Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday, 27 November 2011

Titian Cinta: Bab 11-12

BAB 11
Sebuah keluhan lemah meniti di bibir Rahadatul ‘Aisy. Berada di dalam rumah banglo yang besar itu cukup membuatkannya merasa terasing. Tatarias mewah yang menghiasi segenap ruang langsung tidak berjaya mengundang ketenangan di jiwa. Rasa sebal masih bersarang di hati kerana terpaksa akur dengan desakan Umayr Harris. Bijak lelaki itu mencipta helah sehingga memaksanya bermalam di situ. Tekadnya untuk menghindarkan diri daripada Umayr Harris ternyata sia-sia. Semakin dia cuba lari, semakin laju lelaki itu mengejarnya. Lalu harus bagaimana lagi perlu dilakukannya? Dan akhirnya dia mengeluh lagi.


Rahadatul ‘Aisy melilau pandangan ke segenap ruang tamu yang berkonsepkan moden kontemporari. Pandangannya kemudian jatuh pada seraut wajah putih milik Umayr Harris yang berada di hadapannya. Lelaki itu sedang leka mengadap skrin komputer riba Apple. Mungkin sedang menyudahkan kerja pejabatnya kerana baru sejam yang lalu dia terdengar Umayr Harris menerima panggilan penting daripada kakitangannya. 


Ketekunan Umayr Harris pada kerja memang tidak pernah berubah. Keasyikan Umayr Harris memberi ruang kepada Rahadatul ‘Aisy meneliti setiap inci pergerakan suaminya. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk menghayati ketampanan wajah lelaki itu. Memang diakui Umayr Harris mempunyai karisma yang mampu membuatkan ramai gadis terpikat padanya. Gayanya yang sentiasa tenang mampu mengagumkan sesiapa yang mengenalinya.

Ketenangan yang dimiliki oleh Umayr Harris itulah yang telah membuatkan Rahadatul ‘Aisy mula jatuh cinta pada lelaki itu. Sikap hormat Umayr Harris pada orang tua membuatkan hatinya semakin terpikat, terutamanya apabila menyaksikan layanan mesra Umayr Harris terhadap neneknya, Hajah Mariah. Lalu, tiada langsung rasa ragu yang bertunas di jiwa tatkala menerima lamaran Hajah Mariah untuk menyunting nya sebagai isteri Umayr Harris. Tekadnya untuk mengharungi hidup bersama dengan lelaki itu cukup tebal walaupun dia tidak pernah menjadi pilihan Umayr Harris. Dia tahu, lelaki itu terpaksa menerimanya semata-mata kerana akur dengan permintaan Hajah Mariah.

Rahadatul ‘Aisy cukup yakin dengan kehendak hatinya sehingga dia sanggup membelakangkan nasihat kedua orang tuanya dan memekakkan telinga dengan kata-kata temannya. Tentangan daripada kedua orang mertuanya, Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora juga sanggup ditempuhinya dengan sabar. Kekuatan cinta memberikan dia keberanian untuk mempertahankan bahtera rumah tangga nya walaupun nyata hanya dia seorang sahaja yang berjuang. Sangkanya dia mampu bahagia hidup bersama dengan lelaki yang dicintai namun ternyata dia silap percaturan. Semakin lama kebahagiaan itu semakin menjauh pergi dari hidupnya. Itulah takdir yang dia harus akur dan reda.

Terdetik rasa rindu di hati Rahadatul ‘Aisy apabila teringatkan Hajah Mariah, wanita tua yang penuh dengan kelembutan dan tidak pernah lokek dengan kasih sayang. Satu-satunya wanita yang tidak pernah putus merestui hubungannya dengan Umayr Harris. 


Lebih empat tahun dia tidak bertemu dengan Hajah Mariah. Bukannya dia tidak pernah merisik khabar wanita tua itu sewaktu berada di England. Pernah beberapa kali dia cuba menelefon ke kediaman keluarga Hajah Mariah. Niat di hati ingin berbual dengan wanita itu. Namun entah di mana silapnya, setiap kali dia menelefon pasti yang menyambut panggilannya adalah Umayr Harris, insan yang ingin dihindarinya. Bukan sekali dua dia terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti itu. Sudahnya, dia tidak berani lagi menghubungi Hajah Mariah. Bimbang jika telinganya disapa lagi oleh suara garau Umayr Harris.

Ting Tong! Gema bunyi loceng yang nyaring mengejutkan Rahadatul ‘Aisy daripada lamunan. Hampir sahaja dia menjerit tatkala menyedari tangan Umayr Harris melingkar di atas bahunya. Dia langsung tidak menyedari bila Umayr Harris berkalih tempat duduk ke sebelahnya.

“Terperanjat saya, Harris” ujar Rahadatul ‘Aisy sambil cuba merenggangkan pautan tangan Umayr Harris di bahunya, namun gagal.

“Rupanya isteri abang ini kuat berangan ya. Padanlah tak berkelip tenung abang dari tadi. Apa yang ‘Aisy angankan tentang abang?” bisik Umayr Harris sambil tersenyum sumbing. Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir. Dia menjadi malu. Malu kerana begitu ralit tenggelam dalam kenangan.

“Awak tak nak tengok ke siapa yang datang tu?” soal Rahadatul ‘Aisy tanpa menjawab pertanyaan Umayr Harris yang berbaur usikan itu. Mujurlah loceng berbunyi buat kali kedua.

“Pandai ‘Aisy nak mengelat ya. Tak apa, this time you are saved by the bell” tutur Umayr Harris sambil menuju ke arah pintu. Rahadatul ‘Aisy mengeluh lega. Entah macam mana dia boleh terlepa tadi.

Tidak berminat untuk mengetahui siapa tetamu yang datang, Rahadatul ‘Aisy mengayun langkah ke ruang dapur. Ingin membasahkan tekaknya yang terasa haus. Itulah, kuat sangat mengelamun!

“Sayang, tengok siapa yang datang ni” laungan Umayr Harris menghentikan langkah Rahadatul ‘Aisy. Dia memalingkan wajahnya tercari-cari kelibat yang dimaksudkan oleh Umayr Harris. Demi terpandangkan seraut wajah tua yang sudah berkedut seribu, matanya berkaca bening.

“Nenek!” pantas Rahadatul ‘Aisy menerpa dan memeluk tubuh tua Hajah Mariah. Kedua belah pipi Hajah Mariah dikucup lembut. Terlerai segala rindu yang bersarang di jiwa.

“’Aisy. Sayang cucu nenek. Rindunya nenek pada ‘Aisy” suara Hajah Mariah terketar-ketar sambil membalas pelukan Rahadatul ‘Aisy. Air mata Hajah Mariah gugur menangisi kerinduan yang sarat ditanggung.

“’Aisy pun rindu sangat dengan nenek” balas Rahadatul ‘Aisy turut menitiskan air mata. Wajah Hajah Mariah ditatap dengan penuh rasa kasih. Empat tahun batas waktu yang memisahkan banyak merubah fizikal Hajah Mariah. Wanita itu dilihat sudah tidak sekuat dulu. Garis kedutan juga makin bertambah. Tetapi cahaya ketenangan di wajah itu tetap sama. Seraut wajah yang sering mengingatkannya pada arwah neneknya sendiri. 


Kemudian, Rahadatul ‘Aisy menyalami Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora. Rasa hormat pada kedua mertuanya masih ada walaupun mereka tidak pernah melayan dirinya sebagai seorang menantu.

“Papa dan mama apa khabar?” tanya Rahadatul ‘Aisy berbasa-basi.

“Alhamdulillah, kami sihat” jawab Puan Sri Nora perlahan sambil melemparkan senyuman. Senyuman itu sudah pasti mengundang rasa aneh di hati Rahadatul ‘Aisy. Jika dulu, payah benar Rahadatul ‘Aisy ingin melihat kemesraan di wajah ibu mertuanya itu. Ikhlas kah atau hanya sekadar berpura-pura di hadapan nenek? Detik hati Rahadatul ‘Aisy. Namun cepat-cepat dia beristighfar menyedari kedangkalan diri.

“Sampai hati ‘Aisy pulang tak jenguk nenek. Sudahlah pergi ke London senyap-senyap. Bila dah balik ke sini pun ‘Aisy menyepi. ‘Aisy dah tak ingatkan nenek ke?” luah Hajah Mariah sayu. Walaupun hati tuanya terkilan dengan tindakan Rahadatul ‘Aisy, namun dia tidak boleh meletakkan kesalahan itu sepenuhnya di bahu cucu menantunya itu.

“’Aisy minta maaf, nenek. Bukan niat ‘Aisy tak nak beritahu nenek cuma keadaan waktu itu yang tak mengizinkan. Tapi ‘Aisy tak pernah lupakan nenek, cuma…” Rahadatul ‘Aisy kematian kata. Buntu untuk mencipta alasan.

“Nenek tahu, ‘Aisy merajuk dengan Harris kan? Nenek minta maaf kerana Harris tak mampu jaga ‘Aisy dengan baik” pohon Hajah Mariah sebak. Ya! Kerana rajuk dia terpaksa berjauhan dengan seorang wanita yang tidak pernah jemu menyayanginya seperti cucu sendiri. Kerana dendam dia hanya mampu merindui belaian wanita tua itu dari jauh. Ya, rajuk dan dendam yang menuntut pengorbanan setiap insan yang dia sayang. Kejam kah dia kerana terlalu menurut rasa hati?

“Bukan macam itu, nenek. ‘Aisy ke sana kerana dapat tawaran sambung belajar” tutur Rahadatul ‘Aisy menafikan sambil menggelengkan kepalanya. Walaupun nyata alasan itu kedengaran ampuh. Biarlah dia saja yang menelan segala lara seandainya penafiannya itu mampu membuatkan Hajah Mariah tersenyum. Tidak sanggup menambahkan kegusaran di hati wanita tua yang semakin dimamah keuzuran itu.

“Jangan tipu nenek, ‘Aisy. Harris dah ceritakan semuanya pada nenek. Cucu nenek itu memang tak tahu di untung. Nenek malu dengan kamu, ‘Aisy. Nenek malu dengan apa yang Harris dah buat pada kamu” tingkah Hajah Mariah yang sudah mengongoi dalam tangisan. Terusik hatinya melihat keadaan Hajah Mariah.

“Sudahlah tu mak. Mak dah buat ‘Aisy serba salah tu. Lagipun ‘Aisy dah balik kan. Tak baiklah menangis macam ni” suara Tan Sri Hakim yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.

“Betul tu, nenek. Kita lupakan cerita sedih ni ya. Lagipun buruk tau orang tua menangis” pujuk Rahadatul ‘Aisy sambil mengesat air mata yang tumpah di pipi tua itu. Sempat dia mengusik Hajah Mariah membuatkan wanita tua itu tergelak kecil.

“Pandai ‘Aisy pujuk nenek, ya” ujar Hajah Mariah tersenyum. Rahadatul ‘Aisy turut melemparkan senyum. Biarlah semuanya menjadi sejarah. Dia sendiri sudah penat menangis. Jauh di lubuk hatinya yang paling dalam, dia juga sedang berusaha mengikis semua kenangan pahit yang pernah menjengah hidupnya.

“Kenapa kita semua tercegat dekat sini ni? Jom, kita duduk dulu” sambung Rahadatul ‘Aisy cuba menceriakan suaranya. Ingin membuang jauh kesedihan yang dirasakan menyelubungi segenap suasana. Dia memimpin tangan Hajah Mariah ke arah sofa kulit berwarna krim di ruang tamu.

“Nenek sayang sangat-sangat dengan ‘Aisy. Syukur Allah masih memberikan nenek kesempatan untuk bertemu dengan ‘Aisy. Kalau ditakdirkan nenek menutup mata lepas ini, nenek dah tak ralat” beritahu Hajah Mariah lirih sambil menggenggam erat tangan Rahadatul ‘Aisy. Genggaman yang terisi dengan seribu simpati dan kekesalan. Simpati dengan keperitan yang terpaksa dilalui oleh wanita muda ini dan kesal kerana keperitan itu berpunca daripada perbuatan darah dagingnya sendiri.

“’Aisy pun sayangkan nenek. Kenapa nenek cakap macam tu? Ajal dan maut ini kita tak tahu. Entah-entah ‘Aisy yang dijemput dulu” tutur Rahadatul ‘Aisy.

“’Aisy! Abang tak suka ‘Aisy cakap macam tu” tiba-tiba Umayr Harris bersuara dengan wajah sedikit tegang. Jelas nampak dia benar-benar kurang selesa dengan kata-kata isterinya.

“Mati itu pasti. Kita semua milik Pencipta kita. Apa yang kita ada, nikmat yang kita rasa semuanya adalah pinjaman dari-Nya. Hidup kita adalah sebuah perjalanan, pasti akan ada tarikh perhentiannya” luah Rahadatul ‘Aisy sedikit puitis. 


Bicara fasal kematian pasti mengundang keinsafan di jiwanya. Saat getir yang pernah dilalui ketika bertarung nyawa akibat dilanggar lari sering membuatkan dia berfikir tentang mati. Waktu itu, dia kehilangan zuriat yang dikandunginya. Malah, nyawanya sendiri hampir melayang kerana pendarahan dalaman yang serius. Mujurlah, dia masih diberikan kesempatan untuk menyedut nafas di bumi Tuhan ini.

“Betul cakap ‘Aisy tu, Harris. Mengingati mati ini kan dituntut dalam Islam. Mudah-mudahan kita tidak terus terleka dengan keindahan dunia sahaja. Sesetengah manusia ni sanggup membelakangi hukum agama untuk memuaskan kehendak nafsu semata. Halal atau haram langsung tak dipedulikan” sahut Hajah Mariah sinis. Entah kenapa butir kata itu bagaikan tersirat seribu makna di sebaliknya. Rahadatul ‘Aisy perasan perubahan pada wajah Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

“Err, ‘Aisy ke dapur sekejap ye. Nak buatkan air” keadaan yang sedikit tegang itu membuatkan Rahadatul ‘Aisy serba salah lantas dia membawa diri ke dapur.

Di dapur, Rahadatul ‘Aisy mula menjerang air di dalam cerek. Walaupun dia sendiri tidak biasa dengan susun atur barang di dapur itu, namun terpaksalah dia menyesuaikan diri. Dia masih isteri Umayr Harris, jadi dia haruslah memikul tanggungjawab untuk melayan tetamu yang datang. Sekurang-kurangnya dia tidak boleh menunjukkan hubungan dinginnya dengan Umayr Harris di hadapan anggota keluarga terutama sekali Hajah Mariah.

“Lain kali jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka dengar” suara Umayr Harris dari arah belakang Rahadatul ‘Aisy benar-benar menyentaknya. Dia mengurut dadanya perlahan. Jantung yang sihat pun boleh terhenti jika terus-terusan dikejutkan begitu.

“Awak ni suka sangat buat saya terperanjat. Boleh mati terkejut saya kalau macam ni” bentak Rahadatul ‘Aisy sambil memusingkan badannya memandang Umayr Harris. Dia langsung tidak perasan yang Umayr Harris mengekorinya ke dapur.

“Tengok tu. Cakap lagi macam tu. ‘Aisy ni memang degil ya” kali ini intonasi suara Umayr Harris sudah berubah keras.

“Mati adalah suatu hakikat, Harris. Kenapa nak lari dari kenyataan?” tukas Rahadatul ‘Aisy sengaja tidak menghiraukan tegahan Umayr Harris.

“Abang tahu hakikat itu. Tapi sejujur nya abang belum bersedia. Abang takut, sayang. Abang takut kehilangan ‘Aisy. ‘Aisy adalah nyawa abang. Abang sentiasa berdoa, sayang. Semoga Allah memanjangkan usia ‘Aisy dan abang. Semoga abang masih diberikan peluang untuk membahagiakan ‘Aisy, menebus segala kesilapan abang yang dulu pada ‘Aisy.” nada suara Umayr Harris berubah sayu, membuatkan Rahadatul ‘Aisy tersentuh. Hatinya senang dengan butir bicara itu.

“Err..milo ada tak? Saya nak bancuh air ini?” soal Rahadatul ‘Aisy sedikit kalut mengubah topik. Dia kembali memusingkan badannya membelakangi Umayr Harris kerana tidak mahu Umayr Harris menebak perasaannya. Debaran di dada berdegup kencang. Telapak tangannya ditekapkan ke dada agar degupan itu tidak sampai ke pendengaran Umayr Harris. Kekalutan Rahadatul ‘Aisy membuatkan Umayr Harris semakin berani mendekati isterinya.

“Abang terlalu cintakan sayang. Cinta sangat-sangat. Sayang adalah bidadari abang, bukan sahaja di dunia tapi sampai ke syurga. Jadi, sayang kena bantu abang menuai bekalan di dunia secukupnya untuk dibawa ke akhirat sana. Abang hendak masuk syurga sama-sama dengan sayang” bisik Umayr Harris. Desah nafas Umayr Harris yang menyapa cuping telinganya membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjadi tidak keruan. Seluruh wajahnya terasa pijar. Berada dalam jarak yang cukup dekat dengan Umayr Harris membuatkan badannya kaku.

“Err.. kalau tak ada milo, teh ada tak?” tanya Rahadatul ‘Aisy dengan suara yang bergetar. Seram sejuk tangannya apabila merasakan tangan kasar Umayr Harris memaut pinggangnya dari belakang. Dalam debaran, dia terbuai dengan perlakuan itu.

“Hmm..ubah topik lagi” ujar Umayr Harris sambil melepaskan tawa nipis. Namun pelukannya semakin dieratkan apabila dirasakan tiada penolakan dari Rahadatul ‘Aisy.

“Awak, saya hendak buat air ni” beritahu Rahadatul ‘Aisy lemah.

“Buatlah. Air panas dah ada. Dekat depan sayang tu semua ada. Milo, teh, Horlicks, Nescafe, kopi, gula. Sayang pilih saja nak bancuh air apa. Ke lama sangat duduk London sampai dah tak ingat cara nak bancuh air?” usikan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengetap bibir.

“Macam mana saya nak buat air kalau tangan awak tu asyik menggatal je?” suaranya dikeraskan. Dia cuba melepaskan rangkulan suaminya namun gagal.

“Awak!” panggilan Rahadatul ‘Aisy langsung tidak diendahkan oleh Umayr Harris.

One minute, sayang. Give me one minute to feel this moment. To feel your warm body next to me. I really miss you, sayang” bisik Umayr Harris romantis membuatkan Rahadatul ‘Aisy terkedu. Perlakuan intim Umayr Harris turut membuatkan Rahadatul ‘Aisy tenggelam menghayati sentuhan itu. Sentuhan yang seakan mengalirkan arus elektrik terus ke jantungnya.

Thanks” suara lembut Umayr Harris membuatkan dia kembali tersedar. Perlahan-lahan rangkulan lelaki itu dilepaskan. Tanpa memandang ke arah Umayr Harris, dengan terketar-ketar tangannya mula membancuh air milo. Debaran di dadanya masih berdetak kuat. Tenanglah wahai hati.

Buat seketika suasana dibiarkan sepi. Masing-masing melayan perasaan. Mungkin masih terkesan dengan sentuhan hangat tadi. 


Umayr Harris kemudian menuju ke arah kabinet dapur di sebelah kanan dan mengeluarkan satu set cawan. Tangkas lelaki itu mengambil dulang dan mengatur cawan tersebut di atas dulang. Tindakan Umayr Harris menarik perhatian Rahadatul ‘Aisy. Jika dulu, jangan harap Umayr Harris akan menjengah ke dapur untuk sama-sama membantunya dalam urusan rumah tangga. Sebaliknya, dia hanya menunggu di meja makan. Mengharapkan semuanya disiapkan dan dihidangkan untuknya. 


Apa dah jadi dengan mata aku ni? Kenapa sejak akhir-akhir ini hanya kebaikan Umayr Harris yang aku nampak? Detik hatinya sambil menggelengkan kepala.

“Biar abang bawa air ni ke depan. Sayang tolong potongkan kek buah dalam peti ais ya” pinta Umayr Harris sekali lagi membuatkan Rahadatul ‘Aisy terpaku. Kelembutan pada suara itu cukup membuatkan hatinya terkesan. Mana perginya Umayr Harris yang dulu lebih suka mengarahnya dengan suara yang kasar. Teko yang berisi penuh dengan air milo diletakkan di dalam dulang oleh Umayr Harris.

“Boleh ya, sayang?” sekali lagi soalan diajukan apabila tiada jawapan daripada isterinya.

“Err..oo..okay” tergagap-gagap Rahadatul ‘Aisy membalas.

“Terima kasih, sayang” ucap Umayr Harris sambil mencuit hidung Rahadatul ‘Aisy.

By the way, abang cemburu sangat tengok ‘Aisy cium nenek tadi. I hope one day I could have those sweet kisses too beritahu Umayr Harris nakal sambil mengenyitkan matanya. Kemudian, dia berlalu ke ruang tamu bersama dengan minuman sambil meledakkan tawa. Sekali lagi wajah Rahadatul ‘Aisy menjadi panas.

“‘Aisy, Kenapa dengan kau ni? Wake up..” marah Rahadatul ‘Aisy kepada dirinya sendiri apabila kelibat Umayr Harris hilang dari pandangan. Jika dia berterusan begini, hatinya pasti akan lebih teruk terluka kelak.

Rahadatul ‘Aisy kembali ke ruang tamu bersama sepinggan kek buah. Diperhatikan minuman yang dibawa oleh Umayr Harris masih berada di dalam dulang. Dengan sopan Rahadatul ‘Aisy menghulurkan cawan kepada setiap tetamu dan juga kepada Umayr Harris.

Thanks, sayang” sebuah senyuman menawan dihadiahkan oleh Umayr Harris kepadanya. Sengaja Rahadatul ‘Aisy tidak menghiraukan ucapan itu. Segan juga dia apabila Umayr Harris terang-terangan memanggilnya sayang di depan keluarganya. Kemudian, lelaki itu menarik tangannya untuk duduk di sisi. Rahadatul ‘Aisy tiada pilihan dan akhirnya dia melabuhkan punggung di atas set sofa dua tempat duduk itu, di sebelah suaminya.

“Jemputlah makan kek, nenek. Inikan kek kegemaran nenek. Tapi nenek tak bolehlah makan banyak sangat. Nanti tak fasal-fasal gula dalam darah nenek naik. Kesihatan kena jaga juga” pelawa Rahadatul ‘Aisy sambil menitipkan pesanan. Hajah Mariah hanya ketawa senang. Sudah lama dia tidak mendengar bebelan daripada bibir mungil itu.

“Ingat lagi ‘Aisy pada kek kesukaan nenek ya” ujar Hajah Mariah berbesar hati. Rahadatul ‘Aisy memang pandai mengambil hatinya sejak dari dulu. Kesopanan dan kelembutan yang ada pada Rahadatul ‘Aisy membuatkan hati tuanya terpikat untuk menyunting gadis itu sebagai isteri kepada Umayr Harris, satu-satunya cucu lelaki tunggal yang dia ada.

“Papa, mama. Jemput minum ya” pelawa Rahadatul ‘Aisy lagi sekali kepada kedua-dua ibu bapa mertuanya yang lebih banyak mendiamkan diri. Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora hanya mengangguk. Rahadatul ‘Aisy perasan riak kegelisahan pada wajah kedua mertuanya seperti ada menyimpan sesuatu.

“’Aisy ke yang buat kek ini?” tanya Hajah Mariah sambil mengambil dan merasa sepotong kek yang dihidangkan.

“Tak adalah, nenek. Abang Harris belikan” sangkalnya tanpa berselindung.

“Harris beli dekat Tesco, nenek. ‘Aisy ni mana ada masa nak masak. Sibuk memanjang sejak masuk kerja. Sampaikan Harris pun dia tak peduli” adu Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy menjelingnya tajam. Ini mesti hendak memerli aku kerana tidak menunaikan janji untuk menghubunginya. Kata Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.

“Betul ke ni, Harris? Setahu nenek, selama ini kamu yang sibuk. Selalu tinggalkan ‘Aisy ni seorang diri dekat rumah” bela Hajah Mariah langsung tidak bersimpati dengan aduan Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy mengulum senyum. Spontan Rahadatul ‘Aisy menunjukkan ibu jari kirinya kepada Umayr Harris membuatkan suaminya menjegilkan mata.

“Nenek ini asyik membela ‘Aisy je. Sampaikan cakap cucu sendiri pun tak percaya. Tengok ‘Aisy pun dah naik tocang tu” ujar Umayr Harris pura-pura berjauh hati. Sempat dia menghadiahkan cubitan di pipi Rahadatul ‘Aisy.

“Auchh, sakitlah” pantas tangannya menggosok pipi.

“Nasib baik ada nenek, papa dan mama. Kalau tak, abang dah angkut ‘Aisy masuk bilik” bisik Umayr Harris ke telinga Rahadatul ‘Aisy. Merah padam muka Rahadatul ‘Aisy dengan kemesraan yang tidak segan silu ditunjukkan oleh Umayr Harris.

“Seronok nenek tengok hubungan kamu berdua dah kembali baik. Tak lama lagi dapatlah nenek menimang cicit pula. Jangan tunggu lama-lama. Kamu berdua pun bukannya muda lagi” bicara Hajah Mariah teruja. Sinar mata Hajah Mariah jelas memancarkan pengharapan. 


Berubah riak wajah Rahadatul ‘Aisy tatkala mendengar ayat yang dituturkan Hajah Mariah. Spontan tangan kirinya mengusap perut kempisnya yang dulu pernah dihuni oleh satu nyawa. Masih kah ada kesempatan buatnya untuk merasai pengalaman indah itu? Hatinya mengeluh berat.

“Insya-Allah nenek” balas Umayr Harris sambil menggenggam erat tangan Rahadatul ‘Aisy. Seakan faham dengan kegelisahan yang ditunjukkan oleh isterinya. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar mengharapkan Rahadatul ‘Aisy menerimanya sebagai suami seperti dulu. Suami yang sentiasa dibelai dengan kehangatan cinta seorang isteri setia bernama Rahadatul ‘Aisy.

BAB 12
Umayr Harris memimpin tangan Rahadatul ‘Aisy kejap seolah-olah tidak ingin dilepaskan. Rontaan lembut isterinya untuk meleraikan genggaman tidak dihiraukan. 


Rahadatul ‘Aisy kurang selesa dengan kemesraan yang ditunjukkan Umayr Harris di tempat awam. Tambahan pula, dia merasakan kelibat mereka menjadi perhatian beberapa pasang mata yang memandang dengan bisikan dan senyuman nakal. Seolah-olah seperti dia sedang berdiri di sebelah artis popular. Hendak kata wajah Umayr Harris ini mirip seperti artis Malaysia pun tidak. Jauh sekali seperti pelakon Korea yang sering menjadi kegilaan remaja sekarang. Kalau sama pun mungkin dari segi ketinggian dan bentuk badan. Dia menjeling Umayr Harris di sebelah. Lelaki ini kelihatan cukup tenang. Dari tadi senyuman langsung tidak lekang diukirkan di bibirnya. Macam menang loteri!

“Awak, kenapa saya rasa ramai orang pandang kita semacam? Muka saya comot ke?” soal Rahadatul ‘Aisy pelik. Bimbang juga jika ada sesuatu yang tidak kena dengan penampilan dirinya. Sudahlah tadi dia cuma bersiap ala kadar sahaja. Sangkanya Umayr Harris akan terus menghantarnya pulang ke rumah sewa. Namun, entah angin apa tiba-tiba Umayr Harris membelokkan keretanya ke pusat membeli belah The Mines.

“Hmm..let me see” langkah Umayr Harris terhenti. Seraut wajah bertudung di depannya ditenung. Jari-jemari Umayr Harris mula merayap di segenap wajah isterinya.

“Comot sangat ke?” soal Rahadatul ‘Aisy pelik. Hendak kata kesan bedak, seingatnya dia tidak mengenakan sebarang bedak tadi.

Nope, your face looks beautiful. I love touching your skin” bisik Umayr Harris nakal sambil mengenyitkan matanya. Tangannya masih mengelus pipi Rahadatul ‘Aisy.

“Ishh.. apa awak buat ni?” Rahadatul ‘Aisy menepis lembut tangan Umayr Harris apabila menyedari Umayr Harris mempermainkannya. Sebaliknya, Umayr Harris hanya ketawa. Rahadatul ‘Aisy mengambil kesempatan itu untuk melepaskan tangannya dari genggaman Umayr Harris.

Langkahnya dilajukan tanda protes, jauh meninggalkan suaminya di belakang. Sebenarnya dia malu dengan perlakuan Umayr Harris tadi. Dia membuang rasa dengan melilau ke arah deretan kedai. Langkahnya terhenti di hadapan kedai buku Popular. Pandangan matanya jatuh pada majalah Times yang sedang dipamerkan di rak majalah. Bukan kerana dia meminati majalah itu tetapi wajah yang menghiasi  kulit depan itu yang menarik perhatiannya.

“Padanlah ramai orang asyik pandang-pandang tadi rupanya muka dia terpampang dekat sini” omel Rahadatul ‘Aisy pada dirinya sendiri.

Harris-The most eligible bachelor in town!” Rahadatul ‘Aisy mencebik geram apabila membaca ayat yang terpapar di kulit majalah itu.

“Abang tak pernah mengaku pada press yang abang bujang. I never thought this will be the headline for my story” beritahu Umayr Harris apabila muncul di sebelah Rahadatul ‘Aisy.

“Saya tak kisah” balas Rahadatul ‘Aisy sambil melemparkan jelingan. Memang sepatutnya dia tidak perlu kisah tetapi kenapa hatinya saat itu rasa sakit dengan apa yang baru dibacanya.

“Mereka cuma interviews abang fasal business. I’m going to fix this, I’ll promise” jelas Umayr Harris bersungguh-sungguh.

It’s okay. There’s no big deal. Bagus juga kalau ramai tahu awak single, nanti lagi ramai yang line up untuk isi borang” gelak Rahadatul ‘Aisy dengan gurauannya sendiri walaupun dia sendiri tidak merasa lucu. Dia cuma tidak mahu Umayr Harris dapat membaca reaksinya.

I know you are hurting inside. Because you love me so much, kan? Besok abang akan call editor majalah ni and fix everything. Abang janji” Umayr Harris tidak berputus asa meyakinkan Rahadatul ‘Aisy.

“So, kita nak buat apa sebenarnya dekat sini?” soal Rahadatul ‘Aisy cuba mengalih perhatian Umayr Harris pada topik lain. Dia sudah tidak betah apabila Umayr Harris mula dapat menebak perasaannya.

“Suka sangat mengelat sayang ni. Emm..pertama sekali, abang nak singgah kedai telefon” beritahu Umayr Harris.

“Nak buat apa?” tanya Rahadatul ‘Aisy polos.

“Dah namanya pun kedai telefon, mestilah nak pergi beli telefon sayang ooi” balas Umayr Harris sambil memicit hidung Rahadatul ‘Aisy.

“Beli telefon? Membazir betul awak ni. Handset awak kan baru lagi, dah nak tukar lain pula? Saya tahulah awak banyak duit. Kalau tak tahu nak belanjakan duit itu, lebih baik awak bersedekah. Banyak misi-misi keamanan dan kebuluran yang awak boleh beri sumbangan. Boleh juga awak kumpul pahala” leter Rahadatul ‘Aisy. Dah pakai iPhone 4 pun masih nak cari yang lebih canggih lagi ke? Tak faham betul. Gumam Rahadatul ‘Aisy menyambung leteran di dalam hati.

“Amboi, berjela-jela tazkirah abang. Siapa kata abang nak belikan untuk diri sendiri? Abang nak belikan untuk isteri abang ni. Dapat pahala juga kan” terang Umayr Harris membuatkan Rahadatul ‘Aisy terdiam.

“Buat apa nak belikan saya handset? Saya dah ada. Tak payah susah-susah” tolak Rahadatul ‘Aisy.

“Nope, abang tetap nak belikan ‘Aisy telefon bimbit dan line telefon abang daftarkan sebagai supplementary line abang. I will pay for the bill monthly. Jadi, lepas ini ‘Aisy tak ada apa-apa alasan lagi untuk mengelak dari abang. Manalah tahu kot-kot lepas ni ‘Aisy gunakan alasan tak ada kredit pula untuk call abang atau balas mesej abang” sempat lagi Umayr Harris menyindirnya.

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi. Abang tak nak dengar apa-apa lagi alasan dari mulut ‘Aisy. This is my decision. T.I.T.I.K” potong Umayr Harris tegas sambil meletakkan jari telunjuknya ke bibir isterinya. Mendengar perkataan “T.I.T.I.K” yang dieja oleh Umayr Harris, Rahadatul ‘Aisy tahu dia tidak mempunyai pilihan. Tidak guna dia berdegil kerana sudah pasti dia tidak akan menang. Akhirnya, dia hanya membiarkan Umayr Harris memilih dan membelikan sebuah iPhone kepadanya.

“Habis, handset saya yang ada tu nak buat apa? Takkan saya nak pakai dua nombor. Membazir betullah awak ni” sempat lagi Rahadatul ‘Aisy menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

“Sayang sedekahlah pada siapa-siapa pun. Sayang kan suka buat amal jariah ni” usik Umayr Harris memulangkan paku buah keras.

“Okay, kalau macam tu, saya sedekahkan iPhone ni jelah” ugut Rahadatul ‘Aisy geram. Sengaja ingin membalas kata-kata Umayr Harris.

“Jangan nak mengada-ngada. Kalau abang tahu ‘Aisy buat macam tu, siap. Bak sini abang nak tengok handset ‘Aisy tu. Nak tahu juga secanggih mana handset tu sampaikan iPhone yang abang beli ni ‘Aisy langsung tak pandang” pinta Umayr Harris bengang. Terkilan juga hatinya melihat Rahadatul ‘Aisy seolah-olah tidak menghargai pemberiannya.

“Bukan fasal canggih ke tak canggih. Tapi ini semua membazir. Membazir kan amalan syaitan” jawab Rahadatul ‘Aisy sambil mengambil telefon bimbit di dalam tas tangannya. Sebaik telefon bimbitnya bertukar tangan, Umayr Harris tergelak kuat.

“’Aisy..’Aisy.. kalau setakat Nokia 1280 ni, tak membazir pun sayang oii.. Zaman sekarang ni maklumat di hujung jari. Zaman touch screen. Orang dah tak pakai hand phone yang outdated macam ni” ejek Umayr Harris.

“Pasal apa pulak? Telefon juga kan. Asal boleh call dan hantar mesej sudahlah” balas Rahadatul ‘Aisy geram. Merona merah wajahnya apabila ditertawakan Umayr Harris.

“Harris, what are you doing here, darling?” tiba-tiba mereka berdua disapa oleh satu suara manja milik seorang gadis cantik. Mata Rahadatul ‘Aisy jatuh pada jari-jemari runcing gadis itu yang selamba merangkul lengan Umayr Harris. Berani betul perempuan ni. Detik Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.

Shopping barang sikit” balas Umayr Harris berbasa-basi. Umayr Harris melepaskan rangkulan gadis tinggi lampai itu. Dia kemudian cepat-cepat merangkul erat pinggang Rahadatul ‘Aisy. Kali ini sengaja Rahadatul ‘Aisy tidak menghalang perbuatan suaminya.

“Kenapa tak ajak I temankan you shopping? You know I always available for you. By the way, who’s this girl?” rengek gadis itu lagi dengan lenggok yang cukup menggoda. Sempat juga dihadiahkan satu jelingan tajam pada Rahadatul ‘Aisy. Mungkin tidak puas hati dengan kemesraan yang ditunjukkan Umayr Harris pada Rahadatul ‘Aisy.

This is my wife, Rahadatul ‘Aisy. Sayang, ini Nasha Ilyana, salah seorang client syarikat abang” Umayr Harris memperkenalkan.

Nice meeting you, Nasha” Rahadatul ‘Aisy menghulurkan tangan. Senyuman manis tetap diukirkan walaupun dia merasa rimas dengan kehadiran Nasha. Wajah bujur sirih Nasha seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Oh, gadis inilah yang dilihatnya berkepit dengan Umayr Harris semasa di KLIA tempoh hari.

Oh hello, I’m Nasha Ilyana Dato’ Johan” Nasha memperkenalkan dirinya. Lambat-lambat salam Rahadatul ‘Aisy disambut.

Sorry, I didn’t know this lady is your wife. I ingatkan you dah divorce. You know, banyak sangat rumors yang I dengar dari mulut orang. Lagipun, selama ini I perhati you sorang diri je dekat mana-mana majlis” luah Nasha berterus terang. Hatinya sebal sebaik mengetahui lelaki pujaan di depannya masih mempunyai isteri.

“Mengarutlah. Buat apa percaya cakap orang. You should’ve asked me instead. I love my wife very much. Selama ini, dia di London, sambung belajar” tutur Umayr Harris mengemaskan rangkulannya.

“Oh, that’s good. By the way, I’ve got to go. I kejar masa ni” cepat-cepat Nasha mempermisikan diri. Dia cuba menyembunyikan kekecewaan. Sudah lama dia menyimpan impian untuk mendampingi Umayr Harris. Kemesraan layanan Umayr Harris terhadap Rahadatul ‘Aisy mengundang cemburu di hatinya. Entah apa yang ada pada wanita itu yang mampu menarik perhatian dan kasih sayang Umayr Harris. Sedangkan, dia memiliki segala-galanya. Rupa paras yang menawan, tubuh lampai persis model dan kekayaan. Namun, sebelah mata pun Umayr Harris tidak pernah memandangnya.

“Cantik kan cik Nasha tu. Saya rasa awak dengan dia memang padan. Dia pun nampak berminat dengan awak” ujar Rahadatul ‘Aisy sejurus kelibat Nasha hilang dari pandangan. Hatinya sakit apabila melihat mata Umayr Harris leka menyoroti kelibat Nasha. Apa kena dengan dirinya kini? Tidak mungkin dirinya dihambat cemburu.

“Cantik, lawa tapi bukan taste abang”

“Amboi, kalau bukan taste takkan tenung sampai nak tembus” sindir Rahadatul ‘Aisy.

“Lain macam je bunyi ni. Sayang cemburu ke?” tebak Umayr Harris membuatkan wajah Rahadatul ‘Aisy berubah warna.

“Mengarutlah awak ni. Buat apa saya nak cemburu. Saya ni kalau dibandingkan dengan cik Nasha tu macam langit dengan bumi. Tak mampu nak lawan kehebatan dia” tingkah Rahadatul ‘Aisy merendah diri. Sekurang-kurangnya dia ada sesuatu yang saya telah hilang. Sesuatu yang melengkapkan dirinya sebagai seorang wanita. Gumam Rahadatul ‘Aisy di dalam hati.


“Tapi, sayang ada apa yang Nasha tak ada. Sayang miliki cinta dan rindu abang. Itu adalah magnet yang sentiasa menarik abang untuk melekat dengan sayang” beritahu Umayr Harris romantis sehingga mampu membuatkan perasaan Rahadatul ‘Aisy panasaran. Dia tidak mampu menghalang rasa bahagia yang mula kembali mengisi ruang hatinya.


Namun, dia sedar dia tidak boleh terus leka dibuai rasa indah ini. Dia perlu menghalang Umayr Harris daripada terus berharap. Tetapi, bagaimana? Dia tidak mampu membenci lelaki itu walaupun empat tahun dia cuba menanam dendam di hati. Sehari sahaja Umayr Harris sudah berjaya memadamkan api kemarahannya. Dia cuba menjauhkan diri daripada Umayr Harris, tetapi dengan mudah lelaki itu menjejakinya.


Sebelum benteng hatinya menjadi semakin goyah, cuma tinggal satu jalan terakhir. Dia harus berterus terang dengan Umayr Harris. Mungkin dengan cara itu, Umayr Harris akan berhenti berharap. Berhenti mengejar dan menagih kasihnya. Namun, adakah dirinya mempunyai kekuatan untuk melakukannya?


“Kenapa diam ni, sayang?” tegur Umayr Harris apabila melihat Rahadatul ‘Aisy bungkam dalam kegelisahan.


“Err..tak ada apa-apa. Saya hendak balik. Tiba-tiba kepala saya rasa pening. Mungkin migrain kot” dalih Rahadatul ‘Aisy.


“Selalu sangat sayang kena migrain ni. Kita pergi check up doktor lah”  nada suara Umayr Harris sudah bertukar bimbang.


“Tak apalah. Saya cuma nak balik, berehat dekat rumah. Lagipun ubat saya tertinggal dekat rumah. Lepas makan ubat, baiklah nanti” Rahadatul ‘Aisy beralasan. Terbit rasa bersalah kerana terpaksa berbohong. Tetapi, dia juga tidak sanggup berterusan membiarkan Umayr Harris meluahkan kata-kata yang bisa menjentik ruang hatinya.


“Baiklah. Kita balik” putus Umayr Harris termakan dengan dalih isterinya. Dia memaut bahu Rahadatul ‘Aisy kemas menuju ke ruang meletak kenderaan. Terpancar riak kerisauan di wajahnya. Hatinya tidak tenang untuk membiarkan isterinya tinggal berasingan dengannya. Sekurang-kurangnya jika Rahadatul ‘Aisy sakit, dia ada untuk menjaga. Nampaknya dia harus melakukan sesuatu. 

5 comments:

  1. bab 13 dah publish. happy reading. thanks

    ReplyDelete
  2. rasanya x lama lagi mesti aisy boleh terima harris semula..x sabar ^^

    ReplyDelete
  3. actually nama girl tuh Nasha Ilyana ke Nadia??
    confius...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sorry..typing error..mmg nama dia nasha ilyana..tersilap tu..thanks ya

      Delete

Tinggalkan jejak anda..