangan, apa lagi yang boleh menyebabkan abdominal injury?” ada getar dalam nada suara Umayr Harris.

“Sebarang serangan atau hentakkan dalam bentuk fizikal boleh menjadi faktor kepada blunt abdominal trauma. Contohnya terlanggar benda yang keras, tendangan atau pukulan menggunakan objek tumpul” mendengar penjelasan Doktor Asyraff membuatkan wajah Umayr Harris berubah pucat. Ya Allah, apa yang telah aku buat pada isteriku? Terlalu besar penderitaan yang aku berikan padanya. Umayr Harris memejamkan matanya. Peristiwa empat tahun yang lalu di saat dia tanpa belas menghadiahkan tendangan pada tubuh Rahadatul ‘Aisy kembali terbayang di ruang matanya.

Are you okay, Encik Harris?” pandangan tajam Doktor Asyraff tidak dihiraukan Umayr Harris.

Yeah, I’m okay. By the way, thanks, doctor. Anything, please inform me” ujar Umayr Harris sekali gus meminta diri untuk keluar dari bilik rawatan. Umayr Harris melangkah lemah ke arah tempat menunggu.

Hafeeza masih setia berada di situ. Kali ini, Sakeena yang merupakan teman baik isterinya turut berada di sisi Hafeeza.

“Macam mana ‘Aisy, Harris? Apa kata doktor?” Sakeena terus melemparkan soalan sebaik dia melihat kelibat Umayr Harris.

“Abdominal trauma. Doktor suspek ‘Aisy mengalami trauma hentakan pada bahagian abdomen” terang Umayr Harris dengan wajah yang sugul.

 “Err, tiga hari yang lepas ‘Aisy ada terjatuh tangga” beritahu Hafeeza membuatkan Umayr Harris terduduk.

“Macam mana ‘Aisy boleh jatuh tangga ni Feeza. Aku tak tahu pun” tingkah Sakeena.

“Err, aku pun tak tahu. Wa..waktu aku sedar ‘Asy dah terjelepok dekat atas lantai” tergagap-gagap Hafeeza menjawab cuba melindungi sesuatu. Jika diikutkan kata hati, ringan sahaja mulutnya ingin menceritakan apa yang telah terjadi pada Rahadatul ‘Aisy. Tetapi, dia terikat dengan janji. Janjinya pada Rahadatul ‘Aisy untuk merahsiakan peristiwa itu.

“’Aisy, kenapalah cuai sangat” omel Umayr Harris lebih kepada dirinya sendiri. Perkhabaran yang dibawa oleh Hafeeza langsung tidak dapat mengurangkan rasa bersalah yang bermukim di hatinya. Saat itu dia merasakan dirinya telah gagal sebagai seorang suami. 


p/s: Jangan lupa tinggalkan komen ya untuk penambah baikan

7 comments:

  1. sgt suspens..
    jgnla jd pape..
    hopefully haris jge aisy pasni.

    ReplyDelete
  2. harap jgn la aisy kene penyakit kronik ke ape...
    biar la diorang bahagia...

    ReplyDelete
  3. buat happy ending yerrrr.... aishy dgn harris. :D

    ReplyDelete
  4. terima kasih kerana sudi baca. terus ikuti kisah ini ya :D

    ReplyDelete
  5. waa... jgn lar aiay ape2..

    ReplyDelete
  6. sabar yee inche Harris.. masa nilah nak tunjuk caring anda. :D

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..