Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Saturday, 26 November 2011

Titian Cinta: Bab 1, 2

BAB 1
Matahari tegak memancarkan sinar. Cuaca baik pada petang itu dengan suhu yang hampir mencecah 27 darjah Celsius memudahkan tugas juruterbang penerbangan MH257 dari Heathrow, London mendaratkan pesawat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

Rahadatul 'Aisy membetulkan duduk untuk menghilangkan lenguh sendi-sendinya yang sedikit kejang akibat menempuhi perjalanan selama 12 jam itu. Dia menjengah ke luar tingkap pesawat, membuang pandangan kosong. Akhirnya dia kembali menjejakkan kaki di bumi Malaysia yang telah lama ditinggalkan.

Rahadatul ‘Aisy melepaskan keluhan kecil. Kakinya seakan berat untuk melangkah. Terlalu banyak kenangan dan kisah hitam yang telah ditinggalkan di sini. Empat tahun dia merantau di bumi asing, berkelana mencari sekelumit ilmu. Dalam tempoh itu bersusah-payah dia membina kembali keyakinan dirinya yang telah hilang. Mencantum kembali maruah diri yang pernah dicarik-carik oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Empat tahun dia berusaha untuk melarikan diri daripada dibayangi Umayr Harris Tan Sri Hakim.

Jika diikutkan hatinya, dia lebih betah berada di England, terus memainkan wataknya sebagai seorang pelajar. Walaupun di bahunya tergalas beban dan tanggungjawab yang cukup berat sebagai pelajar pengajian lanjutan namun sekurang-kurangnya dia gembira dan bahagia dengan hidupnya di sana. Ya, dia cukup bahagia kerana kesibukannya dengan kerja-kerja penyelidikan berjaya membuatkan dirinya tidak lagi dihambat duka semalam. Perbezaan jarak sejauh 6557 batu seolah-olah membebaskan dia daripada buruan kenangan silam yang menyakitkan. Namun, kini dia terpaksa kembali. Kerana terikat dengan kontrak biasiswa pengajian, dia harus pulang ke tanah airnya untuk melaksanakan amanah mendidik anak bangsa setelah segulung ijazah Doktor Falsafah berjaya digenggam.

Jauh di sudut hati dia dapat rasakan Umayr Harris pasti akan muncul kembali dalam hidupnya. Di antara dia dan Umayr Harris, masih ada perhitungan yang belum diselesaikan. Jika waktu itu tiba, adakah dia sudah cukup kuat untuk melawan lelaki yang sangat berpengaruh itu. Sudah cukup tajamkah kata-katanya untuk berhujah menuntut haknya? Tegakah Umayr Harris memberikan apa yang bakal dituntutnya? Arghh.. bukankah Umayr Harris sendiri yang telah membuangnya. Jadi, pasti dengan senang hati lelaki itu akan menunaikan permintaannya. Rahadatul ‘Aisy bermonolog sendiri.

Come on, Rahadatul ‘Aisy Hilmi” dia cuba mengusir kebimbangan. Keadaan perut pesawat yang sudah mula lengang memaksanya untuk bangun. Bagasi kecil yang disimpan di ruang atas dicapai. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Langkah kakinya diatur satu persatu menuju ke terminal.


BAB 2
“Assalamualaikum, Rahadatul ‘Aisy Hilmi” lembut suara Sakeena menuturkan salam. Rahadatul ‘Aisy mengulum senyum sebaik mendengar suara yang sangat dirindu itu. Pantas salam dijawab dan tubuh kecil Sakeena dipeluk kemas. Persahabatan yang telah terjalin hampir sepuluh tahun membuatkan dua wanita itu menitiskan air mata kegembiraan di atas pertemuan itu. Sakeena merupakan satu-satunya teman yang paling rapat dengan Rahadatul ‘Aisy. Seorang sahabat yang paling dipercayainya. Tiada rahsia di antara dia dan Sakeena. Setiap inci sejarah hidupnya dipegang kemas oleh temannya yang mempunyai sepasang mata yang galak itu.



“Kau dah banyak berubah sekarang, ‘Aisy” tutur Sakeena sebaik pelukan dileraikan. Matanya tekun memerhati temannya atas bawah. Berubah benar bentuk fizikal Rahadatul ‘Aisy. Pertambahan usia membuatkan wajahnya nampak lebih matang dan berkarisma. Namun, entah kenapa Sakeena dapat rasakan tiada keceriaan di wajah temannya itu walaupun selebar mana senyuman yang cuba diukir oleh Rahadatul ‘Aisy. Tiba-tiba hatinya hiba. Betapa berat penderitaan yang ditanggung oleh Rahadatul ‘Aisy. Sungguh kejam suami kau ‘Aisy, kerana dialah engkau merana sebegini hebat. Sakeena mengetap bibir. Simpatinya tumpah pada wanita itu.

“Aku masih Rahadatul ‘Aisy yang dulu. Cuma lemak-lemak dah agak kurang menempel kat tubuh aku ni” ujar Rahadatul ‘Aisy tersengih cuba menceriakan wajahnya. 

“Itulah yang aku hairan tu. Kau ini pergi belajar ke atau kau pergi sedut lemak kat sana?” kata-kata Rahadatul ‘Aisy dibalas dengan gurauan. Meletus tawa dari bibirnya.

“Tak ada maknanya aku nak buat kerja haram tu. Kat sana hari-hari aku kena exercise kaki. Orang sana kan suka berjalan kaki, dah jadi macam budaya. Makan pula tak menentu. Kadang-kadang tu balik dari universiti, badan dah penat lupa nak makan. Bantai tidur lagi sedap. Sebab itulah agaknya berat aku susut” ujar Rahadatul ‘Aisy membalas pertanyaan Sakeena.

“Ya ke ni? Bukan sebab makan hati?” sengaja Sakeena ingin menguji.

“Makan hati? Kau kan tahu aku tak makan organ-organ dalaman ni” balas Rahadatul ‘Aisy pura-pura tidak mengerti. Bercakap fasal hati dan perasaan hanya membuatkan hatinya pedih dan sakit. Dia tidak mahu kepulangannya itu membuka kembali kisah-kisah sedih.
“Sakeena Salihin, you look gorgeous my dear” puji Rahadatul ‘Aisy mengalih topik sebelum sempat Sakeena membalas kata-katanya. Wajah ceria temannya itu cukup menggambarkan yang hatinya sedang berbunga bahagia. Berita pertunangan Sakeena dan Raziq, yang merupakan rakan sekerja Rahadatul ‘Aisy disambut gembira.

“Puji aku ini ada makna ke? Macam nak mengelat je” ucap Sakeena langsung tidak terkesan dengan pujian temannya.

“Aku puji kau ikhlas dari sudut hati nurani aku ini. Eh, kita singgah food court. Selesa sikit nak borak-borak. Lagipun flight aku ke KT pukul 2.00 petang, banyak masa lagi” ajak Rahadatul ‘Aisy. Sakeena masih tidak berganjak. Wajah sahabatnya ditenung tajam. Cuba membaca isi hati Rahadatul ‘Aisy.

“Jomlah, perut aku pun dah lapar ni. Rindunya aku nak makan nasi lemak. Tapi perut aku pun teringin nak makan roti canai jugak. Laksa penang pun best jugak ni” ujar Rahadatul ‘Aisy tersengih nakal. Bulat mata Sakeena memandang wajah selamba sahabatnya. Akhirnya Sakeena mengalah. Mereka beriringan menuju ke medan selera yang berada di aras tiga.

Sekilas Rahadatul ‘Aisy mengerling jam di pergelangan tangan. Ada tiga jam lagi sebelum penerbangan domestik ke kampung halamannya. Emak dan ayahnya sudah pasti sedang menunggu kepulangannya. Masih terngiang-ngiang suara ceria Haji Hilmi dan Hajah Maryam ketika dia memaklumkan yang dia akan balik ke tanah air. Sudah pasti dia juga merasa rindu dan tidak sabar untuk menatap wajah kedua orang tuanya. Empat tahun dia menyulam rindu. Bukannya dalam tempoh tersebut dia langsung tidak mempunyai peluang untuk pulang ke Malaysia. Namun, dia tidak mempunyai kekuatan. Dia memerlukan masa dan ruang untuk merawat hatinya. 

5 comments:

  1. baru start baca citer ni..permulaannya dah buatkan sy x sabar2 nak baca bab seterusnya ^^

    ReplyDelete
  2. Permulaan yg sgt best kak...tapi hati ini, mcm sdih je....hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. sedih? hehehe... cerita ni mmg sedih..bagi akak laa..huhuhu...

      Delete
  3. baru start baca first bab je,dah sedeh dk.tapi mengujakan............

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..